loading...

Wednesday, December 17, 2014

Joki Maut Rempuh Tembok Tokong


Kuala Lumpur: Seorang joki pusat beli-belah terkemuka maut tersepit selepas kereta dinaiki merempuh tembok sebuah tokong di Jalan Ipoh awal pagi semalam.

Dalam kejadian jam 4 pagi itu, mangsa, J Elfred, 23, maut di tempat kejadian selepas tersepit di bahagian penumpang hadapan manakala rakannya T Chandraboss, 44, cedera parah.

Difahamkan kejadian berlaku ketika kedua-dua mangsa dalam perjalanan pulang ke rumah dengan menaiki kereta model Proton Wira.

Pegawai Turus Siasatan dan Perundangan Trafik Kuala Lumpur Deputi Superintendan S Markandan berkata, kenderaan dinaiki dua lelaki terbabit dikatakan hilang kawalan sebelum terbabas dan merempuh tembok batu sebuah tokong yang berada di kiri jalan.

“Akibat kemalangan itu, kereta dipandu mangsa remuk teruk dan berada dalam keadaan melintang di tengah jalan.

“Mangsa yang tersepit berjaya dikeluarkan anggota bomba dan penyelamat sebelum dihantar ke Hospital Kuala Lumpur,” katanya semalam.

Difahamkan kereta dinaiki mangsa dipandu dalam keadaan laju sehingga hilang kawalan dan terbabas.
Mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian kepala akibat pelanggaran kuat itu.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.

Sumber:
http://www.hmetro.com.my/node/16861





Monday, December 15, 2014

Terbabas Dalam Parit



Kampar : Tujuh daripada 13 anggota tentera cedera selepas kenderaan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) tiga tan terbabas ke dalam parit di Kilometer 9.4 Jalan Kuala Dipang-Chenderiang, Kg Sahom, di sini, pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Kampar Superintendan Ng Kong Soon berkata, kemalangan 8 pagi itu membabitkan trak pasukan ATM 2 Woksyop Briged Jalan Tambun Ipoh dipandu oleh anggota berpangkat koperal yang menuju ke lokasi latihan di Lata Kinjang.

Katanya, trak itu terbabas di bahu jalan dan terlanggar tiang elektrik selepas cuba mengelak kereta yang masuk di laluan bertentangan.

Akibat keadaan tanah lembut, trak yang mereka naiki menggelungsur dan terbalik ke dalam parit di tepi jalan sebelah kiri.

"Akibat kemalangan itu tujuh daripada 13 anggota mengalami kecederaan dan dihantar ke Hospital Kampar untuk menerima rawatan.

"Kes disiasat di bawah Sek 43 Akta Pengangkutan Jalan 1987 atas kesalahan memandu dengan tidak cermat dan tidak bertimbang rasa," katanya.

Sumber:
http://www.hmetro.com.my/node/16412






Monday, December 1, 2014

Kemalangan 13 Kenderaan


2 Disember 2015
Kuala Pilah: Tiga sekeluarga nyaris maut dan cedera ringan dalam kemalangan membabitkan 13 kenderaan di Kilometer 23 Jalan Seremban-Kuala Pilah pagi tadi.



Kemalangan pada 11 pagi itu membabitkan dua lori tangki, lapan kereta dan masing-masing sebuah treler, bas ekspres dan lori satu tan.

Jurucakap polis berkata, kemalangan dipercayai berpunca apabila sebuah lori tangki muatan minyak sawit yang mengalami kerosakan pada bahagian brek merempuh kereta Perodua Myvi sebelum hilang kawalan dan memasuki laluan kanan.

Katanya, lori berkenaan kemudiannya melanggar lori satu tan membawa muatan minyak hitam menyebabkan berlaku tumpahan di sisi jalan.

Difahamkan lori berkenaan terus bergerak dan merempuh sebuah treler kosong yang berhenti kerana pembinaan jalan.

