loading...

Saturday, May 18, 2013

Tak sempat menikmati masak lemak siput sedut




Inalillahi wainailaihi rojiun

19 Mei 2013
Melaka: Hasrat seorang pemandu lori untuk menikmati masak lemak siput sedut tidak kesampaian. “Dia (arwah) meminta supaya masak gulai lemak siput sedut, namun saya tidak berbuat demikian kerana ketiadaan bahan, menyebabkan dia sedih lalu beredar pergi,” kata Roszimah Shaharudin, 45, isteri pemandu lori yang maut selepas terbabit kemalangan dengan sebuah kereta di Jalan Krubong-Pantai Belimbing, di sini, semalam.



Difahamkan, dalam kejadian jam 3 pagi, Borhan Adam, 46, menuju ke tempat kerjanya di premis menjual bahan binaan lima kilometer dari rumahnya di Taman Krubong Jaya.

Sejurus tiba di tempat kejadian, motosikal Modenas Kriss ditunggang mangsa dipercayai dirempuh sebuah kereta Toyota Corona dipandu lelaki berusia 31 tahun yang terbabas dari laluan bertentangan.

Lelaki itu dikatakan meninggalkan keretanya 98 meter dari lokasi kemalangan sebelum membuat laporan polis.

Mangsa meninggal dunia di tempat kejadian akibat parah di kepala dan dihantar ke Hospital Melaka (HM) untuk bedah siasat.

Menurut isteri mangsa, Roszimah Shaharudun, 45, ketika kejadian, suaminya itu dalam perjalanan dari rumah mereka di Taman Krubong Jaya ke tempat kerjanya di sebuah kedai menjual bahan binaan yang terletak di Kawasan Perindustrian Krubong.

“Suami keluar rumah awal pagi kerana dia perlu menghantar barang pembinaan ke Kuantan, Pahang.

“Hampir setiap hari dia keluar awal pagi kerana perlu menghantar barangan kepada pelanggan yang terletak di luar Melaka,” katanya ketika ditemui di bilik mayat Hospital Melaka semalam.

Roszimah berkata, dia bagaimanapun berasa terkilan apabila tidak dapat memenuhi hasrat terakhir suaminya itu untuk memakan masak lemak siput sedut.

“Tengah hari semalam (kelmarin), suami ada meminta saya memasak siput sedut namun saya tidak dapat masaknya kerana bahan-bahan seperti siput sedut, santan dan keladi tiada di rumah.

“Sebaik pulang dari kerja kira-kira jam 6.30 petang, dia bertanyakan sama ada saya sudah memasak siput sedut dan berasa kecewa hingga menangis apabila diberitahu saya tidak sempat memasaknya kerana ketiadaan bahan,” katanya.

Menurutnya, dia kemudian pergi ke Kuala Lumpur menziarahi ibunya dan hanya mengetahui suaminya itu ditimpa kemalangan apabila menerima panggilan telefon daripada anak saudaranya pada jam 6 pagi semalam.

Sementara itu, Ketua Trafik dan Ketenteraman Awam negeri, Superintendan Ahmad Adnan Basri berkata, mangsa ketika kejadian menunggang motosikal miliknya dari arah Taman Krubong Jaya menghala ke persimpangan lampu isyarat Krubong/Lebuh SPA di sini.

“Tiba di tempat kejadian, sebuah kereta dipandu seorang lelaki berusia 31 tahun yang datang dari arah bertentangan telah terbabas lalu memasuki laluan mangsa.

“Kereta ini kemudian melanggar motosikal mangsa menyebabkan mangsa tercampak ke atas atas cermin kereta hadapan,” katanya.

Menurutnya, mangsa yang mengalami kecederaan parah di bahagian kepala maut di tempat kejadian dan dihantar ke Hospital Melaka untuk bedah siasat.

Katanya, kereta terbabit ditinggalkan pemandunya kira-kira kira 100 meter dari tempat kejadian kerana bimbang akan keselamatannya namun telah melaporkan kemalangan berkenaan kepada pihak polis tengah hari semalam.

Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sumber:
http://www.hmetro.com.my/articles/Kempunansiputsedut/MA/Article
http://www.sinarharian.com.my/edisi/melaka-ns/menangis-tak-dapat-rasa-siput-sedut-air-tangan-isteri-1.161650



1 maut 7 cedera




Inalillahi wainailaihi rojiun

19 Mei 2013
PASIR MAS – Seorang maut manakala tujuh yang lain termasuk kanak-kanak cedera dalam kemalangan di Kampung Bakong Luar, jam 5 pagi kelmarin.



Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Haliludin Rahim berkata, mangsa yang maut di tempat kejadian adalah Suhaili Ismail, 38, iaitu pemandu kereta Myvi.

Manakala mangsa yang tercedera katanya, penumpang hadapan, Azhar Hasan, 47; isteri pemandu, Saifinah Mohd Yusof, 38; anaknya, Nur Aini Nazirah, 11, Ahmad Amrin Azfar, 9, Nor Amni Faqihah, 6, Ahmad Anaki Amsyar, 3 dan Ahmad Wafie, 8 bulan.

“Hasil siasatan awal mendapati Suhaili memandu kereta Myvi dari arah Pohon Tanjung ke Meranti, terbabas ke bahu jalan lalu merempuh tiang elektrik. Kemalangan ini menyebabkan pemandu mengalami beberapa kecederaan parah dan maut di tempat kejadian,” katanya, semalam.

Beliau berkata, saksi yang melihat kejadian diminta tampil atau menghubungi Ibu Pejabat Polis Pasir Mas untuk membantu siasatan.

Menurutnya, kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sementara itu, Pegawai Kanan Bomba II (PBK), Azuhan Ibrahim berkata, Jabatan Bomba dan Penyelamat Pasir Mas menerima panggilan kecemasan pada jam 4.46 pagi.

Sejurus menerima panggilan kecemasan, katanya, seramai enam anggota ke tempat kejadian dengan satu jentera.

“Setibanya di sana, kami dapati mangsa lain berjaya dikeluarkan namun pemandu tidak dapat dikeluarkan kerana tersepit. Kita mengambil masa selama 15 minit untuk mengeluarkan mangsa dengan menggunakan alat rescue,” kata Azuhan.

Sumber:
http://www.sinarharian.com.my/edisi/kelantan/seorang-maut-tujuh-cedera-1.161553



2 maut bertembung van




Inalillahi wainailaihi rojiun
18 Mei 2013
PASIR PUTEH - Dua lelaki meninggal dunia selepas terlibat dalam kemalangan negeri di Kilometer 49 Jalan Kota Bharu-Kuala Terengganu di Kampung Wakaf Raja dekat sini, malam kelmarin.



Pemandu kereta, Fadzilhafizie Zakaria, 26, dari Kampung Pak Wong, Jerteh meninggal dunia di Hospital Jerteh jam 3 pagi semalam sementara rakannya, Tuan Mohd Rizuan Zakaria, 26, dari Kampung Telok, Alur Lintah, Jerteh meninggal dunia sejam selepas itu di Hospital Tengku Anis, di sini.

Kejadian kira-kira jam 11.50 malam itu turut menyebabkan dua lagi penumpang kereta, Abdul Aziz Rapuzali, 23, dan Mohd Faisal Firdaus Harun, 23, yang cedera parah kini dirawat di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian.

Pemandu van yang membawa muatan alat ganti basikal dalam perjalanan dari Dungun ke Kota Bharu, Lee Sui Hong, 62, patah kedua belah kaki turut dirawat di HUSM.

Ketua Polis Daerah, Deputi Superintendan Mohd Kamal Zainal berkata, siasatan awal mendapati kemalangan itu berpunca daripada van dari arah Jerteh terbabas memasuki laluan bertentangan lalu bertembung dengan kereta Perdana yang dinaiki empat lelaki.

Katanya, kes itu disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan pihaknya meminta saksi kejadian tampil membantu polis.

“Saya menasihati pengguna jalan raya lebih berhati-hati ketika melalui jalan tersebut kerana banyak kes kemalangan maut berlaku di kawasan itu,” katanya.

Mangsa yang tersepit berjaya dikeluarkan sepasukan anggota Bomba dan Penyelamat Pasir Puteh yang diketuai Ketua Operasi, Kaharudin Yahya.

Penduduk, Mohd Zulani Sulaiman, 54, berkata, kejadian itu berlaku ketika dia berada di rumah rakannya yang terletak hanya beberapa meter dari lokasi kejadian.

