loading...

Saturday, July 20, 2013

Pelajar terperosok bawah van

kemalangan, di kilometer 23.1, Jalan Seremban-Tampin


20 Julai 2013
REMBAU – “Semasa tiba di tempat kejadian, saya lihat orang ramai sudah mengerumuni sebuah van bagi membantu mengeluarkan mangsa yang terperosok di bawah kenderaan itu," luah Zulkifli Samsuri, 49, ketika ditemui di lokasi kemalangan, di kilometer 23.1, Jalan Seremban-Tampin, dekat sini, malam kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira 8.30 malam itu, mangsa dipercayai pelajar berusia 17 tahun yang baru sahaja selesai belajar berkumpulan di Rumah Rakyat Chembong dan ingin pergi ke kedai berdekatan lokasi kejadian.

Zulkifli berkata, ketika kejadian dia dalam perjalanan dari Rembau menuju ke kediamannya di Chembong, namun terkejut apabila melihat orang ramai berada di atas jalan bertentangan dengan arah jalannya.

“Saya cepat-cepat memberhentikan motosikal dan bergegas menuju ke kumpulan orang ramai berkenaan yang sedang berusaha untuk mengangkat van berkenaan ke tepi.

“Kami tidak berani  menyentuh mangsa, namun beberapa penduduk bertindak untuk menjaga lalu lintas.  Malah, anggota bomba juga tiba di lokasi kejadian dan membantu memotong tali keledar mangsa yang tidak boleh dibuka,” katanya.

Katanya, pada mulanya mangsa hanya mendiamkan diri sahaja, namun selepas itu, dia mula mendengar suara mangsa yang seolah-olah menahan kesakitan susulan mengalami kecederaan di bahagian badan dan kepalanya.

Sementara itu, jurucakap polis berkata, berdasarkan siasatan awal, penunggang motosikal iaitu seorang remaja perempuan datang dari arah Tampin mengubah haluan dan masuk ke laluan bertentangan.

“Susulan tindakannya itu, motosikal yang dipandu remaja berkenaan merempuh van yang dipandu lelaki berusia 45 tahun.

"Mangsa yang menetap di Kampung Rendah cedera di bahagian kepala dan dikejarkan ke Hospital Tuanku Jaafar (HTJ) di Seremban," katanya.

Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/melaka-ns/pelajar-terperosok-bawah-van-1.184734




Lori 10 tan terbalik

Lori 10 tan terbalik

20 Julai 2013
KUALA PILAH – Gara-gara mengalami masalah brek, sebuah lori muatan dedak ayam seberat 10 tan terbalik kerana  mahu mengelak dari melanggar kenderaan lain di persimpangan lampu isyarat Pekan Kuala Pilah dari arah Tampin, jam 10.35 pagi, semalam.

Pemandu lori, Said Arab, 45, berkata, ketika lori dipandu menuruni jalan berbukit di persimpangan lampu isyarat, brek kenderaan itu tiba-tiba tidak berfungsi sehingga dia terpaksa memaut stereng ke arah kiri jalan.

“Mujur di situ ada jalan susur ke kiri, jadi saya terus memasuki jalan berkenaan lalu hilang kawalan hingga menyebabkan lori ini terbalik.

“Saya sebenarnya dari arah Melaka menuju ke Pahang bagi menghantar dedak ini. Kami jangka sampai dalam jam 2 petang. Bagaimanapun, ia tergendala akibat insiden ini,” katanya. Said berkata, kejadian itu amat mendebarkan kerana perlu mengelak dari melanggar kenderaan lain di hadapannya yang kebetulan berhenti apabila lampu isyarat bertukar merah.

“Waktu itu, saya hanya fikir untuk elak bertembung dengan kenderaan lain. Jika tidak, mungkin lebih ramai yang mengalami kecederaan.

“Mujur, saya tidak mengalami kecederaan serius hanya mengalami cedera di leher dan luka di siku tangan belah kanan,” katanya yang menerima rawatan di Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN) Kuala Pilah.

Sementara itu, kelindan, Zaidi Azmi, 23, berkata, insiden itu bukan kali pertama berlaku sejak dia menjadi kelindan.

“Cermin depan pecah dan dedak bertaburan di atas jalan. Mujur dedak itu masih elok dan penghantaran dedak akan diteruskan selepas dipindahkan ke lori lain kerana pelanggan sudah menunggu di Pahang,” katanya.

Dalam pada itu, lalu lintas berjalan lancar selepas anggota Polis Trafik dari Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Pilah mengawal keadaan dan Bomba dan Penyelamat Kuala Pilah memadam percikan api dari arah tayar lori terbabit.

Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/melaka-ns/lori-10-tan-terbalik-1.184716



Friday, July 19, 2013

Hadiah terakhir untuk ibu



Inalillahi wainailaihi rojiun

19 Julai 2013
Alor Setar: “Arwah sudah membeli dua helai jubah dan kasut untuk menyambut Aidilfitri nanti serta membeli sofa baru untuk ibunya sehari sebelum Ramadan lalu menggunakan gaji pertamanya.

“Tak sangka Alia akan pergi buat selama-lamanya apatah lagi di bulan puasa ini, tetapi kami sekeluarga reda dengan pemergiannya,” kata Rokiah Abu Bakar, 73, nenek kepada Noralia Norazizan, 20, yang maut selepas motosikal ditungganginya dipercayai merempuh Proton Wira diletakkan di bahu jalan berhampiran persimpangan lampu isyarat Sungai Mati, Langgar, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 7 pagi, mangsa dikatakan dalam perjalanan dari rumahnya di Simpang Kebun 500, Jabi, dekat sini, untuk ke tempat kerjanya di taska Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), di sini.

Difahamkan, motosikal ditunggangi mangsa dipercayai merempuh bahagian kanan belakang Proton Wira di bahu jalan berhampiran persimpangan lampu isyarat itu menyebabkan mangsa terpelanting sejauh 10 meter dari tempat kejadian.

Mangsa dipercayai digilis kenderaan dari arah sama di lokasi kejadian menyebabkan mangsa mengalami kecederaan serius di bahagian perut dan meninggal dunia di tempat kejadian.