Rempuhan kuat itu menyebabkan treler berkenaan menggelongsor ke depan dan melanggar pula sebuah lori tangki muatan minyak sawit di hadapan," katanya.

Sementara itu, kenderaan lain yang terbabit kemalangan itu pula melanggar bahagian belakang antara satu sama lain.

Sementara itu, Pegawai Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Pilah Penolong Kanan Penguasa Bomba Jaafar Yusof berkata, pihak menerima panggilan jam 11.09 pagi dan sebuah jentera bersama tujuh anggota dan pegawai bomba dikejarkan ke lokasi bagi memberi bantuan.

Sumber:
http://www.hmetro.com.my/node/13484



Friday, November 28, 2014

Remaja Maut Dirempuh







28 November 2014
KUALA LUMPUR - Seorang remaja lelaki berusia 19 tahun maut apabila motosikal yang ditungganginya dirempuh oleh sebuah kereta pacuan empat roda di Jalan Raja, di sini awal pagi tadi.
 
Pegawai Turus Siasatan dan Perundangan Trafik Kuala Lumpur, Deputi Supritendan S. Markandan berkata dalam kejadian jam 4 pagi itu, mangsa Irham Muzani Azhar, mati di tempat kejadian akibat kecederaan parah di bahagian kepala.



Jenazah mangsa dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk dibedah siasat, katanya kepada Bernama ketika dihubungi di sini.
 
Markandan berkata, ketika kejadian, kereta jenis Nissan yang dipandu seorang lelaki bersama tiga rakannya, dipercayai hilang kawalan lalu terbabas ke sebelah kanan jalan.
 
Ini mengakibatkan ia bertembung dengan motosikal yang ditunggangi mangsa dari arah bertentangan.
 
Katanya keempat-empat mereka dirawat di HKL kerana cedera ringan. - Bernama

Sumber:
http://www.bharian.com.my/node/20298
http://www.hmetro.com.my/node/12588




Monday, November 24, 2014

Terbalik Perjalanan ke Melaka Sentral

Seorang pemandu bas maut, manakala 5 penumpang cedera 
selepas kenderaan itu terbabas dalam satu kemalangan di Jasin

Jasin: Tindakan seorang pemandu bas ekspres mengelak daripada melanggar sebuah kereta yang melintang di lorong kiri lebuh raya bertukar tragedi apabila dia terbunuh selepas kenderaan membawa 17 penumpang itu hilang kawalan dan terbalik di Kilometer 174.1, Lebuh Raya PLUS, arah utara, di sini, petang kelmarin.
Dalam kejadian jam 6.30 petang itu, pemandu bas, Mohd Hazuan Zaharia, 35, yang parah di kepala dan badan maut manakala lima penumpang iaitu seorang lelaki dan empat wanita termasuk dua pelajar institusi pengajian tinggi awam (IPTA) berusia antara 21 hingga 47 cedera ringan.


Difahamkan ketika kejadian, Proton Saga BLM dipandu seorang wanita dari arah Johor ke Kuala Lumpur dipercayai hilang kawalan dan melanggar pembahagi jalan sebelum melintang di lorong kiri.

Keadaan itu menyebabkan bas ekspres dalam perjalanan ke Melaka Sentral cuba mengelak sebelum hilang kawalan dan terbalik.

Pemandu Proton Saga BLM berusia 40 tahun bersama penumpangnya yang berusia 34 tahun cedera ringan. Semua mangsa yang cedera dirawat sebagai pesakit luar di Hospital Melaka.

Sumber:
http://www.tv3.com.my/beritatv3/berita_terkini/Bas_Terbabas_Pemandu_Maut_5_Penumpang_Cedera.html
http://www.hmetro.com.my/node/11557





Sunday, October 19, 2014

Anggota polis maut bertembung bas




19 Oktober 2014
Sibu: Seorang anggota polis maut apabila kereta yang dipandu bertembung dengan sebuah bas ekpres dalam kejadian di KM 10 Patmradom Jalan Sibu-Sarikei di sini, kira-kira jam 4 pagi tadi.

