loading...

Saturday, December 21, 2013

Bekas Penyelia NSTP Maut Bersama Isteri



Inalillahi wainailaihi rojiun

21 Disember 2013
Marang: "Saya menekan brek dengan kuat sebaik saja melihat sebuah lori itu merempuh kereta dari arah bertentangan," kata Suhaimi Ali, 45, saksi kemalangan ngeri mengorbankan pasangan suami isteri di Kilometer 47, Jalan Kuala Terengganu-Kuantan, Kampung Pasir Putih, dekat sini, petang tadi.

Kemalangan kira-kira jam 5 petang itu mengorbankan Mohamed Hanafi Abdul Manaf, 62, bekas Penyelia Teknikal Loji Percetakan The New Straits Times Press (M) Bhd (NSTP) di Kuala Lumpur dan isterinya Rabiah Mat Hussin, 55.

Kejadian dipercayai berlaku apabila sebuah lori dua tan dalam perjalanan dari arah Dungun ke Kuala Terengganu, dipercayai memotong sebuah kenderaan sebelum bertembung dengan Perodua Kancil dinaiki pasangan itu yang datang dari arah bertentangan.

Berikutan rempuhan kuat itu, sebuah van dipandu Che Fauzi Ali, 45, dari Kampung Padang Pulut Dungun yang berada di belakang kenderaan mangsa mengelak ke kanan dan turut dirempuh lori terbabit.

Pasangan suami isteri yang tinggal di Kampung Batu Tiong, Dungun itu meninggal dunia serta-merta di tempat kejadian selepas parah di bahagian kepala dan mengalami kecederaan dalaman selain patah kaki.


Bagaimanapun, pemandu lori terbabit, Mohd Nor Su yang berusia 30-an dari Kuala Abang, Dungun dan Che Fauzi tidak mengalami sebarang kecederaan.

Suhaimi berkata, ketika kejadian, dia bersama ahli keluarganya dalam perjalanan dari Kuala Terengganu ke Dungun sebelum terserempak dengan kemalangan itu.

"Saya terkejut dengan tindakan pemandu lori terbabit yang terus merempuh kereta dinaiki pasangan itu sehingga berpusing dan menghala semula ke Kuala Terengganu," katanya ketika ditemui di tempat kejadian, petang tadi.

Menurutnya, dia bersama beberapa pengguna jalan raya lain bergegas membantu dan sebaik membuat pemeriksaan nadi kedua-dua mangsa yang tersepit di tempat duduk kenderaan ketika itu sudah tidak bernyawa.

"Mujur saya sempat menekan brek dan mengelak ke tepi. Jika tidak, sudah tentu saya dan keluarga akan turut merempuh lori terbabit," katanya.

Sementara itu, rakan Allahyarham Mohamed Hanafi, Zulkifli Idris, 35, berkata dia langsung tidak menyangka mangsa yang terbabit dalam kemalangan itu rakan baiknya.

"Saya berhenti di tempat kejadian dan tidak menyangka Perodua Kancil dinaiki arwah yang terbabit dalam kemalangan itu kerana nombor pendaftaran kereta berkenaan hancur.

"Selepas melihat kad pengenalannya yang dipegang pegawai penyiasat polis, baru saya tahu dan sangat terkejut kerana dia sahabat saya," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Deputi Suprintendan Ahmad Mazlan Yahaya ketika dihubungi mengesahkan pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu.

Katanya, jenazah kedua-dua mangsa dihantar ke Bilik Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu untuk siasatan lanjut.

"Polis sudah memaklumkan kejadian itu kepada ahli keluarga mangsa dan siasatan lanjut berhubung dengan kejadian itu sedang dijalankan," katanya.


Sumber:
http://www.hmetro.com.my/articles/Suamiisterimautkeretadirempuhlori//Article?BeritaUtama



Friday, December 20, 2013

Dua beradik maut



Inalillahi wainailaihi rojiun

21 Disember 2013
TAMPIN – Dua beradik maut selepas mengalami kecederaan parah susulan motosikal yang dinaiki bertembung dengan pacuan empat roda dari arah bertentangan di Kilometer 7, Jalan Air Kuning Selatan-Sungai Dua, dekat sini, petang kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 3.20 petang itu, kedua-dua beradik berkenaan, Muhammad Syawal Noor Arzeme, 14, pelajar Sekolah Menengah Rendah Agama (SMRA) Repah dan adiknya, Nur Umi Umairah Noor Arzeme, 11, murid  Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Dua, melambung dan jatuh di bahu jalan.

