loading...

Saturday, October 22, 2011

JPJ Nyaris Maut Dirempuh Bas



BUKIT KELUANG – Seorang pegawai penguat kuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kuala Terengganu nyaris maut dirempuh sebuah bas ekspres pada satu sekatan jalan raya berdekatan Kampung Phacakan, dekat Kuala Besut, malam Selasa lalu.

Pengarah JPJ Terengganu, Abdul Rahman Emang Ayie berkata, dalam kejadian jam 10.20 malam itu, anggotanya, Syed Shyrul Qawiem Haedar Syed Roslan bersama 30 anggota penguat kuasa lain sedang menjalankan operasi memeriksa motosikal di situ.

Menurutnya, ketika Syed Shyrul Qawiem Haedar berada di tengah jalan mengawal lalu lintas tiba-tiba datang sebuah bas ekpress dari arah Tok Bali, Semerak, Kelantan menuju Kuala Besut.

“Anggota saya memberi isyarat supaya pemandu bas itu memperlahankan kenderaannya tetapi pemandu bas itu memecut basnya tanpa menghiraukan amaran berhenti dan papan tanda amaran JPJ di situ,” katanya.

Beliau berkata demi-kian selepas menyampaikan sijil Kursus Pemantapan kepada 56 anggota Penguat Kuasa JPJ di Demong Beach Resort, kelmarin.

Abdul Rahman berkata, bagaimanapun Syed Shy-rul Qawiem Haedar sempat melompat ke tepi jalan manakala bas tersebut terus memecut laju meninggalkan tempat kejadian.

Beliau yang turut berada di situ kejadian berkata, bas tersebut bergerak dianggarkan dengan kelajuan antara 80 hingga 100 kilometer sejam.

“Susulan itu anggotanya bertindak mengejar bas ekspres berkenaan kira-kira lima minit kemudian namun gagal dikesan kerana bas berkenaan dipandu laju dan JPJ percaya pemandu cuba mengelak pemeriksaan JPJ kerana dipercayai melakukan kesalahan tertentu,” katanya.

Abdul Rahman berkata, kejadian itu adalah pengalaman pertama dilalui anggotanya membabitkan bas merempuh sekatan.

Sementara itu, Syed Shyrul Qawiem Haedar, 25, yang ditemui berkata, beliau tidak menyangka pemandu bas itu akan memecut laju ke arahnya yang berdiri di tengah jalan ketika itu seolah-olah bertekad ingin merempuhnya demi mengelak pemeriksaan.

“Mujurlah rakan setugas ditepi jalan menjerit memberitahu mengenai bas itu yang meluru ke arah saya jika tidak sudah tentu saya dilanggar,” katanya.

Sumber: Sinar Harian

Melambung Depan Nenek

Tak sempat belayar ke Mesir



Inalillahi wainailaihi rojiun 

ALOR GAJAH - Niat seorang lelaki untuk menegur seorang remaja lelaki yang merempit di depan rumahnya, berakhir tragedi apabila dia pula maut dirempuh kereta ketika mahu melintas jalan di Batu 23 Kampung Ayer Molek, Masjid Tanah, di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 1.30 tengah hari itu, mangsa, Nor Azmi Othman, 27, berjalan keluar dari pagar rumahnya dan kemudiannya dirempuh sebuah kereta jenis Kenari yang datang dari arah Kuala Sungai Baru menghala ke Masjid Tanah.

Saksi yang juga nenek saudara mangsa, Putih Abd Ghani, 73, berkata, ketika kejadian, dia sedang berehat di beranda rumahnya dan dikejutkan dengan dentuman kuat.

“Saya lihat mangsa melambung sebelum tersembam ke atas jalan raya dan ketika itu mangsa dilihat masih bernyawa.

“Sementara itu, pemandu wanita dalam lingkungan 30-an memberhentikan :kenderaannya di kiri jalan tidak jauh dari tempat kejadian tetapi dia tidak keluar dari kenderaan, sebaliknya terus memecut laju keretanya ke arah Masjid Tanah,” katanya.

Mangsa yang juga pegawai di sebuah syarikat perkapalan di Kuala Lumpur adalah anak ketiga daripada lima beradik, meninggalkan seorang isteri dan seorang anak perempuan, Nur Damia Qaisara yang baru berusia setahun enam bulan.

Isteri mangsa, Nur Syakirin Mohd Fauzi, 25, yang masih sugul dengan kejadian itu berkata, dia tidak menyangka suaminya pergi meninggalkannya serta anak yang masih kecil dalam sekelip mata.

“Arwah suami adalah anak tunggal lelaki dalam keluarganya.

“Dia masih bercuti tiga bulan dan dijangka melaporkan diri untuk belayar ke Mesir pada 26 Oktober,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Umar Ali Saifuddin Shaharudin yang mengesahkan kejadian itu berkata, mangsa maut di tempat kejadian kerana parah di kepala.

Menurutnya, mayat mangsa dihantar ke Hospital Melaka untuk bedah siasat.

Al-Fatihah



Sumber: Sinar Harian

Thursday, October 20, 2011

Maut Tersepit Dalam Kemalangan Di Karak


KARAK – Seorang lelaki maut dalam kemalangan jalan raya melibatkan tiga kenderaan di Kilometer 12 Jalan Mempaga-Karak dalam kejadian kira-kira jam 1.30 petang semalam.

Pemangku Ketua Polis Daerah Bentong, Deputi Superintendan Mohamad Mansor berkata, mangsa dikenali sebagai, Lim Yau Chong berusia 24 tahun beralamat di Puchong, Selangor.

Menurutnya, mangsa menaiki kenderaan jenis Proton Iswara Aerocback seorang diri dalam perjalanan dari arah Mempaga ke Karak.

“Setibanya di tempat kejadian iaitu satu selekoh berhampiran Kampung Aji Kubur dekat sini, kenderaan dipandu mangsa dipercayai hilang kawalan lalu terbabas kemudian terlanggar bahagian belakang kanan sebuah Hilux.