Sumber:
hmetro.com.my/articles/Hadiahterakhiruntukibu//Article



Nyaris maut gara-gara mengantuk


19 Julai 2013
AYER LANAS – Gara-gara mengantuk, sebuah kenderaan pacuan empat roda, melanggar gerai menjual buah-buahan di birai jalan Kampung Air Lanas Luar, menyebabkan peniaganya nyaris maut.

Peniaga tersebut, Mariam Tophi, 49 berkata, ketika kejadian berlaku dia sedang berbual dengan rakanya, Zainab Ismail, 60.

“Kejadian berlaku dengan begitu pantas sekali. Ketika itu saya sedang berbual dengan rakan, Zainab Ismail, 60, Kami tidak mampu berbuat apa, apatah lagi untuk menyelamatkan diri. Akhirnya kami meniarap. Syukur kami selamat,” katanya.

Katanya, kejadian berlaku jam 4.45 petang itu mengakibatkan gerai jualannya runtuh serta hasil jualannya bertaburan di tepi jalan.

Menurutnya, sebelum gerainya dirempuh, kenderaan terlibat telah melanggar sebuah motosikal jenis EX5 yang di letakkan berhampiran gerai.

“Seorang pelanggan dari gerai bersebelahan yang ketika itu dalam perjalanan pulang ke rumahnya juga cedera ringan dalam kejadian itu dan dibawa ke Hospital Jeli bagi menerima rawatan lanjut,” katanya.

Sementara itu, pemandu pacuan empat roda terbabit dalam perjalanan dari arah Tanah Merah menghala ke Jeli dipercayai mengantuk sebelum terbabas merempuh gerai terbabit.

Katanya yang berasal dari kampung Batu Melintang, ini adalah pertama kali dia mengalami kejadian yang  menakutkan serta hampir meragut nyawanya.

“Walaupun gerai musnah sama sekali dalam kejadian tersebut, namun saya  tetap bersyukur kerana tiada kemalangan jiwa berlaku,” katanya.

Pemandu kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux terbabit hanya mengalami cedera ringan, juga dihantar ke hospital sama bagi menerima rawatan lanjut.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Jeli, Deputi Superintendan Sheik Azhar Sheik Omar mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu.

Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/kelantan/peniaga-buah-nyaris-maut-1.184383




Thursday, July 18, 2013

Jatuh ditimpa tangga


Inalillahi wainailaihi rojiun

18 Julai 2013
SEREMBAN – Seorang wanita yang pada mulanya terselamat dalam satu kemalangan, maut akibat dirempuh sebuah kereta ketika mangsa sedang menunggu bantuan di lorong kecemasan lebuh raya.


Kejadian berlaku kira-kira 11.30 malam di Kilometer 247.6 Lebuhraya Utara - Selatan, berhampiran Plaza Tol Senawang, dekat sini, apabila Widayati Abdol Aziz, 41, berdiri di lorong bantuan kecemasan selepas kereta jenis Hyundai Atos dinaiki bersama tiga anaknya hilang kawalan dan terbabas di tengah lebuh raya, kira-kira sejam sebelum itu.

Ketika kemalangan pertama, Widayati bersama dua anaknya, Muhamad Shazwan, 17, dan Mohd Shahir, 11, berjaya keluar dari kereta. Bagaimanapun, seorang lagi anaknya, Muhammad Shafiq Mohd Yusob, 15, tercampak keluar kenderaan dan meninggal dunia di tempat kejadian.

Berikutan kemalangan itu, sekumpulan orang awam turut sama membantu mangsa di tempat kejadian.

Bagaimanapun, ketika masing-masing sedang menunggu bantuan kecemasan, kira-kira sejam selepas itu, sebuah kereta jenis Proton Persona meluru laju dan merempuh Widayati dan anaknya, serta orang awam yang membantu mangsa.

Akibatnya, Widayati cedera parah di kepala dan dikejarkan ke Hospital Tuanku Ja'afar, di sini, sebelum disahkan meninggal dunia kira-kira 12.50 malam.

Sementara, kakak mangsa dikenali sebagai Kamariah, 50, yang tiba selepas kemalangan pertama serta seorang orang awam, Ismail Na'emat, 55, parah, manakala seorang lagi orang awam, Khairul Hasni Abd Ghani, 40, dan dua anak Widayati, cedera ringan.

Difahamkan, pemandu Proton Persona itu bagaimanapun melarikan diri sejurus selepas merempuh mangsa.

Ketika kejadian, cuaca juga berada dalam keadaan baik, namun keadaan jalan gelap kerana tiada lampu jalan.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Saiful Azly Kamarudin mengesahkan menerima laporan kejadian.

Polis kini sedang mencari pemandu Proton Persona terbabit yang bernombor pendaftaran PJW9537 untuk tampil ke balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.

Al-Fatihah


Pemilik plat PJW 9537 diminta serah diri

Seremban: Dua beranak maut dalam dua kemalangan berasingan di Kilometer 247.6, Lebuhraya Utara-Selatan arah utara, di sini, malam kelmarin.

Dalam kejadian jam 10.30 malam itu, mangsa yang juga kakitangan di Majlis Perbandaran Klang (MPK), Widayati Abdol Aziz, 41, yang memandu kereta Hyundai Atos bersama tiga anak lelakinya, Mohd Shahir Mohd Yusob, 11, Muhammad Shafiq Mohd Yusob, 15, dan Muhammad Shazwan Mohd Yusob,17, dalam perjalanan pulang dari rumah kakaknya di Melaka ke Taman Sri Kapar, Klang, Selangor.


Jurucakap polis berkata, setibanya di tempat kejadian, kereta dipandu Widayati hilang kawalan sebelum merempuh pembahagi lebuh raya lalu berpusing dan melintang di tengah jalan. “Muhammad Shafiq yang berada di tempat duduk belakang tercampak keluar dan meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah,” katanya.

“Manakala Widayati, Mohd Shahir dan Muhammad Shazwan tidak mengalami sebarang kecederaan dan dibantu orang ramai sebelum diletakkan di lorong kecemasan sementara menanti bantuan tiba,” katanya kepada Harian Metro, di sini, semalam. Menurutnya, Widayati sempat menghubungi kakaknya, Kamariah Abdol Aziz, 50, yang berada di Jasin, Melaka memaklumkan kejadian itu. “Kakak mangsa tiba di tempat kejadian melihat keadaan adiknya dan turut sama dua orang awam, Ismail Na’emat, 55, dan Khairul Hasni Abd Ghani, 40, yang cuba membantu.