Saudara mangsa, Saliha Abd Ghani, 46, berkata, sewaktu kejadian, dua beradik itu dalam perjalanan pulang ke rumah mereka di Sungai Dua setelah selesai membantu keluarga di kebun getah.

“Jam dua sebelum kejadian, arwah (Umi) telefon anak saya. Kata anak saya, Umi nak tidur di rumah kami."

Menurut Saliha, Nur Umi memang rapat dengan anak bongsunya, Nor Asmira Atiqah Jamri, 11.

"Tapi sejak cuti sekolah mereka jarang bertemu," katanya ketika ditemui di perkarangan Bilik Mayat Hospital Tampin (HT), dekat sini, kelmarin.

Tambahnya, minggu lalu, arwah ada menyatakan keinginan untuk berjumpa Nor Asmira Atiqah kepada ibunya.

"Arwah sangat gembira sebab dapat jumpa dan tidur rumah kami. Tapi malangnya hasrat itu tidak kesampaian," katanya.

Untuk rekod, dua beradik berkenaan merupakan anak pertama dan kedua daripada empat beradik.

Sementara itu, jurucakap polis berkata, berdasarkan siasatan awal, motosikal jenis Yamaha Ego yang dinaiki dua beradik berkenaan cuba memotong kenderaan lain dan masuk ke laluan bertentangan.

“Bagaimanapun, dalam masa yang sama datang sebuah pacuan empat roda jenis Toyota Hilux dari arah bertentangan dan berlaku rempuhan.  Kedua-dua mangsa melambung ke bahu jalan.

“Motosikal mangsa diheret sejauh 20 meter oleh pacuan empat roda berkenaan yang dipandu seorang lelaki berusia 28 tahun, sebelum terbabas masuk ke dalam semak di kiri jalan.  Kedua-dua mangsa maut di tempat
kejadian," katanya.

Al-Fatihah

Sumber:
http://www.sinarharian.com.my/edisi/melaka-ns/dua-beradik-maut-kemalangan-1.232711



Melekat bawah lori tanah



21 Disember 2013
PARIT BUNTAR – Berpantang maut sebelum ajal!  Seorang penunggang motosikal cedera parah walaupun motosikalnya ‘melekat’ di bawah lori tanah dalam satu kejadian di Kilometer 123, Jalan Ipoh-Butterworth berhampiran Kampung Kedah di sini, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 12 tengah hari itu, mangsa berusia 20an patah di kedua kakinya setelah terperosok bersama motosikalnya ketika lori bermuatan tanah merah sedang membelok masuk ke sebuah simpang.

Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Mat Fauzi Nayan berkata, siasatan mendapati penunggang motosikal terbabit dipercayai cuba memotong beberapa kenderaan di lorong kiri sebelum gagal mengelak sebuah lori yang sedang membelok.

“Penunggang motosikal terbabit gagal menekan brek lalu terperosok di bawah lori terbabit. Penunggang berkenaan dipercayai mengalami kecederaan serius pada bahagian kaki.

“Lelaki terbabit berjaya dikeluarkan dengan bantuan Bomba dan Penyelamat serta orang awam yang membantu sebelum di bawa ke Hospital Parit Buntar untuk mendapatkan rawatan kecemasan,” katanya.

Sementara itu, seorang saksi, Din Ishak, 29, berkata, dia terkejut mendengar bunyi dentuman kuat di jalan ketika dia sedang membaiki motosikal di bengkel berhampiran.

“Saya perasan kelibat penunggang terbabit yang cuba memotong secara melulu di bahagian kiri jalan. Tidak sampai seminit, saya terdengar bunyi brek dan orang ramai mengerumuni lori terbabit.

“Saya bersama pelanggan kemudian menghubungi talian kecemasan. Kalau diikutkan cara kemalangan itu, kami fikirkan penunggang mungkin tidak bernasib baik,” katanya.

Sumber:
http://www.sinarharian.com.my/melekat-bawah-lori-tanah-1.232739



Thursday, December 19, 2013

Maut rempuh 3 kereta



Inalillahi wainailaihi rojiun

20 Disember 2013
GERIK – Seorang lelaki maut apabila kereta yang dipandunya hilang kawalan lalu merempuh tiga kereta yang berada di laluan bertentangan di Kilometer 29, Jalan Raya Timur Barat, Gerik – Jeli di sini, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 3.20 petang, mangsa, Mohd Syahmi Abdul Murad, 27, yang menaiki kereta Perodua Kelisa dipercayai dipandu laju ketika menuruni selekoh berbukit dalam perjalanan menuju ke Jeli.

