loading...

Saturday, July 6, 2013

Wanita separuh bogel maut tragis



7 Julai 2013
KAMPUNG SUNGAI ULAR - Orang ramai termasuk pengguna Lebuh Raya Pantai Timur gempar dengan penemuan mayat seorang wanita terlentang dalam keadaan tragis dan separuh bogel di Kilometer 41.1 Bukit Besi-Kuala Terengganu, di sini, pagi semalam.



Kejadian menyayat hati itu dipercayai berlaku antara jam 6 hingga 7 pagi berikutan seorang pengawal keselamatan yang melalui lokasi berkenaan sekitar jam 5.30 pagi untuk ke masjid mendapati masih tiada mayat.

Difahamkan, wanita ditemui dalam longkang dengan beberapa kesan kecederaan termasuk di kepala dan dahi tanpa sebarang dokumen pengenalan diri itu dipercayai warga asing kerana tiada suntikan vaksin BCG pada bahunya.

Lebih tragis, ketika ditemui mangsa hanya memakai baju T berwarna oren dan hitam yang terselak serta berseluar dalam.

Mayat berlumuran darah

Pengawal keselamatan berusia 40 tahun yang enggan dikenali berkata, mulanya dia menyangka objek terbaring dalam longkang itu adalah patung dan dia benar-benar terkejut apabila mendapati ia mayat seorang wanita berlumuran darah.

“Kira-kira jam 5.30 pagi, saya menunggang motosikal ke Masjid Sungai Ular untuk solat Subuh dan tiada sebarang objek sewaktu melalui lokasi. Namun, sekitar jam 6.50 pagi sewaktu perjalanan ke tempat bertugas, saya terlihat suatu objek.

“Disebabkan saya mabuk darah, saya hanya memberhentikan motosikal selepas beberapa meter dari tempat kejadian. Ketika itu juga, terdapat seorang pemandu lori yang turut memaklumkan terlihat objek di dalam longkang," katanya yang baru dua bulan bekerja di pondok keselamatan tersebut dan antara individu terawal menemui mayat mangsa.

Menurutnya, pada mulanya dia mengambil keputusan untuk kembali ke tempat bertugas iaitu di pondok keselamatan di Hentian Rehat Ajil bagi mendapatkan nombor telefon balai polis untuk dihubungi tetapi pemandu lori menyarankan supaya terus hubungi talian 999.

Tunggu laporan bedah siasat

Sementara itu, tinjauan Sinar Harian di lokasi kejadian mendapati, orang ramai mengerumuni lokasi dan terdapat sepasang selipar berwarna merah jambu berhampiran mangsa.

Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Deputi Superintendan Mohd Ismail Muslim mengesahkan kejadian tersebut dan siasatan lanjut masih dijalankan termasuk menunggu laporan bedah siasat dari Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu.

“Mangsa ditemui tanpa sebarang pengenalan diri dan hanya memakai baju T berwarna oren. Berdasarkan fizikal, mangsa dipercayai berumur antara 40 hingga 45 tahun, ketinggian 158 sentimeter serta berkulit putih.

“Oleh itu, mana-mana individu yang kehilangan ahli keluarga diminta menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Hulu Terengganu menerusi talian 09-6811222 atau balai polis berhampiran bagi membantu siasatan,” ujarnya.


Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/mayat-disangka-patung-1.179765



Melambung 50 meter



7 Julai 2013
Kuantan: “Saya menjerit beberapa kali kepadanya apabila melihat sebuah kereta berwarna putih meluncur laju namun sebaik dia menoleh ke arah saya, kereta itu merempuhnya sehingga melambung kira-kira 50 meter.

“Saya bergegas ke arahnya dan sempat memangku kepalanya sebelum dia menghembuskan nafas terakhir,” kata Nimal Ranjith, 49, rakan seorang warga Sri Lanka yang maut selepas dirempuh sebuah kereta ketika melintas jalan di Jalan Berserah, tengah malam semalam.

Dalam kejadian 12.30 tengah malam, R Rajapaksha, 49, maut di tempat kejadian selepas cedera parah di kepala akibat dirempuh kereta dipandu seorang lelaki.

Nimal berkata, sebelum kejadian, dia bersama beberapa rakannya, termasuk mangsa, berjalan kaki pulang ke rumahnya di Kampung Galing, di sini, selepas tamat waktu kerja, jam 12 tengah malam.

Katanya, ketika melintas jalan, mangsa yang berjalan beberapa langkah di depannya tidak menyedari kehadiran sebuah kereta Toyota Vios yang dipandu dari arah Air Putih menuju ke bandar.


Sumber:
hmetro.com.my/articles/Melambung50meter/MA/Article


Hadiah yang terakhir



Inalillahi wainailaihi rojiun

7 Julai 2013
CHUKAI – “Seminggu lalu arwah belikan saya telefon bimbit dan untuk ibunya pula, gelang tangan emas,” kata Hussin Endut, 52, yang tidak menyangka itu adalah hadiah pertama dan terakhir daripada anak ketiganya.

Mohd Ridzuan Hussin, 25, maut selepas lori jenis Isuzu yang dipandunya melanggar bahagian belakang treler membawa muatan baja dalam kejadian di Kilometer 165.3 Jalan Jerangau-Jabor, dekat Felda Neram 1, Air Putih, kira-kira jam 7 pagi, semalam.

Akibatnya, lori tiga tan yang dipandu Mohd Ridzuan remuk dan arwah yang tersepit di tempat duduk serta patah kedua-dua tulang rusuk meninggal dunia di lokasi kejadian.

Ketika kejadian, mangsa dalam perjalanan pulang menghantar surat khabar di Kuantan, Pahang, dan menuju ke Ajil iaitu dari arah perjalanan yang sama dengan treler terbabit.

Hussin berkata, dia terkejut apabila anaknya itu menghadiahkan sesuatu yang berharga kepadanya dan isteri, Zainun Ahmad, 49.

“Kepada ibunya, arwah selalu berikan hadiah tapi kepada saya, inilah pertama kali. Sebelum ini arwah juga ada beli telefon bimbit untuk kakak dan dua adiknya.

