Saturday, February 2, 2013

2 sepupu maut



Inalillahi wainailaihi rojiun

3 Februari 2013
JERANGAU - Hasrat dua sepupu untuk menikmati makan malam dengan duit gaji tidak kesampaian apabila mereka maut dalam kemalangan melibatkan sebuah kereta dan motosikal, dekat sini, malam kelmarin.

Kemalangan kira-kira jam 8 malam di Kilometer 55.5 Jalan Jerangau-Jabor itu dipercayai berlaku apabila motosikal ditunggang Darwis Banudin, 32, dan rakannya yang membonceng, Yuhaime Yusoff, 26, dari arah Ajil menghala ke Jerangau dipercayai masuk ke laluan bertentangan.

Motosikal ditunggang dua sepupu itu kemudiannya bertembung dengan sebuah Proton Waja dari arah bertentangan.

Ketika kejadian, arwah Yuhaimie dikatakan dalam perjalanan untuk mengambil wang gaji daripada majikannya bersama sepupunya, Darwis, seorang buruh ladang.

Dua mangsa cedera parah di kepala dan kecederaan dalaman sebelum maut di tempat kejadian.

Pemandu Proton Waja, Zulkifly Adam, 35, seorang pemandu jentera berat, tidak cedera.

Mayat kedua-dua mangsa kemudiannya dibawa ke Unit Forensik Hospital Dungun untuk bedah siasat.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Dahlan Mohd Noor mengesahkan kemalangan tersebut dan kes masih dalam siasatan pihaknya.

Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/terengganu/dua-sepupu-maut-1.127658


Mangsa disyaki mabuk tersepit


3 Februari 2013
KUALA LUMPUR – Akibat gagal mengawal kenderaan, seorang lelaki tersepit hampir 40 minit selepas kereta dipandunya terbabas ke haluan bertentangan lalu bertembung dengan sebuah kereta Honda City, hanya kira-kira satu kilometer dari Balai Bomba Seputeh, di Jalan Tmn Desa, Klang Lama, di sini kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira 4.30 pagi itu, mangsa cedera di kepala dan badan.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur, Azizan Ismail berkata, mangsa yang memandu kereta jenis Proton Satria, datang dari arah Taman Desa menuju Klang Lama.

“Kereta mangsa terbabas ke laluan bertentangan dan merempuh sebuah kereta dari arah bertentangan.

“Mangsa cedera akibat tersepit dan hampir tidak sedarkan di dalam kenderaan. Manakala, seorang lagi penumpang yang dibawanya tidak mengalami kecederaan, begitu juga dengan pemandu kereta dari arah Jalan Klang Lama yang dalam perjalanan ke Taman Klang Desa itu,” katanya ketika mengesahkan kejadian itu kepada Sinar Harian, semalam.

Azizan berkata, mangsa separa sedar dan berkemungkinan akibat dari memandu dalam keadaan mabuk.

Beliau berkata, mangsa kemudiannya dihantar ke Hospital Perubatan Universiti Malaya, di sini untuk mendapatkan rawatan.

Sumber:
sinarharian.com.my/semasa/mangsa-disyaki-mabuk-tersepit-1.127636


Guru maut gara-gara katak dalam kereta



3 Februari 2013
GOMBAK – Disebabkan panik apabila seekor katak tiba-tiba melompat keluar di bahagian dalam kereta dipandunya, seorang guru maut manakala dua lagi anaknya cedera parah apabila kenderaan itu terbabas melanggar pokok, petang kelmarin.


Difahamkan, guru berkenaan dan anaknya dalam perjalanan pulang ke rumah selepas tamat sesi persekolahan.

Sinar Harian dimaklumkan, pagi hari kejadian, salah seorang anaknya memberitahu kasut sekolahnya dimasuki seekor katak yang kemudian hilang di dalam kereta itu.

Jurucakap polis berkata, mangsa yang berkhidmat di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Chap Kuan Batu Arang kemudian meminta beberapa anak muridnya membantu mencari katak itu setibanya di sekolah.

Bagaimanapun, haiwan itu gagal ditemui sebelum ia dikatakan tiba-tiba muncul dalam perjalanan pulang guru itu bersama dua anaknya ke rumah.

Menurut sumber itu, kejadian berlaku kira-kira jam 5.30 petang di Jalan Kota Puteri berdepan dengan kolam pancing Batu Arang.



Mangsa, Moey Yin,36, yang panik dipercayai tertekan minyak kereta jenis Proton Ezora dipandu sebelum melanggar sebatang pokok.

Rempuhan kuat menyebabkan dia meninggal dunia serta merta di tempat kejadian akibat kecederaan di dada manakala dua lagi anaknya masing-masing perempuan dan lelaki berusia sembilan dan lapan tahun yang berada di tempat duduk penumpang cedera parah.

"Salah seorang anak mangsa berada dalam keadaan koma manakala seorang lagi patah kaki dan dirawat di Hospital Sungai Buloh," katanya.

Sehubungan itu beliau berkata, saksi kemalangan atau mereka yang mempunyai maklumat berhubung kejadian terbabit diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak, Inspektor Rasha Azrul Shafii di talian 03-61262273 atau 03-61262257 untuk membantu siasatan.

 KATAK yang ditemui dalam kereta mangsa.

Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/selangor-kl/maut-angkara-katak-1.127646
hmetro.com.my/articles/Matikeranakatak//Article



Friday, February 1, 2013

Remaja maut dilanggar lari

Inalillahi wainailaihi rojiun

1 Februari 2013
TAMPIN – Seorang remaja maut dan seorang lagi cedera parah selepas motosikal ditunggangi mereka terlibat dalam dua kemalangan berasingan dipercayai langgar lari dalam tempoh tidak sampai tiga jam, dekat sini, malam kelmarin.

Ketua Polis Daerah Tampin, Superintendan Wooi Kooi Cheang berkata, dalam kejadian pertama kira-kira jam 7.30 malam di kilometer 26, Jalan Tampin-Gemas, motosikal jenis Honda EX5 ditunggang Liau Lok Chong, 18, dari arah Gemas ke Tampin dilanggar dari belakang oleh sebuah kenderaan jenis motorjip.

Menurutnya, akibat pelanggaran itu, mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan kini ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Melaka.

“Berdasarkan siasatan awal, motosikal mangsa dipercayai bergesel dengan kenderaan tersebut yang mana hingga kini (jam 1.00 petang), pihak berkenaan belum tampil membuat laporan polis.

“Saksi kejadian boleh menyalurkan maklumat kepada Sarjan Abdul Karim Hasan dengan menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tampin di talian 06-4411221 atau 06-4411222,” katanya.

Kooi Cheang berkata, dalam kejadian kedua kira-kira jam 10.30 malam di kilometer 15, Jalan Gemas-Rompin, mangsa Hazizul Abdul Khalid, 16, maut di tempat kejadian selepas cedera parah di kepala.

Bagaimanapun katanya, motosikal jenis Honda EX5 ditunggang mangsa tidak ditemui di tempat kejadian.

“Berdasarkan siasatan awal, terdapat dua jalur kesan tayar di lokasi kejadian dipercayai kesan brek dari kenderaan jenis bas atau lori.

“Saksi kejadian diminta tampil ke balai polis berdekatan atau menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Mohd Riduan Ghazali di talian 06-4411221 atau 06-4411222,” katanya.

Sementara itu, bapa mangsa yang maut, Abdul Khalid Sulaiman, 54, dari Felda Pasir Besar berkata, dia berasa sangat terkejut apabila mengetahui anaknya terbabit dalam kemalangan dan bergegas ke lokasi kejadian.

