Saturday, August 17, 2013

Polis Maut Dirempuh MPV


Inalillahi wainailaihi rojiun

18 Ogos 2013
Shah Alam: Seorang anggota polis yang dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Saujana Putra, dekat sini, maut selepas motosikal Yamaha LC ditunggangnya dirempuh kenderaan pelbagai guna (MPV) di Kilometer 10.5 Lebuhraya Persekutuan menghala ke Kuala Lumpur, awal pagi semalam.

Kemalangan jam 3.40 pagi itu menyebabkan Koperal Johari Mohamad, 36, yang bertugas di Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Utara, cedera parah di kepala serta dada dan disahkan meninggal dunia dalam perjalanan ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang.

Difahamkan, mangsa yang bertugas 24 jam mahu pulang sebentar ke rumah sebelum menyambung tugasan di IPD Klang Utara.

Selain mangsa, pemandu MPV terbabit, seorang lelaki berusia 41 tahun, kini dilaporkan koma, manakala tiga lagi penumpang lelaki hanya cedera ringan.

Ketua Trafik dan Ketenteraman Awam Shah Alam Deputi Superintendan Goh Lee Shen berkata, kemalangan dipercayai berlaku apabila MPV dipandu laju dan terbabas sebelum merempuh motosikal.

Menurutnya, pengguna lebuh raya yang melalui laluan itu segera menghubungi ambulans untuk membawa mangsa dan pemandu MPV terbabit ke hospital untuk rawatan kecemasan.

“Rempuhan kuat menyebabkan mangsa tercampak dan terseret beberapa meter. Pasukan perubatan mengesahkan mangsa meninggal dunia dalam perjalanan ke hospital,” katanya.

Orang ramai yang menyaksikan kemalangan diminta tampil membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Al-Fatihah

Sumber:
hmetro.com.my/myMetro/articles/MPVdipandulajurempuhmotosikalpolis/MA/Article/index_html



suami isteri maut dirempuh Audi



18 Ogos 2013
Georgetown: Sepasang suami isteri maut akibat tercampak kira-kira 20 meter selepas motosikal dinaiki dirempuh kereta dalam kemalangan di persimpangan Jalan Kelawei di sini, tengah malam kelmarin.



Dalam kejadian kira-kira jam 12.30 tengah malam itu, Ooi Kay Beng, 69, dan isterinya, Ong Song Teng, 70-an, menunggang motosikal jenis Honda EX5 dari arah Jalan Kelawei ke Jalan Persiaran Gurney untuk pulang ke Hong Seng Estate, Mount Erskine.

Bagaimanapun, motosikal ditunggang mangsa dipercayai dirempuh dari belakang oleh kereta jenis Audi A4 yang dipercayai terbabas selepas melanggar sebuah Honda Civic yang keluar dari simpang berhampiran Plaza Gurney.


Pemandu Audi A4 itu dilaporkan menghilangkan diri selepas menyedari kedua-dua mangsa mati di tempat kejadian.

Jurucakap polis berkata, siasatan awal mendapati kedua-dua mangsa tercampak kira-kira 20 meter di jalan akibat rempuhan pemandu Audi A4 yang dipercayai gagal mengawal kenderaannya.

Katanya, kemalangan turut menyebabkan pemandu Honda Civic itu terbabas dan melanggar sebatang pokok di kanan jalan.




Terperosok di tepi pokok 

“Kay Beng ditemui terperosok di tepi pokok manakala isterinya tertiarap di jalan. Mayat dibawa ke Hospital Pulau Pinang (HPP) untuk bedah siasat,” katanya di sini, semalam.

Beliau berkata, siasatan dibuat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan polis giat mengesan pemandu Audi A4 berkenaan.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Gan Kong Meng, ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan meminta orang ramai yang mempunyai maklumat menghubungi Ibu Pejabat Polis Trafik Daerah Timur Laut di talian 04-2181872 atau datang ke mana-mana balai polis berhampiran.