Pertembungan itu menyebabkan tiga mangsa dari kenderaan lain mengalami cedera ringan.

Ketua Polis Daerah Gerik, Superintendan Abdul Manab Baharom berkata, kemalangan membabitkan empat kenderaan itu menyebabkan seorang lelaki maut selepas mengalami pendarahan serius di kepala.

Menurutnya, tiga lagi pemandu dan penumpang dari kenderaan berasingan mengalami kecederaan ringan dan telah mendapatkan rawatan di Hospital Gerik pada hari kejadian.

“Siasatan awal mendapati mangsa berasal dari Jerteh, Terengganu memandu seorang diri dari Gerik menuju ke Jeli, Kelantan dipercayai dipandu secara laju ketika menuruni selekoh berbukit.

“Pada masa sama, sebuah Proton Inspira yang sedang memotong Proton Gen 2 tidak sempat mengelak lalu bertembung dengan kereta mangsa manakala Proton Saga yang berada di belakang tidak sempat menekan brek turut terbabit dalam kemalangan itu,” katanya.

Abdul Manab berkata, anggota Bomba dan Penyelamat dipanggil untuk mengeluarkan mangsa sebelum dibawa ke Hospital Gerik untuk bedah siasat.

“Pemandu dan penumpang duduk hadapan kereta Proton Inspira mengalami kecederaan di muka manakala, penumpang kereta Proton Gen 2 turut mendapat rawatan di hospital sama sebelum dibenarkan pulang.

Kemalangan itu menyebabkan tiga daripada kenderaan mengalami remuk di bahagian hadapan. Ketika kejadian, cuaca terang manakala bentuk jalan selekoh menurun bukit mempunyai dua lorong mendaki ke Gerik serta satu lorong menurun menghala ke Jeli,” katanya.

Abdul Manab berkata, punca sebenar kemalangan masih disiasat  mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sumber:
http://www.sinarharian.com.my/edisi/perak/lelaki-maut-terlibat-nahas-empat-kereta-1.232400



Pelajar kolej maut bertembung bas



20 Disember 2013
BENTONG - Seorang pelajar kolej maut dalam kemalangan apabila motosikal ditungganginya terbabas dan bertembung dengan bas di Kilometer 3.3 Jalan Lama Bentong-Gombak kira-kira jam 12.40 tengah hari, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Mohamad Mansor Mohamad Nor berkata, mangsa dikenali sebagai, P Ramesh Kumar, 22, merupakan pelajar Kolej Sains Kesihatan Bersekutu, Sungai Buloh dan beralamat di Mentakab.

Katanya, mangsa menunggang motosikal jenis Honda Future seorang diri dari arah Ketari ke Gombak.

“Setibanya di selekoh tempat kejadian, motosikal ditunggang mangsa dipercayai terbabas lalu masuk ke laluan bertentangan.

“Kemudian bertembung dengan bas jenis Higer yang dalam perjalanan dari Semenyih ke Puspakom Raub,” katanya kepada Sinar Harian.

Mohamad Mansor berkata, akibat kejadian itu motosikal mangsa terperosok di bahagian hadapan bas.

Katanya, mangsa mengalami kecederaan dibahagian kaki, tangan dan perut sebelah kanan

“Mangsa dibawa ke Hospital Bentong untuk menerima rawatan dan seterusnya dihantar ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (Hoshas) untuk rawatan susulan.

“Namun kira-kira jam 5.30 petang hari sama mangsa disahkan mati,” katanya.

Mohamad Mansor berkata, dalam kejadian itu pemandu bas berusia 49 tahun tidak mengalami kecederaan.

Katanya, ketika kejadian berlaku cuaca cerah dan trafik tidak sibuk serta keadaan jalan berselekoh.

“Siasatan masih diteruskan di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Sumber:
http://www.sinarharian.com.my/edisi/pahang/maut-terbabas-dan-bertembung-bas-1.232325



Rakyat Malaysia maut di Australia


Kuala Lumpur: Seorang kanak-kanak lelaki rakyat Malaysia berusia enam tahun maut manakala ibunya parah selepas dirempuh sebuah kereta dipandu seorang wanita di Jalan Marsden, Carlingford, Sydney, Australia, semalam.

Berdasarkan laporan media Australia, kejadian berlaku kira-kira jam 9.20 pagi waktu tempatan.

Mangsa, Akshaaye Balakrishnan, 6, bersama ibunya, Fung Ying Ong, 38, dilaporkan menemani dua sepupunya berusia empat dan lima tahun untuk ke sekolah berhampiran dengan berjalan kaki sebelum dirempuh kereta berkenaan.