“Kereta dinaiki mangsa kemudiannya berpusing beberapa kali sebelum bertembung dengan sebuah Hilux kedua dari arah hadapan,” katanya kepada Sinar Harian.

Mohamad Mansor berkata, akibat kejadian itu mangsa tersepit di dalam kereta dan terpaksa dikeluarkan oleh anggota bomba dan penyelamat.

Menurutnya, mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di bahagian kepala dan badan. “Pemandu Hilux pertama tidak mengalami sebarang kecederaan manakala pemandu dan dua penumpang Hilux kedua hanya cedera ringan dan mendapat rawatan di Hospital Bentong.

“Kes kemalangan disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan masih diteruskan,” katanya. Sementara itu, Pegawai Operasi Bomba dan Penyelamat, Abdullah Yaakob berkata, dengan kekuatan lima anggota dan sebuah jentera, mereka bergegas ke tempat kejadian selepas menerima panggilan dari orang awam.

“Kami mengambil masa lebih kurang 10 minit untuk mengeluarkan mayat mangsa yang tersepit di bahagian hadapan kereta. “Pintu kereta terpaksa dipotong bagi membolehkan operasi menyelamat dijalankan,” katanya.

Sumber: Sinar Harian


Kemalangan Dua Bas Kilang



GEORGE TOWN: Empat pekerja kilang cedera apabila bas kilang yang mereka naiki terlibat dalam kemalangan dengan sebuah lagi bas kilang di Lebuhraya Tun Dr Lim Choong Eu di sini hari ini.

Kejadian pada jam 6.15 pagi di persimpangan lampu isyarat itu turut menyebabkan dua kereta yang berhenti di lampu isyarat itu dilanggar dari belakang.

"Keempat-empat mereka kini dirawat di Hospital Pulau Pinang dengan seorang daripadanya patah kaki," kata Pegawai Turus Trafik Pulau Pinang DSP Abdul Rahim Md Din ketika dihubungi, di sini.

Beliau berkata ketika kejadian, bas kilang yang membawa 40 pekerja itu berhenti di persimpangan lampu isyarat Fasa empat kawasan perindustrian Bayan Lepas.


"Bas itu secara tiba-tiba dirempuh dari belakang oleh sebuah lagi bas kilang. Impak rempuhan itu menyebabkan seorang pekerja kilang terpelanting ke tengah jalan, dua kerusi bas tercabut keluar dan dua kereta yang sedang menunggu lampu isyarat (bertukar hijau) turut dilanggar," katanya.

Kemalangan itu menyebabkan kesesakan lalu lintas sejauh lebih 10 kilometer dari arah jambatan Pulau Pinang menghala ke kawasan perindustrian Bayan Lepas.

Seorang pekerja kilang, Murni Hayati Zainal Abidin, 27, berkata sebelum kejadian, bas yang dinaikinya berhenti di persimpangan lampu isyarat itu.

"Secara tiba-tiba, saya terasa satu rempuhan kuat di bahagian belakang sebelah kanan bas dan mendengar rakan-rakan menjerit," katanya ketika ditemui Hospital Pulau Pinang sini.

Beliau yang tidak cedera, berkata rakannya Noraini Razali, 40-an, yang duduk di bahagian kanan bas patah kaki kiri. - Bernama

Sumber: myMetro
             

Terkeluar Tulang Punggung Akibat Gagal Memotong Lori



ALOR GAJAH - Dua daripada empat lelaki nyaris maut selepas lori dan kereta jenis Proton Wira yang dinaiki masing-masing terbabit dalam kemalangan di Bukit Putus, Tebong, dekat sini kira-kira jam 8.50 malam kelmarin.

Dalam kejadian itu, pemandu lori, Mohd Shukor Bahari, 40-an, bersama dua kelindan, Mohd Asyraf Arsad, 26, dan Khairul Azlan Othman, 20, dalam perjalanan pulang dari Durian Tunggal ke Maran, Pahang selepas selesai kerja.

Difahamkan, Proton Wira terbabit yang dipandu Nordin Senin, 28, dari arah Gemas ke Tebong cuba memotong lori muatan tiga tan yang dipandu Shukor, namun gagal sehingga berlakunya pertembungan sebelum kereta terbabit berpusing semula ke Gemas.

Mohd Asyraf berkata, dia dan dua rakannya itu terkejut sebaik menyedari pemandu Proton Wira terbabit tiba-tiba memotong lori mereka, namun gagal menyebabkan berlakunya pertembungan walaupun pemandu lori cuba mengelak ke kiri.

“Akibat cuba mengelak dari merempuh kenderaan lain, lori kami juga nyaris melanggar sebatang tiang elektrik di tepi jalan.

“Saya dan Khairul kemudiannya keluar dari lori dan mendapati pemandu Proton Wira terbabit berada dalam keadaan tersepit sebelum orang awam cuba membantu mengeluarkannya serta menghubungi ambulans,” katanya.

Sementara itu, jurucakap hospital berkata, pemandu lori berkenaan yang terkeluar tulang punggung dihantar ke Hospital Tampin sebelum dirujuk ke Hospital Melaka untuk menerima rawatan sementara pemandu kereta dirawat di Hospital Tampin.

Sumber: Sinar Harian

Patah Bahu Rempuh Lori Tiga Tan



KUALA LUMPUR: Seorang lelaki parah selepas teksi dipandunya merempuh belakang sebuah lori tiga tan di Jalan Bangsar, di sini, petang semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 2.15 petang itu, mangsa, Alias Lazim, 49, yang memandu seorang diri dalam perjalanan ke Petaling Jaya.


Saksi kejadian yang hanya mahu dikenali sebagai Amri, 35, berkata, ketika kejadian dia berada di belakang teksi berkenaan yang secara tiba-tiba merempuh belakang lori yang diletakkan di tepi jalan.