Katanya, penduduk sekitar sudah lali dengan kes kemalangan maut seperti itu kerana kawasan itu cukup berbahaya walaupun nampak lurus.

“Jika dilihat, jalan empat lorong itu seperti tidak berbahaya tetapi banyak kemalangan maut berlaku di situ, cari simpang Kampung Wakaf Raja hingga ke sempadan Kelantan-Terengganu di Bukit Yong.

“Saya terdengar dentuman kuat dan bergegas untuk melihat apa yang berlaku, ketika saya sampai kesemua mangsa masih berada dalam kereta.

“Orang ramai membantu mengeluarkan mangsa sebelum anggota bomba sampai ke tempat kejadian, saya tidak tahu punca kejadian tapi percaya dua kenderaan itu bertembung yang menyebabkan bahagian depan kenderaan itu remuk teruk,” katanya.

Sumber:
http://www.sinarharian.com.my/edisi/kelantan/2-maut-nahas-ngeri-1.161373




Thursday, May 16, 2013

Hanya mampu takbir




16 Mei 2013
REMBAU – "Saya hanya mampu menjerit Allahuakhbar sekuat hati saat kereta berpusing sebanyak dua kali dan terbabas sejauh lebih 30 meter ke dalam semak gara-gara mengelak dari melanggar lembu,". Luah mangsa kemalangan, Muhamad Nur Faez Zainal, 29, ketika ditemui di lokasi kemalangan kilometer 31, Jalan Seremban-Tampin, dekat sini, awal pagi semalam.



Dalam kejadian 1.30 pagi itu, mangsa yang bekerja sebagai jurutera bunyi di Hard Rock Cafe Melaka dipercayai dalam perjalanan pulang ke Ampangan, Seremban.

Menurutnya, setelah habis bekerja pada 12.45 malam, dia sememangnya tidak sabar pulang ke rumah lebih-lebih lagi isteri, Tengku Mariam Marissa Tengku Salehudin, 28, dan anak-anaknya sudah menunggu bagi menyambut hari lahirnya hari ini (semalam).

"Terselamat daripada kemalangan ini adalah hadian terbaik buat saya di hari lahir ini.

"Selepas kemalangan saya berusaha keluar sendiri dari dalam kereta yang terbalik melalui cermin hadapan sebelah pemandu sebelum penduduk menghulurkan bantuan kepada saya," katanya.

Muhamad Nur Faez berkata, laluan berkenaan sememangnya menjadi laluan hariannya sejak dia mula dipindahkan bekerja ke Hard Rock Cafe Melaka yang beroperasi sejak awal tahun ini.

"Malam ini hati saya memang sudah berada di rumah bersama keluarga kerana hari ini (semalam) merupakan hari lahir saya. Jadi apabila habis waktu bekerja saya terus bergegas pulang," katanya.

Sementara itu, jurucakap polis berkata, berdasarkan siasatan awal, mangsa dipercayai cuba mengelak seekor lembu lalu terbabas ke kiri jalan sebelum kenderaan jenis Proton Saga FL yang dipandu mangsa terbalik.

"Bagaimanapun, mangsa bernasib baik kerana tidak mengalami sebarang kecederaan," katanya.

Sumber:
http://www.sinarharian.com.my/edisi/laung-takbir-sekuat-hati-1.160797



Lori 10 tan terbalik




16 Mei 2013
KULIM - Seorang pemandu nyaris maut apabila lori 10 tan yang sarat dengan muatan kertas dipandunya terbalik, dalam kejadian berlaku kira-kira jam 10 pagi.

Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Ghuzlan Saleh berkata, lori terlibat datang dari arah Junjung  menuju ke Jalan Bukit Awi.

Menurutnya, sebaik tiba di persimpangan Jalan Bukit Awi, lori terlibat hilang kawalan sebelum berbalik.

Akibat kemalangan itu anggota trafik terpaksa menjaga lalu lintas bagi membolehkan pekerja lori lain memindahkan barang, membersihkan jalan dan mengangkat lori terlibat.

“Lori itu dipercayai dipandu laju sebelum terbalik, bagaimanapun tidak berlaku sebarang kecederaan dilaporkan. Saya menasihatkan kepada pengguna jalan raya supaya tidak memandu secara melulu terutama ketika mengambil selekoh.

"Kecuaian pemandu terlibat boleh mengakibatkan kecederaan kepada pengguna jalan raya lain dan diri mereka sendiri,” katanya.