Sumber:
bharian.com.my/articles/Suamiisterimautdirempuh/Article/
tv9.com.my/index.php//beritatv9/tajuk_utama/Pasangan_Suami_Isteri_Maut_Sebelum_Tiba_Di_Rumah.html
sinarharian.com.my/edisi/utara/suami-isteri-maut-dirempuh-belakang-1.192942



Tidak sempat pulang memasak


Inalillahi wainailaihi rojiun

18 Ogos 2013
KUALA KRAI - Seorang ibu tunggal tidak sempat pulang memasak apabila maut dalam kemalangan berdekatan Kampung Hamzah, dekat sini, kira-kira jam 8.30 pagi semalam.

Ketika kejadian, mangsa, Azirawati Azri, 33, menunggang motosikal dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Taman Perisai Wira setelah selesai membeli barangan keperluan di Pasar Kuala Krai.

Mangsa terlibat kemalangan dengan sebuah kereta yang berada di laluan sama dan dipercayai hendak masuk ke simpang kiri ketika kejadian.

Kemalangan menyebabkan mangsa meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala.

Adik mangsa, Ayuni, 24, berkata, kakak sulungnya keluar awal ke pasar untuk membeli santan seterusnya berhasrat memasak sayur terung untuk hidangan mereka keluarga.

“Dia keluar awal sebab nak beli barang memasak. Saya tak tahu kejadian sehinggalah dihubungi bapa, Azri Yusof, 54, kira-kira jam 8.49 pagi.

“Bapa beritahu along kemalangan dan dia dah tak ada. Bapa suruh maklumkan pada ibu elok-elok sebab takut ibu terkejut,” kata anak ketiga daripada empat beradik ini.

Ayuni berkata, arwah pernah menyuarakan hasrat berkahwin semula selepas adik keduanya, Atirah bersalin yang dijangka awal tahun depan.

“Arwah pernah menyuarakan hajat kahwin semula selepas tujuh tahun hidup sebagai ibu tunggal. Dia berhasrat menyerahkan tugasnya mengasuh anak-anak jiran kepada saya.

“Saya maklumkan pada dia tidak perlu bincangkan hal itu sebab lambat lagi, kami memang tak sangka arwah pergi begitu saja,” katanya.

Difahamkan, kematian Azirawati adalah kehilangan kedua keluarga ini kerana 28 Julai lalu, ibu Azri, Esah Amah, 77, meninggal dunia akibat penyakit berkaitan paru-paru di Sungai Pas.

Ibu arwah, Ramlah Mat, 52, berkata, malam sebelum kejadian, anaknya ada memberitahu hendak keluar beraya di rumah kawan keesokan harinya.

“Dia kata nak keluar beraya dan nak masak awal pagi. Saya kata saya nak makan sambal petai tetapi ikan bilis tiada.

“Dia ke pasar untuk beli santan, ikan bilis dan beberapa barang lain. Lama saya tunggu, dia tak balik hinggalah suami telefon dan jiran datang beritahu arwah kemalangan.

"Tak tahu macam mana lepas ni sebab selama ni arwah yang uruskan rumah, hantar anaknya dan adiknya ke sekolah, serta bawa saya ke hospital,” katanya.

Mayat mangsa dibawa ke Hospital Kuala Krai untuk bedah siasat sebelum dituntut keluarga dan disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Kuala Krai selepas solat Asar semalam.

Adun Manik Urai, Fauzi Abdullah antara yang awal hadir ke bilik mayat bertemu keluarga mangsa.

Arwah meninggalkan seorang anak lelaki, Shahrul Afiq Shaharun, 10 tahun.

Al-Fatihah

Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/kelantan/ibu-tunggal-maut-lepas-beli-santan-ikan-bilis-1.192964



1 maut 5 parah



Inalillahi wainailaihi rojiun

18 Ogos 2013
GUA MUSANG - Sehari sebelum tamat Ops Selamat musim perayaan Aidilfitri yang dijadualkan esok mencatat kemalangan paling buruk membabitkan empat kenderaan di Kilometer 25.9 Jalan Gua Musang-Kuala Krai, berhampiran Gua Sejuk, dekat sini, pagi semalam.



Dalam kejadian kemalangan kira-kira jam 7.30 pagi itu, menyebabkan seorang maut dan lima parah termasuk tiga beradik kerabat Diraja Kelantan manakala dua yang lain terselamat.

