loading...

Saturday, August 18, 2012

38 laluan maut


18 Ogos 2012 
IPOH – Sebanyak 38 lokasi panas di sekitar negeri ini dikenal pasti sebagai laluan maut apabila dikesan sering meragut nyawa pengguna jalan raya.

Antara laluannya ialah Jalan Ipoh-Lumut, Jalan Ipoh-Simpang Pulai, Jalan Teluk Intan-Hutan Melintang, Jalan Teluk Intan-Bidor, Jalan Sitiawan-Teluk Intan, Jalan Ipoh-Kuala Lumpur, Jalan Pengkalan Hulu-Gerik dan Jalan Ipoh-Gerik.

Turut dikenal pasti ialah Jalan Ipoh-Butterworth, Jalan Ipoh-Gerik dan Jalan Raya Timur Barat terutama di Kilometer 29-33.8 (Bukit Jala dan Pukat berhampiran Kem Tentera), Kilometer 47-48 Rancangan Penempatan Semula Air Banun dan Kilometer 55-56 jalan sama.

Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Shukri Dahlan berkata, semua laluan berkenaan dikenal pasti melalui rekod kemalangan yang dicatatkan pada tahun-tahun sebelumnya.

Menurutnya, aliran trafik dijangka sesak sepanjang tempoh cuti perayaan ini, justeru  pengguna jalan raya yang bercadang untuk pulang beraya dinasihatkan supaya berhati-hati melalui lokasi tersebut.

“Sepanjang laluan berkenaan, kita menyediakan kanopi bagi menempatkan anggota dan pegawai yang bertugas bagi mengurangkan kesesakan berlaku.

“Bagaimanapun, kita meminta kerjasama orang ramai terutama pengguna jalan raya supaya mematuhi peraturan lalu lintas serta berhati-hati dalam perjalanan bagi mengelak sebarang risiko kemalangan,” katanya.

Katanya, sejumlah 940 anggota dan pegawai polis dari Kontinjen Perak akan bertugas sepanjang Ops Selamat dijalankan antara 12 hingga 26 Ogos ini.

“Dalam pada itu, seramai 360 anggota dan pegawai trafik akan bertugas setiap hari membabitkan 60 kenderaan peronda polis yang melakukan pemantauan lalu lintas di sepanjang laluan di lebuh raya, jalan persekutuan dan bandaran bagi mengurangkan kesesakan.

“Kami juga akan bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan dan Jabatan Kerja Raya untuk meminimumkan penggunaan lampu isyarat.

“Beberapa kawasan lampu isyarat akan diletakkan dalam keadaan kuning dan kenderaan diminta memperlahankan pemanduan mereka. Penggunaan lampu isyarat merah tidak digunakan bagi mengelak kesesakan serius.

“Bagaimanapun, kita akan meletakkan anggota bertugas di kawasan berkenaan bagi mengelakkan kemalangan atau kesesakan,” katanya.

Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/perak/38-laluan-maut-dipantau-1.77594


Friday, August 17, 2012

Rentung dalam pertembungan


BALING- Seorang lelaki India rentung di bahagian tempat depan penumpang setelah kereta yang dinaikinya terbakar  setelah merempuh sebuah kereta dari arah bertentangan di Jalan Lata  Bayu Asam Jawa, Mukim Pulai kira-kira jam 2 petang, kelmarin.

Mangsa, P Vikneswara, 23, dari Ladang S.I.M.G Sungai Toh, Bedong gagal menyelamatkan diri dalam kebakaran kereta itu setelah kakinya tersepit.

Manakala, pemandu dan seorang lagi penumpang kereta terbabit sempat keluar dari kenderaan tersebut dan hanya mengalami kecederaan ringan.

Ketua Polis Daerah Baling, Superintendan Mat Daud Mat Hassan berkata, kenderaan mangsa  dikatakan terhoyang-hayang sebelum merempuh sebuah kereta di hadapannya.

“Keadaan itu mengakibatkan kenderaan mangsa berpusing dan seterusnya merempuh pembahagi jalan di kawasan tersebut sebelum terbakar,” katanya kepada Sinar Harian.

Api kenderaan yang terlalu marak menggagalkan penduduk setempat untuk membantu mengeluarkan mangsa selain risau berlakunya sebarang letupan.

Sehubungan itu, Jabatan Bomba dan Penyelamat Baling dikerahkan di tempat kejadian.

Mereka mengambil masa kira-kira setengah jam untuk memadam kebakaran selain mengeluarkan mayat mangsa yang tersepit.

Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/utara/kereta-rempuh-kereta-seorang-rentung-1.77617


Tragedi Aidilfitri


Inalillahi wainailaihi rojiun

17 Ogos 2012
KUALA LUMPUR: Lapan maut dan 22 lagi cedera dalam tiga kemalangan berasingan di Lawas, Sarawak; Kinabatangan, Sabah dan Kuala Krai, Kelantan - tragedi yang lazimnya berlaku menjelang Aidilfitri.

Di Lawas, keriangan membeli-belah pada saat akhir menyambut lebaran buat 12 bersaudara berakhir apabila lima dari mereka maut selepas van sapu yang dinaiki terbabas di Kilometer 5, Jalan Sundar-Trusan, petang kelmarin.

Mereka yang maut dalam kejadian pada jam 5.50 petang itu, dua beranak, Maria Awang, 37, dan anaknya yang juga pelajar Politeknik Kuching, Khairulnisa Najwa Omar, 18, manakala bapanya, Omar Abdul Rahman, 40, cedera parah dan dirawat di Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu.

Turut meninggal dunia akibat kecederaan parah di kepala dan dada ialah pemandu van, Mohammad Tasia, 45, serta dua penumpang lain, Nurzaimah Mohd Taib, 12, dan Nurulhusnah Ezati Imra, 17.

Di Kinabatangan, perjalanan 10 jam untuk pulang ke kampung menyambut Aidilfitri bertukar tragedi dengan tiga penumpang maut, manakala tiga lagi parah apabila bas ekspres dinaiki terbabas dalam kemalangan di Kilometer 121 Jalan Sandakan-Lahad Datu di sini, awal semalam.

Dalam kejadian jam 2.50 pagi itu, pemandu bas ekspres dari Kota Kinabalu ke Tawau itu dipercayai gagal mengawal kenderaannya selepas memintas sebuah kenderaan lain sebelum berpusing beberapa kali lalu terbalik.
Kemalangan berlaku ketika cuaca hujan dan bas dilaporkan dipandu laju. Bas berkenaan bertolak dari Terminal Bas Bandaraya Utara, Inanam kira-kira jam 8 malam kelmarin dan sepatutnya tiba di Tawau jam 6 pagi.

Ia membawa 31 pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) cawangan Kota Kinabalu, tujuh orang awam, seorang pemandu dan dua pembantu pemandu.

Mangsa yang maut dikenali sebagai Usman Sulaiman, 46, dari Kampung Sungai Tongkang, Tawau; Jabar Maidin, 54, dan Piyan Ardian Shah Osman, 23. Mayat dihantar ke Hospital Kinabatangan untuk bedah siasat.

Penumpang yang cedera parah dikenali sebagai Freddie Mandalis, 20; Beneditus Pogu, 27; dan Rahamiti Nurdin, 35, yang menerima rawatan di Hospital Duchess Of Kent, Sandakan.

Sementara itu di Kuala Krai, 10 penumpang dan dua pemandu dalam perjalanan dari Kota Bharu ke Gua Musang hampir maut apabila bas dinaiki terbabas dan berpusing tiga kali sebelum jatuh ke tepi cerun, dipercayai untuk mengelak kenderaan pacuan empat roda dari arah bertentangan, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 7.30 pagi di Kilometer 119, Kota Bharu-Gua Musang, pemandu utama bas berkenaan, Raja Mohd Adli Raja Ibrahim, 38, tercampak keluar, manakala penumpang lain mengalami kecederaan pada bahagian badan, muka serta kaki, dan dikejarkan ke Hospital Kuala Krai.