Sumber:
http://www.smh.com.au/nsw/child-dead-in-crash-outside-carlingford-school-20131218-2zjzw.html
http://www.bharian.com.my/bharian/articles/RakyatMalaysiamautnahasdiAustralia/Article





Rempuh Polis Kerana Panik



19 Disember 2013
Tuaran: Akibat panik apabila mendapati anggota polis melakukan sekatan jalan dalam Ops Cantas Khas Trafik, seorang penunggang motosikal merempuh sekatan itu sehingga menyebabkan seorang anggota polis cedera di paha dan tangan kanannya dalam kejadian di Jalan Telibong-Tamparuli, dekat sini, kelmarin.

Dalam kejadian jam 11.15 pagi itu, Koperal Madlan Suara, 47, dikejarkan ke Hospital Tuaran di sini, selepas cedera di tapak tangan dan jari manis serta pahanya dan menerima beberapa jahitan.

Bagaimanapun, Madlan yang masih menerima rawatan di Hospital Tuaran di sini, dilaporkan berada dalam keadaan stabil, manakala penunggang motosikal berusia 17 tahun itu ditahan.

Ketua Polis Daerah Tuaran Deputi Superintendan Abdul Fuad Abdul Malek berkata, siasatan mendapati, suspek menunggang motosikal Honda EX5 dari Tuaran menuju ke Tamparuli, dekat sini, dan sebaik tiba di tempat kejadian, suspek panik apabila melihat anggota polis sedang melakukan sekatan jalan.

“Penunggang motosikal itu cuba melarikan diri dengan merempuh Koperal Madlan,” katanya ketika dihubungi, di sini, semalam.

Sumber:
http://www.hmetro.com.my/articles/Paniklihatsekatanjalan//Article?HarianMetro


Pasangan pesara guru maut



Inalillahi wainailaihi rojiun

19 Disember 2013
Baling: “Arwah tidak menunjukkan perubahan sikap ketika kami berbual pada majlis Makan Malam Jasamu Dikenang di Kompleks Rakan Muda malam tadi (kelmarin), sebaliknya dia begitu seronok bercerita mengenai kerja kebajikan dan sukarelawan yang dilakukannya.”

Begitu kata Fadzil Husain, 55, rakan Allahyarham Mohd Yusof Md Lazim, 61, yang maut bersama isterinya Hamidah Dolah, 58, apabila motosikal dinaiki mereka bertembung dengan sebuah PERODUA Alza di Jalan Kuala Ketil-Labu Besar berdekatan Kampung Kuala Bakong, Kuala Ketil, di sini, semalam.

Kejadian berlaku jam 1.30 tengah hari ketika Mohd Yusof dan isterinya dipercayai dalam perjalanan pulang ke rumah mereka di Taman Batu Pekaka, Kuala Ketil dari kebun mereka di Kampung Kejai.

Fadzil berkata, ketika menjamu selera pada majlis berkenaan, arwah yang juga bapa kepada lima anak kelihatan begitu mesra dan banyak bercerita mengenai kerja sukarela selepas bersara sebagai guru.

“Arwah mengakui suka melakukan kerja kebajikan dan sukarela selepas pencen kerana boleh dicontohi generasi muda.

“Dia nampak ceria seperti biasa dan ingin melakukan banyak aktiviti kebajikan lain di kawasan perumahannya, selain turut memegang tanggungjawab sebagai Pengerusi Skim Rondaan Sukarela di taman itu,” katanya ketika ditemui di Bilik Mayat Hospital Baling, di sini.

Menurutnya, dia terkejut apabila dimaklumkan arwah meninggal dunia selepas terbabit nahas jalan raya sedangkan masih segar di ingatan mereka bersama-sama menikmati jamuan dan berbual panjang pada malam kelmarin.

“Saya tidak menyangka perbualan panjang semalam (kelmarin) menjadi detik terakhir sebelum arwah pergi buat selama-lamanya.

Arwah seorang yang periang dan kelakar, malah suka membantu dalam kerja kebajikan,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Baling Deputi Superintendan Wari Kiew berkata, kejadian berlaku ketika pasangan suami isteri yang juga pesara guru terbabit dipercayai dalam perjalanan pulang ke rumah mereka selepas berkebun.

Menurutnya, mangsa menaiki motosikal dari Malau ke Kuala Ketil, sebelum bertembung dengan PERODUA Alza dari Sungai Petani ke Kuala Ketil menyebabkan Mohd Yusof terseret sejauh 15 meter, manakala isterinya tercampak sejauh enam meter.