“Dia seorang bertanggungjawab, sebab itu wang gajinya tidak dibazirkan dan dia juga boleh belikan barangan elektrik serta perabot di rumah kami. Akhir-akhir ini dia juga suka memancing,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik, Hospital Kemaman, dekat sini.

Katanya, sudah menjadi rutin kerja, anaknya mula keluar dari kilang percetakan sebuah akhbar tempatan di Ajil seawal jam 2 pagi untuk menghantar akhbar ke Kuantan dan kebiasaannya pulang ke rumah semula sekitar jam 11 pagi.

Sementara itu, rakan sekerja mangsa, Mohd Fakhruddin Mohamad, 27, berkata, beberapa hari lalu arwah tidak banyak bercakap seperti biasa.

“Kali terakhir saya berjumpanya jam 2 pagi tadi ketika sedang punggah surat khabar ke dalam lori. Waktu itu saya lihat dia tidur nyenyak dalam lori, walaupun saya kejutkan dia masih belum bangun. Kali kedua kejut baru dia sedar sebelum kami bersama-sama bergerak ke Kuantan.

“Saya tahu kemalangan menimpanya semasa di Bukit Besi selepas rakan memaklumkan kejadian berkenaan. Saya terkejut dengan berita sedih ini,” katanya.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah, Superintendan Che Suza Che Hitam yang mengesahkan kejadian itu berkata, pemandu treler tidak mengalami kecederaan dan bedah siasat terhadap mangsa dilakukan kira-kira jam 10.20 pagi.

Jenazah Mohd Ridzuan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Kolam selepas Isyak, semalam.

Al-Fatihah

Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/hadiah-terakhir-1.179770


Friday, July 5, 2013

Pelajar dirempuh ketika membeli makanan ringan



6 Julai 2013
Kuala Selangor: Niat seorang murid tahun satu untuk membeli makanan ringan selepas pulang dari sekolah bertukar tragedi apabila digilis sebuah kereta yang didakwa dipandu laju dalam kejadian di depan sebuah sekolah di Puncak Alam, di sini, kelmarin.

Mangsa, Faris Hakimi Sazali, 7, kini dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) sebuah pusat perubatan swasta di Subang selepas dilaporkan mengalami kecederaan serius di kepala dan badan.


Menurut saksi yang enggan dikenali, kejadian berlaku kira-kira jam 1 tengah hari ketika semua murid baru keluar dari kawasan sekolah untuk menaiki bas serta kenderaan ibu bapa masing-masing.

“Saya tidak melihat sendiri kejadian ketika murid terbabit dilanggar, bagaimanapun, ketika sedang sibuk melayan kanak-kanak lain membeli makanan ringan, saya terdengar bunyi yang kuat seperti sesuatu dilanggar.


“Sebaik melihat ke arah bunyi itu, saya dapati seorang kanak-kanak sudah berada di bahagian belakang sebuah kereta Perodua Viva dipandu seorang wanita yang turut menjemput anaknya di sekolah berkenaan,” katanya kepada Harian Metro, di sini, semalam.


Seorang lagi saksi, Shafie Mokhtar, 60, berkata, ketika kejadian waktu persekolahan baru saja tamat dan murid menyerbu keluar ke arah gerai makanan ringan di tepi jalan.

“Mangsa mahu melintas jalan ke gerai menjual jajan sementara menunggu van sekolah dinaikinya tiba namun tiba-tiba dilanggar kereta yang dikatakan dipandu laju.


Kemalangan memang kerap berlaku di kawasan ini, namun kejadian itu adalah yang paling teruk sejak sekolah ini dibuka 13 tahun lalu,” katanya yang bekerja sebagai pemandu van sekolah.

Selain itu, seorang lagi pemandu van sekolah yang hanya mahu dikenali sebagai Sham, 42, berkata, kawasan berkenaan sepatutnya diletakkan bonggol berikutan kanak-kanak sering melintas.



“Kejadian seumpama ini boleh dielakkan sekiranya pihak berkenaan mengambil langkah sepatutnya memandangkan ini bukan kali pertama kemalangan berlaku di kawasan ini.


“Siapakah yang perlu dipertanggungjawabkan atas kejadian yang berlaku sekiranya semua pihak lepas tangan?“ katanya.


Sementara itu, jurucakap polis ketika dihubungi berkata pihaknya masih menjalankan siasatan berhubung kejadian berkenaan dan kedua-dua pihak sudah membuat laporan di Balai Polis Sungai Buloh.

Sumber:
hmetro.com.my/myMetro/articles/Tragedibelimakananringan/Article/index_html



Pesakit maut ambulans terbalik

6 Julai 2013
KULAIJAYA – Seorang pesakit maut apabila ambulans dinaiki terbalik selepas berlanggar dengan sebuah kereta yang terbabas di Kilometer 48.3 Lebuhraya Utara Selatan, di sini, awal pagi kelmarin.

Mangsa, Goh Cheng Cheng, 31, berasal dari Kluang meninggal dunia sebaik sahaja tiba di hospital, selepas ambulans yang dinaiki terlibat dalam kemalangan sekitar jam 4.40 pagi itu.

Ketua Polis Daerah Kulaijaya, Superintendan Zulkefly Yahya berkata, kejadian berlaku apabila kereta yang dipandu seorang lelaki dari arah Utara terbabas dan melanggar besi pengadang jalan.

“Kenderaan itu kemudiannya dilanggar oleh sebuah ambulans yang datang dari arah belakang. Keadaan itu menyebabkan ambulans berkenaan terbalik,” katanya di sini, semalam.

Zulkefly berkata, ketika kejadian, ambulans itu sedang dalam perjalanan menghantar pesakit wanita terbabit yang dipindahkan dari sebuah hospital di Kluang untuk dirawat di Hospital Sultanah Aminah (HSA), Johor Bahru.

“Bagaimanapun pesakit berkenaan meninggal dunia di hospital akibat pendarahan dalaman di bahagian kepalanya.

“Selain pesakit itu, ambulans turut membawa seorang doktor, dua jururawat dan seorang saudara pesakit berkenaan,” katanya.

Katanya, pemandu kereta yang terbabas turut menerima rawatan di hospital, manakala yang lain hanya mengalami cedera ringan.

Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/johor/ambulans-bawa-pesakit-terbalik-1.179586





Padah lari dari polis



6 Julai 2013
KULIM – Gara-gara lari daripada pemeriksaan yang dilakukan oleh unit MPV Ibu Pejabat Polis Daerah Kulim, dua remaja lelaki nyaris maut apabila motosikal yang ditunggang mereka merempuh sebuah kereta di
Jalan Tengku Putra  awal pagi semalam.



Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Ghuzlan Saleh berkata, polis mengekori dua remaja yang berusia 18 dan 20 tahun itu ketika membuat rondaan di Taman Kenari kira-kira jam 12.50 pagi.

"Kami telah mengarahkan mereka untuk berhenti bagaimanapun mereka bertindak agresif dan memecut motosikal mereka menghala ke pekan Kulim.

“Mereka kemudiannya masuk ke Jalan Tunku Putra dan menunggang motosikal melawan arus.

"Apabila tiba di tempat kejadian, mereka gagal mengelak kereta jenis Proton Saga yang datang dari arah bertentangan sebelum merempuh bahagian kanan hadapan kereta itu," katanya.

Menurutnya, akibat rempuhan kuat, kedua-dua remaja berkenaan melambung ke tengah jalan.

"Dari pemeriksaan dijalankan penunggang motosikal mengalami kecederaan patah tulang paha manakala pembonceng patah kaki kiri.

"Kes ini akan disiasat di bawah Seksyen 42(1) kerana memandu secara merbahaya,” katanya kepada Sinar Harian.

Kedua-dua remaja berkenaan kemudiannya dikejarkan ke unit kecemasan Hospital Kulim  untuk mendapatkan rawatan.

Ghuzlan menasihatkan kepada orang ramai supaya mematuhi undang-undang dan sedia memberhentikan kenderaan dengan serta merta jika ditahan polis.

Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/utara/melambung-ke-tengah-jalan-1.179549



Dua buah lori bertembung



6 Julai 2013
PORT DICKSON – Seorang pemandu lori nyaris maut apabila kenderaannya yang membawa muatan batu kerikil terbabas selepas tidak sempat mengelak sebuah lori tangki yang keluar dari simpang tiga Kampung Tampin Kanan, semalam.

Dalam kejadian 9.30 pagi itu, Nordin Kassim, 29, yang memandu dari arah Rembau ke Linggi tersepit di tempat duduk pemandu dan beberapa pengguna yang cuba membantu gagal mengeluarkan mangsa sebelum anggota Bomba dan Penyelamat Telok Kemang datang menghulurkan bantuan.

Pegawai Operasi, Pegawai Bomba kanan II, Abd Rahim Atan berkata, pihaknya mendapat panggilan pada 9.37 pagi dan bergegas ke tempat kejadian bersama enam anggota.

“Kami terima maklumat dua buah lori bertembung dan apabila sampai hanya ada sebuah sahaja dengan keadaan pemandunya tersepit di bahagian kaki.

“Pasukan bomba mengambil masa selama 10 minit untuk mengeluarkan mangsa dan dibawa ke Hospital Port Dickson (HPD) untuk menerima rawatan lanjut,” katanya.

Dalam pada itu, pengguna, P Balakrishnan, 67, berkata, sememangnya di kawasan simpang tiga itu kerap berlaku kemalangan dan penduduk mengelarkannya sebagai 'simpang maut'.

“Biasanya kenderaan yang datang dari arah Rantau dipandu laju tidak sempat mengelak kalau ada kenderaan yang tiba-tiba keluar dari simpang tiga ini.

“Saya harap pihak berkuasa tempatan (PBT) dapat membuat sesuatu bagi mengelakkan kejadian seperti ini berlaku dan meragut lebih banyak nyawa lagi,” katanya.

Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/melaka-ns/terbabas-elak-lori-tangki-1.179539



6 sekeluarga nyaris maut bertembung



6 Julai 2013
SEREMBAN – Enam sekeluarga termasuk dua kanak-kanak berusia dua tahun dan dua bulan nyaris maut apabila kereta yang mereka naiki terlibat dalam kemalangan di Kilometer 10 Jalan Seremban – Kuala Pilah, dekat sini, malam kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira 8.15 malam itu, enam sekeluarga yang menaiki kereta jenis Toyota Altis itu sedang dalam perjalanan dari Kuala Pilah menuju ke Seremban sebelum bertembung dengan sebuah kereta jenis Proton Iswara yang dipandu seorang wanita berusia 20-an dari arah bertentangan.

Pegawai Bomba Kanan II Balai Bomba dan Penyelamat Senawang, Ariffin Isa berkata, seramai 10 anggota membabitkan dua jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Senawang serta Kuala Pilah bergegas ke tempat kejadian sejurus mendapat panggilan orang ramai.

“Sebaik tiba, kesemua mangsa dalam Toyota Altis itu sudah diselamatkan orang ramai yang berada di tempat kejadian.  Namun, wanita yang memandu kereta Proton Iswara itu masih tersepit di tempat pemandu akibat pelanggaran,” katanya.

Menurutnya, bahagian hadapan Proton Iswara juga remuk teruk mengakibatkan orang ramai sukar memberi bantuan menyelamatkan mangsa.

“Bagaimanapun, bomba mengambil masa kira-kira 20 minit untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit di bahagian kedua-dua belah kakinya dengan menggunakan peralatan. Kedua-dua belah kaki wanita itu juga didapati patah," katanya.

Beliau berkata, kesemua yang cedera dihantar ke Hospital Tuanku Ja’afar, di sini untuk rawatan susulan.

Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/melaka-ns/6-sekeluarga-nyaris-maut-1.179536



Dirempuh lori tangki



6 Julai 2013
KEMAMAN – “Saya lihat lori tangki minyak itu merempuh kereta dari belakang lalu terdengar bunyi dentuman kuat menyebabkan kereta berpusing sementara lori itu pula terhuyung-hayang sebelum terbalik mengiring sebelah kiri.