Difahamkan bas Transnasional berkenaan disewa khas untuk membawa kakitangan awam iaitu Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (KESEDAR), Jabatan Kerja Raya (JKR), dan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) itu bergerak dari Kota Bharu pada jam 5.45 pagi menuju ke Gua Musang.

Al-Fatihah

Sumber:
bharian.com.my/bharian/articles/8mautmenjelangraya/Article/



Pelajar SMK Tengku Suleiman Maut


Inalillahi wainailaihi rojiun

17 Ogos 2012
PADANG BESAR – Seorang pelajar sebuah sekolah menengah dekat sini maut apabila cubaannya memotong sebuah motosikal gagal lalu terbabas di laluan bertentangan sebelum dilanggar sebuah motosikal lain, pagi semalam.

Mangsa, Muhamad Hazwa Faiz Saad, 17, dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tengku Suleiman dikatakan terlibat dalam kemalangan di kilometer 12 , Jalan Kangar-Padang Besar ketika dalam perjalanan pulang dari sekolah.

Ketua Polis Daerah Padang Besar, Superintendan Che Man Md Dros berkata, mangsa dipercayai cuba memotong sebuah motosikal yang hendak membelok ke taman perumahan berhampiran di seberang jalan sebelum motosikalnya dirempuh dan mangsa terbabas.

Menurutnya , Muhamad Hazwa yang terjatuh di laluan bertentangan kemudiannya dilanggar oleh seorang penunggang motosikal warga emas yang datang dari arah Padang Besar.

“Akibat kecederaan serius di kepala, Muhamad Hazwa maut di tempat kejadian dan mayat mangsa dibawa ke Hospital Tuanku Fauziah (HTF) untuk bedah siasat,” katanya.

Sementara itu, rakan mangsa, Mohd Azrul Aziz, 17, berkata, semasa dia berjumpa arwah kali terakhir sebelum kejadian mangsa tidak menunjukkan sebarang perubahan dan berkelakuan seperti biasa.

“Arwah memang seorang yang banyak bercakap, semasa saya berbual dengannya buat kali terakhir, dia tidak menunjukkan sebarang perubahan yang menandakan dia akan pergi meninggalkan kami buat selama-lamanya.

“Kami baru sahaja selesai menduduki peperiksaan percubaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) Rabu baru-baru ini, tidak sangka dia pergi dulu sebelum sempat menghabiskan peperiksaan sebenar,” katanya.

Al-Fatihah

Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/utara/remaja-tingkatan-lima-maut-setelah-dirempuh-motosikal-1.77401




Pelajar SMKPC 1 Maut

Inalillahi wainailaihi rojiun

17 Ogos 2012
KOTA BHARU - Tidak sampai sejam operasi yang dijalankan Jabatan Pengangkutan Jalan Raya (JPJ) bersama beberapa agensi penguat kuasa di laluan Chica-Kubang Kerian, seorang remaja maut dalam kemalangan malam kelmarin.

Lebih menyayat hati, kematian remaja terbabit turut diratapi ahli keluarganya, termasuk ayah mangsa yang turut berada di tempat kejadian selepas menerima berita terbabit dari kenalan terdekat.

Kelihatan adik beradik mangsa serta bapanya, menangis melihat mayat mangsa yang terbujur kaku di atas jalan dengan dipenuhi darah di atas jalan raya.

Kejadian kira-kira jam 10 malam, di jalan Pengkalan Chepa-Kota Bharu itu, menyebabkan remaja berkenaan maut serta merta selepas dikatakan gagal mengelak sebuah kenderaan jenis Honda, dari laluan bertentangan.

Mangsa, Tuan Faiz Tuan Hamzah, 14, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Pengkalan Chepa 1, (SMKPC 1) yang datang dari Jalan Sabak hilang kawalan dan terbabas, lalu melanggar kereta terbabit dari arah Kota Bharu, ketika kenderaan itu masuk ke Simpang Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra.

Menurut abang mangsa, Tuan Fizi, 22, adiknya keluar rumah selepas berbuka puasa ke pusat kafe siber berhampiran kawasan Sabak.

“Saya hanya mengetahui adik terlibat dalam kemalangan selepas seorang kenalan abang (Tuan Faizal, 33) menelefonnya.

“Selepas itu kami bergegas ke tempat kejadian dan terkejut apabila melihat mayat adik penuh dengan darah di bahagian kepala,” katanya.

Fizi berkata, Allahyarham Faiz, merupakan anak ke 10 dari 12 beradik, merupakan seorang yang rapat dengan keluarga dan pemergiannya amat dirasai lebih-lebih lagi menjelang sambutan Aidilfitri yang hanya tinggal dua hari lagi.

“Sambutan Aidilfitri pada tahun ini tidak bermakna, memandangkan keluarga masih bersedih dengan kejadian yang menimpa adik.

“Apa pun kami reda dengan kejadian ini dan mengharapkan agar rohnya ditempatkan dalam kalangan golongan yang beriman,” katanya.

Sementara itu Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Azham Othman mengesahkan menerima laporan, beliau berkata mayat mangsa dibawa ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) untuk dibedah siasat sebelum dituntut keluarganya.

“Kes disiasat di bawah seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.

Al-Fatihah

Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/kelantan/remaja-maut-dirempuh-honda-1.77419

Bas Ekspres Terbabas Dalam Gaung



17 Ogos 2012 
GUA MUSANG - Lapan kakitangan awam dan dua pemandu bas ekspres nyaris maut apabila bas dinaiki mereka terbabas lalu terhumban ke dalam gaung di Kilometer 57, Jalan Gua Musang-Kuala Krai, dekat Sungai Lakit, di sini, awal pagi semalam.


Kejadian kira-kira 7.30 pagi itu membabitkan sebuah bas yang disewa khas bagi membawa kakitangan awam sedang dalam perjalanan dari Kota Bharu ke Gua Musang.

Nahas menyebabkan kakitangan Jabatan Kerja Raya (JKR) Gua Musang, Mohd Suhaimi Abdullah, 54, patah paha kiri manakala pemandu pertama, Raja Mohd Adli Raja Ibrahim, 37, cedera di belakang badan selepas tercampak keluar.

Pemandu kedua dan lima kakitangan awam dari beberapa agensi kerajaan seperti Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar) dan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Gua Musang bagaimana pun hanya cedera ringan.

Raja Mohd Adli ketika ditemui di Hospital Kuala Krai berkata, kejadian berlaku apabila dia gagal mengawal bas itu selepas cuba mengelak sebuah Toyota Hilux yang memotong dari arah bertentangan.

“Pada masa sama, sebuah kereta di belakang bas juga cuba memotong. Saya terkejut, jadi cuba elak dan jatuh ke kaki lima jalan sebelum bas berpusing lalu terbalik dan menggelongsor ke dalam gaung,” katanya kepada pemberita.

Menurutnya, kejadian menyebabkan bahagian belakangnya sakit selepas tercampak keluar dari bas dan terpaksa dibantu orang ramai kerana tidak boleh bangun.

“Saya tidak tahu tercampak keluar ikut mana, sedar-sedar saya sudah ada di luar dan terbaring rapat dengan bas,” katanya yang memandu bas sewa khas itu sejak lapan tahun lalu.

Raja Mohd Adli berkata, dia bersyukur kerana kemalangan berlaku ketika bas tidak penuh kerana ramai kakitangan awam terutama guru yang menggunakan khidmat bas sewa khas itu bercuti.

“Saya bersyukur penumpang tidak ramai. Selalunya penuh 40 penumpang tetapi hari ini (semalam) ramai terutama guru sudah ambil cuti raya. Kalau tidak, keadaan mungkin lebih buruk,” katanya.

Mohd Suhaimi pula berkata, paha kirinya patah selepas terhantuk pada kerusi ketika bas terhumban ke dalam gaung dan bahagian belakang kenderaan itu menggelongsor ke bawah.

“Masa bas terbalik, saya terjatuh dari kerusi dan semua penumpang tercampak ke kerusi belakang kerana belakang bas dulu menggelongsor ke bawah.

