loading...
Saturday, August 17, 2013
1 maut 5 parah
Inalillahi wainailaihi rojiun
18 Ogos 2013
GUA MUSANG - Sehari sebelum tamat Ops Selamat musim perayaan Aidilfitri yang dijadualkan esok mencatat kemalangan paling buruk membabitkan empat kenderaan di Kilometer 25.9 Jalan Gua Musang-Kuala Krai, berhampiran Gua Sejuk, dekat sini, pagi semalam.
Dalam kejadian kemalangan kira-kira jam 7.30 pagi itu, menyebabkan seorang maut dan lima parah termasuk tiga beradik kerabat Diraja Kelantan manakala dua yang lain terselamat.
Mangsa maut di tempat kejadian dikenali Mohd Saiful Bahri Awang, 41, berasal dari Rancangan Kemajuan Tanah (RKT) Kesedar Sungai Asap A manakala isterinya, Siti Nor Fazlina Mohamad, 34, seorang jururawat Klinik Kesihatan Jeram Tekoh cedera parah.
Empat lagi yang parah dikejarkan ke Hospital Gua Musang (HGM) untuk menerima rawatan tiga beradik kerabat Diraja Kelantan iaitu, Tengku Ibrahim Farihaddin Tengku Feissel, 38, adiknya Tengku Fatimah Ainura, 34 dan Tengku Farini Amelina, 26.
Penyelia Tanah Rancangan Felda Jengka 9, Mohd Faizal Mohf Sukri, 30 turut menerima rawatan di hospital sama manakala yang terselamat dalam kemalangan terbabit, Yusri Ismail, 31 dan isterinya, Faradila Kadir, 30.
Kejadian itu berlaku dipercayai kereta dinaiki tiga beradik kerabat Diraja Kelantan itu yang dipandu, Tengku Farini Amelina dalam perjalanan dari Kota Bharu ke Kuala Lumpur terbabas memasuki laluan bertentangan sebelum bergesel dengan kereta Produa ALZA dipandu Yusri.
Selepas itu, kereta Proton Saga dipandu kerabat Diraja Kelantan itu pula bertembung dengan kenderaan dipandu Mohd Saiful Bahri yang dalam perjalanan dari Gua Musang ke Kota Bharu dan kenderaan Proton Persona dipandu Mohd Faizal.
Berikutan itu, seorang penumpang kerabat Diraja Kelantan itu tercampak keluar ke atas jalan dalam keadaan cedera parah sebelum kenderaannya menjunam ke dalam cerun.
Yusri ketika ditemui di tempat kejadian berkata, dia sempat mengelak kenderaannya apabila melihat kereta dinaiki tiga beradik kerabat Diraja itu terbabas memasuki lalu bertentangan.
Katanya, sebaik berlaku kejadian itu, dia terus memberhentikan kenderaan untuk melihat kenderaannya yang rosak dan melihat dua lagi kenderaan terbabit dalam kemalangan berkenaan.
“Saya terus bergegas ke tempat kejadian kerana melihat kejadian kemalangan itu membabitkan banyak kenderaan hingga ada yang tercampak keluar dari kereta dinaikinya.
“Sayu saya mendengar suara meminta tolong termasuk dari kereta dinaiki mangsa dan kereta dinaiki tiga beradik kerabat Diraja Kelantan itu yang masing-masing berada dalam cerun di tempat berasingan,” katanya.
Ibu mangsa, Siti Zubaidah Yusoff, 63, berkata, anaknya itu dalam perjalanan ke Kota Bharu untuk menghantar menantu (isteri mangsa) yang ingin menyambung pelajaran dan perlu berada di bandar itu jam 9 pagi hari kejadian.
“Memang dia ada bagi tahu mak cik malam kelmarin yang dia akan ke Kota Bharu pagi esok (hari ini) untuk menghantar isterinya belajar dan mak cik terkejut menerima berita pagi ini (semalam) dia kemalangan.
“Rasa tidak percaya berlaku kemalangan meragut nyawa anak mak cik itu, tetapi apa pun mak cik terima takdir Tuhan dan tetap bersyukur menantu mak cik masih selamat,” katanya.
Adun Galas, Ab Aziz Yusof turut melawat tiga beradik kerabat Diraja Kelantan yang cedera dalam kemalangan itu di bilik rawatan kecemasan HGM.
Al-Fatihah
Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/kelantan/nahas-4-kereta-seorang-maut-1.192920
nst.com.my/nation/general/man-killed-in-collision-1.339622
hmetro.com.my/myMetro/articles/1maut_5parah/MA/Article
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment