loading...

Saturday, March 23, 2013

Sempat panggil isteri




Inalillahi wainailaihi rojiun

23 Mac 2013
ALOR GAJAH - "Ketika arwah suami memanggil nama saya, saya ingatkan kereta kami hampir dirempuh kenderaan lain sebelum kereta dinaiki meluncur laju dan merempuh timbunan dahan pokok di tepi jalan," kata Bibi Khunci Mohamad, 58, ketika menceritakan kemalangan yang mengorbankan suaminya di Kilometer 205 Lebuhraya Plus arah selatan di sini, awal pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 1 pagi itu, mangsa, Muiddin Abdullah, 64, memandu Proton Iswara bersama isteri, Bibi Kunchi, dari Subang Jaya, Kuala Lumpur, menuju Tangkak, Johor, sebelum hilang kawalan.

Bibi Khunci berkata, ketika kejadian, kereta yang dinaikinya bersama suami mengekori sebuah lagi kereta dinaiki tiga saudara mereka, namun secara tiba-tiba arwah mengadu sakit dada.

“Semasa memandu arwah beritahu hendak minum air sebelum mengadu seperti selesema berikutan pernafasannya tersekat-sekat dan saya beri minyak angin,” katanya.

Menurutnya, selepas suaminya minum sedikit air dan hidu minyak angin, tiba-tiba suaminya memanggilnya berulang kali sebelum kereta dinaiki merempuh timbunan dahan di tepi jalan, " katanya.

Saksi kejadian, M Saravanan, 34, berkata, dia yang memandu kira-kira 500 meter di belakang kereta mangsa pada mulanya menyedari kelibat kereta itu, namun beberapa minit kemudian kereta mangsa menghala ke kiri lebuhraya.

“Disebabkan laluan gelap, saya menyangka kereta itu sudah memecut laju, namun sebaik sahaja melalui jalan berkenaan saya lihat lampu belakang kereta mangsa menyala dan terus berhentikan lori untuk membantu,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Umar Ali Saifuddin Shaharuddin mengesahkan kejadian itu dan mayat mangsa dihantar ke bilik mayat Hospital Melaka  sebelum jenazah dituntut ahli keluarga.

Sumber:
http://www.sinarharian.com.my/edisi/melaka-ns/sempat-panggil-isteri-sebelum-maut-1.142208


Diseret lori 10 meter


kemalangan di simpang Taman KSNS, Chembong


23 Mac 2013
REMBAU – Seorang wanita trauma apabila kereta Perodua Kancil yang dinaikinya dilanggar dari arah belakang ketika mahu memasuki simpang Taman KSNS, Chembong di kilometer 21, Jalan Seremban Tampin, dekat sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira 1.30 tengah hari itu, pemandu lori berusia dalam lingkungan 50-an membawa lori muatan kira-kira 10 bakul timun dari arah Tampin dipercayai tidak menyedari terdapat kenderaan di hadapan yang ingin memasuki simpang.

Jurucakap polis berkata, pemandu lori itu didapati melanggar bahagian belakang kereta jenis Perodua Kancil sehingga menyebabkannya terseret ke hadapan sejauh kira-kira 10 meter.

“Mangsa yang tidak mengalami kecederaan serius dikejarkan ke Klinik Kesihatan Pedas dan dirawat sebagai pesakit luar. Manakala pemandu lori tidak cedera,” katanya.

Ketua Polis Daerah Rembau, Deputi Superintenden Mizan Md Dom mengesahkan kejadian

Sumber:
http://www.sinarharian.com.my/edisi/melaka-ns/kereta-diseret-10-meter-1.142126





Van bawa RM12 juta terbalik




23 Mac 2013
HULU SELANGOR - Sebuah van keselamatan membawa lebih RM12 juta dalam perjalanan ke sebuah bank di Batang Kali, terbabas dan terbalik di simpang tiga Jalan Bukit Beruntung-Rasa, tengah hari semalam.