“Nak buat macam mana, nampaknya Aidilfitri kali ini saya terpaksa berhari raya di hospital,” katanya yang berulang alik ke tempat kerja di Gua Musang dengan bas sewa khas itu sejak tujuh tahun lalu.

Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Saiful Bahri Abdullah berkata, nahas dipercayai berlaku ketika lapan penumpang termasuk seorang wanita sedang nyenyak tidur selepas berlepas dari ibu negeri ini kira-kira jam 6 pagi.

Katanya, siasatan awal polis tidak menolak kemungkinan bas itu hilang kawalan hingga menyebabkannya terbabas sebelum terhumban ke dalam gaung.

“Kejadian bagaimanapun tidak menyebabkan kerosakan teruk dan hanya dua orang sahaja mengalami kecederaan. Seorang patah paha manakala pemandu cedera di belakang.

“Kita masih menjalankan siasatan dan akan merekodkan kenyataan pemandu serta penumpang selepas ini. Kemalangan disiasat mengikut Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu dengan tidak cermat dan tidak bertimbang rasa,” katanya.

Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/kelantan/bas-masuk-dalam-gaung-1.77365


Wednesday, August 15, 2012

Ops Selamat: JPJ Pantau 150 lokasi Kemalangan

15 Ogos 2012

KUALA LUMPUR: Sekurang-kurangnya 6,000 anggota keselamatan termasuk polis trafik dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan bertugas sepanjang Ops Selamat, termasuk memantau 150 lokasi yang sering berlaku kemalangan atau dikenali sebagai ‘black spot’ di seluruh negara.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar, berkata Polis Diraja Malaysia (PDRM) menetapkan kehadiran polis menerusi konsep ronda dan statik di lokasi berkenaan bagi memastikan keselamatan pengguna jalan raya sepanjang tempoh dua minggu operasi dijalankan.


“Konsep berkenaan membabitkan pendekatan menggunakan kanopi di kawasan Rawat dan Rehat ( R&R) dan hentian sebelah lebuh raya sebagai tempat pertemuan petugas polis trafik dan lain-lain agensi berkaitan seperti JPJ dan Jabatan Bomba dan Penyelamat.

“Pada masa sama, kanopi di kawasan berkenaan juga dijadikan pusat sumber maklumat asas bagi pengguna jalan raya yang menghadapi masalah ketika dalam perjalanan,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Pelancaran Op Selamat di Shah Alam.


Menurutnya, objektif utama Op Selamat siri pertama yang bertemakan ‘Rumah Selamat, Selamat Sampai ke Destinasi’ adalah untuk memberi kesedaran serta menanam nilai murni kepada pengguna jalan raya, supaya sentiasa mengutamakan aspek keselamatan ketika memandu, di samping meninggalkan rumah dalam keadaan selamat apabila pulang ke kampung halaman masing-masing. Katanya, bagi kawalan di kawasan perumahan, PDRM menggunakan kekuatan sedia ada di setiap daerah kerana hanya 10 peratus anggota dan pegawai dibenar bercuti pada Aidilfitri kali ini.


Sementara itu, Ketua Pengarah JPJ, Datuk Solah Mat Hassan pula berkata, pihaknya meneruskan taktik menyamar sebagai penumpang bagi memastikan pemandu bas ekspres tidak melakukan kesalahan yang membahayakan nyawa sepanjang tempoh berlangsungnya Op Selamat.

Menurutnya, jika PDRM mempunyai 150 ‘black spot’ untuk dipantau, JPJ pula mempunyai 89 lokasi kemalangan bas di seluruh negara yang dikenal pasti.


“Sepanjang tempoh Op Selamat kali ini, 1,800 anggota dan pegawai ditugaskan di lokasi strategik, sekiranya pemandu melakukan kesalahan, kami terus ‘datang’ kepada mereka, kerana melalui cara ini, pemandu lebih beringat dan berhati-hati sewaktu musim perayaan. “Anggota dan pegawai JPJ juga ditempatkan di 32 terminal bas di seluruh negara untuk melakukan pemeriksaan terhadap brek dan tayar, jika dua perkara itu tidak menepati piawai, syarikat bas perlu menggantikannya sebelum dibenarkan memulakan perjalanan,” katanya.

Sepanjang tempoh dua minggu operasi dijalankan yang bermula Ahad lalu, orang ramai boleh menghubungi talian bebas tol Op Selamat 1800 88 1412 yang beroperasi 24 jam untuk melaporkan sebarang kesesakan trafik, kemalangan jalan raya, mendapatkan sebarang bantuan dan laporan trafik serta melaporkan sebarang kejadian jenayah terutama pecah rumah.

Sumber:
hmetro.com.my/myMetro/articles/150lokasimaut/Article/index_html


2 sahabat maut rempuh tiang elektrik


15 Ogos 2012
BEHRANG - Kegembiraan empat sahabat pulang ke Teluk Intan berakhir apabila dua daripada mereka maut setelah kenderaan dinaiki terbabas merempuh tiang elektrik di Kilometer 114.5 Tanjung Malim-Ipoh, berhampiran dengan Behrang Station, di sini, awal pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 7.15 pagi itu, kedua-dua mangsa, Goh Chee Eng, 22 dan Ong Min Chu, 32, yang berasal dari Teluk Intan maut setelah mengalami kecederaan parah di bahagian kepala.

Ketua Polis Daerah Tanjung Malim, Superintendan Othman Nanyan berkata, mangsa menaiki kereta jenis Toyota Vios yang dipandu  Min Chu dari arah Tanjung Malim ke Slim River.

Menurutnya, mangsa gagal mengawal kenderaan menyebabkannya dan penumpang tempat duduk depan maut di tempat kejadian.

“Setiba di tempat kejadian, kereta yang dipandu mangsa dikatakan gagal dikawal sebelum terbabas ke bahu jalan dan merempuh tiang elektrik.

“Kereta terbabit remuk teruk mengakibatkan kedua-dua mangsa tersepit dan maut di tempat kejadian.

"Manakala seorang rakan mangsa cedera parah di dada dan seorang lagi hanya mengalami cedera ringan di dahi," katanya kepada Sinar Harian ketika dihubungi di sini, semalam.

Othman berkata, mayat kedua-dua mangsa dibawa ke Hospital Slim River untuk dibedah siasat sebelum dituntut ahli keluarga mereka.

"Dua lagi rakan mangsa turut dikejarkan di hospital yang sama untuk mendapatkan rawatan.

“Pihak kami masih menjalankan siasatan bagi mengenal pasti punca kejadian dan siasatan dijalankan di bawah Sekyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/perak/dua-sahabat-maut-1.76820


Tuesday, August 14, 2012

Putus Dua


15 Ogos 2012
KULIM - Seorang lelaki berusia 30an cedera parah di bahagian muka dan badan apabila motosikal jenis Honda EX5 yang ditunggangnya dirempuh sebuah kereta jenis Proton Saga kira-kira jam 7.10 petang, kelmarin.

Ketua Trafik Kulim, Asisten Superintendan Ismail Ayob berkata, mangsa yang datang dari arah Taman Cengal menuju ke lampu isyarat Taman Selasih dipercayai dalam perjalanan balik ke rumah, manakala kenderaan yang merempuhnya datang dari arah Taman Selasih menuju ke Taman Lembah Impiana.

Menurutnya, akibat rempuhan kuat itu,  motosikal mangsa putus dua dan mangsa terhumban kira-kira dua meter sebelum dipindahkan oleh orang ramai yang berada di tempat kejadian.

"Mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Kulim untuk mendapatkan rawatan kecemasan. Saya menasihatkan semua pemandu yang menggunakan Jalan Perusahaan supaya lebih berhati-hati dan mengurangkan kelajuan mereka apabila menuruni bukit di Taman Lembah Impiana.

"Ini kerana kemalangan sering dilaporkan berlaku di situ. Masalah ini berlaku apabila kenderaan yang datang dari arah Taman Selasih dan ingin membelok ke Taman Lembah Impiana tidak melihat kenderaan yang datang dari arah bertentangan,” katanya.

