Saturday, August 31, 2013

Tiga beradik nyaris maut




1 September 2013
KULIM - Tiga beradik nyaris maut apabila kereta dinaiki mereka terbabas sebelum merempuh pokok di Jalan Junjung dekat sini, kira-kira jam 12.30 pagi kelmarin.


Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Ghuzlan Saleh berkata, akibat rempuhan kuat, mangsa yang memandu kereta tersepit di tempat duduk pemandu kereta berkenaan.

Menurutnya, satu jentera bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Kulim tiba di tempat kejadian untuk membantu menyelamatkan mangsa dan bomba mengambil masa kira-kira 10 minit bagi mengeluarkan mangsa sebelum dihantar ke Hospital Kulim.

“Dari maklumat diterima, tiga beradik ini dalam perjalanan dari arah Kulim ke Junjung. Apabila tiba di tempat kejadian, kereta mangsa hilang kawalan dan merempuh pokok.

"Mangsa yang berada di tempat duduk penumpang dan kerusi belakang berjaya dikeluarkan oleh orang awam manakala pemandu kereta tersepit di bahagian kaki," katanya.

Ghuzlan berkata, semua mangsa kemudiannya dikejarkan ke Unit Kecemasan Hospital Kulim untuk mendapatkan rawatan dan dilaporkan stabil.

"Sehingga kini jumlah kemalangan yang dilaporkan berlaku di kawasan itu dapat dikurangkan bagaimanapun pengguna dinasihatkan lebih berhati-hati terutama pada waktu hujan dan malam.

"Pengguna jalan raya dinasihatkan supaya lebih berhati-hati dan tidak memandu laju ketika melalui jalan Kulim-Junjung," katanya.

Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/utara/tiga-beradik-nyaris-maut-1.197475


Pembonceng maut bergesel bas


Inalillahi wainailaihi rojiun

1 September 2013
SEREMBAN - Seorang pekerja kilang daging burger maut selepas motosikal dinaikinya bergesel dengan sebuah bas di kilometer 265.9 Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) arah selatan di sini semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 5.50 petang itu, pembonceng motosikal terbabit, Hazirah Sabarudin, 19, maut di tempat kejadian akibat mengalami kecederaan parah pada kepala.

Jurucakap polis berkata, ketika kejadian, mangsa bersama teman lelakinya dipercayai dalam perjalanan dari Bandar Tun Razak, Kuala Lumpur untuk pulang ke rumahnya di Bandar Seremban Selatan.

“Namun sejurus sampai di lokasi kejadian, motosikal jenis  Honda EX5 ditunggang teman lelakinya tiba-tiba hilang kawalan lalu bergesel dengan sebuah bas ekspres di lorong kecemasan.

“Kejadian itu mengakibatkan mangsa terpelanting ke tengah jalan dan cedera parah pada bahagian kepala,” katanya.

Katanya, mangsa meninggal dunia serta merta di tempat kejadian manakala teman lelakinya yang berusia 23 tahun selamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan.

Menurutnya, mangsa dibawa ke Hospital Tuanku Jaafar (untuk bedah siasat sebelum mayatnya dituntut ahli keluarga.

“Saksi kejadian diminta tampil ke balai polis berhampiran atau menghubungi Pejabat Polis Daerah Seremban (IPD) Seremban di talian 06-6014999 untuk membantu siasatan,” katanya.

Sementara itu Ketua Trafik negeri, Asisten Superintendan Abdul Halil Hamzah mengesahkan menerima laporan mengenai kejadian itu.

Al-Fatihah

Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/melaka-ns/pekerja-kilang-maut-1.197557



Tertekan pedal minyak


1 September 2013
MARAN - Lima sekeluarga terselamat selepas kenderaan dinaiki merempuh sebuah kedai makan di laluan Maran-Kuantan dekat Kampung Bintang, di sini, kira-kira jam 6.30 petang kelmarin.

Menurut seorang saksi, Mohd Sallehuddin Ahmad, 36, berkata, dia yang bersendirian menikmati minum petang di kedai itu terkejut apabila kenderaan dinaiki lima beranak itu secara tiba-tiba merempuh kedai berkenaan.

Katanya, sebelum rempuhan itu, sebuah motosikal dari arah sama menghala ke Kuantan dipercayai melanggar bahagian belakang kereta tersebut.

“Keadaan itu menyebabkan pemandu kereta terbabit yang ingin memasuki kawasan letak kereta untuk berhenti di kedai ini terkejut lalu tertekan pedal minyak.

“Saya dan beberapa pelanggan lain segera membantu mengeluarkan kesemua mangsa termasuk tiga anak mereka yang masih kecil.

“Penunggang motosikal yang melanggar belakang kereta tersebut cedera ringan sebelum dibawa ke klinik kesihatan berdekatan, “katanya.

Sementara itu, wanita yang berada di tempat duduk penumpang bahagian depan kereta terbabit berkata suaminya terkejut sebaik belakang kereta mereka dilanggar secara tiba-tiba.

Menurutnya, mereka sekeluarga dari Felda Bukit Tajau dan mahu ke kedai berkenaan untuk menjamu selera dan perlanggaran berlaku ketika kenderaan mereka perlahan memasuki kawasan letak kereta.

