Saturday, September 17, 2011

Hampir Rentung Terjunam Ke Tali Air


Inalillahi wainailaihi rojiun

TUMPAT – Dua lelaki seorang daripadanya hampir rentung apabila kereta yang dipandunya terbakar selepas terbabas dan menjunam ke tali air di Kilometer 2.5 Jalan Berangan–Meranti dekat Kampung Kok Seraya, di sini, malam kelmarin.

:Pemandu kereta terbabit, Mohammad Rasid Sabudin, 23, dari Kampung Telaga Bata dan penumpangnya, merupakan rakan mangsa, Mohamad Sidik, 32, dari Kampung Geting di sini, meninggal dunia di tempat kejadian.

Kedua-dua mangsa terperangkap dalam kereta Proton Wira itu bersama timbunan tong yang berisi minyak petrol diisi padat bagaikan ikan sardin dipercayai untuk diseludup ke Thailand.

Dalam kejadian kira-kira jam 10.30 malam, kereta tersebut seolah-olah berada dalam kolam berapi, dalam keadaan separuh tenggelam manakala keempat tayarnya berada di atas dikelilingi dengan api yang marak menjulang setinggi hampir empat meter kerana berlaku tumpahan minyak.

Ketua Polis Daerah Tumpat, Superitendan Khalid Munap ketika dihubungi mengesahkan kejadian terbabit dan kes ini disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Menurutnya, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila pemandu dan penumpang dipercayai penyeludup membawa minyak petrol yang diisi di dalam kira-kira 20 tong dalam perjalanan dari arah Berangan menghala ke Chabang Empat.

“Sampai di tempat kejadian, kereta terbabit yang dipandu mangsa telah hilang kawalan lalu terbabas ke kanan jalan dan merempuh benteng simen tong sampah.

“Kereta tersebut terbakar dan terus masuk ke dalam tali air tersebut,” katanya.

Khalid berkata, pemandu maut di tempat kejadian apabila terbakar teruk di bahagian muka dan hampir seluruh badan dan punca kematian disebabkan mati lemas.

“Manakala mangsa kedua (penumpang) mengalami kecederaan terbakar di bahagian badan dan kedua kakinya turut cedera,” katanya.

Menurutnya, kereta mangsa remuk di bahagian depan, kiri pecah, kedua–dua tayar belakang pecah.

“Keseluruhan badan sebelah kiri dan belakang kereta terbabit terbakar,” katanya.

Sementara itu, Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Kelantan, Anuarrulhakim Mohny mengesahkan terima panggilan kejadian kebakaran tersebut pada jam 10.29 malam dan tiba di tempat kejadian lima minit kemudian bersama 13 anggota dari balai Tumpat dan Pengkalan Kubur membabitkan tiga jentera.

Katanya, pihak bomba mengambil masa selama setengah jam bagi memadamkan api sepenuhnya daripada merebak sebelum operasi mengeluarkan mangsa dijalankan.

Operasi menyelamat katanya, mengalami kesulitan kerana ia berlaku dalam air yang bercampur dengan tumpahan minyak.

“Mangsa pertama berjaya dikeluarkan pada jam 12.20 malam manakala mangsa kedua pula pada jam 12.28 kira-kira lapan minit kemudian,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian, malam kelmarin.

Sumber: SH

Warga Emas Maut Bertembung Penyeludup Minyak

 Inalillahi wainailaihi rojiun

PADANG BESAR – Seorang warga emas menemui ajal selepas kenderaan jenis Perodua Kelisa yang dinaikinya bersama adik dan ibu saudara bertembung dengan Proton Iswara yang dinaiki dua remaja lelaki di kilometer 15.8 Jalan Padang Besar-Kangar, kira-kira jam 4.40 petang kelmarin.

Hasil pertembungan itu juga mendapati, aktiviti dua remaja lelaki berkenaan terbongkar apabila muatan minyak untuk diseludup ke negara jiran dalam tangki tambahan yang dipasang di kenderaan mereka tertumpah ke atas jalan raya.

Anggota Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perlis dengan pantas telah menyembur air ke kawasan tumpahan minyak bagi mengelak berlaku kebakaran.



Pegawai Turus Trafik Negeri, Asisten Superintendan Rusli Yahaya ketika dihubungi berkata, kejadian berlaku apabila kedua-dua kenderaan dari arah bertentangan bertembung antara satu sama lain.

Katanya, kereta yang dinaiki tiga warga emas itu adalah dari arah Padang Besar-Kangar manakala kereta yang dinaiki dua remaja lelaki itu pula dari arah Kangar-Padang Besar.

Mangsa, iaitu Manis Ismail, 60, meninggal di tempat kejadian manakala adiknya, Hasnah Ismail, 57, dan ibu saudaranya, Mek Saad, 68, menerima rawatan di Hospital Tuanku Fauziah (HTF) Kangar.

Dua remaja lelaki yang berumur 19 dan 16 tahun yang telah cuba melarikan diri selepas kejadian berjaya ditahan ketika hadir ke Balai Polis Padang Besar kira-kira jam 10 pagi semalam.

“Punca kejadian masih disiasat dan kedua-dua remaja yang terbabit telah menyerah diri di balai polis semalam.

“Polis tidak menolak kemungkinan kenderaan terbabit digunakan untuk menyeludup minyak berikutan terdapat tangki tambahan dan hos yang dipasang pada kenderaan terbabit,” katanya.

Rusli berkata, kes disiasat di bawah seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalanraya 1987 kerana memandu dengan cuai sehingga menyebabkan kematian

Sumber: Sinar Harian
              Kosmo
             

Laluan gelap

 

PASIR MAS – Laluan gelap tanpa kemudahan lampu jalan merunsingkan ribuan penduduk di sepanjang Jalan Pasir Mas Tanah Merah, sejak sekian lama.

Keadaan jalan yang hanya diterangi lampu kereta berbahaya malah jalannya yang berselekoh sering kali mengundang kemalangan maut.

Penduduk, Arif Al-Hamidi Bukhari, 40, berkata, penduduk di Kilometer 7, Batu Empat Kampung Kenjong tidak akan melupakan detik cemas ketika berlakunya kemalangan maut pada Mei lalu.

“Malah kejadian itu berlaku kurang lima meter daripada rumah kedua-ibu bapa saya, di sini.

“Banyak selekoh tajam dan tidak dilengkapi kemudahan lampu jalan boleh menyebabkan pengguna jalan raya terkeliru arah jalan sehingga menyebabkan mereka terkeluar daripada laluan jalan raya,” katanya.

Menurutnya, sudah banyak kali penduduk kampung mengutarakan permasalahan ini, namun sehingga kini tiada kerja-kerja pemasangan lampu jalan dilaksanakan.

Beliau berkata, jika tersalah masuk, mungkin mengundang kemalangan malah melanggar rumah di sepanjang jalan itu.

“Meskipun banyak berita diutarakan pihak akhbar, namun permintaan penduduk masih lagi tidak sediakan dengan sebaiknya.

“Saya lihat, simpang tiga di Kelar dilengkapi kemudahan lampu jalan kerana banyak kemalangan dilaporkan melibatkan penduduk yang mahu ke masjid dekat sini,” katanya.

Namun katanya, pihaknya juga memohon agar permintaan penduduk kampung mendapatkan kemudahan lampu jalan di sepanjang jalan Pasir Mas Tanah Merah disediakan secepat mungkin.

“Tidak perlulah menunggu kemalangan maut berlaku, barulah kemudahan lampu jalan disediakan,” katanya.

 Sumber: SH
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Headlines

FeedBurner FeedCount