Thursday, January 23, 2014

Kereta Berpusing



23 Januari 2014
Melaka: Seorang kontraktor cedera parah di kepala manakala rakannya tercampak keluar selepas kereta dinaiki terbabas dan merempuh pembahagi jalan di Jalan Dusun Datok Murad, Ayer Keroh, di sini, kelmarin.

Dalam kejadian jam 2.30 pagi, Mohd Aidil Khairul Anuar, 28, yang memandu PROTON Iswara cedera di kepala dan tulang belakang manakala rakannya dikenali Asmanizam, 20-an, patah tangan kiri dan kaki kanan.

Difahamkan, ketika kejadian, Mohd Aidil dan rakannya dalam perjalanan dari pusat bandar ke Pusat Autocity di Ayer Keroh sebelum kereta dipandu hilang kawalan.

Menurut sumber, setibanya di lokasi kejadian, mangsa yang memandu di lorong kiri cuba mengelak sebuah motosikal ditunggang seorang lelaki yang datang dari dari arah sama sebelum kereta dipandu hilang kawalan.


“Mangsa yang terkejut selepas menyedari sebuah motosikal berada di hadapannya bertindak memusing stereng ke kanan, namun kereta dipercayai mengalami masalah teknikal menyebabkannya melencong ke kiri jalan.


“Kereta kemudian berpusing beberapa kali lalu merempuh tiang elektrik sebelum terdampar di pembahagi jalan,” katanya di sini.

Sumber:
http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/2terselamatkeretaberpusing/Article/index_html



Dua Beranak Maut Langgar Lembu



Inalillahi wainailaihi rojiun

23 Januari 2014
SUNGKAI – Dua beranak maut apabila kenderaan yang mereka naiki hilang kawalan setelah terlanggar bangkai lembu yang merintangi laluan di Kilometer 86.4 Jalan Ipoh – Kuala Lumpur, di sini, pagi semalam.




Dalam kejadian kira-kira jam 6.30 itu, mangsa, Kamaruzzaman Bokhari, 51, dan anaknya, Muhammad Hariz Zakwan,15, meninggal dunia di tempat kejadian akibat parah di kepala dan beberapa bahagian badan.

Ketika kejadian, Kamaruzzaman yang juga Guru Penolong Kanan Kokurikulum bersama anaknya dalam perjalanan dari kediaman mereka di Taman Permai Jaya untuk ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Trolak.

Ketua Polis Daerah Tapah, Superintendan Som Sak Din Keliaw berkata, berdasarkan laporan awal, kereta jenis Kelisa dinaiki mangsa terbabas sebelum masuk ke laluan bertentangan sebaik melanggar bangkai lembu berkenaan.

Menurutnya, keadaan itu menyebabkan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) yang berada di laluan bertentangan tidak sempat mengelak menyebabkan pertembungan berlaku.

“Pertembungan itu menyebabkan mangsa tersepit, hasil bedah siasat dijalankan Hospital Tapah mendapati kedua-dua mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan di beberapa anggota badan,” katanya.

Som Sak berkata, insiden berkenaan turut menyebabkan dua lagi kenderaan termasuk sebuah MPV yang datang dari arah Kuala Lumpur ke Ipoh merempuh antara satu sama lain.

Katanya, rempuhan itu berlaku akibat kegagalan mengelak disebabkan jarak terlalu dekat.

“Bagaimanapun,  semua pemandu yang terlibat hanya mengalami cedera ringan dan dirawat sebagai pesakit luar, siasatan dibuat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bidor, Mohd Azlan Mahiyidin  berkata, pihaknya menerima panggilan jam 7.05 dan tiba di tempat kejadian pada jam 7.20 pagi.

Katanya, dengan kekuatan satu jentera dan  lapan anggota yang diketuai oleh beliau berjaya mengeluarkan mangsa dalam tempoh 10 minit dengan menggunakan peralatan menyelamat.

“Kami terpaksa mengambil masa sedikit kerana keadaan mangsa yang tersepit, bagaimanapun operasi menyelamat selesai pada jam 9 pagi,” katanya.

 Sangka kemalangan biasa

“Saya sangka ayah dan adik hanya kemalangan biasa, tak sangka rupanya kedua-dua mereka sudah meninggal dunia,” demikian reaksi menantu sulung mangsa, Ahmad Taufiq Baharuddin, 22.

Ahmad Taufiq berkata, dia dimaklumkan mengenai kemalangan itu oleh salah seorang rakan ayah mentuanya sekitar jam 7 pagi.

