loading...

Saturday, June 2, 2012

Warga Emas Maut Diragut

Inalillahi wainailaihi rojiun  

KOTA BHARU: Seorang wanita warga emas tidak sempat tiba di rumah bagi membuat kuih untuk dijual, apabila dia menemui ajal dalam kejadian cubaan ragut kira-kira satu kilometer (km) dari kediamannya di simpang tiga Pusat GiatMara, Pasir Mas, kelmarin.

Dalam kejadian jam 12.30 tengah hari itu, Zahrah Zakaria, 63, yang juga seorang ibu tunggal, meninggal dunia jam 6.45 pagi keesokannya di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian, akibat kecederaan parah di kepala selepas terjatuh daripada motosikal yang dinaiki bersama adiknya, Faridah Zakaria, 43.

Bagaimanapun, Faridah hanya mengalami kecederaan ringan di buku lali kanan dan dirawat sebagai pesakit luar hospital sama.

Timbalan Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Deputi Superintendan Tengku Azman Tengku Abdullah berkata, kejadian itu berlaku ketika mangsa bersama adiknya yang menunggang motosikal Yamaha dalam perjalanan pulang selepas membeli barang dapur di bandar Pasir Mas.

Al-Fatihah

Sumber:
hmetro.com.my/articles/Ragutnyawadaribelakang/Article

Wanita Indonesia Maut Melintas Jalan



KLANG - Hasrat seorang wanita warga Indonesia membeli barang keperluan harian di pekan Meru tidak kesampaian apabila maut dirempuh kenderaan di Batu 4 1/2, Jalan Meru dari arah Meru menghala Klang, di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 3.14 petang itu, mangsa dikenali Erna, 46, maut ketika dia ingin menyeberang jalan untuk menunggu bas bagi meneruskan perjalanan ke Pekan Meru.

Menantu mangsa dikenali Hermanto berkata, ibu mertuanya ingin ke pekan Meru untuk membeli barang keperluan seorang diri.

“Tidak sangka hari ini tindakannya melintas jalan membawa padah. Kami tidak tahu kenderaan apa yang melanggar
ibu mertua.

“Cuma masa kejadian kami terdengar dentuman kuat sebelum kami semua yang tinggal di rumah kongsi berlari keluar melihat keadaan yang berlaku,” katanya kepada Sinar Harian.

Dalam pada itu, Ketua Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Utara, Asisten Superintenden Zawary Mahadi berkata, mangsa yang mengalami kecederaan parah di kepala meninggal dunia di tempat kejadian.

Saksi kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Mohd Zaini Abdullah di talian 03-3290 2222.


Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/selangor-kl/wanita-warga-indonesia-maut-dirempuh-1.52840

Penuntut PSMZA Maut Kemalangan


Inalillahi wainailaihi rojiun  

KERTEH – Seorang penuntut Politeknik Sultan Mizan Zainal Abidin (PSMZA) Dungun meninggal dunia dalam keadaan menyayat hati apabila kakinya yang putus terpelanting sejauh kira-kira 50 meter sejurus motosikal yang ditunggangi hilang kawalan sebelum melanggar pagar besi pembahagi jalan, malam kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira 11.15 malam di Kilometer 116 Jalan Kuala Terengganu- Kuantan, dekat kawasan Rantau Petronas Kerteh itu, Amir Faiz Mohd Azman, 19, yang beralamat di Kampung Nibong Stesen, Dungun dalam perjalanan dari Dungun menghala ke Kerteh maut serta merta di tempat kejadian kerana mengalami kecederaan parah.

Orang awam, Ruzailan Khamis, 31, dari Kemasik berkata, dia yang berhenti di tempat kejadian terkejut apabila diberitahu oleh seorang polis bantuan di kawasan Perumahan Petronas Rantau Laut bahawa terdapat kaki manusia dari paras betis ke bawah di tepi pos pengawal tempat dia berkawal iaitu sejauh kira-kira 50 meter dari lokasi mangsa terbaring.

“Waktu itu saya lihat mangsa terbaring di tepi pengadang jalan dan mendapati kaki kanannya putus dari paras betis.

“Saya yang menjadi individu terawal tiba di tempat kejadian kemudiannya memungut kaki itu dan letakkannya di sebelah mayat mangsa,” katanya.

Difahamkan sebelum kejadian mangsa yang menunggang motosikal jenis Yamaha RXZ berkonvoi bersama beberapa lagi rakan lain dalam perjalanan ke sebuah kedai makan di Kerteh.

Dipercayai kaki kanan mangsa terputus selepas terkena pagar besi pembahagi jalan apabila motosikal ditungganginya itu terbabas lalu merempuh pagar besi terbabit.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Che Suza Che Hitam yang mengesahkan kejadian berkenaan berkata, akibat rempuhan kuat, Amir Faiz turut mengalami kecederaan lain iaitu pecah kepala bahagian belakang setelah topi keledar yang dipakainya hancur selain patah kedua-dua belah tangan.

Mayat Amir Faiz kemudian dihantar ke Unit Forensik, Hospital Kemaman sebelum dituntut kedua ibu bapanya kira-kira jam 3 pagi semalam.

Akibat nahas itu, motosikal milik rakan yang dinaiki mangsa mengalami kerosakan teruk dengan beberapa komponen bertaburan di atas jalan.

Al-Fatihah

Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/terengganu/kaki-putus-tercampak-50-meter-1.52823

2 Maut Pertembungan Wira dan Jazz


Inalillahi wainailaihi rojiun  

MARANG – Pemandu kenderaan jenis Proton Wira dan seorang penumpang kenderaan jenis Honda Jazz terbunuh apabila dua kenderaan tersebut bertembung dalam kemalangan ngeri di Kilometer 23, Jalan Kuala Terengganu ke Kuantan di Kelulut di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 12.20 tengah hari itu, pemandu Proton Wira, Muhammad Wahyuddin Yahaya, 23, dalam perjalanan dari arah Kuala Terengganu ke Kuantan bertembung kereta jenis Honda Jazz dipandu, Norzura Abdul Manan, 30.