Penduduk,  Norizzal Mat Saad berkata, pihak berkuasa seharusnya memikirkan cara terbaik untuk memastikan keselamatan pengguna jalan raya terutama di simpang masuk ke Taman Lembah Impiana lebih terjamin.

Menurutnya, sehingga kini beberapa kemalangan berlaku sehingga mengakibatkan mangsa mengalami cedera parah. Selain itu simpang itu juga akan menjadi lebih sibuk apabila waktu puncak yang mana ia banyak digunakan pelajar sekolah.

“Saya faham sukar bagi Majlis Perbandaran Kulim Kedah untuk menyediakan lampu isyarat kerana terdapat lampu isyarat di persimpangan Taman Selasih dan simpang masuk ke pasaraya Tesco.

"Bagaimanapun masalah ini harus ditangani kerana setiap minggu pastinya akan berlaku kemalangan, " katanya.

Menurutnya, antara punca berlakunya kemalangan di kawasan itu adalah disebabkan sikap pemandu yang sering memandu laju apabila menuruni bukit berhampiran Taman Lembah Impiana.

"Selain itu, pengguna jalan raya dari arah Taman Selasih seharusnya memberi laluan kepada kenderaan yang melalui jalan lurus. Walau apa sahaja alasan atau cadangan yang kita buat, saya merasakan sikap pemandu harus lebih berhati-hati,” katanya.

Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/utara/motosikal-putus-dua-1.76752


Pelajar Kolej Komuniti Mahsan Maut



Inalillahi wainailaihi rojiun

15 Ogos 2012
 JEMPOL - Hasrat seorang pelajar Kolej Komuniti, Mahsan di sini untuk menyambut lebaran beberapa hari lagi tidak kesampaian setelah terlibat dalam kemalangan membabitkan lori muatan kertas kitar semula di Kilometer dua jalan Bahau-Kemayan, malam kelmarin.

Ketua Polis daerah, Superitendan Hamzah Alias berkata, mangsa, Hamizi Jaafar, 18 menunggang motosikal jenis Honda Wave bersama rakannya menuju ke Mahsan selepas membeli-belah di pekan Bahau.

“Namun, sebaik tiba di lokasi kejadian pada kira-kira jam 9.40 malam, mangsa dipercayai memotong sebelah lori kontena muatan kertas kitar semula melalui laluan kiri, juga dari arah sama.

“Setelah memotong, motosikal mangsa tersasar sehingga masuk ke bahu jalan laluan sama, kemudian cuba naik semula ke atas jalan, tetapi hilang kawalan.

“Susulan itu, rakan mangsa terjatuh atas jalanraya namun sempat lari ke tepi jalan manakala mangsa tercampak ke laluan bertentangan,” katanya ketika mengesahkan kejadian itu, semalam.

Sementara itu, Hamzah berkata, pemandu lori berkenaan yang berumur, 40-an cuba mengelak daripada melanggar mangsa sehingga ke laluan bertentang dan beranggapan mangsa terjatuh di laluan asal.

“Namun pemandu lori itu tidak menyangka mangsa berada di laluan bertentangan menyebabkan separuh daripada badan mangsa tergilis.

“Mangsa cedera parah dan maut di tempat kejadian, manakala rakannya mengalami cedera ringan.

“Siasatan terperinci berhubung insiden ini masih dijalankan dan saksi yang melihat kejadian diminta tampil menyalurkan maklumat bagi membantu siasatan kes di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 ini,” katanya.

Difahamkan, mayat mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Jempol untuk bedah siasat sebelum dituntut keluarganya tengah hari semalam dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam, Melaka.

Sementara itu, rakan mangsa, Farid Zuan Munef, 18 berkata, mangsa sempat membeli kemeja warna hitam di pekan Bahau.

“Malam sebelum kejadian, Hamizi memberitahu mahu ke pekan untuk beli baju raya. Jadi saya teman dia dan keluar selepas waktu berbuka,” katanya yang turut melahirkan rasa sedih susulan tidak dapat selamatkan rakannya itu.

Al-Fatihah

Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/melaka-ns/mangsa-sempat-beli-baju-raya-1.76776



Terjunam gaung 60 kaki


15 Ogos 2012
REMBAU – Dua maut dalam dua kemalangan di dua lokasi berasingan, di sini, malam kelmarin.

Jurucakap polis berkata, kejadian pertama kira-kira jam 7.15 malam membabitkan sebuah kereta jenis Toyota Altis, di Kilometer 232.9, Lebuhraya Utara Selatan (arah Utara) yang terbabas ke kiri jalan lalu terjunam ke dalam gaung sedalam 60 kaki.

Menurutnya, dalam kejadian berkenaan, S. Lekshmy, 64, dari Taman Abad, Johor Bahru maut di tempat kejadian, manakala dua lagi iaitu seorang anak dan menantunya, N. Esvaran, 31, dan M. Sharmala, 27, cedera parah dan dikejarkan ke Hospital Tuanku Jaafar (HTJ) Seremban.

“Kedua-dua mangsa iaitu pasangan suami isteri kini masih di HTJ bagi rawatan lanjut susulan kecederaan parah yang dialami. Manakala, mangsa yang maut merupakan warganegara Singapura dihantar ke Hospital Tampin (HT) bagi bedah siasat,” katanya.

Sementara itu, anak mangsa, Sonia, 36, berkata, dia dan ibunya tinggal serumah dan kali terakhir mereka berjumpa sekitar jam 3 petang pada hari sama.

“Masa itu ibu dengan gembiranya memberitahu saya ‘I’m going to holiday...a long holiday...’.  Saya hanya mendengarnya dan tidak beranggapan buruk kerana ibu ingin melawat abangnya di Klang, Selangor.

Abang sulong mangsa, S. Milevaganan, 68, berkata, dipercayai, ketika kejadian, mangsa sedang menuju ke rumahnya memandangkan mangsa sudah hampir 34 tahun tidak datang menjenguknya di Klang, Selangor.

“Sebelum ini, adik pernah memberitahu seorang ahli keluarga yang lain untuk menjenguk saya, namun, saya sebenarnya tidak mengetahui mangsa sedang menuju ke rumah saya pada hari kejadian.

Dalam pada itu, dalam kejadian kemalangan kedua membabitkan penunggang serta pembonceng motosikal jenis Honda EX5 dan sebuah lori di kilometer 15, Jalan Tampin-Seremban, berdekatan Pedas.

“Dalam kejadian kira-kira 9.40 malam itu, penunggang motosikal, Mohd Fakrul Anuar Zaharudin, 18, berasal dari Rantau mengalami kecederaan parah dan dikejarkan ke HTJ bagi rawatan lanjut.

“Mangsa disahkan meninggal di HTJ kira-kira jam 12.20 tengah malam. Manakala, pembonceng motosikal yang mengalami kecederaan ringan di bawa ke Klinik Kesihatan Rembau dan dirawat sebagai pesakit luar.

Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/melaka-ns/ibu-mahu-bercuti-panjang-1.76771


Tersepit dengan kehangatan cili giling


15 Ogos 2012
 KAMPUNG TENGKAWANG - Seorang pemandu van bukan sahaja menahan kesakitan akibat tersepit di tempat duduk pemandu, tetapi dia juga terpaksa menahan ‘kehangatan’ cili giling hampir satu jam setelah kenderaan dipandunya terlibat dalam kemalangan, di sini, pagi semalam.

Bagaimanapun, azab dihadapi Abd Rahman Ibrahim yang terlibat dalam kemalangan kira-kira jam 9.45 pagi di hadapan Sekolah Kebangsaan Tengkawang itu berakhir apabila dia berjaya dikeluarkan anggota bomba dan penyelamat dari Balai Kuala Berang.

Difahamkan, kejadian dipercayai berlaku apabila van berisi muatan cili giling dipandu mangsa daripada arah Kuala Berang ke Sungai Tong itu merempuh sebuah lori tiga tan yang ketika itu ingin membelok ke kanan memasuki sebuah lorong.