Mangsa maut di tempat kejadian dikenali Mohd Saiful Bahri Awang, 41, berasal dari Rancangan Kemajuan Tanah (RKT) Kesedar Sungai Asap A manakala isterinya, Siti Nor Fazlina Mohamad, 34, seorang jururawat Klinik Kesihatan Jeram Tekoh cedera parah.

Empat lagi yang parah dikejarkan ke Hospital Gua Musang (HGM) untuk menerima rawatan tiga beradik kerabat Diraja Kelantan iaitu, Tengku Ibrahim Farihaddin Tengku Feissel, 38, adiknya Tengku Fatimah Ainura, 34 dan Tengku Farini Amelina, 26.



Penyelia Tanah Rancangan Felda Jengka 9, Mohd Faizal Mohf Sukri, 30 turut menerima rawatan di hospital sama manakala yang terselamat dalam kemalangan terbabit, Yusri Ismail, 31 dan isterinya, Faradila Kadir, 30.

Kejadian itu berlaku dipercayai kereta dinaiki tiga beradik kerabat Diraja Kelantan itu yang dipandu, Tengku Farini Amelina dalam perjalanan dari Kota Bharu ke Kuala Lumpur terbabas memasuki laluan bertentangan sebelum bergesel dengan kereta Produa ALZA dipandu Yusri.

Selepas itu, kereta Proton Saga dipandu kerabat Diraja Kelantan itu pula bertembung dengan kenderaan dipandu Mohd Saiful Bahri yang dalam perjalanan dari Gua Musang ke Kota Bharu dan kenderaan Proton Persona dipandu Mohd Faizal.

Berikutan itu, seorang penumpang kerabat Diraja Kelantan itu tercampak keluar ke atas jalan  dalam keadaan cedera parah sebelum kenderaannya menjunam ke dalam cerun.

Yusri ketika ditemui di tempat kejadian berkata, dia sempat mengelak kenderaannya apabila melihat kereta dinaiki tiga beradik kerabat Diraja itu terbabas memasuki lalu bertentangan.

Katanya, sebaik berlaku kejadian itu, dia terus memberhentikan kenderaan untuk melihat kenderaannya yang rosak dan melihat dua lagi kenderaan terbabit dalam kemalangan berkenaan.

“Saya terus bergegas ke tempat kejadian kerana melihat kejadian kemalangan itu membabitkan banyak kenderaan hingga ada yang tercampak keluar dari kereta dinaikinya.

“Sayu saya mendengar suara meminta tolong termasuk dari kereta dinaiki mangsa dan kereta dinaiki tiga beradik kerabat Diraja Kelantan itu yang masing-masing berada dalam cerun di tempat berasingan,” katanya.

Ibu mangsa, Siti Zubaidah Yusoff, 63, berkata, anaknya itu dalam perjalanan ke Kota Bharu untuk menghantar menantu (isteri mangsa) yang ingin menyambung pelajaran dan perlu berada di bandar itu jam 9 pagi hari kejadian.

“Memang dia ada bagi tahu mak cik malam kelmarin yang dia akan ke Kota Bharu pagi esok (hari ini) untuk menghantar isterinya belajar dan mak cik terkejut menerima berita pagi ini (semalam) dia kemalangan.

“Rasa tidak percaya berlaku kemalangan meragut nyawa anak mak cik itu, tetapi apa pun mak cik terima takdir Tuhan dan tetap bersyukur menantu mak cik masih selamat,” katanya.

Adun Galas, Ab Aziz Yusof turut melawat tiga beradik kerabat Diraja Kelantan yang cedera dalam kemalangan itu di bilik rawatan kecemasan HGM.

Al-Fatihah

Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/kelantan/nahas-4-kereta-seorang-maut-1.192920
nst.com.my/nation/general/man-killed-in-collision-1.339622
hmetro.com.my/myMetro/articles/1maut_5parah/MA/Article




Friday, August 16, 2013

Dua maut bertembung



Inalillahi wainailaihi rojiun

17 Ogos 2013
BESUT - Dua maut dalam kemalangan membabitkan dua buah kenderaan di Kampung Pangkalan Kubur, dekat  Tembila, di sini petang kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 2.30 petang itu, Abdul Manaf Ahmad, 35, yang memandu kereta Proton Saga Aeroback dan penumpang sebuah lagi kereta jenis Honda Civic, Norafzan Rozali, 24, meninggal dunia ketika di rawat di Hospital Besut.