Katanya, akibat itu kedua-dua mangsa meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah di anggota badan dan kepala, manakala pemandu kereta serta dua penumpangnya selamat.

“Siasatan masih dijalankan mengikut Seksyen 41(1), Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 kerana memandu dengan melulu sehingga menyebabkan kematian,” katanya.

Sumber:
http://www.hmetro.com.my/articles/Jasahinggahujungnyawa/MA/Article



Wednesday, December 18, 2013

Pelajar Politeknik Ibrahim Sultan Maut


Inalillahi wainailaihi rojiun

18 Disember 2013
SEREMBAN – Seorang pelajar Politeknik Ibrahim Sultan, Pasir Gudang, Johor maut selepas motosikal yang ditunggangnya terbabit kemalangan di Kilometer 265.5 Lebuhraya Utara-Selatan arah utara, di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 9.20 pagi itu, mangsa, Rozaini Nordin, 18, yang menunggang motosikal jenis Honda EX5 berwarna biru secara sendirian, maut di tempat kejadian akibat mengalami kecederaan dalaman di dada.

Jurucakap polis berkata, mangsa yang berasal dari Jerantut, Pahang, dalam perjalanan dari Pasir Gudang, Johor ke arah utara.

“Bagaimanapun, sampai di lokasi kejadian, motosikal yang ditunggangi mangsa dipercayai telah hilang kawalan sebelum merempuh besi pembahagi jalan sebelah kiri.

“Mangsa yang terbabas sendiri kemudiannya terjatuh ke atas jalan dan mengalami kecederaan dalaman di dada. Mangsa meninggal dunia serta merta di tempat kejadian,” katanya di sini, semalam.

Tambahnya, daripada hasil siasatan awal, kemalangan berkenaan tidak melibatkan kenderaan lain.

“Mayat mangsa dibawa ke Hospital Tuanku Jaafar Seremban (HTJS) untuk bedah siasat sebelum dituntut ahli keluarga,” katanya.

Sementara itu, pegawai turus trafik negeri, Asisten Superintendan Abd Halil Hamzah mengesahkan menerima laporan mengenai kejadian itu dan punca kemalangan masih disiasat.

Al-Fatihah

Sumber:
http://www.sinarharian.com.my/edisi/melaka-ns/pelajar-politeknik-maut-1.231620



Cucu merangkak keluar


18 Disember 2013
REMBAU – “Saya bergegas ke jalan utama sebaik mendengar bunyi dentuman kuat dan melihat dua cucu mangsa sedang merangkak keluar dari kereta yang terbabas serta terbalik di dalam longkang,” luah saksi kejadian, Syafini Ahmad, 24, ketika ditemui di lokasi kemalangan kilometer 20, Jalan Seremban-Tampin, lewat petang kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira 6.45 petang itu, mangsa, Sapiah Maulud, 63, tersepit selama 15 minit dalam kereta yang terbalik, manakala dua cucunya berusia 12 dan 10 tahun berjaya merangkak keluar dari pintu kereta yang terbuka.

Menurut Syafini, ketika kejadian dia sedang berada di bengkel membasuh kereta dan segera ke lokasi  kemalangan serta membantu membawa dua cucu mangsa berlindung di lokasi yang lebih selamat berdekatan bengkel berkenaan.

“Manakala, wan mereka (Sapiah) tidak boleh keluar susulan tersepit dan anggota bomba mengambil masa kira-kira 10 minit bagi membawa mangsa keluar dari kereta yang sudah terbalik di dalam longkang berkenaan.

“Memang terkejut dan cemas lebih-lebih lagi bunyi dentuman sangat kuat dan kemalangan juga begitu dekat dengan lokasi bengkel membasuh kereta ini. Mujur orang awam yang berada di sini pantas menghulurkan bantuan kepada mangsa yang terlibat,” katanya.

Sementara itu, Sapiah berkata, ketika kejadian dia dalam perjalanan pulang dari rumah anaknya di Seremban menuju ke arah Rembau, namun keretanya terbabas sebelum terbalik ke dalam longkang.

“Saya tersepit dan hanya berjaya dibawa keluar oleh anggota bomba. Mujur cucu saya berjaya keluar dari kereta Proton Saga yang terbalik ini.

Sumber:
http://www.sinarharian.com.my/edisi/melaka-ns/cucu-merangkak-selamatkan-diri-1.231615



Tuesday, December 17, 2013

Empat terbakar bersama Skyline


18 Disember 2013
Kuala Lumpur: Empat maut apabila kereta jenis Nissan Skyline terbakar selepas terbabit dalam kemalangan di bulatan Kampung Pandan di sini, awal pagi ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 12.42 tengah malam itu, kenderaan dinaiki empat mangsa terdiri daripada tiga lelaki dan seorang perempuan berusia lingkungan 20-an itu terbabas sebelum melanggar bahu jalan dan terbakar.