Rempuhan menyebabkan mangsa tersepit susulan van itu remuk teruk dibahagian hadapan, selain puluhan bungkusan cili giling pecah serta bertaburan atas jalan raya sebelum mangsa berjaya dikeluarkan.

Ketua Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Berang, PBK II Mohd Pitter Tengah berkata, menaiki sebuah jentera dengan enam anggota, pihaknya bergegas ke lokasi sebaik menerima maklumat kejadian jam 9.50 pagi.

"Ketika sampai, mangsa didapati tersepit di tempat duduk pemandu selain kedua-dua kakinya juga tersepit.

"Operasi mengeluarkan mangsa daripada kenderaan mengambil masa 25 minit," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian yang turut menarik perhatian orang ramai termasuk pengguna jalan raya serta komuniti setempat.

Tinjauan mendapati, puluhan cili giling pecah bertaburan atas jalan raya dan di bahagian hadapan van dinaiki mangsa, namun lalu lintas lancar dengan bantuan anggota trafik dari IPD Hulu Terengganu walaupun laluan menghala ke Sungai Tong ditutup sementara.

Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/terengganu/sejam-tahan-azab-pijar-cili-1.76796


Pelajar SMK Padang Temu Maut


Inalillahi wainailaihi rojiun

15 Ogos 2012
 AYER KEROH - "Sebelum keluar, ibunya ada berikan RM50 untuk beli baju raya," kata Sharif Kaseh, 46, bapa kepada mangsa kemalangan maut di Lebuh Ayer Keroh, berhampiran Hospital Pantai, di sini, malam kelmarin.


Menurut Sharif, anaknya, Muhammad Nazhif Sharif, 17, mengambil duit berkenaan bagi membeli baju raya ganti, selepas baju yang dibelikan sebelum ini diserahkan kepada adiknya.

"Sebelum kejadian, arwah ada pulang ke rumah untuk menghantar barangan dan kad tambah nilai yang dikirimkan ibunya. Namun, dia keluar semula secara tergesa-gesa kira-kira 9 malam tanpa memberitahu hendak ke mana," katanya.

Bagaimanapun, katanya,  dia percaya anaknya itu mahu membeli baju raya lain kerana sebelum keluar, isterinya, Yatimah Yusoff, 43, ada menghulurkan wang RM50.

"Ia bagi menggantikan baju  raya baru yang diberikan kepada adiknya sebelum ini selepas  baju yang dibelinya itu sempit dan tidak muat kerana badannya besar,” katanya ketika ditemui perkarangan Jabatan Forensik, Hospital Melaka, di sini, semalam.

Menurut Sharif, anaknya merupakan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Padang Temu, di sini dan bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) hujung tahun ini

Dalam  kejadian kira-kira 10 malam itu, Muhammad Nazhif maut selepas diseret kira-kira 50 meter.

Motosikal jenis Yamaha SS yang ditunggangi mangsa dikatakan melanggar bahagian belakang sebuah kereta sebelum terjatuh, lalu diseret treler membawa muatan mozek yang datang dari arah sama.

Akibat kemalangan itu, Nazhif yang cedera di kepala dan badan maut di tempat kejadian, manakala dua rakannya yang menunggang sebuah motosikal lain dan turut terlibat apabila melanggar  sebuah kereta jenis Proton Wira, bagaimanapun hanya mengalami kecederaan ringan.

Mangsa dikatakan dalam perjalanan dari sebuah pasar raya di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) ke Bazar Ramadan Taman Cempaka untuk mencari baju raya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Salehhudin Abd Rahman mengesahkan kejadian.

Al-Fatihah

Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/melaka-ns/tak-sempat-ganti-baju-raya-1.76706
kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2012&dt=0815&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_09.htm


Pesara Jabatan Pertanian Baling Maut


Inalillahi wainailaihi rojiun

14 Ogos 2012
 BALING- Seorang bekas pesara Jabatan Pertanian Baling maut dalam kemalangan di Jalan Baling-Kupang berhadapan Sekolah Rendah Kebangsaan Pulai, kira-kira jam 11 pagi, semalam.

Muhamad Husin, 60, dari Kampung Raja, Kupang maut di tempat kejadian setelah motosikalnya dirempuh oleh sebuah lori sampah dari arah belakang.

Ketua Polis Daerah Baling, Superintendan Mat Daud Mat Hassan berkata, mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian kepala setelah kepalanya dipercayai terhantuk di atas jalan.

Menurutnya, pemandu lori berkenaan tidak mengalami sebarang kecederaan.

Arwah yang lebih senang dipanggil Pak Tam itu terkenal dengan sifat peramahnya dan amat disegani oleh rakan-rakannya.

Arwah yang dikebumikan di tanah perkuburan Kampung Raja itu meninggalkan seorang anak dan seorang balu.


Al-Fatihah

Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/utara/maut-dirempuh-lori-sampah-1.76429

Tak sempat ternakan lembu

14 Ogos 2012

 ALOR GAJAH - Hasrat seo untuk menjalankan ternakan lembu bersama rakan baiknya selepas Aidilfitri tidak kesampaian selepas maut dalam kemalangan di Kilometer 218.0 Lebuhraya Utara-Selatan menghala ke utara, awal pagi kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 2.50 pagi itu, mangsa, Ahmad Farez Mustafa, 24, yang menaiki motosikal dalam perjalanan menuju ke Kuala Lumpur dari Melaka untuk mengambil kereta yang diletakkan di rumah adiknya, Mohd Iqbal Mustafa, 19, sebelum pulang ke rumahnya di Felda Palong 3, Gemas, Negeri Sembilan.

Difahamkan, sebelum kejadian mangsa berkonvoi bersama beberapa rakannya dari Kuala  Lumpur   untuk  berbuka puasa di sebuah restoran terapung di pekan Umbai.

Saksi kejadian yang juga rakan mangsa, Aminullah Baharon, 24, berkata, ketika kejadian dia melihat mangsa merempuh kereta Proton Saga Aeroback yang dipandu lelaki warga Myanmar, Ranathmahmudmustae, 30-an.

“Saya lihat motosikal mangsa melambung ke depan kemudian dirempuh pula oleh kereta terbabit,” katanya.

Menurutnya, dia yang terkejut mendekati mangsa yang lemah dalam keadaan nazak dan sempat membisikkan kalimah Syahadah di telinga mangsa sebelum dibawa ke hospital.

Sementara itu, menurut Aminullah, dia menyedari perubahan sikap mangsa yang kelihatan gelisah selepas berbuka puasa namun hanya membiarkan tanpa menegur.

Sementara itu, adik mangsa, Mohd Iqbal Mustafa, 19, berkata, selepas berbuka puasa mangsa ada menghubunginya meminta bantuan memasukkan wang ke dalam akaun bank bagi membaiki tayar motosikal yang rosak.

Rakan mangsa, Mohd Rizal Haris, 24, berkata, dia sempat berjumpa mangsa sebelum bertolak ke Melaka malah meminta arwah berfikir semula jika hendak menyertai konvoi berkenaan berikutan perjalanan jauh.

“Saya menasihati mangsa supaya tidak menyertai aktiviti konvoi itu kerana bimbang keselamatannya namun mangsa berkeras dan mengatakan ini kali terakhir dia sertai dan akan meninggalkan  kami semua.

“Saya terkilan kerana hasrat mangsa menjalankan ternakan lembu bersama-sama tidak kesampaian,” katanya di pekarangan Hospital Tuanku Jaafar, Seremban, Negeri Sembilan, pagi semalam.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Supritendan Umar Ali Saifuddin Shaharuddin, mengesahkan kejadian berkenaan.

Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/melaka-ns/tak-sempat-ternak-lembu-1.76475


Remaja Maut Terbabas


14 Ogos 2012

 GEMAS – Seorang remaja berusia 17 tahun menjadi mangsa pertama korban Op Selamat di daerah ini selepas kereta jenis Volvo yang dinaikinya terbabas di kilometer 2.5, Jalan Pasir Besar-Palong, dekat sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira 3.30 pagi itu, mangsa, Kevin Ng Yin Kit yang berasal dari Jalan Pokok Mangga, Melaka menjadi korban pertama Op Selamat yang dilancarkan oleh Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar, 12 Ogos lalu sehingga 26 Ogos depan.