Pemangku Ketua Polis Daerah Besut, DSP Noorzainy Mohd Zakaria berkata, kejadian dikatakan berlaku apabila kereta yang dipandu suami Norafzan, Ahmad Bakrinuddin Mohd Rani, 24, dari arah Kuala Terengganu- Kampung Raja telah hilang kawalan apabila tiba di selekoh di situ.

Menurutnya, kenderaan mangsa telah memasuki laluan bertentangan dan pada masa sama kereta yang dipandu Abdul Manaf bersama isterinya, Azura Zawawi, 28, yang datang dari arah Kampung Raja tidak sempat mengelak lalu melanggar kenderaan pasangan suami isteri itu.

“Kereta Proton itu telah melanggar sisi kiri kenderaan yang dinaiki pasangan tersebut menyebabkan kedua-dua buah kereta terlibat remuk,” katanya.

Noorzainy berkata, kesemua mangsa telah dikejarkan ke Hospital Besut, namun Abdul Manaf dan Norafzan meninggal dunia di Bahagian Kecemasan Hospital tersebut pada jam 4 petang hari sama.

Abdul Manaf yang menetap di Limbongan, meninggal dunia akibat kecederaan parah di kepala manakala Norafzan dari Taman Permai Perdana, Seberang Takir, Kuala Terengganu cedera parah di rusuk kiri.

Suami wanita itu pula cedera parah dan dirujuk ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian, Kelantan manakala isteri Abdul Manaf dirawat di Hospital Besut.

Ketika kejadian, difahamkan Abdul Manaf bersama isterinya dalam perjalanan dari rumah mereka untuk mengambil gambar perkahwinan di Setiu.

Dalam perkembangan lain, polis menahan seorang penganggur di Pulau Perhentian kerana disyaki mencuri telefon bimbit seorang pekerja chalet di pulau berkenaan kelmarin.

Noorzainy berkata, suspek berusia 30 tahun ditahan bersama seunit telefon bimbit jenis Samsung Grand dipercayai milik pekerja lelaki berusia 23 yang dilaporkan hilang pada 14 Ogos lalu.

Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/terengganu/dua-maut-kereta-bertembung-1.192698



Ustaz Azhar Idrus Kemalangan



17 Ogos 2013
SHAH ALAM - Penceramah bebas, Ustaz Azhar Idrus dilaporkan terlibat dalam kemalangan jalan raya, pagi tadi.

Namun, beliau dikatakan tidak mendapat sebarang kecederaan.

Kemalangan berlaku di Pengadang Baru, Kuala Terengganu.



Kuala Terengganu: Penceramah popular Ustaz Azhar Idrus bersama isterinya terbabit dalam kemalangan apabila kereta dipandunya bertembung dengan sebuah kereta lain di persimpangan lampu isyarat Kampung Pengadang Baru, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 7.40 pagi, Ustaz Azhar dan isterinya dilaporkan tidak cedera, manakala pemandu dan penumpang kereta Proton Iswara cedera ringan dalam kemalangan itu menerima rawatan pesakit luar di Hospital Sultanah Nur Zahirah, di sini.



Pemandu kereta Proton Iswara, Che Daek Abdul Rahman, 58, cedera di dada manakala anak saudaranya, Iskandar Mohd Saidi, 12, bengkak di kepala akibat terhantuk dan luka di tangan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu Asisten Komisioner Zamri Shamsuddin ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian.

Katanya, kemalangan berlaku ketika Ustaz Azhar atau nama sebenarnya Zamrul Idrus, 49, dan isterinya dalam perjalanan ke Bukit Payong, Marang.

Beliau berkata, Ustaz Azhar membuat laporan polis pada jam 11 pagi di Cawangan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Terengganu dan memberi keterangan berhubung kemalangan itu.

