Saturday, October 6, 2012

4 maut 2 parah


7 Oktober 2012
KUANTAN: Empat maut manakala dua parah apabila dua buah kereta terbabas dan melanggar pokok di Jalan Haji Ahmad 1 menghala ke arah Semambu, awal pagi tadi.


Mangsa yang terbunuh dalam kemalangan 4 pagi itu ialah pemandu kereta jenis Nissan GTR, Tan Kah Yong, 24, dan penumpangnya Bao Shanshan yang merupakan seorang warga China.

Manakala dua lagi ialah pemandu kereta Nissan Skyline iaitu Go Haw Wei, 20, dan penumpangnya Koay Khor Liang, 21.

Dua yang cedera juga merupakan warga China yang berada di dalam kereta Nissan GTR berkenaan.


Menurut Pegawai Penguatkuasa Tadbir/Trafik Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang, ASP Zainalabidin Othman, kedua-dua kereta itu datang dari arah Kuantan menuju Semambu dan dipercayai terbabas dan melanggar pokok.


"Pemandu kereta Nissan GTR itu sedang membawa tiga warga China yang bekerja di sebuah Spa di sini. Mengikut siasatan awal, kedua-dua kereta terbabit dipandu laju dalam keadaan jalan basah berikutan hujan," katanya.

Semua mangsa mati di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala dan badan. - Bernama











Sumber:
hmetro.com.my/myMetro/articles/Empatmaut_duaparahdalamnahas/Article/artikelMA
forum.lowyat.net


Melambung sebelum digilis treler

7 Oktober 2012
ALOR GAJAH: “Saya nampak penunggang motosikal melambung dan terjatuh di atas jalan sebelum badannya digilis treler, manakala pemboncengnya tercampak ke tebing jalan,” kata Mohd Fauzi Mohamad Nor, 33, yang menyaksikan kemalangan ngeri membabitkan sebuah motosikal dan treler tanpa muatan di Jalan Garing, Machap Baru, di sini, malam kelmarin.

Dalam kemalangan jam 8.30 malam, penunggang motosikal warga Nepal, Tek Bahadur Tamang, 23, mati di tempat kejadian manakala pembonceng dikenali sebagai Santha, 20, parah.

Menurut Mohd Fauzi, ketika kejadian dia memandu dalam jarak 20 meter di belakang treler dan menyedari motosikal ditunggang mangsa bersama rakannya berada di depan kenderaan berat itu.

“Treler berkenaan cuba memotong motosikal dinaiki dua lelaki itu sebelum berlaku pergeseran, menyebabkan motosikal dinaiki mangsa terjatuh.


“Pada masa sama, saya nampak penunggang motosikal melambung di atas jalan sebelum badannya digilis tayar belakang treler, manakala rakannya tercampak ke tepi jalan,” katanya, semalam.


Sumber"
hmetro.com.my/myMetro/articles/Melambungsebelumdigilis/Article/artikelMA


Pekerja TNB maut rempuh pokok

Inalillahi wainailaihi rojiun


7 Oktober 2012
ARAU: Seorang pekerja Tenaga Nasional Berhad (TNB) Kangar maut selepas kereta dipandunya merempuh sebatang pokok di Jalan Tambun Tulang menghala ke Simpang Empat berdekatan Kampung Belat Batu, di sini, petang kelmarin.

Dalam kejadian jam 6.30 petang, Mohamad Muzamil Mansor, 27, maut di tempat kejadian akibat cedera parah di kaki dan pinggang selepas tersepit di bahagian pemandu kereta jenis Perodua Myvi.


Difahamkan, mangsa yang memandu dari arah Arau menghala ke Tambun Tulang cuba mengelak sebuah kereta Perodua Kancil yang diletakkan di bahu jalan selepas selekoh tajam di situ sebelum terbabas dan melanggar pokok.

Mangsa yang berasal dari Kampung Santan, di sini, dikatakan mengambil cuti sakit dan tidak bekerja pada hari kejadian, namun tidak sempat memaklumkan keluarganya lokasi tujuannya ketika kejadian.


Ketua Polis Daerah Arau, Superintendan Mohd Nadzri Hussain berkata, mangsa yang memandu berseorangan cuba mengelak kereta yang diletakkan di bahu jalan sebelum terbabas ke jalan bertentangan.


“Mangsa gagal mengawal kenderaan dipandunya sebelum terbabas dan merempuh pokok di bahu jalan bertentangan, menyebabkan bahagian depan keretanya remuk.

“Menurut saksi, mangsa yang ketika itu masih bernyawa tersepit lebih 15 minit di ruang pemandu sebelum cuba dibantu orang ramai,” katanya. Menurutnya, sejurus kejadian, pemandu kereta Perodua Kancil yang diletakkan di bahu kiri jalan berkenaan melarikan diri dan gagal dikesan polis yang tiba di lokasi kejadian tidak lama selepas itu.


“Ketika itu mangsa masih bernyawa namun menghembuskan nafas terakhir sejurus pihak bomba mengeluarkannya dari kereta. Mayatnya dihantar ke Bilik Mayat Hospital Tuanku Fauziah (HTF) untuk bedah siasat,” katanya.

Katanya, polis juga memohon orang ramai yang ada maklumat mengenai kejadian, termasuk pemilik kereta Kancil yang juga saksi utama kejadian, supaya menghubungi polis melalui talian Rakan Cop di nombor telefon 04-9711999.

Al-Fatihah

Sumber"
hmetro.com.my/articles/2012100700221120121007002211/Article/artikelMA


Penduduk gesa pihak berkuasa tangani kemalangan

 
7 Oktober 2012
 ENGGOR – Tidak tahan dengan kekerapan nahas di laluan utama Ipoh-Kuala Kangsar, berhampiran Kampung Setia, di sini, penduduk kampung sepakat mengadakan demonstrasi secara aman di tepi jalan berkenaan selepas Solat Jumaat, kelmarin.

Penduduk, Mohd Tajudin Mohd Rasdi, 46 memaklumkan, demonstrasi berkenaan dianjurkan bagi menggesa pihak berkuasa, khususnya Jabatan Kerja Raya (JKR) bertindak segera menangani masalah berkenaan yang dilihat semakin serius kebelakangan ini.

Terbaru menurutnya, dua penunggang motosikal dilaporkan terlantar di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), Ipoh kerana mengalami kecederaan serius setelah terlibat dalam nahas di laluan itu pada malam minggu.

"Laluan di sini sememangnya agak bahaya kerana permukaan jalan berbukit sehingga menyukarkan pemandu kenderaan mengagak kedatangan kenderaan lain dari arah bertentangan. Selain itu, pencahayaan tidak mencukupi merupakan satu lagi faktor kekerapan nahas jalan raya, di sini.

"Saya turut mendapati tiada penanda arah yang khusus di jalan ini. Yang ada cuma tiang berbentuk silinder sebagai panduan arah pengguna jalan raya, yang berkeadaan agak uzur dan kurang berfungsi," katanya ketika ditemui, kelmarin.


Perlu papan tanda

Bersetuju dengan Mohd Tajuddin, seorang lagi penduduk, Mohd Yusri Mohd Isa, 48 menekankan keperluan papan tanda bagi mengelak kekeliruan pengguna jalan raya berkenaan.

Katanya, terdapat beberapa kejadian yang melibatkan kenderaan tersalah masuk ke laluan bertentangan akibat keliru dengan papan tanda serta garisan pembahagi jalan di situ.

"Saya sendiri pernah mengalami situasi itu apabila sebuah lori masuk ke laluan bertentangan sewaktu saya pulang daru Kuala Kangsar pada sebelah malam," katanya.

Manakala Murad Abu Bakar, 42 berkata, laluan itu memerlukan banyak penambahbaikan demi keselamatan orang ramai dan dia berharap ia dapat dilaksanakan dalam kadar segera.

"Ini merupakan jalan utama untuk orang ramai berulang alik dari Ipoh ke Kuala Kangsar selain lebuh raya utara selatan. Kerja penambahbaikan memang perlu demi keselamatan mereka," katanya.

Sebagai pengguna jalan raya itu, Yosme Yahya, 50 menganggap kelengkapan seperti papan tanda, pembahagi jalan, lampu isyarat, bonggol serta lain-lain perlu ada di laluan berkenaan.

Menurutnya, langkah berkenaan menepati sasaran tahap kemalangan sifar yang dilaungkan kerajaan dan dia mengesyorkan masalah berkenaan dipandang serius oleh pihak berkenaan.


Wajar berdemonstrasi


Ketua Kampung Setia, Sharifudin Taha turut sependapat dengan penduduk kampung dan berharap pihak berwajib menyegerakan usaha penambahbaikan laluan berkenaan kerana terlalu banyak nahas jalan raya berlaku di situ.

"Boleh dikatakan kemalangan berlaku hampir setiap hari dan kami memang memerlukan satu sistem jalan raya yang lebih baik di sini. Himpunan ini diharap dapat membuka mata pihak berwajib untuk menyegerakan usaha berkenaan," katanya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Lintang, Datuk Ahamad Pakeh Adam ketika dihubungi berkata, pihak berwajib terutama JKR Daerah Kuala Kangsar wajar memberi perhatian serius terhadap masalah itu dan menyegerakan usaha penambahbaikan.

"Mereka sudah membuat laporan berkenaan perkara ini, namun tiada tindakan daripada pihak berwajib. Malah saya sendiri pernah bertemu JKR Daerah Kuala Kangsar berhubung masalah ini dan maklum balas yang saya terima adalah ketiadaan peruntukan untuk
penambahbaikan.

"Dengan itu saya rasa tindakan penduduk mengadakan demonstrasi hari ini (Kelmarin) sangat wajar kerana masalah ini membabitkan keselamatan dan kesejahteraan hidup mereka," katanya.


Sumber"
sinarharian.com.my/edisi/perak/penduduk-anjur-demo-gesa-pihak-berkuasa-tangani-kemalangan-1.92184




Maut kereta bertembung lori


Inalillahi wainailaihi rojiun


7 Oktober 2012
 RAUB - Seorang lelaki maut selepas kenderaan dipandunya bertembung dengan lori di Kilometer 349 Jalan Raub - Lipis pada jam 12.30 malam, semalam.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Wan Mohd Samsudin Wan Osman berkata, mangsa, Zailani Mat Zin, 30, memandu kenderaan jenis Perodua Viva dari arah Lipis.

Menurutnya, setibanya di tempat kejadian, mangsa tidak dapat mengawal kenderaan lalu terbabas ke laluan bertentangan sebelum bertembung dengan lori muatan produk coklat.

“Mangsa mengalami kecederaan parah dan meninggal dunia di tempat kejadian.

“Sementara itu, isterinya, Noraisyah Rosli (27) tidak sedarkan diri dan menerima rawatan di Hospital Raub.” katanya.

Wan Mohd Samsudin berkata, dua kanak-kanak yang juga anak pasangan terbabit iaitu Putri Alya Balqis, 4 dan Putri Qistina Batrisyia, 2, menerima rawatan di hospital sama akibat kecederaan di bahagian kepala serta muka.

Katanya, waris mangsa sudah dihubungi untuk memaklumkan mengenai kejadian itu.

“Pemandu lori, Azman Abdullah (39) pula tidak mengalami sebarang kecederaan dan sampel darah kedua-dua pemandu diambil untuk ujian dadah serta alkohol.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Al-Fatihah

Sumber"
sinarharian.com.my/edisi/pahang/maut-kereta-bertembung-lori-1.92177


Terselamat di dalam pangkuan ibunya


7 Oktober 2012
 PASIR MAS – Seorang bayi berusia 12 hari, terselamat di dalam pangkuan ibunya, selepas mereka terlibat dalam kemalangan di Cabang Empat Kampung Banggol Chicha, jam 8.30 pagi, semalam.

Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Haliludin Rahim berkata, bayi yang dipangku ibunya, Siti Aidah Mat Zain, 35, hanya cedera selepas kereta Kelisa yang dinaiki dilanggar lori kontena.

Menurutnya, lori yang dari arah Bayu Lalang ke Kampung Gaung, tidak sempat memberhentikan kenderaan di cabang empat, seterusnya melanggar Kelisa.

“Pemandu Kelisa, Nur Bahiyah Mohamad, 21, tidak mengalami sebarang kecederaan, namun penumpang lain, Abdul Rauf Mohamad, 20; Abdul Ghafar Mohamad, 20; Mohd Amirullah Abbas, 9, dan Aimi Amira Mohd Ali, 9, cedera ringan dan mendapatkan rawatan di Hospital Pasir Mas.

“Bayi berkenaan mengalami kecederaan di bahagian kepala, manakala ibu, Siti Aidah cedera di badan, mendapatkan rawatan di hospital yang sama,” katanya kepada pemberita.

Beliau berkata, saksi yang melihat kejadian diminta tampil ke Ibu Pejabat Polis Daerah, untuk membantu siasatan dan kes ini disiasat di bawah Rule 3 (2) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sementara itu, Nur Bahiyah berkata, mereka dalam perjalanan ke Klinik Kesihatan Pasir Mas, untuk mendapatkan pemeriksaan lanjut, selepas bayi mengalami masalah kesihatan.

“Saya tidak sempat mengelak, selepas menyedari lori itu tidak memberhentikan kenderaan di Cabang Empat.

“Disebabkan lori memandu dengan laju, kereta kami diseret hampir 10 meter dari tempat kejadian,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Kanan Bomba II (PBK), Azuhan Ibrahim berkata, mereka menerima panggilan kecemasan pada jam 8.37 pagi, dan bergegas ke tempat kejadian dengan kekuatan tujuh anggota.

“Tiba di tempat kejadian, kita dapati terdapat seorang penumpang tersepit, manakala yang lain berjaya dikeluarkan oleh orang awam.

“Kita berjaya mengeluarkan mangsa di bahagian tempat duduk penumpang, kurang lima minit kemudian,” katanya.


Sumber"
sinarharian.com.my/edisi/kelantan/bayi-12-hari-selamat-di-pangkuan-ibu-1.92112




Maut Rempuh Pokok



7 Oktober 2012
SHAH ALAM – Seorang juruteknik maut selepas van jenis Vannete yang dipandunya terbabas dan merempuh pokok di Seksyen 19, di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 2 petang itu, See Choon Yuen, 27, dalam perjalanan ke tempat kerja dari arah Persiaran Jubli Perak Seksyen 20 ke Seksyen 24 sebelum tayar belakang sebelah kiri van berkenaan meletup.

Ketua Trafik dan Ketenteraman Awam Daerah Shah Alam, Deputi Superintendan Ruslan Abdullah berkata, akibat rempuhan kuat, mangsa tersepit di kaki, cedera parah di kepala dan mati di tempat kejadian.

Menurutnya, pasukan Bomba dan Penyelamat Shah Alam bergegas ke tempat kejadian membantu mengeluarkan mangsa.

“Mangsa dipercayai memandu dalam keadaan laju dan hilang kawalan selepas tayar meletup. (baca tips penjagaan tayar)

“Ketika kejadian, mangsa memandu seorang diri dan membawa pelbagai barangan elektrik,” katanya.

Mayat mangsa yang berasal dari Bandar Bukit Tinggi dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang untuk bedah siasat.


Sumber:
sinarharian.com.my/semasa/maut-rempuh-pokok-1.92104




Friday, October 5, 2012

Angkara sebongkah kayu

Inalillahi wainailaihi rojiun

5 Oktober 2012
KUANTAN - Seorang anggota polis bantuan maut selepas motosikalnya terlanggar sebongkah kayu yang secara tiba-tiba jatuh ke atas jalan raya di Jalan Kuala Lumpur-Kota Baharu, dekat bandar Raub semalam.

Dalam kejadian 10.05 malam itu, Wan Mohammad Ridzuan Wan Hassan, 20, yang berasal dari Kelantan dan bertugas di Genting Highlands, disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Raub.

Ketua Jabatan Ketenteraman Awam dan Trafik Pahang Superintenden Mohamed Fauzi Abdul Rahim berkata mangsa meninggal dunia akibat cedera parah di kepala.

"Mangsa menunggang motosikal jenis Honda EX5 dalam perjalanan menghala ke Kuala Lumpur, mangsa terlanggar satu bongkah kayu yang secara tiba-tiba jatuh dari kawasan berbukit dekat situ," katanya kepada pemberita hari ini.

Sementara itu, dalam kejadian berasingan, seorang buruh warga Indonesia maut dihempap pacuan empat roda yang dinaiki selepas kenderaan itu terbalik ketika menuruni bukit di Jalan Jerantut-Benta dekat Kampung Kor Olu Cheka, Jerantut.

Mohamed Fauzi berkata dalam kejadian 5 petang semalam itu, mangsa, Imam Kharir, 27, disahkan meninggal dunia ketika dibawa ke Hospital Jerantut.

"Ketika kejadian, mangsa bersama tiga lagi rakan sekerja dikatakan duduk di bahagian belakang pacuan empat roda berkenaan, yang dalam perjalanan menghala ke Ulu Cheka dari tempat pembalakan," katanya.

Beliau berkata ketika menuruni bukit, pemandu pacuan empat roda dipercayai gagal mengawal kenderaan itu kerana permukaan jalan licin berikutan hujan sebelum terbabas dan terbalik menyebabkan mangsa bersama tiga rakannya bertindak melompat keluar untuk menyelamatkan diri.

"Bagaimanapun, mangsa dikatakan gagal menyelamatkan diri sebelum dihempap kenderaan berkenaan, yang menyebabkan mangsa mengalami kecederaan parah di badan dan kepala," katanya.

Beliau berkata kedua-dua kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. - Bernama

Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/pahang/anggota-polis-bantuan-maut-nahas-jalan-raya-1.91785




Pelajar SPM SMK Nasiruddin Shah maut kemalangan

Inalillahi wainailaihi rojiun 

5 Oktober 2012
BESUT - Seorang pelajar yang bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bulan depan terbunuh apabila motosikal yang dibonceng bersama rakan sekolahnya terbabit dengan kemalangan di Jalan Batu Tumbuh dekat Institut Kemahiran Mara (IKM) Besut, Alor Lintang di sini awal pagi semalam.
  
Ketika kejadian pada pukul 7.35 pagi itu, mangsa Aiman Hakimi Zainuddin, 17, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Nasiruddin Shah meninggal dunia di Hospital Daerah Besut selepas empat jam lebih bertarung nyawa ketika dalam rawatan.
  
Ketua Polis Daerah Besut, Supt Kamaruddin Zakaria berkata sebelum kejadian, mangsa bersama rakannya yang menunggang motosikal itu Mohd Sihar Yusof, 17, sedang dalam perjalanan menunju ke sekolah mereka yang terletak kira-kira satu kilometer dari tempat kemalangan.
  
"Difahamkan Mohd Sihar telah memotong sebuah kereta berhadapan kawasan IKM Alor Lintang tetapi telah terbabas dan pada masa yang sama, datang sebuah kereta yang dipandu oleh seorang kakitangan Majlis Daerah Besut dari arah bertentangan.
  
"Kakitangan awam itu gagal mengelak lalu melanggar motosikal berkenaan hingga kedua-dua pelajar itu terpelanting," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Kamaruddin berkata kedua-kedua pelajar tersebut telah dikejarkan ke Hospital Daerah Besut untuk menerima rawatan tetapi Aiman Hakimi yang cedera di kepala akibat hentakan di atas jalan raya telah meninggal dunia kira-kira pukul 12 tengah hari semalam.
  
Mohd Sihar pula hanya mengalami luka di jari tangan dan lutut manakala pemandu kereta berkenaan tidak mengalami sebarang kecederaan. - Bernama

Al-Fatihah





Thursday, October 4, 2012

Bas kilang samseng jalanan


4.10.2012
PULAU PINANG 29 Sept. - Sikap segelintir pemandu bas kilang di Zon Perdagangan Bebas (FTZ) Bayan Lepas yang memandu secara berbahaya tanpa mempedulikan pengguna jalan raya lain diibaratkan seperti samseng jalanan.

Mereka dikatakan seolah-olah tidak mempedulikan peraturan jalan raya dan tidak takut untuk melanggarnya.

Tinjauan Mingguan Malaysia mendapati kira-kira 10 pemandu bas kilang dilihat cuba memotong kenderaan di garisan berkembar termasuk menghimpit kenderaan kecil lain dari arah bertentangan.

Malah ada dalam kalangan mereka bertindak berani memecut laju tanpa memberi isyarat memotong.

Kejadian tersebut boleh dilihat pada waktu puncak iaitu ketika pekerja kilang tamat syif terutama di Bayan Baru menghala Bukit Jambul dan Relau.

Masalah berkenaan turut menyebabkan berlaku kesesakan lalu lintas sekali gus mengundang risiko kemalangan.

Menurut seorang pengguna jalan raya yang ingin dikenali sebagai Tan, dia sudah lali dengan situasi sebegitu kerana keretanya pernah dihimpit bas kilang sehingga bercalar.

"Ketika itu, pemandu bas kilang yang menyedari keadaan tersebut hanya meneruskan perjalanan tanpa mengambil peduli kenderaan saya.

"Mereka mungkin berasakan kenderaan mereka bersaiz besar dan tidak takut dengan kenderaan lain yang lebih kecil. Kalau mereka himpit pun tidak meninggalkan kesan langsung pada badan bas itu," katanya kepada Mingguan Malaysia di sini hari ini.

Dalam pada itu, katanya, asap hitam dan pekat yang dikeluarkan bas kilang juga mencemarkan alam sekitar dan kesihatan pengguna lain.

"Cuba bayangkan kalau penunggang motosikal berada di belakang bas kilang itu, sudah tentu bau asap memberi kesan sampingan terhadap kesihatan orang lain," jelasnya.

Sehubungan itu, Tan menggesa pihak bertanggungjawab seperti polis, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) memantau keadaan tersebut dan mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang terlibat.


Sumber:
utusan.com.my/utusan/Utara/20120930/wu_01/Pemandu-bas-kilang-samseng


Seorang anggota polis maut kemalangan

4.10.2012
KUANTAN: Seorang anggota polis maut manakala dua lagi cedera selepas Proton Wira yang dinaiki mereka terbabas ke kiri jalan sebelum terhumban ke dalam gaung di Jalan Kampung Lebu dekat Felda Mempaga, Bentong semalam.

Mangsa yang memandu kenderaan terbabit, Lans Koperal Wan Abd Aziz Wan Nik, 51, dari Cawangan Pengangkutan Ibu Pejabat Polis Daerah Bentong mati di lokasi kejadian.

Manakala penumpang hadapan kenderaan berkenaan, Konstabel Md Fairuz Azni, 25, dan Koperal Hazlina Jaafar, 32, penumpang belakang hanya mengalami cedera ringan.

Menurut Ketua Jabatan Ketenteraman Awam dan Trafik negeri, Supt Mohamed Fauzi Abdul Rahim, dalam kejadian 9.45 pagi itu, mangsa bersama dua lagi anggota terbabit dalam perjalanan menjalankan tugas rasmi dari Bentong menuju ke Mempaga.

"Sampai tempat kejadian, semasa melalui satu selekoh, kereta yang dinaiki mereka hilang kawalan apabila sebuah lori yang tidak diketahui nombor pendaftarannya tiba-tiba lalu di hadapan menyebabkan mangsa membrek secara mengejut.


"Akibat itu, kereta yang dinaiki mereka terbabas ke kiri jalan lalu bergesel dengan pokok kelapa sawit sebelum terhumban ke dalam gaung di situ," katanya di sini, hari ini.

Kata beliau, mangsa yang mengalami kecederaan parah di kepala dan badan meninggal dunia di Hospital Bentong ketika menerima rawatan sejurus kemudian.

"Dua lagi anggota terbabit hanya cedera ringan dan kini dirawat di hospital yang sama," katanya.

Katanya, kes kini disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. - Bernama

Sumber:
kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2012&dt=1004&pub=Kosmo&sec=Terkini&pg=bt_07.htm


Anak 10 tahun maut

4.10.2012
KUANTAN — Seorang kanak-kanak berusia 10 tahun maut manakala bapanya cedera parah apabila kenderaan yang mereka naiki terbabas sebelum terhumban ke dalam kawasan bercuram di Km 48.4 Jalan Ibam - Rompin dekat Rompin semalam.

Tan Beng Wen, 10, dari Perkampungan Orang Asli Kerpal, Rompin mati di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala manakala bapanya, Tan Beng Hai, 32, cedera parah di muka dan badan.

Ketua Jabatan Ketenteraman Awam dan Trafik Pahang, Supt. Mohamed Fauzi Abdul Rahim berkata, dalam kejadian pada pukul 6.10 petang itu, kedua beranak berkenaan dari arah Ibam menuju ke bandar Rompin.

"Jip yang dipandu Beng Hai hilang kawalan lalu terbabas melanggar besi penghadang jalan sebelum terhumban ke kawasan bercuram di kiri jalan," katanya di sini hari ini.— BERNAMA

Sumber:
kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2012&dt=1004&pub=Kosmo&sec=Terkini&pg=bt_07.htm

Kereta baru remuk dirempuh

MELAKA: Kegembiraan seorang mekanik keluar makan malam menaiki kereta baru dibelinya dua minggu lalu, bertukar duka apabila kereta itu remuk teruk selepas terbabit dalam kemalangan di Persimpangan Taman Kota Laksamana di sini, malam kelmarin.

Kejadian kira-kira jam 10.30 malam membabitkan empat kenderaan iaitu Proton Saga BLM, Perodua Kancil, Perodua Viva dan Perodua Myvi namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan.


Difahamkan, nahas berlaku apabila Perodua Myvi dipandu seorang lelaki berusia 25 tahun dari arah Persimpangan Syahbandar merempuh Proton Saga dipandu Roslan Johari, 24, dan Kancil dipandu lelaki berusia 28 tahun yang berhenti di persimpangan lampu isyarat itu.

Rempuhan kuat mengakibatkan Proton Saga melanggar Viva dipandu lelaki berusia 21 tahun yang turut berhenti di persimpangan itu.


Menurut Roslan, dia dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Telok Mas selepas selesai makan malam bersama dua rakannya dikejutkan dengan bunyi dentuman kuat dari arah belakang.


“Saya memberhentikan kenderaan di belakang Viva kerana lampu isyarat ketika itu merah. Namun, tiba-tiba terdengar bunyi dentuman kuat hingga menyebabkan kereta dipandu bergerak ke depan dan melanggar Viva itu.

“Jarak kereta saya dengan kenderaan di depan agak jauh tetapi rempuhan Myvi itu terlalu kuat,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian, malam kelmarin.


Beliau berkata, walaupun terkejut dengan kejadian yang mengakibatkan bahagian depan dan belakang kenderaannya remuk, dia bersyukur kerana tiada kecederaan berlaku.

“Siapa tidak sedih jika kereta yang baru dua minggu diperoleh remuk disebabkan kecuaian pemandu lain. Namun, saya bersyukur kerana kedua-dua rakan yang duduk di bahagian penumpang belakang selamat,” katanya.


Sementara itu, Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Salehuddin Abd Rahman ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan berkata siasatan masih dijalankan pihaknya.