“Bagaimanapun, kira-kira jam 11.30 malam, datang sebuah kereta Proton Persona hitam dipandu seorang lelaki berusia 20-an dipercayai hilang kawalan dan cuba mengelak kereta Hyundai ATOS di tengah jalan dan merempuh enam mangsa di lorong kecemasan,” katanya. Kata jurucakap, akibat rempuhan itu, Widayati yang cedera parah di kepala meninggal dunia kira-kira jam 12.50 pagi di wad kecemasan HTJS, manakala Kamariah dan Ismail cedera parah. “Muhammad Shazwan, Mohd Shahir dan Khairul Hasni hanya cedera ringan dan jenazah dua beranak itu dituntut keluarga sebelum dikebumikan di Jasin, Melaka,” katanya. Menurutnya, polis meminta pemandu kereta Proton Persona hitam bernombor pendaftaran PJW 9537 tampil serah diri di balai berhampiran atau gerakan memburu dijalankan.

Sumber:
sinarharian.com.my/semasa/kereta-rempuh-mangsa-kemalangan-1.183733
hmetro.com.my/articles/Hilang2nyawaselang2jam//Article
hmetro.com.my/myMetro/articles/2013071803020720130718030207/Article/index_html



Wednesday, July 17, 2013

Pelajar SM Seri Lipis maut



Inalillahi wainailaihi rojiun

Tidak sempat buka puasa

17 Julai 2013
KUALA LIPIS - Hasrat seorang remaja meronda di sekitar kampung sementara menanti berbuka puasa berakhir dengan tragedi apabila dia maut dalam satu kemalangan di Kampung Bukit Betong di sini, kelmarin.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Abdul Razak Hassan berkata, kejadian membabitkan sebuah motosikal dan sebuah kereta itu berlaku di jambatan Bukit Betong kira-kira jam 7.15 malam.

Menurutnya, mangsa, Mohamad Azzim Firdaus Mohd Rodwan, 18, yang menunggang motosikal Yamaha berseorangan datang dari arah Bukit Betong menuju ke Kampung Aur Gading.

“Sampai di tempat kejadian, mangsa yang juga pelajar tingkatan enam Sekolah Menengah Seri Lipis di sini dipercayai gagal mengawal motosikal yang ditungganginya lalu terjatuh ke laluan bertentangan.

“Dalam masa sama, sebuah kereta Proton Wira yang dipandu seorang lelaki berusia 26 tahun bersama dua penumpang datang dari arah Aur Gading menuju ke Bukit Betong tidak dapat mengelak lalu melanggar mangsa bersama motosikalnya,” katanya.

Abdul Razak berkata, mangsa diseret kira-kira 12 meter dan disahkan meninggal dunia serta-merta di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala.

“Mayat mangsa dibawa ke Hospital Lipis untuk bedah siasat sebelum dituntut ahli keluarga untuk dikebumikan di Tanah Perkuburan Bukit Betong.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan saksi kejadian diminta berhubung pegawai penyiasat, Inspektor Johnny James Bujang di talian 09-3122222 bagi membantu siasatan,” katanya.

Al-Fatihah

Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/pahang/tidak-sempat-buka-puasa-1.183369




Tuesday, July 16, 2013

Maut menggelupur di atas jalan

Muhamad Suaidi maut kemalangan


Inalillahi wainailaihi rojiun

16 Julai 2013
Alor Gajah: “Saya sebak melihat Muhamad Suaidi menggelupur di atas jalan dalam keadaan berlumuran darah lalu membisikkan kalimah syahadah ke telinganya sebelum dia mendengus panjang. Tidak lama kemudian dia terus senyap,” kata Mohd Siddiq Al Hakim Jamat, 19, sahabat baik kepada Muhamad Suaidi Hasan, 19, yang terbunuh dalam kemalangan di Kilometer 203.4, Lebuhraya Utara-Selatan arah utara, di sini, malam kelmarin.


Dalam kejadian jam 9.30 malam, Muhamad Suaidi yang menunggang motosikal Yamaha 125Z dalam perjalanan pulang ke ibu kota sebelum motosikal ditunggang hilang kawalan lalu merempuh belakang sebuah pacuan empat roda yang berhenti di lorong kecemasan akibat kerosakan.

Selain Mohd Siddiq, turut berkonvoi bersama mangsa adalah tiga lagi rakannya iaitu, Hafizan Hatta, 19, Mohd Samian Zamri, 19, dan Mohd Amirudin Najikin, 20. Mereka dari Pagoh, Johor menghala ke Kuala Lumpur.

Menurut Mohd Siddiq, dia yang menunggang tidak jauh di belakang mangsa terkejut sebaik saja terdengar dentuman sebelum menyedari Muhamad Suaidi terbabit kemalangan.

“Saya lihat motosikal arwah terperosok di belakang sebuah pacuan empat roda manakala arwah tertiarap di atas jalan.

Al-Fatihah

Sumber:
hmetro.com.my/articles/Tahlildilebuhraya//Article





Remaja maut bertembung Hyundai

Mohamad Nursaiful Mohd Amin maut dalam kemalangan


Inalillahi wainailaihi rojiun

16 Julai 2013
KLUANG - Hasrat seorang remaja berbuka puasa di rumah rakan sekerjanya tidak kesampaian apabila dia maut dalam kemalangan di persimpangan lampu isyarat di Taman Seri Impian, dekat sini, petang kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 5.30 petang itu, mangsa, Mohamad Nursaiful Mohd Amin, 19, meninggal dunia di tempat kejadian apabila motosikal jenis Yamaha LC ditunggangnya bertembung dengan sebuah kereta jenis Hyundai.

Manakala rakannya, Muhammad Shammer Sait, 18, yang membonceng motosikal bersamanya mengalami kecederaan parah dan sudah dipindahkan ke Hospital Sultanah Aminah (HSA), Johor Bahru selepas mendapat rawatan awal di Hospital Enche’ Besar Hajjah Kalsom Kluang.

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Abdul Majid Mohd Ali ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan memberitahu siasatan lebih terperinci akan dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kemalangan.