“Saya sendiri terkejut dan panik apabila kereta kami bergerak laju ke arah meja dan kerusi sebelum merempuh dinding kedai.

“Namun saya bersyukur kami semua tidak mengalami kecederaan malah tiada pelanggan terlibat,” katanya.

Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/pahang/lima-beranak-nyaris-maut-1.197274




Pelajar Sekolah Menengah Ayer Puteh Maut


Inalillahi wainailaihi rojiun

1 September 2013
KEMAMAN – “Semalam makcik lihat Nizam tenung dan bersihkan motosikal ayahnya tapi kami tak sangka dia 'pergi' semasa menunggang motosikal ini," kata ibu pelajar tingkatan tiga Sekolah Menengah Ayer Puteh, Che Wan Dalillah Che Wan Sulaiman, 52.

Mohammad Shahrul Nizam Remly, 15, yang bakal menduduki peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) 2 Oktober depan, maut di tempat kejadian selepas motosikal dinaikinya terbabas sebelum merempuh sebuah kereta di Jalan Chukai – Air Putih, dekat Kampung Paman, di sini, kira-kira jam 12.30 tengah hari semalam.


Kejadian berlaku ketika mangsa yang lebih mesra dipanggil Nizam dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Kampung Dadong dari Chukai, selepas menghadiri majlis jamuan hari raya Aidilfitri di rumah rakannya.

Akibat pelanggaran itu, mangsa tercampak ke atas jalan dan topi keledar dipakainya pecah serta tercabut menyebabkan mangsa mengalami kecederaan parah pada bahagian kepala.

Che Wan Dalillah berkata, anaknya itu keluar dari rumah kira-kira jam 9.30 pagi selepas meminta keizinan daripadanya dan suami untuk pergi ke rumah rakannya.

“Ketika mahu keluar rumah, Nizam ada minta duit belanja RM2 dengan makcik, tapi sebab waktu itu makcik sedang masak di dapur, makcik suruhnya minta dengan ayahnya yang sedang baca surat khabar di ruang tamu.

“Semasa bercakap dengannya makcik tak pandang wajahnya sebab sibuk memasak. Arwah seorang anak yang baik dan makcik reda dengan ujian ini,” katanya sebak ketika ditemui di pekarangan Unit Forensik, Hospital Kemaman.

Menurutnya, sebelum anak kesembilan mereka itu keluar rumah, lidah suaminya, Remly Bakar, 52, seakan kelu untuk melarang anaknya itu menunggang motosikal kerana kebiasaannya suaminya menegah anaknya menaiki motosikal.

Malah, malam sebelum kejadian itu, arwah turut berperangai ganjil apabila memberitahu kakaknya, Nor Farhana, 21, yang dia mahu berhenti sekolah dan bekerja bagi membantu membiayai pengajian kakak-kakaknya yang menuntut di universiti.

“Pada malam itu juga, dia tidur setilam sambil memeluk erat adik bongsunya, Arif Abidin, 7. Sebelum musibah ini terjadi, kami sekeluarga gembira kerana salah seorang kakak arwah, Nor Suhaila, 20, akan mendaftar di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), esok,” katanya.


Motosikal mangsa melambung

Sementara itu, kemalangan itu dipercayai berpunca apabila motosikal mangsa melambung sebelum hilang kawalan, selepas melalui jalan yang permukaannya tidak rata sebelum melanggar bahagian kanan kereta seorang warga emas, Razak Mat Shah, 65 yang dari arah bertentangan.

Razak yang ketika itu dalam perjalanan pulang dari kebun getahnya di Batu 16 menuju ke rumahnya di Binjai berkata, sejurus dilanggar, kereta dipandunya berpusing-pusing beberapa kali kerana kedua-dua tayar bahagian kanan kenderaannya itu pecah.

“Namun saya bersyukur kerana tidak cedera. Sekarang dada masih berdebar-debar,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Che Suza Che Hitam berkata, mayat mangsa dihantar ke Hospital Kemaman sebelum dituntut ahli keluarga untuk dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Dadong.

Al-Fatihah

Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/terengganu/calon-pmr-mahu-berhenti-sekolah-1.197460


Bahana Test Drive


31 Ogos 2013
BALING - Dua pemandu bernasib baik apabila terselamat dalam kejadian kemalangan di Kilometer 48.5 Jalan Baling-Kupang berdekatan Taman Bemban, Kupang, di sini, kira-kira jam 12.50 pagi, semalam.

Kemalangan itu mengakibatkan kenderaan jenis Toyata DX dengan Jenis Hyundai remuk teruk dan kedua pemandu terbabit tersepit dan terpaksa dikeluarkan bomba.

Kejadian berlaku setelah pemandu kereta jenis Toyota itu terbabas masuk ke laluan bertentangan lalu dirempuh kenderaan lain yang datang dari arah bertentangan.

Rempuhan kuat itu mengakibatkan kedua mangsa tersepit di tempat duduk pemandu.

Difahamkan, pemandu kenderaan jenis Toyata itu yang berusia 19 tahun patah tangan dan sedang mendapatkan rawatan di Hospital Sungai Petani, manakala pemandu kenderaan jenis Hyundai terbabit hanya cedera ringan di kepala.