Sumber:
http://www.sinarharian.com.my/edisi/utara/lori-sarat-kertas-terbalik-1.160835




Pelajar Polisas rentung kemalangan



Inalillahi wainailaihi rojiun

16 Mei 2013
KUANTAN - Seorang pelajar tahun akhir Politeknik Sultan Ahmad Shah (Polisas) tidak sempat menamatkan pengajiannya apabila terbunuh dalam kemalangan ngeri di Jalan Pintasan Kuantan berhampiran Kompleks Mahkamah Kuantan, Indera Mahkota di sini, awal pagi semalam.

Lebih menyayat hati, Nurul Fadhillah Arifin, 21 dari Felda Panching Timur dekat sini yang tersepit dalam kereta jenis Proton Gen-2 dipandunya itu ditemui rentung selepas kenderaan itu terbakar.

Dalam kejadian  jam 5.15 pagi itu, mangsa yang memandu bersendirian dipercayai gagal mengawal kenderaan dipandunya lalu terbabas melanggar pembahagi jalan sebelum merempuh dua batang pokok hingga tumbang.

Akibat kejadian, kereta mangsa yang remuk 'melekat' pada pokok lalu terbakar.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Mohd Jasmani Yusoff berkata, mangsa dipercayai dalam perjalanan dari arah Kuantan menghala ke pelabuhan.

Menurutnya, ketika tiba di lokasi kejadian, kenderaan terbabit dipercayai hilang kawalan lalu terbabas ke kanan jalan dan langgar dua batang pokok di tengah pembahagi jalan.

“Akibat rempuhan itu, kereta mangsa terbakar manakala mangsa yang tersepit rentung dalam kenderaan tersebut.

“Hasil siasatan awal mendapati, mangsa mungkin gagal mengawal keretanya akibat permukaan jalan yang licin memandangkan ketika kejadian cuaca hujan renyai-renyai,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.

Mohd Jasmani berkata, mayat mangsa yang rentung dikeluarkan dari keretanya dengan bantuan anggota bomba sebelum dihantar ke Unit Forensik Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan untuk bedah siasat.

“Punca sebenar kejadian masih dalam siasatan dan disiasat mengikut seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Sementara itu, seorang ahli keluarga mangsa, Nor Haini Ahmad yang ditemui di lokasi kejadian berkata, mangsa dijangka akan menamatkan pengajiannya tahun ini.

Menurutnya, akibat tragedi itu, harapan keluarga untuk meraikan kejayaan mangsa tidak kesampaian setelah dia terbunuh dalam kemalangan itu.

“Saya terkejut selepas dimaklumkan berhubung kejadian,” katanya.

Nor Haini berkata, dia sukar untuk membayangkan detik-detik yang terpaksa dilalui gadis itu.

“Saya tidak pasti dia hendak ke mana awal pagi tadi kerana setahu saya dia tinggal bersama keluarga di Felda Panching Timur.

“Tapi menurut adiknya, mangsa dikatakan dalam perjalanan dari rumah menuju ke rumah kakaknya di Kubang Buaya di sini,” katanya.

Al-Fatihah

Sumber:
http://www.sinarharian.com.my/edisi/pahang/pelajar-rentung-kereta-terbakar-1.160628



Wednesday, May 15, 2013

Polis maut dirempuh remaja




Inalillahi wainailaihi rojiun

15 Mei 2013
KULIM- “Encik lari encik," itu yang sempat diteriakkan seorang anggota polis berpangkat konstabel kepada penyelianya Koperal Yusri Mansor dari Balai Polis Hi-Tech sebelum menemui ajal selepas dirempuh motosikal, kira-kira jam 10.45 pagi kelmarin.

Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Ghuzlan Saleh berkata, ketika kejadian mangsa bersama beberapa anggota sedang membuat rondaan cegah jenayah dan pemeriksaan rambang.

Difahamkan, apabila tiba di Jalan Mahang-Kulim, anggota polis terserempak seorang remaja menunggang motosikal jenis Modenas dalam keadaan mencurigakan.

“Polis kemudian menahan suspek bagaimanapun remaja itu bersikap agresif sebelum memecut motosikalnya. Dalam usaha melepaskan diri, suspek telah merempuh mangsa. Akibat rempuhan kuat, mangsa tercampak di tengah jalan dan cedera parah di kepala dan badan manakala suspek mengalami kecederaan di tangan.