“Kejadian dipercayai berlaku setelah motosikal yang ditunggang oleh Mohamad Nursaiful merempuh sebuah kereta Hyundai yang keluar dari persimpangan lampu isyarat tersebut untuk ke bandar Kluang.

“Akibat rempuhan kuat itu menyebabkan mangsa tercampak ke atas cermin hadapan kereta berkenaan, manakala rakannya turut menghentam bahagian pintu sebelah pemandu.

“Pemandu kereta tersebut masih dalam keadaan trauma akibat kejadian berkenaan. Orang ramai yang menyaksikan kejadian diminta untuk tampil membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang,” katanya.

Jenazah Allahyarham Mohamad Nursaiful telah dituntut keluarganya dan dikebumikan di Kota Tinggi, semalam.

Al-Fatihah

Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/johor/remaja-maut-kemalangan-1.183226



Maut diserang sawan ketika menunggang

Muhamad Syukri mangsa kemalangan


Inalillahi wainailaihi rojiun

16 Julai 2013
SEREMBAN – Seorang remaja maut selepas motosikal ditungganginya hilang kawalan dan terbabas di bahu jalan, kira-kira 7 minit sebelum waktu berbuka puasa, petang kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira 7.20 petang di Kilometer 248.3 Lebuhraya Utara- Selatan di sini, mangsa, Muhamad Syukri Ismail, 18, dari Bandar Permaisuri, Terengganu dikatakan terbabas akibat diserang sawan ketika menunggang motosikal jenis Yamaha 135LC.

Lebih menyayat hati, kemalangan turut disaksikan abang mangsa, Muhamad Nor, 32, yang menunggang motosikal berasingan kira-kira 10 meter di hadapan, menerusi cermin sisi.

Mangsa bersama abangnya itu dalam perjalanan dari Cheras, Kuala Lumpur untuk pulang ke Kolej Unifil, Melaka.

Menceritakan kejadian, Muhamad Nor berkata, dia bersama adik bongsunya itu bertolak dari rumah keluarga mereka di Cheras kira-kira 6 petang.

"Saya iringi arwah ke Melaka kerana risau keselamatannya yang menunggang motosikal berseorangan.

“Sepanjang perjalanan, saya akan melihat arwah dari cermin sisi. Tapi, tapi tiba-tiba saya terkejut melihat motosikal ditunggang arwah hilang kawalan sebelum melanggar pengadang jalan dan arwah tercampak ke dalam semak di kiri jalan," katanya.

Menurutnya, dia kemudian berpatah semula melihat keadaan arwah sebelum mendapati adiknya itu sudah meninggal dunia.

Walaupun reda dengan pemergian adiknya, namun Muhamad Nor terkilan kerana tidak dapat memastikan adiknya selamat pulang ke kolejnya.

Sementara itu, menurut Muhamad Nor, arwah adiknya itu baru seminggu menuntut dalam jurusan teknologi maklumat di kolej terbabit.

"Arwah tidak menunjukkan sebarang tanda pelik sebelum kejadian namun bertegas untuk membawa motosikal ke kolej.

“Saya pada awalnya tidak benarkan kerana saya risaukan keselamatannya ketika menunggang motosikal. Tapi saya terpaksa akur dan tidak sangka perjalanan kami bertukar menjadi tragedi,” katanya.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Saiful Azly Kamaruddin mengesahkan menerima laporan kejadian.

Mayat mangsa dibawa ke Hospital Tuanku Ja'afar, di sini untuk bedah siasat.

Al-Fatihah

Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/melaka-ns/maut-7-minit-sebelum-berbuka-1.183125


Nyaris maut dirempuh treler



16 Julai 2013
KUANTAN - Seorang pemandu nyaris maut apabila kereta dipandunya dilanggar sebuah lori treler dari arah belakang sebelum terbabas ke kanan jalan dan melanggar tiang elektrik di Jalan Semambu, di sini, semalam.



Dalam kejadian kira-kira jam 12,30 tengah hari itu, mangsa, Manickavasakam, 45, terselamat walaupun kereta jenis Proton Wira yang dipandunya remuk teruk.

Lori terbabit difahamkan turut terbabas ke kanan jalan, bagaimanapun pemandunya berjaya mengawal kenderaan itu daripada terus melanggar kereta mangsa yang terlekat di tiang elektrik.

Manickavasakam berkata, dia yang bekerja sebagai pemandu jengkaut dalam perjalanan dari arah Jalan Beserah menghala ke Semambu untuk keluar makan tengah hari.

Menurutnya, ketika sampai di tempat kejadian berhampiran kawasan perumahan Andorra Peak, dia memperlahankan kenderaannya kerana kereta di hadapan berhenti untuk memasuki simpang sebelah kanan ke kawasan kediaman eksklusif itu.

“Tiba-tiba terdengar bunyi kenderaan membrek secara tiba-tiba dari arah belakang dan sejurus kemudian kereta saya bergegar sebelum menggelongsor ke tepi jalan.

“Saya sempat melihat ke belakang dan ternampak sebuah lori treler melanggar bahagian belakang kereta dan menyeretnya beberapa meter,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

Manickavasakam berkata, keretanya terlekat pada bahagian bawah depan lori seketika sebelum terlepas dan ketika itu keretanya hilang kawalan lalu melanggar tiang elektrik.

“Lori treler terbabit turut terbabas namun pemandunya sempat mengelak daripada terus menghentam kereta saya,” katanya.

Dia berkata, walaupun keretanya remuk teruk, namun dia tetap bersyukur kerana terselamat dalam nahas tersebut.

Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/pahang/pemandu-nyaris-maut-kereta-kena-langgar-treler-1.183017



2 penunggang maut nahas berasingan

lori terbalik


Inalillahi wainailaihi rojiun

16 Julai 2013
RAUB - Seorang pemuda maut selepas motosikal ditunggang bertembung dengan lori di Kilometer 340 Jalan Raub-Lipis berhampiran Jambatan Dong, kira-kira jam 12 tengah hari, semalam.

Ketua Polis Daerah Raub, Superintendan Wan Mohd Samsudin Wan Osman berkata, berdasarkan maklumat, Mohd Shahir Ismail, 23, menunggang motosikal dari arah Dong.