Ketua Polis Daerah Baling, Superintendan Mat Daud Mat Hassan berkata, pemandu kenderaan jenis Toyata itu dipercayai memandu dalam keadaan laju.

Beliau berharap setiap pemandu menjaga soal keselamatan kerana ia turut melibatkan orang lain.

“Kita telah membuat pemantauan dan memang ada remaja yang buat ‘test drive’ kenderaan mereka dengan aksi berbahaya, terutama di sekitar Jalan Kupang-Baling. Tambahan pula, pada ambang kemerdekaan.

“Ada yang mengubah suai enjin mereka untuk meningkatkan kelajuan,” katanya.

Katanya, pihaknya akan mengambil tindakan undang-undang terhadap mereka yang terlibat dengan aktiviti ‘test drive’ itu mahupun mereka yang bertindak menukar komponen kereta tanpa mengikut spesifikasi Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/dua-pemandu-cedera-tersepit-1.197342



Friday, August 30, 2013

Niat Murni Bertukar Tragedi



Inalillahi wainailaihi rojiun

30 Ogos 2013
AMPANG JAYA - Seorang kakitangan wanita di Terminal Penerbangan Tambang Murah (LCCT) Sepang, maut selepas diragut di hadapan pos pengawal keselamatan sebuah kondominium di Taman Cempaka Ampang, di sini, semalam.


Sebelum kejadian berlaku kira-kira jam 2.45 pagi, mangsa, Shahrinawati Abu Bakar, 30, baru pulang dari kerja dan sedang berjalan kaki masuk ke kondominium terbabit.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Amiruddin Jamaluddin berkata, bagaimanapun mangsa tiba-tiba dihampiri dua lelaki bermotosikal yang cuba meragutnya.

Beliau berkata, berlaku pergelutan antara mereka, sebelum datang dua lelaki berusia 21 dan 23 tahun menaiki kereta jenis Proton Wira cuba memberi bantuan.

"Mereka sebenarnya sudah terlajak ke hadapan, namun kerana niat mahu membantu, pemandu kereta bertindak mengundur laju untuk melanggar dua suspek yang cuba meragut mangsa.

"Seorang daripada suspek terjatuh, namun sempat bangun dan melarikan diri bersama rakannya dengan menaiki motosikal jenis Yamaha LC warna hitam," katanya ketika ditemui di Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri anjuran Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor, semalam.

Amiruddin berkata, kedua-dua lelaki yang cuba menyelamatkan mangsa kemudiannya turun untuk melihat wanita itu, namun menyedari mereka secara tidak sengaja turut melanggar mangsa terbabit.

"Mereka terus membawa mangsa ke sebuah hospital swasta berdekatan untuk rawatan lanjut, namun mangsa disahkan meninggal dunia," katanya.

Katanya, polis sudah meneliti kamera litar tertutup (CCTV) yang dipasang di pos pengawal keselamatan dan memperoleh beberapa petunjuk yang dipercayai boleh membantu siasatan.

Menurutnya, polis sudah mengenalpasti dua lelaki berusia 20-an yang cuba meragut mangsa, namun rakaman CCTV gagal mengesan nombor pendaftaran motosikal yang digunakan kerana imej kurang jelas.

Beliau berkata, polis sudah merakamkan lima percakapan termasuk dua lelaki yang membantu mangsa berasal dari Sarawak itu. Difahamkan mangsa sudah bertunang dan dijangka melangsungkan perkahwinan pada Disember nanti.

Amiruddin berkata, mayat mangsa kemudiannya dihantar ke Hospital Kuala Lumpur untuk dibedah siasat dan laporan mendapati kecederaan mangsa konsisten dengan impak akibat kemalangan.

Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 394 kanun Keseksaan kerana rompakan menyebabkan kecederaan kepada mangsa dan Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1941.

Al-Fatihah

Sumber:
sinarharian.com.my/semasa/hasrat-membantu-mangsa-ragut-bertukar-tragedi-1.196899
hmetro.com.my/articles/Tragediniatmurni//Article



Tiga anggota polis trafik terbunuh



Inalillahi wainailaihi rojiun

30 Ogos 2013
Beluran: Lima termasuk tiga anggota polis trafik terbunuh, manakala empat lagi parah apabila sebuah kereta peronda polis bertembung dengan sebuah pikap dalam kemalangan ngeri di Kilometer 53, Jalan Beluran-Telupid, dekat sini, semalam.

Dalam kejadian jam 4.40 petang itu, anggota daripada Cawangan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Beluran, Koperal Saudi Meting, Koperal Hedzrin Ginan dan Lans Koperal Khairul Firdaus Abraham meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera di seluruh anggota badan.

Ketua Polis Daerah Beluran Deputi Superintendan V Shivanathan berkata, dua lagi mangsa yang terkorban penumpang pikap, Masiah Jailani, 47, serta adiknya, Layni Jailani, 45.

Menurutnya, mangsa yang parah seorang anggota polis trafik, Konstabel Zaini Mohd Radzuan dan tiga individu termasuk pemandu pikap terbabit yang belum dikenali identiti mereka. Semua mereka menerima rawatan di Hospital Beluran, di sini.

