loading...

Wednesday, February 8, 2012

Maut Bertembung Dengan Guru

Inalillahi wainailaihi rojiun   

SAMARAHAN 7 Feb. - Seorang remaja lelaki maut selepas motosikal ditunggangnya terbabas lalu bertembung dengan sebuah motosikal ditunggang seorang guru di Kampung Jemukan Ulu dekat sini hari ini.

Dalam kemalangan pukul 7.15 pagi itu, mangsa, Mohd. Hamizi Ba'iee, 19, meninggal dunia akibat kecederaan parah di kepala manakala guru berkenaan, Khanafi Khamis cedera ringan.

Difahamkan, kejadian berlaku ketika Mohd. Hamizi dalam perjalanan ke sekolahnya yang terletak di kawasan berdekatan.

Menurut Ketua Polis Daerah, Deputi Supritendan Abdul Rahman Ahmad, setibanya di lokasi, mangsa gagal mengawal motosikalnya lalu memasuki laluan bertentangan dan bertembung dengan motosikal yang ditunggang Khanafi.

"Mayat mangsa yang berasal dari Kampung Sungai Ladong, Simunjan dihantar ke Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk bedah siasat," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Al-Fatihah..

Sumber:
utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2012&dt=0208&pub=Utusan_Malaysia&sec=Jenayah&pg=je_03.htm

Pelajar Polimas Maut



Inalillahi wainailaihi rojiun   

JITRA: “Kebiasaannya Izam memasak makanan yang hendak dibawa sebagai bekal ke tempatnya menjalani latihan amali setiap pagi kerana tidak mahu menyusahkan saya.

“Semalam, Izam turut membawa ayam goreng yang dibeli di restoran makanan segera di Alor Setar, malam semalam (kelmarin) sebagai bekalan,” kata Zawiah Bidin, 48, ibu kepada Mohamad Izam Azuar Khairuddin, 22, yang maut selepas motosikalnya merempuh sebuah van menyebabkan dia terjatuh di atas jalan sebelum dilanggar sebuah pikap dari arah sama.


Kejadian berlaku di Kilometer 34.5 Lebuhraya Utara-Selatan di sini, kira-kira jam 9 pagi ketika mangsa dalam perjalanan dari rumahnya di Taman Satria, Jalan Langgar, Alor Setar ke sebuah kilang di Hosba bagi menjalani latihan amali.

Pelajar semester empat Diploma Kejuruteraan Mekanikal (Pembuatan) Politeknik Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (Polimas) dekat sini, mati serta merta di tempat kejadian akibat cedera parah di seluruh badan dan kepala.


Zawiah berkata, Izam yang juga anak kedua daripada empat beradik, tidak menunjukkan sebarang petanda pelik ketika keluar dari rumah untuk ke tempat dia menjalani latihan amali kira-kira jam 8.45 pagi.


Katanya, dia terkejut apabila menerima panggilan kira-kira jam 9.30 pagi memberitahu anaknya meninggal dunia selepas terbabit dalam kemalangan jalan raya lalu bergegas ke tempat kejadian sebelum ke Rumah Mayat Hospital Jitra (HJ).


“Dia rajin dan baik, tidak banyak kerenah menyebabkan saya amat terasa kehilangannya tetapi reda dengan apa yang berlaku,” katanya ketika ditemui di perkarangan rumah mayat HJ, di sini.


Sementara itu, ibu saudara mangsa, Bashiroh Ahmad, 36, berkata bapa Mohamad Izam, Khairuddin Hashim meninggal dunia akibat kanser lidah ketika sambutan Maulidur Rasul tahun lalu.

Jenazah Mohamad Izam dituntut keluarganya sebelum dikebumikan di tanah perkuburan Islam Kampung Lepai selepas solat Asar petang semalam.


Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Ibrahim Mohd Yusof berkata siasatan awal mendapati mangsa yang menunggang motosikal seorang diri, dipercayai melihat kemalangan di jalan bertentangan membabitkan sebuah lori yang tercabut tayar.


Menurutnya, mangsa dikatakan gagal mengelak sebuah van yang berhenti menyebabkannya merempuh kenderaan terbabit.


“Pada masa sama, sebuah pikap dari arah sama tidak sempat mengelak lalu merempuh mangsa menyebabkannya meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah di seluruh badan.


“Pemandu pikap berusia 40-an itu sudah membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kubang Pasu sejurus kejadian dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya yang meminta orang ramai menyaksikan kemalangan itu menghubungi polis di talian 04-9172222 untuk membantu siasatan.

Al-Fatihah..








Sumber:
hmetro.com.my/myMetro/articles/Mautrempuhvan/Article/index_html
ntv7.com.my/7edition/local-en/PELAJAR_MAUT.html

Ayah Sesal Terlanggar Anak


Inalillahi wainailaihi rojiun  

KUALA LIPIS: “Maafkan ayah nak... ayah tak sengaja,” hanya itu yang mampu diluahkan Jais Selamad, 45, selepas terlanggar anak bongsunya menyebabkan kanak-kanak perempuan berusia satu tahun itu meninggal dunia akibat kecederaan parah di kepala.

Kejadian berlaku ketika Jais mengundurkan pacuan empat roda miliknya di rumahnya di Kampung Dusun, dekat sini, jam 6.05 petang kelmarin, tanpa menyedari mangsa, Nurfazliyana berada di belakang kenderaan itu. Mengimbas detik menyedihkan itu, Jais berkata, sebelum kejadian dia bersama isteri, Rosaida Mustafa, 39, serta empat anak mereka termasuk Allahyarham Nurfazliyana menikmati juadah bubur sebagai hidangan minum petang.


“Selepas selesai, saya memaklumkan isteri mahu ke kebun. Selepas menghidupkan enjin pacuan empat roda di depan rumah, saya mengundurkan kenderaan itu.

“Tiba-tiba saya terasa seperti melanggar sesuatu dan belum pun sempat berbuat apa-apa, isteri menjerit memberitahu saya terlanggar anak di belakang kenderaan,” katanya.


Jais berkata, dia segera keluar dan memeriksa bawah kenderaannya dan ketika itu sukar digambarkan kesedihan apabila melihat mangsa terbaring tidak sedarkan diri.“Hanya Allah yang tahu perasaan saya, sedihnya sukar untuk diceritakan. Saya segera memangkunya di riba saya dan ketika itu kepalanya berlumuran darah.


“Selepas saya periksa, sah dia meninggal dunia. Saya rasa sangat bersalah, tapi apa yang saya mampu katakan kerana saya tak sengaja dan tak akan maafkan diri atas apa yang berlaku,” katanya.


Jais membawa mayat anaknya itu ke Hospital Kuala Lipis (HKL) sebelum membuat laporan polis dan jenazah mangsa dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam di Kampung Dusun, jam 11 pagi semalam.


Ketua Polis Daerah, Superintendan Abdul Razak Hassan berkata, polis mengambil keterangan bapa mangsa bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Al-Fatihah..

Sumber:
hmetro.com.my/articles/Ayahsesaltaksudah/Article

Dirempuh Myvi ketika membantu mangsa kemalangan



Inalillahi wainailaihi rojiun 

Kemalangan yang berlaku jam 2.40 pagi itu, menyebabkan Jamaluddin Ahmad, 35, maut di tempat kejadian selepas dia dirempuh lalu tercampak ke penghadang jalan.

Terdahulu, penunggang motosikal, Mohamad Rohaizam Abdul Rahim, 21, maut setelah motosikal jenis RXZ yang dinaiki dirempuh sebuah motosikal jenis yang sama ditunggang Muhamad Hazrin Ahmad, 24.

