loading...

Saturday, July 26, 2014

Proton tawar pemeriksaan percuma


KUALA LUMPUR: Sempena cuti Hari Raya Aidilfitri ini, Proton menawarkan pemeriksaan keselamatan 20 perkara secara percuma kepada pelanggannya di beberapa stesen Petronas terpilih.

Program anjuran bersama Petronas itu merupakan sebahagian daripada kempen Petronas Coffee Break.

Proton dalam satu kenyataan berkata selain pemeriksaan percuma, pelanggan juga akan diberikan nasihat mengenai aspek penyelenggaraan enjin dan kereta serta tunjuk ajar mengenai kaedah membezakan alat ganti tulen dan tiruan, selain hadiah sebagai tanda penghargaan.

"Proton mengambil serius keselamatan dan keselesaan pelanggannya. Melalui perkhidmatan dan tawaran yang disediakan pada kempen ini, kami berharap dapat menyumbang ke arah mewujudkan kesedaran kepada pelanggan dan pengguna jalan raya mengenai pentingnya penyelenggaraan kenderaan dan keselamatan," kata Ketua Pegawai Eksekutif Proton Edar Sdn Bhd Azmi Idris.

Katanya menerusi program ini, Proton berharap dapat membantu mengurangkan kes kemalangan jalan raya yang kerap berlaku pada musim perayaan.

Beliau berkata pada Khamis, pasukan Proton akan berada di Petronas 15.3 KM, stesen NKVE Damansara untuk pemeriksaan keselamatan percuma.

Sumber:
http://www.astroawani.com/news/show/proton-tawar-pemeriksaan-keselamatan-20-perkara-percuma-40539



Wednesday, July 23, 2014

Punca utama kemalangan musim perayaan


23 Julai 2014
PUTRAJAYA: Punca utama kemalangan jalan raya, khususnya semasa musim perayaan, ialah kecuaian seperti berlumba, melebihi had dan melanggar lampu isyarat, kata Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai.

Beliau berkata walaupun pelbagai usaha dibuat bagi menangani isu itu namun masih ada segelintir pengguna jalan raya yang tidak mengambil iktibar daripada nahas yang berlaku.

"Statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM) berhubung kemalangan semasa Op Selamat 3 pada Aidilfitri tahun lepas ialah seramai 258 berbanding 226 pada 2012 iaitu meningkat 14.2 peratus," katanya dalam ucapan semasa pelancaran Kempen Keselamatan Jalan Raya (JKJR) peringkat kebangsaan bertema 'Nyawa Dihargai, Keluarga Menanti, Selamat Ke Destinasi' di sini pada Selasa.

Teks ucapan beliau dibacakan timbalannya, Datuk Ab Aziz Kaprawi.

Turut hadir Presiden Perbadanan Putrajaya Tan Sri Aseh Che Mat, Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Datuk Seri Ismail Ahmad dan Ketua Pengarah JKJR Datuk Dr Tam Weng Mah.

Liow berkata sempena Aidilfitri tahun ini, mulai semalam PDRM melancarkan Op Selamat 5 manakala dan JPJ melancarkan Ops Bersepadu, yang masing-masing berakhir pada 4 dan 5 Ogos.

Beliau berkata kerajaan juga akan melaksana pelbagai program berdasarkan advokasi dan penguatkuasaan seperti kempen dengan kerjasama Kementerian Komunikasi dan Multimedia serta syarikat swasta dan badan bukan kerajaan.

Sumber:
http://www.astroawani.com/news/show/berlumba-antara-punca-kemalangan-menjelang-aidilfitri-40467



Bas ekspres dua tingkat rentung


23 Julai 2014
Kuala Lipis: Sebuah bas ekspres dua tingkat yang dalam perjalanan dari Selangor ke Kelantan terbakar dalam kejadian jam 1.45 petang tadi di Kilometer 32 Jalan Lipis-Merapoh, dekat FELDA Telang, di sini.



Difahamkan, bas itu membawa 41 penumpang dalam perjalanan dari Puchong Prima ke Kota Bharu.

Ketua Polis Daerah Lipis Superintendan Abdul Razak Hassan berkata, semua penumpang termasuk dua pemandu selamat dan tidak mengalami kecederaan.

Katanya, bagaimapun barang seperti beg pakaian dan keperluan harian kepunyaan tujuh penumpang tidak sempat diselamatkan kerana api merebak ke seluruh bahagian bas dengan cepat.

Menurutnya, siasatan awal mendapati kebakaran bas berpunca daripada enjin bahagian belakang mengeluarkan asap dan percikan api dan terus merebak ke keseluruhan bahagian bas.

Sumber:
http://www.hmetro.com.my/articles/Basexpresduatingkathangus/Article?mutakhir



Tuesday, July 22, 2014

Kanak-Kanak maut dirempuh van


23 Julai 2014
Kuantan: Gara-gara leka membeli barangan dapur di sebuah pasar raya, seorang wanita terpaksa menyambut Aidilfitri tanpa anak lelakinya apabila kanak-kanak berusia lima tahun itu maut dilanggar kenderaan ketika melintas jalan, di Bukit Sekilau, di sini, petang tadi.

Kejadian kira-kira jam 4.30 petang itu berlaku apabila wanita berkenaan yang berusia lingkungan 30 tahun dikatakan tidak menyedari anaknya melintas jalan di depan pasar raya terbabit sebelum dilanggar van dipandu seorang lelaki.

Pegawai Penguatkuasa Tadbir dan Trafik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang Asisten Superintendan Zainalabidin Othman berkata, kejadian itu menyebabkan mangsa, Muhammad Haikal Khamram meninggal dunia di tempat kejadian akibat parah di kepala dan anggota badan.

"Siasatan awal mendapati mangsa berseorangan ketika melintas jalan tanpa pengetahuan ibunya yang ketika itu berada di dalam pasar raya berkenaan.

"Van jenis Toyota Hiace yang dipandu seorang lelaki berusia 48 tahun gagal mengelak mangsa yang tiba-tiba meluru untuk melintas jalan," katanya ketika dihubungi, di sini, tadi.


Beliau berkata, sehubungan itu, polis menahan pemandu van berkenaan untuk siasatan lanjut termasuk kenderaan yang melanggar mangsa.

"Kita meminta saksi kejadian tampil membantu siasatan dan pada masa sama ibu mangsa juga sudah diambil keterangan berhubung kejadian itu," katanya.

Zainalabidin berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sumber:
http://www.hmetro.com.my/articles/Budakmautdirempuhvan/Article?mutakhir



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Headlines

FeedBurner FeedCount

Blogged.my