loading...

Saturday, July 2, 2011

Bas Ekspres Terbabas di Lereng Bukit


KOTA TINGGI – Seramai 22 penumpang termasuk pemandu sebuah bas ekspres terpaksa mengharungi detik-detik mencemaskan sebelum kenderaan tersebut terbabas di lereng bukit, di sini, pagi semalam.

Bagaimanapun kesemua mereka selamat dan beberapa penumpang hanya mengalami cedera ringan.

Kejadian yang berlaku kira-kira jam 6.15 pagi itu berpunca daripada pemandu hilang kawalan ketika tiba di puncak bukit sebelum terbalik di lereng bukit berdekatan kilang papan di Kilometer 47.5, Jalan Johor Bahru-Mersing.

Menurut Ketua Polis Kota Tinggi, Superintendan Osman Mohammad Sebot, bas berkenaan dalam perjalanan dari Kuala Terengganu menuju ke Johor Bahru.

“Dengan bantuan orang awam, penumpang yang mengalami kecederaan dibawa ke Hospital Kota Tinggi, termasuklah pemandu bas yang mengalami patah bahu,” katanya kepada Sinar Harian di tempat kejadian.

Katanya, ada penumpang bas terpaksa keluar melalui tingkap cermin hadapan dan memecahkan cermin belakang untuk keluar naik ke tebing menyelamatkan diri.

Sementara itu, pihak pengurusan syarikat bas menggantikan bas baru untuk membawa penumpang meneruskan perjalanan ke Johor Bahru.




“Terdapat juga sekumpulan lapan ahli pengakap Singapura yang menaiki bas tersebut. Mereka dalam perjalanan pulang daripada kerja komuniti di Setiu. Mereka telah dirawat sebagai pesakit luar,” katanya

Sumber: http://www.hmetro.com.my/articles/Basterbalikdilerengbukit/Article
             http://www.sinarharian.com.my/sh/johor/content/story9251443.asp

Peserta Larian 1Malaysian Terjatuh dari Bas

ALOR GAJAH - Seorang pelajar rebah di tepi jalan raya selepas dikatakan pengsan ketika sedang berdiri berhampiran pintu bas sekolah terbabit di pekan Kuala Sungai Baru, dekat sini, tengah hari semalam.

Dalam kejadian yang berlaku kira-kira jam 1.15 tengah hari itu, Nuremi Syakila Hamadi, 15, dikatakan kepenatan selepas menyertai Larian 1Malaysia dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Taman Kuala Permai menaiki bas sekolah.

Rakannya, Nur Nadhirah Mohd Ramli, 15, berkata, Nuremi itu yang berdiri di tangga bas secara tiba-tiba terlepas genggaman tangan pada tempat berpaut sebelum jatuh keluar dari bas terbabit.

“Dia jatuh terjelopok atas rumput di tepi jalan raya ketika bas masih bergerak perlahan kerana hendak menurunkan pelajar.

“Saya terkejut melihatnya jatuh, mujur dia jatuh di atas rumput dan kenderaan semuanya bergerak perlahan. Saya berlari ke arahnya dan melihat ada darah di kepala Nuremi,” katanya.

Saksi kejadian, Roslina Md Nor, 33, berkata, dia bersama suami dan kakaknya dari Kuala Linggi hendak ke rumah saudara di Taman Desa Bayu menyedari seorang pelajar terbaring atas rumput tepi jalan sebelum berhenti membantu.

“Pada mulanya saya sangka Nuremi terbabit dalam kemalangan kerana terdapat sebuah kereta yang remuk hadapan tidak jauh dari situ dan terus meminta suami berhentikan kereta untuk membantu pelajar itu yang tak sedarkan diri.

“Mujur ketika itu seorang kakitangan Klinik Kesihatan Kuala Linggi menunggang motosikal di belakang kereta saya dan terus mengarahkan pelajar tersebut dihantar ke klinik terbabit dan saya terus mengangkatnya.

“Saya lihat kepala pelajar itu berdarah berkemungkinan terhantuk pada batu yang ada tepi jalan itu dan kemudian dia terus dirujuk ke Hospital Alor Gajah dengan menaiki ambulan klinik terbabit,” katanya.

Sumber: SinarHarian

Remaja Rempuh Lori JKR


SEREMBAN – Seorang remaja nyaris maut selepas motosikal ditungganginya merempuh sebuah lori Jabatan Kerja Raya (JKR) di susur keluar Kampung Baru Rahang, dekat sini, semalam.

Jurucakap polis berkata, dalam kejadian kira-kira 10.30 pagi itu, mangsa, Mohd Zullihar Affendy, 20, menunggang motosikal jenis Modenas Kriss dalam perjalanan ke rumahnya dari Kampung Baru Rahang ke Rembau.

“Siasatan awal mendapati, mangsa gagal mengawal motosikalnya lalu terbabas sebelum merempuh bahagian belakang lori terbabit.

“Mangsa dipercayai tidak sedar sebuah lori JKR yang berada di hadapan bergerak perlahan dekat lokasi kejadian,” katanya kepada Sinar Harian di sini, semalam.

Menurutnya, mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan muka dikejarkan ke Hospital Tuanku Ja’afar, di sini untuk rawatan.

Sumber: Sinar Harian

Pemandu Van Warga Emas maut


PELABUHAN BARAT – Seorang warga emas maut setelah van dipandunya gagal dikawal sebelum melanggar kereta jenis Proton Wira dan kontena sebelum menjunam ke parit di Lebuhraya Kesas, kira-kira jam 3.30 petang, semalam.

Anggota Balai Bomba dan Penyelamat Pelabuhan Klang mengambil masa kira-kira 10 minit mengeluarkan mangsa mangsa berketurunan Cina berusia sekitar 62 tahun yang tersepit di tempat duduk

Bagaimanapun mangsa yang parah di seluruh anggota badan itu akhirnya meninggal dunia ketika menerima rawatan kecemasan di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang.

Sementara itu, pemandu kontena hanya ingin dikenali Zali, 34, berkata, dia memandu kontena berseorangan dari arah Shah Alam menghala Pelabuhan Barat untuk mengambil muatan.

“Secara tiba-tiba saya perhatikan dari arah bertentangan, van yang dipandu bersebelahan Proton Wira hilang kawalan sebelum melanggar bahagian kanan Proton Wira itu.

“Kedua-dua kenderaan terbabit masuk ke laluan saya memaksa saya membrek secara mengejut,” katanya kepada Sinar Harian di lokasi kejadian.

Menurutnya, dalam masa yang sama kedua-dua kenderaan itu melanggar kontenanya.

“Bagaimanapun kereta Wira terhenti di pertengahan jalan manakala van itu terus meluru laju ke tepi lebuh raya sebelum menjunam ke dalam parit sedalam kira-kira setengah meter.

“Pada saat itu saya amat berdebar-debar dan perasaan takut menguasai diri kerana menyangka kedua-dua pemandu terbunuh berdasarkan keadaan kedua-dua kenderaan yang remuk teruk.

“Bagaimanapun bersyukur selepas melihat kedua-duanya selamat dan dikejarkan ke HTAR dengan ambulans yang tiba tidak lama kemudiannya.

“Namun sejam kemudian, saya terkejut dimaklumkan pemandu van meninggal dunia di hospital oleh polis yang bertugas,” katanya.