Pemandu, Mohd Azrul Hamid, 26, berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 12 tengah hari ketika dia bersama pengawal keselamatan dan dua pengendali wang pemindahan (CIT) dalam perjalanan ke sebuah bank di Batang Kali.

Katanya, sebaik membelok di persimpangan itu, dia gagal mengawal kenderaan lalu terbabas dan terbalik kerana jalan berpasir.

“Jalan berpasir, jadi masa membelok menghala ke Rasa, van terbabas ke kanan dan terbalik sebelum melanggar pembahagi jalan.

"Tapi, saya bersama tiga yang lain bernasib baik kerana tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya di tempat kejadian.

Mohd Azrul berkata, terdapat 13 beg besar dan enam beg kecil mengandungi wang tunai dianggarkan lebih RM12 juta untuk kegunaan mesin juruwang automatik (ATM) serta deposit tunai, tersimpan dalam peti simpanan keselamatan van itu.

Menurutnya, jumlah berkenaan dinilai berdasarkan bilangan bil yang ada dengan setiap satu bil tertera jumlah RM500,000 dan ia tidak termasuk enam beg kecil berisi simpanan wang tunai.

“Kami baru selesai urusan di bank sekitar Rawang, Bukit Sentosa dan Bukit Beruntung. Sepatutnya wang ini dibawa ke Batang Kali sebelum berakhir di Tanjung Malim.

“Tapi disebabkan kemalangan, kami perlu tunggu van keselamatan lain untuk membawanya,” katanya.

Tinjauan Sinar Harian mendapati, wang itu berjaya dipindahkan ke van lain tepat jam 2 petang dengan kawalan ketat polis bersenjata.

Penduduk sekitar turut berkumpul menyaksikan pemindahan wang melebihi RM12 juta itu.

Sumber:
http://www.sinarharian.com.my/edisi/selangor-kl/van-bawa-rm12-juta-terbalik-1.142119


Maut dirempuh ketika membaiki lori




Inalillahi wainailaihi rojiun

23 Mac 2013
BENTONG – Tindakan seorang pemandu lori dan kelindan membaiki lori yang rosak di Kilometer 51.3 Lebuhraya Karak-Kuala Lumpur bertukar tragedi apabila salah seorangnya maut.

Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Mohamad Mansor Mohd Nor berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 8.15 malam kelmarin apabila mereka dikatakan memberhentikan lori di kiri lebuh raya selepas menyedari kenderaan masalah.

Katanya, mangsa yang maut ialah, Mohd Pauzi Zainol Abidin, 46 manakala kelindannya, Mohd Ridhwan Yusoff, 20 ,cedera ringan.

“Ketika kejadian berlaku, mereka berdua dipercayai cuba membaiki lori yang rosak.

“Secara tiba-tiba datang kenderaan yang masih belum dikenal pasti melanggar kedua-dua mereka dari arah belakang,” katanya.

Mohamad Mansor berkata, Mohd Pauzi kemudiannya dipercayai tercampak dan mengalami kecederaan di bahagian kepala.

“Petugas ambulans yang tiba di tempat kejadian mengesahkan mangsa meninggal dunia serta merta manakala Mohd Ridhwan pula mengalami cedera ringan dan dibawa ke Hospital Bentong.

“Mayat mangsa turut dibawa ke hospital sebelum dituntut ahli keluarga,” katanya.

Mohamad Mansor berkata, berdasarkan siasatan di tempat kejadian, polis menemui bahagian hadapan kenderaan dipercayai melanggar mangsa dan usaha mengesan masih dijalankan.

Katanya, kejadian diklasifikasikan langgar lari dan siasatan masih diteruskan di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Pengguna yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu diminta tampil dan menghubungi balai polis berhampiran bagi membantu siasatan atau hubungi pegawai penyiasat Inspektor A Haribalan menerusi talian 0164620998," katanya.