“Sedih bila lihat keadaan anak pakcik dan di lokasi kejadian hanya terdapat arwah, serpihan nombor plat motosikal serta dua pasang selipar warna hitam dan kuning,” katanya ketika ditemui di pekarangan Bilik Mayat Hospital Tampin (HT), dekat sini, semalam.

Katanya, sejak tiga hari kebelakangan ini, perasaan simpati menular dalam hatinya apabila terpandang wajah anaknya itu.

“Pada malam kejadian, anak ketujuh saya ini sempat makan bersama ibunya dan sekitar jam 10.00 malam, arwah yang menunggang motosikal Honda EX5 yang dipinjam daripada rakannya meminta izin untuk keluar sebentar.

“Jenazahnya bakal dikebumikan di Felda Pasir Besar, Gemas,” katanya.

Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/melaka-ns/remaja-maut-dilanggar-lari-1.127233


Lori brek rosak rempuh kedai

 
1 Februari 2013
Segamat: Sebuah lori tanpa muatan yang dipercayai mengalami kerosakan brek bergerak sendiri ke depan sebelum merempuh dua kedai di Jalan Gemas Baru di sini, semalam.


Dalam kejadian jam 11 pagi itu, kedua-dua kedai berkenaan rosak, namun tiada kemalangan jiwa atau kecederaan dilaporkan.


Pemandu lori yang hanya dikenali sebagai Man, berusia50-an berkata, kenderaan berat berkenaan kerap dihantar untuk pemeriksaan berkala di Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM).

“Saya memberhentikan lori di depan kedai serbaneka untuk membeli air dan baru beberapa langkah, saya terdengar dentuman.


“Saya menoleh dan mendapati lori merempuh dua kedai menyebabkan struktur premis berkenaan rosak,” katanya.


Sementara itu, pemilik kedai berkenaan Hong Choi Woon, 46, berkata, ketika kejadian, dia belum memulakan perniagaan.

“Saya dimaklumkan rakan berkaitan kejadian dan bergegas ke lokasi untuk melihat apa yang berlaku.


“Kerugian akibat kejadian membabitkan kerusi, peralatan elektrik serta barangan jualan. Bagaimanapun, apa yang menyedihkan, bangunan lama ini yang diwarisi keluarga rosak teruk,” katanya.

Sumber:
hmetro.com.my/articles/Lorigeraksendirirempuhduakedai//Article


3 beranak maut



Inalillahi wainailaihi rojiun
1 Februari 2013
Lahad Datu: Niat seorang isteri bersama anaknya berusia tiga tahun menemani suami yang bekerja di ladang bertukar tragedi apabila lori 10 tan sarat kelapa sawit dinaiki terbabas sebelum merempuh pokok dalam kejadian di Kilometer 24, Jalan Lahad Datu-Jeroco, dekat sini, kelmarin.

Akibat rempuhan itu, tiga sekeluarga itu mati serta merta di tempat kejadian akibat tersepit dan mengalami kecederaan parah di seluruh anggota badan.

Sumber berkata, dalam kejadian jam 4 petang, mangsa maut dikenali sebagai Jusmin, 44; isterinya, Paima Abdul Hamid, 22, manakala identiti anak perempuan berusia tiga tahun belum dikenal pasti.

Difahamkan, semua mangsa menetap di Ladang Sandau, di sini, dalam perjalanan menghantar kelapa sawit ke pusat timbangan berdekatan.

“Bagaimanapun, ketika melalui satu selekoh menuruni bukit, lori dipandu mangsa hilang kawalan lalu terbabas ke cerun sebelum merempuh sebatang pokok kelapa sawit,” katanya.

Sumber:
hmetro.com.my/articles/Ajaltigaberanak//Article

Bantuan Lesen 1 Malaysia (BL1M)



ALOR SETAR 31 Jan. - Datuk Seri Najib Tun Razak berkata,  (BL1M) yang dilancarkan hari ini dapat membantu lebih ramai golongan muda mendapatkan lesen motosikal B2 dengan mudah dan murah.

Perdana Menteri berkata, skim tersebut sekali gus dapat mengatasi masalah yang timbul sebelum ini iaitu golongan muda mempunyai motosikal tetapi tidak mempunyai lesen.

"Kadar bayaran biasa ialah RM350 ke atas seorang tetapi dengan BL1M, RM199 sahaja seorang dan kalau gagal ujian komputer, kita akan beri percuma ujian lagi," katanya ketika melancarkan BL1M di Stadium Sultan Abdul Halim, Suka Menanti di sini.

Najib berkata, skim itu diharap membolehkan semua golongan muda berusia 17 hingga 40 mempunyai lesen di seluruh negara.

Sementara itu, Exco Pemuda UMNO, Tengku Azman Tengku Zainol Abidin berkata, BL1M diilhamkan Sekretariat Hal Ehwal Bandar (SHEB) bagi mengatasi masalah kos pengambilan lesen memandu yang tinggi dalam kalangan penduduk, khususnya belia di luar bandar.

Katanya, BL1M juga merupakan suatu produk yang relevan dengan keperluan anak muda dan masyarakat memandangkan lebih 200,000 penunggang motosikal tidak mempunyai lesen.

"Menerusi program itu, para belia yang berusia 17 hingga 40 tahun layak menikmati diskaun hampir 50 peratus untuk mengambil lesen menunggang motosikal jenis B2 dengan hanya membayar RM199," katanya.

Beliau berkata, sebanyak 500,000 penduduk dijangka meraih manfaat daripada BL1M itu.

"Program ini terbuka kepada rakyat yang tidak mempunyai sebarang lesen memandu. Peserta akan menjalani kursus ditetapkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan berpeluang menduduki ujian berkomputer bahagian satu hingga tiga kali," jelasnya.

Orang ramai yang berminat untuk memohon BR1M boleh mendapatkan maklumat lanjut di laman web www.bl1m.my. (untuk daftar : http://www.bl1m.my/daftaronline.html )

Sementara itu, penyedia perkhidmatan e-kerajaan, My E.G. Bhd. (MYEG) telah dilantik bagi mentadbir dan menguruskan pelaksanaan program (BL1M di seluruh negara.

Pengerusi Eksekutifnya, Datuk Dr. Norraesah Mohamad berkata, pihaknya gembira kerana telah dipilih untuk mengurus serta mentadbir BL1M dalam usaha membantu golongan sasaran.

"Bertepatan dengan matlamat mengutamakan rakyat, kami percaya BL1M akan dapat meningkatkan kesedaran tentang etika pemanduan berhemat sekali gus meningkatkan tahap keselamatan pengguna,'' katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.


Sumber:
http://utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20130201/dn_01/PM-lancar-Bantuan-Lesen-1Malaysia


Peragut patah kaki


1 Februari 2013

Kulim: Dua peragut bernasib malang apabila bukan saja gagal meragut telefon bimbit milik seorang lelaki, malah seorang daripada mereka patah kaki kanan selepas terbabit kemalangan ketika cuba melarikan diri, kelmarin.

Kejadian berlaku jam 5 petang di Jalan Kelang Lama, di sini, apabila motosikal yang dinaiki dua suspek berusia 23 dan 30 tahun terbabit memecut sebelum merempuh belakang sebuah kereta ketika dikejar polis serta ahli Pertubuhan Prihatin Kebaktian Masyarakat Kulim (PPKM). Ketua Polis Daerah Kulim Superintendan Ghuzlan Saleh berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai identiti suspek dan nombor pendaftaran motosikal mereka selepas cuba meragut telefon bimbit milik seorang lelaki berusia 40 tahun di pekan Kulim.