Mangsa, Lans Koperal Andrew Etam bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sarikei maut di lokasi kejadian akibat parah di kepala, manakala pemandu bas hanya mengalami cedera ringan.

Semua 36 penumpang bas bersama pemandu kedua yang dalam perjalanan dari Kuching ke Sibu selamat.
Ketua Polis Daerah Sibu Asisten Komisioner, Mohd Kamal Kordi berkata, siasatan awal mendapati bas ekspres dari Sarikei ke Sibu dipandu laju, masuk ke laluan bertentangan dan merempuh kereta yang dipandu mangsa.

Katanya, pemandu bas berusia lingkungan 40an ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan mengikut Seksyen 41(1) (A) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sumber: http://www.hmetro.com.my/node/2882



1 Maut 1 Rentung


Gombak: Dua penunggang motosikal berkuasa tinggi maut manakala seorang lagi parah selepas terbabit dalam kemalangan di Kilometer 25 Lebuhraya Karak kira-kira jam 11.15 pagi ini.

Menurut jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Selayang, kemalangan itu turut membabitkan sebuah kereta yang mana mengakibatkan seorang penunggang motor rentung manakala rakannya maut dirempuh dalam kemalangan itu.

Jurucakap itu berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 11.22 pagi sebelum tiba lima belas minit kemudian bagi memadamkan kebakaran motosikal.

"Seorang mangsa yang parah sudah dikejarkan ke hospital manakala dua yang lain maut ditempat kejadian," katanya ketika dihubungi sebentar tadi.

Punca sebenar kemalangan masih lagi disiasat dan tidak menolak kemungkinan ia mungkin berlaku ketika motosikal dan kereta itu menuruni selekoh curam di lebuhraya berkenaan, kata jurucakap itu.



VIDEO
Kemalangan Superbike Di Lebuhraya Karak



Sumber:
http://www.hmetro.com.my/node/2892
www.facebook.com



Wednesday, October 15, 2014

Pelajar Politeknik Banting maut



15 Oktober 2014
KLANG SELATAN - Seorang pelajar Politeknik Banting maut selepas motosikal yang ditunggangnya terbabas di laluan  motosikal di Kilometer 20.3, Lebuhraya Kesas Klang-Shah Alam di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 12 tengah hari itu, Mas Fahlal Azad Mas Aisha, 18, yang beralamat di Batu 8, Sijangkang, Telok Panglima Garang parah di kepala dan
dada meninggal dunia di tempat kejadian.

Ketua Bahagian Ketenteraman Awam (KBKA) merangkap Ketua Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan, Deputi Superintendan Rosly Abd Rahman berkata, kemalangan dipercayai berlaku ketika mangsa dan rakannya melalui laluan motosikal dari arah Klang menghala Shah Alam.

“Sebaik tiba di terowong bawah susur ke Bandar Puteri, motosikal ditunggang mangsa dipercayai terbabas sebelum melanggar tembok sebelah kiri.

“Akibat rempuhan itu menyebabkan mangsa dan motosikalnya tercampak ke jalan raya,” katanya kepada Sinar Harian.

Menurutnya, mangsa yang mengalami kecederaan parah meninggal dunia di tempat kejadian.

“Berdasarkan maklumat rakan mangsa yang turut menunggang motosikal sambil mengekori dari belakang, dia dan mangsa dalam perjalanan ke pusat zakat di Shah Alam.

“Dia juga memaklumkan mangsa pelajar politeknik di Banting,” katanya. Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Sumber:
http://www.sinarharian.com.my/edisi/selangor-kl/pelajar-politeknik-maut-nahas-1.324657



Sunday, October 5, 2014

6 Sekeluarga Maut



Inalillahi wainailaihi rojiun

MUADZAM SHAH - Enam sekeluarga maut ketika dalam perjalanan pulang ke kampung bagi menyambut Aidiladha selepas kereta dinaiki mereka bertembung dengan sebuah bas ekspres di Kilometer 142.8 Jalan Kuantan-Segamat, dekat sini, malam tadi.

