16 Jun 2013
SHAH ALAM: Tiga maut manakala seorang cedera dalam kemalangan di Lebuhraya Persekutuan sebelum Plaza Tol Batu Tiga, di sini, kira-kira 5 pagi tadi.
Dalam kejadian itu, Perodua Viva yang dinaiki penuntut Universiti Teknologi Mara (UiTM) yang kesemuanya berusia 18 tahun itu dipercayai hilang kawalan dan terbabas sebelum merempuh pembahagi jalan.
Mangsa masing-masing dua lelaki dan seorang wanita maut di tempat kejadian manakala penumpang wanita yang cedera di bawa ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang.
Mayat dihantar ke Rumah Mayat HTAR untuk diuruskan sebelum diserahkan kepada keluarga masing-masing untuk pengebumian manakala mangsa yang cedera ditempatkan di wad untuk rawatan lanjut
Inalillahi wainailaihi rojiun
17 Jun 2013
Shah Alam: Tiga rakan maut manakala seorang cedera selepas kereta yang mereka naiki hilang kawalan sebelum terbabas dan melanggar pembahagi jalan di Kilometer 14.5 Lebuhraya Persekutuan menghala Kuala Lumpur, semalam.
Dalam kejadian jam 5.15 pagi itu, mangsa yang maut ialah pemandu, Adam Ab Rahman serta penumpang belakang, Ameer Asyraf Sulaiman dan Nurul Maizura Maidan Dali manakala Nurfarina Mokhtar yang berada di bahagian penumpang depan hanya cedera ringan.
Kesemua mangsa berumur 18 tahun, dengan tiga daripadanya adalah pelajar Universiti Teknologi MARA (UiTM) dan seorang Universiti Putra Malaysia (UPM).
Mangsa tercampak
Adam adalah pelajar Diploma Sains Sukan UiTM Kampus Jengka, Pahang, berasal dari Muar, Johor manakala Ameer (Asasi Perakaunan UiTM Shah Alam) dan Nurul (Asasi Sains Pertanian UPM), masing-masing berasal dari Jasin, Melaka serta Labuan, Sabah.
Nurfarina adalah pelajar Asasi Pengajaran Bahasa Inggeris Sebagai Bahasa Kedua (TESL), UiTM Shah Alam dan berasal dari Kelantan.
Difahamkan kereta yang dipandu Adam berpusing dan melanggar pembahagi jalan sebanyak dua kali menyebabkan ada mangsa terperosok di bawah kereta dan tercampak ke lorong lebuh raya bertentangan.
Ketua Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam, Deputi Superintendan Ruslan Abdullah, berkata Balai Bomba dan Penyelamat Shah Alam menerima panggilan pada jam 5.19 pagi dan dapat mengeluarkan mangsa yang tersepit, sebelum dikejarkan ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang.
“Berdasarkan keterangan seorang mangsa yang terselamat, mereka baru pulang dari I-City di Seksyen 7 dan sebaik tiba di tempat kejadian, kereta dipandu hilang kawalan sebelum merempuh pembahagi jalan.
“Mangsa yang meninggal dunia dihantar ke HTAR untuk bedah siasat sebelum diserahkan kepada keluarga masing-masing untuk urusan pengebumian manakala mangsa yang cedera kini ditempatkan di wad untuk rawatan lanjut,” katanya.
Sumber:
http://www.hmetro.com.my/articles/Tiganyawamudamelayang/MA/Article
http://www.hmetro.com.my/articles/Rempuhanpembunuh//Article
http://www.bharian.com.my/bharian/articles/Tigarakanmautkeretaterbabas/Article
http://www.tv3.com.my/beritatv3/berita_terkini/Tiga_Sahabat_Maut_Terbabas_Langgar_Pembahagi_Jalan.html
No comments:
Post a Comment