Harian Metro difahamkan, empat mangsa yang mengalami kecederaan gagal keluar daripada kenderaan itu menyebabkan mereka terbakar bersama kereta berkenaan.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur Azizan Ismail berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kemalangan berkenaan kira-kira jam 12.42 tengah malam.


"Beberapa jentera dengan 13 anggota bergegas ke lokasi kejadian dan tiba di kira-kira 10 minit kemudian sebelum usaha memadamkan kebakaran dilakukan.


"Pemeriksaan lanjut kemudian mendapati empat mangsa terbakar dalam kebakaran berkenaan.

"Seorang wanita dan tiga lelaki dipercayai maut dalam kejadian berkenaan," katanya memberitahu, identiti mangsa setakat ini masih belum dapat dipastikan.










KUALA LUMPUR- Seramai enam individu maut dalam insiden kemalangan ngeri membabitkan sebuah kereta jenis Nissan Skyline yang berlaku di Bulatan Kampung Pandan berhampiran Kompleks Sukan Kampung Pandan di sini, awal pagi semalam.

Dalam kemalangan kira-kira 12.30 malam itu, kereta yang dinaiki oleh seorang lelaki dan lima wanita itu dalam perjalanan menuju ke Kampung Pandan, sebelum terbabas lalu merempuh tiang jejambat kemudian memasuki laluan bertentangan.

Pemandu kereta itu dipercayai seorang lelaki warga Britain dikenali sebagai Simon John Hall berusia 40 tahun, manakala tiga penumpang warga Filpina dan dua warga Myanmar juga gagal menyelamatkan diri selepas kenderaan tersebut terbakar.

Mangsa, dua wanita Myanmar dikenali sebagai Pi Pi dan Ester Sui masing-masing berusia 20 tahun dan 26 tahun yang berkhidmat sebagai pekerja sambilan di pusat hiburan ibu kota.

Selain itu, tiga mangsa lain iaitu wanita Filipina dikenali sebagai Siso Aileen, 30, bekerja sebagai pembantu rumah. Seterusnya, Maileen Tentative Montejo, 26, dan Mary Grace Macaraig, 24, dan bekerja sebagai pekerja sambilan di pusat hiburan.

Siasatan awal polis mendapati, kenderaan yang dinaiki kesemua mangsa dari arah Bukit Bintang ke susur Kampung Pandan.

Komanden Operasi Kanan, Hamid Daud berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira jam 12.42 malam.

“Seramai 13 anggota dan pegawai dari Balai Bomba Dan Penyelamat Pudu dan Hang Tuah tiba ke lokasi kira-kira 10 minit kemudian,” katanya.

Beliau berkata, ketika pihaknya tiba ke lokasi, api marak dan kesemua mangsa yang terlibat dalam kemalangan itu rentung.

"Kita berjaya mengeluarkan kesemua mangsa yang tersepit itu kira-kira 20 minit. Kita terpaksa memotong bumbung kereta tersebut untuk mengeluarkan kesemua mangsa, mangsa yang terakhir dikeluarkan adalah pemandu kereta itu,” katanya.

Kesemua mayat di hantar ke Hospital Kuala Lumpur untuk bedah siasat.

Turut difahamkan, pemandu merupakan kawan kepada majikan lima wanita ini dan dalam perjalanan menghantar mereka pulang setelah selesai makan malam.






VIDEO


Sumber:
http://www.hmetro.com.my/articles/Empatmautkeretaterbakar//Article?HarianMetro
http://www.facebook.com
http://www.sinarharian.com.my/semasa/enam-rentung-dalam-kemalangan-ngeri-1.231982




Monday, December 16, 2013

Menggelupur kesakitan


17 Disember 2013
REMBAU –  Seorang pejalan kaki cedera parah dan dikejarkan ke Hospital Tuanku Jaafar (HTJ) di Seremban selepas dirempuh sebuah kenderaan di Kilometer 32.1, berdekatan Masjid Kariah Batu 17, Chembong, dekat sini, malam kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira 8.30 malam itu, mangsa, L Kandevelo, 57, yang merupakan Pemastautin Tetap dipercayai baru sahaja selesai menutup operasi premis cuci kereta saudaranya dan ingin berjalan kaki ke kedai makan berdekatan lokasi berkenaan.