Ketua Polis Daerah, Deputi Superintendan Johari Jahaya berkata, kejadian kira-kira jam 8.30 malam itu membabitkan tiga buah kenderaan iaitu kereta Perodua Alza dinaiki keluarga berkenaan, bas ekspres dan kereta Perodua Myvi.

Katanya, enam sekeluarga yang dalam perjalanan dari Segamat, Johor ke Kuantan itu maut di tempat kejadian akibat cedera parah.

Kejadian berlaku apabila kereta Perodua Alza dinaiki tiga lelaki, dua perempuan dan seorang kanak-kanak perempuan secara tiba-tiba hilang kawalan sebelum memasuki laluan bertentangan.

Kereta itu kemudiannya merempuh bas ekspres dari arah bertentangan sebelum dilanggar kereta Perodua Myvi yang datang dari arah Segamat menghala ke Kuantan.

Ketua Polis Daerah Rompin, Deputi Superintendan Johari Jahaya, berkata mereka terdiri daripada tiga beradik iaitu Mohd Wazin Azhar, 20, Ain Nadiah, 13, dan Ain Najihah, 2.

Identiti tiga mangsa yang dikenal pasti semalam ialah bapa mereka, Azhar Mat Ali, 43, dan dua isterinya, Zaliha Johar, 42, (isteri pertama) dan Siti Habibah Kasbon, 43, (isteri kedua).

Mayat Azhar, Ain Nadiah dan Ain Najihah (kedua-duanya anak isteri kedua) dihantar ke Hospital Muadzam Shah manakala mayat Mohd Wazin (anak isteri pertama), Zaliha dan Siti Habibah dihantar ke Hospital Rompin, katanya.

"Kesemua mangsa akan dibedah siasat pada pagi ini di hospital berkenaan," katanya kepada Bernama hari ini.

Johari berkata, kemalangan kira-kira jam 8.30 malam itu berlaku semasa enam sekeluarga itu dalam perjalanan dari arah Segamat menuju ke rumah ibu Azhar di Keratong 2, Bandar Tun Razak di sini, apabila hilang kawalan lalu masuk ke laluan bertentangan sebelum bertembung sebuah bas.

Katanya, seorang bayi perempuan berusia sembilan bulan dalam bas itu mengalami kecederaan ringan di kepala namun dirawat sebagai pesakit luar di Hospital Segamat manakala pemandu bas yang cedera di mata akibat terkena serpihan cermin bas kini dirawat di hospital sama.

Seramai 25 lagi penumpang bas itu tidak mengalami sebarang kecederaan, katanya.





Sumber:
http://www.sinarharian.com.my/semasa/sadis-enam-sekeluarga-maut-1.322739
http://www.bharian.com.my/node/9812



Maut sehari selepas peluk Islam


Inalillahi wainailaihi rojiun

JOHOR BAHRU 4 Okt. - Seorang wanita berusia 20 tahun yang dipercayai baru memeluk Islam, maut selepas kenderaan yang dinaikinya bersama tiga rakan lain terlibat dalam satu kemalangan awal pagi ini di Kilometer 15, Jalan Labis-Yong Peng, Batu Pahat.

Dalam kejadian yang berlaku pada pukul 3.40 pagi itu, mangsa, Lii Sii Ping atau nama Islamnya, Nur Hidayah Insyirah maut apabila kenderaan dinaiki mereka hilang kawalan sebelum terbabas dan merempuh tiang elektrik.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Din Ahmad menerusi satu kenyataan memberitahu, mangsa yang merupakan penuntut di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) maut di tempat kejadian.

"Kenderaan jenis Toyota Vios itu dipercayai hilang kawalan dan terbabas sebelum melanggar tiang elektrik dan mengorbankan mangsa akibat kecederaan parah.

