loading...
Thursday, June 20, 2013
Rempuh perhentian bas
21 Jun 2013
LEDANG - Berpantang maut sebelum ajal. Itu yang berlaku ke atas dua lelaki yang terselamat meskipun kereta dinaiki remuk teruk selepas terbabit dalam nahas di Kampung Parit Turun, Bukit Gambir dekat sini, kelmarin.
Kejadian kira-kira jam 10.55 malam itu, dipercayai berlaku apabila kereta Honda City terbabit yang datang dari arah Muar hilang kawalan lalu merempuh perhentian bas sebelum terbabas sejauh 30 meter dari lokasi rempuhan tersebut.
Kedua-dua mangsa berusia dalam lingkungan 30an yang mengalami kecederaan dan tersepit itu dibantu keluar oleh orang awam yang berada di sebuah kedai makan berhampiran tempat kejadian.
Seorang saksi yang dikenali Ahmad, 45, berkata, kejadian itu disedarinya selepas mendengar bunyi dentuman kuat yang disusuli kepulan asap tebal berwarna putih.
Menurutnya, ketika itu dia sedang berehat di beranda luar rumahnya dan tidak menyangka bunyi tersebut adalah kemalangan kereta kerana tidak mendengar bunyi brek ditekan mengejut.
“Saya segera ke tempat kejadian dan melihat orang ramai sedang membantu mengeluarkan mangsa yang mengerang menahan kesakitan kerana bimbang kemungkinan kereta akan meletup berikutan keadaan ia yang remuk teruk.
“Usaha mengeluarkan mangsa yang tersepit di tempat duduk pemandu mengambil masa selama kira-kira 10 minit, sementara menunggu ketibaan ambulans untuk menghantar mereka ke hospital,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis daerah, Superintenden Harun Idris, mengesahkan laporan kejadian.
Menurutnya, mangsa dihantar ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) untuk menjalani rawatan dan keadaan mereka dilaporkan stabil.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 43 Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.
Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/johor/kereta-dinaiki-2-lelaki-rempuh-perhentian-bas-1.173983
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment