loading...

Saturday, June 21, 2014

Anggota bomba maut dirempuh lori


22 Jun 2014
PONTIAN - Seorang anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Pekan Nenas maut dirempuh lori di Batu 29, Pengkalan Raja, kira-kira jam 4 petang semalam.

Mohd Taufik Ali, 22, meninggal dunia di tempat kejadian, manakala seorang lagi rakan sekerjanya, Suboh Abdullah, 45, cedera di dada dan kini dirawat di Hospital Pontian.

Rakan sekerjanya, Bahtiar Chik, 40, berkata, dia bersama mangsa dan enam anggota bomba keluar ke lokasi selepas menerima panggilan mengenai kebakaran lalang di Batu 29, Pengkalan Raja jam 3.24 petang.

Katanya, sebaik selesai kerja memadam api, mereka bersiap sedia untuk kembali ke balai bomba.

“Ketika jentera bomba undur, sebuah lori datang dari arah Johor Bahru dan cuba mengelak dari melanggar jentera bomba. masa itu lori itu merempuh dua anggota itu.

“Saya dan rakan yang lain berada di sebelah kiri lori manakala arwah bersama Subuh berada di sebelah kanan.," katanya.

Dia percaya mereka dirempuh lori yang kemudian terbalik kerana tidak sempat mengelak.

Ketika ditemui di Hospital Pontian, Bahtiar memberitahu, Mohd Taufik baru setahun bertugas  setahun sebagai anggota bomba di balai bomba berkenaan.

Mayatnya dihantar ke Hospital Pontian untuk bedah siasat sebelum diserahkan kepada keluarganya di Batu Pahat, untuk pengkebumian.

Sumber:
http://www.sinarharian.com.my/semasa/anggota-bomba-maut-dirempuh-lori-1.292316



Friday, June 20, 2014

Bas Rombongan Sekolah Rempuh Treler



20 Jun 2014
Muar: Seorang guru patah tangan manakala muridnya patah kaki kanan apabila bas rombongan dinaiki mereka dari Kuala Lumpur hala selatan merempuh sebuah treler di Kilometer 48.4 Lebuhraya Utara-Selatan dekat sini pada 1.15 pagi tadi.

Pemandu bas berkenaan pula patah kaki kiri.

Kemalangan dipercayai berpunca daripada pemandu bas gagal memintas treler dan menyebabkannya merempuh belakang kenderaan berkenaan.

Bas itu dalam perjalanan pulang ke Sekolah Kebangsaan (SK) Parit Raja, Batu Pahat dan membawa semua penumpang perempuan manakala sebuah lagi bas rombongan yang berada di belakang membawa guru dan murid lelaki.

Semua penumpang yang tidak cedera dipindahkan ke bas kedua manakala semua mangsa dihantar ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) untuk rawatan lanjut.


Sumber: Facebook

Sumber:
http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Gurupatahtangan_muridpatahkaki/Article/index_html



Thursday, June 19, 2014

Bas masuk lorong motor


19 Jun 2014
Shah Alam: Akibat hilang kawalan, sebuah bas antara bandar yang membawa 15 penumpang melanggar pembahagi jalan sebelum masuk ke laluan bertentangan dan merempuh tiga kereta dan satu motosikal, di sini semalam.


Kejadian berlaku di Kilometer 16.1 Lebuhraya Persekutuan berdekatan Plaza Tol Batu Tiga ketika bas berkenaan dalam perjalanan dari Klang ke Kuala Lumpur.

Ketua Bahagian Trafik dan Ketenteraman Awam Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam Deputi Superintendan Goh Lee Shen berkata, kemalangan berkenaan mengakibatkan kesesakan jalan di kedua-dua hala lebuh raya itu selama lebih sejam.

“Bas terbabit menghala ke Kuala Lumpur dan satu kilometer sebelum tiba di plaza tol, ia terbabas sebelum merempuh pembahagi jalan dan masuk ke laluan bertentangan.