Menurutnya, sebaik mengesan suspek, sebuah kereta peronda polis (MPV) dengan bantuan ahli PPKM mengejar motosikal yang dinaiki kedua-dua lelaki terbabit, namun mereka memecut ke Jalan Kelang Lama untuk melarikan diri.

“Namun, tindakan suspek gagal apabila motosikal ditunggangi mereka merempuh belakang sebuah kereta di persimpangan lampu isyarat berhampiran pasar malam Kelang Lama menyebabkan kedua-dua lelaki itu terjatuh daripada motosikal lalu ditahan polis.

“Kedua-dua suspek yang cedera dibawa ke Hospital Kulim untuk menerima rawatan dan seorang daripadanya berusia 23 tahun patah kaki kanan akibat kemalangan itu,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Beliau berkata, hasil siasatan awal polis mendapati suspek berusia 30 tahun berkenaan berada dalam senarai dikehendaki polis kerana disyaki terbabit kejadian rogol di Bukit Mertajam, Pulau Pinang.



Dua peragut terpaksa berputih mata

2 Februari 2013
KULIM - Dua peragut terpaksa berputih mata apabila motosikal jenis Yamaha 125Z ditunggangi mereka merempuh belakang sebuah kereta ketika cuba melarikan diri setelah meragut seorang lelaki di sebuah kedai 24 jam, di sini, kelmarin.

Kejadian yang berlaku kira-kira jam empat petang itu, kedua-dua suspek merempuh bahagian belakang kereta di persimpangan lampu isyarat di Jalan Kilang Lama.

Pengerusi Pertubuhan Prihatin Kebaktian Masyarakat Kulim (PPKM), Khor Eng Khim berkata, suspek menghampiri mangsa yang juga ahli PPKM dan cuba merampas telefon bimbit mangsa bagaimanapun, telefon itu terjatuh.

Menurutnya, mangsa kemudiannya memaklumkan kejadian itu kepadanya sebelum operasi mencari suspek diadakan oleh ahli PPKM.

“Saya mengarahkan semua ahli PPKM mengekori suspek dan apabila tiba di persimpangan lampu isyarat Jalan Kilang Lama, suspek merempuh bahagian belakang kereta di hadapannya.

"Akibat kemalangan itu, kedua-dua suspek tercampak dan penunggang motosikal patah kaki kanan manakala pembonceng luka di bahagian dagu," katanya.

Tambahnya, kejadian itu  dilaporkan kepada polis dan suspek yang patah kaki dikejarkan ke Hospital Kulim manakala pemboncengnya diserahkan ke Balai Polis Kulim.

Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Ghuzlan Saleh berkata, polis berjaya merampas beberapa alat peralatan mencuri motosikal dan palam pencucuh motosikal yang diubah suai bagi tujuan memecahkan cermin kereta.

Menurutnya, kedua-dua suspek mempunyai rekod jenayah lampau dan aktif menjalankan kegiatan jenayah di sekitar Kulim dan Bukit Mertajam.

"Motosikal yang digunakan suspek juga motosikal curi yang dilaporkan hilang di Permatang Pauh, Bukit Mertajam.

“Dengan tertangkapnya suspek, polis percaya dapat menyelesaikan beberapa kes, samun, ragut dan curi motosikal di sekitar Kulim,” katanya.

Sumber:
hmetro.com.my/myMetro/articles/Peragutpatahkakirempuhkereta//Article/index_html
sinarharian.com.my/edisi/utara/dua-peragut-berputih-mata-1.127445


3 maut dalam 2 nahas



1 Februari 2013

IPOH – Seorang pemandu dan penumpang van serta seorang penunggang motosikal terbunuh dalam dua kemalangan berasingan yang berlaku di Simpang Pulai dan Lahat di sini, semalam.

Ketua Bahagian Ketenteraman Awam dan Trafik Daerah, Deputi Superintendan Wan Sharuddin Wan Omar berkata, kemalangan pertama membabitkan dua jurujual apabila van yang dinaiki mereka bertembung dengan sebuah lori.

Menurutnya, kemalangan itu berlaku kira-kira jam 12.30 tengah hari di Kilometer 40, Jalan Keramat Pulai dekat Cameron Highland ketika menuju ke Ipoh.

“Mangsa, Chong Wei Khong, 34, yang berasal dari Taman Ipoh Timur manakala penumpangnya, Lee Wing Leong, 34, dari Kampung Kepayang maut di lokasi kejadian akibat cedera parah di kepala.

“Dipercayai van dinaiki mangsa cuba memotong kenderaan lain lalu bertembung dengan sebuah lori tanpa muatan dari arah bertentangan di selekoh jalan terbabit.

“Anggota Bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Simpang Pulai dipanggil untuk membantu mengeluarkan mangsa yang tersepit dibahagian pemandu dan penumpang van,” katanya.

Wan Sharuddin berkata, pemandu lori berusia 30-an dan berasal dari Bentong, Pahang hanya mengalami cedera ringan.

Sementara itu, katanya, dalam kejadian kedua, seorang lelaki maut apabila motosikalnya merempuh sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) Hilux setibanya di lokasi kejadian di Jalan Leong Boon Swee di Lahat.

“Dalam kejadian jam 11.15 pagi itu, pemandu MPV berusia 28 tahun terkejut apabila mendengar rempuhan kuat dibelakang kenderaannya ketika dalam perjalanan dari Kampar.

“Mangsa, Yip Choon Phak, 49, dari Taman Sri Rapat dan bekerja sebagai pembantu kedai kereta cedera parah di bahagian kepala dipercayai tidak sempat brek sebelum disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya.

Wan Sharuddin berkata, ketiga-tiga mangsa dihantar ke Unit Forensik, Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk bedah siasat.

“Kedua-dua kes masih dalam siasatan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/perak/tiga-maut-nahas-berasingan-1.127125



Pasangan warga emas maut


Inalillahi wainailaihi rojiun

1 Februari 2013
TANJONG KARANG - Hasrat pasangan suami isteri yang mahu menjalani pemeriksaan kesihatan di Hospital Tanjong Karang tidak kesampaian apabila terlibat dalam kemalangan maut di Batu 9, di sini, kira-kira jam 8 pagi semalam.

Lebih tragis, mangsa, Kasman Pardi @ Kasman Salleh, 69, yang menunggang motosikal jenis Modenas Kriss itu maut di tempat kejadian berhadapan pejabat Pertubuhan Peladang Kawasan Tanjong Karang selepas dirempuh sebuah kereta dari arah belakang.

Sinar Harian difahamkan, mangsa terjatuh dari motosikal dan digilis sehingga menyebabkan kecederaan teruk di bahagian kepala serta anggota badan, manakala isterinya, Tumirah Morman, 52, terhumban ke bonet hadapan kereta.

Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintendan Muhd Taib Ahmad mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian dan kes disiasat Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Azman Husin.

“Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian, manakala isterinya dikejarkan ke hospital untuk rawatan lanjut.

“Hasil siasatan awal mendapati, mangsa dipercayai cuba membuat pusingan U ketika melalui jalan kampung untuk ke jalan utama di KM63.5 Jalan Klang-Teluk Intan. Namun, pemandu kereta jenis Honda tidak sempat mengelak lalu berlaku pelanggaran.

“Orang ramai yang menyaksikan kejadian diminta tampil untuk membantu siasatan,” katanya.

Sementara itu, menantu mangsa, Amir Osman, 28, tidak menyangka kemahuan ayah mentua untuk menunggang motosikal bersama ibu mentuanya, petanda ajalnya.

“Saya ada menawarkan hasrat menghantar mereka ke hospital, namun arwah menolak. Kami reda dan berdoa semoga rohnya dicucuri rahmat,” katanya.