Ketua Polis Daerah Kerian, Superitendan Mat Fauzi Nayan berkata, kejadian melibatkan dua buah motosikal terbabit mengakibatkan Rohaizam maut di tempat kejadian kerana kecederaan parah di kepala.

 “Keadaan jalan yang tidak sekata menyebabkan motosikal yang dinaiki mangsa hilang kawalan sebelum dirempuh oleh sebuah motosikal RXZ yang ditunggang Hazrin yang datang dari arah yang sama. Namun, Hazrin hanya mengalami patah bahu kanan dan dirawat di Hospital Parit Buntar,” katanya.

Menurutnya, ketika kejadian berlaku, Jamaluddin yang cuba membantu mengeluarkan mayat Rohaizam dirempuh kereta Myvi yang datang dari arah selatan.

“Kereta Myvi itu mahu menukar ke lorong kiri dan tidak sempat mengelak kemalangan terbabit lalu merempuh kedua-dua mangsa sebelum berpusing-pusing beberapa kali dan terhumban ke dalam parit berhampiran.

Walau bagaimanapun, pemandunya hanya mengalami kecederaan ringan,” katanya.Giat

Al-Fatihah...

Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/perak/hajat-pemuda-tak-kesampaian-1.22523

Tuesday, February 7, 2012

Suami Isteri Maut Gagal Memotong

Inalillahi wainailaihi rojiun

KUANTAN: Seorang lelaki maut manakala isterinya parah selepas kereta yang dinaiki mereka terbabit dalam nahas jalan raya di Km23 Jalan Lipis-Merapoh, dekat Kuala Lipis, malam tadi.

Dalam kejadian 7.30 malam itu, kereta yang dipandu mangsa, Azizan Yajid, 40,dalam perjalanan dari arah Kuala Lipis ke Merapoh.

Menurut Pegawai Penguatkuasa Tadbir/Trafik Negeri Pahang, Asisten Superintendan Zainal Abidin Othman, berkata mangsa mati di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala, manakala isterinya, 30an (nama belum diketahui) cedera parah dan kini dirawat di Hospital Lipis.

"Tiba di lokasi kejadian, mangsa dipercayai cuba memotong sebuah kenderaan, namun gagal dan bertembung dengan sebuah kereta dari arah bertentangan," katanya di sini, hari ini.

Beliau berkata, pemandu sebuah lagi kereta terbabit tidak mengalami sebarang kecederaan. - BERNAMA

Al-Fatihah...

Monday, February 6, 2012

warga Emas Maut Dirempuh Lori

Inalillahi wainailaihi rojiun

RAUB: Seorang warga emas terbunuh selepas motosikal ditunggang dirempuh sebuah lori di Kilometer 20, Jalan Raub-Gesing, di sini, pagi kelmarin.

Dalam kejadian pada jam 11.35 pagi itu, mangsa, Muhamad Daud, 78, dari Kampung Ria Semantan, di sini, maut di tempat kejadian.


Ketua Polis Daerah, Superintendan Wan Samsudin Wan Osman berkata, polis menerima laporan kejadian itu pada jam 11.40 pagi sebelum bergegas ke tempat kejadian untuk membuat siasatan.

Katanya, mangsa dipercayai membelok ke kanan jalan dari kiri kerana hendak pulang ke rumah selepas membeli barang di sebuah kedai runcit.


Menurutnya, pada masa sama, pemandu lori di belakangnya tidak sempat mengelak sebelum melanggar motosikal ditunggang mangsa mengakibatkan warga emas itu tercampak.


“Bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala sebelum mayatnya dihantar ke Hospital Raub (HR) untuk bedah siasat.


“Jenazah mangsa sudah dituntut ahli keluarganya selepas bedah siasat selesai dijalankan, tengah hari kelmarin,” katanya di sini, semalam.


Menurutnya, polis sudah mengambil keterangan pemandu lori terbabit untuk membantu siasatan berhubung kejadian mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Al-Fatihah...