Ketua Polis Daerah Tampin, Superintendan Wooi Kooi Cheang bekata, ketika kejadian, mangsa dan seorang lagi individu yang memandu kereta berkenaan, Pang Kin Hong, 41, dalam perjalanan pulang dari Felda Palong ke Melaka.

Bagaimanapun katanya, sebaik tiba di lokasi kejadian, kenderaan berkenaan terbabas ke sebelah kiri jalan lalu melanggar sebatang tiang elektrik. 

"Dentuman perlanggaran itu menyebabkan bahagian sebelah kiri kenderaan remuk dan mangsa yang duduk sebelah kiri pemandu mengalami kecederaan parah di bahagian kepala.

“Mayat mangsa dihantar ke Hospital Tampin (HT) untuk bedah siasat. Manakala, pemandu kenderaan berkenaan yang mengalami kecederaan di bahagian mata sebelah kiri akibat terkena serpihan cermin yang pecah dihantar ke Hospital Melaka untuk mendapatkan rawatan,” katanya kepada Sinar Harian, dekat sini, semalam.

Sementara itu, Kooi Cheang menggesa orang ramai khususnya pengguna jalan raya untuk mengutamakan keselamatan dan mematuhi peraturan jalan raya yang ditetapkan bagi mengelakkan kemalangan terutamanya di musim perayaan.

Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/melaka-ns/korban-pertama-op-selamat-1.76471


Satria Neo Terbakar

14 Ogos 2012
  PORT DICKSON - Seorang lelaki berusia 20-an hampir maut apabila kereta yang dipandunya musnah terbakar dalam satu kejadian di Kilometer 16 Lebuh Raya Seremban-Port Dickson, kira-kira jam 1 pagi, semalam.

Lelaki terbabit yang hanya mahu dikenali sebagai Amat berkata, ketika kejadian, dia dalam perjalanan dari Seremban untuk pulang ke rumahnya di Taman Dato’ Haji Abdul Samad.

“Ketika baru masuk ke Lebuh Raya Seremban-Port Dickson ada kepulan kecil asap keluar daripada bahagian enjin kereta dan tidak berapa lama kemudian asap itu semakin banyak.

“Saya terus memberhentikan kenderaan di bahu jalan sebelum keluar api dan membakar keseluruhan kereta,” katanya yang memandu kereta jenis Proton Satria Neo.

Amat berkata, dalam kejadian itu, dia memandu berseorangan.

“Keadaan ketika itu kelam kabut dan saya hanya sempat mencapai telefon bimbit sementara semua dokumen peribadi termasuk beg duit tidak sempat dikeluarkan.

“Walau bagaimanapun saya sangat bersyukur kerana dapat bertindak pantas memberhentikan kenderaan dan keluar menyelamatkan diri,” katanya.

Pasukan Bomba dan Penyelamat dari Seremban dikejarkan ke tempat kejadian.

Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/melaka-ns/nyaris-maut-kereta-dipandu-terbakar-1.76463



Lori Terbalik


 RANTAU PANJANG – Gara–gara cuba mengelak sebuah kereta, lori yang membawa muatan barangan basah untuk sebuah pasaraya di Kota Bharu, terbalik melintang jalan di Kampung Kubang Siput, pagi kelmarin.


Kejadian yang berlaku kira-kira jam 8.50 pagi itu, bagaimanapun hanya menyebabkan pemandu, Yusri Tayeb, 35, dan Mazlan Mohd Nor, 52, mengalami kecederaan ringan.

Lori yang dalam perjalanan dari Ipoh, Perak ke sebuah pasaraya di Kota Bharu, rosak agak teruk pada bahagian kiri (bahagian penumpang) serta pecah cermin hadapan.

Yusri berkata, dia bersyukur selamat walaupun berdepan sedikit kecederaan akibat kejadian tersebut.

Menurutnya, dia tidak menyangka lori dipandunya akan terbalik kerana kerap menggunakan laluan itu untuk ke Kota Bharu bagi tujuan menghantar barang.

“Boleh dikatakan tiga kali seminggu saya menggunakan laluan sama untuk menghantar barangan basah ke pasaraya ini sejak bekerja sebagai pemandu di syarikat lebih sebulan lalu.

“Ketika melalui kawasan selekoh, sebuah kereta dari arah bertentangan masuk ke laluan saya, ketika cuba mengelak lori saya pandu terbalik kerana ketika itu hujan lebat, jalan licin,” katanya kepada Sinar Harian. 

Yusri berkata, dia tidak tahu keadaan barangan di dalam lori berkenaan kerana dia dan kelindan berusaha menarik kenderaan itu untuk mengelak kesesakan jalan seterusnya membolehkan barangan dibawa ke destinasinya.

Sementara itu, Mazlan yang cedera pada kaki kanan dan kiri bersyukur hanya mengalami kecederaan ringan.

Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/kelantan/lori-terbalik-elak-kereta-1.76318


Monday, August 13, 2012

Penuntut Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin Maut

Inalillahi wainailaihi rojiun


KANGAR - Seorang penuntut wanita maut manakala dua lagi parah apabila kereta yang mereka naiki terbabas dan melanggar pokok di lebuh raya Changlun-Kuala Perlis dekat sini hari ini.

Ainun Izzaty Mat Jamil, 19, mati di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala, kata polis.

Pemandu kenderaan itu, Siti Nur Amalina Mohd Rashid, 19, dan penumpang hadapan Azwani M. Saad, 19, yang cedera parah kini dirawat di Hospital Tuanku Fauziah (HTF).

Jurucakap polis berkata penuntut politeknik Tuanku Syed Sirajuddin, Pauh itu bersama dua lagi rakannya dalam perjalanan dari Pulau Pinang ke Kuala Perlis pada pukul 8 pagi.

Mereka dikatakan menuju ke Kuala Perlis untuk menghantar kenderaan yang mereka sewa itu, katanya. — BERNAMA

Al-Fatihah

Sumber:
kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2012&dt=0812&pub=Kosmo&sec=Terkini&pg=bt_10.htm


Dua beranak maut digilis lori

Inalillahi wainailaihi rojiun

BALIK PULAU - Dua beranak maut selepas motosikal ditunggangi mereka bergesel dengan sebuah lori dalam kemalangan berlaku berhampiran persimpangan lampu isyarat antara jalan Bayan Lepas ke Teluk Kumbar, semalam.

Dalam kejadian berlaku kira- kira jam 9.10 pagi itu, mangsa, Adnan Abdullah, 59, dan anak tunggalnya, Mohd Adri Adnan, 7, menunggang motosikal jenis Honda yang baru dibeli menuju ke sebuah pusat tuisyen di Teluk Kumbar.

Motosikal mangsa dipercayai bergesel dengan lori tersebut selepas cubaan memotong gagal disebabkan oleh sebuah kereta yang datang dari arah bertentangan menyebabkan kedua-duanya terjatuh di jalan.

Mohd Adri dikatakan tercampak sebelum digilis tayar belakang lori berkenaan menyebabkan dia maut di tempat kejadian, manakala ayahnya yang parah meninggal dunia kira-kira sejam kemudian di sebuah hospital swasta di Bayan Baru.

Kedua-dua mangsa itu dibawa ke Hospital Balik Pulau untuk dibedah siasat dan dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Datuk Keramat selepas dituntut keluarga petang semalam.

Bapa mertua mangsa, Mohd Ismail Abu Kassim, 59, berkata, memang menjadi rutin mingguan menantunya yang juga pesara di Bahagian Keselamatan Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) menghantar Mohd Adri ke pusat tuisyen tersebut.

“Baru semalam (kelmarin) saya berbual dengan Mohd Adri di telefon dan dia yang rindukan saya dan neneknya ada mengajak kami bermalam di rumahnya.