Tanpa mengesyaki apa-apa, dia segera bergegas ke lokasi kemalangan sebelum terkejut melihat keadaan kereta berkenaan.

“Saya ingat ia hanya kemalangan biasa, bila dah sampai sana, baru saya diberitahu ayah dan adik terkorban dalam nahas itu,” katanya.

Ahmad Taufiq berkata, sepanjang menghabiskan cuti di rumah mentuanya itu, kedua-dua arwah tidak menunjukkan sebarang perubahan diri yang ketara.

Katanya, mereka sekeluarga masih terkejut dengan berita pemergian berkenaan.

Jenazah kedua-duanya dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Sungkai, petang semalam.

Guru berdedikasi

Sementara itu, Pengetua SMK Trolak, Shaharuddin Mohd Daud berkata, ketika kejadian, beliau dalam perjalanan ke tempat kerja sebelum menyedari  kemalangan itu melibatkan guru  yang mengajar  di sekolahnya.

Katanya,  arwah yang baru lima tahun bertugas di SMK Trolak sering berulang alik dari tempat kerja dan rumahnya di Taman Permai Jaya, Sungkai.

“Arwah adalah seorang guru Bahasa Melayu, beliau tegas ketika mengajar anak muridnya, kami kehilangan seorang guru yang berdedikasi dalam tugasnya,” katanya.

Sumber:
http://www.sinarharian.com.my/edisi/perak/dua-beranak-maut-kemalangan-1.243435
http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20140123/je_08/Bapa-anak-maut-kemalangan



Penyamun Patah Kaki Dirempuh Van



23 Januari 2014
SEREMBAN – Seorang penyamun patah kedua-dua belah kakinya, akibat dirempuh sebuah van dalam usaha melarikan diri selepas melakukan rompakan, di sebuah kedai serbaneka di Jalan Tun Dr Ismail, di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 3 pagi itu, dua perompak masuk ke kedai tersebut lalu mengacukan parang kepada dua pekerja kedai berkenaan, sebelum meminta sejumlah wang.

Menurut juruwang kedai tersebut dikenali sebagai Nadia, dia dan rakan sekerjanya yang bertugas pada waktu pagi itu, terkejut dengan kehadiran perompak berkenaan, yang kelihatan sangat bengis dan menakutkan.

“Tanpa berfikir panjang, saya menyerahkan sejumlah wang yang ada tanpa mengetahui jumlah sebenar.

“Sejurus wang tersebut diperolehi, lelaki berkenaan meluru keluar dan menaiki motosikal yang sedia menunggunya di luar kedai,” katanya.

Selepas kejadian tersebut, datang empat anggota polis peronda yang ketika itu membuat rondaan di jalan berkenaan.

Akibat terlalu cemas dengan kegiatan jenayah yang dilakukan, kedua-dua suspek kemudiannya mengikut laluan bertentangan, untuk melarikan diri.

“Dalam keadaan kelam-kabut, motosikal suspek dirempuh sebuah van yang datang dari arah Mantin.

“Seorang daripada suspek mengalami kecederaan di kaki dan tangan, manakala seorang lagi berjaya melarikan diri,” katanya.

Sementara itu, menurut jurucakap polis, suspek yang cedera dihantar ke Hospital Tuanku Jaafar untuk tindak susulan, dan keterangan daripadanya juga diambil untuk direkodkan.

Ketua Polis Daerah Seremban Asisten Komisioner Zainal Abu dihubungi mengesahkan kejadian dan berkata, kes disiasat mengikut Sekysen 395/397 Kanun Keseksaan iaitu rompakan bersenjata.

Tambahnya, mana-mana individu yang mempunyai maklumat, boleh tampil di mana-mana balai polis berdekatan untuk membantu siasatan.

Sumber:
http://www.sinarharian.com.my/semasa/kena-langgar-selepas-menyamun-1.243323



Wednesday, January 22, 2014

Dua beranak maut nahas




Inalillahi wainailaihi rojiun

22 Januari 2014
SUNGKAI: Seorang guru dan anaknya maut selepas kereta dinaiki terlanggar bangkai lembu di tengah jalan sebelum kenderaan itu terbabas ke laluan bertentangan dan dirempuh pula kereta lain di Kilometer 86 jalan Ipoh-Kuala Lumpur di sini, subuh tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 6.30 pagi itu, Kamaruzzaman Bukhori, 51, dan anaknya, Ariff Zaqwan, meninggal dunia di tempat kejadian akibat parah di kepala dan beberapa bahagian badan.