Sinar Harian dimaklumkan pemandu van yang parah meninggal dunia di Wad Kecemasan kira-kira sejam kemudian manakala pemandu Proton Wira yang berusia 21 tahun turut dirawat di hospital sama kerana kecederaan di bahagian muka.

Dalam pada itu, Ketua Trafik merangkap Ketua Bahagian Ketenteraman Awam Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan, Deputi Superintendan Rosly Abdul Rahman berkata, mayat mangsa kemudiannya dipindahkan ke bilik mayat bagi urusan bedah siasat.

Katanya, polis masih menyiasat identiti dan maklumat berkaitan diri mangsa.

Sumber: SH

Parah Lori Balak Terbalik


KUANTAN- Seorang lelaki cedera parah apabila lori balak yang dipandunya terbalik ke dalam longkang di Batu 6, Jalan Kuantan-Gambang, berhampiran jejambat yang dalam pembinaan, pagi semalam.

Mangsa yang cedera di bahagian tangan dan kepala terselamat apabila orang awam membantu mengeluarkan mangsa yang tersepit di dalam lori tersebut.

Difahamkan, kemalangan berlaku akibat lori mangsa dikatakan dihimpit sebuah lori lain sebelum kemalangan mengakibatkan muatan balak bertaburan di permukaan jalan selain keadaan kedua-dua laluan sesak kira-kira satu kilometer.

Saksi kejadian, Azri Mohamed Ridzuan, 29, berkata, dia melihat lori balak yang dipandu mangsa dihimpit sebuah lori lain sebelum lori tersebut terjunam ke dalam longkang berdekatan kira-kira jam 10 lagi semalam.

“Ketika kejadian saya sedang menunggang motosikal dalam perjalanan menghala ke Bandar Kuantan dari Taman Tas di sini dan berada di belakang lori sebelum kejadian.

“Selepas itu, sejurus sampai ke satu selekoh kecil lori yang berada di laluan kanan tiba-tiba terus menghimpit lori balak dipandu mangsa menyebabkan kenderaan itu hilang kawalan seterusnya terbabas menjunam ke dalam longkang,” katanya.

Azri berkata, selepas kejadian terbabit pemandu lori yang menghimpit lori mangsa kemudian berhenti beberapa minit di tepi jalan sebelum terus melarikan diri daripada tempat kejadian.

Menurutnya, dia sempat melihat lori dipandu mangsa melayang ke kiri jalan dan terbalik ke dalam longkang.

Mangsa kemudiannya dikejarkan ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), Kuantan dengan bantuan ambulans yang tiba di tempat kejadian selepas menerima panggilan kecemasan daripada orang ramai.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah, Superintendan Zulkifli Taha, meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kemalangan itu supaya tampil di Balai Trafik Kuantan bagi membantu siasatan.

Sumber: SH

Thursday, June 30, 2011

Permohonan Maaf Terakhir Dari Anak

Al-Fatihah...


KUALA TERENGGANU: Naluri seorang ibu yang tidak sedap hati apabila anaknya memohon maaf ketika keluar rumah sedangkan sebelum ini tidak pernah berbuat demikian, bagaikan petanda anak lelakinya itu pergi menyahut seruan Ilahi selepas terbabit dalam kemalangan malam kelmarin.

Suri rumah, Ramlah Ramli, 55, berkata, dia tidak menyangka kata yang disangka gurauan itu sebenarnya ‘permohonan terakhir’ daripada anaknya Mohd Zamzuri Irwan Mamat, 27, supaya dimaafkan segala kesalahannya sebelum ini.


“Petang semalam (kelmarin), selepas membasuh motosikalnya yang baru dibeli sebulan lalu, arwah meminta maaf dan terkejut dengan kelakuan peliknya itu saya bertanya semula kenapa cakap begitu.

“Kemudian arwah beritahu kalau nak tunggu raya lambat lagi, jadi baik minta maaf sekarang sambil saya memberitahu sentiasa memaafkannya,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik, Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), malam kelmarin.


Mohd Zamzuri Irwan yang menunggang motosikal Yamaha LC 135 maut di tempat kejadian manakala rakannya, Mohd Arif Muhammad, 25, yang membonceng bersamanya parah apabila kenderaan dinaiki mereka bertembung dengan kereta Proton Wira di simpang tiga lampu isyarat Jalan Kampung Pasir Panjang, kira-kira jam 9 malam kelmarin.


Difahamkan, mangsa yang dalam perjalanan dari rumahnya di Kampung Belukar Jambu, Chendering menuju ke pasar raya gagal mengawal kenderaan apabila kereta Proton Wira dipandu buruh, Yusof Rani, 53, bersama isteri dan tiga anak dalam perjalanan dari pusat bandar dikatakan membelok ke kanan memasuki simpang secara mengejut.

Akibat pelanggaran itu, Mohd Zamzuri Irwan yang bekerja sebagai buruh melambung sejauh lima meter dan topi keledar dipakainya turut tercabut serta cedera parah di badan, muka dan kepala.


Manakala, Mohd Arif pula terseret sejauh 10 meter parah di badan dan sehingga kini masih koma serta mendapat rawatan di Unit Rawatan Rapi HSNZ.

Sementara itu, Mohd Zulkarnain Imran, 24, adik kepada Mohd Zamzuri Irwan berkata, dia pelik apabila abangnya tergesa-gesa keluar rumah selepas Maghrib tanpa bercakap sepatah pun.


“Biasanya dia bergurau dan beritahu hendak ke mana, tetapi semalam (kelmarin) dia senyap dan hanya melihat adik-beradik lain di rumah, sedangkan dia jenis yang banyak bercakap.


“Malah apa yang menghairankan dia juga tidak menggunakan motosikal Yamaha RXZ yang baru dibasuhnya seolah-olah sayang hendak keluar kerana baru sebulan dibeli, tetapi menggunakan motosikal Yamaha LC135 milik saya,” katanya.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Zamri Shamsuddin ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan berkata, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana kemalangan menyebabkan kematian manakala pemandu kereta Proton Wira terbabit diambil keterangan selama dua jam sebelum dibebaskan dengan jaminan polis.


Sumber: http://www.hmetro.com.my/articles/2011063001584420110630015844/Article

Lima Beranak Tersepit Dirempuh Bas


PADANG SERAI - Lima beranak yang menaiki sebuah kereta Kancil cedera parah apabila dirempuh sebuah bas kilang di hadapan Taman mahsuri di Jalan Bagan kira-kira jam 10 malam kelmarin.

Ketua Polis Trafik Kulim, Asisten Superintendan Ismail Ayob berkata, kereta mangsa dari arah Tasek Gelugor menuju ke Padang Serai.

Katanya, kereta mangsa berhenti untuk masuk ke selekoh sebelum dirempuh bas berkenaan dari arah belakang. Akibat rempuhan kuat, kereta mangsa berpusing sebelum dirempuh sebuah kereta Wira dari arah bertentangan dan mengakibatkan semua mangsa tersepit dalam kereta.

“Bomba terpaksa mengeluarkan kesemua mangsa dan berjaya dikeluarkan dari kereta yang remuk.

“Bagaimanapun seorang daripada mangsa yang juga kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun meninggal dunia ketika dalam perjalanan untuk mendapatkan rawatan kecemasan di Hospital Kepala Batas,” katanya.