"Polis masih menyiasat punca kejadian," katanya ketika dihubungi, di sini hari ini.

Sii Ping atau Nur Hidayah merupakan mahasiswa jurusan kejuruteraan di UPNM dan dipercayai baharu memeluk Islam semalam.

Turut terlibat dalam kemalangan itu termasuklah tiga penuntut UPNM yang lain iaitu Mohd. Azrin Mohd. Idris, Muhammad Faridz Izzat Hamidnudin dan Mohamad Faridzuan Abdul Hamid.

Sumber:
http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20141005/je_04/Gadis-mualaf-maut-sehari-selepas-peluk-Islam-sebelum-Aidiladha




Dua beranak maut berhampiran Terowong Menora


IPOH - Dua maut dan seorang lagi cedera parah dalam kemalangan di KM256.1 Lebuhraya Utara Selatan laluan ke utara selepas Terowong Menora dekat sini.

Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar Asisten Komisioner Ghuzlan Salleh ketika dihubungi Bernama berkata kejadian yang berlaku lebih kurang 11 pagi ini membabitkan beberapa buah kenderaan.

"Setakat ini maklumat yang kita terima dua orang maut dan seorang lagi cedera parah," katanya.

Sementara itu jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Perak berkata, kemalangan itu membabitkan lima kenderaan iaitu masing-masing sebuah lori treler, lori, kereta jenis Perodua Myvi, kenderaan pelbagai guna jenis Alza serta kereta jenis Honda City.

"Operasi menyelamat dilakukan oleh pasukan bomba daripada Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Kangsar. Keseluruhan mangsa yang terlibat adalah 15 orang," katanya.

Jurucakap Plusline ketika dihubungi berkata lalu lintas di lebuh raya dari arah Ipoh masih mengalami kesesakan sepanjang 13 kilometer.

Bagaimanapun lalu lintas kembali lancar selepas kawasan kejadian, katanya. - Bernama


Kemalangan di Terowong Menora








VIDEO



Saya minta maaf mama - Yusriman

IPOH 4 Okt. - "Saya minta maaf mama, saya minta maaf."

Luahan pilu sambil diiringi tangisan itu berulang kali diucapkan Yusriman Ros­lan, 22, anak kepada Noor Hayati Wook, 50, yang maut dalam kemalangan di Kilometer 256, Lebuh Raya Utara-Selatan arah utara, di sini hari ini.

Yusriman yang memandu kereta Proton Saga BLM untuk pulang berhari raya di Kampung Chain, Lenggong berkata, sebelum ibunya menghembuskan nafas terakhir, wanita tersebut yang dalam keadaan nazak sempat bercakap dengannya dan dua lagi adik-beradik lain.

Kemalangan yang melibatkan enam buah kereta dan dua buah treler itu bukan sahaja menyebabkan dia dan dua lagi adik beradiknya kehilangan ibu tersayang, malah turut mengorbankan seorang adik perempuannya, Siti Yuslianis, 20.

"Mama tersepit, saya cuma mampu pegang kepalanya sahaja. Dia sempat meminta maaf dan memaafkan kami sebelum menghembuskan nafas terakhir. Ketika itu, Yuslianis sudah tidak berge­rak," katanya ketika ditemui di Unit Kecemasan, Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini.

Dua lagi anak mangsa, Yusrizal, 25, dan Siti Yusliana, 12, bagaimanapun hanya cedera ringan.

Menceritakan mengenai kejadian malang itu, Yusriman berkata, dia yang ketika itu memandu di lorong kanan jalan melihat sebuah treler yang dipandu laju melanggar sebuah treler lain sehingga terbalik di sisi kiri jalan.

Katanya, dia yang melihat melalui cermin pandang belakang bagaimanapun terkejut apabila treler tersebut menuju ke arah keretanya pula sebelum mengheret kenderaan tersebut.