Kejadian dipercayai berpunca apabila Muhammad Wahyuddin memotong kenderaan di hadapannya manakala kereta dipandu Norzura dari arah yang bertentangan berada terlalu dekat dan tidak sempat mengelak lalu merempuh bahagian sisi kiri kereta tersebut.


Proton Wira hampir putus dua

REMPUHAN menyebabkan kereta Proton Wira terbabas ke sebelah kanan jalan dan hampir putus dua manakala kereta Honda Jazz dinaiki Norzura bersama ibunya, Minah Abdullah, 61, dan anak lelakinya, Mohd Wafi Zaqwan Baharuddin, 3, remuk di bahagian depan.

Pelanggaran itu juga menyebabkan Muhammad Wahyuddin yang bekerja sebagai penyelia di sebuah kedai peralatan sukan di Kerteh, Kemaman tersepit di bahagian tempat duduk pemandu dan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah pada badan.

Sementara itu, Norzura dan anaknya, Mohd Wafi Zaqwan cedera parah pada anggota badan manakala ibunya, Minah yang beralamat dari Bukit Chatak, Dungun, disahkan meninggal dunia selepas dikeluarkan dari kereta itu, akibat mengalami kecederaan dalaman.


Saksi sempat riba mangsa, bantu mengucap

MENURUT seorang saksi yang ditemui Sinar Harian di tempat kejadian, Juraidah Ariffin, 39, dia sempat meriba mangsa dan meminta serta membantu Minah untuk mengucap sebaik sahaja mangsa terbabit dikeluarkan dari kereta jenis Honda Jazz berwarna hitam itu.

“Mangsa sempat melafazkan kalimah syahadah sambil mengerang kesakitan.

“Mangsa kemudiannya disahkan meninggal dunia oleh kakitangan klinik kesihatan yang berada di tempat kejadian,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Sementara itu, suami mangsa, Abdul Manan Itam, 65, berkata, arwah isterinya keluar dari rumah mereka di Bukit Chatak, Dungun untuk menghadiri majlis perkahwinan di Wakaf Mempelam, Kuala Terengganu sebelum terlibat dalam kemalangan itu.

Menurutnya, Minah ke majlis perkahwinan itu bersama Norzura dan cucu mereka.

Bagaimanapun, Norzura dan Mohd Wafi Zaqwan yang terselamat dikejarkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di Kuala Terengganu.


Isteri pesan beli daun palas

ABDUL Manan turut memberitahu arwah isterinya sempat memesan supaya membeli daun palas di pasar.

“Arwah isteri sempat berpesan agar saya membeli barang dapur di pasar sebelum keluar dari rumah pagi tadi (semalam) termasuk membeli daun palas kerana arwah ingin makan ketupat daun palas selepas pulang dari majlis perkahwinan itu,” katanya.

Sementara itu, seorang ahli keluarga pemandu Proton Wira yang enggan dikenali berkata, Allahyarham Muhammad Wahyuddin pula dalam perjalanan ke Kerteh selepas selesai menghadiri mesyuarat di Kuala Terengganu sebelum kejadian berlaku.

Kedua-dua mangsa maut akibat cedera parah itu kemudiannya dihantar ke Unit Forensik HSNZ Kuala Terengganu sebelum jenazah dituntut oleh ahli keluarga masing-masing untuk dikebumikan di kampung halaman mereka petang semalam.

Ketua Polis Daerah Marang, Deputi Superintendan Ahmad Mazlan Yahaya mengesahkan menerima laporan mengenai kemalangan itu berkata, kes kemalangan itu disiasat mengikut Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Al-Fatihah

Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/terengganu/penyelia-warga-emas-maut-kenderaan-bertembung-dalam-kemalangan-ngeri-1.52829

Mangsa Ragut Maut

Inalillahi wainailaihi rojiun  

PASIR MAS – Angkara peragut, seorang wanita maut setelah terjatuh dari motosikal yang diboncengnya dalam kejadian jam 1.30 tengah hari kelmarin.

Mangsa, Zaharah Zakaria, 63, ketika kejadian membonceng motosikal bersama adiknya, Faridah Zakaria, 47, dalam perjalanan pulang ke Kampung Endong, selepas ke Pasar Pasir Mas. Timbalan Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Superintenden Tengku Azman Tengku Abdullah berkata, mangsa yang memaut beg, terjatuh selepas cuba diragut oleh seorang lelaki dari arah belakang menggunakan sebuah motosikal.

Menurutnya, selepas diragut mangsa terjatuh di tengah jalan dan mengalami pendarahan teruk di bahagian muka. “Zaharah dibawa ke Hospital Pasir Mas sebelum dirujuk ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian.

Mangsa bagaimanapun, meninggal dunia pada jam 6.46 pagi semalam,” katanya. Sementara itu, Faridah terselamat dan mendapat rawatan pesakit luar di Klinik Kesihatan Pasir Mas, selepas mengalami kecederaan di buku lali.

Sehubungan itu, kata Tengku Azman, polis melancarkan operasi gerakan mencari lelaki yang menunggang motosikal EX5 berwarna merah, bagi membantu siasatan. “Saksi diminta menyalurkan maklumat dengan menghubungi bilik  gerakan Ibu Pejabat Polis Pasir Mas sekadar segera sehingga tertangkapnya  pihak yang terlibat.

Kita menasihati pembonceng dan penunggang motosikal, agar tidak mengalas beg di bahu atau meletakkannya di dalam raga bagi  engelakkan kejadian seumpama ini berlaku,” katanya.

Al-Fatihah

Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/kelantan/wanita-maut-diragut-1.52781

Tragedi Pulang Temu Duga



PEDAS – Perjalanan pulang seorang lelaki berakhir dengan detik mencemaskan apabila keretanya merempuh sebuah lori tangki dari arah bertentangan di Kilometer 4, Jalan Pedas- Kundur-Linggi, petang kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 3.10 petang itu, mangsa, Fadhullah Hamzah, 25, dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Taman Pinggiran Pedas, di sini, selepas selesai menghadiri temu duga sebagai atendan kesihatan di Kuala Pilah.