Ketika kejadian empat anggota polis trafik terbabit yang menaiki Proton Waja dalam perjalanan pulang ke IPD Beluran selepas menjalankan tugas di Telupid.



Dalam kejadian kira-kira pukul 4.50 petang itu, anggota polis dari Cawangan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Beluran yang terkorban ialah Koperal Saudi Meting (pemandu), Koperal Hedzrin Ginan dan Lans Koperal Khairul Firdaus Abraham, manakala penumpang pacuan empat roda itu yang turut meninggal ialah Masiah Jailani, 47, dan Layni Jailani, 45.

Kesemua mereka meninggal dunia di tempat kejadian kerana mengalami kecederaan parah di kepala dan beberapa bahagian badan lain, malah kenderaan mereka juga remuk teruk hingga menyebabkan kesemua mangsa tersepit.

Seorang lagi anggota polis yang turut berada dalam kenderaan itu dan mengalami kecederaan parah ialah Konstabel Mohd. Zaini Mohd. Radzuan, manakala pemandu pacuan empat roda itu dan dua lagi penumpangnya yang turut tercedera mendapat rawatan di Hospital Beluran.

Ketua Polis Daerah, Deputi Supritendan V. Shivananthan ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan berkata, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila kedua-dua kenderaan bertembung antara satu sama lain.

Al-Fatihah

Sumber:
utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20130830/dn_07/Lima-maut-termasuk-tiga-polis-trafik
hmetro.com.my/articles/Tigaanggotatrafikajal//Article




Kerabat Diraja Perak maut nahas keretas

Inalillahi wainailaihi rojiun

30 Ogos 2013
Yan: “Jaga anak baik-baik jangan selalu marah mereka.” Itu pesanan terakhir seorang pengamal perubatan Islam, Raja Shoib Moizuki Raja Jaafar, 46, yang juga kerabat Diraja Perak kepada isterinya sebelum maut dalam kemalangan jalan raya di Batu 22, Jalan Guar Chempedak-Yan, di sini, kelmarin.

Kejadian berlaku jam 3 petang menyebabkan Raja Shoib Moizuki mati serta-merta di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala, manakala rakannya Muhammad Shahfarey Abdul Aziz, 27, yang memandu kereta Proton Waja terbabit juga cedera parah kerana pendarahan dalaman.

Difahamkan, kejadian berlaku apabila kereta terbabit dipercayai hilang kawalan dan terbabas lalu merempuh sebatang pokok di bahu jalan arah bertentangan ketika kedua-dua mangsa dalam perjalanan dari Sungai Petani menuju ke Kampung Raga, di sini, atas urusan kerja.

Isteri Raja Shoib, Hafinah Abd Aziz, 34, berkata, sebelum kejadian dia pelik melihat suaminya masuk semula ke dalam rumah untuk melihat dua anak mereka berusia enam dan empat tahun walaupun sudah masuk ke dalam kereta.


Menurutnya, ketika itu sudah mahu keluar rumah mereka yang terletak di Kampung Kuala Janing, Kuala Nerang kira-kira 7 jam pagi kerana mempunyai urusan kerja, tetapi dia hairan dengan sikap arwah.


“Saya amat terkejut selepas mengetahui suami terbabit kemalangan dan tidak menyangka kata-katanya sebelum itu adalah pesanan terakhir,” katanya ketika ditemui di Bilik Mayat Hospital Yan, di sini, malam kelmarin.

Jenazah arwah dibawa pulang ke kampung halaman isterinya dan dikebumikan di tanah perkuburan Islam Masjid Bendang Baru, Kuala Nerang kira-kira jam 11 pagi semalam.

Al-Fatihah

Sumber:
hmetro.com.my/myMetro/articles/KerabatDirajaPerakmautnahaskeretas/Article/index_html




Tidak sempat membeli barang keperluan rumah



Inalillahi wainailaihi rojiun

30 Ogos 2013
KOTA BHARU - Seorang warga emas tidak sempat membeli barang keperluan rumah, selepas maut dalam nahas jalan raya yang melibatkan motosikal ditunggang mangsa dengan sebuah kenderaan berhampiran Jambatan Bunut Payong, di sini, pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 9 pagi itu mangsa Mohd. Rashid Ismail, 73, kejadian selepas mengalami kecederaan parah selepas tercampak dari motosikal sehingga menyebabkan dia mengalami kecederaan parah di beberapa bahagian badan selepas dilanggar sebuah kenderaan jenis Volkswagen Golf.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Azham Othman berkata, siasatan awal mendapati mangsa yang menunggang motosikal dari arah rumahnya di Telipot menghala ke Pasar Borong Wakaf Che Yeh untuk membeli barangan keperluan harian.

“Mangsa dipercayai dilanggar dari belakang oleh sebuah kereta dari jenis Volkswagen Golf dan akibat perlanggaran tersebut menyebabkan mangsa tercampak ke bahu jalan di sebelah kiri dari tempat kemalangan tersebut berlaku.

“Kita masih mengesan pemandu kenderaan itu bagi membantu siasatan,” katanya.

Beliau harap orang ramai yang mempunyai maklumat supaya tampil ke balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.