"Kejadian berlaku sangat pantas dan saya tidak sempat buat apa-apa. Saya hanya mendengar bunyi dentuman yang sangat kuat dan cermin kereta pula pecah. Kami hanya mampu menjerit," katanya sambil mengesat air mata.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Kangsar, Ismail Darus berkata, pihaknya mengambil masa kira-kira setengah jam untuk mengeluarkan Noor Hayati, Siti Yuslianis dan Yusrizal yang tersepit di tempat duduk masing-masing.

Katanya, Noor Hayati dan Siti Yuslianis yang masing-masing duduk di bahagian belakang pemandu dan penumpang hadapan maut di tempat kejadian manakala Yusrizal yang duduk di sebelah pemandu mengalami kecederaan ringan.

"Sebanyak 22 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Kangsar dan Meru serta Unit Anggota Penyelamat dan Paramedik (EMRS), Ipoh dikejarkan ke tempat kejadian sebaik menerim panggilan kecemasan kira-kira pukul 11.37 pagi.

"Kesemua mangsa yang berjaya dikeluarkan dari kenderaan itu kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut. Dua lagi anak mangsa dikeluarkan dari kereta itu dengan bantuan orang awam," katanya yang memberitahu kereta mangsa diheret sejauh 200 meter.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Asisten Komisioner Ghuz­lan Salleh ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan memberitahu pemandu treler berusia 40-an itu kini ditahan bagi membantu siasatan.

Katanya, kejadian berlaku ketika wa­nita itu yang merupakan isteri kepada anggota polis di Pusat Latihan Polis (Pulapol) Bukit Sentosa, Rawang, Selangor, bersama empat anaknya dalam perjalanan pulang ke kampung mereka di Lenggong.

"Kejadian dipercayai berlaku ketika menuruni bukit selepas Terowong Menora apabila treler yang dipandu lelaki terbabit gagal dikawal sebelum merempuh kereta yang dinaiki lima beranak itu," ujarnya.


Sumber:
http://www.bharian.com.my/node/9667
http://www.sinarharian.com.my/semasa/dua-maut-seorang-parah-dekat-terowong-menora-1.322725
http://utusan.com.my/utusan/Jenayah/20141005/je_01/Saya-minta-maaf-mama---Yusriman
http://www.astroawani.com/




Wednesday, October 1, 2014

Lima murid cedera


Alor Gajah: Lima murid Sekolah Rendah Agama Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) cedera selepas van dinaiki terbabas dan melanggar pokok di Kampung Sungai Petai, di sini, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 2.10 petang, lima murid berusia 10 hingga 12 tahun itu membabitkan dua lelaki dan tiga perempuan ada yang mengalami kecederaan patah tangan, paha dan kepala.

Kemalangan dipercayai berlaku selepas Perodua Rusa dinaiki yang dipandu seorang wanita berusia 45 tahun hilang kawalan dan terbabas ke kiri jalan lalu melanggar pokok.

Beberapa mangsa yang cedera dan terperangkap di dalam van dikeluarkan sepasukan anggota bomba dan penyelamat yang dikejarkan ke tempat kejadian.

Semua murid dan pemandu van yang turut cedera di kepala itu dikejarkan ke Hospital Alor Gajah untuk rawatan sebelum dirujuk ke Hospital Melaka.


Pemangku Ketua Polis Daerah Alor Gajah Deputi Superintendan Abd Rahman Jid mengesahkan kemalangan dan berkata, siasatan lanjut sedang dilakukan.  HM



Pelajar UITM dan 2 Tentera Maut


KOTA BAHARU, 1 Okt (Bernama) -- Tiga maut dalam satu kemalangan membabitkan dua kereta di KM 4.5 Jalan Machang-Pasir Puteh, Machang, awal pagi Rabu.

Pemangku Ketua Polis Daerah Machang DSP Kamal Azural Mohamed berkata mangsa yang maut ialah Nor Syafiq Nor Azim, 19, dan dua anggota tentera iaitu Abd Rahim Hat, 33, dan Sairul Shaiful, 25.