Pemandu lori tangki terbabit, S Guna berkata, dia yang dalam perjalanan dari Johor menuju ke Rantau tidak sempat mengelak daripada dirempuh kereta terbabit walaupun nampak pemandunya memotong.

“Saya sudah memberikan lampu isyarat ke kiri untuk berhenti di bahu jalan tetapi tetap dirempuh kereta terbabit dari arah bertentangan dan susulan rempuhan, kereta berkenaan tercampak kira-kira 20 meter,” katanya, kelmarin.

Sementara itu, jurucakap polis berkata, punca kemalangan dipercayai akibat tindakan pemandu kereta jenis Proton Satria dari arah Pedas menghala ke Linggi cuba memotong kenderaan lain lalu merempuh bahagian hadapan sebuah lori tangki dari arah bertentangan.

“Mangsa mengalami kecederaan parah dan tersepit di bahagian kaki, dihantar ke hospital berdekatan untuk rawatan lanjut.

"Seramai lima anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Rembau dikerahkan ke lokasi kejadian, diketuai oleh ketua operasinya, Mohd Yusoff Samad," katanya.

Menurutnya, pihaknya mengambil masa kira-kira lima minit untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit.

Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/melaka-ns/tragedi-balik-temu-duga-1.52869

Friday, June 1, 2012

Bapa Mertua Tercampak Dari Kereta



PARIT BUNTAR - Seorang lelaki maut selepas kereta yang dinaiki bersama-sama keluarganya terbabas dalam satu kemalangan di Kilometer 185.4 Lebuh Raya Utara Selatan berhampiran Bukit Merah, di sini, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Mat Fauzi Nayan berkata, mangsa yang dikenali sebagai P Durasingam, 66, maut di tempat kejadian selepas tercampak keluar dari kenderaan berkenaan.

Menurutnya, kejadian kira-kira jam  6.30 petang itu dipercayai berlaku akibat pemandu yang juga menantu mangsa, M Jayakumar, 31, gagal mengawal kenderaan sebelum terbabas.

"Kereta ini kemudiannya melanggar pengadang jalan sebelum terjunam ke parit berhampiran.

"Selain menantunya, dua  lagi ahli keluarga turut berada di dalam kereta berkenaan tetapi kesemua mereka hanya mengalami kecederaan," katanya. Katanya, mayat mangsa kemudiannya di hantar ke Hospital Parit Buntar (HPB)  untuk  bedah siasat dan telah dituntut keluarganya.

"Mangsa yang cedera kini sedang dirawat di Hospital Taiping,” katanya.

Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/perak/warga-emas-tercampak-keluar-1.52627

Rremaja maut rempuh lembu



Inalillahi wainailaihi rojiun  

ARAU - Seorang remaja maut apabila motosikal yang ditungganginya dikatakan merempuh sekumpulan lembu yang melintas jalan di Lebuhraya Changlun-Kuala Perlis, pagi semalam.

Kejadian yang berlaku kira-kira jam 2.30 pagi itu melibatkan tiga buah motosikal yang salah satunya ditunggangi mangsa, Muhammad Arsyad Mohamad Zahir, 16 dan dua  lagi penunggang iaitu Norazam Che Azizul dan Amir Sabirin Ahmad. Ketua Polis Daerah Arau, Superintendan Mohd Nadzri Hussain berkata, kemalangan terbabit dipercayai berlaku apabila ketiga-tiga penunggang motosikal terbabit yang dari arah Arau menuju ke Changlun melanggar  sekumpulan lembu melintas jalan berhampiran pintu gerbang Ulu Pauh.

Menurutnya, Muhammad Arsyad meninggal dunia di tempat kejadian, manakala dua lagi penunggang mengalami kecederaan parah dan di hantar ke Hospital Tuanku Fauziah (HTF), Kangar untuk mendapatkan rawatan lanjut. “Kemalangan tersebut turut mengakibatkan seekor lembu mati dan cedera manakala satu lagi tidak mengalami sebarang kecederaan.

Polis akan mengambil keterangan pemilik haiwan terbabit. “Dua lagi rakanya yang patah kaki serta cedera parah kini sedang mendapat rawatan di Hospital Tuanku Fauziah (HTF) dan waris masing- masing telah dimaklumkan,” katanya.

Bapa mangsa, Mohamad Zahir Kadir, 39, ketika ditemui terkejut dengan insiden menimpa anaknya itu kerana mangsa tidak memaklumkan bahawa dia hendak keluar. “Muhammad Arsyad jarang keluar malam, mungkin disebabkan cuti  sekolah dia hendak keluar bersama rakannya.

“Saya menyedari kelakuan Arsyad kerana sejak beberapa hari lalu dia agak pendiam, walau apapun saya menerima dengan reda kerana ini merupakan ketentuan daripada-Nya,” katanya ketika ditemui di bilik mayat HTF, semalam.

Al-Fatihah

Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/utara/pelajar-maut-langgar-lembu-1.52576

Thursday, May 31, 2012

Treler Rentung bersama Proton Wira



REMBAU – “Sementara menunggu bantuan tiba, saya nekad memadamkan kebakaran bersendirian namun tidak mampu berbuat apa-apa kerana api marak begitu cepat dan besar,” luah pemandu treler, Radzi Jaffar, 47, setelah  trelernya dirempuh dari belakang di Kilometer 231, Lebuhraya Utara-Selatan (arah utara), dekat sini, pagi semalam.




Menurutnya, ketika kejadian dia dalam perjalanan dari Batu Pahat, Johor ke Pulau Indah, Selangor bagi menghantar muatan lima kepala lori dan terperanjat terdengar bunyi kuat sebaik tiba di lokasi kejadian.