“Sejurus itu saya tengok pemandu kereta itu melambai-lambai tangan dari tingkap tempat duduk pemandu dan saya segera meluru ke arah kereta mangsa,” kata saksi kes nahas, Ngah Mohamad, 57, yang melihat detik ngeri dialami mangsa lapan sekeluarga apabila kereta jenis Proton Iswara yang dinaiki mereka dirempuh lori tangki membawa muatan minyak, tengah hari, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 12 tengah hari di kawasan lampu isyarat Bukit Anak Dara, Kilometer 135 Jalan Kuala Terengganu – Kuantan itu, nyawa mangsa sekeluarga yang terdiri daripada tiga dewasa dan lima kanak-kanak termasuk seorang bayi berusia kira-kira tujuh bulan itu bagaikan telur di hujung tanduk.

Ketika kejadian, kedua-dua kenderaan terbabit dari arah perjalanan yang sama iaitu dari Kuantan menghala ke Kuala Terengganu.

Tiba di lokasi kejadian, kereta terbabit memberhentikan kenderaan kerana lampu isyarat merah sebelum dirempuh lori tangki terbabit.

Bagaimanapun, pemandu kereta dan penumpangnya serta pemandu lori terbabit yang berusia 40-an bernasib baik kerana hanya mengalami kecederaan ringan, biarpun kenderaan masing-masing remuk dan rosak teruk.

Keadaan lori tangki terbabit yang terbalik secara mengiring menyebabkan muatan petrol dan diesel sebanyak 30,400 liter tumpah di atas jalan.


Bahagian belakang remuk

Ngah yang juga merupakan pengawal keselamatan di Tadika Yayasan Islam Terengganu (YIT) Bukit Anak Dara yang terletak kira-kira 100 meter dari lokasi kejadian berkata, sebelum kejadian, dia ke gerai di depan tadika melihat peniaga,

Yazid Ibrahim, 45, memasang atap dan secara tiba-tiba nahas itu berlaku di depan matanya.

“Saya cuba buka pintu tempat pemandu, tapi sebab ia remuk, saya gagal buka lalu saya buka pintu sebelah penumpang depan dan kesemua mangsa yang berada dalam kereta itu keluar dan naik ke atas pengadang jalan.

“Waktu itu saya tengok, kesemua yang duduk di kerusi belakang sudah berhimpit dengan mangsa di depan kerana bahagian belakang remuk,” katanya.

Dalam pada itu, Yazid berkata, mangsa sekeluarga kemudian dibawa oleh sebuah kereta orang awam yang melalui jalan itu ke Klinik Kesihatan Kijal bagi mendapatkan rawatan.


Lega bayi selamat

Anak Yazid, Mohd Azrul, 18, yang ketika kejadian membantu ibu bapanya berniaga berkata, dia hanya tergamam melihat kejadian itu kerana panik dan pertama kali melihat kemalangan berlaku di depan mata.

“Ketika kejadian, saya lihat lori tangki itu membrek tapi mungkin sebab brek tak kuat, jadi ia tetap langgar kereta itu. Pemandu lori itu saya lihat cedera di bahagian kaki. Saya juga rasa lega apabila lihat bayi keluar dari kereta dalam keadaan selamat,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Che Suza Che Hitam berkata, berikutan nahas itu, tempat kejadian dikawal oleh polis, bomba (jentera Hazmat) dan Jabatan Alam Sekitar.

Bagaimanapun, sehingga jam 5 petang semalam, pemandu lori dan pemandu kereta terbabit masih belum membuat laporan polis mengenai kejadian itu.


Sekat minyak daripada mengalir ke sungai

Dalam perkembangan sama, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kerteh, Khairul Hasni Mokhtar berkata, pasukan bomba tiba di lokasi kejadian kira-kira jam 12.15 tengah hari dengan kekuatan lima anggota dari Balai Bomba dan

Penyelamat Kerteh serta tujuh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Chukai dengan dua jentera termasuk jentera Hazmat.

Menurutnya, bomba membuat benteng bagi menyekat minyak yang tumpah dari mengalir ke dalam sungai.

“Sebelum jentolak tiba di lokasi kejadian untuk membuat benteng tanah, anggota kita menggali telaga agar minyak yang tumpah dapat disekat alirannya,” katanya.


Kejar lampu isyarat

Penduduk tempatan, Shahrin Rashid, 33, berkata, kawasan lampu isyarat berkenaan kerap terjadi kemalangan berikutan sikap orang ramai yang memecut laju apabila lampu isyarat kuning.

“Lampu isyarat hijau yang tidak sampai 10 saat mendorong pengguna memecut dan saya rasa sistem lampu isyarat di sini perlu dinilai semula agar ia tidak terlalu singkat dan mendorong orang ramai memecut,” katanya.

Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/8-sekeluarga-nyaris-maut-dirempuh-lori-tangki-1.179506


Thursday, July 4, 2013

Enam maut kereta bertembung


Inalillahi wainailaihi rojiun

4 Julai 2013
Mukah: “Saya tidak dapat berbuat apa-apa apabila kereta itu tiba-tiba melintang di depan saya,” kata Ali Mamat, 59, pemandu Toyota Hilux yang terbabit dalam kemalangan mengorbankan enam orang termasuk lima sekeluarga di Kilometer 113 Jalan Sibu-Bintulu di sini, semalam.


Enam termasuk seorang kanak-kanak serta bayi maut selepas terlibat dalam kemalangan membabitkan kereta Proton Saga dan sebuah trak pikap Toyota Hilux di Kilometer 117, Jalan Sibu-Bintulu dekat sini.



Dalam nahas ngeri yang berlaku kira-kira pukul 8 pagi ini, lima daripada mangsa yang maut ialah pemandu kereta Proton Saga berkenaan serta ahli keluarganya.



Mereka ialah Mohd. Sirhan Suib, 35, isterinya, Dayang Norhayati Tusin, 30, dan anak mereka, Mohd. Danish Nubhan, 9 bulan.

Turut maut, adik kepada Dayang Norhayati, Dayang Norhafizah, 23, serta anak perempuannya, Siti Norasidah Mohd. Azri, berusia dua tahun.

Seorang lagi mangsa yang meninggal dunia ialah penumpang Toyota Hilux, Napsiah Hasan, 61, manakala suaminya yang juga pemandu trak pikap tersebut, Ali Kamat, 60-an hanya mengalami kecederaan ringan.