Menurut saksi kejadian, Mohamad Azmi Sharif, 30, ketika kejadian, dia sedang bertugas di pondok keselamatan Sekolah Menengah Teknik Datuk Lela Maharaja tiba-tiba dikejutkan dengan bunyi dentuman kuat.

Dia kemudiannya bergegas ke jalan utama bersama rakan sekerja, Fadzly Jamaludin, 31.

“Sebaik sampai ke lokasi kejadian, saya lihat selipar mangsa berada di bahu jalan, bersama dengan serpihan nombor pendaftaran kereta yang melanggar mangsa. Mangsa pula sudah berada ke tengah jalan.

“Saya bergegas memanggil mangsa, namun tiada jawapan.  Jadi saya bertindak memegang mangsa dan mangsa terus menggelupur kesakitan,” katanya.

Azmi berkata, dia tidak sempat untuk melihat jenis kenderaan yang melanggar mangsa dan hanya mendengar bunyi deruman kuat enjin kereta sejurus selepas dentuman kuat berkenaan.

“Jadi saya hanya sempat melihat serpihan nombor pendaftaran yang tertinggal di lokasi kejadian," katanya.

Sementara itu, jurucakap polis berkata, individu yang dipercayai melanggar mangsa berusia 57 tahun itu datang ke balai polis 12 tengah hari semalam bagi membuat laporan polis.

Sumber:
http://www.sinarharian.com.my/edisi/melaka-ns/menggelupur-dirempuh-kereta-1.231258



Sunday, December 15, 2013

Atlet Angkat Berat maut kemalangan


Inalillahi wainailaihi rojiun

16 Disember 2013
MELAKA: Seorang atlet remaja kebangsaan terbunuh selepas motosikal ditunggang terbabit kemalangan di Jalan Ayer Leleh, di sini tengah malam tadi.


Dalam kejadian kira-kira jam 12.45 tengah malam itu,mangsa, Muhamad Afiq Rasik, 20 dari Kampung Ayer Leleh terbunuh selepas Demak 200cc ditunggangnya terbabas dan menyebabkannya jatuh ke dalam longkang.

Kemalangan mengakibatkan mangsa yang juga juara Kejohanan Angkat Berat Remaja Kebangsaan, Oktober tahun lalu meninggal dunia di tempat kejadian.

Difahamkan mangsa juga bakal mewakili Melaka dalam kejohanan Sukan Malaysia (SUKMA) di Perlis tahun depan.


Sementara itu Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Asisten Komisioner Salehhudin Abdul Rahman mengesahkan kejadian.

Al-Fatihah

Sumber:
http://www.hmetro.com.my/articles/Atletremajamautkemalangan/Article?mutakhir



Tergamam nampak treler 'terbang'


16 Disember 2013
KEPALA BATAS - Seorang doktor wanita terselamat walaupun kereta dipandunya dihempap kepingan papan lapis yang terjatuh dari sebuah treler selepas terlibat dalam kemalangan di Kilometer 124.8, Lebuh Raya Utara-Selatan arah utara berdekatan Plaza Tol Sungai Dua di sini malam tadi.


Kejadian berlaku pukul 7.30 malam ketika mangsa, Suraya Hashim, 29, memandu kereta jenis Hyundai Elantra seorang diri dalam perjalanan dari Parit Buntar menghala ke Sungai Petani.

Bagaimanapun, sebaik sahaja melalui kawasan itu sebuah treler membawa muatan kepingan papan lapis dari arah bertentangan terbabas dan terbalik di lebuh raya berkenaan.

Menceritakan detik-detik cemas itu, Suraya berkata, dia melalui lebuh raya yang agak gelap namun tiba-tiba melihat kepala treler itu seperti terbang di atas lebuh raya.

"Saya bernasib baik apabila hanya bahagian hadapan kereta saya remuk selepas dihempap kepingan papan lapis yang tiba-tiba terjatuh dari treler itu.

"Saya juga bersyukur kepada Allah kerana sempat memandu kenderaan itu ke tepi lebuh raya. Saya rasa seperti mati hidup semula apabila beberapa keping papan melayang dan mengenai kereta," katanya ketika ditemui di tempat kejadian malam tadi.

Kemalangan mengakibatkan ribuan kenderaan yang menggunakan Lebuh Raya Utara-Selatan di kedua-dua arah terlibat dalam kesesakan yang teruk sejauh lebih 10 kilometer.

Sementara itu, jurucakap polis ketika dihubungi berkata, treler membawa muatan ratusan kepingan papan lapis dalam perjalanan dari utara menuju ke selatan.