Jenazah dituntut keluarga untuk dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Parit 4, Sungai Burong, manakala Tumirah kini dilaporkan stabil.

Al-Fatihah

Sumber:
sinarharian.com.my/semasa/suami-maut-isteri-cedera-dalam-nahas-ketika-perjalanan-ke-hospital-1.127097






Thursday, January 31, 2013

Maut dihempap lori terbalik



31 Januari 2013

KUALA LUMPUR -  Seorang lelaki maut manakala rakannya parah apabila sebuah lori pasir terbalik lalu menghempap kereta Proton Perdana yang dinaiki mereka di Lebuhraya Persekutuan, berhampiran Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), di sini semalam.
  
B. Delvandra Kumar, 41, yang memandu kereta itu maut di tempat kejadian manakala rakannya, juga lelaki, kini dirawat di PPUM.
  
Difahamkan lori pasir yang tidak membawa muatan itu mengalami kerosakan akibat kotak gear meletup secara tiba-tiba dan terbabas kira-kira 50 meter.
  
Pegawai operasi pasukan Bomba dan Penyelamat Zainal Aziz berkata kejadian pada pukul 9 malam itu menyebabkan pemandu lori gagal mengawal kenderaannya lalu merempuh penghadang jalan menyebabkan lori itu terbalik ke laluan bertentangan dan menghempap kereta berkenaan.
  
Beliau berkata kejadian itu turut melibatkan dua kereta lain apabila sebuah pacuan empat roda jenis Toyota Harrier dan Perodua Kancil yang berada di belakang kereta itu tidak sempat mengelak lalu merempuh lori terbabit.
  
"Dua lelaki dan seorang wanita yang berada dalam Toyota Harrier serta seorang wanita yang memandu kereta Kancil tidak cedera," katanya. - Bernama

Sumber:
sinarharian.com.my/semasa/lelaki-maut-kereta-dihempap-lori-pasir-1.126740
utusan.com.my/utusan/Kota/20130201/wk_06/Maut-dihempap-lori-terbabas


Pembantu jualan Astro maut


Inalillahi wainailaihi rojiun

31 Januari 2013

KUALA TERENGGANU - Seorang pembantu jualan Astro maut akibat merempuh seekor kerbau yang sedang melintas jalan di Kampung Banggol Tuan Muda, Manir awal pagi tadi.
  
Mohd Abdul Wafi Adha Abd Wahab, 26, maut di tempat kejadian setelah motosikalnya melangar haiwan tersebut kira-kira pukul 3 pagi.
  
Mangsa yang dalam perjalanan pulang ke rumahnya di kampung itu dipercayai gagal mengawal motosikalnya apabila kerbau itu tiba-tiba melintas jalan.
  
Seorang penduduk Fauzi Mohd berkata dia dan dua lagi rakannya melihat seekor kerbau di atas jalan raya yang kesakitan dan mengesyaki ia telah dilanggar.
  
Mereka kemudiannya melihat pula sebuah motosikal tidak jauh dari situ yang di sebelah motosikal itu kelihatan seorang lelaki sedang terbaring.
  
"Saya cuba mengejutkannya tetapi tiada tindak balas. Saya lalu menelefon ambulans," katanya.
 
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, ACP Zamri Shamsuddin mengesahkan pihaknya menerima laporan kejadian itu.  - Bernama

1 Februari 2013
KUALA TERENGGANU - Seorang pembantu jualan Astro maut apabila motosikal yang ditungganginya merempuh sekumpulan kerbau yang melintas jalan di Kampung Banggol Tuan Muda, Manir, di sini, awal pagi, semalam.

Dalam kejadian kira- kira jam 3 pagi itu, mangsa, Mohd Wafi Adha Abd Wahab, 26, menunggang motosikal berseorangan dalam perjalanan dari arah Manir, menghala ke rumahnya di Kampung Banggol Tuan Muda, Manir, di sini.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Zamri Shamsuddin berkata, semasa tiba di lokasi kejadian, mangsa yang menunggang motosikal tidak sempat mengelak sekumpulan kerbau yang sedang melintas jalan.

“Mungkin faktor cuaca yang masih gelap menyebabkan mangsa tidak nampak ada sekumpulan kerbau sedang melintas dari kanan, ke kiri jalan.

“Mangsa yang hanya menyedari kewujudan haiwan ternakan itu apabila tiba dalam jarak yang terlalu hampir tidak sempat mengelak lalu melanggar salah seekor daripada haiwan terbabit,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Zamri berkata, akibatnya, mangsa tercampak ke atas jalan dan mati di lokasi kejadian.

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini, untuk dibedah siasat.

Sementara itu, ibu mangsa, Rokiah Mohamed, 49, berkata, dia tidak mengesyaki apa-apa yang buruk menimpa anaknya itu, meskipun panggilan telefonnya tidak dijawab mangsa.

“Kebiasaannya sebelum sampai simpang masuk ke rumah, arwah akan menelefon atau menghantar khidmat pesanan ringkas menyuruh makcik membuka pintu, tetapi malam tadi (semalam), dia tidak telefon dan panggilan makcik juga tidak dijawab,” katanya.

Rokiah berkata, pada mulanya dia tidak mengesyaki sebarang kejadian buruk menimpa anaknya, Mohd Abdul Wafi Adha Abd Wahab, 26, ketika panggilan yang dibuat tidak dijawab kerana menyangka mangsa akan membalas panggilan itu.

“Tidak lama selepas itu ada orang datang ke rumah memberitahu Wafi terlibat dalam kemalangan jalan raya dan saya bergegas ke tempat kejadian, tetapi ketika sampai, arwah sudah tidak bernyawa. Bagaimanapun, kami redha dengan pemergiannya,” katanya.

Menurutnya, malam sebelum kejadian, arwah keluar kira-kira jam 10.30 malam untuk minum bersama rakan-rakan, namun tidak nampak perubahan ketara pada sikapnya kerana dia seorang yang peramah dan periang.

Menurut Rokiah, anak sulong daripada enam beradik itu memang rapat dengan semua adiknya dan juga saudara mara serta penduduk di Kampung Banggol Tuan Muda, Manir.

“Semasa kejadian, arwah hendak pulang ke rumah dari bandar Kuala Terengganu dan difahamkan bertembung dengan sekumpulan kerbau yang melintas jalan di kampung ini, Kampung Banggol Tuan Muda.

“Disebabkan keadaan gelap dan arwah tidak sempat mengelak, berlaku kemalangan menyebabkan dia meninggal di situ,” katanya.

Jenazah mangsa selamat dikebumikan jam 11.00 pagi semalam di Tanah Perkuburan Islam Kampung Banggol Tuan Muda, Kuala Terengganu.

Sementara itu, rakan mangsa, Mohd Azmani Muda, 35 berkata, haiwan ternakan sering dilihat berkeliaran di laluan Jalan Manir – Batu Enam, Kuala Terengganu.

“Sepatutnya penternak tidak membiarkan haiwan ternakan mereka berkeliaran kerana membahayakan pengguna jalan raya.

“Kawasan ini juga difahamkan sering berlaku kemalangan melibatkan haiwan ternakan,” katanya.