Al-Fatihah

Sumber:
http://www.sinarharian.com.my/edisi/pahang/tragedi-lori-rosak-1.142116



Friday, March 22, 2013

Terhumban dalam parit




22 Mac 2013
KUALA KURAU, Kerian - Seorang warga tempatan cedera parah selepas kenderaan yang dipandunya terhumban ke dalam parit sedalam lima meter di Batu 6, Jalan Baharu di sini, kelmarin.

Lebih memburukkan keadaan, kenderaan jenis Proton Iswara yang dinaiki mangsa berusia lingkungan 50-an turut merempuh dua motosikal yang diletakkan di bahu jalan sehingga menyebabkan kedua-duanya hampir musnah.

Saksi kejadian enggan dikenali berkata, mangsa dipercayai dalam perjalanan ke Parit Buntar dari arah pekan Kuala Kurau sebelum gagal mengawal kenderaannya dalam kemalangan jam 10 pagi.

Menurutnya, kenderaan yang dipandu dipercayai hilang kawalan sebelum ke laluan bertentangan dan merempuh dua motosikal yang diletakkan di bahu jalan.

"Kereta terbabit kemudiannya terhumban ke parit berhampiran bersama dua motosikal yang terheret.

“Kejadian itu menyebabkan bunyi dentuman kuat sebelum saya bersama beberapa penduduk meninjau tempat kejadian dan membantu mengeluarkan mangsa yang tersepit.

“Mangsa cedera parah di beberapa bahagian badan setelah terperangkap di dalam kereta itu lebih setengah jam dan dikejarkan ke Hospital Parit Buntar untuk rawatan lanjut,” katanya sewaktu ditemui media semalam.

Saksi kejadian berkata, kejadian menimpa kedua-dua motosikal jenis Honda EX-5 hanya disedari pemiliknya sejam selepas kejadian berlaku.

“Pasukan Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Kurau yang tiba beberapa minit selepas kejadian turut membantu mengeluarkan kedua-dua motosikal yang terhimpit di balik kereta terbabit.

“Melihat keadaan motosikal selepas dinaikkan, saya rasa kedua-duanya mengalami kerosakan teruk,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Mat Fauzi Nayan ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan menegaskan siasatan masih dijalankan.

Sumber:
http://www.sinarharian.com.my/semasa/kereta-terbabas-sapu-dua-motosikal-1.141802




Thursday, March 21, 2013

Maut bersama jiran




Inalillahi wainailaihi rojiun

21 Mac 2013
SUNGAI SIPUT - Niat murni sepasang suami isteri membantu menghantar jiran mendapat rawatan susulan di Ipoh berakhir tragedi apabila ketiga-tiga mereka maut dalam satu kemalangan membabitkan kereta dan treler di Kilometer 41.3 berhampiran Kampung Setia Salak Baru di sini, malam kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 8.20 malam itu, pemandu kereta, Romlan Ros Abdul Bakar, 52, dan isterinya, Haniza Hussin, 46, serta jiran mereka Mohd Ridzuan Mohd Nor, 55, meninggal dunia di tempat kejadian setelah kenderaan jenis Proton Iswara Aeroback yang dinaiki bertembung  dengan treler membawa muatan pencawang yang datang dari arah bertentangan.

Kesemua mangsa yang meninggal dunia dibawa ke Hospital Sungai Siput (HSS) untuk dibedah siasat sebelum dituntut ahli keluarga masing-masing untuk dikebumikan di Tanah Perkuburan Felda Bersia, Gerik, semalam.

Manakala isteri kepada Mohd Ridzuan, Zaharah Abdullah, 52, yang cedera parah di pinggang dan di dada kini ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) bagi mendapatkan rawatan.

Menurut anak ketiga Romlan Ros dan Haniza, Mohammad Anuwaruddin, 22, kedua-dua ibu bapanya bergerak dari rumah mereka di Felda Bersia, Gerik lebih kurang jam 5.30 petang kelmarin bersama jiran mereka itu.

Katanya, Mohd Ridzuan yang juga rakan baik kepada bapanya tidak mampu memandu sendiri untuk ke rumah anaknya di Ipoh bagi mendapat rawatan susulan selepas menjalani pembedahan empat jari kaki kanan akibat penyakit kencing manis.