Kesemua mangsa maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala dan anggota badan. Pihak bomba mengambil masa kira-kira sejam untuk mengeluarkan mayat mereka daripada kenderaan.

Difahamkan, Mohd. Sirhan dan keluarganya dalam perjalanan pulang ke rumah mereka di Limbang manakala Napsiah dan suaminya menuju ke Miri.

Ketua Polis Daerah, Deputi Supritendan Omar Bakhtiar Yaacob berkata, kemalangan dipercayai berlaku apabila Proton Saga yang dipandu Mohd. Sirhan gagal dikawal lalu masuk ke laluan bertentangan sebelum bertembung dengan Toyota Hilux.

"Akibat pertembungan itu, Siti Norasidah yang duduk di kerusi penumpang belakang tercampak keluar dari kereta kira-kira 2 meter manakala ibunya tersangkut di cermin belakang kereta.

"Sementara itu, Mohd. Danish Nubhan pula mati dalam pelukan ibunya selepas mereka berdua tersepit di tempat duduk hadapan," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia hari ini.

Omar Bakhtiar dalam pada itu berkata, kesemua mayat mangsa dihantar ke Hospital Mukah untuk bedah siasat manakala punca sebenar kejadian masih dalam siasatan.


Sumber:
hmetro.com.my/articles/2013070403171620130704031716//Article
utusan.com.my/utusan/Jenayah/20130704/je_02/Enam-maut-kenderaan-bertembung
kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0704&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_05.htm



Gagal cubaan bunuh polis



4 Julai 2013
KULIM - Seorang lelaki berusia 20-an, yang cuba merempuh anggota polis kira-kira jam 4.30 pagi kelmarin, ditahan di Taman Petaling Indah kira-kira jam 12.30 tengah malam kelmarin.

Ketua Polis daerah, Superintendan Ghuzlan Saleh berkata, anggota terlibat dipercayai keluar dari sebuah restoran di sini, sebelum terserempak dengan kereta suspek.

Menurutnya, mangsa kemudiannya menghampiri kereta jenis Proton Wira yang digunakan suspek ketika cubaan merempuhnya.

“Sebaik sahaja mangsa dan seorang anggota trafik menghampiri kereta suspek dan cuba membuka pintu, suspek bertindak agresif dengan mengundur kereta dipandunya dengan laju sebelum merempuh kereta Perodua Myvi yang ada di belakangnya dan melarikan diri ke Jalan Air Merah.

“Unit MPV yang menerima maklumat kejadian itu kemudiannya mencari suspek bagaimanapun, suspek berjaya melarikan diri ke Taman Bersepadu,” katanya.

Ghuzlan berkata, sebaik sahaja suspek memasuki Taman Petaling Indah, unit MPV yang berada di lokasi kejadian mengejarnya bersama beberapa anggota Task Force dari Ibu Pejabat Polis (IPD) Kulim.

“Suspek cemas apabila jalan digunakan untuk melarikan diri merupakan jalan mati.

“Suspek kemudiannya mengundurkan kereta dan merempuh motosikal polis yang ada di belakangnya hingga mengakibatkan anggota terlibat cedera ringan,” katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata, anggota terbabit bertindak mengejar suspek dan akhirnya pemandu kereta terlibat berjaya ditahan.

Dari pemeriksaan dijalankan terhadap kenderaan diguna suspek, polis menemui satu pedang samurai di bahagian belakang tempat duduk kereta bersama beberapa keratan plastik lut sinar dipercayai dadah yang sudah digunakan.

Suspek kemudiannya dibawa ke IPD Kulim untuk siasatan lanjut dan polis mendapati suspek memiliki beberapa rekod jenayah lampau.

Kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh.

Kelmarin, Sinar Harian melaporkan seorang anggota polis terpaksa melompat ke bahu jalan untuk menyelamatkan diri daripada dirempuh dan digilis oleh kereta dipandu suspek.

Ketika kejadian itu, mangsa membuat rondaan cegah jenayah di sekitar Taman Kota Kenari sebelum ternampak suspek memandu dalam keadaan mencurigakan.

Mangsa dan seorang anggota polis lain mengekori kereta jenis Proton Wira yang dipandu suspek sehingga ke Jalan Hospital dan Jalan Kulim membelok masuk ke lorong gelap bersebelahan Pejabat Pos Kulim.

Polis memasuki jalan Tunku Bendahara sebelum memintas di hadapan kereta suspek. Suspek kemudiannya keluar dari kereta dan cuba melihat penumpang yang berada dalam kereta dipandu polis.

Menyedari kereta yang berada di hadapannya adalah anggota polis, suspek bertindak mengundurkan keretanya bagaimanapun dipintas polis di hadapannya sekali lagi.

Suspek bertindak nekad dengan memecut kereta dipandunya dan cuba merempuh mangsa yang menghampiri kenderaannya.

Mangsa yang terjatuh bangun semula sebelum mengejar suspek bagaimanapun, suspek melarikan diri.

Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/utara/padah-cuba-rempuh-polis-1.178775



Kelindan maut lori terbalik



Inalillahi wainailaihi rojiun

4 Julai 2013
SEREMBAN – Seorang kelindan lori warga Bangladesh maut selepas lori satu tan bermuatan gril yang dinaiki terbabit dalam kemalangan di Kilometer 10, Jalan Seremban–Kuala Pilah berhampiran stesen minyak di sini, semalam.

Kejadian  berlaku kira-kira jam 8.50 pagi ketika mangsa, Md Saiful Islam, 24, bersama pemandu lori dan seorang lagi kelindan dikatakan sedang dalam perjalanan dari Taman Tasik Jaya ke Kuala Pilah.

Jurucakap polis memberitahu, siasatan awal mendapati lori yang dipandu lelaki tempatan berusia 24 tahun itu cuba mengelak daripada melanggar sebuah motosikal yang tidak dikenal pasti.

“Motosikal berkenaan disyaki secara tiba-tiba meluru keluar dari simpang Forest Heights dan telah mengakibatkan kenderaan itu gagal dikawal lalu terbabas di bahu kiri jalan dan terbalik dengan keadaan empat tayar di atas.

