loading...

Saturday, May 14, 2011

Kadar maut jalan raya NS menurun



SEREMBAN 13 Mei - Angka korban akibat kemalangan jalan raya sepanjang tempoh Januari hingga April lepas di seluruh negeri ini menurun berbanding tempoh yang sama pada tahun lalu.

Pengarah Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) negeri, Mohd. Rusdi Ismail berkata, berdasarkan statistik, perbandingan tersebut menyaksikan 36 kes kematian jalan raya bagi negeri ini menurun sepanjang tempoh tersebut.

"Bagi tahun lalu, negeri ini mencatatkan sebanyak 141 kes maut jalan raya sepanjang awal Januari hingga April, manakala dalam tempoh yang sama tahun ini kadar tersebut menurun kepada 105 kes," katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini hari ini.

Jelasnya, hampir 60 peratus daripada angka korban itu mewakili pembonceng dan penunggang motosikal yang terlibat dengan kemalangan jalan raya di seluruh negeri ini.

"Sementara 40 peratus daripada jumlah tersebut merupakan individu yang terkorban membabitkan kenderaan lain seperti kereta, lori, bas, van termasuk pejalan kaki,'' jelasnya lagi.

Dalam perkembangan lain, Mohd. Rusdi memberitahu, lebih 400 pelajar termasuk murid dari sekolah menengah dan rendah di seluruh negeri ini akan menyertai pertandingan lalu lintas Shell peringkat negeri pada 18 hingga 20 Mei ini.

Terselamat, Beg Udara Berfungsi

 
TENGGAROH - Seorang wanita terselamat daripada maut kerana beg udara keretanya berfungsi dengan baik setelah keretanya dirempuh sebuah lori dari arah bertentangan kira-kira 50 meter dari simpang Felda Tenggaroh 1, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 1.30 petang kelmarin, mangsa yang berumur lingkungan 30an dan memandu kereta Honda City diselamatkan orang ramai yang membantunya akibat tersepit di tempat duduk.

Pemandu lori, Ahmad Nur Mohi , 30 an, berkata, kejadian berlaku apabila lori yang dipandunya cuba mengelak sebuah kereta Proton Wira yang keluar dari simpang Felda Tenggaroh 1.

“Pada waktu itu, hujan renyai dan saya dalam perjalanan pulang dari Tanjung Leman menuju ke Pasir Gudang. Sampai sahaja di simpang berkenaan, sebuah Proton Wira keluar dengan laju.

“Saya cuba mengelak kereta berkenaan tetapi hilang kawalan dan berlanggar dengan kereta mangsa,” katanya kepada Sinar Harian di tempat kejadian.

Ahmad Nur berkata, dia bersyukur kerana terselamat dalam kejadian berkenaan dan tidak mengalami kecederaan teruk.

Menurutnya, mangsa kemudiannya dibawa ke Klinik Kesihatan Felda Tenggaroh 2 untuk rawatan lanjut dan dilaporkan dalam keadaan stabil.

Terserempak nahas sepupu


ALOR GAJAH - Seorang wanita dalam perjalanan pulang ke rumah dari tempat kerjanya tidak menyangka kemalangan maut yang ditemui di Jalan Kampung Paku, Kelemak menuju ke Lendu, semalam membabitkan sepupunya.

Dalam kejadian kira-kira 5.05 petang itu, Nurul Asyikin Saharudin, 23, dalam perjalanan pulang dari Kolej Yayasan Alor Gajah menuju ke Bukit Beringin, Masjid dengan menaiki kereta.

Pada mulanya, dia hanya menyedari terdapat sebuah ambulans berselisih dengan kenderaannya.

“Semasa dalam kereta, saya berselisih dengan sebuah ambulans, diikuti sebuah kereta Perodua Kelisa milik abang mangsa. Masa itu, saya merasakan ada sesuatu yang tidak kena.

“Tidak lama selepas itu, baru saya terserempak dengan kemalangan. Saya dapati sebuah kereta jenis Proton Gen2 dengan serpihan kaca cermin kereta berkenaan bertaburan atas jalan raya akibat melanggar sebuah motosikal jenis Honda EX-5.

“Bagaimanapun, penunggang motosikal itu sudah dibawa ke hospital,” katanya.

Nur Asyikin berkata, dia tidak berhenti di kawasan kemalangan itu, sebaliknya terus pulang ke rumah.

Bagaimanapun, dia sekeluarga terkejut menerima panggilan telefon kira-kira 7.30 malam yang memaklumkan penunggang motosikal itu adalah sepupunya sendiri, Mohamad Haziq Mohd Yusof.

“Seorang ahli keluarga mangsa menghubungi keluarga saya memaklumkan Mohamad Haziq berada dalam keadaan kritikal di Hospital Alor Gajah, namun meninggal dunia ketika dirawat,” katanya.

Mohamad Haziq, 17, dikatakan dalam perjalanan dari arah Alor Gajah menuju ke Masjid Tanah sebelum bertembung dengan Proton Gen 2 yang datang dari arah bertentangan dipercayai akibat hilang kawalan.

Ketika kemalangan, mangsa yang merupakan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Dol Said, di sini masih berpakaian kokurikulum sekolah.

Sementara itu, bapa mangsa, Mohd Yusof Ninggal, 51, yang juga jurulatih Olahraga Sukan-sukan Malaysia menyifatkan anak ketiga dari empat badik itu sebagai seorang pendiam.