Menurutnya, polis menerima pelbagai laporan dan dari siasatan yang dijalankan, polis mendapati punca kemalangan disebabkan rempuhan awal bas terlibat terhadap kereta Kancil mangsa. Selepas sejam kemalangan berlaku, polis menerima laporan bas kilang yang terlibat terbakar.

Orang ramai yang ada di tempat kejadian berkata, bas itu mungkin dibakar oleh kumpulan yang tidak berpuas hati dengan kemalangan itu sehingga mengakibatkan seorang kanak-kanak maut.

Sumber: http://www.sinarharian.com.my/sh/utr/content/story9243975.asp

Bas Terbabas di Genting Highlands


BENTONG – Kegembiraan 12 penumpang menaiki sebuah bas persiaran turun dari pusat peranginan dekat sini bertukar menjadi detik cemas apabila bas dinaiki terlibat dalam kemalangan.

Timbalan Ketua Polis Daerah Bentong, Deputi Superintenden Mohamad Mansor Mohamad Noor berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 4.15 petang kelmarin di Kilometer 4.8 Jalan Genting Highlands laluan menghala ke Kuala Lumpur .

Menurutnya, setibanya di tempat kejadian, pemandu dipercayai gagal mengawal kenderaan lalu terlanggar pengadang jalan sebelah kanan dan kemudiannya terbabas ke kiri jalan kemudian tersadai.

“Akibat kemalangan itu, bas yang dalam perjalanan dari Genting Highlands ke Ipoh itu mengalami kerosakan teruk di bahagian sebelah hadapan sebelah kanan.

“Pemandu dan penumpang bas terbabit bernasib baik kerana tidak mengalami sebarang kecederaan akibat kemalangan yang berlaku,” katanya ketika ditemui Sinar Harian, semalam.

Mohamad Mansor berkata, kemalangan yang berlaku menyebabkan laluan turun mengalami sedikit gangguan lalu lintas untuk sementara waktu selepas hanya satu laluan sahaja boleh dilalui akibat kedudukan bas yang tersadai di kiri jalan.

Menurutnya, keadaan trafik itu kemudiannya berada dalam keadaan terkawal selepas bas terbabit dialihkan.

“Susulan kejadian ini, saya ingin mengingatkan semua pemandu pengangkutan awam seperti bas sentiasa memastikan kenderaan berada dalam keadaan baik sebelum memulakan perjalanan bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini.

“Tambahan pula, kenderaan seperti ini membawa ramai penumpang berbanding kenderaan biasa dan sekiranya berlaku kemalangan sudah pasti ia melibatkan mangsa yang ramai,” katanya.

Sumber: SH

Wednesday, June 29, 2011

Kerja Syif Pagi Risiko Kemalangan

SEPANG - Fikiran kusut, mengejar kad perakam waktu atau tergesa-gesa ke tempat kerja dikatakan antara punca kemalangan pekerja dalam perjalanan ke tempat kerja.

Hasil statistik Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) tahun lepas pula menunjukkan pekerjaan syif pagi menyumbang kepada 68.9 peratus kemalangan ke tempat kerja berbanding syif petang (14.6 peratus) dan syif malam (16.7 peratus).


Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Maznah Mazlan berkata, peningkatan kemalangan ketika ke tempat kerja waktu pagi turut disumbangkan oleh kesesakan lalu lintas manakala ramai pekerja tidak merancang waktu perjalanan mereka.

"Pekerja keluar rumah sudah lambat, lepas itu kelam-kabut hendak sampai ke pejabat tepat pada masanya, bawa kereta laju untuk elak kad perakam waktu menjadi merah juga antara penyumbang kemalangan," jelasnya dalam sidang akhbar di sini semalam.

 MAZNAH membetulkan topi keledar seorang penunggang motosikal pada 
Kempen Perjalanan Selamat ke Tempat Kerja Kebangsaan 2011 
di Sepang

Sumber: Kosmo

Pemandu Van Maut Rempuh Lori


REMBAU: Seorang lelaki maut selepas van yang dipandunya melanggar belakang sebuah treler yang sarat membawa kayu bergergaji di kilometer 231, Lebuh Raya Utara-Selatan berhampiran plaza tol Pedas-Linggi dekat sini, awal pagi ini.

Jurucakap polis berkata, mangsa, Hassan Ahmad Supadi, 39, beralamat Kampung Giching, Sepang, Selangor yang cedera parah di kepala dan badan meninggal dunia ditempat kejadian.
Mayatnya dihantar ke Hospital Tampin untuk dibedah siasat.
Kejadian itu berlaku pada kira-kira jam 3.30 pagi ketika kedua-dua kenderaan terbabit sedang dalam perjalanan menuju ke utara.

Akibat pelanggaran itu, van mangsa terperosok di belakang treler.

Sepasukan enam anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Rembau dikejarkan ke tempat kejadian untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit.

Sebelum itu pasukan bomba terpaksa menggunakan "winch" kenderaan bomba untuk menarik keluar van yang terperosok di bawah treler.
Sementara itu, pemandu treler P Raja, 52 berkata, beliau dan rakannya yang sedang dalam perjalanan dari Labis, Johor ke Kapar, Klang menyedari kemalangan itu apabila tiba-tiba terdengar bunyi hentakan dan letupan di belakang treler.

"Lalu saya berhentikan treler di lorong tepi lebuh raya dan keluar melihat sebuah van terperosok di bekalang treler. Saya tidak dapat nak bantu mangsa sebab mangsa tersepit," katanya. - BERNAMA

Sumber: Berita Harian


Kepala Hancur Digilis Lori


SIMPANG AMPAT – Hasrat seorang ibu menyediakan makan tengah hari buat keluarganya tidak kesampaian apabila dia maut dalam satu kemalangan jalan raya membabitkan motosikal yang ditunggang mangsa dan lori treler di Taman Merak, pagi semalam.

Kejadian yang berlaku sekitar jam 10 pagi itu menyebabkan mangsa, Tan Pho Siew, 62, mati di tempat kejadian apabila kepalanya hancur akibat digilis lori treler.

Suami mangsa, Ang Khar Seng, 69, berkata, kali terakhir dia melihat isterinya pada pagi semalam sebelum dia keluar sarapan pagi di kedai berhampiran rumahnya di Bukit Tambun.

“Awal pagi lagi saya sudah keluar bersama anak perempuan untuk bersarapan di kedai kopi manakala Pho Siew hanya memaklumkan dia hendak ke pasar untuk membeli ikan dan sayur.

“Pho Siew seorang isteri dan ibu yang baik, bekerja sebagai pembantu restoran bagi mengambil alih tanggungjawab saya yang tidak mampu bekerja kerana menghidap penyakit strok sejak lima tahun lalu.

“Namun, kejadian itu benar-benar menguji kasih sayang saya apabila isteri yang dicintai pergi buat selamanya selepas dimaklumkan oleh jiran bahawa dia terlibat dalam kemalangan,” katanya ketika ditemui di Hospital Sungai Bakap.

Menurutnya, semalam dan hari ini mangsa bercuti dan berhasrat ingin menyediakan makanan buat mereka sekeluarga.

“Namun hasratnya tidak kesampaian apabila dia terlibat dalam kemalangan ngeri di simpang jalan dekat Taman Merak.

“Keadaan sayur yang dibeli berada di atas jalan bersamanya dan pemergiannya itu meninggalkan tiga anak, seorang lelaki dan dua perempuan berusia 24, 26 dan 29 tahun, ” katanya.