“Sebelum ini, jika ingin berjalan jauh, mereka (Romlan Ros dan Haniza) pasti akan sewa van dan saya sendiri pandu kenderaan tersebut.

"Namun entah mengapa bapa saya membuat keputusan untuk memandu sendiri dari Gerik menuju ke Ipoh,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik HSS di sini, semalam.

Dia yang bakal melangsungkan konvokesyen pada April ini selepas tamat dalam pengajian Diploma Kejuruteraan Mekanikal di Politeknik Ungku Omar (PUO) turut sedih kerana tidak dapat berkongsi kejayaan bersama ibu bapa tercinta.

Mohammad Anuwaruddin berkata, bapanya yang bekerja sebagai pemandu bas sekolah di Gerik adalah bekas tentera yang berperwatakan tegas manakala ibunya yang juga pengasuh kanak-kanak adalah seorang yang penyayang.


Sempat ziarah anak

Dalam perkembangan berkaitan, anak sulung Mohd Ridzuan, Nurfazila, 30, berkata, arwah bapanya yang menjalani pembedahan beberapa bulan lalu di sebuah hospital swasta masih dalam keadaan kurang sihat dan bergantung pada ubat saban hari.

Menurutnya yang menetap di Bukit Jambul, Pulau Pinang, kedua ibu bapanya baru sahaja melawat mereka sekeluarga minggu lalu.

“Malah, saya kerap menghubunginya bertanya khabar kerana ayah sering tidak sihat selepas pembedahan tersebut.

“Ayah yang bertugas di Lembaga Air Perak masih diberi cuti sakit sehingga benar-benar pulih,” katanya yang mengetahui mengenai kemalangan itu daripada ahli keluarganya jam 11 malam.

Nurfazila berkata, dia bergegas ke Ipoh untuk melihat keadaan ibunya yang ditempatkan di HRPB sebelum ke HSS untuk melihat jenazah bapanya.

“Ibu masih ditempatkan di wad HRPB dan keadaannya kritikal. Saya hanya mampu berdoa semoga dia boleh diselamatkan,” katanya.



Siasatan masih diteruskan

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sungai Siput Superintendan Azman Salim berkata, siasatan awal mendapati kereta Proton Iswara Aeroback yang dinaiki mangsa dalam perjalanan dari Gerik menghala ke Ipoh secara tiba-tiba memasuki laluan treler membawa muatan besi pencawang yang datang dari arah bertentangan.

“Akibatnya, kedua-dua kenderaan bertembung secara berhadapan sebelum kereta tersebut diseret treler ke kiri jalan,” katanya.

Menurutnya, mangsa yang tersepit di dalam kenderaan tersebut dikeluarkan Jabatan Bomba dan Penyelamat Sungai Siput sebelum diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya.

“Tiga daripada mangsa maut di tempat kejadian manakala seorang lagi cedera parah dan dihantar ke HRPB. Kami sudah ambil keterangan pemandu treler dan polis akan menyiasat punca sebenar kejadian,” katanya.

Al-Fatihah

Sumber:
http://www.sinarharian.com.my/semasa/niat-bantu-jiran-berakhir-tragedi-1.141603


Disondol Lori




21 Mac 2013
IPOH - Sebahagian tembok konkrit sebuah pejabat syarikat pengangkutan bas terkemuka di Jalan Bendahara pecah gara-gara dilanggar sebuah lori dalam satu kejadian di sini awal pagi semalam.

Lori tersebut dipercayai melanggar besi penghadang jalan sebelum masuk ke dalam longkang dan merempuh tembok konkrit di kawasan berkenaan.

Dalam kejadian jam 5.45 pagi itu, beberapa orang kakitangan serta pemandu bas syarikat berkenaan berada di pejabat sebelum mendengar bunyi dentuman kuat yang datang dari arah luar pejabat.