“Arwah tidak menunjukkan sebarang perubahan sebelum ini. Kami tak sangka dia akan meninggalkan kami dalam keadaan penuh tragedi, namun saya redha meskipun seperti tidak percaya,” katanya.

Padah Akibat Keluar Melulu


ALOR GAJAH - Tindakan seorang remaja yang keluar dari kuil secara tiba-tiba ketika bersama keluarganya mengundang padah apabila dia maut dilanggar sebuah lori muatan tiga tan di Jalan Dalong menghala ke Gadek, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira 7.30 petang itu, A Yoganageswary, 15, yang juga pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Pengkalan berada di kuil berdekatan bertindak keluar secara tiba-tiba menunggang motosikal EX5 milik rakan bapanya untuk pulang ke rumah.

Bapanya, Alaho, 30-an, berkata, ketika kejadian, beliau berada di rumahnya di Taman Sebang Gemilang, dimaklumkan oleh seorang rakan yang menyatakan anaknya terbabit dalam satu kemalangan melibatkan sebuah lori.

Menurutnya, beliau tidak mengikut isteri dan anak-anaknya ke di kuil untuk menghadiri majlis keramaian.

“Saya diberitahu anak perempuan saya itu dilanggar sebuah lori tiga tan berwarna putih berdekatan� kuil tempat mereka berkumpul dan salah seorang rakan saya cuba mengejar lori berkenaan tetapi gagal,” katanya.

Alaho berkata, tindakan anaknya yang tiba-tiba keluar dengan menunggang sebuah motosikal rakannya adalah di luar dugaan kerana kebiasaan anaknya itu hanya berada di rumah setiap malam.

“Semasa keluar dari kuil, anak saya tidak memaklumkan kepada sesiapa yang berada bersamanya tetapi motosikal yang ditunggang itu menuju ke arah rumah,” katanya.

Katanya, sebelum ini, anaknya tidak pernah menunjukkan sebarang perubahan sikap dan menerima pemergian anaknya itu dengan hati yang terbuka meskipun kehilangan anak tunggal perempuan.

Yoganageswary yang juga anak sulung daripada tiga beradik itu maut di tempat kejadian apabila mengalami kecederaan parah dan mayat dibawa ke Hospital Melaka untuk dibedah siasat.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Umar Ali Saifuddin Shaharudin ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu.

“Operasi menjejaki pemandu lori terbabit sedang dijalankan dan kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan saksi kejadian diminta tampil memberi keterangan atau menghubungi balai polis trafik Alor Gajah di talian 06-5563222 bagi membantu siasatan,” katanya. 
 

2 Sahabat Maut Rempuh Treler


Al-Fatihah...

KUANTAN - Perjalanan tiga rakan ke Terengganu dipercayai atas urusan perniagaan berakhir tragedi apabila kereta Mercedes Benz yang dinaiki mereka merempuh belakang sebuah lori di Kilometer 232.5 Lebuh Raya Pantai Timur dekat Kuantan, awal pagi semalam.

Dalam nahas maut kira-kira jam 5 pagi itu, seorang ahli perniagaan yang juga pemandu kereta, Muhammad Hilmy Hamzah, 34 berasal dari Kampung Alor Melaka, Pulai Chondong, Kelantan cedera parah di kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.



Rakannya, Aziz Hussin, 49 dari Taman Peserai, Batu Pahat Johor yang berada di tempat duduk penumpang belakang turut terkorban dalam kejadian.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Mohd Jasmani Yusoff berkata, seorang lagi penumpang, Norhasni Ismail, 33 cedera parah.



Menurutnya, mangsa yang dipercayai menetap di Lembah Klang dalam perjalanan dari arah Kuala Lumpur menghala ke Kuantan.

“Ketika tiba di lokasi nahas, kereta yang dipandu Muhammad Hilmy dipercayai hilang kawalan lalu merempuh belakang sebuah lori treler yang bergerak perlahan kerana membawa muatan berat.

“Akibat rempuhan kuat, bahagian hadapan kereta terbabit remuk teruk manakala pemandu dan seorang penumpangnya maut di tempat kejadian,” katanya ketika dihubungi di sini petang semalam.

Mohd Jasmani berkata, mayat kedua-dua mangsa dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan untuk bedah siasat manakala mangsa yang cedera turut dirawat di hospital sama.

“Mayat mangsa dituntut keluarga petang semalam untuk dikebumikan di kampung halaman masing-masing.

“Punca sebenar nahas meragut dua nyawa ini dalam siasatan dan disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Pantang Maut Sebelum Ajal

PELABUHAN KLANG - Melihatkan keadaan treler yang remuk, sudah pasti ramai menyangka pemandunya terbunuh dalam kemalangan itu.

Ibarat berpantang maut sebelum ajal, pemandu treler yang berusia sekitar 40-an itu hanya mengalami kecederaan ringan.

Kejadian itu berlaku pada jam 6 petang itu di kawasan Perindustrian Pelabuhan Barat, di sini apabila treler yang dipandu terbabas lalu terbalik.

Dia dikatakan berjaya keluar daripada treler yang remuk sejurus kejadian berlaku.

Berdasarkan makluman awam, mangsa yang memandu treler berseorangan dikatakan dalam perjalanan menghala ke Pelabuhan Barat untuk menghantar muatan barangan daripada Seremban, Negeri Sembilan.