“Seperti biasa saya memandu di lorong paling perlahan dan secara tiba-tiba terdengar bunyi dentuman kuat, saya menjangkakan terdapat kenderaan merempuh treler di bahagian belakang berdasarkan pengalaman memandu hampir 20 tahun.

“Bagaimanapun sebaik melihat cermin sisi dan pandang belakang, tidak kelihatan sebarang kenderaan sebelum memberhentikan treler perlahan- lahan di bahu jalan,” katanya. Radzi berkata, sebaik keluar, dia bergegas ke bahagian belakang treler dan mendapati sebuah kereta jenis Proton Wira sudah melekat di bawahnya.

“Pemandunya seorang lelaki juga segera menjauhi kenderaan sementara saya berusaha memadamkan kebakaran,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di lokasi kejadian, semalam.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Rembau, Zamrus Zainal berkata, pihaknya menerima panggilan kira-kira jam 8.04 pagi dan tiba di lokasi kejadian kira-kira 8.10 pagi. Menurutnya, susulan keadaan api yang begitu marak, sebanyak 30 anggota bomba dari empat Balai Bomba dan Penyelamat dikejarkan ke lokasi kejadian iaitu masing-masing dari Rembau, Alor Gajah, Seremban 2 dan Seremban.

“Sebaik tiba di lokasi kejadian, kita mengambil masa kira-kira 15 minit bagi mengawal kebakaran. Bahagian badan treler yang menempatkan lima kepala lori dan tayar hangus terbakar.

“Bagaimanapun, kepala lori tidak mengalami sebarang kerosakan susulan kebakaran berkenaan manakala, kereta jenis Proton Wira juga hangus terbakar, pemandunya juga sudah dikejarkan ke klinik berhampiran ,” katanya. Zamrus berkata, punca kebakaran dan kerugian masih lagi dalam siasatan.

Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/melaka-ns/nekad-padam-api-sendiri-setelah-lihat-treler-terbakar-1.52570
hmetro.com.my/articles/Keretaterperosokbelakangtreler/Article

Pacuan empat roda terbabas ke longkang



KUALA LIPIS - Seorang pemuda nyaris maut apabila kenderaan pacuan empat roda yang dipandunya terbabas sebelum terbalik dalam satu kemalangan berhampiran Institut Pendidikan Guru Kampus Tengku Ampuan Afzan, Lipis, kira-kira jam 8.30 pagi kelmarin.

Mangsa, Ali Husin, 33, berkata, ketika kejadian, dia sedang memandu berseorangan dari arah Padang Tengku menuju ke Kuala Lipis.

“Ketika itu, hujan renyai-renyai. Apabila sampai di tempat kejadian, kereta saya hilang kawalan akibat jalan licin dan terbabas ke kanan jalan,” katanya, di sini, kelmarin.

Ali berkata, kenderaan terbabit seterusnya berpusing dan terbalik ke dalam longkang.

Walaupun kenderaan yang saya pandu mengalami kerosakan teruk namun saya tidak mengalami kecederaan.

“Saya bersyukur kerana tidak cedera. Selepas ini, saya akan lebih berhati-hati memandu terutama ketika hujan,” katanya kepada Sinar Harian.

Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/pahang/kenderaan-terbabas-masuk-longkang-1.52338

Guru Maut Bertembung Lori Tilam



Inalillahi wainailaihi rojiun   

KUALA LIPIS - Seorang guru lelaki maut apabila kereta yang dinaikinya bertembung dengan sebuah lori muatan tilam dalam kemalangan di kilometer 22 jalan Lipis Merapoh berhampiran Ladang Selborne kira-kira jam 2.20 petang kelmarin.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Abdul Razak Hassan berkata, ketika kejadian, mangsa, Imran Che Omar, 51, bersama ahli keluarganya sedang dalam perjalanan dari arah Kuala Lumpur ke Kota Bharu.

Menurutnya, sampai di tempat kejadian, kereta yang dipandu anak mangsa, Mohd Farhan Imran, 23, hilang kawalan dan terbabas ke kanan jalan.

“Kereta jenis Toyota Innova berwarna hitam yang dipandu Mohd Farhan dipercayai hilang kawalan sebelum memasuki laluan bertentangan. “Dalam masa sama, sebuah lori muatan tilam yang dipandu seorang lelaki bersama seorang kelindan yang datang dari arah Kota Bharu menuju ke Kuala Lumpur tidak sempat mengelak kereta berkenaan lalu bertembung,” katanya, di sini, semalam.

Abdul Razak berkata, akibat pertembungan tersebut, mangsa yang duduk di bahagian sebelah pemandu tersepit di tempat duduk.

“Mangsa yang bekerja sebagai seorang guru di Sekolah Kebangsaan Tegayong, Kota Bharu maut serta merta di tempat kejadian akibat kecederaan parah di bahagian kepala dan dalaman.

“Selain itu, isteri mangsa, Filzah Mohd Salleh, 47, yang duduk di bahagian penumpang belakang kereta turut mengalami kecederaan patah tangan kiri,” katanya.

Abdul Razak berkata, Mohd Farhan yang juga guru pelatih di Institut Pendidikan Guru, Kampung Kota Bharu, Kelantan bersama dua adiknya, Mohd Afif, 18, dan Mohd Amar, 16, hanya mengalami kecederaan ringan.

Menurutnya, mayat mangsa dibawa ke Hospital Lipis untuk bedah siasat sebelum dituntut ahli keluarga.

“Isteri bersama tiga anak mangsa menerima rawatan di Hospital Lipis. “Kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan saksi kejadian diminta berhubung dengan Sub Inspektor Abdul Rahman Yunan di talian 09-3122222 untuk membantu siasatan,” katanya.

Al-Fatihah

Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/pahang/guru-lelaki-maut-dalam-nahas-1.52329

Tak sempat meraikan kemenangan bola sepak

RANTAU PANJANG – Dua sepupu tidak sempat menghadiri majlis meraikan kemenangan sebuah pasukan bola sepak pada satu pertandingan, setelah terlibat dalam kemalangan di Kubang Rambutan kira-kira jam 9.20 malam kelmarin.