Al-Fatihah

Sumber:
sinarharian.com.my/semasa/pembantu-jualan-astro-maut-rempuh-kerbau-1.127005
sinarharian.com.my/edisi/terengganu/pemuda-maut-motosikal-rempuh-sekumpulan-kerbau-1.127153


Wednesday, January 30, 2013

Murid tahun 2 digilis lori

Syarif Junior Langbas Jul Husin ditemui dengan masih berpakaian seragam dan menggalas beg dengan hampir seluruh badannya hancur digelek tayar lori


30 Januari 2013
LAHAD DATU: Seorang murid tahun 2 Sekolah Kebangsaan Pekan 3 Daerah Lahad Datu, maut selepas digilir sebuah lori 10 tan yang mengundur, dalam satu kejadian ngeri di hadapan simpang Limbungan Sepanggar Shipyard, Jalan Pelabuhan Lahad Datu, di sini, pagi kelmarin.

Insiden dipercayai berlaku kira-kira jam 10.45 pagi ketika pemandu lori terbabit dikatakan sedang mengundurkan kenderaannya.

Mangsa dikenal pasti sebagai Syarif Junior Langbas Julhussin, 8, meninggal dunia serta-merta di lokasi kejadian akibat cedera parah di bahagian kepala.

Pemandu lori terbabit yang identitinya belum dikenal pasti telah melarikan diri selepas kejadian itu.

Bapa mangsa, Julhussin Ula, 36, bersama isterinya, Salabiah Sampang, 36, ketika ditemui di Ibu Pejabat Daerah Lahad Datu berkata mereka amat terkejut selepas menerima berita mengenai kejadian yang menimpa anak mereka itu.

“Buat masa kini, kami hanya mampu menyerahkan kes ini kepada polis agar mereka menyiasat perkara itu secara terperinci, dan berharap dapat menangkap orang yang bertanggungjawab di atas kejadian itu dengan segera supaya tindakan undang-undang dapat diambil ke atas pemandu lori itu,” katanya dengan nada sedih.

“Dia anak yang baik dan selalu mendengar nasihat orang tua,” katanya, sambil menyatakan kemalangan yang berlaku itu amat pahit bagi mereka.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Supt Shamsudin Mat, ketika dihubungi berkata siasatan awal pihaknya di tempat kejadian mendapati kemalangan itu berpunca daripada pemandu lori terbabit yang dikatakan pada masa itu sedang mengundurkan kenderaannya bagi membantu mengalihkan sebuah lagi lori yang rosak dan berada di perantaraan jalan dua hala di lokasi itu.

“Kita tidak menolak berkemungkinan pemandu lori terbabit tidak dapat melihat kelibat mangsa yang pada ketika itu dipercayai telah berdiri di bahagian belakang lori berkenaan.

“Ini kerana dengan susuk tubuh mangsa yang bersaiz kecil sememangnya menyukarkan bagi pemandu lori itu sendiri untuk menyedari kehadiran mangsa yang berdiri di belakang lorinya,” katanya.

Menurutnya, mayat mangsa yang tersepit di bawah tayar lori itu berjaya dikeluarkan oleh Pasukan Bomba dan Penyelamat sebelum dikejarkan ke Hospital Daerah Lahad Datu bedah siasat.

Katanya, pihak polis masih meneruskan siasatan kejadian itu secara lebih terperinci, sekaligus mengesan pemandu terbabit dalam tempoh terdekat ini.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Shamsudin meminta orang ramai yang menyaksikan kejadian itu supaya tampil membantu siasatan atau menghubungi bilik gerakan di talian 089-881255 bagi menyalurkan sebarang maklumat mengenainya.


Sumber:
theborneopost.com/2013/01/29/murid-tahun-dua-maut-digilis-lori-mengundur/



Kepala hampir putus



30 Januari 2013
Gelang Patah: “Kepala mangsa hampir putus selepas tersangkut pada wayar elektrik dan darah memancut tanpa henti,” kata V Nagen, 31, saksi kemalangan ngeri meragut nyawa seorang penunggang motosikal di Kilometer 22, Jalan Gelang Patah-Pendas, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 8.10 pagi itu, mangsa, M Ganesan, 24, menunggang motosikal Yamaha LC 135 yang dikatakan dalam perjalanan ke tempat kerja di Singapura, maut di lokasi apabila urat lehernya terputus selepas kepalanya tersangkut pada wayar elektrik yang merentangi jalan berkenaan.

Pembonceng motosikal yang juga rakan mangsa, L Subramaniam, 25, cedera ringan dan dirawat di Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor Bahru.

Nagen berkata, ketika kejadian dia dalam perjalanan pulang dari tempat kerja di Singapura ke rumahnya di Skudai.


“Saya menggunakan laluan itu untuk pulang dan terkejut melihat kejadian yang berlaku di depan mata.




Pekerja kontrak lari


Kemalangan yang mengakibatkan seorang lelaki maut hingga kepalanya hampir putus di Kilometer 22, Jalan Gelang Patah-Pendas, di sini, semalam dipercayai berpunca daripada kontraktor pembinaan yang yang gagal mengambil tindakan selepas tiang Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Telekom Malaysia (TM) Bhd condong.

Dalam kejadian jam 8.10 pagi itu, mangsa, M Ganesan, 24, menunggang motosikal Yamaha LC 135 dan dalam perjalanan ke tempat kerjanya di Singapura, maut di tempat kejadian selepas urat leher terputus selepas kepalanya tersangkut pada wayar elektrik terbabit.


Manakala, pembonceng motosikal yang juga rakan mangsa, L Subramaniam, 25, cedera ringan dan dirawat di Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor Bahru.

Pengurus Besar TNB Johor Mohd Aminuddin Mohd Amin ketika dihubungi berkata, siasatan awal mendapati, tiang berkenaan sebahagiannya tumbang akibat kerja tanah yang dijalankan di tepi jalan dan tiang itu adalah tiang konkrit dan ia mempunyai dawai umbang yang merentangi jalan.


“Difahamkan, kontraktor terbabit menyedari keadaannya namun lambat mengambil tindakan dan kami juga difahamkan pekerja kontrak di situ melarikan diri sejurus kejadian,” katanya.


Beliau berkata, pihaknya akan melaporkan kejadian kepada polis dan ketika ini pihak kontraktor gagal memaklumkan berkaitan kejadian kepada pihaknya.

“Kejadian berkenaan masih dalam siasatan,” katanya.


Sementara itu, Ketua Polis Daerah Nusajaya Superintendan Noor Hashim Mohamad berkata, hasil siasatan mendapati kejadian berlaku selepas mangsa terlanggar wayar elektrik yang merentangi jalan akibat kecondongan tiang itu.

Menurutnya, mangsa mati di tempat kejadian akibat kecederaan parah.


“Mayat mangsa dihantar ke Hospital Kulaijaya untuk bedah siasat. Siasatan awal mendapati, keadaan jalan lurus, rata serta mempunyai garisan putih berkembar,” katanya.


Sumber:
hmetro.com.my/articles/Kepalahampirputus//Article
hmetro.com.my/articles/Pekerjakontraklari/MA/Article



Warga emas maut dilanggar lari

Inalillahi wainailaihi rojiun

30 Januari 2013
TAPAH - Seorang warga emas maut di tempat kejadian setelah motosikal ditungganginya dipercayai dilanggar lari oleh kenderaan lain di Kilometer 331.7 Lebuhraya Utara Selatan, di hadapan kawasan Rawat dan Rehat (R&R) Tapah arah selatan.

Ketua Polis Daerah Tapah, Superintendan Som Sak a/l Din Keliaw berkata, kejadian kira-kira jam 1.15 pagi semalam menyebabkan mangsa dikenali sebagai Muhammad Musa, 66, yang juga peserta Felcra Seri Galam, Slim River, di sini maut di tempat kejadian akibat kecederaan teruk di bahagian kepala dan dalaman.