Menurutnya, mangsa cuba memotong sebuah kenderaan pacuan empat roda dari sebelah kiri jalan dan kemudiannya berada di hadapan kenderaan itu sebelum cuba ke kanan.

“Dipercayai mangsa gagal mengawal motosikal ditunggang mengakibatkannya terus terbabas ke kanan jalan lalu bertembung dengan lori dari arah bertentangan.

“Berikutan pertembungan itu mangsa terperosok ke bawah lori sebelum lori terbabas dan terbalik ke bawah tebing di tepi jalan,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Wan Mohd Samsudin berkata, mangsa meninggal dunia serta merta di tempat kejadian kerana mengalami kecederaan parah di kepala.

Katanya, pemandu lori berkenaan, Mat Mustafa Jusoh, 31, dari Kampung Ulu Lepar Dong, hanya cedera ringan. “Mayat Mohd Shahir dibedah siasat di Hospital Raub sebelum dituntut keluarga dan dibawa pulang ke Kampung Baru Ajai.

“Siasatan mendapati kedua-duanya memiliki lesen memandu sah dan Mohd Shahir memakai topi keledar,” katanya.


Sementara itu, dalam kejadian berasingan, seorang lelaki terbunuh manakala rakannya parah selepas motosikal yang dinaiki mereka bertembung dengan sebuah lori tanpa muatan di Kilometer 25.5 Jalan Maran-Jerantut dekat Maran, petang kelmarin.

Dalam nahas kira-kira jam 2 petang itu, mangsa, Umau a/l Sulong, 27, berketurunan Orang Asli disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Ketua Jabatan Ketenteraman Awam dan Trafik Negeri, Superintendan Mohamed Fauzi Abdul Rahim berkata, mangsa yang membonceng motosikal dalam perjalanan dari arah Kerdau menuju ke Maran.

Menurutnya, ketika sampai di tempat kejadian, motosikal dinaiki mereka dipercayai hilang kawalan lalu masuk ke laluan bertentangan sebelum bertembung dengan lori terbabit.

“Berikutan pelanggaran itu, mangsa mengalami cedera parah dan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya.

Mohamed Fauzi berkata, penunggang motosikal  berusia lingkungan 20-an mengalami kecederaan parah di kepala dan badan dihantar ke Hospital Jengka untuk menerima rawatan.

Katanya, siasatan awal mendapati mangsa dan rakannya itu tidak memiliki lesen memandu yang sah dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/pahang/2-maut-nahas-berasingan-1.183032




Bas rempuh treler



16 Julai 2013
BENTONG – Seramai 14 penumpang bas berdepan detik cemas apabila bas henti-henti dinaiki mereka
merempuh bahagian belakang sebuah treler membawa muatan kelapa sawit.



Bas dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Temerloh itu terlibat dalam kemalangan di Kilometer 42.2 Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak berhampiran Bukit Tinggi, dekat sini, kira-kira jam 9.35 pagi semalam.

Akibat kejadian itu, dua penumpang dilaporkan parah dan tiga lagi cedera ringan kini dirawat di Hospital Bentong.

Seorang penumpang dikenali sebagai Muhammadin, 24, berkata, dia bersama rakan, Hendra, 21, menaiki bas itu di Hentian Pekeliling, kira-kira jam 9 pagi untuk ke Temerloh.

Katanya, mereka berdua duduk di tempat duduk bernombor lima dan enam.

“Semasa kejadian, saya tidak tidur dan sempat mendengar jeritan pemandu sebelum bas merempuh belakang lori. “Pemandu bas menjerit kalimah ALLAH beberapa kali dan meminta penumpang terutama di bahagian hadapan menyelamatkan diri,” katanya.

Muhammadin berkata, dia bingkas bangun dan melarikan diri ke bahagian belakang bas. Katanya, keadaan pada masa itu agak kelam-kabut, manakala bahagian hadapan bas rosak teruk.

Tidak sedar apa berlaku

Hendra pula berkata, dia tidak sedar apa yang berlaku semasa kejadian dan hanya sedar apabila Muhammadin bersama penumpang lain membantunya keluar dari bas.

“Kejadian berlaku begitu pantas, saya memang tidak sedar. Tengok-tengok bas sudah remuk di bahagian hadapan.

“Namun saya bersyukur kerana tiada kecederaan serius akibat kejadian tersebut,” katanya.

Siti Salwa Omar, 24, pula berkata, dia yang duduk di belakang pemandu, tidur sepanjang perjalanan kerana kepenatan baru pulang daripada kerja sebagai pembantu di bahagian farmasi.

“Saya terjaga apabila mendengar bunyi bising dan nampak bas merempuh belakang lori. Saya tercampak ke hadapan, namun bernasib baik tidak mengalami sebarang kecederaan berat.

"Memang saya kerap menaiki bas sama untuk pulang ke kampung di Lanchang, namun tidak sangka kali ini berdepan kejadian sebegitu," katanya.

Kesesakan 1.3 kilometer

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Mohamad Mansor Mohd Nor berkata, ketika kejadian, treler membawa muatan kelapa sawit sedang bergerak perlahan menuruni bukit.

Katanya, berdasarkan siasatan awal, bas dipandu lelaki berusia 58 tahun itu dipercayai cuba memotong treler, bagaimanapun pada masa sama ada sebuah Kancil juga cuba memotong treler tersebut.

“Pemandu bas dipercayai bertindak masuk semula ke laluan perlahan dan kemudian melanggar bahagian belakang sebelah kanan treler.

“Akibat kemalangan itu, laluan kontra terpaksa dibuka bermula dari Kilometer 42 hingga Kilometer 43 bermula jam 10 pagi bagi kerja-kerja mengalihkan kenderaan,” katanya.

Mohamad Mansor berkata, kesesakan dari arah Kuala Lumpur ke Kuantan berlaku sepanjang 1.3 kilometer. Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/pahang/bas-rempuh-treler-1.183042



Terbang ke kebun pisang



16 Julai 2013
KUALA KURAU - Jemaah yang ingin menunaikan solat terawih gempar apabila menyaksikan sebuah kereta ‘terbang’ sebelum merempuh kebun pisang terletak berhadapan Masjid Batu Tujuh, di sini, malam kelmarin.