Ketika kejadian mangsa yang kedua-duanya berasal dari Kubang Sok Sek itu, menunggang dan membonceng sebuah motosikal apabila diundang untuk memeriahkan majlis bakar ayam itu.

Sinar Harian difahamkan kedua-dua remaja itu terlibat kemalangan dengan kereta Wira dari Rantau Panjang menghala ke laluan sama dengan mangsa.

Mangsa, Mohd Hamizi Ameran, 13, berkata ketika kejadian motosikal mereka yang menghala ke Kubang Rambutan berada di hadapan, sementara kereta Wira di belakangnya.

Menurutnya, mereka terlibat kemalangan setelah membelok ke kanan jalan untuk ke lokasi majlis diadakan.

“Saya sedar ketika kejadian dan terjatuh setelah berlanggar sebelum diselamatkan orang kampung yang mengangkat
saya ke tepi jalan,” katanya kepada Sinar Harian.

Berikutan kemalangan itu, Mohd Hamizi mengalami kecederaan pada bahu kanan, dan luka kecil di hampir keseluruhan badan sementara Mohd Fitri Rosli, 12, patah kaki kanan.

Kedua-dua mangsa dihantar ke Hospital Daerah Pasir Mas (HDPM) dengan Ambulans Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) Rantau Panjang untuk mendapatkan rawatan.

Mohd Fitri yang patah kaki kemudiannya dirujuk ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HPRZII) untuk rawatan lanjut.

Sementara itu, Ketua Skuad JPAM, Rantau Panjang, Lans Koperal Zulilawati Abdullah berkata, pihaknya menerima panggilan memaklumkan kejadian kira-kira jam 9.30 malam.

Menurutnya, beliau bersama empat anggota ke tempat kejadian, untuk memberikan bantuan awal kepada mangsa yang patah kaki seterusnya menghantar mereka ke HDPM.

Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/kelantan/dua-sepupu-cedera-kemalangan-1.52287

Wednesday, May 30, 2012

Warga emas maut dalam kemalangan

SHAH ALAM - Seorang warga emas maut dalam kemalangan membabitkan dua motosikal di persimpangan Jalan Kebun Tambahan-Jalan Kampung Lombong, Seksyen 30 di sini, kelmarin.

Mangsa, L Subramanian, 66, dari rumahnya di Teluk Panglima Garang dalam perjalanan menuju ke rumah anaknya di Puchong.

Sumber polis berkata, dalam kejadian kira-kira jam 1.55 pagi itu, mangsa yang menunggang motosikal jenis EX5, dirempuh sebuah motosikal ditunggangi dua lelaki.

“Siasatan mendapati, mangsa secara tiba-tiba masuk ke persimpangan itu sehingga menyebabkan sebuah motosikal yang datang dari arah Lebuhraya Kesas gagal untuk mengelak.

“Akibat rempuhan itu, mangsa tercampak dan maut akibat kecederaan parah di kepala,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Menurutnya, mayat mangsa dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang untuk bedah siasat manakala dua mangsa lagi hanya mengalami kecederaan ringan dan dirawat sebagai pesakit luar di hospital sama.

Dalam perkembangan sama, polis mengesan saksi kemalangan maut di kilometer 10.2 Lebuh Raya Baru Lembah Klang (NKVE), pada 12 April lalu.

Kemalangan itu melibatkan sebuah motosikal, kereta Perodua Myvi dengan sebuah kenderaan yang tidak dapat dipastikan.

Penunggang motosikal, Yong Kam Yuan, 49, maut di tempat kejadian akibat dilanggar oleh kenderaan yang tidak dapat dipastikan itu.

Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/selangor-kl/warga-emas-maut-dirempuh-motosikal-1.52122

Nyaris Maut Dirempuh Lori

SABAK BERNAM – Berpantang maut sebelum ajal bagi seorang pemandu, apabila lori muatan makanan sejuk beku dipandunya terlibat dalam kemalangan tidak sampai lima minit selepas memulakan perjalanannya, di kilometer 43, Jalan Teluk Intan–Klang, pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintendan Noor Mushar Mohamad berkata, dalam kejadian jam 6.45 pagi itu, mangsa, Noor Azam Adnan, 33, baru sahaja bergerak daripada kilang memproses makanan sejuk beku di Panchang Bedena.

“Dalam kejadian itu, Nor Azam memberhentikan kenderaannya di persimpangan lampu isyarat Tebuk Pulai kerana lampu isyarat di laluannya bertukar merah, sebelum dirempuh sebuah lori yang mengekorinya di laluan sama.

“Daripada laporan yang dibuat, lori muatan susu yang dipandu Khairul Rijal Ab Majid, 34, tidak perasan lampu isyarat bertukar merah dan ketika semakin menghampiri lori di hadapannya, dia cuba menekan pedal brek tetapi tidak berfungsi
serta menyebabkan kemalangan,” katanya.

Noor Mushar berkata, rempuhan kuat itu menyebabkan lori Nor Azam terseret kemudianya terbabas sebelum melanggar lampu isyarat serta berpusing dan terbalik di jalan susur Air Manis ke Sabak Bernam.

Menurutnya, kedua-dua mangsa dihantar ke Hospital  Tengku Ampuan Jemaah  (HTAJ) untuk mendapatkan rawatan Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu dengan tidak berhati-hati.

Difahamkan, sebelum kejadian, Khairul Rijal yang dalam perjalanan dari Klang ke Pulau Pinang berhenti berehat di Sekinchan dan meneruskan perjalanan kira-kira jam 6.30 pagi sebelum terlibat kemalangan.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Sabak, Abdul Nasir Jalil, berkata, tujuh anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat dikejarkan ke tempat kejadian sebaik menerima maklumat berlaku kemalangan melibatkan jentera berat dan ada mangsa yang tersepit.