Saksi kejadian yang dikenali sebagai Hamidah, berkata, mangsa yang menunggang motosikal bersendirian itu terlebih dahulu memberi isyarat untuk membelok ke Taman Merak.

“Namun, lori treler yang mengekori dari arah belakang memintas motosikal yang ditunggang sebelum menggilisnya.

“Melihat keadaan treler yang dipandu dalam keadaan menakutkan itu, saya mengalihkan kereta yang sedang berhenti untuk melintas ke seberang jalan.

“Saya sudah menjangkakan sesuatu yang buruk akan berlaku apabila melihat keadaan lori treler yang memintas motosikal terbabit dan ternyata jangkaan saya benar,” katanya.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan, Superintendan Shafien Mamat, ketika dihubungi mengesahkan kejadian.

“Saya memohon kerjasama daripada orang ramai yang melihat kejadian terbabit tampil di mana-mana balai polis berhampiran untuk memberi maklumat bagi membantu siasatan dan kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Sumber: SHarian


Mangsa ambulan terbalik


SUNGAI LALANG – Mangsa ambulan terbalik, Zurinah Ibrahim, 48, kesal apabila tidak mendapat penjelasan berhubung insiden berkenaan dan dia kini menghadapi kecederaan patah tulang bahu kiri akibat kejadian 20 Jun lalu itu.

Menurutnya, dia yang menghidap penyakit kanser pundi kencing sedang dalam perjalanan dari Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) Sungai Petani ke Hospital Sultanah Bahiyah Alor Setar bersama seorang wanita mengandung empat bulan, jururawat, pembantu perubatan dan pemandu yang berada dalam ambulan itu terlibat dalam kemalangan apabila dilanggar oleh sebuah kereta.

“Akibat pelanggaran itu, tulang bahu kiri saya patah dah dikatakan hanya mengambil masa enam minggu untuk sembuh,” katanya kepada Sinar Harian.

Zurinah yang juga ibu tunggal sejak 11 tahun lalu berkata, dia dijangka menjalani pembedahan kanser pada 3 Julai depan dan masih trauma dengan kejadian kemalangan berkenaan.

“Disebabkan kecederaan ini, saya tidak boleh bekerja untuk mencari pendapatan dan hanya menggunakan bantuan kebajikan, namun tidak cukup memandangkan saya mempunyai tiga anak yang masih bersekolah berusia antara 11 hingga 16 tahun,” katanya.

Zurinah berkata, sekiranya ada pihak tertentu yang bersimpati atau ingin menghulurkan bantuan, boleh ke alamatnya di No 8 Lorong Jati 45B, Taman Bandar Baru Sungai Lalang atau terus dail 012-5664043.

Sementara itu, Pengarah HSAH, Dr Harif Fadzilah Che Hashim berkata, pihaknya mengemukakan laporan lengkap insiden berkenaan kepada Kementerian Kesihatan untuk tindakan lanjut.

“Pihak HSAH juga akan menampung segala kos rawatan dan perbelanjaan hospital untuk Zurinah,” katanya.

Selain itu, Penyelaras Parlimen Merbok, Datuk Tajul Urus Md Zain turut prihatin melawat Zurinah dan berjanji akan memberi surat sokongan kepada Kementerian Kesihatan berhubung perkara itu.

Sumber: Sinar Harian

Penguna Jalan Klawang-Titi Perlu Berhati-hati


PETALING - Orang ramai yang menggunakan Jalan Klawang-Titi diminta memandu dengan berhati-hati ekoran tiga kejadian kemalangan yang berlaku sepanjang dua minggu lalu di mana dua daripadanya melibatkan kemalangan maut.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chennah, Datuk Siow Chen Pin berkata, dua kematian yang berlaku melibatkan seorang anggota polis dari Balai Polis Titi dan seorang warga emas berketurunan Cina yang meninggal Ahad lalu.

Menurutnya, kemalangan terbaru yang berlaku pagi tadi di simpang masuk ke Kampung Seperi di mana seorang lelaki Cina berusia sekitar 30-an dilanggar sebuah kereta ketika keluar dari simpang berkenaan.

“Kejadian yang berlaku kira-kira jam 8.30 pagi itu menyebabkan lelaki berkenaan cedera parah di kepala dan dihantar ke Hospital Jelebu sebelum dibawa ke Hospital Besar Seremban,” katanya.

Chen Pin berkata, kemalangan yang berlaku di kawasan terbabit tidak boleh dipandang ringan kerana dua dari tiga kejadian melibatkan kematian.

“Perkara ini telah dibangkitkan pada Mesyuarat Jawatankuasa Tindakan Daerah Jelebu bagi menggesa pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) dan polis mengambil tindakan bagi mengurangkan kadar kemalangan maut.

“Saya mencadangkan agar had laju di kawasan berkenaan dihadkan kepada 70 km/j dan garisan kuning perlu dibuat lebih tebal di jalan raya itu bagi mengurangkan kelajuan kenderaan,” katanya.

Chen Pin berkata demikian selepas merasmikan Mesyuarat Agung Koperasi Peserta Felda Titi Jelebu Berhad Kali Ke-15 di Dewan Sekolah Agama Rakyat Felda Titi, dekat sini,

Hadir sama, Pengerusi Felda Titi, Salahuddin Mat; Penolong Pegawai Hal Ehwal Ekonomi Wilayah Jelebu Suruhanjaya Koperasi Malaysia Cawangan Negeri Sembilan, Yustri Andalis Zahar dan Pengerusi Lembaga Pengarah Lembaga Pengarah Koperasi Peserta Felda Titi Berhad, Nasir Suradi.

Dalam pada itu, Chen Pin berkata, selain kenderaan awam, lori pengangkut pasir dari Sungai Muntoh yang didakwa dipandu laju turut membahayakan nyawa pengguna jalan raya di kawasan itu.

“Kita turut meminta JKR mempercepatkan kerja membina longkang di simpang masuk ke Kampung Seperi kerana ia seperti terbengkalai kerana setiap kali melalui kawasan berkenaan, saya dapati kerja pembinaan tidak dijalankan.

“Keadaan jalan di kawasan berkenaan amat merbahaya khususnya pada waktu malam kerana tiang lampu di pintu masuk jalan dicabut seketika untuk membina longkang,” katanya.

 
Sumber: Sinar Harian

Terbabas Elak Lembu


MASJID TANAH - Gara-gara mengelak beberapa ekor lembu yang menghalang jalan, seorang lelaki berumur dalam lingkungan 30-an nyaris maut, apabila kereta Toyota Vios yang dipandu terbabas ke kiri jalan di Jalan Perindustrian Londang, Pengkalan Balak, dekat sini, awal pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 3 pagi itu, mangsa yang ingin dikenali sebagai Ah Chai, dikatakan dalam perjalanan ke kedai 7 Eleven berdekatan untuk membeli rokok dari arah Masjid Tanah ke Jalan Perindustrian Londang, bagaimanapun dia terkejut sebaik mendapati sekumpulan lembu menghalang jalan.

Ah Chai berkata, sebaik memasuki satu simpang kanan ke jalan perindustrian itu, terdapat lima ekor lembu yang menghalang jalan.

Menurutnya, dia sangat terkejut dan menyebabkan dia bertindak mengelak haiwan itu ke kanan jalan.