“Akibatnya, mangsa dipercayai tersepit di tempat duduk hadapan penumpang sebelum berjaya dikeluarkan pasukan bomba dan penyelamat dari Rahang yang bergegas ke tempat kejadian.

“Mangsa meninggal dunia ketika dibawa Jabatan Bomba dan Penyelamat ke Klinik Kesihatan Ampangan, namun pemandu dan seorang lagi kelindan yang juga warga Bangladesh berusia 42 tahun itu hanya mengalami kecederaan ringan,” katanya.

Menurutnya, mayat mangsa dihantar ke Hospital Tuanku Jaafar Seremban (HTJS) untuk bedah siasat sebelum diserah kepada keluarga dan pihak kedutaan.

Katanya, polis meminta kerjasama daripada orang ramai yang melihat kejadian itu tampil ke balai berdekatan bagi membantu siasatan.

Dalam pada itu, Pegawai Turus Trafik negeri, Asisten Superintendan Abd Halil Hamzah yang mengesahkan kejadian itu berkata, punca sebenar kejadian masih lagi dalam siasatan.

Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/melaka-ns/kelindan-lori-maut-tersepit-1.178757




Lori rempuh belakang kereta

Lori rempuh belakang kereta


4 Julai 2013
SEREMBAN –  Seorang wanita nyaris maut selepas kereta Daihatsu Charade dipandunya dirempuh oleh sebuah lori dari arah belakang sebelum kenderaannya pula melanggar kereta lain di bahagian hadapan di Jalan Tun Dr Ismail di sini, kelmarin.

Kejadian kira-kira jam 6 petang itu menyebabkan tangki minyak kereta mangsa pecah dan mengakibatkan tumpahan minyak di atas jalan raya.

Menurut sumber, semua kenderaan terbabit dalam perjalanan dari Seremban menghala ke Mantin.

Bagaimanapun katanya, sejurus tiba di lokasi kejadian, lori terbabit dipercayai hilang kawalan lalu merempuh kereta mangsa.

“Kejadian itu mengakibatkan kereta mangsa pula melanggar kereta jenis Proton Wira di hadapannya sebelum kenderaan terbabit terbabas ke bahu jalan.

“Bagaimanapun mangsa yang berusia lingkungan 50-an hanya cedera ringan manakala pemandu Proton Wira dan lori terbabit  tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya.

Sumber berkata, rempuhan lori berkenaan menyebabkan tangki minyak kereta mangsa pecah dan mengakibatkan tumpahan minyak di atas jalan raya.

Kata sumber, pasukan bomba terpaksa mengambil masa beberapa minit untuk membersihkan tumpahan minyak bagi mengelakkan kejadian tidak diingini berlaku.

“Mangsa yang cedera dibawa ke Hospital Tuanku Jaafar Seremban untuk mendapatkan rawatan,” katanya.

Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/melaka-ns/wanita-nyaris-maut-tangki-minyak-kereta-pecah-1.178770



Tuesday, July 2, 2013

Nahas 3 lori



2 Julai 2013
SHAH ALAM - Seorang pemandu lori meninggal dunia dalam satu kemalangan di Lebuhraya Baru Lembah Klang (NKVE), kira-kira 400 meter dari Tol Bukit Raja dari arah Shah Alam menuju Klang, pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 11.50 pagi itu, tiga buah lori iaitu sebuah lori kontena dan dua buah lori tiga tan yang terlibat di dalam kemalangan itu.

Menurut Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Shah Alam, Mohd Khairi Daud, pihaknya menerima panggilan mengenai kemalangan itu kira-kira jam 11.55 pagi.

Katanya, sepasukan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Shah Alam bersama enam orang anggota dan seorang pegawai dikejarkan ke tempat kejadian.

Khari berkata, pihak bomba tiba di tempat kejadian kira-kira jam 12.10 tengah hari.

“Kemalangan itu berlaku apabila sebuah lori tiga tan melanggar sebuah lori kontena yang sedang berhenti di lorong sebelah kiri.

“Tiba-tiba, sebuah lori lain merempuh belakang lori yang telah melanggar lori kontena tersebut,” katanya.

Akibat rempuhan itu, pemandu lori itu dipercayai meninggal dunia di tempat kejadian manakala tiga lagi penghuni lori lain cedera.

Katanya, mangsa dikenali  sebagai Suparman Kanting, 57, meninggal dunia akibat tersepit di dalam lori itu.

Kata Khairi, pihak bomba mengambil masa kira-kira 12 minit untuk mengeluarkan mangsa dari lori berkenaan.

“Mangsa di lori lain hanya cedera di bahagian badan dan muka dan mereka diselamatkan oleh ramai manakala  pemandu kontena itu tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya.

Khairi berkata, semua mangsa dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang untuk rawatan lanjut.

Sumber:
sinarharian.com.my/semasa/seorang-maut-3-cedera-kemalangan-di-nkve-1.177843


Pelajar Politeknik Merlimau maut berkonvoi


Inalillahi wainailaihi rojiun

2 Julai 2013
LEDANG – Seorang penuntut politeknik terbunuh dalam nahas jalan raya melibatkan tiga motosikal dan dua lori di Kilometer 159.6 Lebuhraya Utara Selatan arah utara di sini, malam kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 10 malam itu, mangsa, Mohd Zarul Azam, 19, dari Pasir Gudang menunggang motosikal bersama tiga rakan lain secara berkonvoi dalam perjalanan pulang ke Politeknik Merlimau, Melaka dari Pasir Gudang.

Ketua Polis daerah, Superintendan Harun Idris ketika mengesahkan kejadian berkata, kemalangan dipercayai berlaku apabila motosikal ditunggangi mangsa telah bergesel dengan pembonceng sebuah motosikal lain yang berhenti di tepi lebuh raya kerana sedang membaiki tayar pancit.

Menurutnya, akibat pergeselan itu mangsa tercampak di tengah lebuh raya sebelum dilanggar dua lori yang dalam perjalanan menghala ke Kuala Lumpur.

“Ketika itu terdapat sebuah lagi motosikal lain yang melalui lebuh raya itu yang hilang kawalan apabila gagal mengelak motosikal mangsa yang terbabas.