“Pihak bomba mengambil masa kira-kira 10 minit untuk mengeluarkan mangsa kerana tangan kanan mangsa tersepit dan berdasarkan visual awal, mangsa didapati mengalami kecederaan minor di bahagian muka,” katanya.

Saksi kejadian diminta tampil menghubungi bilik gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sabak Bernam di talian 03-3224 2222 atau Pegawai Penyiasat, Sarjan Ahmad Zaki Mohd Nor, di talian 017-204 5833.

Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/selangor-kl/pemandu-lori-nyaris-maut-1.52036

Monday, May 28, 2012

Nenek Maut Bersama Cucu

SHAH ALAM: Kegembiraan seorang wanita warga emas bersama cucunya yang baru bertemu saudara mereka di Klang berakhir tragedi apabila kedua-duanya maut sejurus van yang dinaiki terbabit kemalangan di Persimpangan Bertingkat Setia Alam, Lebuhraya Baru Lembah Klang (NKVE), di sini, malam kelmarin.

Dalam kejadian jam 8 malam itu, mangsa, V Muniamah, 63, dan cucu lelakinya, M Vasan, 7, maut di tempat kejadian selepas mengalami kecederaan dalaman yang teruk akibat tercampak lebih 10 meter.


Difahamkan, mayat Muniamah tercampak keluar dan terkena pada sebatang pokok tidak jauh dari tempat kejadian manakala mayat cucunya tercampak sebelum terkena pembahagi jalan.

Ketua Trafik Shah Alam, Deputi Superintendan Roslan Aziz berkata, kemalangan maut berkenaan dipercayai berpunca daripada tayar hadapan van tiba-tiba pecah sebelum meletup.


Akibatnya, van yang dinaiki lima sekeluarga berkenaan gagal dikawal sebelum melanggar pembahagi jalan.


Katanya, pemandu van, V Muniandy, 43, yang juga anak lelaki mangsa dan dua lagi anak saudara lelakinya masing-masing berusia 12 dan 14 tahun tidak cedera.

“Sebelum kejadian, van terbabit dalam perjalanan dari Plaza Tol Bukit Raja menuju Plaza Tol Setia Alam, di sini.


“Setibanya di susur keluar arah Setia Alam, tayar depan kiri van pecah menyebabkan pemandu hilang kawalan lalu bergesel pembahagi jalan sebelah kanan,” katanya.

Sumber:
hmetro.com.my/myMetro/articles/Nenek_cucumautbersama/Article/index_html

Pelajar SMK Perempuan Methodist Maut Digilis Lori



Inalillahi wainailaihi rojiun  

MELAKA: Hasrat seorang pelajar perempuan yang bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) menghadiri kelas tambahan berakhir tragedi apabila maut selepas motosikal dibonceng bergesel dengan sebuah lori di Jalan Kampung Gelam, Tanjung Kling dekat sini, semalam.

Kejadian jam 10.28 pagi, Faizah Masbak, 17, yang membonceng motosikal Modenas Kriss bersama rakannya, Nurliyana Md Yusoff, 17, terjatuh.


Faizah maut di tempat kejadian selepas cedera parah di tengkuk dipercayai digilis lori berkenaan manakala rakannya, Nurliyana yang cedera parah dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Melaka.

Lokasi kejadian bertukar pilu apabila ibu mangsa, Rabiah Ahmad, 53, yang tiba tidak dapat menahan kesedihan selepas melihat jenazah anaknya terbujur kaku.


Menurut kakak mangsa, Afifah, 23, adiknya yang juga pelajar tingkatan lima Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Perempuan Methodist di Tengkera keluar rumah kira-kira jam 8 pagi bagi mengikuti kelas tambahan di sekolahnya.


“Ibu kata, pagi tadi (semalam) Faizah minta izin ke kelas tambahan dengan membonceng motosikal rakannya yang menjemput adik di rumah.

“Namun, tidak lama selepas rakannya datang ke rumah dan memaklumkan Faizah kemalangan, pada awalnya ibu dan ayah menyangkakan ia kemalangan kecil,” katanya ketika ditemui di pekarangan bilik mayat Hospital Melaka, di sini, semalam.


Menurutnya, bagaimanapun apabila tiba di lokasi mereka terkejut melihat orang ramai berkumpul dan jenazah adiknya sudah ditutup.

Katanya, arwah yang juga anak kelima daripada enam beradik tidak menunjukkan sebarang perubahan sebelum kejadian.


“Adik tidak menunjukkan perubahan, namun malam tadi (kelmarin) dia yang gemar memasak sempat menggoreng nasi goreng cili padi untuk kami sekeluarga.


“Ketika pengecaman mayat hanya ayah yang melihat kerana saya sedih dan tidak sanggup selepas dimaklumkan terdapat kesan tayar di bahagian tengkuknya,” katanya.


Sementara itu, Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Salehuddin Abd Rahman berkata, kemalangan dipercayai berlaku apabila motosikal ditunggangi mangsa dari Tanjung Kling ke Tangga Batu bergesel dengan sebuah lori yang datang dari arah sama.


“Akibat bergesel dengan lori yang nombor pendaftarannya masih belum dikenal pasti, kedua-dua pelajar ini dipercayai gagal mengawal kenderaan itu lalu terjatuh ke atas jalan,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.


“Faizah yang berasal dari Kampung Padang, Jalan Pokok Mangga maut serta-merta di tempat kejadian, manakala rakannya yang cedera parah kini dirawat di ICU Hospital Melaka,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.


Menurutnya, sehingga kini, pemandu lori berkenaan belum membuat laporan polis dan meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian menghubungi polis untuk membantu siasatan.

Al-Fatihah

Sumber:
hmetro.com.my/articles/Airmatasebelahmayatanak/Article

Maut Tersepit

Inalillahi wainailaihi rojiun  

BATU PAHAT - Seorang pemandu lori maut dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan yang berlaku di Kilometer 31.5 Jalan Kluang, semalam.