Sumber
hmetro.com.my/myMetro/articles/Wargaemasmautmotosikaldilanggarlori/Article/index_html

Pemandu Lori Maut Terbabas di Cameron

CAMERON HIGHLANDS: Seorang pemandu lori maut dalam kemalangan di Kilometer 1, Jalan Ringlet-Sungai Koyan, petang kelmarin.

Dalam kejadian jam 1.30 tengah hari itu, S Visuvanathan, 52, dari kuarters Jabatan Kerja Raya (JKR), Brinchang, di sini, maut di tempat kejadian akibat cedera di kepala.


Ketua Polis Daerah, Deputi Superintendan Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, mangsa yang memandu lori membawa muatan batu menghala ke Bertam Valley dari Ringlet terbabas ketika menuruni bukit sebelum kenderaan itu terbalik.

Sumber:
hmetro.com.my/articles/2012020704361220120207043612/Article

2 Beradik Maut Dirempuh Lori Sampah


Inalillahi wainailaihi rojiun

GOMBAK: ”Mereka adik beradik beria-ria nak pergi mandi kolam. Saya pelik dan tidak sampai hati menolak jadi saya dan kawan-kawan bersetuju mengikutnya,” kata rakan baik mangsa, Ahmad Danial Ahmad, 20, yang masih terkejut dengan kejadian menimpa mangsa.

Danial yang menunggang motosikal berkonvoi bersama dua mangsa dan tujuh lagi rakan lain sempat mengelak daripada dilanggar sebuah lori sampah yang hilang kawalan dipercayai akibat kerosakan brek.

Dalam kejadian pada jam 1 tengah hari semalam, sebuah lori sampah dari arah Batu Caves menghala ke Kepong dipercayai hilang kawalan lalu merempuh sebuah lori satu tan sebelum merempuh motosikal mangsa.

Mangsa, Rezzall Nur Shairie Nasaruddin, 21, membonceng motosikal diseret hampir 30 meter sebelum lori sampah berkenaan berhenti sebaik merempuh sebuah bas manakala adiknya Farouk Nur Shahrin, 18, terpelanting ke kanan jalan.


Kedua-dua mereka mati di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala dan badan.


 
Abang Tak Sedap Hati.



Naluri seorang abang yang tidak tenteram membawa kepada berita dua adiknya maut apabila motosikal dinaiki mereka dirempuh sebuah lori sampah dalam kemalangan membabitkan lima buah kenderaan di Lebuh Raya Lingkaran Tengah 2 (MRR2) berhampiran Batu Caves di sini semalam.

Dalam kejadian pukul 1 petang, Rezzall Nurshahrie Nasaruddin, 22, dan Farouk Nur Shahrin, 18, mati di tempat kejadian.

Semasa tragedi, kedua-dua beradik itu dalam perjalanan dari rumah mereka di Taman Koperasi Polis di Gombak menuju ke kolam renang Kompleks Seri Siantan di Selayang.

Abang kedua-dua beradik itu, Lans Koperal Edinur Shah Hamzah Nasaruddin, 33, berkata, semasa kejadian Farouk menunggang motosikal jenis Yamaha 135 LC dengan dibonceng Rezzall.

“Motosikal dinaiki mereka dirempuh dari belakang oleh sebuah lori sampah yang hilang kawalan akibat masalah brek,” kata Edinur yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya dekat sini.

Sebelum kejadian, Edinur berkata, dia yang dalam perjalanan ke tempat kerja membuat keputusan berpatah balik ke rumah selepas dilanda perasaan tidak tenteram secara tiba-tiba.

“Ketika itu saya sudah sampai di Jalan Kuching tetapi tiba-tiba saya rasa tidak sedap hati.

Al-Fatihah...