Kejadian itu mengakibatkan tiga buah kereta jenis Nissan Datsun, Proton Saga dan Mitsubishi rosak teruk akibat terkena serpihan batu konkrit yang pecah selepas pelanggaran tersebut.

Salah seorang pemilik kereta, Wong Chee Keong, 55, berkata di meletakkan kenderaannya di situ kerana bertugas sebagai pemandu bas di syarikat berkenaan.

“Saya dimaklumkan mengenai kejadian tersebut oleh kakitangan pejabat kira-kira jam 8 pagi tadi (semalam) dan ketika itu saya baru selesai menjalankan tugas.

“Berikutan itu, saya kerugian ribuan ringgit kerana kereta saya mengalami kerosakan teruk antaranyta cermin hadapan pecah dan bonet hadapan remuk kerana terkena bongkah-bongkah batu konkrit tersebut,” katanya.

Sementara itu, salah seorang kakitangan syarikat berkenaan berkata pemandu lori terbabit didapati melarikan diri sejurus selepas kemalangan tersebut berlaku.

Katanya, semuanya berlaku sepintas lalu namun bernasib baik kerana tiada penumpang atau pengguna yang berada di kawasan tersebut.

“Sehubungan itu, kami akan menutup kawasan runtuhan berkenaan buat sementara waktu supaya kerja pembersihan dapat dilakukan segera,” katanya.

Sumber:
http://www.sinarharian.com.my/edisi/perak/pemandu-lori-lesap-1.141661




Abang Maut Adik Parah




21 Mac 2013
BENTONG – Dua adik beradik terlibat dalam kemalangan yang berlaku di Kilometer 66.4 Lebuhraya Karak-Kuala Lumpur kira-kira jam 4.15 pagi semalam.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Mohamad Mansor Mohd Nor berkata, mangsa yang maut ialah Wong Kim Teng, 35, beralamat di Raub manakala adiknya, Wong Kim Onn, 30, pula mengalami kecederaan parah di kaki kirinya.

Menurutnya, kedua-dua mangsa menaiki kenderaan jenis Perodua Kelisa dan dalam perjalanan dari arah Bentong ke Kuala Lumpur.

“Setibanya di tempat kejadian, kenderaan dipandu Kim Teng itu dipercayai hilang kawalan dan kemudian melanggar belakang sebuah treler jenis Volvo membawa muatan plastik.

“Akibat rempuhan itu, kedua-duanya tersepit di dalam kenderaan dan terpaksa dikeluarkan dengan bantuan anggota bomba dan penyelamat,” katanya.

Mohamad Mansor berkata, kedua-dua mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Bentong untuk menerima rawatan.

Katanya, bagaimanapun Kim Teng disahkan mati akibat kecederaan parah di bahagian kepala semasa menerima rawatan dan adiknya pula terpaksa dikejarkan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk rawatan lanjut.

“Pemandu lori treler yang berumur 38 tahun pula tidak mengalami sebarang kecederaan," katanya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sumber:
http://www.sinarharian.com.my/edisi/pahang/abang-maut-adik-cedera-parah-1.141554



Wednesday, March 20, 2013

Tiga sekawan maut




20 Mac 2013
SUNGAI SIPUT: Tiga daripada empat lelaki mati serta merta apabila kereta Perodua Kancil yang dinaiki mereka merempuh sebuah treler di Batu 27 Kampung Setia, Salak Baru di sini, malam tadi.

Dalam kejadian 8.30 malam itu, ketiga-tiga korban tersepit di tempat duduk masing-masing menyebabkan anggota bomba dan penyelamat mengambil masa kira-kira dua jam untuk mengeluarkan mayat mereka.

Seorang lagi penumpang sempat diselamatkan apabila pasukan Bomba dan Penyelamat Sungai Siput dapat mengeluarkannya dan dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh bagi rawatan kecederaan parah yang dialaminya.

Harian Metro difahamkan, siasatan awal pihak berkuasa dipercayai kereta berkenaan terbabas dan memasuki laluan bertentangan sebelum bertembung dengan sebuah treler.

Polis sedang menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian.