"Suspek dan mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Kulim untuk mendapatkan rawatan kecemasan bagaimanapun mangsa terpaksa dipindahkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) kerana pendarahan yang banyak dan meninggal dunia kira jam 7.58 pagi semalam,” katanya.

Mayat mangsa kemudiannya dipindahkan ke Hospital Alor Setar bagi tujuan bedah siasat sebelum dikebumikan.  Polis akan menyiasat kes itu dan menahan suspek untuk diambil keterangan sebelum membuat pendakwaan terhadapnya.

Ghuzlan berkata, suspek akan disiasat dan berhadapan dengan pertuduhan serius kerana mengakibatkan seorang anggota polis terbunuh ketika sedang menjalankan tugas.

Menurutnya, sehingga kini tiga kemalangan melibatkan anggota polis di mana seorang cedera ringan, seorang parah manakala seorang maut.

“Dari siasatan didapati suspek tidak mempunyai lesen menunggang motosikal  yang sah. Saya menasihatkan kepada mana-mana golongan remaja supaya jangan bertindak membahayakan diri sendiri atau anggota polis yang bertugas ketika ditahan.

"Kita harus ingat kesalahan trafik akan dikenakan tindakan saman. Sekiranya pengguna jalan raya bertindak agresif sehingga mengakibatkan maut, mereka boleh dikenakan hukuman penjara bagi tempoh masa panjang kerana kesalahan dilakukan adalah serius,” katanya.

Sumber:
http://www.sinarharian.com.my/edisi/utara/polis-dirempuh-motor-temui-ajal-1.160471




Dua pemuda maut



Inalillahi wainailaihi rojiun

15 Mei 2013
BALING - Dua pemuda maut dalam kemalangan di Kilometer 32.9 Jalan Sungai Petani - Baling di Kampung Binjul Luar di sini kira-kira jam 8.25 malam kelmarin.

Mangsa terbabit ialah Mohd Hafiz Amirulzaman Zainol Abidin, 28, dan V Punithan, 26, kedua-dua dari Taman Sheikh Fadzir, Tawar.

Ketua Polis Daerah Baling, Superintendan Mat Daud Mat Hasan berkata, kedua-dua motosikal itu bertembung antara satu sama lain menyebabkan mereka terpelanting beberapa meter dari tempat kejadian.

Menurutnya, kedua-duanya cedera parah di bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Difahamkam, mereka dalam perjalanan pulang dari tempat kerja di Kulim dan Butterworth ke rumah masing-masing.

Mohd Hafiz merupakan anak sulung kepada Pegawai Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Baling, Zainol Abidin Saleh.

Mat Daud berkata, mayat mangsa dihantar ke Hospital Baling untuk bedah siasat sebelum dituntut keluarga.

Kes disiasat bawah Sekyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sumber:
http://www.sinarharian.com.my/edisi/utara/dua-maut-motosikal-bertembung-1.160376



Ciuman terakhir




15 Mei 2013
MALIM - Ciuman pipi daripadanya anaknya sempena Hari Ibu, Ahad lalu, pasti menjadi kenangan yang sukar dilupakan buat seorang ibu di sini.


Ini berikutan anaknya itu akhirnya ditemui mati dalam longkang di Jalan Pokok Mangga, di sini, pagi semalam.

G Navindran, 18, ditemui mati bersama rakannya, K Kamaraj, 23, seorang warga India oleh orang awam kira-kira 10 pagi, di dalam longkang berhampiran rumah kedai Taman Seri Mangga.



Berdasarkan fizikal, kedua-dua sahabat itu dipercayai terbabit kemalangan pada awal pagi apabila motosikal jenis Modenas Kriss milik ayah Navindran yang ditunggangi mereka terjunam ke longkang berkenaan.

Ibu Navindran, M Sarsavathy, 43, berkata, dia pada mulanya berasa hairan apabila anaknya tidak pulang rumah selepas keluar kira-kira 8 malam kelmarin.

Bagaimanapun, katanya, dia terkejut apabila diberitahu suami bahawa anak ketiga daripada enam beradik itu kemalangan, sebelum mengetahui anaknya telah meninggal dunia.

“Dia yang selalu keluar minum bersama rakan-rakan biasanya balik ke rumah pada awal pagi. Setiap kali saya keluar pergi kerja, dia sedang tidur.