Sumber:
hmetro.com.my/articles/Keretabarudibeliremukdirempuh/Article


2 Kemalangan Maut


KUALA LUMPUR: Kegembiraan seorang lelaki menonton cerita seram buat kali pertama dalam hidupnya bertukar tragedi apabila maut dalam kemalangan di Kilometer 5.3, Lebuhraya Kuala Lumpur- Seremban arah Sungai Besi berhampiran Desa Petaling, pagi semalam.

Dalam kejadian jam 5 pagi itu, mangsa yang juga pembonceng motosikal, S Kavi Arasu, 21, maut di tempat kejadian kerana parah di kepala selepas tercampak ke tebing jalan manakala penunggang motosikal terbabit yang identiti belum dikenali cedera parah.


Seorang saksi kejadian berkata, motosikal yang dinaiki Kavi bersama rakannya itu terbabas selepas dihimpit sebuah lori yang meninggalkan lokasi sebaik menyedari kedua-dua mangsa terjatuh.

Menurut sepupu mangsa yang dikenali sebagai Ammu, 21, sebelum kejadian itu, mendiang menghubunginya memberitahu baru selesai menonton sebuah drama seram.


“Mendiang memberitahu saya dia sudah dewasa dan bukan lagi seorang yang penakut kerana berjaya menonton cerita seram itu. Sebelum ini, mendiang langsung tidak menonton cerita seram.


“Saya tidak sangka kata-kata dan tindakannya itu tanda mendiang pergi selama-lamanya,” katanya yang ditemui di tempat kejadian.

 Sementara itu, dalam kejadian berasingan di Kilometer 9, Lebuh raya Damansara Puchong (LDP) arah Petaling Jaya, seorang penunggang motosikal maut selepas digilis sebuah kereta yang tidak sempat mengelak.


Kejadian jam 7 pagi itu berlaku apabila mangsa, Mohd Nor Azam Idris, 42, terjatuh daripada motosikal sebelum sebuah kereta yang mengekori merempuh dan mengheretnya kira-kira 10 meter.

Mayat mangsa yang tersepit di bawah kereta terpaksa dikeluarkan dengan bantuan anggota bomba dan penyelamat sebelum dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Malaya untuk bedah siasat.

Sumber:
hmetro.com.my/myMetro/articles/Tragediceritaserampertama/Article/index_html



Tuesday, October 2, 2012

Leher dihiris pembahagi jalan



2 Oktober 2012
SERDANG: Mengerikan apabila seorang penunggang motosikal maut selepas lehernya hampir putus terhiris besi pembahagi jalan dalam kemalangan di Kilometer 306.8 Lebuhraya Utara-Selatan berhampiran hentian Serdang arah tol Sungai Besi, semalam.

Dalam kejadian jam 9.30 pagi itu, mangsa yang dikenali sebagai Alfa Sa’am, 39, berasal dari Pantai Dalam, dekat sini, dalam perjalanan pulang ke rumahnya dari Seremban bersama tunangnya.


Bagaimanapun, tunang mangsa yang terjatuh dari motosikal cedera ringan.

Difahamkan, kejadian itu berlaku apabila motosikal yang ditunggang mangsa hilang kawalan sebelum terbabas dan merempuh besi penghadang jalan di sebelah kanan lebuh raya.


Sumber polis trafik berkata, akibat rempuhan itu, kepala mangsa tersangkut pada besi berkenaan dan terseret hingga lehernya hampir putus akibat terhiris besi itu.


“Mangsa mati di tempat kejadian manakala motosikalnya terseret beberapa meter menyebabkan tunangnya tercampak di atas jalan,” katanya.

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Serdang untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.


Sementara itu, Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Abd Razak Elias ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu.

Katanya, saksi kejadian diminta tampil bagi membantu siasatan berhubung kejadian itu di balai polis berhampiran atau menghubungi Balai Polis Serdang di talian 03-80742222.

Sumber:
hmetro.com.my/articles/Leherdihirispembahagibesijalan/Article


Bas ekspres terbalik


2 Oktober 2012
REMBAU - Sembilan penumpang cedera parah, sementara 19 lagi cedera ringan selepas bas ekspres dinaiki terbalik dan terseret sejauh 30 meter di Kilometer 233.8 Lebuhraya Utara Selatan, arah utara, dekat sini, awal pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 1 pagi itu, bas ekspres yang bertolak dari Johor Bahru dalam perjalanan ke Kuala Perlis itu hilang kawalan selepas dihalang sebuah kereta di hadapannya sebelum terbabas.

Pemandu bas terbabit, Mazlan Mohd Salleh, 51, berkata, dia memulakan perjalanan kira-kira jam 10 malam.

"Bagaimanapun, ketika memandu, ada sebuah kereta jenis Perodua Viva berwarna hitam seolah-olah cuba menghalang perjalanan saya.

“Saya memandu di laluan kiri dan kereta berkenaan juga dipandu perlahan di laluan sama. Saya cuba memotongnya tetapi pemandu kereta terbabit bertindak memasuki laluan saya menyebabkan saya tidak dapat memintasnya," katanya.

Menurutnya, cubaannya untuk memotong kereta dinaiki dua lelaki itu sekali lagi gagal apabila dihalang, malah kereta terbabit secara tiba-tiba menekan brek.

"Saya terpaksa menekan brek mengejut sehingga menyebabkan bas hilang kawalan dan terhuyung-hayang, sebelum terbalik dan terseret kira-kira 30 meter.

“Kejadian berlaku dalam sekelip mata dan saya dengar jeritan penumpang yang ketakutan," katanya yang berpengalaman memandu bas selama 29 tahun.

Mazlan berkata, dia segera memecahkan cermin hadapan bas dan membantu mengeluarkan penumpang yang mengalami kecederaan terlebih dahulu termasuk pemandu keduanya, K Arumugam, 38.

Sementara itu, seorang penumpang, Nurul Rozaima Rolan, 24, berkata, dia terkejut apabila berasakan bas terhuyung-hayang kerana mengelak sesuatu sebelum terbalik.

“Semasa dalam perjalanan, saya tertidur, tetapi terjaga apabila menyedari bas bergegar kuat sebelum terbalik, menyebabkan saya tercampak ke tempat duduk penumpang sebelah kanan dan bertindih dengan penumpang lain.” katanya.

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Alor Gajah, Pemangku Penguasa Bomba, Hairuddin Atan berkata, pihaknya menerima panggilan jam 1.12 pagi.

Menurutnya, enam anggotanya dikerah ke lokasi kejadian dan turut dibantu dua jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Tampin dan Rembau.

“Tiba di lokasi kejadian, sebahagian penumpang masih terperangkap di dalam bas sebelum dibantu keluar menerusi cermin hadapan," katanya.

Sementara itu, Ketua Operasi Jabatan Pertahanan Awam (JPAM) Alor Gajah, Mohd Farid Hasan berkata, sembilan penumpang cedera dan menerima rawatan kecemasan di lokasi kejadian.