Sementara itu, anak mangsa Salman Mohd. Rashid, 40, memberitahu kejadian tersebut diketahuinya selepas menerima panggilan dari orang ramai kira-kira jam 9 pagi.

Salman berkata, sejurus menerima panggilan tersebut dia terus bergegas ke tempat kejadian untuk mengetahuinya kejadian dengan lebih lanjut.

“Sebelum keluar dari rumah, ayah ada memberitahu dia hendak ke Pasar Wakaf Che Yeh dan dia selaku ke sana untuk membeli barang. Ayah tidak menunjukkan sebarang perangai pelik dan petanda, namun apa pun kami serahkan kes ini kepada polis,” katanya.

Al-Fatihah

Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/warga-emas-maut-dilanggar-1.196822



Wednesday, August 28, 2013

Tol percuma sempena Merdeka


28 Ogos 2013
KUALA LUMPUR - Lingkaran Trans Kota Sdn Bhd (Litrak) akan memberikan tol percuma bagi semua kelas kenderaan di Lebuh Raya Damansara-Puchong (LDP) sempena sambutan Hari Kemerdekaan ke-56.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya Sazally Saidi berkata tol percuma ini akan diberikan selama 24 jam bermula 12 tengah malam 31 Ogos ini hingga tengah malam hari berikutnya.

"Pemberian tol percuma sempena Merdeka ini adalah di kesemua empat tol plaza di LDP, " katanya kepada pemberita selepas majlis Hari Raya Aidilfitri Litrak di sini, hari ini.

Beliau berkata untuk Lebuhraya Sprint pula pihaknya turut memberikan diskaun sebanyak 20 sen untuk semua kelas kenderaan bagi tempoh yang sama semasa Hari Kemerdekaan itu nanti.

"Kami amat berbangga kerana menjadi sebahagian daripada perayaan yang sungguh bermakna ini dan menjadi harapan kami agar pemberian ini akan menyemai semangat patriotik terhadap negara," katanya.

Sementara itu, syarikat pengendali dan penyelenggara lebuh raya tol Konsortium Lebuhraya Utara-Timur Kuala Lumpur Sdn Bhd (KESTURI) dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan Lebuhraya Duta-Ulu Kelang (DUKE) turut memberikan diskaun kadar tol sempena sambutan Hari Kemerdekaan Ke-56.

Pengurus Besar Operasi KESTURI Ong Chee Keong berkata diskaun kadar tol itu adalah sebanyak 10 peratus untuk semua kelas kenderaan sama ada tunai atau elektronik di ketiga-tiga plaza tol lebuh raya itu.

"Diskaun itu akan dilaksanakan mulai 30 Ogos ini iaitu bermula pukul 11.59 tengah malam sehingga keesokan harinya iaitu pada pukul 12 tengah malam," katanya.

Dalam pada itu, pihak KESTURI turut bekerjasama dengan pihak Touch N Go Sdn Bhd (TNGSB) untuk mengadakan jualan kad Touch N Go pada harga istimewa iaitu RM10 bagi setiap kad yang mengandungi nilai RM5 dan kad itu dijual di lorongtunai Plaza Tol Sentul Pasar, katanya. - Bernama

Sumber:
bernama.com


Jalan utama ditutup sempena merdeka



28 Ogos 2013
KUALA LUMPUR - Beberapa jalan utama sekitar bandar raya akan ditutup secara berperingkat bermula esok untuk raptai sempena sambutan Hari Kemerdekaan ke-56 di Dataran Merdeka pada Sabtu.

Ketua Trafik Kuala Lumpur ACP Rusli Mohd Noor berkata, jalan berkenaan ditutup dari pukul 6 pagi hingga 12 tengah hari bermula esok hingga Sabtu.

Antara jalan itu ialah Jalan Mahameru/Jalan Damansara (dari arah Istana Lama), Jalan Travers, Jalan Mahameru/Jalan Damansara (dari arah Parlimen), Jalan Lembah/Jalan Perdana (Masjid Negara), Bulatan Hishamuddin, Jalan Tembusu, Jalan Cenderasari dan Jalan Perdana.

Jalan Kinabalu, Jalan Raja, Jalan Leboh Pasar Besar, Jalan Hishamuddin, Jalan Leboh Ampang, Jalan Tun Perak, Bulatan Dato' Onn, Jalan Parlimen, Jalan Raja Laut, Jalan Sultan Ismail, Jalan Tuanku Abdul Rahman, Jalan Munshi Abdullah, Jalan Dang Wangi, Jalan Mahkamah Persekutuan dan Jalan Raja turut ditutup, katanya dalam kenyataan hari ini.

Jalan Hishamuddin/Jalan Raja, Jalan Tuanku Abdul Rahman/Jalan Raja, Jalan Mahkamah Persekutuan pula ditutup dari 9 malam Jumaat hingga 12 tengah hari Sabtu sempena sambutan kemerdekaan itu. - Bernama

Sumber:
bernama.com


5 sekeluarga maut



Inalillahi wainailaihi rojiun

28 Ogos 2013
LEDANG - Lima sekeluarga maut manakala tiga beradik lagi cedera parah setelah kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Avanza yang mereka naiki melanggar sebuah lori di Pekan Bukit Kangkar, Jalan Tangkak-Muar di sini hari ini.
 