Sebaik tiba di tempat kejadian, mangsa dipercayai gagal mengawal treler menyebabkan kenderaan itu gagal mengawal kenderannya lalu terbabas.

Akibatnya, bahagian hadapan treler remuk teruk hingga membuatkan orang ramai terpana kerana menyangka pemandunya maut.

Bagaimanapun tidak lama kemudiannya pemandunya berjaya keluar daripada pintu yang remuk.

Orang ramai yang berada di tempat kejadian cuba membantu mangsa sebelum dia dikejarkan ke sebuah hospital bagi rawatan lanjut.

Sehingga kini mangsa belum membuat sebarang laporan polis dan identiti mangsa masih belum diketahui.

Maut Yamaha Nouvo bertembung Perodua Kancil

Al-Fatihah...

KEMAMAN – Seorang penunggang motosikal maut selepas mengalami kecederaan parah pada leher apabila skuter Yamaha Nouvo yang dinaikinya bertembung dengan sebuah Perodua Kancil dalam kemalangan di Kilometer 7, Jalan Chukai – Air Putih, dekat Kampung Batu 4 Binjai, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 2.10 petang itu, mangsa, Ezly Noor Izuan Nordin, 30, mati di tempat kejadian selepas lehernya cedera dipercayai terkena serpihan kaca pecah cermin hadapan kereta berkenaan.

Sinar Harian difahamkan, sebaik kedua-dua kenderaan itu bertembung, mangsa yang masih bujang dan bekerja di Pelabuhan Kuantan, Pahang melambung ke bahagian cermin hadapan kereta mengakibatkan cermin kereta pecah sebelum mangsa jatuh ke atas jalan.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Abdullah Sani Salat berkata, ketika kejadian, mangsa yang berasal dari Kampung Padang Lalang, Binjai menunggang skuter dari Binjai ke Chukai.

“Kereta kancil yang dinaiki pemandu lelaki berumur 36 tahun dari Chukai-Binjai ketika itu pula mahu membelok masuk ke simpang rumahnya di sebelah kanan.

“Bagaimanapun, ketika mahu membelok berlaku pertembungan kedua-dua kenderaan ini menyebabkan mangsa mati di tempat kejadian, pemandu kereta tidak mengalami kecederaan,” katanya.

Akibat pertembungan, skuter dinaiki mangsa terputus dua kereta pula remuk di bahagian hadapan dan cerminnya pecah.

Selain cedera parah di leher, mangsa juga turut mengalami patah lengan kiri dan paha kiri.

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Kemaman untuk dibedah siasat dan hasil bedah siasat mendapati mangsa meninggal dunia disebabkan kecederaan parah pada leher.

Jenazah mangsa dituntut ahli keluarga selepas Solat Maghrib marin sebelum dikebumikan.

Friday, May 13, 2011

CCTV: Kanak-kanak digilis Kereta

Entri ini adalah rakaman CCTV... seorang kanak-kanak digilis sebuah kereta ketika ibunya sibuk membeli barang di tepi jalan.


 Seorang pemandu masuk kedalam keretanya.


Tanpa disedari pemandu, seorang kanak-kanak telah lalu dihadapan keretanya

Pemandu tidak tahu bahawa seorang kanak-kanak sedang bermain dihadapan keretanya


Kereta mula bergerak...

 kanak-kanak terseret lebih kurang 1 meter lalu digilis dengan ngerinya...


Lihat video dibawah... 
 



Harap para ibubapa ambil Ikhtibar

Wednesday, May 11, 2011

Cegah Kemalangan


KAHANG - Penduduk dan pemimpin masyarakat di kawasan Kahang mohon agar diletakkan papan tanda had laju dan membina garisan kuning di laluan dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kahang ke Batu 28 kerana kawasan berkenaan sering berlaku kemalangan.

:Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kahang, R Vidyananthan berkata, laluan jalan raya dari SMK Kahang ke Batu 28, jalannya tidak lurus dan berbukit sehinggakan apabila memandu tidak nampak kenderaan lain yang datang dari arah hadapan.

“Apabila sudah dekat, barulah kita perasan kenderaan berkenaan. Oleh sebab itu, :kemalangan sering berlaku di kawasan jalan Batu 28 ini.

“Bukan itu sahaja, pemandu yang datang dari arah Mersing mahupun dari arah Pekan Kahang mereka akan membawa kenderaan dengan laju kerana keadaan laluannya yang lengang menyebabkan mereka memecut dengan laju,” katanya kepada Sinar Harian.

Menurutnya, sejak awal tahun hingga kini, sudah banyak kemalangan berlaku di Batu 28 ini dan puncanya adalah akibat terbabas dan bertembung secara bertentangan disebabkan tidak perasan kenderaan yang datang dari arah hadapan ekoran jalan di situ yang berbukit.

Beliau berkata, jalan berkenaan juga amat berbahaya terutama pada waktu malam kerana ketiadaan lampu jalan disediakan dan keadaannya amat gelap bahkan berisiko tinggi mengundang maut.

“Saya berharap sangat kepada pihak yang berwajib agar meletakkan tanda amaran di kawasan jalan Batu 28 kerana di kawasan ini sering kali berlaku kemalangan maut.

“Malah, saya juga mohon dibina garisan kuning agar kenderaan yang lalu di kawasan berkenaan dapat memperlahankan :kelajuan kenderaan mereka bagi mengurangkan kadar kemalangan,” katanya.