Katanya, akibat kejadian itu pemandu teksi berkenaan mengalami patah bahu kanan dan cedera di muka.


“Saya dan orang ramai cuba membantu mengeluarkan mangsa sebelum bomba dan penyelamat tiba,” katanya di sini, semalam.


Menurutnya, mangsa kemudian dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk rawatan lanjut.

Sementara itu, Pegawai Turus Siasatan dan Perundangan Trafik Kuala Lumpur, Deputi Superintendan Abdullah Roning mengesahkan kejadian itu dan siasatan dijalankan mengikut Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sumber: myMetro

Penumpang Sarat Mengandung Cedera Bas Ekspres Rempuh Treler


 JASIN: “Saya terkejut kerana ketika cuba masuk ke lorong kecemasan tiba-tiba terdengar bunyi dentuman dan melihat sebuah bas terbabas ke kanan jalan,” kata pemandu treler, Aziz Romzi Sarkam, 42.

Dalam kejadian jam 2.30 petang semalam, dua penumpang termasuk wanita sarat mengandung lima bulan cedera, manakala 14 penumpang lain tidak mengalami kecederaan dalam kemalangan membabitkan sebuah bas ekspres dengan treler di Kilometer 186.7 Lebuhraya Utara-Selatan (Plus) berhampiran Plaza Tol Lipat Kajang.


Menurut Aziz, ketika kejadian dia cuba memasuki lorong kecemasan bagi memberhentikan treler muatan besi buruk yang dipandu berikutan masalah brek kanan dialami.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Deputi Superintendan Che Suza Che Hitam berkata, bas berkenaan membawa 16 penumpang dengan empat daripadanya ke Singapura dan selebihnya ke Johor Bahru, manakala treler itu dari Kuala Lumpur menghala ke Johor Bahru.


“Dua penumpang cedera dalam kemalangan itu, seorang daripadanya yang identitinya masih belum dikenal pasti mengalami patah kaki kanan dan dihantar ke Hospital Tangkak, Ledang untuk rawatan.


“Manakala, wanita mengandung lima bulan dikenali sebagai Loh Hua Moi, 40, dari Kampung Sarang Buaya, Semerah, Batu Pahat, Johor pula hanya cedera ringan dan kini menerima rawatan di Hospital Melaka sebagai pesakit luar,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Che Suza berkata, siasatan awal mendapati pemandu bas dikenali sebagai Raja Chandran berusia 40-an dari syarikat Jebat Ekspres itu dipercayai cuba memotong di sebelah kanan jalan, sebelum terlanggar belakang treler terbabit yang ketika itu sedang bergerak perlahan ke lorong kecemasan.


“Ketika kejadian, treler ini mengalami kerosakan pada bahagian brek kanannya dan bergerak perlahan dari laluan kiri untuk memasuki ke lorong kecemasan dan sebelum sempat keseluruhan bahagian badan treler masuk ke lorong itu ia dilanggar bas ekspres terbabit.

“Akibat rempuhan kuat itu, seluruh dinding bahagian kanan badan treler ini rosak teruk dan termasuk ke dalam bas, manakala bas ekspres berkenaan pula rosak di bahagian kiri depannya,” katanya.


Menurutnya, pemandu bas dan treler itu tidak mengalami sebarang kecederaan.


“Polis menyiasat kes ini mengikut Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu hingga menyebabkan kemalangan,” katanya.

Sumber: myMetro
             Sinar Harian


Wednesday, October 19, 2011

Nyaris Maut Dihimpit Perodua Alza



SEREMBAN: Seorang wanita nyaris maut dalam kemalangan jalan raya selepas motosikal ditungganginya terbabas sebelum terjatuh di Jalan Forest Height, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 10 pagi itu, Siti Qursiah Mohd Zain, 21, dari Taman Desa Chembong, Rembau, cedera di muka dan tangan akibat terjatuh atas jalan.


Saksi dikenali sebagai Hashim, 25, berkata, dia melihat wanita itu yang menunggang motosikal Honda EX5 dalam perjalanan dari arah Seremban menuju Senawang.

Katanya, sebaik tiba di lokasi kejadian, dia melihat sebuah Perodua Alza menghimpit motosikal mangsa menyebabkan wanita itu terbabas ke bahu jalan sebelum terjatuh.


“Saya nampak mangsa berguling beberapa kali selepas terjatuh sebelum terbaring kesakitan di atas jalan.


“Saya terkejut melihat kejadian itu, namun kemudian berusaha menahan beberapa kenderaan bagi membantu wanita itu.

“Kami cuba membantunya, tetapi dia tidak dapat bergerak sebelum menghubungi ambulans kerana risau dengan keadaannya yang seperti tidak sedarkan diri,” katanya ketika ditemui, semalam.


Menurutnya, mangsa kemudian dikejarkan ke Hospital Tuanku Ja’afar Seremban (HTJS) dengan menaiki sebuah ambulans.

Sementara itu, sumber di HTJS berkata, mangsa mengalami beberapa kecederaan seperti luka di muka dan tangan dan kini dilaporkan dalam keadaan stabil.

Sumber: myMetro

Treler Batu Konkrit Terbalik


 PUCHONG – Gara-gara treler yang dipandu seorang lelaki gagal dikawal dan hampir terbalik, ribuan batu konkrit bertaburan di atas jalan Persiaran Wawasan, Pusat Bandar Puchong menuju ke Lebuhraya Damansara Puchong (LDP), petang, semalam.

Difahamkan, pemandu treler yang datang dari arah LDP sebelum itu membuat pusingan U meskipun terdapat papan tanda larangan kenderaan berat berbuat demikian di simpang tiga itu.

Kejadian berlaku kira-kira jam 3.15 petang itu menyebabkan laluan keluar masuk simpang dari Persiaran Wawasan ke Taman Wawasan 2 dan ke arah lebuh raya ditutup selama satu setengah jam kepada laluan kenderaan serta terpaksa dikawal polis.