Menurutnya, mangsa yang menunggang motosikal jenis Honda Ex5 seorang diri dari arah Ipoh ke Tanjung Malim dipercayai dilanggar lari oleh sebuah kenderaan yang belum di kenal pasti.

"Akibatnya, mangsa yang mengalami kecederaan parah di bahagian dalaman dan kepala maut di tempat kejadian sebelum dihantar ke Hospital Tapah untuk bedah siasat," katanya.

Som Sak berkata, setakat ini, kenderaan yang terlibat dalam kemalangan langgar lari itu masih belum dapat dikenal pasti dan kes masih dalam siasatan.

“Kini, kami sedang mencari kenderaan yang dipercayai terlibat dalam kejadian langgar lari yang berlaku berhampiran R&R Tapah arah Selatan pada awal pagi tadi (semalam).

"Sekiranya orang ramai mempunyai sebarang maklumat kejadian boleh berhubung Pegawai Trafik di hotline IPD Tapah 05-401 5222 atau SMS rakan Cops 32728 ataupun balai-balai polis berdekatan,” katanya.

Sementara itu, jenazah telah dituntut oleh keluarganya pagi semalam

Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/perak/warga-emas-maut-kes-langgar-lari-1.126550


Imam Masjid Wang Tepus maut nahas



Inalillahi wainailaihi rojiun


30 Januari 2013
WANG TEPUS - Seorang imam maut apabila motosikal yang ditungganginya bergesel dengan sebuah lori dari arah yang sama di Kampung Kota Mengkuang, dekat sini, semalam.

Dalam kejadian, kira-kira jam 7.30 pagi itu, imam Masjid Wang Tepus, Abdul Halim Tahir, 63, menunggang motosikal sejenis Honda Wave dalam perjalanan untuk ke pejabat agama daerah Kubang Pasu sebelum bergesel dengan sebuah lori muatan pasir sehingga terbabas ke bahu jalan.

Saksi kejadian, Kaman Kasa, 43, berkata, sebelum kejadian dia yang mengekori lori itu mendapati pemandunya cuba memotong motosikal mangsa tetapi gagal apabila terdapat kenderaan datang dari arah bertentangan.

Menurutnya, kegagalan pemandu berkenaan memintas motosikal mangsa menyebabkan mangsa terjatuh dan mengalami kecederaan parah.

"Pemandu lori itu juga cuba melarikan diri sebaik menyedari telah melanggar mangsa, tetapi saya sempat mengejar dan menahannya," katanya kepada Sinar Harian.

Jelasnya, mangsa mengalami kecederaan parah dan dikejarkan ke Hospital Jitra untuk mendapatkan rawatan.


Sempat beri amanat terakhir

Kejadian kemalangan berkenaan, memberi kesan kepada anak mangsa, Naimah, 29, kerana kali terakhir dia bertemu dengan ayahnya adalah  pada Jumaat lalu.

Kata Naimah, ayahnya tidak menunjukkan sebarang perubahan tetapi hanya menghabiskan masa bersama cucu dan tidak banyak bercakap.

Jelasnya, dia terkejut apabila menerima panggilan daripada penduduk memberitahu mengenai kemalangan itu kira-kira jam 8 pagi dan segera bergegas ke tempat kejadian.

“Sebaik tiba di lokasi nahas, saya dapati ayah sudah dihantar ke hospital," katanya.

Malangnya, mangsa gagal diselamatkan dan disahkan meninggal dunia ketika dirawat di hospital.

Anak keenam daripada sembilan beradik itu berkata, sebelum pemergiannya, ayah sempat berpesan kepada mereka adik beradik supaya menjaga diri dan ibu baik-baik.

“Kehilangannya amat dirasai kami sekeluarga dan semoga ALLAH mencucuri rahmat ke atas rohnya serta di tempat dalam kalangan orang yang beriman,” katanya.


Angkut pasir awal pagi

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), Shafizan Taib, berkata, jalan raya Wang Tepus-Tanah Merah itu menjadi laluan utama operasi mengangkut pasir dari kuari berdekatan.

Menurutnya, mereka menjalankan operasi tersebut setiap hari dan bergerak pada awal pagi untuk menghantar muatan pasir ke tempat yang ditetapkan.

“Perkara itu mengundang masalah kepada penduduk malahan kejadian kemalangan sudah beberapa kali berlaku," katanya.

Shafizan berkata, pihaknya sudah meminta pemilik kuari dan pemandunya agar menjalankan operasi di luar waktu puncak tetapi mereka tidak mematuhinya.

“Walaupun penduduk sudah berbincang mengenai perkara itu dengan pemilik kuari tetapi mereka gagal memberikan kerjasama dan pihak berkuasa perlu mengambil tindakan tegas,” katanya.


Terseret sejauh 20 meter


Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Ibrahim Yusof berkata, mangsa yang menunggang motosikal dihimpit lori  itu sebelum terbabas dan menyebabkannya terseret hampir 20 meter.

Katanya, pemandu terbabit dipercayai cuba memotong mangsa dari arah yang sama dan kemungkinan disebabkan kawasan itu agak berbukit menyebabkan lori menjadi sedikit laju.

“Mangsa disahkan meninggal dunia di hospital kira-kira jam 11.50 pagi akibat cedera parah di  pinggang dan kepala.

“Pemandu yang berusia lewat 20-an itu pula direman untuk siasatan lanjut dan kes tersebut disiasat bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.

Al-Fatihah

Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/utara/imam-maut-bergesel-lori-pasir-1.126525




Tuesday, January 29, 2013

Pesara tentera maut



Inalillahi wainailaihi rojiun

29 Januari 2013
MUAR – Seorang warga emas maut selepas terbabit dalam nahas jalan raya yang membabitkan dua motosikal di Jalan Muar-Bakri berhampiran persimpangan Jalan Dato’ Haji Kosai, Bakri di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 8.25 pagi itu,  pesara tentera, Yatim Shrani, 65, dari Kampung Parit Bakar Darat, maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala.

Mangsa yang sendirian menunggang motosikal jenis Modenas Kriss dikatakan baru keluar dari persimpangan Jalan Dato’ Haji Kosai menghala ke bandar Muar.

Setibanya di tempat kejadian, motosikal ditunggangi warga emas itu terbabit dalam kemalangan dengan motosikal lain yang datang dari arah Bakri menghala ke bandar Muar.

Kemalangan itu menyebabkan kedua-dua penunggang motosikal terjatuh dan  meragut nyawa warga emas terbabit.

Manakala seorang lagi mangsa yang menunggang motosikal Yamaha LC terselamat dan dihantar mendapatkan rawatan di Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) di sini, kerana mengalami kecederaan parah pada beberapa bahagian  anggota badan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Mohamad Nasir Ramli ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian tersebut.

“Mayat warga emas itu  di bawa ke HPSF untuk bedah siasat sebelum dituntut ahli keluarganya.

“Saksi kejadian diminta tampil untuk membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.
Artikel Berkaitan

Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/johor/pesara-tentera-maut-nahas-1.12608


Gara-gara elak haiwan

kereta Honda Jazz kemalangan


29 Januari 2013
KERIAN - Berpantang maut sebelum ajal. Walaupun sebuah kereta remuk teruk dipercayai terbabas dan merempuh tiang elektrik hingga menyebabkan tiang itu terperosok ke dalam kenderaan itu, pemandu dan penumpangnya hanya mengalami kecederaan ringan dalam kejadian kemalangan di Kilometer 94.5 Jalan Persekutuan Ipoh-Butterworth (arah Utara), awal pagi kelmarin.