Saksi kejadian, Osman Mat Yeop, 26, berkata, dalam kejadian jam 9.15 malam, dia sedang mengambil wuduk untuk menyertai solat terawih sebelum terdengar bunyi geseran tayar kenderaan yang terbabas di hadapan masjid.

Menurutnya, dia segera meninjau keadaan hadapan masjid dan mendapati sebuah kereta jenis Proton Iswara berwarna hijau ‘terbang’ melintasi sebuah longkang konkrit, sebelum terbabas di dalam kebun pisang itu.

“Apabila melihat sahaja kejadian itu, saya terus bergegas ke lokasi kejadian untuk menghulurkan bantuan.

“Mujur pemandu kereta itu hanya mengalami kecederaan ringan di kepala dan dikejarkan ke Hospital Parit Buntar dengan bantuan orang ramai serta beberapa jemaah,” katanya sewaktu ditemui media di lokasi kejadian, malam kelmarin.

Osman berkata, sebelum dikejarkan ke hospital, pemandu lelaki berusia lingkungan 30-an sempat memaklumkan punca kenderaannya terbebas kerana cuba mengelakkan dari melanggar seekor binatang yang tidak dikenal pasti.

Jelasnya, sebelum ini terdapat beberapa kemalangan berlaku di lokasi sama dan  berpunca daripada keadaan jalan raya yang gelap.

“Beberapa bulan lalu, beberapa kemalangan kecil berlaku di sini dan ada juga kereta yang terhumban ke dalam longkang konkrit yang baru siap dibina.

“Saya berharap supaya pihak berkenaan dapat menambah bilangan lampu jalan di sekitar kawasan ini dan keadaan itu mungkin akan bertambah buruk jika tiada tindakan drastik diambil,” katanya.

Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/perak/kereta-terbang-masuk-kebun-1.182945



Monday, July 15, 2013

1 maut 3 parah bertembung lori



Inalillahi wainailaihi rojiun

15 Julai 2013
MACHANG - Seorang maut dan tiga yang lain cedera parah setelah kenderaan pelbagai guna (MPV) dinaiki mereka bertembung dengan sebuah lori di Jalan Machang -Pasir Puteh, di sini  pada jam 11.30 pagi kelmarin.

Mangsa maut, Anis Syafiqah Harun, 14,  meninggal dunia di Hospital Universiti Sains Malaysia pada jam 11 malam, kelmarin selepas hampir 12 jam mendapatkan rawatan.

Tiga mangsa yang cedera turut mendapatkan rawatan di hospital yang sama manakala pemandu lori yang mengalami kecederaan ringan dirawat di Hospital Machang, dekat sini.

Ketua Polis Daerah Machang, Deputi Superintendan Che Malek Bedot berkata, Anis Syafiqah  yang duduk di bahagian penumpang belakang mengalami kecederaan parah di bahagian kepala.

Katanya, kemalangan di Kilometer 4.7 Jalan Machang- Pasir Puteh itu membabitkan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) dan sebuah lori yang dipandu seorang pemuda.

Menurutnya, MPV yang dipandu wanita itu dalam perjalanan dari Jerteh, Terengganu ke Kedah sebelum bertembung dengan sebuah lori berdekatan Sekolah Menengah  Kebangsaan Hamzah 2, dekat sini.

“Rempuhan kuat tersebut menyebabkan MPV tersebut mengalami kerosakan teruk di bahagian pemandu dan mangsa yang cedera berjaya dikeluarkan dengan bantuan anggota Bomba dan Penyelamat Machang.

“Lori  yang dalam perjalanan dari arah Machang Pasir Puteh itu dipercayai memasuki laluan bertentangan sebelum bertembung dengan MPV  itu.  Kes disiasat  di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Al-Fatihah

Sumber:
sinarharian.com.my/semasa/seorang-maut-3-cedera-parah-1.182512





Warga emas parah bertembung pacuan empat roda


15 Julai 2013
KUPANG - Seorang warga emas parah dalam kejadian kemalangan di Jalan Padang, Kuala Pegang, kira-kira jam 2 petang, semalam.

Mangsa, Ali Md Hassan, 72, dari Kampung Charuk Gorok cedera di beberapa anggota badan setelah kenderaannya bertembung dengan sebuah kenderaan pacuan empat roda.

Ketua Polis Daerah Baling, Superintendan Mat Daud Mat Hassan berkata, mangsa dalam perjalanan dari Sungai Petani ke Grik.

Menurutnya, ketika melalui jalan itu, mangsa bertembung dengan sebuah kenderaan lain dari arah bertentangan.

“Keadaan itu mengakibatkan kenderaan mangsa remuk dan mangsa tersepit,” katanya.

Mat Daud berkata, mangsa berjaya dikeluarkan selepas beberapa minit oleh anggota bomba.

Pemandu kenderaan lain itu dilaporkan hanya cedera ringan.

Mangsa seterusnya dihantar ke Hospital Baling untuk menerima rawatan.

Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/utara/warga-emas-parah-kemalangan-1.182704


Juru x-ray Hospital Tuanku Jaafa maut

Juru x-ray Hospital Tuanku Jaafa maut


Inalillahi wainailaihi rojiun

15 Julai 2013
TAMPIN – Perjalanan seorang juru x-ray dari Segamat, Johor ke Hospital Tuanku Jaafar (HTJ), Seremban untuk bekerja syif pagi berakhir dengan tragedi apabila kereta yang dipandunya hilang kawalan dalam kemalangan di kilometer 27.5, Jalan Tampin-Gemas, Kampung Tengah, di sini, pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 6 pagi itu, kereta dipandu Siti Mariam Zakaraia, 25, hilang kawalan selepas melanggar lubang yang sudah membentuk lopak air lalu terbabas sebelum merempuh sebatang pokok.

Bapa mangsa, Zakaraia Dahlan, 56, berkata, sebelum ke tempat kerja, anak keempatnya itu sempat mengejutnya di bilik tidur sekitar jam 5 pagi untuk bersalaman seperti biasa.

Menurutnya, anaknya itu sempat bersahur bersama adik-beradik lain dan ibunya, Hapipah Awab, 56, sebelum bergegas pulang ke Seremban.