“Disebabkan panik, saya gagal menekan brek kereta dan terus meredah jalan berumput sebelum kereta saya merempuh tembok penghadang jalan dan tersangkut pada parit besar di situ menyebabkan depan kereta saya remuk.

“Saya bernasib baik kerana kereta terhenti disebabkan ada tembok penghadang itu dan tayar tersangkut pada longkang besar, jika tidak sudah pasti saya merempuh pintu kedai di hadapan apabila gagal mengawal kenderaan tadi,” katanya.

Saksi kejadian yang ingin dikenali sebagai Yasin, 35, berkata, dia dan seorang rakannya menyedari kereta mangsa tersangkut di penghadang jalan ketika mereka hendak ke kedai 24 jam itu untuk membeli barang.

Menurutnya, mereka yang menaiki motosikal terus berhenti di hadapan kenderaan itu dan berasa hairan kenapa ia diparkir sedemikian.

“Ketika itu, baru saya sedar ada seorang lelaki tersandar dalam kereta dan tidak keluar walaupun tidak tersepit. Dia mungkin ketakutan jika diapa-apakan serta terdapat darah pada mukanya.

“Apabila melihat kami ada di situ dan bertanyakan keadaannya, baru dia bertindak keluar dan menghubungi keluarganya yang tiba tidak berapa lama selepas itu. Beberapa pengguna jalan lain turut berhenti untuk membantu,” katanya.

Sumber: Sinar Harian

Tuesday, June 28, 2011

Aznil Masih Koma


KOTA BHARU 27 Jun - "Saya hanya ingat mati ketika nampak kereta dari depan terbabas dan berpusing-pusing sebelum dirempuh lori yang saya pandu," ujar pemandu lori ais, Zabri Hussein, 29.

Dia yang patah paha dan lutut kanan dalam nahas itu, mengakui trauma mengingati detik-detik tragis kenderaan dipandunya bertembung dengan kereta Proton Iswara di Kilometer 15, Jalan Kota Bharu-Pasir Mas kelmarin, menyebabkan tiga pelajar Kolej Islam Sains Teknologi (KIST) kampus Bachok terbunuh.

Akibat kejadian kira-kira pukul 11 malam itu, bahagian hadapan lorinya remuk dan dia tersepit pada bahagian stereng sebelum dikeluarkan anggota Bomba dan Penyelamat dan dihantar ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) di sini untuk rawatan.

Mengimbau kembali nahas itu, Zabri yang sudah berumah tangga berkata, akibat kemalangan cermin hadapan lorinya pecah dan dia nampak kelindannya, Azri Mat Nawi, 24, tercampak keluar tetapi hanya cedera ringan.

Menurutnya, ketika kejadian dia yang bekerja dengan sebuah syarikat membekalkan air batu, dalam perjalanan pulang ke Tanah Merah selepas menghantar bekalan di Kubang Kerian dekat sini.

Jelasnya, sejurus sampai di Salor iaitu kawasan kemalangan, dia nampak kenderaan dinaiki penuntut terbabit memotong empat kenderaan lain sebelum terbabas ke laluan bertentangan dan berpusing-pusing beberapa kali lalu bertembung dengan lori yang dipandunya.

"Sejurus selepas kemalangan, suasana hening dan sepi, tidak kedengaran apa-apa daripada kereta tersebut," katanya.

Dalam kemalangan itu, tiga pelajar KIST, Shaiful Jawahir Razali, Mohammad Aliff Mohd. Suhaimi dan Sheikh Muhammad Farhan Shikh Md. Saud kesemuanya berusia 19 tahun, maut di tempat kejadian.

Seorang lagi rakan mereka, Muhammad Aznil Afnan Ariffin, 19, dari Pengkalan Chepa, parah dan masih belum sedarkan diri di Unit Rawatan Rapi Hospital Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian.

Menurut ibu Muhammad Aznil, Samsiah Che Ismail, 41, anak sulung daripada tiga beradik itu, masih koma akibat cedera teruk di kepala dan muka.

Samsiah berkata, sebaik sahaja suaminya, Ariffin Abdullah, 46, wadar penjara di Pengkalan Chepa mendapat berita tersebut, mereka bergegas ke HUSM.

"Walaupun luluh hati saya melihat keadaannya yang parah namun tetap bersyukur kerana dia masih dipanjangkan umur sedangkan tiga lagi rakannya meninggal dunia.

"Saya harap dia sedar dari koma, sihat dan boleh menyambung pelajarannya semula di KIST," katanya yang turut menerima kunjungan pelbagai pihak termasuk Pengurus Hal Ehwal Pelajar KIST kampus Bachok, Mohd. Sapuan Awang.


Sumber dari Sinar Harian pula, Menurut  Pengurus Hal Ehwal Pelajar (HEP) Kampus KIST, Mohd Sapuan Awang berkata, pengurusan KIST kini bersama Majlis Perwakilan Kolej kini mewujudkan Tabung Bencana di kalangan warga kolej termasuk pelajar dan kakitangan.

“Semua pelajar dilindungi insurans kematian dan kemalangan (Uniasia) dan agensi berkenaan akan membuat keputusan berhubung kes berkenaan nanti.

“KIST setakat ini memberikan bantuan segera RM500 untuk setiap keluarga dan RM1,000 lagi bagi pengurusan jenazah setiap daripada mereka yang meninggal dunia dan untuk mangsa ini (Aznil), pihak kami akan memberi bantuan berkenaan,” katanya.

Malam Sabtu lalu, tiga penuntut KIST meninggal dunia dalam kemalangan selepas menghantar rakan mereka, Safuan setelah pelajar itu (Safuan) menerima panggilan bapanya sakit tenat di Kampung Galak, Chetok, Pasir Mas.

Sumber: Utusan Malaysia
              Sinar Harian


Akibat Tayar Pancit Lori Ais Terbalik


PASIR MAS – Seorang pemandu lori ais di sini, cedera ringan apabila lori yang dipandunya terbalik dan merempuh bahagian hadapan gerai, berdekatan persimpangan ke Hospital Pasir Mas, semalam.

Pemandu berkenaan yang enggan dikenali berkata, dia yang dalam perjalanan dari Pasir Mas ke Rantau Panjang, kejadian itu berlaku apabila tayar belakang bahagian kiri pancit.

Ini menyebabkan dia hilang kawalan dan lori bergesel di atas jalan sebelum melanggar gerai berhampiran.

“Mujurlah gerai berkenaan belum dibuka jika tidak, pasti peniaga dan pengunjung mendapat kecederaan,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Sementara itu, peniaga, Mariam Sulaiman, 48, berkata, dia turut risau mengenai keselamatannya jika pemandu di sini, mengabaikan keselamatan diri dan masyarakat setempat.

“Ramai yang memandu secara merbahaya malah melebihi had laju yang ditetapkan, sedangkan laluan ini digunakan oleh ramai penduduk,” katanya.

Sumber: Sinar Harian

Polis Maut Dirempuh Kereta

Al-Fatihah...
JELEBU 27 Jun - Seorang anggota polis berpangkat lans koperal maut apabila motosikal yang ditungganginya dirempuh sebuah kereta terbabas di Kilometer 3.4, Jalan Kuala Klawang-Titi dekat sini malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 10.45 malam itu, mangsa, Nooramin Tarmizi, 27, yang berasal dari Taiping, Perak mati di tempat kejadian berikutan kecederaan parah di kepala dan seluruh anggota badan.