Sumber:
hmetro.com.my/articles/Ajaldiseretlorisampah/Article
kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2012&dt=0207&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_02.htm

3 Remaja Maut Pulang Dari Futsal



Inalillahi wainailaihi rojiun

JASIN – Kegembiraan empat sahabat dalam perjalanan untuk menjamu selera selepas bermain futsal berakhir tragedi apabila motosikal ditunggangi mereka terbabit dalam kemalangan di Jalan Kesang - Jasin, malam kelamrin.

Dalam kejadian kira-kira 11.45 malam itu kemalangan membabitkan empat motosikal jenis Honda EX5 dan satu Honda Wave menyebabkan tiga maut, manakala dua lagi cedera parah.

Keempat sahabat berkenaan dikatakan dalam perjalanan ke Jasin untuk menjamu selera selepas bermain futsal.

Ketua Polis Daerah Jasin, Superintendan Che Suza Hitam berkata, dua mangsa meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah dan seorang lagi meninggal dunia di Hospital Jasin, di sini.

Mangsa yang meninggal dunia dikenali sebagai Zafran Zainudin, 17, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Is­­kan­dar Shah; Mu­hammad Nazri Musa, 18, seorang pekerja stesen minyak di Jasin dan Muhammad Firdaus Ibrahim, 19.

“Dua lagi mangsa iaitu Mohammed Izhar, 18, dan Haffiszudin Firdaus, 17, di antara mereka cedera, patah kaki dan kini di rawat di hospital sama.

“Kejadian dipercayai berpunca apabila motosikal yang gagal dikawal Firdaus dari arah Jasin - Kesang bertembung dengan empat sahabat ini dan dipercayai juga berlaku rem­puhan kuat,” katanya.

Al-Fatihah...

Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/melaka-ns/nahas-libatkan-lima-motosikal-1.22146


1 Maut Brek Bas Rosak

PELABUHAN KLANG - “Sebaik menyedari brek bas tidak berfungsi, saya nekad memandu bas menghala semak demi mengelak banyak nyawa penumpang dan pemandu kenderaan lain terkorban,” demikian cerita pemandu bas kilang, Ahmad Ali, 51, berkenaan detik-detik kemalangan maut membabitkan bas dipandunya hingga meragut satu nyawa penumpang.

Menurutnya, pada mulanya, dia ingin membelok bas ke kiri jalan menghala Pandamaran, namun khuatir bas akan melanggar beberapa kenderaan yang sedang berhenti di simpang tiga lampu isyarat.

“Dalam fikiran saya, jika bas melanggar kenderaan tersebut pasti lebih banyak nyawa akan melayang, lalu saya nekad memegang stereng menuju semak sebelum melanggar sebatang pokok dan paip air.

“Saya sangka keputusan itu dapat menyelamatkan semua penumpang dan pemandu kenderaan lain termasuk penumpang dalam bas saya, namun sebaliknya berlaku apabila seorang penumpang bas yang saya bawa pula maut.

“Saya tidak sangka apa yang saya lakukan berakhir dengan tragedi berdarah,” katanya kepada Sinar Harian.

Ahmad yang memandu bas kilang dari arah Persiaran Raja Muda Musa menghala Pandamaran dengan membawa 35 penumpang yang juga pekerja kilang nyaris maut apabila brek bas yang dipandu secara tiba-tiba tidak berfungsi menyebabkan bas hilang kawalan lalu
melanggar sebatang pokok dan juga paip milik sebuah kilang, di simpang tiga lampu isyarat, Jalan Sungai Keladi, di sini petang kelmarin.

Bagaimanapun dalam kejadian kira-kira jam 5 petang itu, seorang penumpang wanita warga Indonesia maut manakala lima lagi cedera ringan yang kebanyakannya berada di kerusi hadapan.

Sementara itu, Ketua Bahagian Ketenteraman Awam Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan, Deputi Superintenden Rosly Abdul Rahman berkata, kejadian berlaku ketika pemandu bas dalam perjalanan menghantar 35 pekerja kilang ke kediaman masing-masing di Pandamaran selepas selesai bekerja.