Dalam kejadian jam 5.55 pagi itu, sebuah van terbabas sebelum bergesel dengan sebuah kereta dari arah bertentangan, manakala sebuah lori gagal mengelak kedua-dua kenderaan berkenaan.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Din Ahmad berkata, kemalangan antara tiga kenderaan itu mengakibatkan pemandu lori, Salim Baharun, 44, maut di tempat kejadian.

Menurutnya, mangsa yang maut membawa muatan roti dan berasal dari Parit Sulong tersepit sebelum mayatnya dikeluarkan anggota bomba dan penyelamat.

“Manakala, pemandu van cedera parah dan pemandu kereta hanya cedera ringan.

“Kesemua mangsa kini dirawat di Hospital Batu Pahat,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41, Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Din berkata, orang ramai atau saksi kejadian yang mempunyai maklumat berhubung kejadian diminta tampil menghubungi pihak berkuasa atau mana-mana balai polis berhampiran.

“Saya menasihatkan orang awam untuk memandu dengan lebih berhati-hati terutama pada musim cuti persekolahan ini kerana pertambahan jumlah kenderaan di jalan raya.

“Selain itu, pemakaian tali pinggang dan pemanduan secara berhemah amat diperlukan bagi memastikan kes kemalangan maut dapat dielakkan demi keselamatan bersama,” katanya

Al-Fatihah

Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/johor/maut-tersepit-1.51838

Rempuh Tiang Lampu



KULIM - Dua lelaki nyaris maut apabila kereta yang dipandu mereka merempuh tiang lampu dan pembahagi jalan di pekan Kulim kira-kira jam 4 pagi semalam.

Mangsa ketika ditemui berkata, dia sedang memandu menghala ke pekan Kulim dan mendakwa secara tiba-tiba ternampak sesuatu melintas di hadapan keretanya.

Mangsa cuba mengelak ke bahagian kanan jalan lalu merempuh pembahagi jalan dan tiang lampu.

Akibat rempuhan itu, kereta mangsa mengalami kerosakan teruk di bahagian hadapan.

Pekerja kenderaan tunda yang berada di tempat kejadian dan tidak mahu namanya disiarkan berkata, mangsa mungkin di bawah pengaruh alkohol ketika kemalangan.

Menurutnya, jalan di mana berlaku kemalangan merupakan jalan lurus dan ketika kemalangan berlaku tidak ada sebarang kenderaan di situ.

“Dari keadaan kerosakan di alami mangsa, saya percaya kenderaannya dipandu dalam keadaan laju. Dia mungkin mabuk. Mana ada benda melintas melainkan khayalan.

“Bagaimanapun seorang daripada penumpang yang berada dalam kereta mangsa dikejarkan hospital kerana mengalami kecederaan dengan ambulans Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM),” katanya.

Sementara itu, Ketua Trafik Kulim ASP Ismail Ayop berkata, sehingga kini kebanyakan kemalangan berpunca daripada kecuaian pemandu sendiri.

Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/utara/kereta-rempuh-tiang-lampu-dua-lelaki-nyaris-maut-1.51824

6 Sekeluarga Nyaris Maut



ALOR GAJAH - Enam sekeluarga nyaris maut selepas kereta Toyota Unser yang dinaiki dirempuh sebuah Perodua Alza dari arah belakang dan terbalik di Kilometer 202 Lebuhraya Plus menghala ke selatan, pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 10 pagi itu, Toyota  Unser dipandu seorang lelaki berusia lingkungan 40-an bersama lima lagi saudaranya dalam perjalanan ke Melaka dirempuh Perodua Alza yang memasuki laluan tengah.

Salah seorang penumpang Toyota Unser berusia 29 tahun berkata, sebaik melalui jalan itu, kereta yang dinaiki secara tiba-tiba dirempuh dari arah  belakang hingga terseret dan berpusing sebelum terbalik.

Menurutnya, rempuhan yang berlaku menyebabkan kereta terbalik.

"Kami terpaksa keluar melalui tingkap kereta yang dipecahkan selepas pintu kereta gagal berfungsi dan dibawa ke tepi lebuh raya oleh orang awam sebelum ambulans tiba.

"Mujur kami hanya mengalami kecederaan ringan dan dibawa ke Hospital Melaka untuk mendapatkan rawatan," katanya.

Sementara itu, pemandu Perodua Alza, Ho Meng Wee, 26, berkata, dia yang memandu di laluan paling kanan hendak menukar laluan kedua selepas menyedari terdapat sebuah kenderaan lain di belakangnya yang dipandu laju.

"Bimbang melihat kenderaan di belakang saya  dipandu laju, saya mengubah laluan ke tengah namun tidak menyedari kehadiran kereta yang dinaiki enam sekeluarga itu.

"Dalam keadaan luar kawalan, saya terpaksa merempuh belakang Toyota Unser berkenaan sebelum kereta saya terbabas ke bahu jalan dan terbalik," katanya.

Meng Wee dalam perjalanan dari Kuala Lumpur menuju ke Ayer Keroh, Melaka untuk bertemu isterinya walau bagaimanapun tidak mengalami kecederaan serius.

"Saya dibantu oleh orang awam yang mengeluarkan saya dari pintu belakang selepas pintu sebelah pemandu gagal dibuka," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, semalam.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Umar Ali Shaifuddin Shaharuddin mengesahkan kejadian membabitkan dua kenderaan namun mangsa masih belum membuat sebarang laporan.

Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/melaka-ns/6-sekeluarga-nyaris-maut-1.51580

Terbabas ke Klinik

Inalillahi wainailaihi rojiun   

ALOR GAJAH – "Saya tiada cara lain, kecuali bawa ayah ke klinik kesihatan menggunakan jalan berselekoh tajam," kata Mohd Asrul Zaidi, 24. Mohd Asrul berkata demikian ketika menceritakan detik cemas dia bergegas menghantar bapanya, Zaidi Abdullah, 50, ke klinik kerana diserang sesak nafas, awal pagi semalam.