"Dua anggota tentera yang maut adalah anggota daripada Kem Desa Pahlawan Kok Lanas, Kota Baharu manakala seorang lagi adalah pelajar dari UiTM (Universiti Teknologi MARA) Machang," katanya ketika dihubungi Bernama di sini.

Beliau berkata dalam kejadian kira-kira pukul 1.15 pagi itu, kereta yang dipandu Nor Syafiq menghala ke Pasir Puteh dipercayai telah memasuki laluan bertentangan.

"Kereta yang di pandu Nor Syafiq memasuki laluan bertentangan dan melanggar sebuah kereta Nissan Sunny dipandu Abd Rahim yang dalam perjalanan ke Machang dan kesemua mangsa yang terlibat meninggal dunia di tempat kejadian," katanya.

Beliau berkata mayat telah dihantar ke Hospital Machang untuk bedah siasat manakala kes itu disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.-- BERNAMA

Sumber:
http://web10.bernama.com/bernama/v7/bm/ge/newsgeneral.php?id=1073160
http://www.hmetro.com.my/articles/Duatentera_penuntutUiTMhilangnyawa//Article




Saturday, September 20, 2014

Ketua Penerangan Pemuda PAS N Sembilan Maut

Kemalangan Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Negeri Sembilan
Inalillahi wainailaihi rojiun
20 September 2014
PENGKALAN KUBOR: Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Negeri Sembilan Safrizal Tarmizan, 31, dan ibunya meninggal dunia selepas terlibat dalam kemalangan di Kilometer 106.2 Jalan Kuala Krai- Gua Musang dekat sini, ketika pulang berkempen pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Kubor, awal pagi Sabtu.

Safrizal Tarmizan, 31, dan ibunya meninggal dunia selepas terlibat dalam kemalangan di Kilometer 106.2 Jalan Kuala Krai- Gua Musang

Ketua Pemuda PAS Negeri Sembilan Norazman Mohamad yang mengesahkan kejadian itu berkata, dalam kemalangan pada pukul 1 pagi itu, Safrizal dan ibunya, Asmita Lukman , 56, maut di tempat kejadian manakala isterinya Nor Izatil Aqmar Mat Lazim, 28, serta anak mereka Umar Al Fateh, 3 bulan, cedera parah.

"Safrizal dan ibunya meninggal dunia. Isterinya mengalami kecederaan dan anaknya difahamkan mengalami pendarahan otak.

"Kedua-dua mereka kini dirawat di Hospital Kuala Krai, manakala jenazah Safrizal dan ibunya dibedah siasat di hospital sama sebelum dituntut keluarga," katanya ketika dihubungi mStar Online, Sabtu.

Norazman memberitahu, jenazah Safrizal dan ibunya akan dibawa pulang dan dikebumikan di Makam Sheikh Mohd Said, Negeri Sembilan.

Mengulas lanjut, jelasnya, Safrizal berada di Kelantan dengan dua tujuan iaitu untuk berkempen di Pengkalan Kubor dan untuk mengambil isteri, anak dan ibunya yang  berada di Kota Bharu sebelum pulang ke rumah mereka di Seremban.

"Pada Khamis beliau pergi ke Pengkalan Kubor untuk membantu jentera di sana berkempen sebelum mengambil isteri, ibu dan anak untuk pulang ke Seremban pada Jumaat malam," ujarnya.

Katanya, Safrizal yang merupakan bekas pelajar Universiti Al-Azhar sempat menyatakan harapannya untuk melihat PAS menang di Pengkalan Kubor bagi mengembalikan keyakinan orang ramai terhadap parti itu.

Allahyarham juga disifatkan sebagai seorang yang ceria dan boleh dibawa berbincang.

Sumber:
http://www.mstar.com.my/berita/berita-jenayah/2014/09/20/pemuda-kemalangan/
http://m.harakahdaily.net/index.php/berita-utama/30977-takziah-buat-keluarga-ustaz-safrizal-tarmizan



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Headlines

FeedBurner FeedCount