Sumber:
sinarharian.com.my/uai-terbabit-kemalangan-pagi-tadi-1.192855
hmetro.com.my/articles/UstazAzharIdrus_isterikemalangan/MA/Article




Atlet silat Sukma maut


Inalillahi wainailaihi rojiun

16 Ogos 2013
MELAKA: Selepas kehilangan bintang hoki negara Chua Boon Huat sekali lagi perkembangan sukan negeri terbabit dikejutkan dengan insiden meragut nyawa atlet silat Sukan Malaysia (Sukma) Nur Muhamad Basri 16, yang terbabit kemalangan di persimpangan Masjid Al Azim, Peringgit, semalam.

Allahyarham yang menunggang motosikal dari Masjid Al Azim menuju ke rumahnya di Peringgit maut manakala rakannya Raihan Shah Razali Shah 15 , parah selepas bertembung dengan kereta dari arah Melaka Sentral ke bandar Muar.

Setiausaha Persatuan Silat Seligi Putra Melaka (PSSP), Abd Razak Abd Aziz berkata, pemergian Allahyarham kehilangan besar buat sukan silat olahraga negeri dan negara.

Menurutnya, kejayaan besar Allahyarham muncul peserta terbaik kejohanan silat remaja kebangsaan ke-7 2011 serta juara Kejohanan Dunia Melayu Dunia Islam (DMDI) 2012 di Melaka.

Katanya, dia juga adalah satu-datu mutiara cemerlang yang digilap persatuan sebagai pelapis jaguh dunia kelahiran Hang Tuah menyamai pencapaian legenda kebanggaan Melaka, Ahmad Wardi Salim

Al-Fatihah

Sumber:
hmetro.com.my/myMetro/articles/AtletsilatSukmamaut/Article/index_html


5 beranak nyaris maut



16 Ogos 2013
PARIT BUNTAR - Kemalangan membabitkan dua kereta di Jalan Ipoh-Butterworth, berdekatan Kampung Sungai Rawa, di sini kelmarin nyaris meragut nyawa seorang ibu bersama empat anaknya.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Parit Buntar memaklumkan, kejadian berlaku pada jam 4.10 petang dan mangsa berusia lingkungan 40an manakala anak-anaknya berusia lingkungan 2 hingga 11 tahun.

Menurutnya, mangsa dalam perjalanan dari Pusat Bandar Parit Buntar ke Bagan Serai untuk menziarahi abangnya semasa kejadian.

"Kereta jenis Kia Optima dinaiki mangsa bersama anak-anaknya dikatakan hilang kawalan lalu terbabas ke laluan bertentangan sebelum berlanggar dengan sebuah kereta jenis Proton Saga dinaiki dua mekanik yang sendang membelok ke kanan untuk ke sebuah bengkel.

"Kedua-dua kereta terbabit terhumban ke dalam parit berdekatan selepas pelanggaran. Mangsa dan anak-anaknya bernasib baik kerana kereta yang mereka naiki tidak terbalik dan mereka dapat dikeluarkan dari dalam kenderaan dengan bantuan anggota bomba serta orang ramai," katanya ketika ditemui, semalam.

Sementara itu, saksi kejadian, Amran Abu, 24 berkata, dia yang sedang minum di gerai berhampiran tempat kejadian terkejut mendengar bunyi geseran tayar diselangi dentuman kuat sebelum melihat kedua-dua kereta terbabas ke dalam parit.

Katanya, nasib baik kereta yang dinaiki ibu bersama empat anaknya tidak mengalami kerosakan teruk membolehkan mereka di bawa keluar dari kenderaan terbabit tanpa sebarang kecederaan.

"Dua mekanik terbabit juga berjaya merangkak keluar dari kenderaan dengan selamat. Saya mohon pihak berkuasa meningkatkan tahap keselamatan jalan raya di tempat kejadian kerana kerap berlaku kemalangan di sini.

"Sudah lebih tiga kemalangan ngeri berlaku di kawasan tersebut dan bagi saya, perlu disediakan papan tanda amaran atau lampu isyarat untuk elak kemalangan berulang," katanya.

Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/perak/ibu-empat-anak-nyaris-maut-1.192586



Wednesday, August 14, 2013

Pemuda maut kereta dipandu rempuh treler



14 Ogos 2013
BATU PAHAT – Seorang lelaki maut selepas kereta yang dipandunya merempuh bahagian tengah sebuah treler, dalam kejadian pagi semalam.