“Sebaik tiba di lokasi kejadian, pemandu mendakwa bas yang dipandunya secara tiba-tiba hilang kawalan akibat brek tidak berfungsi sebelum melanggar pokok dan saluran paip.

“Rempuhan kuat itu menyebabkan saluran paip pecah manakala salah seorang penumpang tercampak keluar daripada bas hingga meragut nyawanya.

“Lima lagi penumpang turut cedera manakala selebihnya dilaporkan selamat walaupun masih mengalami trauma,” katanya.

Menurutnya, sehingga kini keterangan pemandu bas sudah diambil dan kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) APJ 1987,” katanya.

Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/selangor-kl/pemandu-nekad-rempuh-pokok-1.22136

Kemalangan 4 sahabat

Inalillahi wainailaihi rojiun

KUANTAN 6 Feb. - Kegembiraan empat sahabat yang dalam perjalanan pulang selepas bertemu rakan di Kuala Lumpur bertukar tragedi apabila dua daripadanya maut selepas kereta mereka hilang kawalan lalu terbabas di Kilometer 117.7 Lebuhraya Pantai Timur (LPT) di Temerloh hari ini.

Dalam kejadian pukul 6.20 pagi itu, mangsa terbunuh ialah pemandu kereta, Ismadi Kechik, 25, yang bekerja sebagai pencuci kereta dan penumpang hadapan yang juga peniaga, Muhammad Nazir Abd. Khalit, 22.

Dua lagi rakan mereka yang cedera ialah penumpang di tempat duduk belakang, Alif Ridzuan Mohamed Nazeri, 19, dan Ahmad Ridzuan Rokbi, 23.

Menurut Pegawai Penguat Kuasa Tadbir/Trafik Negeri, Asisten Supritendan Zainalabidin Othman, kejadian berlaku ketika empat sahabat tersebut dalam perjalanan dari Kuala Lumpur menuju ke Temerloh.

"Setibanya di lokasi kejadian, dipercayai kereta yang dipandu Ismadi tiba-tiba hilang kawalan lalu terbabas melanggar besi penghadang jalan dan terbalik.

"Ekoran itu, keempat-empat mereka yang berasal dari Kampung Bangau Tanjung, Temerloh telah tercampak keluar dari kereta," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Kata Zainalabidin, kemalangan tersebut mengakibatkan Ismadi dan Muhammad Nazir cedera parah dan meninggal dunia di lokasi kemalangan manakala Alif Ridzuan serta Ahmad Ridzuan yang cedera ringan dirawat di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (Hoshas) Temerloh.

"Kes itu masih disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987," ujarnya.

Dalam pada itu, Ahmad Ridzuan berkata, mereka bertolak ke Kuala Lumpur pukul 9 malam tadi untuk bertemu rakan di sana sebelum bertolak pulang pukul 4 pagi.

Menurutnya, dalam perjalanan pulang dia tertidur namun terjaga apabila merasakan badannya seolah-olah 'melayang' keluar dari kereta.

"Saya jatuh di lereng bukit lebuh raya. Saya rasa badan sakit dan ketika cuba bangun, saya lihat tiga rakan bergelimpangan di atas jalan raya.

"Tidak lama kemudian Alif Ridzuan juga bangun namun Ismadi dan Muhammad Nazir tidak bergerak," katanya.

Katanya, dia cedera di kaki dan terpaksa menerima lima jahitan di kepala selepas tercampak keluar dari kereta manakala Alif Ridzuan pula yang juga cedera di kaki hanya menerima rawatan sebagai pesakit luar.

Al-Fatihah...


Sumber:
utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2012&dt=0207&pub=Utusan_Malaysia&sec=Dalam_Negeri&pg=dn_19.htm


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Headlines

FeedBurner FeedCount

Blogged.my