19 Julai 2013
AYER LANAS – Gara-gara mengantuk, sebuah kenderaan pacuan empat roda, melanggar gerai menjual buah-buahan di birai jalan Kampung Air Lanas Luar, menyebabkan peniaganya nyaris maut.
Peniaga tersebut, Mariam Tophi, 49 berkata, ketika kejadian berlaku dia sedang berbual dengan rakanya, Zainab Ismail, 60.
“Kejadian berlaku dengan begitu pantas sekali. Ketika itu saya sedang berbual dengan rakan, Zainab Ismail, 60, Kami tidak mampu berbuat apa, apatah lagi untuk menyelamatkan diri. Akhirnya kami meniarap. Syukur kami selamat,” katanya.
Katanya, kejadian berlaku jam 4.45 petang itu mengakibatkan gerai jualannya runtuh serta hasil jualannya bertaburan di tepi jalan.
Menurutnya, sebelum gerainya dirempuh, kenderaan terlibat telah melanggar sebuah motosikal jenis EX5 yang di letakkan berhampiran gerai.
“Seorang pelanggan dari gerai bersebelahan yang ketika itu dalam perjalanan pulang ke rumahnya juga cedera ringan dalam kejadian itu dan dibawa ke Hospital Jeli bagi menerima rawatan lanjut,” katanya.
Sementara itu, pemandu pacuan empat roda terbabit dalam perjalanan dari arah Tanah Merah menghala ke Jeli dipercayai mengantuk sebelum terbabas merempuh gerai terbabit.
Katanya yang berasal dari kampung Batu Melintang, ini adalah pertama kali dia mengalami kejadian yang menakutkan serta hampir meragut nyawanya.
“Walaupun gerai musnah sama sekali dalam kejadian tersebut, namun saya tetap bersyukur kerana tiada kemalangan jiwa berlaku,” katanya.
Pemandu kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux terbabit hanya mengalami cedera ringan, juga dihantar ke hospital sama bagi menerima rawatan lanjut.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Jeli, Deputi Superintendan Sheik Azhar Sheik Omar mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu.
Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/kelantan/peniaga-buah-nyaris-maut-1.184383
No comments:
Post a Comment