“Cucu saya itu yang bersekolah di pusat tahfiz di Teluk Kumbar menyatakan hasratnya untuk bergambar bersama dengan berpakaian sedondon warna merah hati pagi raya nanti dan kami telahpun siapkan apa yang dimintanya.

“Saya amat sebak dan terkilan dengan kejadian yang berlaku namun kami reda,” katanya.

Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan Mohd Hatta Mohd Zain yang dihubungi mengesahkan kejadian tersebut.

“Hasil bedah siasat mendapati, Adnan cedera parah di badan manakala anaknya di bahagian kepala akibat dilanggar lori terbabit.

“Kegagalan mangsa memotong kenderaan di hadapannya menyebabkan kedua-duanya terjatuh di jalan raya,” katanya.

Al-Fatihah

Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/utara/dua-beranak-maut-digilis-lori-1.75993


Rempuh pembahagi jalan


 SUNGAI BULOH – Seorang lelaki nyaris maut apabila motosikal yang ditungganginya terbabas dan melanggar pembahagi jalan di susur masuk ke Kampung Baru Sungai Buloh, malam kelmarin.

Mangsa, K. Mahendran, 37, cedera selepas tubuhnya tercampak kira-kira dua meter dari lokasi motorsikalnya ditemui.

Ketika kejadian, Mahendran dalam perjalanan pulang dari tempat kerja ke rumahnya di Bandar Baru Sungai Buloh sebelum motosikalnya gagal dikawal dan terbabas.

Saksi yang hanya mahu dikenali sebagai Chong, 50, yang bekerja di kedai perabot berhampiran berkata, dia terdengar bunyi dentuman kuat disertai orang meraung kesakitan.

“Saya keluar dari kedai dan lihat dia sudah terbaring di atas pembahagi jalan,” katanya yang kemudiannya menghubungi ambulans.

Motosikal milik mangsa rosak teruk dan sebahagiannya musnah akibat pelanggaran itu.

Anggota perubatan yang tiba kira-kira 20 minit kemudian memberikan bantuan kecemasan kepada mangsa yang masih sedar.

Mangsa yang terbaring meraung kesakitan dan dibawa ke Hospital Sungai Buloh untuk rawatan lanjut.

Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/selangor-kl/nyaris-maut-motosikal-terbabas-1.76105


Kia Sportage bertembung Nissan


 LIPIS - Keadaan trafik  di Kilometer 17 Jalan Lipis-Merapoh agak sesak semalam apabila dua kenderaan dari arah bertentangan bertembung dalam kejadian kira-kira jam 11.30 pagi.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Abdul Razak Hassan berkata, kejadian berkenaan dipercayai berlaku apabila pemandu kereta jenis Nissan yang datang dari arah Kuala Lipis menuju ke Merapoh gagal mengawal kenderaan.

“Sampai di tempat kejadian, pemandu kereta Nissan berkenaan dipercayai gagal mengawal kenderaan lalu merempuh kereta jenis Kia Sportage yang datang dari arah Merapoh menuju ke Kuala lipis.

“Akibat pelanggaran secara berdepan tersebut menyebabkan kereta Nissan berkenaan mengalami kerosakan di bahagian depan manakala kereta Kia Sportage terbabas masuk ke dalam paya,” katanya, di sini, semalam.

Abdul Razak berkata, bagaimanapun, pemandu dan penumpang kedua-dua kereta berkenaan selamat dan hanya mengalami kecederaan ringan.

Menurutnya, orang ramai dinasihatkan berhati-hati di jalan raya terutama ketika menjelang Aidilfitri tidak lama lagi.

“Jumlah kenderaan dijangka akan bertambah dan diharap pengguna jalan raya tidak berlumba-lumba untuk sampai cepat ke destinasi.

“Mereka juga harus peka dengan papan tanda amaran yang banyak diletakkan di bahu jalan terutama di kawasan yang kerap berlaku kemalangan,” katanya.

Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/pahang/dua-kenderaan-bertembung-1.76054


Sunday, August 12, 2012

Tidak sempat meraikan Aidilfitri


Inalillahi wainailaihi rojiun

 KEMAMAN – Dua remaja tidak sempat meraikan ketibaan Aidilfitri yang bakal menjelang seminggu lagi apabila terbunuh dalam dua kemalangan berasingan termasuk membabitkan kemalangan ngeri hingga mengakibatkan badan seorang mangsa yang maut hancur digilis lori kontena dalam kejadian di daerah ini kelmarin.

Dalam kemalangan tragis di Kilometer 123 Jalan Kuala Terengganu-Kuantan, berhadapan tapak pasar malam Pekan Kemasik, dekat sini, kira-kira jam 9.25 malam, Mohd Noor Ghazali, 22, maut serta-merta di tempat kejadian selepas dia dan motosikal jenis Yamaha LC yang ditungganginya terbalik atas jalan sebelum dilanggar lori kontena yang turut melalui jalan itu menghala ke arah sama.

Kejadian berlaku ketika mangsa yang beralamat di Kampung Bukit Kuang dari arah Kerteh menuju ke Bandar Chukai sebelum motosikalnya itu bergesel dengan seorang pejalan kaki ketika tiba di tempat kejadian menyebabkan mangsa jatuh.

Menurut saksi kejadian, Mohd Firdaus Abd Rashid, 22, dia yang memandu kereta di belakang lori kontena tergamam apabila melihat mayat tergolek di atas jalan selepas terdengar seperti lori kontena melanggar sesuatu.

“Selepas bunyi berdentum, saya yang memandu di belakang treler kontena nampak mayat bergolek atas jalan dan saya elak. Mangsa patah riuk,” katanya sambil mengakui sejurus itu terdapat seorang orang awam yang bertindak menahan kenderaan daripada melalui tempat kejadian agar tidak terus melanggar mangsa.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Che Suza Che Hitam berkata, mangsa mengalami cedera parah di bahagian badan.

Pemandu lori berkenaan yang berusia 38 tahun dari Temerloh, Pahang, ditahan untuk siasatan manakala pejalan kaki berkenaan tidak mengalami kecederaan.

Akibat insiden itu, motosikal yang dinaiki mangsa turut diseret lori terbabit sejauh kira-kira 200 meter dan terperosok di bawah tayar depan sebelah kanan lori berkenaan.

Sementara itu, dalam satu lagi kejadian kira-kira jam 5 petang sebelum itu, Mohd Hanif Aizam Harun, 15, meninggal dunia di Hospital Kemaman setelah terbabas dan terjatuh daripada motosikal yang ditungganginya di Jalan Pantai Kampung Beris Meraga, Kijal dekat sini.

Menurut Che Suza, mangsa yang mengalami cedera parah di kepala dan badan menghembuskan nafas akhir kira-kira jam 10 pagi semalam.

Dalam perkembangan sama, ibu mangsa, Zaleha Ismail, 59, berkata, anaknya sering ke pantai berkenaan sementara menunggu waktu berbuka puasa.

“Saya sangat terkejut apabila dapat tahu berita kematian ini dan saya juga terkilan atas apa yang berlaku kerana semua persiapan raya untuk anak saya telah disiapkan. Malah anak saya sering mencuba sepasang baju Melayu dan kemeja-T yang dibeli untuk dipakai pada hari raya nanti,” katanya.

Al-Fatihah

Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/terengganu/tidak-sempat-rai-aidilfitri-2-remaja-maut-1.76023


Murid SK Balai Besar Parah Dirempuh Motosikal


 BALAI BESAR – Kegembiraan seorang kanak-kanak yang berbasikal ketika pulang dari sekolah berakhir dengan tragedi apabila dia dilanggar sebuah motosikal sewaktu ingin melintas jalan, dekat sini, petang semalam.

Kejadian kira-kira jam 1.40 petang itu dipercayai berlaku apabila mangsa, Najwa Najira Marisha, 11, yang menunggang basikal dirempuh sebuah motosikal ketika hendak melintas jalan di jalan Gong Pasir-Alor Tempoyak.

