loading...

Friday, July 6, 2012

Pemandu lori kontena maut tersepit



Inalillahi wainailaihi rojiun   

HULU BERNAM - Seorang pemandu lori kontena maut manakala kelindannya cedera setelah kenderaan dipandu terbabas dan terbalik di Kilometer 413.2 Lebuhraya Utara Selatan arah Kuala Lumpur pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Norel Azmi Yahya Affendi berkata, mangsa maut akibat kecederaan parah di kepala dan beberapa anggota badan setelah tersepit di tempat duduk pemandu.

“Kejadian berlaku kira-kira jam 9.20 pagi ketika kedua-dua mangsa yang dalam perjalanan dari Kedah ke Kuala Lumpur telah hilang kawalan lalu terbabas dan melintang di tengah jalan.

“Pemandu maut di tempat kejadian manakala kelindannya cedera dan telah dikejarkan ke Hospital Sungai Buloh,” katanya kepada Sinar Harian.

Beliau berkata, anggota Bomba dan Penyelamat Kuala Kubu Bharu turut dikerah bagi mengeluarkan mangsa yang tersepit.

Katanya, pemandu yang maut dikenali sebagai Azrizan Abdul Aziz, 26, manakala kelindannya Mohd Farid Abdul Hamid, 21.

Menurutnya, mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Kuala Kubu Bharu (HKKB) untuk bedah siasat dan kes itu disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sementara itu, menurut sumber lori kontena terbabit dipercayai dipandu laju sebelum terbabas di laluan berkenaan berdasarkan kesan seretan kira-kira 50 meter.

Lori kontena yang terbalik turut menghalang laluan lebuh raya sehingga mengakibatkan kesesakan.

Kenderaan yang membawa muatan lampu itu dipercayai dalam perjalanan dari Padang Besar menuju sebuah gudang di Subang.

Al-Fatihah

Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/selangor-kl/pemandu-lori-kontena-maut-1.63982

Thursday, July 5, 2012

Proton Iswara Terbang Ke Longkang



SEREMBAN – Seorang lelaki nyaris maut apabila kereta Proton Iswara dipandunya terbabas sebelum terjunam ke dalam longkang sedalam dua meter di Jalan Forest Hight berhampiran sebuah pasar raya, di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 2 petang itu, mangsa, Muhammad Ahmad Fikri, 20, yang memandu bersendirian dalam perjalanan dari Rasah ke Senawang.

Bagaimanapun ketika menuruni jalan yang agak berbukit, kereta mangsa tiba-tiba hilang kawalan menyebabkannya terus meluncur laju lalu terbabas ke dalam longkang.

Seorang saksi, K Rajakumaran, 52, berkata, ketika kejadian dia berada di lokasi terbabit kerana melakukan kerja pembersihan.

“Saya lihat dari jauh sebuah kereta meluru laju ke longkang terbabit menyebabkan saya terus bergegas ke situ.

“Saya nampak seorang lelaki keluar daripada kereta terbabit dan orang ramai yang berada di kawasan berkenaan cuba membantu," katanya.

Menurutnya, mangsa mengalami kecederaan ringan dan dihantar oleh rakannya ke hospital.

Sinar Harian difahamkan, ia kemalangan kedua berlaku di lokasi yang sama.

Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/melaka-ns/kereta-terbabas-masuk-longkang-1.63849

Tuesday, July 3, 2012

Gara-gara gelak lubang

 
JOHOR BAHRU – Gara-gara cuba mengelak lubang, seorang pemandu cedera ringan dan kelindannya patah kaki kanan apabila treler dinaiki hilang kawalan, lalu terjunam dari jejambat setinggi 10 meter di Jalan Ros Merah Utama, Taman Johor Jaya, di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira 8.07 pagi itu, pemandu, V Ramu, 22, manakala adiknya, V Iswaran, 18, dalam perjalanan menghantar barang dari Melaka ke Pasir Gudang bernasib baik tidak mengalami kecederaan serius akibat kemalangan itu.

“Saya cuba untuk mengelak jalan berlubang dan disebabkan itu, saya gagal mengawal kenderaan sehingga terbabas lalu melanggar pengadang jejambat berkenaan sebelum terjunam setinggi kira-kira 10 meter.

“Ketika itu, kami berasa cemas dan terbayang bakal berdepan dengan maut, namun kami bersyukur kerana masih terselamat walaupun adik patah kaki, selepas berjaya keluar daripada treler berkenaan saya terus menghubungi keluarga di Melaka.

Ramu berkata, akibat kemalangan berkenaan beliau mengalami kerugian kira-kira RM30,000 apabila treler yang dipandunya rosak teruk, selain perlu menanggung kos memperbaiki kerana perlindungan insurans hanya membabitkan pihak ketiga.

Sementara itu, bapa mangsa, P Veteveloo, 45, bergegas dari kediamannya di Melaka selepas menerima panggilan Ramu memaklumkan mengenai kemalangan terbabit, termasuk kecederaan yang dialami Iswaran.

“Saya bergegas ke tempat kejadian kerana risau terhadap keadaan mereka, namun bersyukur kerana kedua-dua anak saya selamat,” katanya.

Sementara itu, Ketua Operasi Balai Bomba, Taman Johor Jaya, Azemi Abdullah berkata, pihaknya tiba ke lokasi kejadian kira-kira 10 minit kemudian membabitkan enam anggota bagi mengalihkan treler berkenaan yang mempunyai muatan karung plastik.

“Disebabkan kemalangan itu, Jalan Ros Merah Utama ditutup daripada laluan trafik sekali gus menyebabkan kesesakan,” katanya.

Beliau berkata, kerja-kerja mengalihkan kenderaan dan muatan selesai kira-kira 2.15 petang, manakala kedua-dua mangsa dihantar ke Hospital Sultan Ismail (HSI) untuk menerima rawatan.

Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/johor/treler-terjunam-gara-gara-elak-lubang-1.63143

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Headlines

FeedBurner FeedCount