Wednesday, June 5, 2013

Pelumba pelapis maut dirempuh lori

Seorang pelumba skuad pelapis Persatuan Lumba Basikal Terengganu maut selepas dirempuh lori treler ketika menjalani sesi latihan.


Inalillahi wainailaihi rojiun

5 Jun 2013
KUALA TERENGGANU: Seorang pelumba skuad pelapis Persatuan Lumba Basikal Terengganu maut selepas dirempuh lori treler di atas sebuah jambatan ketika menjalani sesi latihan di Kampung Bukit Guntung, Tepoh, di sini, pada jam 9.30 pagi tadi.


Mangsa, Mohd Syafiq Imran Shahril, 15, dikatakan gagal mengawal basikalnya selepas cuba mengelak rakannya yang terjatuh sebelum dirempuh lori terbabit dari arah bertentangan.
Ketika kejadian, arwah bersama 44 rakan sepelatih sedang berkayuh ke Bukit Besi, Dungun sebagai sebahagian daripada latihan untuk menghadapi sebuah kejohanan di Perlis pada 19 Jun ini.

Rakan sepelatih mangsa, Che Ku Mohd Nazimie Che Ku Romli, 19, berkata kejadian berlaku apabila salah seorang pelumba di hadapan terlanggar lubang sebelum dia yang mengekori di belakang tidak sempat mengelak.


"Tayar kami bergesel dan saya terjatuh ke sebelah kanan jalan. Arwah yang berada di belakang cuba mengelak daripada melanggar saya tetapi hilang kawalan dan terjatuh dari basikalnya di tengah jalan.


"Saya sempat bangun tetapi arwah gagal dan dia dirempuh sebuah lori treler yang datang dari arah bertentangan serta diseret sejauh 1.5 meter.

"Ketika itu, arwah masih bernyawa sambil merintih kesakitan dan memanggil nama ibu bapanya," katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), di sini, sebentar tadi.

Menurutnya, arwah kemudian dikejarkan ke HSNZ dengan ambulan untuk mendapatkan rawatan namun meninggal dunia beberapa minit selepas tiba di hospital itu.

Sumber:
http://www.hmetro.com.my/articles/Pelumbapelapismautdirempuhlori//Article


Pegawai Exco Kedah maut

kemalangan Pegawai Exco Kedah


Inalillahi wainailaihi rojiun

5 Jun 2013
SLIM - Seorang pegawai kepada Exco Kerajaan Negeri Kedah maut selepas terlibat dalam satu kemalangan di Kilometer 371.1 Lebuhraya Utara Selatan arah selatan, awal pagi kelmarin.

Mangsa dikenali sebagai Meor Johari Meor Ahmad, 39, maut di tempat kejadian apabila kereta jenis Toyota Harrier dipandu mangsa terbabas.

Ketua Polis Daerah Tanjung Malim, Superintendan Othman Nanyan berkata, mangsa bersama seorang lagi rakan dikenali sebagai Ridzuan Hashim, 34, dalam perjalanan dari Sungai Petani ke Kuala Lumpur.

Katanya, ketika tiba di tempat kejadian, kereta yang dipandu mangsa hilang kawalan lalu terbabas dan berpusing beberapa kali sebelum mangsa tercampak keluar dari kenderaan di tengah jalan.

Othman berkata, mangsa maut di tempat kejadian manakala rakannya mengalami kecederaan.

Menurutnya, kedua-dua mangsa dibawa ke Hospital Slim River untuk tindakan lanjut dan pihaknya masih menyiasat kejadian kemalangan. Kes disiasat dibawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan 1987.

Al-Fatihah

Sumber:
sinarharian.com.my/semasa/pegawai-exco-kedah-maut-1.167483





Ahli perniagaan maut



5 Jun 2013
SEREMBAN - Seorang ahli perniagaan maut selepas kenderaan dinaiki terlibat dalam kemalangan di Kilometer 7, Jalan Seremban - Port Dickson dekat Mambau, di sini, semalam.