Bagaimanapun, klinik swasta berdekatan tutup menyebabkan dia terpaksa membawa bapanya dari rumahnya di Kampung Solok Duku ke Klinik Kesihatan Masjid Tanah, di sini yang terletak kira-kira lima kilometer serta terpaksa menempuh selekoh tajam.

Namun, nasib tidak menyebelahi mereka, apabila kereta dipandu Mohd Asrul terbabas di selekoh berkenaan akibat jalan licin selepas hujan, menyebabkan bapanya meninggal dunia di dalam kereta sebelum sempat sampai ke klinik.

Dalam kejadian kira-kira 5.50 pagi itu, Mohd Asrul membawa bapanya menaiki kereta jenis Proton Saga Aeroback ditemani ibunya, Khadijah Seman, 48.

“Ayah terjaga dari tidur kira-kira 5 pagi kerana sesak nafas.

Saya terpaksa papah dia  masuk ke dalam kereta kerana keadaan ayah terlalu lemah.

"Mulanya, saya bawa dia ke klinik swasta, namun klinik itu tutup menyebabkan saya dan ibu ambil keputusan menuju ke Klinik Kesihatan Masjid Tanah melalui jalan berselekoh tajam,” katanya.

Menurutnya, disebabkan keadaan jalan yang licin, dia gagal mengawal kenderaan sebaik melalui selekoh sebelum terbabas ke tepi jalan dan melanggar sebuah busut.

“Saya lihat ayah sudah tidak bergerak lagi. Saya terus turun dari kereta menuju ke tengah jalan untuk mendapatkan bantuan orang awam.

"Ibu pula keluar memanggil penduduk di taman berdekatan.

Masa itu, kami tidak pasti sama ada ayah masih hidup atau tidak," katanya kepada Sinar Harian di sini, semalam.

Sementara itu, nasib anak beranak itu disedari seorang pengawal keselamatan, Rapie Mohamad, 53, yang kebetulan melalui jalan berkenaan untuk bertugas.

Menurut Rapie, dia terlihat kelibat seorang lelaki berdiri di tengah jalan sambil melambai tangan menahan motosikal dinaikinya.

“Disebabkan suasana masih gelap, saya tidak sedar ada kereta sudah terbabas menyebabkan saya terus menunggang motosikal tanpa menghiraukannya.

"Tapi, saya berpatah semula ke tempat berkenaan sebelum mendapati orang awam sudah berkerumun berdekatan kereta dinaiki mangsa," katanya.

Ketika itu, katanya, dia mendapati mangsa sudah tidak sedar diri dan tersandar di tempat duduk belakang, sebelum ambulans tiba beberapa minit kemudian selepas dihubungi orang awam.

Dalam pada itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Deputi Superintendan Abd Rahman Jid berkata, polis sedang menjalankan siasatan di bawah seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

"Mayat mangsa dihantar ke Hospital Melaka untuk bedah siasat sebelum dituntut ahli keluarga, semalam untuk dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Ujong Repet, Bachok, Kelantan," katanya.

Al-Fatihah

Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/melaka-ns/tak-sempat-selamatkan-ayah-1.51815

Duit Untuk Baju Raya



Inalillahi wainailaihi rojiun  

KUALA KUBU BHARU: “Saya tidak sangka pemberian RM400 oleh arwah suami awal pagi tadi untuk membeli baju raya tiga anak menjadi kenangan terakhir memilukan dalam keluarga kami,” kata Maimunah Ahmad, 45 menceritakan perlakuan pelik suaminya, Abd Ghafar Lahakim, 52, sebelum terbabit kemalangan di Kilometer 432.3 Lebuhraya Utara-Selatan (Plus) arah selatan berdekatan persimpangan keluar plaza tol
Bukit Beruntung, dekat sini, semalam.


Kejadian berlaku jam 6.15 pagi apabila mangsa dirempuh lori membawa papan yang terbabas sebelum dilanggar sebuah lori lain dari arah sama.


Menurutnya, mangsa keluar rumah di Kampung Sungai Behrang di Slim River menaiki motosikal Kawasaki berkuasa tinggi jam 5 pagi untuk bekerja sebagai pasukan polis bantuan di KL Monorel di Brickfields.

“Saya menasihati arwah supaya tidak perlu membelikan baju raya anak kerana masih mempunyai masa berbuat demikian. Arwah bertegas memberikan wang itu.


“Tidak sangka kelakuan pelik itu menandakan arwah meninggalkan kami buat selama-lamanya,” katanya ketika ditemui di Bilik Mayat Hospital Kuala Kubu Bharu (HKKB), di sini, semalam.


Beliau berkata, dia dimaklumkan kejadian menimpa suaminya pada jam 8.30 pagi semalam oleh anggota polis dari Balai Behrang, Tanjung Malim.

“Saya membawa tiga daripada sembilan anak saya ke HKKB untuk menuntut jenazah selepas bedah siasat selesai dilakukan.


“Arwah ada menyatakan hasrat membawa tiga anak kami bersiar-siar di ibu negara pada petang hari kejadian selepas selesai bekerja jam 7 malam,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Norel Azmi Yahya Affandi berkata, siasatan kejadian masih dilakukan untuk mendapatkan maklumat kemalangan itu.


Katanya, pemandu lori yang parah dihantar ke Hospital Sungai Buloh manakala seorang lagi pemandu lori belum dapat dikesan.


“Kemalangan itu menyebabkan kesesakan lebih 20 kilometer selama lima jam di tempat kejadian. Ketika itu cuaca terang dan jalan kering.


“Siasatan awal mendapati lori papan hilang kawalan lalu terbabas sebelum dirempuh sebuah lori lagi yang juga terbabas lalu terbalik,” katanya.


Norel berkata, mayat mangsa dibawa ke HKBB pada jam 9 pagi untuk bedah siasat.

Al-Fatihah

Sumber:
hmetro.com.my/articles/Tinggalduitbelibajuraya/Article
sinarharian.com.my/edisi/selangor-kl/maut-selepas-beri-duit-raya-1.51797

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Headlines

FeedBurner FeedCount