Sumber:
http://www.hmetro.com.my/articles/Korbantigasekawan//Article


Guru tadika maut kemalangan




Inalillahi wainailaihi rojiun

20 Mac 2013
LENGGONG - Seorang wanita maut selepas kereta dipandunya bertembung dengan kenderaan pelbagai guna (MPV) dalam kemalangan di kilometer 53.3 Jalan Kuala Kangsar - Gerik dekat Selat Pagar, di sini, pagi semalam.

Mangsa, Norhafizah Adam, 40, yang memandu kereta Proton Wira dipercayai dalam perjalanan dari Gerik ke Lenggong sebelum bertembung dengan MPV Toyota Avanza yang dipandu Nor Ta’qa Zainudin, 20, yang datang dari arah bertentangan.

Ketua Polis Daerah Gerik, Superintendan Abdul Manab Baharum berkata, dalam kejadian yang berlaku berlaku jam 8 pagi itu, mangsa yang juga guru tadika Kemas dikatakan memandu seorang diri.

“Siasatan awal mendapati kereta yang dipandu Nor Ta’qa dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas di laluan bertentangan menyebabkan kenderaannya bertembung dengan kereta yang dipandu mangsa.

“Akibat rempuhan tersebut, pemandu kereta Proton Wira maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah dibahagian kepala dan mayatnya dibawa ke Hospital Kuala Kangsar (HKK) untuk dibedah siasat.

“Pemandu Toyota Avanza turut mengalami cedera parah dan turut dihantar ke hospital yang sama untuk mendapat rawatan.

“Mangsa yang maut dipercayai akibat kecederaan dalaman dan kes tersebut disiasat di bawah kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Lenggong, Wan Ahmad Izuwan berkata pihaknya menerima panggilan jam 8.12 pagi sebelum tiba dilokasi kejadian kira-kira 15 minit kemudian.

“Seramai enam anggota dan satu jentera bergegas ke tempat kejadian bagi menyelamatkan mangsa yang tersepit.

“Kami menggunakan peralatan menyelamat (rescue tool) untuk mengeluarkan badan mangsa dari tempat duduknya yang mengambil masa kira-kira 15 minit.

Saiz badan mangsa yang agak besar dan kecederaan yang dialami mangsa menyebabkan kerja menyelamat perlu dilakukan dengan berhati-hati dan mengambil masa sedikit,” katanya.

Menurut beliau, mayat mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut sementara pemandu kenderaan Toyota Avanza mengalami cedera parah turut dikeluarkan oleh anggota penyelamat.

Sumber:
http://www.sinarharian.com.my/edisi/perak/guru-tadika-maut-kemalangan-1.141326


Maut rempuh lori pembersih jalan



20 Mac 2013
KUALA LUMPUR - Seorang lelaki maut selepas kereta dipandunya terbabas dan merempuh lori pembersih jalan di kilometer 7.2 Lebuhraya Sprint, awal pagi semalam.

Pegawai Turus Siasatan dan Perundangan Trafik Kuala Lumpur, Deputi Superintenden Abdullah Roning berkata, kejadian jam 1.38 pagi itu berlaku ketika mangsa yang memandu bersendirian dalam perjalanan ke arah Utara.

“Siasatan mendapati kereta Ford Fiesta yang dipandu mangsa, Philip Ku Poh Keong, 35, dipercayai dipandu laju dan hilang kawalan sebelum merempuh belakang lori berkenaan.

“Pelanggaran itu menyebabkan mangsa tersepit di tempat duduk pemandu dan meninggal dunia serta-merta di lokasi kejadian,” katanya.

Menurutnya, anggota Bomba dan Penyelamat dari Sri Damansara dan Taman Tun Dr Ismail membantu mengeluarkan mangsa.

Mayat dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Malaya untuk bedah siasat dan kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sumber:
http://www.sinarharian.com.my/edisi/selangor-kl/pemandu-maut-rempuh-lori-1.141274


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Headlines

FeedBurner FeedCount