Vidyananthan berkata, beliau sebagai pemimpin dan wakil rakyat di kawasan Kahang ini sering kali menerima aduan berkaitan jalan berkenaan setiap kali berlaku kemalangan.

Beliau berkata, jika pihak yang berwajib tidak meletakkan papan tanda amaran ataupun membina garisan kuning maka kemalangan akan terus berlaku kerana kenderaan yang lalu di kawasan tersebut akan membawa kenderaan mereka dengan laju kerana dilihat jalan tersebut tidak berbahaya tetapi hakikatnya sebaliknya.

“Saya mahu ia dibina dengan segera dan pihak berwajb akan mengambil tindakan secepat mungkin,” katanya.

Nyaris Rentung Dalam Lori


PARIT BUNTAR- Seorang pemandu nyaris rentung apabila lori yang dipandunya terbakar di Jalan Parit Buntar menghala Ipoh berhampiran Kampung Sungai Rawa, di sini, malam kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 10.25 malam itu, Idris Jahaya, 31, dalam perjalanan dari Bukit Minyak, Pulau Pinang membawa muatan barangan plastik untuk di hantar ke kedai dan pasar raya sekitar Kuala Lumpur.

Idris berkata, sebelum kebakaran berlaku, dia menyedari ada percikan api sebaik menyalakan lampu tinggi.

“Selepas menukar ke lampu tinggi, saya nampak percikan api menyambar tempat duduk sebelah kiri, walaupun panik, saya sempat memberhentikan lori di bahu jalan dan melompat keluar,” katanya.

Idris berkata, sebaik api mula membakar kenderaannya, dia segera menghubungi balai bomba dan mengawal keadaan lalu lintas bagi mengelak kejadian tidak diingini berlaku.

Menurutnya, ia adalah insiden pertama berlaku sejak memandu lori lebih sembilan tahun.

“Walaupun tidak sempat menyelamatkan barang, saya bersyukur kerana tiada sesiapa yang cedera, kebetulan saya memandu seorang diri,” katanya.

Sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Parit Buntar dikejarkan ke tempat kejadian sebaik menerima panggilan kira-kira jam 10.27 malam.

Pegawai Bomba Kanan 2, Abdul Halim Mansor berkata, hampir 90 peratus bahagian lori berkenaan musnah.

“Pihak bomba masih menjalankan siasatan lanjut, punca dan jumlah kerugian belum dapat dipastikan,” katanya.

Nyaris Digilis Lori


SUNGAI LUI – Seorang lelaki berusia dalam lingkungan 20-an mengalami kecederaan parah apabila motosikal

ditungganginya bertembung dengan lori dalam kejadian kemalangan dekat persimpangan Kampung Baru Sungai Lui di Jalan Cheroh.

Kejadian pada jam 2.45 petang kelmarin itu turut mengakibatkan kesesakan lalu lintas, namun ia dapat diatasi polis trafik dan peronda yang bertugas di tempat kejadian.

Menurut seorang penduduk yang tidak mahu dikenali, pemuda itu menunggang motosikal dari arah Raub ke Cheroh.

“Setibanya di tempat kejadian, mangsa cuba memotong sebuah kenderaan lain tetapi malangnya motosikalnya bertembung dengan sebuah lori dari arah bertentangan.

“Akibat kemalangan itu, mangsa dikejarkan ke Hospital Daerah kerana mengalami kecederaan parah di kepala dan patah kaki,” katanya.

Pemandu lori itu, Chong Kim Fah, 46, berkata, dia terpaksa menekan brek kecemasan setelah motosikal ditunggangi pemuda itu secara tiba-tiba memasuki lorongnya.

Katanya, tayar hampir sahaja menggelek pemuda itu bersama motosikalnya yang terjatuh betul-betul di hadapan lori itu.

“Nasib baik saya sempat tekan brek dan berhenti sebelum menggilis mangsa. Jika saya tidak nampak, pasti lori terlajak dan menyebabkan keadaan menjadi lebih buruk,” katanya.

Anggota Tentera Maut Langgar Pokok




SEREMBAN: Seorang anggota tentera yang bertugas di Cawangan Sumber Manusia, Kementerian Pertahanan di ibu negara maut apabila kereta yang dipandunya merempuh sebatang pokok di Jalan Sungai Gadut, malam tadi.

Rusli Ngathimeen, 36, mati di tempat kejadian dan mayatnya dihantar ke Hospital Tuanku Jaafar untuk bedah siasat.Jurucakap polis berkata dalam kejadian pada pukul 11.40 malam itu, Rusli yang memandu bersendirian dalam perjalanan dari Rembau ke Seremban.


"Dia mungkin terbabas ketika melalui selekoh tajam dalam keadaan jalan yang agak gelap. Dia tersepit dalam keretanya yang remuk," katanya ketika dihubungi Rabu.

Beliau berkata mayat lelaki itu yang tersepit di tempat duduk pemandu dikeluarkan oleh anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Senawang.- BERNAMA


Proton Wira VS Nissan Frotier



KUALA LUMPUR: Dua terbunuh, manakala tiga lagi cedera parah dalam dua kemalangan berasingan di Jalan Tun Razak dan Jalan Duta, di sini, malam tadi. 