Mangsa yang maut dalam kejadian kira-kira 5.50 pagi itu ialah tiga beradik Rokiah Othman, 62; adik perempuannya, Mahani, 56; dan Jasilah, 42, serta suami Rokiah Basiron Kasiran, 74, dan saudara mereka Ramlah Abu Bakar, 66.
 
Tiga anak perempuan Mahani iaitu Siti Hajar Abdul Rahim, 30, yang merupakan seorang guru, Norain, 24, serta adiknya Suhada, 20, cedera parah dan kini dirawat di Hospital Pakar Sultanah Fatimah, Muar (HPSF).
 
Ketua Polis Daerah Ledang Supt Haron Idris berkata kemalangan itu berlaku ketika kenderaan membawa lapan penumpang itu dalam perjalanan pulang ke kampung mereka di Kampung Parit Amat, Parit Bakar, Muar.
 
Haron berkata mereka sebelum itu dilaporkan dari Kuantan, Pahang selepas menziarahi seorang saudara mereka yang meninggal dunia.

Katanya apabila sampai di tempat kejadian, kenderaan yang dipandu Allahyarham Jasilah dipercayai terbabas ke sebelah kanan jalan lalu merempuh bahagian hadapan sebuah lori treler yang diletakkan di tepi jalan.
 
"Berikutan kejadian itu, tiga mangsa iaitu Jasilah, kakaknya Rokiah dan saudara mereka Ramlah meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah yang dialami," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
 
Basiron dan Mahani pula meninggal dunia kira-kira pukul 8 pagi ini di HPSF selepas hampir dua jam mendapat rawatan.
 
Haron berkata Siti Hajar sehingga kini masih dalam keadaan tidak sedarkan diri manakala dua lagi adiknya yang dirawat di Wad kecemasan HPSF kini stabil.
 
Sementara itu suasana pilu menyelubungi perkarangan rumah mayat hospital berkenaan dengan dipenuhi lebih 50 kaum keluarga serta kenalan mangsa yang berkumpul di situ sejak tengah hari sebaik dimaklumkan tentang kejadian malang itu.

Tinjauan Bernama mendapati beberapa orang saudara mangsa yang terkejut dengan kejadian itu gagal menahan perasaan sehingga terpaksa ditenangkan oleh sanak saudara yang lain.
 
Difahamkan kesemua mangsa termasuk tiga beradik yang meninggal itu cukup disenangi di kalangan penduduk kampung dan saudara mara kerana sifat baik hati mereka.
 
Malah Rokiah, Mahani dan Jasilah juga dilaporkan yang amat rapat antara satu sama lain dan sering ke mana-mana bertiga walaupun telah mempunyai keluarga masing-masing. - Bernama

Al-Fatihah

Video Kemalangan


Sumber:
my.news.yahoo.com/lima-sekeluarga-maut-tiga-cedera-parah-avanza-langgar-095630090.html
hmetro.com.my/






Guru bertembung bas



28 Ogos 2013
LUNAS - Seorang guru wanita nyaris maut apabila kereta jenis Naza Citra yang dipandunya bertembung dengan sebuah bas di Jalan Batu Enam kira-kira jam 12.50 tengah hari semalam.

Ketua Polis Daerah Kulim, Ghuzlan Saleh berkata, dari siasatan dijalankan, mangsa bersama anak lelakinya keluar dari pekarangan Sekolah Menengah Kebangsaan Lunas untuk balik ke rumah mereka di Padang Serai.

“Mangsa datang dari arah Lunas menuju ke Padang Serai manakala bas awam yang terlibat dalam perjalanan dari Sungai Petani ke Kulim. Secara tiba-tiba mangsa dikatakan termasuk dalam laluan bas sebelum bertembung.

"Akibat rempuhan kuat, mangsa terperosok di bahagian hadapan bas manakala anak lelakinya berjaya diselamatkan sebelum dihantar ke Hospital Kulim untuk menerima rawatan kecemasan.

"Mangsa berjaya dikeluarkan dengan bantuan anggota bomba dan dihantar ke hospital sama. Sehingga kini mangsa dan anaknya dilaporkan berada dalam keadaan stabil,” katanya.

Ghuzlan menasihatkan kepada pengguna jalan raya supaya lebih berhati-hati dan sentiasa fokus ketika memandu.

Katanya, kemalangan maut sering berlaku di jalan Batu Enam dan meminta semua penunggang motosikal dan pemandu kereta supaya memperlahankan kenderaan mereka ketika melalui jalan terbabit.

Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/nyaris-maut-terperosok-depan-bas-1.196281



Nyaris bertembung lori



28 Ogos 2013
REMBAU - “Saya terkejut apabila secara tiba-tiba sebuah lori dari arah bertentangan masuk ke laluan kami dan saya segera menekan brek bagi mengelak dari dilanggar," luah mangsa kemalangan, Mohd Zin Jasman, 47, ketika ditemui di lokasi kemalangan di Kilometer 40, Jalan Seremban-Tampin, dekat sini, malam kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira 8.15 malam itu, Md Zin dan isterinya, Nor Azlina Azmi, 36, dalam perjalanan dari Taman Gunung Mas, Tampin ke Pekan Kota untuk makan malam.