“Mangsa yang mengalami kecederaan parah di kepala dan anggota badan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya.

Katanya, mayat mangsa di bawa ke Hospital Tangkak untuk bedah siasat sebelum dituntut keluarganya.

“Saksi kejadian diminta tampil untuk membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Al-Fatihah

Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/johor/penuntut-politeknik-dilanggar-dua-lori-1.177898



Gagal memotong ambulans


2 Julai 2013
MUAR – Sebuah ambulans Hospital Tangkak yang dalam perjalanan pulang selepas menghantar pesakit di Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) Muar terbabit dalam kemalangan di Jalan Salleh di sini, awal pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 2 pagi itu, sebuah kereta Proton Saga dari arah Muar cuba memotong ambulans tersebut, namun gagal sebelum merempuh sebuah kereta Proton Saga lain yang datang dari arah Bukit Pasir.

Akibat rempuhan itu, kereta tersebut berpusing lalu melanggar bahagian belakang kanan ambulans berkenaan sebelum terbabas ke kanan jalan dan dilanggar sebuah lagi kereta lain yang juga dari arah Bukit Pasir menghala ke Muar.

Pemandu ambulans serta dua jururawat terselamat dan tidak mengalami kecederaan.

Manakala, pemandu kereta terbabit mengalami kecederaan parah dan dihantar ke HPSF untuk rawatan dan pemandu kereta lain hanya cedera ringan.

Sementara itu, Ketua Polis daerah, Asisten Komisioner Azman Ayob ketika dihubungi mengesahkan laporan kejadian.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/johor/ambulans-tiga-kereta-terbabit-nahas-1.177905



Sunday, June 30, 2013

Pelajar sekolah cedera rempuh kereta



1 Julai 2013
KUPANG - Seorang pelajar sekolah cedera dalam kemalangan di Jalan Sungai Petani- Baling berhadapan kilang Mardec kira-kira jam 2.30 petang, semalam.

Pelajar berusia 15 tahun itu dikatakan dalam perjalanan pulang dari sekolah ke rumahnya sebelum merempuh sebuah kereta yang datang dari arah bertentangan.

Mangsa yang tidak sempat mengelak, melanggar bahagian tepi kenderaan terbabit sebelum terjatuh beberapa meter dari tempat kejadian.

Timbalan Ketua Polis Baling, Deputi Superintendan Abdul Rahim Abdullah berkata, mangsa mengalami kecederaan pada bahagian kaki dan ketika kejadian, darah kelihatan mengalir dari mulut mangsa.

Mangsa yang berada dalam keadaan lemah terus dihantar ke Hospital Baling untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Sementara itu, pemandu kereta terbabit tidak mengalami sebarang kecederaan.

Difahamkan, kenderaan terbabit dalam perjalanan untuk memasuki simpang kilang Mardec sebelum dirempuh oleh pelajar itu.

Mengikut statistik, penunggang motosikal merupakan yang tertinggi terlibat dalam kemalangan termasuk kemalangan maut.

Dalam tahun ini sahaja seramai 22 orang maut melibatkan 21 kemalangan di daerah ini dan kebanyakannya adalah penunggang motosikal.

Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/utara/pelajar-sekolah-cedera-kemalangan-1.177479



Mati dirempuh ketika melintas



1 Julai 2013
GOMBAK - Tindakan seorang lelaki menyeberangi laluan gelap berhampiran sebuah stesen minyak di Jalan Templer menghala ke Kuala Lumpur membawa padah apabila dia dirempuh sebuah kenderaan awal pagi, semalam.

Dalam kejadian kira-kira 1.30 pagi itu, mangsa yang tidak mempunyai dokumen pengenalan diri maut serta-merta akibat rempuhan kuat dan tercampak di atas kenderaan yang melanggarnya.

Kemalangan yang membabitkan  kereta Perodua Kancil dan pejalan kaki berbangsa India itu berlaku di kilometer 20 Jalan KL-Ipoh menghala ke Kuala Lumpur.

Jurucakap  Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak berkata, pemandu kenderaan dipercayai gagal mengelak berkemungkinan tidak nampak kelibat mangsa yang melintas jalan gelap itu.

“Akibat kecederaan parah di bahagian kepala, patah tangan dan kaki, mangsa disahkan maut serta-merta di tempat kejadian. Mayatnya dihantar ke Hospital Serdang untuk bedah siasat,”katanya.

Beliau berkata, kes dibuka dan disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan terperinci giat dijalankan.

Pemandu kereta yang cedera ringan dirawat sebagai pesakit luar di Hospital Selayang.

Sehubungan itu, waris mangsa dan saksi kemalangan yang mempunyai maklumat kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak,  Inspektor Muhamad Izam Ibrahim di talian 03-61262273, 03-61262257 atau 013-2006111 untuk membantu siasatan.

Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/selangor-kl/maut-kena-rempuh-gara-gara-lintas-jalan-gelap-1.177402




Dua penyokong The Red Warriors maut



Inalillahi wainailaihi rojiun

1 Julai 2013
GUA MUSANG - “Arwah adik beria-ia sangat untuk menonton televisyen bagi menyaksikan perlawanan akhir piala FA antara Kelantan dengan Johor Darul Takzim (JDT) sambil ingin memakai baju bola TRW.

“Tidak sangka perangai peliknya itu petanda dia akan meninggalkan kami untuk selama-lamanya apabila maut dalam kejadian kemalangan jalan raya sebelum lapan jam perlawanan itu bermula malam kelmarin,” kata Zulkifli Muhamed Zain, 31, abang kepada Ibrahim, 19, yang maut kemalangan raya petang kelmarin.

Ibrahim maut bersama rakannya, Muhamad Kamil Mahasan, 23, berasal dari Tanah Rancangan Felda Aring 1 ketika motosikal yang dinaiki mereka berlanggar dengan sebuah kenderaan pacuan empat roda di Kilometer 12 Jalan Chiku - Kuala Berang, dekat sini, kira-kira jam 1.30 petang.

Ibrahim dijumpai tercampak kira-kira lima meter ke dalam semak manakala Muhamad Kami tercampak dalam longkang tidak jauh dari situ dalam keadaan cedera parah sebelum disahkan meninggal dunia ditempat kejadian.