“Selepas itu, bas berkenaan melanggar Proton Wira, Toyota Camry dan Proton Persona sebelum masuk ke laluan motosikal di laluan bertentangan,” katanya kepada pemberita, semalam.

Sumber:
http://www.hmetro.com.my/articles/Masuklorongmotor//Article?BeritaUtama
http://www.sinarharian.com.my/semasa/bas-rempuh-kereta-masuk-laluan-motorsikal-1.291556




Wednesday, June 18, 2014

Tertusuk besi penghadang jalan


18 Jun 2014
KUANTAN - Tiga penumpang dan seorang pemandu bas RapidKuantan nyaris maut setelah bas yang dinaiki terbabas lalu tertusuk besi penghadang jalan dalam kemalangan di Kilometer 13, Jalan   Kuantan-Pekan berhampiran Taman Indera Sempurna di sini, hari ini.

Pegawai Bomba Kanan II, Balai Bomba dan Penyelamat Taman Tas, Rosli Daud berkata kejadian berlaku kira-kira 3.40 petang apabila tayar depan bahagian kiri bas berkenaan tiba-tiba meletup menyebabkan bas itu hilang kawalan sebelum terbabas dan melanggar besi penghadang jalan.

"Berikutan kejadian itu besi penghadang jalan dianggarkan sepanjang lima meter telah menembusi dari lantai sebelah kiri bas sehingga ke bahagian cermin belakang bas.

"Ia mengakibatkan seorang penumpang iaitu pelajar tingkatan satu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Mat Kilau, Rasydan Hakimi Saari, 13 patah kaki kiri, manakala dua lagi penumpang hanya mengalami cedera ringan," katanya kepada pemberita di sini.

Menurutnya, pemandu bas berkenaan tidak mengalami sebarang kecederaan manakala penumpang yang cedera dibawa keluar oleh orang ramai sebelum dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) untuk mendapatkan rawatan.

Rosli berkata pihaknya dengan kerjasama kakitangan RapidKuantan mengambil masa lebih sejam untuk mengeluarkan besi penghadang jalan yang tertusuk pada bas henti-henti bandar itu.

Difahamkan ketika kejadian bas berkenaan dalam perjalanan dari Pekan ke hentian Bandar untuk menghantar penumpang tersebut.

Sementara itu, Ketua Pegawai Operasi RapidKuantan, Zainurul Hakim ketika dihubungi berkata pihaknya akan menjalankan siasatan untuk mengenal pasti punca kejadian. - Bernama


Kuantan : Seorang pelajar tingkatan satu patah kaki selepas Bas Rapid Kuantan yang dinaikinya terbabas dan merempuh rel penghadang jalan di Kilometer 4 Jalan Pekan-Kuantan, petang tadi.

Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Mat Kilau, Rasydan Hakimi Saari, 13, antara tiga penumpang yang menempuh pengalaman ngeri apabila bas yang mereka naiki tertusuk rel penghadang jalan berkenaan, kira-kira 3.40 petang tadi.

Rasydan dihantar Hospital Tengku Ampuan Afzan dan dirawat di ke Unit Kecemasan (ICU).

Kemalangan terbabit dipercayai berpunca daripada tayar depan sebelah kiri bas berkenaan pecah sebelum kenderaan itu terbabas ke kiri jalan.


Pegawai Bomba Kanan ll, Balai Bomba dan Penyelamat Taman Tas, Rosli Daud berkata, pihaknya menerima panggilan kira-kira jam 3.45 petang tadi sebelum mengerahkan empat anggota dan sebuah jentera ke tempat kejadian.

Beliau berkata, kesemua mangsa dibawa keluar oleh orang ramai yang kebetulan melalui tempat kejadian sebelum dihantar ke HTAA untuk rawatan susulan.


Sumber:
http://www.hmetro.com.my/articles/Nyawadihujungrel//Article?BeritaUtama
http://www.sinarharian.com.my/semasa/bas-tertusuk-besi-penghadang-jalan-1.291337


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Headlines

FeedBurner FeedCount