loading...

Friday, June 10, 2016

Rentung Kereta Meletup


Labuan: Seorang lelaki dan anak tirinya berusia lima tahun rentung selepas kereta dinaiki mereka tiba-tiba terbakar dan meletup berhampiran sebuah tadika di Jalan Tanjung Bendera di sini, tengah hari tadi.

Dalam kejadian itu jam 12 tengah hari, pemandu Proton GEN2, Yunus Japar, 39, dari Kampung Patau-Patau 2 di sini, dan anak tirinya, Mohammad Darwisy Haiman, ditemui rentung dengan kesan terbakar 90 peratus pada keseluruhan badan.

Difahamkan, kenderaan dinaiki mereka tiba-tiba meletup pada bahagian belakang sebaik melalui lokasi berkenaan menyebabkan cermin kereta bertaburan di atas jalan.

Pemandu itu dipercayai cuba keluar sejurus kemalangan itu namun tidak berjaya sebelum satu lagi letupan berlaku menyebabkan kenderaan itu terbakar dengan kedua-dua mangsa terperangkap.

Usaha orang ramai mengeluarkan mereka juga tidak berjaya sebelum api dipadamkan anggota bomba yang tiba 10 minit kemudian namun tidak sempat menyelamatkan kedua-dua mangsa.

Ketua Polis Daerah Labuan, Superintendan Adzhar Othman, berkata siasatan awal mendapati kenderaan dinaiki kedua-dua mangsa meletup sendiri, namun punca sebenar masih disiasat.

Katanya, mayat kedua-dua mangsa dihantar ke Hospital Labuan untuk bedah siasat sebelum diserahkan kepada ahli keluarga mereka untuk pengebumian. Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.




Tuesday, June 7, 2016

Treler Bawa Kereta Terbalik



Bukit Tagar: Lori pengangkut kenderaan terbalik menyebabkan kereta dibawa terjatuh di Kilometer 421.7 Lebuhraya Utara Selatan di Bukit Tagar-Bukit Beruntung, tengah hari tadi.

Difahamkan dalam kejadian kira-kira 12 tengah hari itu, lori berkenaan membawa empat kereta.

Bagaimanapun ketika tiba di lokasi kenderaan itu dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas ke laluan bertentangan.

Jurucakap Projek Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) Berhad berkata, kejadian itu menyebabkan kesesakan kira-kira lima kilometer terutama dari arah utara ke selatan.

Menurutnya, hanya dua lorong boleh digunakan termasuk lorong kontra sementara kerja pengalihan dan pembersihan dilakukan.

Katanya, kenderaan yang terbabit kemalangan itu melintang di laluan bertentangan dan kereta yang dibawa terjatuh.

Namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan manakala pemandu lori terbabit tidak mengalami kecederaan.

"Tiada kenderaan lain terbabit dalam kemalangan itu," katanya.

Sementara itu jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor berkata, pihaknya tidak menerima sebarang panggilan berhubung kejadian itu.



Sumber :
http://www.hmetro.com.my/node/143352


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Headlines

FeedBurner FeedCount

Blogged.my