“Tapi, pagi tadi (semalam) saya periksa bilik dia, dia tiada. Saya mula tertanya-tanya kenapa dia tidak balik lagi. Saya terkejut apabila suami telefon jam 11 pagi menyuruh saya ke hospital kerana anak saya kemalangan," katanya ketika ditemui di perkarangan bilik mayat Hospital Melaka, di sini, semalam.

Sarsavathy yang bekerja sebagai pengawal keselamatan di sebuah sekolah dekat Tenggara, di sini berkata, anaknya itu baru sahaja tamat mengikut latihan Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) di Asahan, Jasin bagaimanapun sempat meraikan hari ibu, Ahad lalu.

Menurutnya, anaknya itu beriya-iya mahu meraikan Hari Ibu dan meminta bapanya, B Gunahsegaran, 51, membelikan makanan di sebuah restoran makanan segera untuk makan bersama-sama dengan adik-beradik.

"Dia sempat 'hadiahkan' ciuman kepada saya pada Ahad malam Isnin lalu.

“Dan semalam, semasa kami duduk bersembang, dia ada memberitahu mahu bekerja mengumpul wang untuk duit poket sendiri sebagai kelindan lori sementara menunggu untuk sambung belajar,” katanya.

Dalam pada itu, Ketua Jabatan Ketenteraman Awam dan Trafik negeri, Superintendan Ahmad Adnan Basri mengesahkan kejadian.

Katanya, kes akan disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987

Sumber:
http://www.sinarharian.com.my/edisi/melaka-ns/hadiah-ciuman-untuk-ibu-1.160363
http://www.hmetro.com.my/articles/Duamatidalamlongkang//Article




Tuesday, May 14, 2013

Padah memandu melawan arus




14 Mei 2013
Rembau: Tindakan berani mati seorang pekerja kilang memandu melawan arus di Lebuhraya Utara-Selatan, malam kelmarin, bukan saja meragut nyawanya, malah nyaris membawa musibah kepada pengguna lain apabila keretanya merempuh tiga kenderaan.

Dalam kejadian jam 9.27 malam di Kilometer 228 itu, mangsa, Lee Yoke Seng, 44, yang memandu Proton Saga FLX dalam perjalanan dari rumahnya di Puchong Utama, Selangor menuju ke Melaka maut akibat kecederaan parah di kepala dan badan.

Tiga pemandu kereta lain, bagaimanapun terselamat dan mengalami kecederaan ringan serta dirawat di Hospital Tuanku Jaafar Seremban.


Kemalangan itu turut mengakibatkan kesesakan teruk lebih dua kilometer.

Isteri Lee, Tan Sau Lan, 47, berkata, suaminya bekerja di sebuah kilang di Melaka sejak setahun lalu dan setiap minggu akan pulang ke rumah.

Sumber:
http://www.hmetro.com.my/articles/2013051400540020130514005400//Article

http://www.sinarharian.com.my/mobile/edisi/melaka-ns/sempat-raikan-hari-ibu-1.160098






Lori atap genting terbalik




14 Mei 2013
ALOR GAJAH - Seorang pemandu lori muatan atap nyaris maut apabila kenderaan dipandunya terbalik di Lebuhraya Utara-Selatan PLUS, Kilometer 211.7 arah Selatan, di sini, semalam.

Difahamkan, dalam kejadian kira-kira jam 2 petang itu, lori dipandu, K Vinod, 30-an, hilang kawalan selepas tayar belakang sebelah kanan meletup.

Akibat kemalangan itu, lebih 500 atap genting yang hendak dibawa ke Johor Bharu bertaburan di lorong tengah lebuhraya, namun tidak membabitkan kenderaan lain.

Jurucakap polis berkata, ketika kejadian lori yang membawa muatan 592 keping atap genting itu dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Johor Bharu.

"Ketika itu, pemandu lori itu merasakan satu gegaran di bahagian belakang sebelum memperlahankan kenderaannya.

“Namun lori dipandu itu terhuyung-hayang ke kiri dan kanan lebuhraya sebelum berpusing lalu terbalik,” katanya.

Sementara itu, Vinod berkata, dia bernasib baik kerana ketika kejadian laluan di lebuhraya itu agak lengang.