"Malam sebelum kejadian, kami sekeluarga sudah berhimpun bersama-sama susulan kepulangan arwah adalah bagi melihat adiknya yang baru pulang berpantang di kampung Jumaat lalu," katanya ketika ditemui di pekarangan Bilik Mayat Hospital Tampin (HT), dekat sini, semalam.

Zakaraia, seorang pesara guru berkata, dia tidak melihat sebarang perubahan sikap anaknya dan mereka lima sekeluarga sempat bercuti bersama-sama ke Bandung, Indonesia pada 4 hingga 7 Julai lalu.

"Arwah merupakan seorang anak yang baik dan semasa bercuti, dia turut memberikan saya baki duit rupiah sekitar RM200 untuk disimpan sebagai kenangan," katanya.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Wooi Kooi Cheang ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian berkenaan dan mangsa maut di tempat kejadian.

Menurutnya, berdasarkan siasatan awal kereta jenis Proton Saga yang dipandu mangsa dipercayai hilang kawalan selepas melanggar lubang dan terbabas ke kiri jalan sebelum merempuh sebatang pokok.

“Malah, enjin kereta mangsa turut tercabut dan terbakar di lokasi tidak jauh dari kereta mangsa.

"Mayat mangsa di hantar ke HT untuk proses bedah siasat hari ini (semalam)," katanya.

Al-Fatihah

Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/melaka-ns/juru-x-ray-maut-kemalangan-1.1826900


Kepulangan Jenazah Anak



Inalillahi wainailaihi rojiun

15 Julai 2013
TAMPIN – Hajat seorang remaja untuk pulang ke kampung di Labis, Johor secara senyap-senyap tanpa memaklumkan kepada ayahnya tidak kesampaian apabila dia disahkan maut dalam nahas jalan raya.

Mangsa, Idzuan Hafizi Kussini, 22, meninggal dunia di Hospital Tampin (HT) sejam selepas terbabit kemalangan di kilometer 40, Jalan Tampin-Gemas, Kampung Sungai Dua, dekat sini, petang kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira 3.20 petang itu, mangsa mengalami kecederaan parah selepas motosikal dinaikinya bergesel dengan sebuah kereta jenis Proton Iswara Aeroback dari arah bertentangan.

Kakak sulung mangsa, Nurul Hana Kussini, 28, berkata, adiknya itu ada menghantar pesanan melalui WhatsApp pada hari kejadian memaklumkan ingin pulang ke kampung tanpa memaklumkan kepada ayah mereka.    

Menurutnya, dia tidak bersetuju dengan rancangan adiknya itu dan menasihatkan untuk memberitahu ayah mereka terlebih dahulu.

"Bagaimanapun saya sangat terkejut apabila dimaklumkan adik terbabit dalam kemalangan di Gemencheh dan disahkan meninggal dunia di hospital.

"Jika diikutkan, kali terakhir kami bertemu adalah pada Jumaat lepas dan adik menemani saya membeli barangan dapur. Pada waktu itu adik kelihatan lebih banyak diam berbanding biasa," katanya ketika ditemui di perkarangan
Bilik Mayat HT, dekat sini, semalam.

Bapa mangsa, Kussini Isman, 56, berkata, dia terkejut apabila menerima panggilan kira-kira jam 6 petang menyatakan anaknya maut dalam kemalangan, sedangkan dia baru sahaja menerima panggilan anaknya itu pada jam 1 petang hari sama.

"Arwah yang merupakan anak bongsu sememangnya rapat dengan saya. Kali terakhir kami bertemu adalah semasa arwah pulang ke rumah sempena hari lahir saya pada 14 Jun lalu.

"Kehilangannya benar-benar dirasai lebih-lebih lagi arwah sememangnya seorang anak yang sangat periang dalam keluarga dan sering mendengar kata," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Superintendan Wooi Kooi Cheang ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian berkenaan dan mangsa yang cedera parah dikejarkan ke HT.

“Bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal dunia di HT kira-kira jam 4.49 petang," katanya.

Al-Fatihah

Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/tak-sempat-pulang-ke-kampung-1.182680



Tiga beradik nyaris maut


15 Julai 2013
REMBAU – Hasrat tiga beradik untuk berbuka puasa bersama ibu bapa mereka di Felda Bukit Rokan, Gemencheh, di sini tertangguh apabila mereka terbabit dalam kemalangan di kilometer 42, Jalan Seremban-Tampin, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira 3.50 petang itu, Hazwan Wahid, 26, Intan Haziqah Wahid, 22, dan Nur Hazira Wahid, 19, nyaris maut setelah kereta Proton Saga dinaiki mereka dari arah Rembau dirempuh sebuah kereta dari belakang.

Hazwan berkata, ketika kejadian, sebuah kereta Perodua Viva melanggar Proton Persona yang ingin memasuki persimpangan di sebelah kanan.

"Susulan perlanggaran itu, Proton Persona itu meluncur ke hadapan dan merempuh kereta saya.

"Akibat rempuhan itu, kereta saya berpusing sebanyak dua kali. Mujur ketika kejadian tiada kenderaan lain yang melalui jalan ini," katanya.

Menurutnya, mereka tiga beradik sememangnya sudah memaklumkan kepada ibu bapa mereka untuk berbuka puasa bersama-sama.

"Saya bekerja di Kuala Lumpur dan sebelum kejadian saya mengambil Hazira di Politeknik Port Dickson," katanya.

Sementara itu, jurucakap polis berkata, dia mengesahkan kejadian yang melibatkan tiga kenderaan itu.

“Berdasarkan siasatan awal, Perodua Viva mengekori terlalu rapat Proton Persona lalu gagal mengawal kenderaan menyebabkan melanggar bahagian belakang kereta berkenaan.

“Proton Persona yang dilanggar dari belakang masuk ke laluan bertentangan dan merempuh kereta dinaiki tiga beradik terbabit," katanya.


Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/melaka-ns/tiga-beradik-nyaris-maut-1.182678



Sunday, July 14, 2013

Pelajar JMTI maut dirempuh dua kereta


Inalillahi wainailaihi rojiun

14 Julai 2013
Kota Bharu: Hasrat lima sekawan untuk menikmati makanan tradisi colek berakhir dengan kesedihan apabila seorang maut dalam kemalangan di Jalan Chicha-Kuban Kerian, Kota Bharu, malam kelmarin.