Jurucakap polis berkata, dalam kejadian kira-kira 1.10 petang itu, mangsa, Lew Yoke Kong, 50, pemilik sebuah syarikat pengangkutan sedang memandu kereta jenis Honda Accord seorang diri menghala ke Seremban.

“Siasatan awal mendapati, semasa insiden berlaku, difahamkan mangsa tiba-tiba hilang kawalan terhadap kenderaan dipandu menyebabkannya termasuk ke laluan bertentangan.

“Akibatnya, mangsa telah merempuh sebuah kereta jenis Proton Iswara yang datang dari depan dan sedang menghala ke arah Port Dickson,” katanya kepada Sinar Harian di sini, semalam.

Menurutnya, impak perlanggaran antara kedua-dua kenderaan terbabit menyebabkan mangsa tersepit, sebelum berjaya dikeluarkan anggota bomba beberapa minit kemudian.

“Akibat kemalangan tersebut, mangsa yang cedera parah di seluruh badan terutamanya bahagian dada meninggal dunia di tempat kejadian," katanya.

Sementara itu, katanya, pemandu dan penumpang Protos Iswara,  Salleheim Abu Hassan, 38, bersama anaknya, Ahmad Nafis Salleheim, 5, dan pekerjanya, Ilham Shah Ismail, 28, terselamat dalam kemalangan itu walaupun kenderaan dinaiki mengalami kerosakan teruk,” katanya.

Jurucakap polis berkata, ketiga-tiganya dibawa ke Hospital Tuanku Ja’afar, di sini untuk menerima rawatan sebagai pesakit luar.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Saiful Azly Kamaruddin ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/melaka-ns/ahli-perniagaan-maut-dalam-kemalangan-1.167689


Tuesday, June 4, 2013

3 beranak maut motor bertembung kereta



Inalillahi wainailaihi rojiun

4 Jun 2013
BUKIT MERTAJAM: Tiga mangsa kemalangan yang maut, termasuk seorang yang rentung dalam kejadian di Jalan Hutan Petai Bukit Teh, malam tadi dikenal pasti sebagai pasangan suami isteri dan seorang anak perempuan berusia tiga tahun.



Mangsa yang maut dikenali sebagai Hasmizam Yahya, 36, isterinya Yusniza Abdul Rahman, 31, dan anak perempuan mereka, Nurul Huda, 3.
Hasmizam ditemui rentung di dalam kereta, dipercayai terpelanting dari motosikal yang dinaiki.

Nurul Huda ditemui terbaring di tepi jalan bersebalahan bahagian pemandu kereta dan sedikit terbakar di badan, sementara Yusniza terpelanting beberapa meter di belakang kereta yang terbakar itu.


Seorang lagi anak mangsa yang turut terbabit dalam kemalangan ngeri itu, Hawa, 4, patah tulang belakang, bahu dan tulang pinggul dan masih dirawat di Hospital Seberang Jaya (HSJ).


Dalam kejadian kira-kira 9.20 malam tadi, empat sekeluarga yang menaiki sebuah motosikal dipercayai dirempuh sebuah kereta yang datang dari arah bertentangan, menyebabkan kesemua mereka tercampak dari kenderaan terbabit dan tiga daripadanya meninggal dunia di tempat kejadian.

Bagaimanapun, pemandu kereta Proton Saga, seorang lelaki Cina hanya cedera ringan dan menerima rawatan di sebuah hospital swasta di sini.
Kemalangan turut menyebabkan kereta dan motosikal terbabit terbakar berikutan geseran yang berlaku ketika kemalangan.

Kedua-dua kenderaan tersebut terbakar selepas bertembung menyebabkan Yusnizam turut terbakar selepas tersepit manakala isteri dan anaknya maut akibat kecederaan parah di beberapa bahagian badan.


Kesemua jenazah akan dikebumikan hari ini di Tanah Perkuburan Islam Kampung Janggus Cheruk Tokkun di sini


Teringin pakaian putih

Yusniza, 31, yang maut bersama suami, Hasmizam Yahya, 36, serta Nurul Huda manakala seorang lagi anak pasangan itu, Nurul Hawa, 4, parah dalam kemalangan di Jalan Hutan Petai, Bukit Teh


 “Ketika kenduri kahwin saudara Sabtu lalu, kakak ada beritahu dia teringin hendak memakai pakaian warna putih dan mahu menyerahkan anaknya Nurul Huda, 3, kepada orang lain untuk dijaga.