Jurucakap polis berkata, kemalangan itu turut membabitkan dua kenderaan lain yang tidak sempat mengelak dan merempuh kereta mangsa serta sebuah kereta lain di tempat kejadian.

Sumber:
http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Duaberanakmautkemalangan/Article/index_html
http://www.nst.com.my/latest/father-son-killed-in-crash-at-jalan-ipoh-kl-1.467981



Monday, January 20, 2014

3 Maut Nahas Di Pekan Nanas



20 Januari 2014
PONTIAN: Tiga maut dan seorang cedera ringan dalam kemalangan di Kilometer 41, Jalan Pontian-Johor Bahru, Pekan Nenas di sini, jam 6.40 pagi tadi.

Kemalangan berlaku di depan Depoh Tahanan Imigresen Pekan Nenas membabitkan dua motosikal dan sebuah kenderaan pelbagai guna Nissan Grand Livina.

Mangsa yang maut ialah Md Hisham Md Khalil, 41, dan dua beradik, Ang Kim Sing, 58, dan Ang Kim Sai, 50.

Mangsa yang cedera ialah seorang wanita yang juga pemandu Grand Livina.

Md Hashim menunggang berseorangan manakala Kim Sing dan Kim Sai membonceng sebuah lagi motosikal.


Sumber:
http://www.hmetro.com.my/articles/Tigamaut_satucedera//Article?BeritaUtama
http://www.nst.com.my/latest/3-dead-in-road-accident-in-johor-1.466600



Tak sempat jumpa kawan



20 Januari 2014
TELUK INTAN - Hasrat seorang pembantu kedai makan untuk menemui rakannya di Bandar Teluk Intan tidak kesampaian apabila dia maut dalam kemalangan, di sini, semalam.

Kejadian pada jam 2.30 petang di Kilometer 9.5 Jalan Changkat Jong itu melibatkan sebuah kereta dan kenderaan pelbagai guna (MPV).

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Goh Kok Liang berkata, mangsa, Low Yen Ting, 30, dari Gopeng maut di tempat kejadian.

Menurutnya, mangsa dalam perjalanan dari Bidor ke Teluk Intan dengan memandu kereta Proton Wira seorang diri cuba memotong kenderaan di hadapannya.

“Sebaik sahaja tiba di lokasi kejadian, mangsa dipercayai gagal memotong kenderaan di hadapannya dan  bertembung dengan sebuah MPV Mitsubishi.

“MPV dipandu oleh seorang wanita berusia 35 tahun dari Petaling Jaya terbabit tidak sempat mengelak lalu bertembung dengan kereta mangsa,” katanya kepada Sinar Harian.

Kok Liang berkata, pertembungan dua kenderaan itu menyebabkan mangsa maut serta-merta di lokasi kejadian manakala pemandu MPV tidak mengalami kecederaan.

Katanya, mangsa yang tersepit dalam keretanya dikeluarkan dengan bantuan anggota Bomba dan Penyelamat Balai Teluk Intan dan mayatnya dihantar ke Hospital Teluk Intan (HTI) untuk bedah siasat

Beliau berkata, hasil bedah siasat yang dijalankan mendapati mangsa mengalami kecederaan parah di seluruh badan sebelum dituntut ahli keluarganya untuk dikebumikan.

“Kami masih menyiasat lanjut berkenaan kejadian itu," katanya.
Kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sumber:
http://www.sinarharian.com.my/edisi/perak/tidak-sempat-jumpa-rakan-1.242222



2 Kenderaan Bertembung


20 Januari 2014
MARANG – Dua pemandu dan dua penumpang berdepan detik cemas apabila kereta dinaiki remuk teruk di bahagian depan setelah bertembung di hadapan stesen minyak Petronas di Seberang Marang di sini, malam kelmarin.

Kejadian kira-kira jam 12 malam itu dipercayai berlaku ketika pemandu Proton Satria membawa bersama seorang penumpang menuju ke arah Dungun, manakala pemandu kereta jenis Honda Jazz bersama isterinya dalam perjalanan ke Kuala Terengganu.

Difahamkan, kemalangan berlaku berpunca daripada pemandu Proton Satria dipercayai ingin membelok ke kanan manakala pemandu Honda Jazz yang dipercayai terkejut bertindak membelok ke kiri menyebabkan kedua-duanya bertembung.

Akibat pertembungan, seorang pemandu mengalami patah kaki sementara tiga lagi termasuk penumpang wanita menaiki Honda Jazz mengalami kecederaan, namun tidak serius dan kesemua mangsa kemudiannya dikejarkan ke klinik berdekatan.

Sumber:
http://www.sinarharian.com.my/edisi/terengganu/dua-kereta-bertembung-depan-stesen-minyak-1.242186



Sunday, January 19, 2014

Penunggang Versys Putus Kaki



19 Januari 2014
Jasin: Seorang lelaki putus pergelangan kaki kanan selepas motosikal berkuasa tinggi ditunggangnya terbabit kemalangan di Kilometer 30 Jalan Merlimau-Jasin, di sini, kelmarin.


Dalam kejadian jam 8.30 pagi, motosikal Kawasaki Versys 650 ditunggang Syed Mustapha Kamal Syed Kassim, 59, dari arah Jasin ke Merlimau dipercayai memasuki laluan bertentangan sebelum bergesel dengan kenderaan pelbagai guna (MPV) Naza Citra dipandu Ketua Balai Polis Sungai Rambai Sarjan Mejar Kamaridzman Khanafee.

Difahamkan, ketika kejadian, Kamaridzman dalam perjalanan dari Merlimau ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jasin untuk menghadiri mesyuarat.

Kemalangan mengakibatkan Syed Mustapha Kamal putus pergelangan kaki kanan dan dihantar ke Hospital Melaka untuk mendapatkan rawatan.

Menurut sumber, kejadian dipercayai berlaku apabila motosikal ditunggang Syed Mustapha Kamal dari arah Jasin ke Merlimau memasuki laluan bertentangan sebelum bergesel dengan MPV berkenaan yang datang dari arah Merlimau ke Jasin.


“Dipercayai mangsa yang menunggang motosikal memotong beberapa kenderaan lain di depan dan memasuki laluan bertentangan sebelum motosikalnya bergesel dengan Naza Citra dipandu Kamaridzman.

“Kemalangan mengakibatkan pergelangan kaki kanan mangsa putus selepas tersangkut di ruang antara tayar depan dan bumper MPV berkenaan sebelum terjatuh, manakala MPV itu rosak di sebelah kanan,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Sumber:
http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Pergelangankakiputus/Article
http://www.sinarharian.com.my/pergelangan-kaki-terputus-1.241957



Pasangan khalwat kemalangan



19 Januari 2014
Alor Gajah: Tersentak melihat kehadiran penduduk kampung, sepasang kekasih yang asyik memadu asmara dalam sebuah kereta bertindak nekad mengundurkan kenderaan sejauh kira-kira 200 meter sebelum merempuh tiang dan masuk ke dalam longkang di Jalan Sungai Ragok, Ayer Paabas di sini, awal pagi semalam.


Dalam kejadian kira-kira jam 2.30 pagi itu, pasangan masing-masing berusia 20 tahun itu memberhentikan kereta Produa Myvi di bahu jalan di kawasan kampung berkenaan.

Menurut sumber, beberapa penduduk menyedari kereta berkenaan berhenti dan mematikan lampu kesemua lampu hingga menimbulkan kecurigaan.

"Bimbang berlaku sesuatu yang buruk berlaku, beberapa penduduk kampung menaiki kereta dan motosikal menghampiri kenderaan itu untuk menghulurkan bantuan.

“Penduduk mendapati tempat duduk pemandu dan penumpang direbahkan dan melihat pasangan itu leka bergomol dan berpelukan di dalam kereta dengan seluar pasangan terbabit separuh terlondeh.

"Penduduk menghubungi pegawai syarak kariah kampung dan seorang penduduk menyuluh ke dalam kenderaan menyebabkan pasangan yang sedang asyik dibuai asmara itu terkejut.

"Wanita berkenaan menekup mukanya manakala lelaki terbabit mengangkat kepala tanpa menaikkan tempat duduk dan terus menekan pedal minyak menyebabkan kereta bergerak laju secara mengundurkan tanpa menyalakan lampu,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian, pagi semalam.

Sumber itu berkata, beberapa ketika kemudian kedengaran dentuman kuat kira-kira 200 meter dari tempat kejadian sebelum penduduk kampung mendapati kenderaan dinaiki pasangan kekasih terbabit terperosok di dalam longkang di kiri jalan selepas merempuh tiang telekomunikasi.

"Tiang telekomunikasi berkenaan tercabut dan patah dua manakala kenderaan dinaiki pasangan terbabit remuk di bahagian belakang dan pasangan itu keluar dari kenderaan berkenaan," katanya.