Akibat dilanggar motosikal yang datang dari arah Gong Pasir itu, Najwa yang juga murid Sekolah Kebangsaan (SK) Balai Besar itu cedera parah pada bahagian kepala dan dibawa ke Hospital Dungun untuk rawatan lanjut.

Sehingga jam 2 petang semalam, Najwa yang menerima rawatan di Unit Kecemasan Hospital Dungun difahamkan tidak sedarkan diri.

Penunggang motosikal terbabit yang belum disahkan identitinya juga cedera.

Kes kemalangan itu masih disiasat polis.

Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/terengganu/murid-parah-dirempuh-motosikal-1.76030


Parah Rempuh Treler


ALOR GAJAH - Seorang pengusaha syarikat pelancongan cedera parah selepas kereta dipandunya merempuh belakang sebuah treler di Kilometer 221 Lebuhraya Utara - Selatan, berdekatan susur keluar Plaza Tol Simpang Ampat, di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira 12 tengah malam itu, kereta jenis Toyota Vios yang dipandu mangsa, Ahmad Norman Hafiz Jannet Hussain, 35, seorang warga Pakistan dari Kuala Lumpur, menuju ke Tampin untuk menjemput tunangnya.

Kereta dipandu mangsa hilang kawalan sebelum merempuh bahagian belakang treler yang membawa muatan makanan ayam untuk dihantar ke Kluang, Johor.

Difahamkan, treler terbabit berada di laluan tengah ketika mangsa cuba memotongnya.

Akibat kemalangan itu, Ahmad Norman Hafiz patah kaki dan tangan kanan.

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Alor Gajah, Pegawai Bomba Kanan 2, Chee Hong Chuan berkata, dua jentera membabitkan enam anggota Bomba dan Penyelamat Alor Gajah dan Rembau bergegas ke lokasi kemalangan selepas menerima maklumat awam.

"Ketika tiba di lokasi kejadian, mangsa didapati masih lagi tersepit di tempat duduk pemandu. Bagaimanapun, anggota bomba mengambil masa kurang 15 minit untuk mengeluarkan mangsa yang parah di kaki dan tangannya," katanya kepada Sinar Harian di sini, semalam.

Sementara itu, tunang mangsa, Zuraidah Jamaludin, 24, berkata, dia bimbang apabila cuba menghubungi Ahmad Norman Hafiz, namun tidak berjawab.

“Kemudian saya dihubungi seseorang yang mengatakan tunang saya terbabit kemalangan di lebuhraya. Fikiran saya bercelaru memikirkan keadaannya selepas mendapat tahu kereta dipandu remuk dan melekat di belakang treler. Namun, syukur kerana dia selamat," katanya ketika ditemui di pekarangan Hospital Alor Gajah, semalam.

Zuraidah dan Ahmad Norman Hafiz dijadualkan akan melangsungkan perkahwinan hujung tahun ini.

Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/melaka-ns/tragedi-ketika-jemput-tunang-1.75967


Remaja maut rempuh tiang lampu


Inalillahi wainailaihi rojiun

12 Ogos 2012
LANGKAWI - Seorang remaja maut manakala seorang lagi rakannya cedera parah dalam kemalangan kereta awal pagi semalam di jalan Sungai Mengulu, Kuah menuju ke Padang Mat Sirat, di sini.

Dalam kejadian sekitar jam 2.15 pagi itu, mangsa Muhammad Afiq Noor Azam, 18, dari Kampung Kuala Teriang yang duduk di sebelah tempat duduk pemandu meninggal dunia di tempat kejadian akibat tersepit dan dipercayai kecederaan dalaman.

Rakannya mangsa yang juga pemandu kereta, Amirul Ihsan Ismail, 22 dari Kampung Padang Kandang, cedera parah selepas patah paha kiri Hospital Langkawi untuk rawatan lanjut.

Kejadian itu, Muhammad Afiq dan Amirul Ihsan dikatakan dalam perjalanan dari Kuah menuju ke Padang Matsirat sebelum terbabas dan merempuh sebatang pokok dan melanggar tiang lampu jalan.

Kedua-dua mangsa yang tersepit di tempat duduk masing-masing dikeluarkan anggota bomba dalam masa 30 minit selepas terpaksa memotong bahagian bumbung.

Bapa Muhammad Afiq, Noor Azam Abdullah, 41, berkata, dua hari sebelum kejadian anaknya ada menunjukkan perubahan ganjil ketika berbuka puasa bersama keluarga dirumahnya.

“Dua hari lalu, arwah (Muhammad Afiq) bersungguh-sungguh meminta untuk mencium pipi neneknya yang tidak pernah dilakukannya sebelum ini.

"Malahan, beberapa hari sebelum itu dia asyik menyebut nama moyangnya yang meninggal dunia kira-kira empat bulan lalu,” katanya ketika ditemui di bilik mayat hospital semalam.

Menurutnya, mereka sekeluarga tidak menyangka itu adalah perubahan terakhir arwah untuk meninggalkan mereka sekeluarga.

“Saya dapat kesan dan tidak sangka ia menjadi petanda arwah akan pergi untuk selama-lamanya, arwah adalah anak harapan bagi meneruskan legasi perniagaan dobi yang keluarga kami jalankan,” katanya.

Norazam berkata pemergian Muhammad Afiq satu kehilangan besar pada keluarga kerana arwah adalah anak sulung dari empat adik beradik.

"Sebelum kejadian saya mengarahkan arwah untuk menghantar tempahan dobi di Lanai Resort (hotel), kemudian selepas itu kawannya (Amirul Ihsan) datang untuk menjemput makan malam bersama kawan-kawan mereka di Bandar Kuah.

"Sebelum, Muhammad Afiq akan menggunakan keretanya sendiri sekiranya dia keluar ke mana-mana, mungkin semua itu petanda dia. "Apapun saya terima dengan reda atas apa yang terjadi,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Langkawi, Superintendan Harrith Kam Abdullah, berkata siasatan awal mendapati, ketika kejadian dua remaja terbabit dikatakan dalam perjalanan menuju ke Padang Matsirat, sebelum terbabas dan merempuh sebatang pokok dan melanggar tiang lampu jalan.
Katanya, kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 41 (1), Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Jenazah Muhammad Afiq dituntut ahli keluarganya pada jam 11.20 pagi dan selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Kuala Teriang, di sini, kira-kira jam 2 petang, semalam.

Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/utara/remaja-maut-kereta-rempuh-tiang-lampu-1.75755

Pelajar Politeknik Port Dickson maut


Inalillahi wainailaihi rojiun

12 Ogos 2012
SEREMBAN – Seorang pelajar Politeknik Port Dickson maut selepas motosikal yang ditunggangnya terbabas sebelum merempuh pembahagi jalan di Kilometer 10.6 Lebuhraya Seremban - Port Dickson, di sini, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira 1.20 tengahari itu, mangsa, Muhammad Zulfadli Shamsudin, 19, meninggal dunia serta merta di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala.

Jurucakap polis berkata, ketika kejadian, mangsa yang menunggang motosikal jenis Honda EX5 bersama seorang lagi rakannya yang menunggang motosikal lain, dipercayai dalam perjalanan pulang ke kampungnya di Johol, Pilah.

Bagaimanapun, katanya, sejurus sampai di lokasi kejadian, mangsa dipercayai terlanggar tayar belakang motosikal rakannya itu.

Katanya, ia menyebabkan motosikalnya hilang kawalan sebelum terbabas dan merempuh besi pembahagi lebuh raya.

“Kejadian itu menyebabkan mangsa tercampak sejauh kira-kira lima meter dan meninggal dunia di tempat kejadian," katanya.

Sementara itu, Pegawai Turus Trafik Negeri, Asisten Superintendan Abd Halil Hamzah mengesahkan menerima laporan kejadian.

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Tuanku Ja'afar, di sini untuk bedah siasat.

Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/melaka-ns/pelajar-politeknik-pd-maut-dalam-kemalangan-1.75707

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Headlines

FeedBurner FeedCount