Kemalangan yang berlaku lebih kurang jam 5.20 pagi itu melibatkan sebuah kereta Honda Jazz berwarna merah yang dipercayai dinaiki tiga mangsa bersaudara dari Taiping, yang terhumban ke dalam sebuah parit setelah merempuh sebuah tiang elektrik di tepi jalan.

Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Mat Fauzi Nayan berkata, berdasarkan siasatan, kereta dipandu mangsa, Mohamad Rezal Supero, 48, berasal dari Batu Caves, Selangor dipercayai hilang kawalan setelah cuba mengelak binatang yang melintas dari arah jalan bertentangan secara tiba-tiba.

“Pada masa sama, keadaan jalan raya mengelirukan juga menyebabkan kereta dinaiki mangsa yang sedang dalam perjalanan ke Kuala Kurau untuk memancing terbabas seterusnya melanggar sebuah tiang elektrik di tepi jalan.

“Rempuhan itu mengakibatkan tiang elektrik berkenaan patah dua sebelum sebahagiannya terperosok ke dalam kereta mangsa melalui cermin hadapan bahagian pemandu, seterusnya menyebabkan kenderaan itu terhumban ke dalam parit berdekatan,” katanya kepada media di sini semalam.

Mat Fauzi berkata, pemandu bersama dua lagi mangsa berusia lingkungan 30-an hanya cedera ringan dan mereka sendiri mengakui tidak menyangka masih hidup setelah mengalami kemalangan pelik yang mengerikan itu.

Menurutnya, mangsa menceritakan kembali saat dia bersama dua penumpang  lain terpaksa tunduk ke bahagian bawah tempat duduk secara spontan setelah melihat serpihan tiang elektrik terputus dua itu terperosok masuk ke dalam kereta.

“Mereka menceritakan saat bagaimana mereka hanya mampu memejam mata dan berserah nasib kepada tuhan sebelum meluahkan kesyukuran kerana terselamat dari kemalangan pelik itu.

“Polis sendiri tidak menyangka kesemua mangsa terlibat hanya mengalami kecederaan ringan dan menganggap ianya satu keajaiban tuhan,” katanya.

Mat Fauzi berkata, kejadian itu turut menyebabkan sebuah treler mengalami kemalangan kecil susulan cermin hadapan kenderaan itu pecah setelah merempuh kabel elektrik yang meregang akibat kejadian tiang elektrik patah.

“Pada masa sama, saya turut menggesa pengguna jalan raya memandu dengan lebih berhati-hati terutama pada waktu malam dan awal pagi selain tidak memandu secara melulu bagi mengelakkan kemalangan yang tidak berbau,” katanya.

Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/perak/tiang-terperosok-dalam-kereta-1.126213


Vios bertembung Myvi




29 Januari 2013
ALOR GAJAH - Seorang wanita nyaris maut selepas kereta Toyota Vios yang dipandu hilang kawalan hingga memasuki laluan bertentangan di jalan Masjid Tanah - Durian Daun, berhampiran Kampung Empangan Batu, di sini, kira-kira jam 3 petang kelmarin.

Dalam kejadian itu, mangsa, Juliza Rahmat, 39, dari arah Lendu menuju ke pekan Masjid Tanah hilang kawalan sebelum bertembung dengan sebuah kereta Perodua Myvi dinaiki empat sekeluarga dari arah bertentangan.

Sumber berkata, kereta dipandu mangsa memasuki laluan bertentangan sebaik sahaja melalui satu selekoh berbahaya sebelum muncul Myvi dipercayai dalam perjalanan ke Tol Simpang Ampat.

“Akibat gagal masuk ke laluan sebenar kereta dipandu mangsa berpusing beberapa kali dan terhenti di laluan bertentangan sementara Perodua Myvi berkenaan terbabas ke kiri jalan dan merempuh tebing longkang.

“Perodua Myvi berkenaan tersangkut pada tebing longkang sebelum kesemua mangsa dibantu penduduk berdekatan keluar dari kereta,” katanya.

Sumber berkata, mangsa yang memandu Toyota Vios dilihat tergamam seketika sebelum memberanikan diri keluar dari kereta.

“Sementara mangsa empat sekeluarga tadi berada dalam keadaan sedar namun, seorang wanita dari kereta Myvi mengalami kecederaan di bahagian kepala sebelum orang awam menghubungi bantuan kecemasan.

“Wanita berkenaan mengadu sakit pada kepalanya  dan dibawa ke Hospital Alor Gajah,” katanya.

Jurucakap Hospital Alor Gajah berkata, pihaknya menerima seorang sahaja mangsa wanita yang mengadu sakit di bahagian kepala dan pemeriksaan yang dijalankan mendapati mangsa  stabil.

“Mangsa kemudiannya dibenarkan pulang sementara empat lagi mangsa dari kedua-dua buah kenderaan yang terbabit dilaporkan tidak mengalami kecederaan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Superintendan Umar Ali Saifuddin Shaharuddin ketika dihubungi berkata, semua mangsa dilaporkan stabil dan kes disiasat di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.


Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/melaka-ns/dua-kereta-bertembung-1.126165



Remaja maut bertembung bas


Inalillahi wainailaihi rojiun 

RAUB– Seorang remaja lelaki maut selepas terlibat kemalangan dekat Felda Kampung Lembah Klau pada jam 7 malam, kelmarin.

Timbalan Ketua Polis Daerah, Deputi Superintendan Azhar Abdul Rahman berkata, kejadian melibatkan motosikal ditunggang Sabri Sahari, 20, dan dibonceng Mohd Amirul Safiq Mohd Asri, 17 yang bertembung  dengan bas  awam.

Menurutnya, difahamkan motosikal mangsa gagal dikawal ketika melalui selekoh sebelum terbabas ke laluan bertentangan dan bertembung bas awam melalui kawasan itu.

“Akibat perlanggaran itu, motosikal terjatuh dan Mohd Amirul Safiq meninggal dunia serta merta di tempat kejadian kerana mengalami kecederaan serius di beberapa bahagian badan.

“Difahamkan  Sabri pula mengalami kecederaan dirujuk ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HoShas) Temerloh,” katanya yang turut memaklumkan bahawa kes itu disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sementara itu, Ketua Umno Cawangan Lembah Klau 2, Datuk Abdullah Abu Bakar berkata, jenazah Amirul Safiq dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Lembah Klau malam kelmarin.

“Takziah kepada ibu bapa mangsa atas kehilangan anak kesayangan mereka dan kita doakan semoga tabah serta sabar menghadapi ujian ini.

“Pada masa sama kita mohon agar semua pihak berkaitan berganding bahu memikirkan faktor yang boleh dielakkan daripada berlaku kemalangan di kawasan tersebut memandangkan kerap terjadi di lokasi sama,” katanya.

Abdullah meminta ibu bapa mengawasi anak masing-masing terutama ketika menunggang motosikal mengelakkan kejadian sama berulang.

Al-Fatihah

Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/pahang/remaja-maut-bertembung-bas-1.126146


Sunday, January 27, 2013

Sekeluarga nyaris maut


28 Januari 2013
ALOR SETAR - Seramai 12 anggota satu keluarga nyaris maut apabila van yang mereka naiki terbabas dan terbalik selepas tayar belakang kenderaan itu tiba-tiba meletup di Kilometer 50.7 Lebuhraya Utara-Selatan arah selatan, petang semalam.
  
Dalam kejadian 6.15 petang itu, mereka dalam perjalanan pulang ke Kampung Sungai Mas Hujung, Kota Kuala Muda dari Jitra selepas menghadiri satu majlis perkahwinan.
  
Ismail Mohd Shukri, 26, berkata van yang mereka sewa itu dipandu sepupunya, Mohd Zambri Fikri, 24, terbalik dua kali dan merempuh penghadang jalan selepas hilang kawalan apabila tayar belakang sebelah kanan pecah.
  