Dalam kejadian kira-kira jam 9.50 malam di Jalan Tun Razak, sebuah kereta jenis Proton Wira Aeroback yang dalam perjalanan menghala ke KLCC dipercayai hilang kawalan sebelum merempuh dua tiang lampu lalu bertembung dengan sebuah pikap dari arah bertentangan. 

Akibat impak pelanggaran yang kuat, penumpang kereta terbabit yang dikenali sebagai L Krishnan, 24, dari Taman Greenwood, Gombak di sini, mati di tempat kejadian, manakala kedua-dua pemandu kenderaan terbabit cedera parah. 



Mayat mangsa dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk bedah siasat, manakala dua yang lain turut dikejarkan ke hospital sama bagi mendapatkan rawatan lanjut.

Pegawai Penyiasat Kanan Trafik Jalan Bandar, Asisten Superintendan Mohd Fadhli Daud, berkata siasatan sedang dijalankan dan tidak menolak kemungkinan ia berpunca dari kenderaan yang dipandu laju.

“Kedua-dua remuk teruk, malah sebuah jentera bomba dari Jalan Hang Tuah turut dikejarkan ke tempat kejadian bagi mengeluarkan semua mangsa yang tersepit,” katanya.
Sementara itu, seorang terbunuh dalam kemalangan dua lori berhampiran Plaza Tol Jalan Duta, kira-kira jam 10 malam tadi 



Dihempap Lori Demi Anak


Al-Fatihah...

BESUT - Demi menyelamatkan dua anak daripada dihempap lori dipandunya, seorang bapa sanggup menggadaikan nyawa mengeluarkan anaknya terlebih dahulu.

Kesudahannya, dia meninggal dunia akibat dihempap lori berkenaan dalam kejadian di Kampung Batu 13, Hulu Besut malam kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 8 malam itu, mangsa, Zuraimi Jusoh, 40, mati di tempat kejadian apabila dihempap kepala lori kecil berisi muatan kayu yang terundur selepas gagal mendaki jalan berbukit berhampiran pagar bekas perkampungan Ayah Pin, di sini.

Mangsa dikatakan terlebih dahulu mengeluarkan dua anaknya dari dalam lori berkenaan ketika hendak terbalik, bagaimanapun dia sendiri gagal menyelamatkan diri.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Superintendan Kamaruddin Mohd Zakaria ketika dihubungi berkata, mangsa yang bekerja sebagai pemandu lori membawa dua anak lelakinya Muhammad Ikmal Hakim, 7, dan Muhammad Amirul Hamdi, 5, dalam perjalanan menghantar kayu ke kilang kayu di kawasan tersebut.

Menurutnya, apabila tiba di laluan agak curam, lori itu terundur ke belakang kerana gagal mendaki jalan akibat beban berat.

“Mangsa dikatakan menghentikan lori di jalan curam itu, kemudian turun dari kenderaan untuk menyendal tayar lori. Pada masa sama, lori itu terus berundur lalu terbalik,” katanya.

Kamaruddin berkata, dua anak mangsa hanya mengalami calar kecil sahaja.

Menurutnya, orang ramai membantu mengangkat lori dan mengeluarkan mangsa yang tersepit dan kemudian dihantar ke Hospital Besut untuk bedah siasat.

Mangsa meninggal dunia akibat kecederaan parah pada bahagian belakang kepala dan pinggang.



Meraung minta tolong




“Ketika lori hendak terbalik, ayah terlebih dahulu mengeluarkan adik (Muhammad Amirul Hamdi Zuraimi, 5,) sebelum menarik saya keluar namun ayah tidak sempat lari menyebabkan lori itu terus terbalik menghempap badan ayah,” kata Muhammad Ikmal Hakim, 7, mengenai saat cemas yang mengorbankan bapanya.

Lebih menyayat hati kanak-kanak Tahun Satu Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Payong, Hulu Besut itu, kejadian ngeri yang meragut nyawa ayahnya berlaku di depan mata.

Dia berkata, sambil menangis melihat keadaan bapanya yang sudah tidak bernyawa dengan kepala berlumuran darah, Muhammad Ikmal Hakim tidak berganjak dari tempat kejadian dan meraung sekuat hati meminta tolong.

Menurutnya, selepas beberapa kali menjerit, datang seorang penduduk yang tinggal berhampiran tempat kejadian diikuti orang ramai tidak lama kemudian.

“Ketika hendak naik bukit untuk hantar kayu, lori terundur dan ayah buka pintu lalu keluar dari lori untuk sendal tayar lori. Bagaimanapun lori terus berundur menyebabkan ayah segera mengeluarkan saya dan adik yang berada dalam lori ketika itu.

“Sebaik kami keluar dari lori itu, ia melanggar tiang elektrik sebelum terbalik dan bahagian kanan kepala serta pintu lori itu terus menghempap ayah. Saya lihat ayah sudah tidak bersuara lagi. Beberapa kali saya memanggil ayah, tetapi ayah sudah tidak menyahut,” cerita Muhammad Ikmal Hakim ketika ditemui di rumah datuknya di Kampung Lapan Kotak, Jertih, semalam.

Katanya, dia dan adiknya keluar dari rumah bersama bapa selepas Asar untuk mengambil kayu di kebun dekat jalan Lata Tembakah, Bukit Payong sebelum dihantar ke kilang kayu yang terletak di kawasan itu.