Kejadian kira-kira jam 7 pagi itu berlaku di Kilometer 11, Jalan Besar Tongkang Pechah apabila sebuah treler yang keluar dari sebuah simpang gagal dielak mangsa.

Saksi kejadian yang hanya mahu dikenali sebagai Zaki, 30, berkata, dia yang menunggang motosikal untuk ke tempat kerjanya terdengar bunyi dentuman kuat.

"Selepas itu, saya dapati sebuah kereta Perodua Kenari telah merempuh treler yang keluar dari simpang.

"Dalam keadaan kelam kabut itu saya dimaklumkan oleh orang ramai bahawa pemandu kereta itu telah meninggal dunia," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Din Ahmad mengesahkan kejadian itu dan berkata mangsa Yeow Siang Boon, 25, disahkan meninggal akibat kecederaan yang serius.

Siasatan awal juga mendapati kereta berkenaan dipandu laju dan pada masa yang sama treler berkenaan keluar dari sebuah simpang, lalu gagal mengelaknya.

“Mayat dibawa ke Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI), Batu Pahat untuk dibedah siasat,” katanya.

Katanya, buat masa ini pihak polis masih lagi menjalankan siasatan terperinci berkaitan insiden berkenaan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/johor/lelaki-maut-kereta-rempuh-treler-1.191927





Monday, August 12, 2013

Dihempap kepala lori LPG

Seorang lelaki maut dalam keadaan badannya separuh hancur dan perut terburai 
selepas lori tangki dipandu terjunam dari jejambat di Kilometer 280.7 Lebuhraya Utara-Selatan arah selatan - Harian Metro

12 Ogos 2013
Nilai: Seorang pemandu lori tangki gas petroleum cecair (LPG) maut selepas kenderaan dipandunya terbabas dan terhumban dari jejambat setinggi 20 meter di Kilometer 280.7 Lebuhraya Utara-Selatan arah selatan, di sini semalam.
 
Mangsa G. Perumal, 59, dari Taman Pantai Mas, Port Dickson, cedera parah di bahagian badan apabila tercampak dan digilis kepala lori yang remuk dalam kejadian pukul 3.40 petang.
 
Jurucakap polis berkata dalam kejadian itu, pemandu lori tangki terbabit dipercayai hilang kawalan dan terlanggar penghadang jalan di sebelah kiri lebuh raya, menyebabkan kenderaannya jatuh kira-kira empat meter ke bawah jejambat.
 
Katanya mangsa mati di tempat kejadian dan mayatnya dihantar ke Hospital Tuanku Jaafar Seremban.
 
Ketua Operasi Bomba Zainal Ahmad berkata siasatan awal mendapati lori tangki berkenaan kosong dan sedang dalam perjalanan balik ke Port Dickson setelah menghantar bekalan LPG ke Ipoh, Rawang dan Kepong apabila kemalangan itu berlaku.
 
Katanya sebuah jentera bersama 12 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Nilai serta enam anggota bomba yang berada di kawasan Rawat dan Rehat Nilai membantu operasi menyelamat itu.
 
Berikutan kemalangan itu, laluan berkenaan (Jalan Nilai-Pajam) terpaksa ditutup bagi membolehkan lori tangki LPG itu dialihkan.



Terdengar bunyi kuat 

Saksi kejadian yang hanya mahu dikenali dengan nama Siow, 50, berkata ketika melalui terowong di bawah lebuh raya itu dari Taman Semarak, di sini untuk ke pekan lama Nilai, dia terdengar bunyi yang kuat dan ketika melihat cermin pandang belakang, dia melihat sesuatu terjatuh dari jejambat sebelum disusuli kepulan asap.

Sementara itu, Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Nilai, Zainal Ahmad, berkata pihaknya menerima panggilan daripada orang awam kira-kira jam 3.45 petang dan menghantar 12 anggota ke lokasi kejadian.

Katanya, pemandu lori itu dalam perjalanan ke stor penyimpanan LPG di Port Dickson selepas menghantar bahan itu di Ipoh, Perak dan Kepong, Selangor.