Pemandu treler berkenaan berkata, dia pertama kali menggunakan laluan itu untuk muatan bahan binaan ke tapak pembinaan yang terletak kurang 50 meter dari tempat kejadian.

“Ketika melakukan pusingan U, saya dapat rasakan sesuatu yang tidak kena apabila bahagian belakang treler bergoyang dan seperti hilang pertimbangan.

“Hanya beberapa meter sahaja untuk sampai ke tapak binaan, muatan yang dibawa bertaburan di atas jalan kerana kayu pengadang lori turut pecah,” katanya.

Sementara itu, kira-kira 50 pekerja binaan dari tapak pembinaan dikerahkan mengutip kembali batu konkrit yang terjatuh sebelum laluan kembali dibuka semula kepada pengguna.

Sumber: Sinar Harian

Tuesday, October 18, 2011

3 Remaja Maut Dalam Kemalangan Jalan Raya

KUANTAN: Tiga remaja maut selepas terjatuh daripada motosikal yang bergesel sesama sendiri di Jalan Bandar Jengka-Universiti Teknologi MARA (UiTM), berhadapan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jengka Pusat 2, Bandar Tun Abdul Razak, tengah malam kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 12.10 tengah malam, mangsa yang terbunuh ialah pelajar Tingkatan Tiga SMK Desa Jaya, Zulhilmi Haris, 15, dari Desa Jaya yang sedang menunggu keputusan Penilaian Menengah Rendah (PMR).

Turut terbunuh pelajar Tingkatan Empat SMK Jengka Pusat 2, Mohamad Lokman Hakim Mohd Rosly, 16, dari FELDA Jengka 14 dan Penyelia Ladang FELDA Plantations Jengka 21, Mohd Shahfahme Mustapha, 21, dari FELDA Jengka 21.

Ketua Jabatan Ketenteraman Awam dan Trafik negeri, Superintendan Mohamed Fauzi Abdul Rahim, berkata ketika kejadian ketiga-tiga mangsa dari Bandar Tun Abdul Razak sebelum dua daripada mangsa bergesel dan terjatuh sebelum dirempuh sebuah lagi motosikal dari belakang.

Katanya, Zulhilmi dan Lokman Hakim meninggal di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala dan badan.

"Seorang lagi mangsa, Mohd Shahfahme pula meninggal di Hospital Jengka," katanya, semalam dan memaklumkan siasatan lanjut berhubung kejadian masih dilakukan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sementara itu, Mohamed Fauzi berkata, dalam kemalangan di Bera pula, dua maut dan seorang parah selepas kereta dinaiki tiga lelaki terhumban ke dalam longkang kira-kira jam 4 pagi di Kilometer 43, Jalan Temerloh-Kuantan, Temerloh.

Katanya, mangsa terbunuh di tempat kejadian ialah pemandu kereta, Low Chee Hong, 22, dan penumpang belakangnya, Sam Jian Hui, 19, manakala seorang lagi penumpang cedera parah.

Sumber: Berita Harian

Maut Kereta Terhumban Dalam Sungai Bunus


 KUALA LUMPUR 17 Okt. - Sungai Bunus terletak di persimpangan Jalan Ampang dan Jalan Munshi Abdullah di sini, kini semakin banyak meragut nyawa pengguna jalan raya.

Dalam tahun ini sahaja, sudah berlaku dua kemalangan maut mengorbankan tiga nyawa.

Terbaru, insiden sama menimpa tiga lelaki yang menaiki sebuah kereta Honda Accord awal pagi ini mengakibatkan dua daripada mereka terbunuh, manakala seorang lagi parah.

Dalam kejadian pukul 3.45 pagi, dua mangsa yang terbunuh adalah lelaki warga asing, salah seorang disahkan berasal dari Calgary di Alberta, Kanada, manakala seorang lagi belum dikenal pasti identitinya.

Dalam kedua-dua kemalangan tersebut, kenderaan dinaiki mangsa hilang kawalan sebaik sahaja tiba di selekoh persimpangan jalan terbabit sebelum terbabas dan terjunam ke dalam sungai mengakibatkan mangsa mati lemas.

Pegawai Turus Siasatan dan Perundangan Trafik Kuala Lumpur, Deputi Supritendan Abdullah Roning berkata, dalam kejadian pagi ini, tiga lelaki terbabit dalam perjalanan dari arah Jalan Sultan Ismail menuju ke Jalan Munshi Abdullah apabila kereta mereka hilang kawalan sebelum merempuh palang besi penghadang jambatan sungai itu.

"Kereta Honda Accord tersebut kemudian terjunam dan terbalik dalam sungai menyebabkan ketiga-tiga mangsa terperangkap.

"Dua mangsa iaitu seorang lelaki Kanada, Jason Price Krull, 28, dan seorang rakannya juga lelaki Eropah yang belum dikenal pasti identitinya mati dipercayai akibat lemas selepas terperangkap dalam kenderaan," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Kes pertama berlaku pada 9 Mei lalu melibatkan sebuah kereta jenis BMW dinaiki tiga wanita yang terhumban ke dalam sungai itu dan meragut nyawa seorang daripada mereka.

Sementara itu, Abdullah berkata, dalam insiden pagi ini, seorang pelajar lelaki tempatan berusia 20 tahun yang turut menaiki kereta itu berjaya diselamatkan oleh orang awam yang kebetulan melalui tempat kemalangan.

Beliau berkata, pelajar berkenaan dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk menerima rawatan lanjut tetapi masih berada dalam keadaan tenat.

Katanya, mayat dua mangsa yang maut pula dihantar ke HKL untuk dibedah siasat dan polis menyiasat kes tersebut mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sumber: Utusan Malaysia
              tv3.com

Tak Sempat Lihat Anak Bakal Lahir

Inalillahi wainailaihi rojiun

MELAKA 17 Okt. - Seorang bapa kepada dua anak maut akibat dirempuh sebuah kereta ketika kenderaan ditungganginya terjatuh di Jalan Datuk Mohd. Zain, Batu Berendam di sini, semalam.