Berubah sikap jadi pendiam 



LAPAN KOTAK - Allahyarham Zuraimi Jusoh berubah sikap sejak beberapa hari sebelum kejadian tragis yang mengorbankan nyawanya malam kelmarin.

Isteri mangsa, Rohana Mohammad, 30, berkata, perubahan ketara pada diri suaminya ialah dia berubah menjadi pendiam sejak tiga hari sebelum kejadian.

Kata Rohana, selalunya Zuraimi bersikap peramah terutama dengan rakannya tetapi entah mengapa beberapa hari sebelum itu dia menjadi pendiam termasuk dengan saudara mara.

“Saya tidak menyangka perubahan sikap arwah petanda dia akan pergi buat selama-lamanya,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Rohana berkata, lori yang dipandu suaminya itu sudah beberapa kali terbalik sebelum ini tetapi dia tidak mengalami kecederaan.

Menurutnya, dalam kejadian sebelum ini, dia tidak membawa anak bersamanya tetapi malam kelmarin mungkin kejadian itu meragut nyawanya kerana dia terlebih dahulu menyelamatkan nyawa dua anaknya.

“Saya reda dengan pemergian suami dan saya amat terharu kerana demi anak, dia sanggup korbankan keselamatan diri sendiri,” katanya.

Zuraimi juga sangat rapat dengan Muhammad Ikmal Hakim dan sering membawanya bersama sekiranya dia bekerja di kawasan berdekatan rumah.

Sementara itu, jenazah Zuraimi selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Batu Tumbuh kira-kira jam 11 pagi semalam.

Arwah Zuraimi meninggalkan seorang balu dan lima anak berusia dua hingga 11 tahun.

10 kenderaan Berlanggar di Jempol


JEMPOL - Tiga lelaki maut dalam kemalangan ngeri membabitkan 10 kenderaan di Kilometer 1, Jalan Bahau-Kemayan, berhampiran persimpangan lampu isyarat di landasan kereta api Bahau, di sini, semalam.




Kemalangan kira-kira jam 11.20 pagi itu berpunca daripada sebuah lori membawa muatan kayu getah terbabas ketika menuruni bukit, dipercayai kerana brek gagal berfungsi.

Akibatnya, lori berkenaan merempuh sembilan kenderaan lain membabitkan dua lori, tiga kereta, sebuah kenderaan pacuan empat roda dan tiga motosikal yang sedang berhenti di lampu isyarat.

Mereka yang meninggal dunia adalah seorang penuntut Kolej Komuniti Jempol, Muhammad Izwan Noorazman, 20, yang terperosok di bawah lori berkenaan,

Dua lagi yang meninggal dunia adalah pemandu lori, Abd Halim Omar, 33, serta kelindannya, Nordin Amat, 45, yang tersepit di bahagian tempat duduk depan lori terbabit.

Sepasukan anggota bomba tiba dengan sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Bahau serta berusaha mengeluarkan mangsa tersepit.

Beberapa pengguna kenderaan di situ turut membantu anggota bomba menyelamatkan mereka yang terlibat.





Ketua Polis Daerah Jempol, Superintendan Mohd Sabri Muhamad berkata, kemalangan berlaku apabila pemandu lori dari arah Mahsan, di sini, gagal mengawal kenderaannya ketika sampai di lampu isyarat, di landasan kereta api.

Beliau berkata, tiga penunggang motosikal dan seorang pembonceng tidak sempat mengelak menyebabkan kesemua mereka tercampak di atas jalan raya, manakala seorang penunggang terperosok di bawah lori berkenaan.

Menurutnya, kesemua yang maut mengalami cedera parah di kepala dan badan itu meninggal dunia di tempat kejadian.

“Penunggang, pembonceng motosikal yang cedera dikejarkan ke Hospital Jempol. Sementara, beberapa pemandu kereta hanya cedera ringan,” katanya.

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Jempol untuk bedah siasat sebelum dituntut keluarga masing-masing, semalam.






Tuesday, May 10, 2011

Digilis Lori Ipoh



Al-Fatihah...

IPOH 9 Mei - Seorang lelaki maut dalam keadaan mengerikan apabila kepalanya digilis tayar belakang sebuah lori selepas motosikal ditunggangnya bergesel dengan kenderaan itu di persimpangan Taman Bertuah, Tasek, di sini hari ini.



Nahas pukul 1 petang itu turut mengakibatkan seorang anggota polis yang sedang mengawal aliran trafik, patah pergelangan tumit kaki kiri ekoran dirempuh seorang penunggang motosikal lain yang leka menyaksikan kemalangan tersebut.

Ketua Polis Trafik Daerah, Deputi Supritendan Mohd. Rodzi Rejab berkata, ketika kejadian, mangsa, Sulaiman Tam, 56, dalam perjalanan mengambil anak perempuannya di sebuah sekolah di sini untuk pulang ke rumahnya di Klebang Restu.

"Bagaimanapun, mangsa yang juga seorang peniaga pasar malam terjatuh apabila dilanggar sebuah lori membawa muatan tiga tan baja dari arah sama.

"Mangsa yang mengalami kecederaan parah mati di tempat kejadian, sementara polis terbabit, Jamaluddin Hussin, 48, kini dirawat di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB).

"Mayat mangsa turut dihantar ke HRPB untuk bedah siasat," katanya.