Jurucakap polis berkata, kejadian itu dipercayai berlaku selepas sebuah kereta yang datang dari arah bertentangan gagal dikawal sebelum terbabas lalu merempuh motosikal mangsa.

"Berikutan rempuhan itu, mangsa tercampak dan mati di tempat kejadian. Mangsa yang sudah berkahwin dan mempunyai seorang anak dipercayai dalam perjalanan dari rumahnya di Taman Petaling di sini menuju ke Balai Polis Titi," katanya di sini hari ini.

Menurut jurucakap berkenaan, mayat mangsa dihantar ke Hospital Jelebu untuk bedah siasat sebelum dituntut ahli keluarganya.

Sementara itu, Pegawai Turus Trafik negeri, Asisten Supritendan Abdul Halil Hamzah, ketika dihubungi di sini hari ini mengesahkan kejadian itu.

Menurutnya, polis masih menyiasat punca sebenar kemalangan tersebut.



Daihatsu Charade vs Toyota LE


Al-Fatihah...

SUNGAI DAUN - Dua maut dalam kemalangan yang berlaku di Batu 14 membabitkan dua kereta dari arah bertentangan.

Jurucakap polis berkata, kemalangan yang berlaku berlaku kira-kira jam 2.47 petang, semalam yang melibatkan sebuah kereta Daihatsu Charade berlanggar dari arah bertentangan dengan sebuah lagi kereta Toyota LE.

“Kereta Dahaitsu yang dipandu Azhar Ahmad, 40, dari arah Alor Setar menghala ke Yan berlanggar dengan sebuah lagi kereta Toyota dari arah bertentangan yang membawa tiga penumpang dan seorang pemandu.

“Dipercayai kereta Toyota itu masuk ke laluan bertentangan dan melanggar kereta yang dipandu Azhar,” katanya kepada Sinar Harian.

Menurutnya, dalam kemalangan terbabit Azhar dan seorang penumpang Toyota yang duduk di bahagian belakang, Harun Othman, 58, dilaporkan meninggal dunia di tempat kejadian.

“Pemandu Toyota dan seorang penumpang dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah Alor Setar manakala seorang penumpang lagi di hantar ke Hospital Yan untuk mendapatkan rawatan lanjut dan keadaannya dilaporkan stabil.

“Kedua-dua mangsa kemalangan yang meninggal dunia dibawa ke Hospital Yan,” katanya.

Ketua Polis Daerah Yan, Deputi Superintendan Ismail Abu mengesahkan kejadian terbabit.

Bapa kepada Azhar, Ahmad Yahya, 70, berkata, kali terakhir dia bertemu dengan anaknya ialah semalam ketika mangsa yang bekerja sebagai tukang rumah datang ke rumahnya untuk mengambil barang-barang keperluan untuk membina rumah.

“Saya mendapat berita kemalangan yang melibatkan anak saya daripada adiknya, setelah mendapat berita ini saya terus bergegas ke tempat kejadian. Pada waktu itu pihak bomba sedang mengeluarkan mangsa dari sebuah lagi kereta.

“Dia adalah anak keempat daripada 10 orang adik beradik. Sebelum kejadian ini Azhar tidak menunjukkan sebarang tingkah laku yang pelik dan dia berbual seperti biasa sahaja,” katanya.

Ahmad berkata, Azhar semasa kejadian dalam perjalanan untuk pulang ke rumahnya di Batu 17 daripada tempat kerjanya di Padang Pusing.

Saksi yang melihat kejadian ini diminta menghubungi Ketua Bahagian Ketenteraman Awam dan Trafik Daerah Yan, Asistan Superintendan Ahmad Salimi Md Ali di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Yan menerusi talian 04-4655222 bagi siasatan lanjut.

Sumber: Sinar Harian

Monday, June 27, 2011

Dihumban Mat Rempit

Dihumban ke dalam gaung 
 
KUALA TERENGGANU - Gara-gara meminta kerjasama sekumpulan ‘mat motor’ mengalihkan motosikal untuk memberi laluan kepada lori dipandu, seorang pemandu lori menerima padah selepas dibelasah dan dicampakkan ke dalam gaung dalam satu kejadian di Kampung Seberang Marang, Marang, awal pagi kelmarin.

Akibat kejadian tragis itu, mangsa, Zulkifli Sulung, 45, dari Shah Alam cedera parah di muka, pendarahan di mata kiri serta lebam di badan kesan dipukul dengan topi keledar dan cota oleh kumpulan ‘mat motor’ lebih 10 orang itu.

Menurutnya, kejadian berlaku jam 4.45 pagi ketika dia bersama seorang rakannya membawa muatan barangan untuk dihantar ke kedai serbaneka 24 jam di situ.

“Sebaik tiba di lokasi terbabit, kumpulan ‘mat motor’ itu sedang melepak dan disebabkan lori saya sukar melalui laluan sempit itu, saya meminta kerjasama mereka mengalihkan motosikal diparkir. Namun, permintaan saya tidak diendahkan,” katanya.

Zulkifli berkata, disebabkan kumpulan ‘mat motor’ terbabit enggan memberi kerjasama, dia mengalihkan sendiri motosikal itu.

“Namun, sejurus saya mengalihkan motor itu, pemiliknya memberontak dan memaki hamun saya. Dalam masa sama, dia menghubungi rakannya dan beberapa minit kemudian, sebuah kereta tiba lalu menyerang saya.

“Mereka menutup muka saya dengan kain dan saya dibelasah teruk walaupun merayu meminta maaf,” katanya.

Menurutnya, selepas dibelasah, kumpulan itu membawanya masuk ke dalam kereta dan diletakkan di tempat letak kaki dan dipijak.

“Ketika itu, saya hanya ingat mati. Saya tidak berdaya melawan kerana mereka terlalu ramai sedangkan saya seorang. Manakala rakan saya tidak boleh berbuat apa-apa � kerana takut,” katanya.

Zulkifli berkata, dia dibawa ke kawasan perindustrian Bukit Koh, Marang dan dia dicampakkan ke dalam gaung.

“Sebelum dicampak, mereka sempat membelasah dan merampas telefon bimbit serta beg duit saya,” katanya.

Zulkifli berkata, dia terpaksa merangkak dalam kesakitan sejauh kira-kira satu kilometer untuk mendapatkan bantuan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Marang, Deputi Superintendan Ahmad Mazlan Yahaya mengesahkan menerima laporan dan kes disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan.

Sumber: Sinar Harian

Mohon Laluan Sempit Gopeng Dilebarkan


GOPENG - Selekoh tajam dan sempit di hadapan Pusat Giat Mara, di sini membimbangkan pengguna apatah lagi jalan berkenaan turut dilalui kenderaan berat yang keluar masuk dari Lebuhraya Utara Selatan.

Seorang pengguna, Ezad Anuar, 23, berkata, laluan yang sedia sesak itu bertambah kritikal berikutan selekoh berada berhampiran balai bomba dan lampu isyarat.

Menurutnya, kesesakan paling teruk berlaku pada waktu pagi kerana ramai pekerja menggunakan laluan itu untuk ke tempat kerja.

"Jumlah kenderaan yang semakin bertambah antara penyumbang kepada kesesakan laluan ini, apatah lagi pertukaran lorong daripada tiga menjadi satu di selekoh itu membuatkan segelintir pemandu tidak peka dengan keselamatan pengguna lain.