Pemandu kenderaan pacuan empat roda berusia lingkungan 40 an tidak mengalami seberang kecederaan dan menerima rawatan sebagai pesakit luar di Hospital Gua Musang (HGM).

Menurut Zulkifli, arwah adik bersama rakannya menaiki motosikal yang ditunggangi Muhamad Kamil untuk ke Bandar Chiku bagi membeli baju bola TRW untuk dipakai semasa menonton tv menyaksikan perlawanan TRW dengan JDT.

Katanya, mereka berdua mengambil kesempatan untuk pergi ke Bandar Chiku itu ketika waktu rehat selepas bekerja di sebuah kilang sawit Felda Aring tidak jauh dari rumahnya.

“Memang mereka berdua ada bagi tahu kepada saya hendak pergi ke Bandar Chiku untuk membeli baju bola TRW kerana bimbang tidak sempat membeli baju itu apabila pulang kerja lewat petang.

“Saya terkejut apabila menerima telefon menyatakan adik bersama rakannya itu kemalangan dan tidak sangka ia membawa maut kerana baru sahaja berlepas dari rumah,” katanya.

Zulkifli berkata, mereka berdua bekerja bersamanya di kilang sawit berkenaan dan sejak awal pagi lagi mereka bercadang untuk ke Bandar Chiku bagi membeli baju bola TRW.

“Arwah adik bersama Muhamad Kamil adalah sahabat baik dan tidak pernah berpecah sama ada ketika pergi dan pulang bekerja setiap hari dan tidak sangka akhirnya mati bersama,” katanya.

Ibu Muhamad Kamil, Che Kamariah Osman, 51, pula berkata, arwah anak tidak menunjukkan sebarang keganjilan sejak kebelakangan dan terkejut dengan kejadian menimpa mangsa.

“Dia (arwah) adalah anak yang rajin bekerja dan mahu hidup berdikari sejak tamat persekolahan beberapa tahun lalu dan dia juga penyokong TRW hingga sanggup untuk membeli baju bola TRW.” katanya.

Sementara itu jurucakap Ibu Pejabat Polis Daerah Gua Musang mengesahkan kejadian itu dan kes disiasat di bawah seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan.

Al-Fatihah

Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/kelantan/dua-penyokong-trw-maut-8-jam-sebelum-perlawanan-1.177412




Tragedi konvoi berdarah 2 Maut, 3 Cedera

Tragedi konvoi berdarah, 2 Maut, 3 Cedera Nahas Konvoi Motosikal Kuasa Tinggi di Kilometer 38, Jalan Johor Baharu-Mersing

Inalillahi wainailaihi rojiun

30 Jun 2013
KOTA TINGGI - Dua penunggang motosikal berkuasa tinggi maut di tempat kejadian manakala tiga lagi cedera selepas konvoi yang disertai mereka merempuh sebuah lori tangki di Kilometer 38, Jalan Johor Baharu-Mersing di sini, hari ini.

Kemalangan Motosikal Kuasa Tinggi di Kilometer 38, Jalan Johor Baharu-Mersing


Kemalangan berlaku kira-kira pukul 12 tengah hari berhampiran susur masuk ke Taman Daiman Jaya di sini ketika konvoi 16 buah motosikal berkuasa tinggi dan lima buah kereta itu dalam perjalanan pulang dari Johor Baharu menuju ke Kuala Terengganu.

Difahamkan konvoi berkenaan turut disertai oleh orang kenamaan dari Terenggganu.

Bagaimanapun orang kenamaan berkenaan sebelum itu dilaporkan telahpun berpisah dari konvoi berkenaan sebelum kemalangan itu berlaku membabitkan tiga buah motosikal.



Ketua Polis Daerah Kota Tinggi Supt Mohd Nor Rasid ketika ditemui di Hospital Kota Tinggi, berkata mangsa yang meninggal dunia ialah Abdul Rashid Mansor, 48, beralamat di Taman Ibai Indah, Ibai Golf Resort Kuala Ibai, Kuala Terengganu dan Mohamad Hisham Salleh, 36 dari Kampung Gemuroh, Marang Terengganu.



Mangsa yang cedera parah dikenali sebagai Saufi Said, 48, dan Anisar Muhammad, 49, isteri kepada Muhd Zulkeri Embong, 45 yang mengalami cedera ringan.

Mohd Nor berkata kemalangan tersebut berlaku selepas lori tangki tersebut dari arah Mersing dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas dan melintang di jalan raya.

Menurutnya dalam masa yang sama konvoi tersebut yang datang dari arah Johor Baharu tidak sempat mengelak lalu merempuh lori tersebut sehingga menyebabkan salah sebuah motosikal terbakar manakala sebuah lagi motosikal terputus dua.

"Lori tangki tersebut tidak membawa apa-apa muatan. Ketika kejadian keadaan cuaca hujan dan jalan licin," katanya.

Beliau berkata kedua-dua mangsa meninggal dunia di tempat kejadian manakala dua mangsa cedera parah dipindah ke Hospital Sultan Ismail, Johor Bahru.




Menurutnya pemandu lori berkenaan telah ditahan reman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan.

Sementara itu, anak kepada Muhd Zulkeri, Shahir Zulfyri, yang mengikuti konvoi itu, berkata mereka bergerak dari Johor Bahru kira-kira pukul 10.30 pagi sebelum terlibat dalam kejadian tersebut.



"Ketika itu saya menaiki kereta manakala ayah dan ibu menaiki motosikal (Harley Divison). Saya dapat melihat dengan jelas lori itu hilang kawalan dan melintang di tengah-tengah jalan menyebabkan ahli konvoi melanggar lori tersebut," katanya kepada pemberita ketika ditemui di Unit kecemasan Hospital Kota Tinggi. - Bernama

Sumber:
nst.com.my/latest/two-superbikers-died-3-others-injured-in-crash-1.310440
hmetro.com.my/articles/Duapenunggangmotosikalbesarterbunuh/MA/Article
malaysiandigest.com
thestar.com.my/News/Nation/2013/07/01/Duo-in-mcycle-convoy-killed-in-crash-Two-other-riders-severely-injured.aspx



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Headlines

FeedBurner FeedCount