Md Zin berkata, ketika kejadian dia mengekori sebuah lori treler dengan jarak dua kenderaan dan dalam sekelip mata sahaja, secara tiba-tiba sebuah lori masuk di antara treler dan keretanya.

"Saya cuba menekan brek bagi mengelak dari merempuh lori berkenaan, namun bahagian hadapan kereta saya berlanggar sedikit bahagian tengah lori itu.

"Dengan pantas saya mengelak menyebabkan kereta terbabas ke bahu jalan," katanya.

Menurutnya, susulan kejadian berkenaan, isteri pemandu lori berkenaan dikejarkan ke Klinik 1Malaysia yang terletak kira-kira 30 meter dari lokasi kejadian oleh orang awam.

Sementara itu, jurucakap polis berkata, berdasarkan siasatan awal dipercayai pemandu lori dari arah Seremban ke Tampin gagal mengawal kenderaan lalu terbabas ke kanan jalan dan melanggar bahagian hadapan sebuah kereta jenis Mazda.

“Bagaimanapun, kesemua mangsa tidak mengalami kecederaan serius," katanya.

Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/melaka-ns/terkejut-lori-masuk-laluan-1.196208



Kereta terbalik ketika belajar memandu



28 Ogos 2013
KANCHONG DARAT - Seorang pelajar sekolah memandu trauma selepas kereta yang dipandu semasa menjalani latihan memandu di laluan dari arah Banting ke Kanchong Darat terbalik berhampiran sebuah stesen minyak di Kanchong Darat, kelmarin.

Kejadian berlaku kira-kira jam 3 petang apabila sebuah kereta Proton Saga dari arah Kanchong Darat tiba-tiba membelok ke kanan, menyebabkan kereta dipandu pelajar terbabit gagal dikawal lalu terbalik.

Seorang guru sekolah memandu yang enggan dikenali berkata, pelajar wanita berumur lingkungan 20-an itu baru pertama kali menjalani latihan memandu.

Katanya, mangsa cuba mengelak sebuah kereta dari arah bertentangan yang tiba-tiba membelok ke kanan, namun gagal lalu merempuh kenderaan itu sebelum terbalik.

“Mujur dia hanya cedera ringan di bahagian kaki dan segera dihantar ke Hospital Banting, manakala saya tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Bagaimanapun saya percaya, dia mungkin trauma kerana kenderaan dipandunya terbalik dan hampir meragut nyawanya,” katanya yang berada di sebelah pelajarnya itu sepanjang latihan.

Seorang pengguna jalan raya, Nurhanis Rusli, 35, berkata, ketika kejadian, dia berada satu kilometer daripada kenderaan mangsa.

Katanya, dia sendiri tidak perasaan bila pemandu Proton Saga terbabit membelok ke kanan sebelum dirempuh kenderaan mangsa.

"Masa itu saya dalam perjalanan ambil anak di sekolah, tiba-tiba sahaja sebuah kenderaan terbalik di hadapan saya sebelum orang awam cuba membantu mangsa.

"Mujur kedua-dua pemandu selamat,” katanya.

Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/pelajar-sekolah-memandu-trauma-1.196234



Kakitangan Jabatan Insolvensi maut



Inalillahi wainailaihi rojiun

28 Ogos 2013
KUANTAN - Seorang kakitangan awam dari Jabatan Insolvensi maut selepas terjatuh daripada motosikalnya yang terbabas di Jalan Tanah Putih, di sini, pagi kelmarin.

Wan Mohd Khairi Wan Zakaria, 31, dari Kampung Teluk Mahang, dekat sini, yang menunggang bersendirian, cedera parah dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Ketua Jabatan Ketenteraman Awam dan Trafik Negeri, Superintendan Mohamed Fauzi Abdul Rahim berkata, kemalangan kira-kira jam 8.50 pagi itu berlaku ketika mangsa dipercayai dalam perjalanan ke tempat kerja.

Menurutnya, mangsa yang menunggang Modenass Kriss dipercayai dalam perjalanan dari arah Kuantan menghala ke Gambang.

“Ketika tiba di lokasi kejadian, mangsa gagal kawal motosikal lalu terbabas sebelum melanggar besi pengadang jalan. Mangsa yang tercampak ke atas jalan, mengalami cedera parah dan meninggal dunia di tempat kejadian,’ katanya.

Mohamed Fauzi berkata, mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Tengku Ampuan Afzan Kuantan untuk bedah siasat sebelum jenazah dituntut keluarga.

“Hasil siasatan awal mendapati kemalangan berlaku akibat motosikal hilang kawalan kerana ketikaitu, cuaca baik dan jalan lurus. Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Al-Fatihah

Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/pahang/kakitangan-awam-tercampak-atas-jalan-1.196219



Nyaris maut kereta terhumban


28 Ogos 2013
MARANG – Seorang pemandu dan penumpang terselamat selepas kereta Proton Wira dinaiki dipercayai terbabas dan terhumban, sebelum terbalik di tepi jalan, Jalan Bukit Kor ke Kampung Undang dekat sini, pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 7.25 pagi itu, pemandu terbabit dipercayai memandu dari arah Bukit Kor menuju ke Undang sebelum kenderaannya hilang kawalan dan terbabas.