“Mereka dihantar ke Hospital Tuanku Ja'afar di Seremban untuk rawatan lanjut menggunakan lima ambulans," katanya.

Sumber:
sinarharian.com.my/semasa/bas-ekspres-terbalik-1.90581


Sunday, September 30, 2012

Pelakon drama maut nahas

Inalillahi wainailaihi rojiun

1 Oktober 2012
KUALA LUMPUR: Dua penunggang motosikal terbunuh dalam kemalangan berasingan di lokasi sama di Kilometer (KM) 5.7, Lebuhraya Persekutuan, berhampiran bangunan Angkasapuri, semalam.

Dalam kejadian jam 7 dan 9 pagi itu, S Nathanraj, 19, dan Muhammad Amirul Mazlan, 19, maut di tempat kejadian selepas cedera parah di kepala dan badan.


Dalam kejadian pertama, Nathanraj yang menunggang Honda Wave dari arah Petaling Jaya menghala ke ibu kota dikatakan dilanggar sebuah kenderaan yang melarikan diri sebelum sebuah kereta melanggarnya.

Jurucakap polis berkata, dalam satu lagi kejadian, Amirul yang juga seorang pelakon drama, menunggang Modenas Elite maut pada jam 9 pagi apabila dipercayai hilang kawalan sebelum motosikalnya merempuh pembahagi jalan.


Al-Fatihah

Sumber:
hmetro.com.my/myMetro/articles/Pelakondramamautnahas/Article/index_html


Tragedi konvoi

Inalillahi wainailaihi rojiun

1 Oktober 2012
NILAI: Kegembiraan seorang remaja menyertai konvoi bermotosikal bersama 70 penunggang berakhir tragedi memilukan apabila dia maut selepas motosikal ditunggangnya terbabas sebelum merempuh pembahagi jalan di Kilometer 275.4, Lebuhraya Utara-Selatan (Plus) arah selatan, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 10.20 pagi itu, mangsa, Muhammad Azlan Mohamad, 17, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Tun Razak, Cheras, maut di tempat kejadian akibat parah di kepala.


Difahamkan, ketika kejadian, mangsa bersama 70 peserta konvoi dipercayai dari arah ibu kota menuju ke Melaka, menaiki motosikal jenis Kawasaki Ninja 150 RR.

Abang mangsa, Muhammad Faizal, 29, berkata, dia dimaklumkan jiran mengenai adik bongsunya itu terbabit dalam kemalangan, jam 12 tengah hari. “Saya terkejut apabila dimaklumkan adik meninggal dunia, malah tidak mengetahui arwah menyertai konvoi bersama rakan lain “Malah, saya dimaklumkan ketika kejadian, arwah ketinggalan di belakang dan ingin mengejar kumpulan konvoi itu sebelum terbabas dan melanggar pembahagi jalan,” katanya ketika ditemui di Bahagian Forensik, Hospital Tuanku Jaafar Seremban (HTJS), di sini, semalam. Jurucakap polis berkata, siasatan awal di tempat kejadian mendapati, mangsa dipercayai gagal mengawal motosikal ketika berada di lorong paling kanan lebuh raya sebelum terbabas dan melanggar pembahagi jalan.


“Akibat rempuhan itu, mangsa dipercayai terpelanting di tengah lebuh raya dan maut di tempat kejadian selepas mengalami kecederaan serius di kepala.


“Sama ada kepala mangsa digilis kenderaan lain atau tidak, ia masih dalam siasatan polis,” katanya. Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1), Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

“Mayat mangsa dihantar ke HTJS untuk dibedah siasat sebelum dituntut ahli keluarga untuk dikebumikan di Bandar Tun Razak,” katanya. Sementara itu, Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Mohd Yusoff Awang ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kes itu. Beliau meminta mereka yang melihat atau mempunyai maklumat mengenai kejadian itu menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Nilai di talian 06-7583222 untuk membantu siasatan.

Sumber:
hmetro.com.my/myMetro/articles/Matiterbabaskejarkonvoi70motosikal/Article/index_html


Rentung depan mata


Inalillahi wainailaihi rojiun

1 Oktober 2012
KOTA TINGGI - Hasrat seorang anggota polis untuk beriadah bersama keluarganya di Tanjung Balau tidak kesampaian apabila rentung dalam kemalangan di Kilometer 11, Jalan Lok Heng-Mawai, pagi semalam.

Menurut Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Che Mahazan Che Aik, dalam kejadian kira-kira jam 9.15 pagi itu, anggota polis terbabit, Daud Talib, 46, yang menaiki sebuah van jenis Nissan bersama isteri, empat anak dan tiga anak saudaranya sedang dalam perjalanan dari Felda Lok Heng Barat menuju ke Tanjung Balau.

Menurutnya, tiba-tiba van yang dipandu hilang kawalan menyebabkan ia bertembung dengan sebuah Proton Saga yang masuk ke laluan bertentangan.

Kereta tersebut dipandu seorang wanita yang merupakan pekerja kilang elektronik bersama anak lelakinya berusia 12 tahun.

“Difahamkan van tersebut terbalik lalu terbakar, mangsa yang tersepit pula gagal diselamatkan dan rentung di tempat kejadian. Isteri, anak serta anak saudaranya berjaya menyelamatkan diri. Sementara itu, pemandu wanita terbabit Adibah Hashim, 48, juga meninggal dunia di tempat kejadian manakala anaknya, Amirul Fahmi Mohd Amin hanya mengalami kecederaan ringan,” katanya.

Che Mahazan berkata, Adibah dikatakan baru sahaja mengambil anaknya di Felda Air Tawar 2 selepas pulang bekerja di Taman Desa Cemerlang, Johor Bahru. Menurutnya, difahamkan kedua-dua beranak itu dalam perjalanan pulang ke rumah mereka di Felda Lok Heng Selatan sebelum terbabit dalam kemalangan.

Kesemua mangsa dibawa ke Hospital Kota Tinggi untuk tindakan lanjut manakala kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.


Nampak ayah tersepit sebelum pengsan

Dalam pada itu, anak anggota polis terbabit, Noraini Shahira Daud, 17, yang turut berada di dalam van ketika kejadian berkata, dia sedang tidur dan hanya sedar apabila berlaku hentakan kuat sebelum melihat asap keluar dari dalam kenderaan.

“Kami dalam perjalanan dari rumah nenek di Felda Lok Heng Barat untuk mandi-manda di Tanjung Balau. Saya tidur ketika itu dan tidak menyedari apa-apa. Apabila sedar dan nampak asap, saya terus menyelamatkan diri bersama yang lain.

“Saya juga dapat melihat ayah dalam keadaan tersepit di dalam van, tetapi semuanya kabur apabila saya pengsan dan hanya sedar apabila tiba di hospital,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Kota Tinggi (HKT), di sini.