“Saya tak sangka itu petanda kakak akan pergi buat selama-lamanya semalam (kelmarin),” kata Yusrizal Abdul Rahman, 27, adik kepada Yusniza, 31, yang maut bersama suami, Hasmizam Yahya, 36, serta Nurul Huda manakala seorang lagi anak pasangan itu, Nurul Hawa, 4, parah dalam kemalangan di Jalan Hutan Petai, Bukit Teh, di sini, malam kelmarin.

Yusrizal berkata, hasrat itu dinyatakan kakaknya kepada salah seorang saudara ketika menghadiri kenduri perkahwinan saudara mereka Sabtu lalu.

Katanya, kali terakhir berjumpa kakaknya itu pada Ahad lalu ketika mereka sama-sama menghadiri satu lagi kenduri perkahwinan di rumah saudara mereka, dekat sini, namun kakaknya tidak menunjukkan sebarang perubahan sikap atau kelainan.

“Namun, selepas kemalangan, seorang saudara memberitahu kami mengenai hasrat arwah itu yang mahu memakai pakaian putih dan menyerahkan Nurul Huda kepada orang lain untuk dijaga ketika berjumpa dengannya Sabtu lalu,” katanya ditemui di pekarangan Rumah Mayat Hospital Bukit Mertajam, di sini, semalam.


Al-Fatihah

Sumber:
http://www.hmetro.com.my/articles/Teringinpakaianputih//Article
http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0604&pub=Kosmo&sec=Terkini&pg=bt_01.htm
http://www.hmetro.com.my/articles/3mautmotosikaldirempuhkereta//Article
http://www.thesundaily.my/news/733186


2 beradik maut

Dua maut manakala empat lagi cedera parah apabila dua kenderaan bertembung di Kilometer 4 Jalan Tampin-Gemas

Inalillahi wainailaihi rojiun

4 Jun 2013
TAMPIN - Hajat seorang abang untuk tinggal bersama adiknya di rumah sewa dekat Seremban tidak kesampaian apabila kereta yang dinaiki terlibat dalam kemalangan di kilometer empat, Jalan Tampin-Gemas, dekat sini, awal pagi semalam.



Dalam kejadian kira-kira 12.05 itu, mangsa, Amirul Asri Zainal, 23, dan adiknya, Amirul Naim, 21, dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Taman Desa Permai, dekat sini selepas menjamu selera bersama rakan-rakan di bandar ini.

Rakan sekerja arwah Asri, Zulkifli Jamaludin, 36, berkata, arwah baru sahaja meminta dia mencari rumah sewa untuknya dan adiknya yang baru tamat pengajian di Universiti Malaysia Perlis (Unimap).

“Arwah bekerja di sebuah kilang di sini, sebagai juruteknik sejak tiga bulan lalu. Jadi buat masa ini, dia menetap bersama keluarga saudaranya di Seremban dan berhasrat ingin mencari rumah sewa.

“Walaupun baru tiga bulan kenal arwah, saya semakin rapat dengannya berikutan waktu kerja yang sama dan arwah juga seorang yang selalu ingin belajar mengenai kerjanya,” katanya ketika ditemui di perkarangan Bilik Mayat Hospital Tampin, dekat sini, semalam.

Zulkifli berkata, jika diikutkan, pada hari ini (semalam), dia dan arwah berjanji untuk berjumpa di Masjid Tanah bagi menambah perhiasan kereta di kedai rakan arwah.

“Memang dah janji berjumpa dengan rakan-rakan tengah hari ini, namun kami semua tidak menyangka perbualan kami malam tadi adalah yang terakhir," katanya.

Bapa mangsa, Zainal Sabu, 49, berkata, dia sangat terkejut apabila rakan anaknya datang ke rumah dan menyatakan kedua-dua anaknya terbabit dalam kemalangan.