Dalam kejadian pukul 3 petang, Shahrul Hisham Daud, 22, dikatakan baru pulang menghantar isterinya ke tempat kerja di sebuah pasar raya berhampiran.

Menurut sumber, mangsa ketika itu datang dari arah Taman Merdeka Permai menuju arah Bachang sebelum motosikalnya dikatakan terbabas dan terjatuh di tengah jalan.

"Sebaik sahaja terjatuh, mangsa tercampak ke laluan bertentangan sebelum dirempuh sebuah kereta jenis Proton Waja yang dipandu seorang lelaki berusia 65 tahun," katanya di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Salehhudin Abd. Rahman berkata, mangsa yang berasal dari Kampung Gelam, Tanjung Keling di sini meninggal dunia di tempat kejadian.

Kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sementara itu, isteri mangsa, Norhanisa Nordin, 21, berkata, dia tidak menyangka permintaan untuk menemaninya hingga ke kaunter wang tempat kerjanya itu merupakan permintaan terakhir arwah.

"Masih terngiang-ngiang kata-kata arwah yang beria-ia mahu menghantar saya sehingga ke kaunter pembayaran tetapi saya menolaknya kerana tidak mahu menyusahkannya.

"Tidak lama selepas itu, saya terkejut apabila diberitahu dia terlibat dalam kemalangan," katanya ketika ditemui di Bilik Mayat Hospital Melaka di sini, semalam.

Hasil perkahwinan pada 2008, pasangan itu dikurniakan dua orang anak iaitu lelaki dan perempuan berusia tiga tahun dan 18 bulan.
 “Luluh hati saya ketika tiba ke tempat kejadian dan melihat tubuhnya terbujur kaku ditutup dengan plastik hitam. Malah, lebih mengecewakan apabila mengenangkan arwah tidak sempat melihat anak ketiganya yang bakal lahir.

“Sebelum ini, dia pernah terbabit dalam kemalangan jalan raya sehingga koma dan menyatakan sekiranya sekali lagi terbabit kemalangan, nyawanya akan terancam kerana kepalanya sensitif,” kata isteri kepada mangsa kemalangan maut, Shahrul Hisham Daud, 22.

Norhanisah Nordin, 21, yang baru disahkan mengandung sebulan berkata, ketika kejadian suaminya baru menghantarnya bekerja di pasar raya di Cheng jam 2.45 petang sebelum terbabit dalam kemalangan jam 3.30 petang itu.

“Sebelum ini, dia tidak pernah menghantar saya sehingga ke kaunter tempat bekerja, namun hari ini (kelmarin) dia beriya-iya mahu ikut hingga ke kaunter, tetapi saya tidak menghiraukan permintaannya.

“Malah, sejak kebelakangan ini, suami lebih banyak berdiam diri sehingga kami jarang berbual dan saya tidak sangka perubahan itu petanda suami meninggalkan kami selamanya,” katanya ketika ditemui di pekarangan Bilik Mayat Hospital Melaka (HM), di sini, semalam.

Al-Fatihah

Sumber: myMetro
             Utusan Malaysia

Nelayan Maut Rempuh Lori

  Inalillahi wainailaihi rojiun

TELUK INTAN - Seorang nelayan dalam perjalanan pulang ke Hutan Melintang dari rumah kakaknya di Ipoh maut apabila motosikal yang ditunggangnya hilang kawalan sebelum merempuh sebuah lori muatan ikan di Kilometer 10 Teluk Intan-Bidor, awal pagi kelmarin.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Goh Kok Liang berkata, mangsa dikenali sebagai Zainal Abidin Saad, 29, berasal dari Sungai Air Tawar, Sabak Bernam, Selangor maut di tempat kejadian.

Menurutnya, kemalangan jalan raya berlaku kira-kira jam 6.30 pagi kelmarin melibatkan sebuah lori muatan ikan dan sebuah motosikal jenis Kriss Modenas yang ditunggang mangsa dari arah Bidor ke Teluk Intan.

“Mangsa memandu seorang diri manakala pemandu lori berusia 62 bersama isterinya berusia 59 tahun selain berasal daripada Hutan Melintang, dekat sini.

“Siasatan awal mendapati, kejadian berlaku apabila mangsa dikatakan gagal mengawal motosikalnya dan masuk ke laluan bertentangan lalu bertembung dengan sebuah lori muatan ikan dari arah Teluk Intan ke Bidor,” katanya.

Kok Liang berkata, pertembungan itu menyebabkan mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan maut di tempat kejadian.

“Mangsa dibawa ke Hospital Teluk Intan (HTI) untuk tindakan selanjutnya.

“Sementara pemandu lori dan isterinya hanya mengalami kecederaan ringan dan menerima rawatan sebagai pesakit luar di HTI,” katanya.

Beliau berkata, jenazah mangsa telah dituntut oleh keluarganya kelmarin untuk urusan pengebumian di Sungai Air Tawar, Sabak Bernam, Selangor.

Katanya, pihaknya kini sedang mengesan saksi kejadian untuk tampil memberikan maklumat.

“Mereka boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik IPD Hilir Perak, Inspektor Mohd Azli di talian 05-629 9222.

“Pihak kami akan menjalankan siasatan bagi mengenal pasti punca kejadian dan siasatan masih dijalankan di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Al-Fatihah

Sumber: Sinar Harian

Suami Isteri Maut Digilis Lori Kontena

SEREMBAN – Sepasang suami isteri maut dalam satu kemalangan ngeri apabila motosikal dinaiki mereka dirempuh sebuah lori kontena di persimpangan lampu isyarat Bukit Kepayang, Jalan Seremban 2 – Seremban, dekat sini, malam kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira 11.30 malam itu, mangsa, Yap Chi Chai, 52. dan isteri, Chia Fong Kim, 51, maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala.