Sumber:
bharian.com.my/articles/PemanduloriLPGmautnahas/Article/
hmetro.com.my/articles/DIHEMPAPKEPALALORI/MA/Article
ntv7.com.my/7edition/local-en/TANKER_DRIVER_KILLED_IN_CRASH.html
thestar.com.my/News/Nation/2013/08/13/Driver-killed-as-lorry-plunges-off-overhead-bridge.aspx




Sunday, August 11, 2013

Maut tersepit bertembung lori

R Ramas maut kemalangan

12 Ogos 2013
SEREMBAN - Seorang lelaki maut selepas kereta dipandunya hilang kawalan lalu bertembung dengan sebuah lori dari laluan bertentangan di kilometer 4 Jalan Siliau Rantau, Kampung Sega, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 9.05 pagi itu, mangsa R Ramas, 34, meninggal dunia di tempat kejadian.

Jurucakap polis berkata, ketika kejadian mangsa yang memandu kereta jenis Toyota Le berseorangan dipercayai dari arah Siliau, Rantau.

“Bagaimanapun kereta dipandu mangsa tiba-tiba hilang kawalan dan masuk ke laluan bertentangan.

“Kejadian itu mengakibatkan kereta dipandu mangsa dirempuh sebuah lori jenis Isuzu seberat satu tan,” katanya.

Menurutnya, perlanggaran secara berhadapan itu menyebabkan mangsa tersepit dan maut serta merta.

“Mangsa dan pemandu lori yang mengalami cedera parah dibawa ke Hospital Tuanku Jaafar Seremban untuk tindakan lanjut,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Turus Trafik negeri,  Asisten Superintendan Abdul Halil Hamzah ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu.


Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/melaka-ns/lelaki-maut-kereta-hilang-kawalan-1.191185


Anggota peronda maut

Muhammad Zulkifflie Mohd Sanusi maut dalam kemalangan di Jalan Gong Dermin, Pasir Tumboh


Inalillahi wainailaihi rojiun

12 Ogos 2013
KOTA BHARU - Hajat seorang anggota unit peronda dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul, Kuala Lumpur untuk bertemu rakan di kampung sempena sambutan Aidilfitri, tidak kesampaian selepas terlibat dalam kemalangan di Jalan Gong Dermin, Pasir Tumboh di sini, semalam.

Kejadian pada jam 6.10 pagi itu berlaku ketika mangsa, Muhammad Zulkifflie Mohd Sanusi, 22, dalam perjalanan dari rumahnya di Kedai Menanti, Pasir Puteh ke Binjai untuk singgah di rumah rakannya.

Mangsa yang menunggang motosikal jenis Yamaha 125 Z secara sendirian, dipercayai hilang kawalan lalu terbabas dan melanggar tiang lampu di kiri pembahagi jalan sebelum maut di tempat kejadian.

Abang mangsa, Mohamad Zairie Mohd Sanusi, 29, berkata, adiknya keluar dari rumah kira-kira jam 6 pagi untuk pulang ke Kuala Lumpur dan berhajat untuk singgah sebentar di rumah rakannya sebelum pulang.

“Saya hanya dikejutkan dengan berita adik terlibat kemalangan selepas menerima panggilan dan terus bergegas ke tempat kejadian. Sayu melihat mayat adik yang terbujur kaku, namun saya redha dengan pemergiannya dan mendoakan semoga rohnya dicucuri rahmat,” katanya.

Menurutnya, adiknya yang merupakan anak ketiga dari lima beradik, merupakan seorang yang peramah dan mudah mesra dengan keluarga dan rakan-rakannya.

“Dia tidak menunjukkan sebarang tanda-tanda yang pelik sebelum meninggal, namun dia sempat beraya bersama keluarga dan pulang ke kampung pada hari raya pertama.

“Apa pun kami tetap terima ketentuan dan segala yang berlaku terhadapnya dengan hati yang tabah,” katanya.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Supritendan Idris Abd Rafar ketika dihubungi berkata, mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian selepas mengalami kecederaan parah di bahagian kepala.

“Mayat mangsa di bawa ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian, untuk bedah siasat sebelum dituntut oleh keluarganya untuk urusan pengebumian.


Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/kelantan/anggota-peronda-maut-1.191343



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Headlines

FeedBurner FeedCount