Menurut sumber, pasangan kakitangan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) Negeri Sembilan dan penuntut wanita di sebuah Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) di sini, memberi alasan tinggal berjauhan dan bertemu untuk bersiar-siar sebelum berhenti di tepi jalan kerana mengantuk dan terlelap di situ.

Menurut Imam (1) Kariah Masjid Bukit Saga, Ayer Paabas Shaari Samah, pasangan terbabit masing-masing berusia 20 tahun ditahan kerana berdua-duaan di dalam kereta di kawasan sunyi dipercayai kedua-duanya dalam keadaan separuh bogel.

"Pasangan terbabit mendakwa tersalah jalan dan terlelap ketika berhenti di tempat kejadian. Selepas diperiksa, mereka didapati tidak memiliki sebarang dokumen pernikahan dan dibawa ke Balai Polis Alor Gajah untuk diambil keterangan sebelum diserah kepada Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) untuk tindakan lanjut," katanya.

Ketua Penguatkuasa JAIM, Rahimin Bani, ketika dihubungi hari ini mengesahkan tangkapan khalwat pasangan berkenaan.

Sumber:
http://www.hmetro.com.my/articles/Pasangankhalwatkemalanganketikalari/MA/Article



3 maut 15 cedera bas terbalik



Inalillahi wainailaihi rojiun

19 Januari 2014
Batu Pahat: Tiga maut manakala 15 orang lagi cedera termasuk 11 parah selepas bas ekspres yang mereka naiki terbabas sebelum terbalik di Kilometer 107 Lebuhraya Utara Selatan arah selatan berhampiran Yong Peng, awal petang tadi.

Dalam kejadian kira-kira pada jam 1.50 petang itu, bas yang dinaiki 17 penumpang dipercayai dalam perjalanan dari Kuala Lumpur menuju ke selatan.

Bas berkenaan dipercayai hilang kawalan dan terbabas melanggar penghadang jalan sebelum terbalik ke parit bersebelahan.

Mangsa meninggal dunia dikenal pasti sebagai Mohd Sofuan Nurhakim Mohd Zaidi, 21; Mohd Amirul Asyraff Yaakub yang juga sepupu Mohd Sofwan serta Mohammad Zikri Othman, 10.

Semua mangsa cedera dan terkorban dibawa ke Hospital Sultanah Nora Ismail, Batu Pahat untuk rawatan dan bedah siasat.

Sumber:
http://www.hmetro.com.my/articles/3maut_15cederabasterbalik/MA/Article



Ajal di Hari Thaipusam



19 Januari 2014
Butterworth: Dua sahabat yang menjalankan perniagaan mi goreng sempena sambutan perayaan Thaipusam maut selepas motosikal mereka dirempuh sebuah pacuan empat roda (4WD) di Kilometer 140 Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS), berhampiran Juru Autocity, di sini, awal pagi semalam.

Dalam kemalangan jam 3 pagi, penunggang motosikal R Jayaseelan, 35 dan pembonceng L Krishnamurthy, 38, maut di lokasi kejadian akibat cedera parah di kepala dan badan.

Menurut jurucakap trafik, kedua-dua mangsa dalam perjalanan pulang ke Simpang Ampat, dekat sini, selepas menjalankan perniagaan mi goreng untuk pengunjung yang menyambut Thaipusam di Georgetown.

“Bagaimanapun, sejurus sampai di lokasi kejadian, motosikal mereka dirempuh sebuah 4WD, membuatkan kedua-duanya tercampak dan terkena besi penghadang jalan.

“Akibatnya, kedua-duanya maut di lokasi kejadian kerana cedera parah di kepala dan seluruh anggota badan.

Mayat kemudian dibawa ke Hospital Seberang Jaya untuk bedah siasat,” katanya.

Menurutnya, kedua-dua mangsa sudah tiga hari tidak pulang kerana sibuk menyiapkan gerai dan tapak berniaga mi goreng untuk pengunjung yang menyambut Thaipusam.

“Setiap tahun mereka berdua mengambil kesempatan menjalankan perniagaan mi goreng secara kecil-kecilan buat pengunjung ketika Thaipusam,” katanya.

Menurutnya, setakat ini pemandu 4WD terbabit membuat laporan berhubung kemalangan itu dan polis mengambil keterangan daripadanya manakala siasatan lanjut masih dijalankan.

Difahamkan, Jayaseelan masih bujang manakala Krishnamuthy berkahwin dan mempunyai tiga anak.

Sumber:
http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Duasahabatmautbalikniagami/MA/Article/index_html



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Headlines

FeedBurner FeedCount