Lebih menyayat hati, kepala kedua-dua mangsa digilis lori berkenaan sehingga menyebabkan otak bersepai di tempat kejadian.

Jurucakap polis berkata, kejadian itu berlaku ketika motosikal jenis Yamaha LC 135 ditunggangi Chi Chai dan isteri berhenti di persimpangan lampu isyarat bersama sebuah lori kontena tanpa muatan.

“Bagaimanapun, sebaik lampu isyarat berwarna hijau, pemandu lori tidak menyedari terdapat sebuah motosikal di bahagian kiri lori menyebabkan tayar bahagian hadapan kiri bergesel dengan motosikal dinaiki mangsa.

“Pergeselan itu menyebabkan kedua-dua mangsa terjatuh dari motosikal lalu digilis lori kontena itu sehingga menyebabkan kematian serta-merta di tempat kejadian,”katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Menurutnya, kedua-dua mangsa dalam perjalanan pulang ke rumah di Ampangan, dekat sini, selepas Chi Chai yang bekerja sebagai tukang masak menjemput isterinya pulang dari tempat kerja di sebuah restoran di Seremban 2.

Katanya, pemandu lori kontena berusia 24 tahun itu bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Kita sudah mengambil keterangan daripada pemandu lori dan telah dibebaskan , bagaimanapun siasatan lanjut tetap dilakukan,” katanya.

Sementara itu, pegawai turus trafik negeri, Asisten Superintendan Abd. Halil Hamzah ketika dihubungi mengesahkan kejadian.

Sumber: SH

Tak Sempat Beli Sari

TAMPIN –Hasrat seorang isteri untuk menyambut perayaan Deepavali tidak kesampaian setelah maut semasa mendapat rawatan di Unit Kecemasan Hospital Tampin (HT), semalam.

Mangsa, K Thivayi, 55, disahkan maut selepas mendapatkan rawatan susulan selepas motosikal yang ditungganginya bertembung dengan sebuah kereta di kilometer 27.5, Jalan Tampin-Gemas, kira-kira jam 11.30 pagi, semalam.

Menurut suami mangsa, M Karupaya, 56, ketika kejadian isterinya itu dipercayai dalam perjalanan daripada kediaman mereka yang terletak di Batu Anam, Segamat ke Bandar Tampin, kira-kira 10 pagi.

“Pagi sebelum kejadian iaitu sekitar 8 pagi, kami sempat sarapan bersama sebelum saya pergi bekerja ke Pahang. Semasa minum bersama, isteri menyatakan ingin ke bandar Tampin tetapi berjanji akan menaiki bas.

“Oleh itu, saya sangat terperanjat apabila dimaklumkan polis dari Batu Anam bahawa isteri saya menunggang motosikal maut dirempuh kereta,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di perkarangan Bilik Mayat HT, semalam.

Menurutnya, dia sangat sedih dan tidak menyangka isterinya betul-betul mahu ke Pekan Tampin dengan menaiki motosikal. Malah, berkemungkinan bagi membeli pakaian sempena perayaan Deepavali.

“Isteri pernah menceritakan kepada saya mengenai sari di bandar Tampin jauh lebih murah berbanding di tempat lain. Malah, sejak seminggu lalu, banyak kuih telah dibuatnya untuk dimakan bersama anak dan cucu sempena Deepavali.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Tampin, Superintendan Wooi Kooi Cheang berkata, siasatan awal mendapati sebuah kereta jenis Honda dari arah Gemas cuba mengelak motosikal yang keluar dari kedai menjual getah menyebabkan pemandu terbabit hilang kawalan dan masuk ke laluan bertentangan.

Menurutnya, sejurus kejadian, mangsa yang menunggang motosikal jenis Yamaha Sport dari arah Tampin bertembung dengan kereta terbabit.

“Mangsa kemudiannya disahkan mati ketika mendapat rawatan di HT. Manakala pemandu kereta tidak mengalami sebarang kecederaan dan sudah membuat laporan polis” katanya.

Polis masih menjalankan siasatan lanjut bagi mengetahui punca kemalangan dan meminta saksi supaya tampil membantu siasatan.

Sehubungan itu, orang ramai boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tampin, Inspektor Mohd Ridhwan Ghazali di talian 06-4431999 untuk menyalurkan maklumat.

Sumber: Sinar Harian

Kemalangan 9 Kenderaan



SEREMBAN – Berpunca daripada sebuah kereta terbabas, ia menyebabkan lapan lagi kenderaan terlibat sama dalam kemalangan Jalan Tampin - Seremban, dekat persimpangan lampu isyarat Taman Bukit Mas, Senawang, di sini, semalam.


Kesemua lapan kenderaan itu dikatakan sedang berhenti di persimpangan berikutan lampu isyarat merah.

Kemalangan berlaku berhampiran Kompleks Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) negeri kira-kira 8.30 pagi menyebabkan laluan kesesakan lalu lintas sepanjang kira-kira tiga kilometer di situ.

Kemalangan membabitkan tujuh kereta serta masing-masing sebuah van sekolah dan lori, kesemua dari arah Tampin menghala ke pusat bandar.

Bagaimanapun, daripada 19 mangsa berusia lingkungan 20an hingga 40an yang terlibat, hanya enam melibatkan dua lelaki dan empat wanita dalam cedera dan dikejarkan ke Hospital Tuanku Ja’afar, di sini, manakala bakinya tidak mengalami sebarang kecederaan.

Pegawai Kanan Bomba dan Penyelamat Balai Bomba Seremban, S.Gunaselan berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 8.33 pagi.

:“Seramai 18 anggota dan pegawai membabitkan tiga jentera bomba dari Balai Bomba Seremban tiba di lokasi kemalangan, sejurus selepas itu.

“Anggota bomba mengambil masa kira-kira 10 minit bagi mengeluarkan mangsa tersepit di sebuah kereta jenis Mercedes Benz berikutan kereta berkenaan bertindih dengan sebuah Proton Iswara,” katanya.