“Kedua-dua mereka tidak menunjukkan sebarang kelainan dan kami berbual-bual seperti biasa sehari sebelum kejadian," katanya.

Jenazah kedua beradik itu dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Ulu Yoh dalam satu liang lahad.

Sementara itu, jurucakap polis berkata, dua beradik itu disahkan maut sebaik sahaja sampai di Hospital Tampin sementara empat individu lagi termasuk seorang ibu mengandung cedera parah.

Menurutnya, kedua-dua kenderaan itu bertembung dari arah bertentangan.

“Mangsa yang memandu kereta jenis Proton Satria dalam perjalanan dari Tampin menghala ke Gemencheh.

“Manakala, sebuah lagi kenderaan jenis Proton Satria Neo dinaiki empat individu dalam perjalanan dari Kuala Terengganu ke Melaka," katanya.

Katanya, kesemua mangsa yang parah dikejarkan ke Hospital Tuanku Jaafar di Seremban untuk rawatan lanjut.

Al-Fatihah

Sumber:
http://www.sinarharian.com.my/edisi/melaka-ns/tak-sempat-tinggal-bersama-1.167152
http://www.hmetro.com.my/articles/2maut_4parahkemalangandiTampin/Article



Van rempuh kedai makan

van rempuh kedai makan


4 Jun 2013
TEMERLOH - Keresahan seorang ibu tunggal yang tidak dapat tidur lena, malam kelmarin rupanya petanda kedai makan miliknya di simpang Kampung Jenderak, di sini, dirempuh sebuah van pada jam 5 pagi semalam.



Walaupun rempuhan kuat itu menyebabkan sebahagian besar kedai makannya roboh, namun Siti  Rogayah Yusoff, 35, bersama anak tunggalnya, Puteri Qarisha Abdullah 9, tidak mengalami sebarang kecederaan.

Bagaimanapun, empat daripada tujuh penumpang van yang merempuh kedai makan berkenaan, cedera dan kini sedang dirawat di Hospital Sultan Ahmad Shah (Hoshas), di sini.

Menceritakan detik kejadian, Siti Rogayah berkata, dia bersama anaknya, abang ipar, Mohamad Jak Masdor, 51, dan kakaknya, Noreha Yusoff, 46, bermalam di kedai tersebut yang baru sebulan beroperasi.

Menurutnya, rempuhan kuat awal pagi itu mengejutkan mereka apabila tangisan kanak-kanak dan penumpang van begitu kuat kedengaran.

“Bila saya keluar dari bilik, van itu sudah merempuh kereta abang ipar dan kereta saya, manakala bumbung van pula tersangkut pada bumbung kedai.

“Nasib baik saya dan abang ipar parkir kereta di hadapan kedai, kalau tidak, sudah tentu van itu akan merempuh dinding kedai dan masuk ke dalam bilik tempat kami tidur,” katanya.

Siti Rogayah berkata, dia dan keluarga kemudiannya membantu penumpang van keluar dan sempat melihat dua kanak-kanak serta dua penumpang dewasa mengalami kecederaan.

Katanya, mereka yang cedera dihantar penduduk kampung ke Klinik Kesihatan Kuala Krau sebelum dibawa naik ambulans ke hospital.

Difahamkan, semua penumpang van terbabit berasal dari Jengka 25 dan dalam perjalanan pulang dari kenduri di Ipoh, Perak.

Siti Rogayah berkata, akibat rempuhan itu, dia mengalami kerugian RM10,000 apabila kedai makannya rosak teruk termasuk beberapa peralatan niaga.

“Itu tidak termasuk kerugian kereta kami, kereta Proton Saga abang ipar rosak dan tidak dapat dibaiki lagi,” katanya.

Menurutnya, dia membuka kedai makan itu dua bulan lalu dengan modal sendiri sebanyak RM30,000 di atas tanah disewa dengan Keretapi Tanah Melayu (KTM).