Menurut anak kedua dari lima beradik itu, mereka ke Felda Lok Heng Barat untuk melawat nenek yang sedang sakit.


Jumpa isteri satu jam sebelum kejadian

Sementara itu, suami Adibah, Mohd Amin Rahiman, 63, berkata, dia tidak menyangka pertemuan dengan isterinya satu jam sebelum kejadian adalah yang terakhir bagi mereka.

Menurutnya, rancangan untuk mengadakan majlis bacaan Yassin di rumah kedua mereka di Felda Lok Heng Selatan yang dijadual petang ini (semalam) juga terpaksa dibatalkan dan diganti dengan kenduri tahlil.

“Pada pagi kejadian, isteri saya baru pulang bekerja sebelum mengambil anak kami di rumah saya di Felda Air Tawar 2 untuk pulang ke Felda Lok Heng Selatan membuat persiapan kenduri. Dia memang beria-ia nak bawa anak.

“Kira-kira satu jam selepas mereka bergerak, saya menerima panggilan daripada anak saudara yang memberitahu isteri terlibat dengan kemalangan. Saya tidak menyangka yang dia akan pergi selamanya. Namun begitu saya bersyukur kerana anak tunggal kami terselamat dan hanya mengalami kecederaan ringan,” katanya.

Kedua-dua jenazah telah dituntut oleh keluarga masing masing. Jenazah Daud dikebumikan di Kampung Usaha Jaya, Labis, manakala jenazah Adibah dikebumikan di Felda Bukit Ramun.


Al-Fatihah

Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/johor/hajat-beriadah-tak-sampai-1.90295
kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2012&dt=1001&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_08.htm


Terjunam ke dalam parit


1 Oktober 2012
RANTAU PANJANG – Seorang parah manakala lima yang lain cedera dalam kemalangan melibatkan sebuah Persona dan Myvi di Kilometer 6, Jalan Rantau Panjang Pasir Mas, malam kelmarin.

Mangsa yang parah, adalah penumpang bahagian hadapan kereta Proton Persona yang tersepit setelah kereta dinaikinya terjunam ke dalam parit.

Namun, atas kerjasama bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Rantau Panjang serta orang awam, mangsa berjaya dikeluarkan.

Ketua Operasi Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) Unit Rantau Panjang, Lans Koperal Zulilawati Abdullah berkata, panggilan diterima daripada orang awam memaklumkan kejadian itu kira-kira 10.23 malam.

Menurutnya, beliau bersama dua anggota JPAM ke tempat kejadian dan mendapati pemandu Persona, pemandu Myvi dan tiga penumpangnya dikeluarkan lebih awal oleh orang ramai.

“JPAM menghantar kesemua mangsa yang cedera ringan manakala mangsa yang tersepit dibawa ke Hospital Pasir Mas dengan ambulans,” katanya kepada Sinar Harian.

Mangsa yang cedera ringan ialah Mohd Azlan Abd Wahab, 23; Mohd Rozmi Abdullah, 30; Shazrul Zamir Zulkifli, 28; Khaidir Abdullah, 39, dan Mohd Nurzul Hisham Ismail.

Kemalangan ini berlaku tidak jauh dari lokasi seorang wanita dirempuh sebuah lori ketika sedang berniaga buah, Ramadan lalu.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Psir Mas, Asisten Komisioner (ACP) Haliludin Rahim mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian.

Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/kelantan/kereta-terjunam-dalam-parit-1.90263


Terjunam ke pembetung



1 Oktober 2012
ALOR GAJAH - Dua beradik nyaris maut selepas kereta dinaiki mereka hilang kawalan lalu terbabas dan menjunam ke pembetung gara-gara mengelak seekor anak kerbau yang tiba-tiba melintas, semalam.

Dalam kejadian kira-kira 11.30 pagi di Kampung Pematang, Kuala Sungai Baru, di sini, kereta jenis Honda Accord dipandu Khairul Azhar Mokti@Khalid, 29, bersama adiknya, Badrul Izhan, 27, yang dalam perjalanan dari rumah di Tanjung Agas, Port Dickson ke pekan Kuala Sungai Baru, dekat sini untuk membeli barangan keperluan untuk perniagaannya.

Menurut Khairul Azhar, ketika melalui selekoh 'S' dia terkejut apabila tiba-tiba seekor anak kerbau melintas dan dia cuba mengelak ke kanan namun membatalkan hasrat apabila terlihat sebuah lori di laluan bertentangan.

"Disebabkan itu kereta dipandu hilang kawalan dan menjunam ke pembetung,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di lokasi kejadian.

Khairul Azhar berkata, dia bagaimanapun dia bersyukur mereka tidak mengalami sebarang kecederaan serius.

Sementara itu, jurucakap polis trafik ketika dihubungi berkata, pihaknya masih belum menerima sebarang laporan polis mengenai kemalangan, namun difahamkan tiada sebarang kecederaan serius dan kemalangan jiwa dilaporkan setakat ini.

Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/melaka-ns/nyaris-maut-elak-anak-kerbau-melintas-1.90238


Terlanggar anak perempuan 13bulan


Inalillahi wainailaihi rojiun

30 September 2012
PADANG TERAP: “Sedangkan kucing pun kalau boleh kita elak, ini kan pula anak sendiri,” kata Muhammad Uzair Zul, 22, bapa kepada Auni Iylia Aifa, 13 bulan, yang meninggal dunia selepas digilis kereta dipandu bapanya di pekarangan rumah mereka di Felda Lubuk Merbau, di sini, petang kelmarin.


Dalam kejadian jam 6 petang, kanak-kanak terbabit dikatakan bermain di luar kawasan rumahnya yang terletak bersebelahan stesen minyak milik keluarganya sebelum dilanggar oleh kereta dipandu bapanya yang tidak menyedari kehadiran anaknya.


Menceritakan semula kejadian itu, Muhammad Uzair berkata, dia baru pulang dari Sik ketika itu dan tidak menyangka akan melanggar anaknya sebaik selesai mengisi minyak di stesen minyak keluarganya.

“Sebaik mengisi minyak, saya terus memandu sebelum terdengar satu bunyi seperti terlanggar kerusi.


“Saya segera menoleh ke belakang bagi melihat apa yang dilanggar, namun tiada apa berlaku hinggalah terdetik melihat di bawah kereta lalu ternampak tubuh anak saya di bawah kereta dengan kesan darah yang banyak.


“Ketika itu, saya hanya mampu bertakbir dan menjerit namanya dan meminta tolong ahli keluarga yang berehat di rumah,” katanya di rumahnya, semalam.

Dia berkata, ibunya, Jamilah Ahmad, 45, yang berada di dalam rumah ketika kejadian, segera mendukung anaknya menuju ke Klinik Kesihatan Felda Lubuk Merbau, 50 meter dari rumah mereka.


Katanya, anaknya tidak dapat diselamatkan dan disahkan meninggal dunia sejurus selepas itu akibat cedera parah di muka dan kepala.