"Kebanyakannya pemandu terpaksa memberhentikan kenderaan mereka secara mengejut sebaik tiba di laluan berkenaan," katanya kepada Sinar Harian.

Ezad berkata, pembangunan pesat di Gopeng dan kawasan berhampiran mengakibatkan bandar Gopeng menjadi laluan utama pengguna yang meneruskan destinasi sama ada ke Ipoh atau ke Kuala Lumpur.

Pihaknya mencadangkan agar laluan di selekoh berkenaan dilebarkan bagi mengelak sebarang kemalangan yang tidak diingini berlaku.

“Mungkin jalan di selekoh itu dapat dilebarkan supaya kenderaan yang datang dari arah Jeram tidak masuk ke laluan bertentangan.

“Jadi kita pohon Jabatan Kerja Raya (JKR) untuk mengkaji semula perkara ini memandangkan banyak insiden yang tidak diingini berlaku yang membahayakan pengguna lain,” katanya.

Sumber: SH

Garisan Jalan Mersing – Endau Perlu Dicat Semula


MERSING - Jalan utama menuju Mersing – Endau berhampiran persimpangan lampu isyarat Siapu di sini menimbulkan kekeliruan kepada pengguna jalan raya berhubung laluan berikutan keadaan garisan pembahagi jalan yang hampir tidak kelihatan.

Pengguna jalan raya, Amri Yahya,30, berkata, laluan yang tidak mempunyai pembahagi jalan mengundang pelbagai masalah kepada pengguna terutamanya pada waktu malam.

Menurutnya, keadaan itu sedikit sebanyak menimbul kekeliruan kepada pengguna yang sering menggunakan lalu

“Hanya sedikit sahaja yang kelihatan pembahagi garisan jalan perkara ini menimbulkan masalah kerana laluan ini adalah laluan utama menuju ke Endau Rompin”, katanya.

Justeru itu, kerja-kerja membuat dan mengecat semula garisan jalan perlu dilakukan n segera dan berharap pihak berkenaan mengambil tindakan sepatutnya.

“Keadaan itu agak membimbangkan pada pengguna walaupun terdapat kemudahan lampu jalan raya.

“Dengan adanya garisan pembahagi jalan yang jelas, ia dapat memudahkan pengguna semasa waktu malam ketika memotong kenderaan lain,” katanya.

Katanya, tindakan segera perlu dalam usaha kerajaan menyediakan kemudahan awam dengan sempurna untuk keselamatan semua pihak seterusnya tidak mendatangkan risiko kemalangan.

Selain itu, garisan di bahu jalan turut tidak kehilangan yang pastinya menyukarkan pengguna untuk memberhentikan kenderaan sekiranya berlaku sebarang kecemasan.

Sumber: SH

Warga Emas Maut Lintas Jalan


SUNGAI BESAR - Seorang warga emas akhirnya meninggal dunia selepas bertarung nyawa hampir lima jam apabila terlibat dalam kemalangan di sini.

Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintendan Noor Mushar Mohamad berkata, mangsa meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di wad kecemasan Hospital Tengku Ampuan Jemaah (HTAJ) Sabak Bernam kira-kira jam 4.01 petang semalam.

“Mangsa Peyah Darmawan, 76, dari Parit Satu 1/2 Timur ketika itu berjalan kaki pulang dari majlis kenduri kahwin berhampiran dilanggar motosikal ketika melintas jalan.

“Kemalangan itu menyebabkan mangsa cedera parah di kepala dan dipercayai meninggal dunia kerana mengalami pendarahan dalaman di kepala,” katanya.

Sementara itu, menurutnya dalam kejadian berkenaan, penunggang motosikal, 16, tidak mengalami sebarang kecederaan.

Penunggang terbabit dalam perjalanan dari Parit Dua ke Parit Dua 1/2 dipercayai untuk pergi ke majlis yang sama.

Noor Mushar berkata, pengguna jalan raya terutamanya penjalan kaki perlu mengutamakan keselamatan sebelum melintas jalan.

“Jangan melintas sesuka hati dan perlu berjalan secara melawan arus sebagai langkah keselamatan.

“Jika waktu malam pastikan memakai pakaian berwarna cerah atau membawa lampu suluh untuk membolehkan kenderaan lain melihat kita,” katanya.

Katanya, penunggang motosikal juga turut berisiko terlibat dalam kemalangan jalan raya dan perlu memastikan lampu motosikal sentiasa berfungsi.

“Kegagalan lampu berfungsi terutama pada waktu malam menyebabkan boleh membahayakan pengguna jalan raya yang lain,” katanya.

Sumber: Sinar Harian

Ratapan Tiga Pelajar KIST Maut

Al-Fatihah..

KOTA BHARU: “Maafkan aku Aliff! Maafkan aku!” kata Shafuan Haqim Othman, 18, sambil memegang erat tangan Mohammad Aliff Mohd Suhaimi, 19, ketika jenazah rakannya itu dibawa masuk ke dalam van jenazah di bilik mayat Jabatan Perubatan Forensik Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), di sini, semalam.

Kejadian kira-kira jam 11.30 pagi itu berlaku ketika pelajar Kolej Islam Sains & Teknologi (KIST), Kampus Utama Ibnu Sina, Kandis, Bachok, dekat sini, datang ke perkarangan bilik mayat HRP II untuk melihat jenazah tiga rakannya yang maut dalam kemalangan di Kilometer 15, Lebuhraya Kota Bharu-Pasir Mas, di sini, malam kelmarin.

Tanpa menghiraukan kehadiran orang ramai di situ, pelajar terbabit tidak mampu menahan sebak sebelum meraung berdekatan jenazah rakannya itu kerana menganggap dia sebagai punca kemalangan terbabit selepas menghantar arwah Mohammad Aliff pulang ke rumahnya di Kampung Galok, Pasir Mas, pada malam kejadian.

Dia sekali lagi meraung di luar kawasan bilik mayat itu menyebabkan beberapa rakannya menenangkannya sebelum dibawa ke bilik solat hospital itu bagi meredakan keadaan.


Shafuan yang juga pelajar diploma pembantu farmasi semester tiga meminta maaf kepada setiap ahli keluarga rakannya itu sambil meraung dengan menyalahkan dirinya sebagai punca kemalangan.

Bagaimanapun, ibu Allahyarham Shaiful Jawahir Razali, 20, Hasmah Bakar, 61, dengan tenang cuba mententeramkan Shafuan dengan memintanya tabah kerana nahas itu berlaku bukan atas kehendaknya, sebaliknya sudah ketentuan Tuhan.

Dalam pada itu, ibu Allahyarham Mohammad Aliff, Azmah Yusof, 43, turut sebak sebaik melihat jenazah anaknya diusung ke van jenazah sambil berkata: “Sayang ummi (ibu), bawa perlahan-lahan!” bagaikan mahu memberi nasihat kepada anaknya supaya lebih berhati-hati meskipun sedar zuriatnya itu sudah meninggal dunia.

Dalam kejadian malam kelmarin, niat murni empat sahabat menghantar rakan mereka pulang menziarahi ayahnya yang sakit bertukar tragedi memilukan apabila tiga daripada mereka maut, manakala tiga yang lain parah selepas kereta mereka terbabit kemalangan dengan sebuah lori air batu.