"Sebaik sahaja tiba di tempat kejadian, salah satu tayar treler itu meletup menyebabkan treler terbabas lalu melanggar pembahagi lebuh raya sebelum terbalik," katanya.

Kepingan papan lapis dari kenderaan berat itu tercampak keluar dan mengenai kereta dipandu mangsa di laluan bertentangan.

Menurutnya, pemandu treler Ridzuan Abd. Karim, berusia lingkungan 40-an dari Batu Pahat, Johor cedera parah dan dihantar ke Hospital Seberang Jaya untuk menerima rawatan.

Katanya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.


Sumber:
http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20131216/dn_17/Doktor-terselamat-dalam-nahas
http://www.kosmo.com.my/
http://www.thestar.com.my/News/Nation/2013/12/15/doctor-escapes-death.aspx






2 pelajar tingkatan lima maut


16 Disember 2013
JEMPOL - Dua remaja maut manakala seorang lagi cedera parah selepas motosikal yang ditunggang mereka secara berasingan bertembung di Kilometer 7 Jalan Bahau - Juasseh, dekat sini, awal pagi semalam.


Kejadian berlaku kira-kira 3.15 pagi itu dikatakan membabitkan dua kumpulan motosikal.

Difahamkan, kumpulan pertama menghala ke arah Juasseh, manakala kumpulan satu lagi menghala ke Bahau.

Ketua Polis Daerah Jempol, Superintendan Hamzah Alias berkata, hasil siasatan awal mendapati mangsa, Nur Aiman Hakimi Nordin, 18, yang menunggang motosikal jenis Honda EX5 datang dari arah Juasseh cuba memotong kumpulan rakan-rakannya.

Bagaimanapun, ketika itu, katanya, motosikal jenis Suzuki dan Yahama yang ditunggang Tan Eng You dan Teo Xiong Fu, kedua-duanya berumur 18 tahun datang dari arah bertentangan.

"Kedua-dua mangsa tidak dapat mengelak dan berlaku pertembungan sehingga menyebabkan semua mangsa tercampak ke laluan sebelah jalan Bahau - Juasseh," katanya di sini, semalam.

Hamzah berkata, akibat pertembungan itu, mangsa, Nur Aiman meninggal dunia di tempat kejadian dan Eng You pula maut ketika dalam perjalanan ke Hospital Jempol.

“Manakala seorang lagi mangsa, Xiong Fu cedera parah di bahagian badan dan kini sedang menerima rawatan lanjut di Hospital KPJ, Seremban. Mangsa yang maut cedera parah di bahagian kepala dan badan,” katanya.

Hamzah berkata, punca sebenar kejadian masih dalam siasatan dan kes ini disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Kedua-dua yang maut dibawa ke Hospital Jempol untuk proses bedah siasat sebelum dituntut keluarga masing-masing tengah hari, semalam.

Sumber:
http://www.sinarharian.com.my/semasa/motosikal-bertembung-dikatakan-babit-dua-kumpulan-1.230970
http://www.kosmo.com.my





Pelajar Kolej Maut Rempuh Van


15 Disember 2013
MENGLEMBU – Seorang penuntut kolej menemui ajalnya setelah terbabit dalam nahas di Simpang Jalan Ipoh-Lumut di sini.

Dalam kejadian kira-kira jam 9 malam, Khamis lalu, mangsa, A Pugalarasan, 21, parah kepala dan dada setelah motosikal ditunggangnya merempuh sebuah van ketika dia dalam perjalanan ke bandar raya Ipoh.

Ketua Bahagian Ketenteraman Awam dan Trafik Daerah, Deputi Superintendan Wan Sharuddin Wan Omar berkata, mangsa dari arah Batu Gajah dipercayai tidak sempat mengelak sebuah van yang tiba-tiba membelok masuk ke kawasan perumahan Taman Rasi Jaya.

"Mangsa yang menunggang motosikal Yamaha Lagenda kemudiannya merempuh pintu kiri van terbabit dan menyebabkannya cedera parah," katanya.

Menurutnya, Pugalarasan yang parah dikejarkan ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), bagaimanapun meninggal dunia selepas empat mendapatkan rawatan.

"Isteri pemandu van terbabit, Lam Chong Moh, 71, cedera pada kepala dan tangan kiri dan dihantar ke hospital sama bagi mendapatkan rawatan.

"Dalam pada itu, pemandu van terbabit, Chong See Chin, 78, tidak mengalami sebarang kecederaan," katanya.

Sumber:
http://www.sinarharian.com.my/edisi/perak/pelajar-maut-rempuh-van-1.230793



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Headlines

FeedBurner FeedCount