“Saya terkilan namun menerima takdir ini dengan tabah,” katanya.


Sementara itu, ibu mangsa, Nor Diana Amira Saidin, 20, berkata, anak bongsu daripada dua beradik itu manja dan sentiasa berada dalam kawalannya jika bermain di luar rumah.


Namun, katanya, pada petang kejadian dia tidak menyedari anaknya bermain di luar tanpa dikawal dan kejadian yang berlaku benar-benar di luar dugaan serta menyedihkan mereka sekeluarga.


“Saya meraung bagaikan ‘dirasuk’ selama satu jam sebaik melihat keadaan anak saya yang berlumuran darah sebelum ditenangkan ahli keluarga lain,” katanya.


Tak sedar

Bapa mangsa, Muhammad Uzair Zul, 22, berkata ketika itu, dia baru selesai mengisi minyak dan terus memandu keretanya tanpa menyedari Auni berada di depan kereta.

“Sebaik selesai mengisi minyak saya terus memandu sebelum terdengar satu bunyi seperti saya terlanggar kerusi.

“Saya menoleh ke belakang untuk memastikan apa yang dilanggar tetapi tidak ada apa-apa. Saya keluar dari kereta dan melihat bahagian bawah dan ternampak tubuh anak saya dengan kesan darah yang banyak.

“Saya melaungkan takbir dan menjerit namanya dan meminta tolong ahli keluarga,” katanya ketika ditemui di rumahnya, di sini, semalam.
Muhammad Uzair berkata, ibunya, Jamilah Ahmad, 45, yang berada di dalam rumah berlari keluar lalu mendukung anaknya ke Klinik Kesihatan Felda Lubuk Merbau, kira-kira 50 meter dari rumah mereka tetapi mangsa tidak dapat diselamatkan.

Sementara itu, ibu mangsa, Nor Diana Amira Saidin, 20, berkata, anak kedua daripada dua beradik itu seorang yang manja dan sentiasa dikawal jika bermain di luar rumah.

Namun katanya, pada petang kejadian dia tidak menyedari anaknya bermain di luar dan kejadian yang berlaku benar-benar menyedihkan mereka sekeluarga.

“Apa yang berlaku amat memilukan malah malam sebelum kejadian itu, dia sedikit berbeza apabila mengucup lama kedua-dua pipi saya.

“Walaupun masih tidak percaya apa yang berlaku, namun saya menerima takdir ini,” katanya.

Jenazah Auni dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Felda Lubuk Merbau di sini, kira-kira jam 3 pagi, semalam. 

Al-Fatihah

Sumber:
hmetro.com.my/myMetro/articles/Terlanggaranaksendiri/Article/artikelMA
bharian.com.my/bharian/articles/Bayi13bulanmautdigiliskeretabapa/Article



Warga Emas Maut Dirempuh Mat Rempit


Inalillahi wainailaihi rojiun

30 September 2012
SABAK BERNAM - Seorang warga emas maut manakala cucu saudaranya parah setelah motosikal ditunggangi mereka bertembung sebuah motosikal lain dalam kejadian kira-kira jam 10 malam di Jalan Batu 8, di sini, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintendan Noor Mushar Mohammad berkata, mangsa, Md Nor Husin, 60, maut di tempat kejadian setelah mengalami kecederaan parah di bahagian kepala.

Menurutnya,  warga emas itu yang dalam perjalanan menuju ke rumah anaknya berhampiran kawasan berkenaan bersama cucu saudaranya, Mohamad Aniq Naufal Ismail,6.

“Sebaik tiba di kawasan kejadian, sebuah motosikal lain jenis Yamaha SS ditunggang dua lelaki memasuki laluan bertentangan sebelum bertembung dengan motosikal mangsa

“Pertembungan itu menyebabkan mangsa maut di tempat kejadian berikutan kecederaan parah di kepala manakala cucu saudaranya pula parah di kepala dan badan,” katanya kepada Sinar Harian.

Mushar berkata, dua lagi penunggang motosikal, Mohd Azri Asfar,14, dan Muhamad Azhan Hafizan Mohd Jurini,15, yang mengalami kecederaan parah dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Jemaah (HTAJ).

“Polis akan mengambil keterangan daripada semua mangsa selepas mereka menjalani rawatan bagi membolehkan siasatan dijalankan,” katanya.

Mushar berkata, siasatan awal menunjukkan penunggang bawah umur berkenaan dipercayai membonceng motosikal secara merbahaya sebelum bertembung dengan motosikal mangsa.

Sementara itu, anak mangsa kemalangan itu, Mohd Ezhar Md Noor, 31, berkata, dia mulanya tidak mempercayai mangsa kemalangan adalah bapanya berdasarkan maklumat penduduk.

“Penduduk datang memaklumkan mengenai kejadian dan mereka memberitahu nombor pendaftaran kenderaan salah dan membuatkan saya tidak percaya bahawa mangsa tersebut adalah bapa saya.

“Arwah dalam perjalanan ke rumah saya pada waktu itu mengikut beberapa penduduk, dia dipercayai dilanggar sekumpulan remaja yang sedang berlumba motosikal,” katanya kepada Sinar Harian.

Al-Fatihah

Sumber:
sinarharian.com.my/semasa/maut-dilanggar-geng-lumba-1.89964


Maut bertembung lori balak




Inalillahi wainailaihi rojiun 

30 September 2012
BENTONG - Seorang pelajar tingkatan lima maut manakala rakannya parah dalam kemalangan di Kilometer 17 Jalan Baru Bentong-Raub, dekat sini, kira-kira jam 6.44 pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Abdul Aziz Salleh berkata, kemalangan melibatkan motosikal jenis Honda EX5 yang dinaiki mangsa bersama rakannya yang juga berusia 17 tahun dari arah Bentong ke Raub dengan sebuah lori membawa muatan balak dari arah Raub ke Bentong.

Menurutnya, motosikal yang dinaiki mangsa dan rakannya itu dipercayai terbabas ke kanan jalan sebelum bertembung dengan lori balak yang dipandu seorang lelaki berusia 61 tahun dari arah bertentangan.

“Akibat kejadian itu, mangsa, Mohamad Zaidi Ahmad, 17, yang beralamat di Kampung Pamah Kulat, Ulu Dong, Raub, mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Bentong.

“Manakala rakannya, Mohd Hafifi Jamaludin, 17, dari  Felda Tersang, Raub, dan pemandu lori balak cedera parah di bahagian badan,” katanya kepada Sinar Harian.

Abdul Aziz berkata, kedua-duanya masih dirawat di Hospital Bentong untuk menerima rawatan lanjut.

Menurutnya, mayat mangsa yang meninggal dunia pula dituntut keluarga untuk dikebumikan selepas bedah siasat dijalankan.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan masih diteruskan,” katanya.

Al-Fatihah

Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/pahang/pelajar-maut-rakan-parah-1.89992


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Headlines

FeedBurner FeedCount