Kemalangan kira-kira jam 11 malam itu mengakibatkan tiga pelajar KIST, Kampus Utama Ibnu Sina, Kandis, Bachok, dekat sini, Shaiful Jawahir Razali yang juga pemandu kereta, Sheikh Muhammad Farhan Shikh Md Saud, 19, dan Mohammad Aliff meninggal dunia di tempat kejadian.

Seorang rakan mereka, Muhammad Aznil Mohd Suhaimi bersama pemandu lori air batu dikenali Zamri, 29, dan rakannya berusia 20-an, parah dan dikejarkan ke Hospital Pasir Mas dan HRPZ II untuk mendapatkan rawatan.

Difahamkan, sebelum kejadian Shafuan meminta bantuan Aliff menghantarnya pulang ke rumah di Kampung Galok, Pasir Mas, dengan menaiki Proton Iswara berikutan keadaan kesihatan ayahnya kurang memuaskan selepas menghidap gastrik serta sesak nafas.

Allahyarham Mohammad Aliff bersama tiga rakannya menghantar Shafuan dan mereka menikmati hidangan mi goreng serta rambutan disediakan keluarga Shafuan sebelum pulang ke asrama kira-kira jam 10.30 malam.

Tidak sampai setengah jam bertolak pulang, kenderaan dipandu Shaiful Jawahir yang cuba memotong sebuah kenderaan terbabas dan memasuki laluan bertentangan sebelum bertembung sebuah lori air batu.

Menceritakan detik pertemuan terakhir bersama rakan-rakannya itu, Shafuan berkata, dia tergerak untuk pulang ke rumah pada malam kejadian selepas dihubungi kakaknya yang memaklumkan ayah mereka, Othman Deraman, 60, sakit di rumah.

“Tidak sedap hati, saya minta bantuan Aliff kerana dia mempunyai kereta. Tanpa saya sedari, tiga rakan lain mahu mengikut sama dan kami bergerak menaiki Proton Iswara dari asrama di Taman Dahlia, kira-kira jam 8.15 malam.

“Sebaik tiba di rumah, semua rakan dijamu hidangan ringkas disediakan kakak dan menjenguk keadaan ayah selepas dibawa mendapatkan rawatan di sebuah klinik swasta akibat sakit dada dan gastrik pada petang kejadian,” katanya.

Menurutnya, semua rakannya meminta diri untuk pulang ke asrama kira-kira jam 10.30 malam.

“Pagi tadi (semalam) saya dimaklumkan seorang rakan bahawa tiga kawan kami maut nahas. Berderau darah saya, tetapi menyangka itu gurauan.

“Saya lihat perwatakan mereka (rakan-rakan) agak berbeza kerana ketika menghantar saya, mereka tak banyak bercakap, cuma ada sesekali perbualan kami diselangi gelak ketawa,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Azham Othman, berkata kemalangan berlaku ketika kereta dipandu mangsa dari Kampung Galok, Pasir Mas ke Kota Bharu cuba memotong sebuah kenderaan di hadapannya sebelum terbabas dan bertembung sebuah lori dari arah bertentangan.

Katanya, kemalangan itu mengakibatkan tiga maut dan tiga yang lain parah sebelum dikejarkan ke hospital dan siasatan dilakukan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Sumber dari Sinar Harian pula, “Mereka yang baru seminggu memulakan sesi pengajian semester tiga terlibat kemalangan di Jalan Pasir Mas-Salor setengah jam selepas itu,” katanya.

Menurutnya, Kolej Islam Sains dan Teknologi (KIST) beri bantuan segera RM500 untuk setiap keluarga dan RM1,000 lagi setiap keluarga akan menyusul bagi menampung kos pengurusan jenazah.

Katanya, pihak KIST turut membantu keluarga dalam urusan jenazah di Hospital Raja Perempuan Zainab II.

Sumber : myMetro
               Utusan Malaysia
               Sinar Harian




        

Sunday, June 26, 2011

Maut Selepas Perlawanan Hoki


REMBAU – Bukan sahaja terbabas, sebaliknya kenderaan yang terbabit dalam kemalangan di Kilometer 240.3 Lebuhraya Utara - Selatan, berdekatan Plaza Tol Pedas, di sini, semalam turut terperosok antara dua tiang papan tanda di tepi lebuh raya, sebelum terseret sejauh kira-kira 10 meter ke dalam longkang. ( Sumber Utusan mengatakan terseret sejauh sejauh 70 meter )

Dalam kejadian kira-kira 3 petang itu, kenderaan dinaiki lima mangsa dikatakan dalam perjalanan pulang ke Lumut, Perak selepas seorang daripada penumpang kenderaan berkenaan, Ramlan Pilus, 29, selesai menyertai perlawanan hoki di Melaka.



Akibat kemalangan itu, Ramlan meninggal dunia di tempat kejadian, selain seorang kanak-kanak dikenali sebagai Nurul Amynadjwa Mohd Latip, 2, yang juga anak rakan Ramlan yang turut serta dalam kenderaan berkenaan.

Bapa tiga anak itu berasal dari Gemencheh adalah anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dikatakan menumpang kenderaan rakannya itu yang juga anggota tentera dan berkonvoi bersama beberapa kenderaan lain ke Lumut.

Ketika kejadian, Ramlan dipercayai memandu kenderaan berkenaan.

Jurucakap polis berkata, selain itu, tiga lagi mangsa yang turut berada dalam kenderaan berkenaan cedera parah dan dikejarkan ke Hospital Tunku Jaafar (HTJ), Seremban untuk rawatan lanjut.

Ketiga-tiga mangsa dirawat di HTJ dikenali sebagai pasangan suami isteri, Mohd Latip Ismail, 33, dan Ruzilawati Majid, 33, serta Mohd Ifdaniel Mohd Latip, 5.

Sementara itu, abang kepada Ramlan, Rosdi Pilus, 36, berkata, arwah bersama rakannya menyertai perlawanan hoki di Melaka dan sempat melawat nenek mertuanya di Hospital Melaka selepas perlawanan berkenaan, semalam.


“Arwah sempat bertemu isteri dan tiga anaknya yang turut datang melawat nenek mertuanya itu, sebelum bertolak ke Lumut tadi (semalam).

“Cuma, seorang anaknya seolah-olah tahu arwah akan pergi apabila tidak mahu melepaskan bapanya itu untuk pulang ke Lumut," katanya.

Rosdi berkata, kali terakhir dia bertemu adiknya itu ketika majlis perkahwinan seorang adiknya di Gemencheh, Ahad lalu.

“Kami lapan beradik memang rapat dan arwah seorang adik yang sangat ambil berat mengenai keluarga.

“Saya terperanjat menerima panggilan daripada seorang rakan arwah mengatakan arwah meninggal dalam satu kemalangan,” katanya.

Rosdi berkata, arwah adiknya itu akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Sri Asahan, Gemencheh, selepas solat Zohor hari ini.

Sumber dari Utusan Malaysia pula, Jurucakap polis berkata, MPV itu terbabas ke tepi lebuh raya sebelum terbalik dan terseret sejauh 70 meter sehingga terhumban ke dalam longkang berhampiran.

Kemalangan yang dalam perjalanan dari arah selatan menuju ke utara itu gagal dikawal kerana dipercayai dipandu laju menyebabkannya terbabas.


Sumber: Sinar Harian
             Utusan Malaysia

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Headlines

FeedBurner FeedCount

Blogged.my