“Walaupun rugi, saya tidak mahu salahkan sesiapa, tapi saya harap sangat kerajaan atau mana-mana pihak dapat bantu baiki kedai makan ini supaya saya boleh berniaga seperti biasa.

“Saya ada mohon bantuan daripada Pertubuhan Peladang (PPK) Sri Kerdau dan harap sangat mereka boleh bantu saya dapatkan semula modal untuk berniaga,” katanya yang membuat laporan di Balai Polis Kuala Krau, pagi semalam.

Sumber:
http://www.sinarharian.com.my/edisi/pahang/van-rempuh-kedai-makan-1.167208


Sunday, June 2, 2013

3 termasuk polis sukarelawan maut


2 Jun 2013
Kulaijaya: Tiga lelaki termasuk seorang sukarelawan polis dan suspek kes curi, maut selepas kenderaan pacuan empat roda dinaiki bertembung dengan bas serta PROTON Iswara di Kilometer 24, Jalan Johor Bahru-Ayer Hitam dekat sini, kelmarin.



Kemalangan kira-kira jam 7.40 malam itu turut menyebabkan seorang warga Indonesia bertaraf penduduk tetap (PR) meninggal dunia, manakala lapan lagi cedera.

Sukarelawan polis, Mohd Amir Fairuz Mohd Sobri, 21; suspek berusia 38 tahun dan pemandu PROTON Iswara yang juga warga Indonesia bertaraf PR, Rosdi Tukio, 48, meninggal dunia di tempat kejadian.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kulaijaya, Deputi Superintendan Mohad Idris Samsuri, berkata Land Rover dinaiki empat anggota polis yang membawa empat suspek dikatakan gagal dikawal sebelum memasuki laluan bertentangan dan bertembung dua kenderaan lain.

“Sebaik dirempuh sebuah kenderaan pacuan empat roda milik Polis Diraja Malaysia (PDRM) dari arah bertentangan, kereta dipandu rakan hilang kawalan menyebabkan keadaan cemas,” kata Safwan Misran, 30, seorang daripada mangsa kemalangan maut di Kilometer 24, Jalan Johor Bahru-Ayer Hitam

Kemalangan jam 7.40 malam itu membabitkan tiga kenderaan termasuk sebuah pacuan empat roda polis, Proton Iswara dan bas awam.

Tiga mangsa yang meninggal dunia di tempat kejadian ialah anggota polis sukarelawan Mohd Amir Fairuz Mohd Sobri, 21, seorang suspek berusia 38 tahun dan warga Indonesia bertaraf penduduk tetap, Rosdi Tukio, 48, manakala lapan individu lain hanya cedera ringan.

Kejadian dipercayai berlaku apabila pacuan empat roda yang membawa empat anggota polis dan empat suspek hilang kawalan sebelum memasuki laluan bertentangan dan bertembung sebuah bas serta kereta Proton Iswara.

Safwan berkata, dia yang menaiki Proton Iswara bersama dua rakan dalam perjalanan pulang dari tempat kerja di Taman Universiti, di sini, ke rumah mereka di Kulaijaya.



Bawa empat suspek 

Siasatan awal mendapati kenderaan pacuan empat roda itu dalam perjalanan ke Balai Polis Senai dengan membawa empat suspek yang baru ditahan berikutan kes kecurian di sebuah pasar raya, katanya pada sidang media di sini, semalam.

Mohad Idris berkata, pelanggaran menyebabkan tiga mangsa maut di tempat kejadian manakala enam penumpang dan pemandu Land Rover serta dua penumpang kereta berkenaan cedera.
Katanya, mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Kulai untuk bedah siasat, manakala mereka yang cedera dihantar ke hospital sama untuk rawatan lanjut.

Pemandu bas dan 25 penumpang tidak mengalami kecederaan, katanya sambil menambah kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sumber:
http://www.hmetro.com.my/articles/Nahasbawa4suspek//Article
http://www.kosmo.com.my/
http://www.thesundaily.my/news/727930
http://www.bharian.com.my/bharian/articles/Tigamautkenderaanbertembung/Article



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Headlines

FeedBurner FeedCount