Sementara itu, jurucakap polis berkata, kemalangan tersebut dipercayai berpunca daripada Mercedes Benz berkenaan yang dipandu seorang lelaki terbabas ke laluan bertentangan.

“Akibatnya, Mercedes Benz terbabit melanggar kenderaan yang sedang berhenti di persimpangan lampu isyarat tersebut,” katanya.

Menurutnya, punca kemalangan masih dalam siasatan dan polis masih menunggu pemilik kenderaan terlibat membuat laporan.

Sumber: Sinar Harian 


Kereta Terbang

“Apabila tiba di lampu isyarat itu, saya terkejut mendengar bunyi dentuman kuat dan ternampak sebuah kereta Proton Iswara ‘terbang’ menghempap bumbung kereta lain,” kata Rizal Adnan, 20, saksi kemalangan membabitkan lapan kenderaan di persimpangan lampu isyarat Taman Bukit Emas, di sini, semalam.

Menurutnya, ketika kejadian dia dalam perjalanan ke tempat kerjanya di Senawang dan terkejut menyaksikan kejadian ngeri itu.

Rizal berkata, dia bergegas ke tempat kejadian dan melihat pemandu kereta Mercedes Benz yang merempuh deretan kenderaan itu tersepit di tempat duduk pemandu.

“Saya bersama orang awam lain cuba mengeluarkannya, namun kehadiran bomba di tempat kejadian tepat pada masanya,” katanya.


Dalam kejadian kira-kira jam 8.30 pagi, pemandu Proton Iswara itu bagaimanapun terselamat daripada maut walaupun keretanya rosak teruk.


Kemalangan itu turut membabitkan enam kereta, sebuah van sekolah dan sebuah lori.

Kenderaan berkenaan berada di laluan bertentangan sebelum dirempuh kereta jenis Mercedes Benz terbabit dipercayai dipandu laju dari Jalan Seremban-Tampin, di sini.


Difahamkan, akibat kesan hentaman kuat itu, lima mangsa di dalam kereta berasingan cedera dan dihantar ke Hospital Tuanku Ja’afar Seremban (HTJS) untuk menerima rawatan.

Berikutan kemalangan terbabit, laluan Senawang ke Seremban berhampiran Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) negeri di sini sesak sepanjang tiga kilometer.


Jurucakap polis berkata, kemalangan berlaku dari arah Senawang menghala ke Seremban membabitkan 19 mangsa berusia 20-an hingga 40-an.


Difahamkan, 14 mangsa lain yang turut berada di dalam kenderaan tidak cedera.


“Siasatan awal mendapati Mercedes Benz dipandu lelaki berusia 62 tahun itu tiba-tiba hilang kawalan dan terbabas memasuki laluan bertentangan sebelum menghentam kenderaan lain,” katanya.


Menurutnya, kejadian itu menyebabkan enam kenderaan lain tidak sempat menekan brek berikutan jarak antara kenderaan terlalu dekat dan terkejut melihat sebuah kereta melambung tinggi sebelum ‘terbang’ ke atas dua kereta lain di laluan bertentangan.


Katanya, pemandu kereta Mercedes Benz itu tersepit di tempat duduk pemandu dan orang ramai terus menghubungi balai bomba berdekatan.


Sementara itu, Pegawai Kanan Bomba dan Penyelamat Balai Bomba Seremban, S Gunaselan berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 8.33 pagi.


“Tiga jentera bomba dari Balai Bomba Seremban bersama 18 anggota dan pegawai tiba di lokasi kejadian kira-kira 10 minit kemudian.


“Anggota bomba mengambil masa kira-kira 10 minit mengeluarkan mangsa tersepit berikutan kenderaan bertindih dengan sebuah kereta Proton Iswara,” katanya.

Sumber: myMetro

Monday, October 17, 2011

Empat Terbunuh Dalam Kemalangan

 Inalillahi wainailaihi rojiun


IPOH — Empat terbunuh dua daripadanya pelajar dalam kemalangan berasingan membabitkan kenderaan di negeri ini semalam.

Ketua Polis Trafik Negeri, Supt. Wan Abdullah Ishak berkata, seorang pelajar berusia 14 tahun terbunuh selepas motosikal yang ditunggangnya dirempuh sebuah lori di satu simpang empat di Ipoh pukul 1.20 tengah hari.

Mohamad Syazani Badrulhisham berasal dari Kampung Tawas meninggal di tempat kejadian dan mayatnya dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh, katanya ketika dihubungi hari ini.

Seorang lagi pelajar, Muhamad Izuan Mohd. Daud, 14 dari Parit Buntar di utara juga terbunuh selepas motosikalnya terbabit dalam perlanggaran dengan sebuah kereta pacuan empat roda yang memotong kenderaan lain di Jalan Parit Buntar-Butterworth pukul 2.51 petang.

Wan Abdullah berkata, pemandu kenderaan terbabit berusia 32 tahun ditahan untuk siasatan dan dibebaskan kemudian, sementara mayat mangsa dihantar ke Hospital Parit Buntar untuk bedah siasat.

Di Hutan Melintang dekat Teluk Intan, seorang wanita Norhashimah Ismail, 43, yang menunggang motosikal keluar dari satu simpang empat juga terbunuh selepas dirempuh sebuah kereta pukul 12.30 tengah hari.

Dalam kejadian terakhir, seorang warga emas, Lee Lian Hoe, 60 terbunuh selepas dilanggar sebuah motosikal ketika mangsa dipercayai melintas jalan di Taman Nesa, Selama, juga di utara tengah malam tadi. — Bernama

Sumber: Kosmo

Maut Dihempap Lampu Jalan



GEORGETOWN: Seorang penunggang motosikal maut apabila dihempap lampu jalan yang secara tiba-tiba terjatuh dalam satu kejadian di Jalan Patani, di sini, petang kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 6 petang itu, mangsa V Ganesan, 27, yang baru sebulan bekerja di sebuah syarikat telekomunikasi dikatakan menunggang motosikal dari pejabat ke rumahnya di Sungai Pinang, di sini.