Dalam kejadian kira-kira jam 11.30 malam itu, pelajar tahun kedua Institut Teknikal Jepun Malaysia (JMTI) Pulau Pinang Mohd Shafiq Suhaimi, 19, dikatakan menunggang motosikal jenis Yamaha RXZ bersendirian dari arah Kubang Kerian menghala ke Pasir Tumboh sebelum cuba membuat pusingan U.

Bagaimanapun, dia dirempuh oleh dua kereta jenis Nissan Sentra dan Proton Saga yang datang dari arah Pasir Tumboh menyebabkannya maut di tempat kejadian akibat kecederaan di kepala.

Rakannya, Mohd Azim Mohmed, 19, berkata, mereka bersama tiga lagi rakan seusia, Mohd Hafiz Mohd Arifin, Mohd Amirul Ashraf Abdullah, dan Faizal Adam Azhar dalam perjalanan untuk mencari gerai colek kira-kira jam 10 malam.

Katanya, mereka menunggang motosikal masing-masing sebelum menyedari arwah berada di belakang sekali namun kemudian tidak muncul di tempat dijanjikan.

Al-Fatihah

Sumber:
hmetro.com.my/articles/Taksempatmakancolekdengankawan/MA/Article
sinarharian.com.my/semasa/warga-emas-remaja-maut-1.182220


Perodua Myvi bertembung lori tangki


14 Julai 2013
PEKAN – Seorang lelaki yang juga pekerja pam pasir maut selepas kereta yang dipandunya bertembung dengan sebuah lori tangki minyak di selekoh berhampiran simpang Kampung Tanjung Agas, petang semalam.



Dalam kejadian jam 3 petang itu, mangsa, Lew Kam Sang, 49, yang beralamat di Pulai, Johor dikatakan sedang memandu bersendirian ke arah bandar Pekan selepas keluar dari kawasan pam pasir berhampiran tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Yahaya Othman berkata, siasatan awal mendapati kemalangan berpunca daripada Perodua Myvi yang dipandu mangsa masuk ke laluan bertentangan.

Menurutnya, ketika sampai di selekoh tajam berkenaan, kereta mangsa masuk sedikit ke laluan bertentangan sebelum bertembung dengan sebuah lori tangki yang datang dari arah bertentangan.

“Pemandu lori yang terkejut apabila kenderaan mangsa masuk di hadapannya secara tiba-tiba tidak sempat mengelak sebelum merempuh sebelah kanan kereta mangsa.

“Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat keja-dian akibat kecederaan parah di kepala manakala pemandu lori berusia 40-an tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya kepada Sinar Harian.

Yahya berkata, kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan mayat mangsa dibawa di Hospital Pekan sebelum dituntut ahli keluarganya.

“Saya ingin mengingatkan orang ramai agar mengambil iktibar kejadian ini seterusnya mementingkan aspek keselamatan ketika berada di jalan raya pada setiap masa.

“Kepekaan kita terhadap amalan berhemah serta keselamatan diri dapat membantu mengurangkan risiko kemalangan jalan raya, sekali gus mewujudkan persekitaran selamat bagi diri dan pengguna jalan raya lain,” katanya.

Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/pahang/pekerja-pam-pasir-maut-1.1822358



Tragedi menjelang sahur



14 Julai 2013
DUNGUN – Seorang kelindan lori terpaksa menanggung derita hampir setengah jam sebelum berjaya diselamatkan setelah tersepit di tempat duduk hadapan kenderaannya, apabila lori sayur dipandu rakannya bertembung dengan sebuah bas ekspres.


Kejadian berlaku menjelang waktu sahur, dekat sini, awal pagi semalam.

Kejadian kira-kira jam 3.30 pagi itu dipercayai berlaku apabila sebuah lori sayur dipandu Zaidi Awang Hama, 39, dipercayai hilang kawalan lalu masuk ke laluan bertentangan.

Pada masa sama, sebuah bas ekspres dari arah Kuantan menghala ke Kuala Terengganu dikatakan cuba mengelak lori yang masuk di laluannya itu menyebabkan bas ekspres membawa 43 penumpang itu masuk semula ke laluan lori.

Bagaimanapun, lori berkenaan yang dalam perjalanan untuk menghantar sayur dari Kelantan menuju ke Kuantan dipercayai masuk semula sebelum bertembung dengan bas terbabit dan kemudiannya terhumban ke bawah tebing di sebelah kanan jalan.

Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Dahlan Mohd Noor berkata, empat daripada 43 penumpang bas ekspres cedera dan dikejarkan ke Hospital Dungun untuk rawatan lanjut, sementara 39 yang lain tidak cedera.

Beliau berkata, pemandu lori, Zaidi yang berasal dari Bachok Kelantan hanya cedera ringan, namun rakannya yang duduk di hadapan, Noor Hisham Zali, 39, cedera parah akibat tersepit dalam lori yang remuk selepas dirempuh bas.

Kelindan lori yang tersepit itu bagaimanapun berjaya dikeluarkan pasukan bomba dan penyelamat sebelum dihantar ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu untuk rawatan lanjut.

"Kesemua 43 penumpang bas ekspres dipandu Tuan Adnan Tuan Aluwi, 48, yang dalam perjalanan dari Kuala Lumpur menuju ke Kuala Terengganu terselamat.

"Empat penumpang bas yang cedera ringan hanya menerima rawatan di Unit Pesakit Luar Hospital Dungun sebelum dibenarkan pulang selepas keadaan mereka dilaporkan stabil,” katanya.

Bas ekspres dinaiki 25 penumpang terhumban sebelum terbalik ke dalam gaung

Katanya, kemalangan diKM 73.5 jalan Kuala Terengganu-Kuantan pada awal pagi itu menyebabkan lalu lintas sesak seketika dan kes berkenaan masih dalam siasatan pihak polis.

“Kita harap pemandu lebih berhati-hati memandu pada bulan puasa ini dan cuba elakkan daripada memandu dalam keadaan mengantuk bagi mengelakkan kejadian tidak diingini,” katanya.

Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/terengganu/tragedi-menjelang-sahur-1.182228
hmetro.com.my/articles/26terhumbandalamgaung/MA/Article



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Headlines

FeedBurner FeedCount