Dalam pada itu, isteri Sulaiman, Fauziah Mohd Nor, 50-an, yang bergegas ke lokasi kejadian terpaksa ditenteramkan orang ramai selepas wanita berkenaan gagal mengawal perasaan sejurus melihat mayat suaminya terbaring di atas jalan raya.


Monday, May 9, 2011

Lubang Menunggu Mangsa


KUALA SELANGOR 9 Mei - Para pengguna yang melalui Jalan Haji Idris, Pekan Lama Kuala Selangor di sini bimbang dengan keselamatan mereka berikutan kehilangan beberapa penutup lubang longkang di laluan tersebut.

Setiap kali melalui jalan terbabit mereka terpaksa memandu dengan berhati-hati bagi mengelak daripada terjatuh ke dalam longkang tersebut.

Tinjauan Utusan Malaysia mendapati beberapa penutup longkang lesap, dipercayai angkara pengutip barangan besi terpakai, hingga mendedahkan pengguna kepada risiko kemalangan.

Khuatir terdapat kenderaan yang terjunam ke dalam longkang berkenaan, orang ramai terpaksa meletakkan dahan-dahan pokok sebagai tanda amaran kepada para pengguna agar berhati-hati.

Seorang kontraktor pembinaan, Azlan Adnan, 45, berkata, sudah tiba masanya pihak berkuasa tempatan (PBT) menggantikan penutup longkang yang diperbuat daripada besi itu dengan bahan konkrit supaya ia tidak dicuri lagi.

"Saya khuatir pengguna yang arif dengan laluan tersebut tidak menyedari lubang longkang di situ sudah tidak mempunyai penutup. Ini amat bahaya terutama ketika waktu malam.

"Biasanya penunggang motosikal yang terdedah kepada risiko kemalangan kerana tidak sempat mengelak lubang longkang tersebut," katanya ketika ditemui di sini baru-baru ini. 

Seorang penunggang motosikal, Azman Alias, 24, berkata, PBT perlu memastikan kemudahan yang disediakan adalah berkualiti dan tidak mendedahkan risiko bahaya kepada para pengguna jalan raya.

Bagi Zarina Zainal, 29 berkata, PBT berkenaan perlu segera menggantikan penutup lubang longkang tersebut supaya dapat menjaga keselamatan pengguna jalan raya dan imej pekan tersebut

Melihat Ibu Terbujur Di Tepi Jalan



Al-Fatihah........

KOTA BHARU - Seorang anak longlai apabila melihat mayat ibunya sendiri terbujur di tepi jalan dekat Kampung Kijang kerana pada awalnya disangkakan longgokan sampah yang ditinggalkan penduduk.

Dalam kejadian jam 9.50 malam kelmarin, Mek Yam Hassan, 56, maut di tempat kejadian selepas proton Wira dari arah Kota Bharu menghala ke Pantai Cahaya Bulan merempuh mangsa ketika berjalan kaki melintas jalan untuk membeli di kedai runcit terletak kira-kira 50 meter dari rumahnya.

Mek Yah Mat, 42, ketika ditemui di rumahnya, semalam, berkata, ketika kejadian dia terdengar dentuman depan rumahnya dan terus menjenguk dari tingkat dua rumahnya.

“Pada mulanya saya ternampak ada kereta berada di tepi jalan dan melihat terdapat satu longgokan, saya mengabaikannya kerana pada awalnya saya menyangka ia timbunan sampah.

“Bagaimanapun, saya terkejut kerana seorang jiran menjerit memberitahu ibu sudah mati dilanggar sebuah kereta dan longgokan itu rupa-rupanya mayat ibu saya sendiri,” katanya ketika ditemui di rumahnya, semalam.

Mek Yah berkata, sejurus mengetahui insiden itu dia bergegas ke rumah ibunya untuk memaklumkan kepada ayah tirinya, Mohd Sabri Sulaiman, 50, kemalangan yang menimpa isterinya itu.

Mek Yah juga anak sulung kepada mangsa berkata, sehari sebelum kejadian ibunya beria-ia meninggalkan pesan kepada neneknya, Bidah Semail, 80, supaya membahagikan tanah secara sama rata antara tiga beradik arwah.

“Saya tidak menduga itu amanat terakhirnya kepada kami, walaupun sejak seminggu lalu ibu nampak sangat letih dan berubah menjadi pendiam, tetapi kami tidak menyangka itu petanda akan kehilangannya buat selama-lamanya dalam sekelip mata,” katanya.

Kemalangan yang meragut nyawa ibu kepada 10 anak itu sangat dirasakan suaminya, Mohd Sabri kerana sebelum ini arwah sangat rapat dan sentiasa menemaninya ketika bertugas mengawal keselamatan di sekitar Pasar Siti Khadijah.

“Saya reda dengan ujian Ilahi ini , saya perasan sejak seminggu dia letih dan saya menyuruhnya berehat di rumah,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Superintendan Idris Abd Rafar mengesahkan berhubung kejadian itu.

Menurutnya, mangsa maut di tempat kejadian akibat kecederaan teruk di bahagian kepala dan pemandu kereta yang terlibat dalam kemalangan tersebut membuat laporan di balai polis berhampiran.

Difahamkan pemandu kereta terbabit sudah menekan brek kenderaannya, tetapi gagal mengawalnya lalu merempuh mangsa.

Jenazah terbabit dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Kasok, berhampiran rumahnya kira-kira jam 11 pagi semalam.