Bagaimanapun, pemandu dan penumpang lelaki terbabit yang tidak diketahui status kecederaan mereka berjaya diselamatkan orang awam dan dihantar ke klinik kesihatan berdekatan untuk menjalani pemeriksaan serta rawatan.

Sepasukan lima anggota penyelamat dari Balai Bomba dan Penyelamat Wakaf Tapai tiba di tempat kejadian tidak lama selepas itu namun dimaklumkan dua mangsa terbabit terselamat dan telah dikeluarkan.

Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/terengganu/terselamat-selepas-kereta-terbabas-terhumban-1.196204



Tuesday, August 27, 2013

Lihat rakan melambung



27 Ogos 2013
TELOK KEMANG – "Saya tidak sangka lelaki yang melambung di atas jalan itu adalah rakan saya," luah seorang saksi kemalangan maut di simpang lampu isyarat Bandar Sunggala, petang kelmarin.


Mohamed Zulkifli Adnan, 23, berkata, beberapa minit sebelum kejadian, dia sempat berbual dengan rakannya sebelum memaklumkan ingin pulang ke rumah di Bandar Sunggala.

Menurutnya, ketika kejadian dia berada di deretan premis perniagaan bertentangan dengan lokasi kejadian.

“Ada kedengaran bunyi dentuman yang agak kuat dan sejurus itu kelihatan seorang lelaki melambung sebelum terjatuh ke atas jalan,” katanya.

Dalam kejadian itu, mangsa, T Ravendaran, 38, yang membonceng motosikal jenis Honda maut di Hospital Port Dickson (HPD) sekitar jam 7.40 malam akibat kecederaan parah.

Manakala rakannya yang juga penunggang motosikal, N Thanakumaran, 26, cedera parah dan dikejarkan ke HPD sebelum dihantar ke KJP Healthcare Berhad (KPJ) untuk rawatan lanjut.

Kejadian kira-kira jam 7.05 malam itu membabitkan sebuah pacuan empat roda jenis Audi dan motosikal jenis Honda.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Abd Wahab Harun berkata, siasatan awal polis mendapati, mangsa yang menunggang motosikal dari arah Telok Kemang masuk ke simpang kanan lampu isyarat ke Bandar Sunggala sebelum dirempuh kereta pacuan empat roda. Akibatnya, penunggang dan pembonceng motosikal tersebut tercampak beberapa meter dari lokasi kemalangan.

“Pemandu pacuan empat roda yang berusia 38 tahun dan memandu bersendirian itu tidak cedera,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian, semalam.

Abd Wahab berkata, orang ramai yang menyaksikan kejadian itu diminta menghubungi pegawai penyiasat di talian 019-3803462 untuk membantu siasatan.

“Mangsa yang maut dihantar ke Rumah mayat HPD untuk dibedah siasat dan dituntut ahli keluarga tengah hari tadi (semalam),” katanya.

Katanya, kes itu disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sumber:
Sinarharian.com.my/edisi/pahang/rakan-melambung-depan-mata-1.196061



Empat pemandu nyaris maut



27 Ogos 2013
KUALA LANGAT - Empat pemandu nyaris maut apabila kenderaan yang dipandu mereka berlanggar antara satu sama lain sebelum sebuah kenderaan jenis Honda Civic terbalik melintangi jalan dalam kemalangan di Sungai Sedu menghala ke Banting, di sini Sabtu lalu.

Kejadian kira-kira jam 4 petang berlaku apabila sebuah kenderaan jenis Toyota Hilux dalam perjalanan dari arah Klang ke Banting cuba memasuki lorong kanan namun hilang kawalan.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Nordin Manan berkata, pemandu yang berusia 33 tahun itu secara tiba-tiba memasuki lorong kanan bergesel dengan kenderaan jenis Suzuki Swift sebelum hilang kawalan dan melanggar bahagian belakang kenderaan jenis Honda Civic.

“Akibat daripada perlanggaran itu, pemandu Honda Civic terbabas lalu bertembung pula dengan kereta jenis Cherry dari arah bertentangan lalu terbalik di laluan menghala ke Klang.

“Orang ramai yang menyaksikan kemalangan itu memberi bantuan melancarkan perjalanan lalu lintas” katanya.

Nordin berkata, kesemua mangsa hanya mengalami kecederaan ringan dan dirawat sebagai pesakit luar di Hospital Banting.

Katanya, kes disiasat di bawah Peraturan 10 Kaedah-Kaedah Lalu Lintas, Akta Pengangkutan Jalan 166/59 kepada pemandu kenderaan jenis Toyota Hilux yang menyebabkan kemalangan.

Dalam pada itu, beliau turut menasihatkan pemandu jalan raya supaya meningkatkan keselamatan jalan raya terutama apabila menggunakan laluan lurus.

Katanya, tindakan mengubah laluan sesuka hati bakal mengundang kemalangan yang teruk.

Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/selangor-kl/empat-pemandu-nyaris-maut-1.195895



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Headlines

FeedBurner FeedCount