“Saya sempat memperlahankan kenderaan ketika terasa lori seolah-olah bergegar di bahagian belakang.

“Dalam keadaan panik saya cuba mengawalnya agar tidak melanggar pengadang tengah lebuhraya sebelum lori terbalik," katanya yang mengalami kecederaan ringan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Umar Ali Saifuddin Shaharuddin dihubungi Sinar Harian mengesahkan kemalangan itu.

Sumber:
http://www.sinarharian.com.my/edisi/lori-terbalik-pemandu-nyaris-maut-1.160092



Monday, May 13, 2013

Pemandu bas pelancongan nyaris maut




13 Mei 2013
CHUAH - Seorang pemandu bas sebuah syarikat pelancongan nyaris maut apabila kenderaan yang dipandunya terbabas sebelum merempuh tiang elektrik dan terhumban ke dalam longkang di Kampung Chuah di sini, awal pagi semalam.

Dalam kejadian sekitar jam 4.30 pagi, mangsa, V Perakash memandu berseorangan dalam perjalanan balik ke rumahnya di Kampung Sawah, Chuah selepas habis bertugas.

Ketika kejadian tiada saksi kerana lokasi yang agak jauh dari kediaman penduduk dan pemandu hanya dibantu 10 minit kemudian oleh orang awam yang melalui kawasan tersebut sebelum menghubungi ambulans.

Penyelia bas syarikat pelancong itu, Tan Ka Hoo, 53, berkata, beliau hanya mengetahui kejadian itu apabila dihubungi oleh Perakash pada jam 5 pagi tadi (semalam).

“Mujur ketika kejadian, bas ini tidak membawa penumpang dan Perakash hanya cedera di kaki.

“Sejak hampir dua tahun Perakash bekerja sebagai pemandu di syarikat ini, dia belum pernah terlibat dengan kemalangan jalan raya. Walau bagaimanapun kami akan menyiasat punca kejadian ini sama ada kecuaian pemandu atau pun masalah teknikal bas," katanya.

Menurutnya, pihaknya juga akan membuat laporan polis terlebih dahulu dan menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk tindakan selanjutnya.

Katanya, Perakash dibawa ke Hospital Port Dickson untuk menerima rawatan dan dirawat sebagai pesakit luar.

Sumber:
http://www.sinarharian.com.my/edisi/melaka-ns/pemandu-bas-nyaris-maut-1.159613




Sepasang suami isteri maut




13 Mei 2013
SEREMBAN - Sepasang suami isteri maut selepas kenderaan dinaiki terlibat dalam kemalangan di Jalan Sikamat - Seremban, berdekatan Bandar Warisan Puteri, di sini, awal pagi semalam.

Jurucakap polis berkata, dalam kejadian kira-kira jam 12.30 pagi itu, mangsa, Woon Ah Long, 48, sedang memandu kereta jenis Perodua Kancil sambil ditemani isterinya, Yan Yoke Leng, 46.

“Siasatan awal mendapati, semasa insiden berlaku, difahamkan kedua-dua mangsa yang datang dari arah Seremban dalam perjalanan pulang ke rumah di Taman Ampangan.

“Bagaimanapun, ketika cuba membelok ke taman berkenaan, mereka telah dirempuh dengan kuat oleh sebuah lagi kenderaan jenis Toyota Hilux yang tiba dari arah bertentangan,” katanya kepada Sinar Harian, di sini, semalam.

Menurutnya, impak pelanggaran di bahagian kiri kereta menyebabkan kedua-dua mangsa tersepit, sebelum berjaya dikeluarkan oleh bomba beberapa minit kemudian.

“Akibat kemalangan tersebut, isteri pemandu Kancil itu mati di tempat kejadian, manakala suaminya pula meninggal dunia ketika sedang menerima rawatan di Hospital Tuanku Ja’afar Seremban (HTJS),” katanya.

Jurucakap polis bagaimanapun berkata, pemandu Hilux terbabit yang berusia lingkungan 30-an tidak mengalami sebarang kecederaan kecuali kenderaan dinaiki mengalami kerosakan.

Sementara itu, Pegawai Turus Trafik negeri, Asisten Superintendan Abd Halil Hamzah ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sumber:
http://www.sinarharian.com.my/edisi/melaka-ns/suami-isteri-maut-kemalangan-1.159636




Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Headlines

FeedBurner FeedCount