Bapanya, Osman Nordin, 57, yang duduk di kerusi penumpang hadapan cedera di tangan dan kepala terkena serpihan kaca, dimasukkan ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini, katanya ketika ditemui, hari ini.
  
Sementara itu, ibunya, Sulifah Mohd Yusof, 60, dan lapan adik beradiknya yang lain berusia antara 14 hingga 28 tahun menerima rawatan pesakit luar di hospital sama, kata Ismail. – Bernama


Sumber:
utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20130128/dn_19/Van-terbalik-12-sekeluarga-selamat-daripada-maut


Mertua dan menantu maut



Inalillahi wainailaihi rojiun

28 Januari 2013
Menyayat hati apabila dua beranak terbunuh selepas motosikal dinaiki mereka dirempuh kereta di Kilometer 26, Jalan Seremban- Kuala Pilah, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 12.05 pagi itu, Abu Asan Hamid, 55, dan menantunya, Nurul Natrah Ghazali, 24, maut serta-merta akibat kecederaan parah di kepala dan badan. Ketua Polis Daerah Kuala Pilah Superintendan Azmi Abdul Rahim berkata, ketika kejadian, dua beranak itu yang menaiki motosikal jenis Honda EX5 dalam perjalanan dari Kuala Pilah ke rumah mereka di Kampung Mampas Kechil, Terachi, dekat sini. “Sebaik tiba di lokasi kejadian, motosikal mangsa dipercayai dirempuh dari belakang oleh Proton Wira dari arah sama menyebabkan kedua-dua beranak terbabit terhumban ke tengah jalan.


“Rempuhan kuat itu menyebabkan kedua-dua mangsa maut di tempat kejadian selepas mengalami kecederaan parah di kepala dan badan,” katanya di sini semalam.

Beliau berkata, pemandu kereta Proton Wira terbabit dipercayai melarikan diri sejurus kejadian sebaik mendapati kedua-dua mangsa sudah tidak bernyawa lagi sebelum menyerah diri di balai polis Kuala Pilah, jam 11 pagi semalam.


Menurutnya, pemandu kereta terbabit ditahan untuk siasatan lanjut sebelum dibebaskan.


“Mayat mangsa dihantar ke Hospital Tuanku Ampuan Najihah untuk bedah siasat sebelum diserah kepada keluarga untuk urusan pengebumian.

“Kami meminta saksi kejadian supaya tampil di balai polis berhampiran atau menghubungi polis di talian 06-4842222 bagi membantu siasatan,” katanya.

Al-Fatihah

Sumber:
hmetro.com.my/myMetro/articles/Mautterhumbantengahjalan//Article/index_html


Bayi perempuan tercampak atas jalan


Inalillahi wainailaihi rojiun

28 Januari 2013
REMBAU - Seorang bayi perempuan berusia setahun 5 bulan maut selepas kenderaan yang dipandu bapanya terbabit dalam kemalangan di Kilometer 228.6 Lebuhraya Utara - Selatan, di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira 10.15 pagi itu, Nur Syakila Abdul Hashim, disahkan maut kira-kira 11 pagi di Hospital Alor Gajah, selepas tercampak atas jalan.

Kemalangan dikatakan berlaku apabila salah sebuah tayar kereta jenis Honda CRV yang dinaiki enam sekeluarga itu pecah.

Bapanya yang kini berstatus penduduk tetap (PR), Abdul Hashim Murtaza, 42, berkata, ketika kejadian, mereka sekeluarga dalam perjalanan dari Pasar Borong, Serdang ke rumah kongsi di MITC, Ayer Keroh, Melaka bagi meraikan sambutan Maulidur Rasul bersama pekerja lain yang dijadualkan berlangsung selepas solat Maghrib semalam.

“Bagaimanapun, sebaik tiba di lokasi kejadian, tayar sebelah kanan belakang meletup. Saya gagal mengawal kenderaan lalu kereta yang pada mulanya dipandu di laluan tengah terbabas melanggar pengadang jalan sebelah kiri," katanya.

Menurutnya, anaknya yang sedang tidur di pangkuan isterinya, Nor Zaifa Sarifudin, 27, tercampak keluar dari tingkap yang terbuka.

“Sebaik kereta terhenti, isteri saya cepat-cepat keluar dari kereta dan mengambil anak kami yang tercampak dalam keadaan tertangkup di tengah jalan,” katanya ketika ditemui di pekarangan Bilik Mayat Hospital Tampin (HT), di sini, semalam.

Hashim berkata, pada masa itu, anaknya tidak memberikan sebarang reaksi termasuk tidak menangis dan terdapat darah mengalir dari telinga anaknya.

Kemalangan itu turut menyebabkan adiknya, Namra, 29, dan seorang lagi anaknya, Nur Melia Liana, 6, cedera, dan kini masih dirawat di hospital.

Sementara itu, menurut Hashim, sejak dari kelmarin, anaknya itu gemar memakai tudung berwarna putih hitam sehingga tidak mahu menanggalkannya.

Malah, katanya, sebaik bangun dari tidur dan bersiap untuk ke pasar, anaknya mahu memakai kembali tudung berkenaan.

Bayi berkenaan dikebumikan berhampiran penempatan keluarga berkenaan di Puchong Putra Perdana, semalam.

Al-Fatihah

Sumber:
sinarharian.com.my/semasa/bayi-perempuan-maut-tercampak-1.125735


Perjalanan Maut ke Cameron Highlands


28 Januari 2013
HULU SELANGOR - Hasrat tiga sekawan untuk menghabiskan cuti hujung minggu di tanah tinggi Cameron Highlands tidak kesampaian apabila salah seorang daripada mereka maut dalam kemalangan.

Kejadian berlaku kira-kira jam 9.30 pagi di Kilometer 402.2 Lebuhraya Utara Selatan arah Ipoh dekat susur keluar Plaza Tol Tanjung Malim, di sini, semalam.

Rakan mangsa, Kamarul Azna Mohd Yusuf, 29, berkata, mereka yang menunggang motosikal berkuasa tinggi pada awalnya bergerak berkumpulan, namun seorang rakannya, Mohd Izrin Hafzal Mohamad, 28, lebih dahulu berada di hadapan sebelum ditemui tidak bernyawa.

“Kami pun tak tahu bagaimana dia boleh terbabit kemalangan. Tapi, ada pemandu lain nampak motosikal Mohd Izrin bergesel dengan sebuah kereta yang tiba-tiba mengubah haluan sebelum terbabas,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian, semalam.

Kamarul Azna berkata, mangsa yang bekerja sebagai pengawal keselamatan telah merancang sendiri untuk bercuti ke Cameron Highlands sejak sebulan lalu, namun malang menimpanya ketika dalam perjalanan ke tanah tinggi itu.

“Mohd Izrin adalah rakan karib saya sejak kecil dan kami membesar bersama. Dia anak sulung daripada dua beradik,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Norel Azmi Yahya Affandi berkata, siasatan mendapati mangsa yang dalam perjalanan dari rumahnya di Kuang, Rawang dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas.

“Mangsa terbabas ke kanan jalan dan tercampak terkena besi pembahagi lebuh raya.

“Mangsa yang mengalami kecederaan parah maut di tempat kejadian,” katanya.

Menurutnya, mayat Mohd Izrin dibawa ke Hospital Kuala Kubu Bharu (HKKB) untuk bedah siasat.

Al-Fatihah

Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/selangor-kl/hajat-bercuti-tak-kesampaian-1.125610




Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Headlines

FeedBurner FeedCount