Menurut sumber, mangsa ketika itu menunggang berseorangan sebelum lampu jalan itu jatuh dan terkena leher menyebabkan mangsa gagal mengawal motosikalnya lalu terjatuh.

Difahamkan, mangsa cedera, manakala urat lehernya terputus.


“Selepas terjatuh, mangsa tidak sedarkan diri sebelum dibantu orang ramai yang kebetulan melihat kemalangan itu dan menghantarnya ke Hospital Pulau Pinang (HPP) untuk rawatan lanjut.


“Bagaimanapun, mangsa meninggal dunia berikutan mengalami pendarahan teruk di leher,” katanya.

Sementara itu, bapa mangsa, S Vadiveloo, 52, berkata ketika kejadian dia dalam perjalanan pulang ke rumah sebelum diberitahu seorang jiran, anaknya terbabit dalam satu kemalangan.


Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Gan Kong Meng, ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan berkata siasatan lanjut masih dijalankan.

Sumber: myMetro

Penunggang Maut Dirempuh Lori



 Inalillahi wainailaihi rojiun

LEDANG – “20 minit lagi aku nak balik.” Demikian kata-kata terakhir Shaidan Abdul Rahman, 33, kepada rakan baiknya sebelum maut setelah terbabit dalam kemalangan di Sengkang Batu 19, Bukit Gambir, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 9 malam, mangsa dikatakan dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Kampung Seri Paya, Sengkang Batu 20 selepas mengunjungi gerai rakan baiknya di Pasar Malam Serom 3.

Rakan baik mangsa yang enggan dikenali berkata, dia tidak menyangka kedatangan Allahyarham di gerainya pada malam kejadian merupakan pertemuan terakhir buat mereka.

Menurutnya, kira-kira dua jam berada di gerainya itu, arwah tidak menunjukkan sebarang kelakuan pelik dan dia kelihatan seperti biasa dengan sikap ramahnya itu.

“Setiap minggu arwah akan datang melepak di gerai murtabak saya di Pasar Malam Serom 3 di sini.

“Memandangkan arwah ingin pulang awal ke rumah, saya sempat mengirimnya murtabak untuk emak saya kerana kami tinggal sekampung,” katanya ketika ditemui :Sinar Harian: di tempat kejadian.

Menurutnya, mereka berdua akan pulang bersama-sama, tetapi pada malam kejadian dia pulang lewat sedikit kerana hendak menghabiskan jualan murtabaknya.

“Dalam perjalanan pulang, saya terkejut apabila mendapat panggilan mengatakan Shaidan terbabit dalam kemalangan.

“Pada mulanya menyangka hanya kemalangan biasa sahaja dan setibanya di lokasi kejadian dapat mengetahui arwah meninggal dunia,” katanya.

Katanya, dia sangat sedih kerana arwah kemalangan hanya pada jarak 1.4 kilometer daripada rumah keluarganya.

Difahamkan, ketika dalam perjalanan dipercayai motosikal mangsa dirempuh sebuah lori dari arah bertentangan.

Akibat perlanggaran tersebut, motosikal mangsa hilang kawalan sebelum terseret hampir 10 meter daripada tempat kejadian.

Mangsa mati serta merta di tempat kejadian kerana mengalami kecederaan parah di kepala dan beberapa anggota badan yang lain.

Sementara itu, jurucakap polis berkata, mayat mangsa dibawa ke Hospital Tangkak untuk bedah siasat.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Al-Fatihah

Sumber: Sinar Harian

Bayi Tercampak Dirempuh Kereta



SUNGAI PETANI – Sepasang suami isteri bersama seorang bayi perempuan cedera selepas motosikal yang ditunggang dirempuh sebuah kereta di persimpangan lampu isyarat Taman Ria berdekatan stesen minyak Petronas, di sini.

Saksi kejadian, Jagan Govindasamy, 28, berkata, dia bergegas ke lokasi kejadian sebaik terdengar dentuman kuat akibat bunyi perlanggaran kira-kira jam 11 pagi semalam.

Menurutnya, sebaik tiba di tempat kejadian, dia mendapati sepasang suami isteri bersama bayi perempuan tercampak ke bahu jalan setelah dilanggar sebuah kereta yang datang dari arah Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Muda.

“Suami isteri yang menunggang motosikal itu bersama bayi mereka tercampak ketika membelok dari arah Taman Ria menuju ke pekan Sungai Petani akibat dilanggar sebuah kereta jenis Proton Wira yang juga dinaiki sepasang suami isteri,” katanya.

Menurutnya, dipercayai selepas perlanggaran bayi perempuan masih berada dalam pelukan ibunya namun, masih dalam trauma dan turut mengalami luka kecil di bahagian kepala.

Mengikut pemerhatian awal mendapati, penunggang motosikal mengalami cedera parah di bahagian kepala dan patah kaki manakala pembonceng motosikal cedera di bahagian kaki.

Orang ramai yang menyaksikan kejadian turut membantu menenangkan kedua-dua mangsa dan bayi sebelum menunggu kedatangan ambulans.

“Kelihatan darah mengalir laju melalui kepala mangsa (penunggang motosikal) yang cedera ketika pasukan paramedik cuba membalut kepalanya sehingga menyebabkan bajunya berlumuran darah,” katanya.

Pemandu dan penumpang kereta tidak mengalami sebarang kecederaan dan semua mangsa yang cedera dibawa ke Hospital Sultan Abdul Halim dengan menaiki ambulans.

“Diharapkan pasukan perubatan datang lebih datang lebih cepat sejurus kejadian kemalangan berlaku memandangkan jarak lokasi dengan hospital hanya kira-kira satu kilometer,” katanya.

Sumber: Sinar Harian

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Headlines

FeedBurner FeedCount

Blogged.my