BMW Terjunam ke Sungai Bunus


KUALA LUMPUR: Seorang lelaki maut apabila kereta yang dinaikinya bersama dua yang lain termasuk seorang wanita dipercayai hilang kawalan sebelum terjunam ke dalam Sungai Bunus berhampiran Jalan Munshi Abdullah di sini pagi tadi. 

Pegawai Turus Siasatan dan Perundangan Trafik Kuala Lumpur, DSP Abdullah Roning berkata kejadian berlaku kira-kira 3.10 pagi apabila kereta yang dinaiki D. Parameswaran, 31, yang datang dari Jalan Ampang menghala ke Jalan Dang Wangi, hilang kawalan apabila sampai di selekoh Jalan Munshi Abdullah. "Sampai di selekoh lampu isyarat Jalan Munshi Abdullah, kereta mangsa terbabas dan melanggar penghadang kiri jalan lalu terjunam ke dalam Sungai Bunus dan tenggelam," katanya kepada Bernama.

Beliau berkata Parameswaran yang berasal dari Taman Andalas, Klang, merupakan penumpang hadapan dan mati di tempat kejadian manakala pemandu dan seorang lagi penumpang dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk rawatan.

"Mayat dibawa ke Unit Forensik HKL untuk bedah siasat dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (JPJ) 1987," tambahnya. 

Untuk lihat Lebih banyak gambar... layari http://ondscene.my

Punca utama kemalangan maut

KUALA LUMPUR 8 Mei - Sikap sambil lewa kebanyakan syarikat pengendali kenderaan berat seperti lori dan bas terhadap Kod Amalan Keselamatan, Kesihatan dan Alam Sekitar (SHE) menjadi punca utama peningkatan jumlah kemalangan maut di negara ini.

Pengarah Pusat Keselamatan Kenderaan dan Biomekanikal Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS), Dr. Wong Shaw Voon berkata, kadar kemalangan maut mampu dielakkan sekiranya kod amalan SHE yang mengutamakan faktor struktur, kualiti, laluan dan pengurusan maklumat kenderaan dipatuhi.

"Hanya segelintir sahaja pemandu dan syarikat pengendalian kenderaan sedar tentang kewujudan kod amalan ini. Mereka lebih rela meletakkan nyawa orang ramai dalam bahaya demi mengaut keuntungan," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Jelas beliau, struktur kenderaan berat yang tidak menggunakan over run bar iaitu satu alat penyerap pertembungan adalah punca utama kereta terperosok di bawah lori.

"Apabila keadaan ini berlaku, pastinya pemandu kereta dan penumpang akan terkorban.


 "Selain itu, reka bentuk bas yang tidak mengikut piawaian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu-Suruhanjaya Ekonomi Eropah (UNECE) yang menekankan pentingnya struktur bas berkeadaan kukuh akan menyebabkan penumpang tercampak dari bas jika berlakunya momentum yang kuat,'' jelasnya.

Beliau menambah, faktor kedua iaitu kualiti kenderaan yang dijaga rapi menerusi pemantauan berterusan pakar kenderaan turut mampu mengelakkan kemalangan maut.

Katanya, faktor pemilihan laluan yang sesuai seperti mengelak kawasan kemalangan tinggi turut dilihat praktikal dalam mengurangkan pengulangan kemalangan di tempat sama serta melancarkan perjalanan kenderaan tersebut.

Tambahnya, faktor pengurusan maklumat yang melibatkan komunikasi antara syarikat pengendali kenderaan dan pemandu melalui sistem pengesanan had laju dan sistem komunikasi radio dilihat sangat penting bagi memastikan pemandu tidak melebihi had laju dan tidak hilang kawalan disebabkan mengantuk atau di bawah pengaruh dadah.

"Saya yakin SHE berkesan menurunkan kadar kemalangan negara. Namun, penguatkuasaan kod amalan tersebut perlu menyeluruh dan diwajibkan kepada semua kenderaan," katanya.

Langar Lari Warga Emas

Al-Fatihah...

BALING - Seorang warga emas berusia 65 tahun terbunuh apabila motosikal yang ditunggangnya terbabas selepas digesel dari arah belakang oleh sebuah kereta di Jalan Parit Panjang - Baling, kira-kira jam 8.30, malam semalam.

Mangsa, Che Nai Tahir, 65, dari Kampung Parit Panjang mati di tempat kejadian kerana mengalami kecederaan parah di kepala dan badan.

Ketua Polis Daerah Baling, Superintendan Mat Daud Mat Hasan berkata, mangsa dikatakan sedang menunggang motosikal untuk pulang ke rumahnya yang tidak jauh dari tempat kejadian sebelum dilanggar dari arah belakang oleh sebuah kereta.

“Kereta berkenaan tidak berhenti untuk memberi bantuan sebaliknya melarikan diri selepas tergesel dengan motosikal mangsa.

“Mangsa yang mengalami kecederaan parah meninggal di tempat kejadian,” katanya.

Mat Daud berkata, kemalangan maut itu disifatkan kejadian langgar lari dan polis sedang mengesan pemandu kenderaan terbabit dan meminta orang ramai yang melihat kejadian itu memberi maklumat.

Katanya, mangsa dihantar ke Hospital Baling untuk dibedah siasat sebelum dituntut keluarganya, semalam.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Headlines

FeedBurner FeedCount

Blogged.my