Friday, August 26, 2011

Hari Ke-2 Ops Sikap Ke-24


KUALA LUMPUR 25 Ogos - Baru masuk hari kedua Ops Sikap Ke-24 sempena Hari Raya Aidilfitri diadakan, 20 lagi kematian dicatatkan di seluruh negara sepanjang tempoh 24 jam semalam.

Angka kematian itu menjadikan jumlah kematian sepanjang dua hari operasi Ops Sikap dilancarkan sejak Isnin lalu meningkat kepada 34 orang.

Penunggang dan pembonceng motosikal terus mencatat jumlah kematian tertinggi apabila 11 kematian dilaporkan membabitkan golongan itu.

Berdasarkan laman web rasmi Polis Diraja Malaysia (PDRM) hari ini, sepanjang tempoh semalam, sejumlah 1,427 kemalangan berlaku dan 19 daripadanya adalah kemalangan maut.

Selain 11 pengguna motosikal, kematian lain membabitkan tiga pengguna kereta, masing-masing dua pengguna lori dan jip serta seorang pengguna van dan pejalan kaki.

Daripada jumlah itu, sebanyak 10 kematian berlaku di jalan persekutuan, diikuti enam di jalan negeri, dua di lain-lain jalan serta masing-masing satu kejadian di lebuh raya dan jalan bandaran.

Menurut kenyataan itu lagi, jalan bandaran merekodkan jumlah kemalangan terbanyak iaitu 638 kes, diikuti jalan persekutuan (329), jalan negeri (228), lebuh raya (170) serta lain-lain jalan (62).

Sepanjang tempoh semalam, PDRM telah mengeluarkan sejumlah 10,112 saman atas pelbagai kesalahan.
Ops Sikap Ke-24 dilancarkan oleh Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Khalid Abu Bakar kelmarin sempena Hari Raya Aidilfitri dan ia akan berlangsung sehingga 6 September depan.

 Sumber: Utusan

Berbuka Puasa Bersama Keluarga Tidak Kesampaian

 Al-Fatihah...

DUNGUN: Hasrat seorang jurukimpal berbuka puasa bersama keluarga tidak kesampaian setelah dia terbunuh dalam kemalangan di Kilometer 9 Jalan Teluk Lipat, Sura Hujung berhampiran Kelab Golf Desa, di sini, semalam.

Mangsa Ahmad Sofri Badaruddin, 23, dari Kampung Jalan Bunga Raya, di sini maut di tempat kejadian setelah mengalami kecederaan parah di bahagian dada dan kepala.

Kejadian yang berlaku kira-kira 7 petang apabila kereta yang dipandu mangsa dari arah Kuala Terengganu terbabas lalu masuk ke laluan bertentangan sebelum merempuh sebatang pokok.

Akibat rempuhan itu menyebabkan kereta yang dipandu Ahmad Sofri terputus dua dan mangsa tercampak kira-kira 10 meter dari tempat kejadian. Mayat di hantar ke Hospital Dungun untuk dibedah siasat.

Menurut abang mangsa Ahmad Sobri, 35, dia hanya berjumpa dengan adiknya itu kira-kira lima minit sejurus dia tiba ke kampung untuk pulang beraya.

Katanya, Ahmad Sofri tidak bercakap banyak dan hanya memberitahu semua persiapan untuk berbuka puasa bersama anggota keluarga yang lain sudah tersedia.

"Hanya itu yang arwah maklumkan sebelum keluar dengan memandu kereta saya dan beberapa minit selepas itu kami sekeluarga dimaklumkan arwah terlibat dalam kemalangan," katanya ketika ditemui di rumah mayat Hospital Dungun.

 BERNAMA

Sumber: Berita Harian

Pemandu Ganti Maut


 Al-Fatihah

KUANTAN- Tindakan seorang kelindan lori mengambil alih tugas memandu daripada pemandunya membawa padah apabila lori treler tanpa muatan yang dipandu bertembung dengan sebuah lori lain di Kilometer 4.5 Jalan Jerantut- Benta dekat Jerantut, kelmarin.

Dalam nahas kira-kira jam 11 pagi itu, mangsa, Mohd Anuar Husin, 19 dari Jengka 14, Bandar Pusat Jengka mengalami cedera parah dan meninggal dunia di tempat kejadian.

Ketua Jabatan Ketenteraman Awam dan Trafik Negeri, Superintendan Mohamed Fauzi Abdul Rahim berkata, pemandunya terselamat apabila hanya mengalami cedera ringan manakala pemandu sebuah lagi lori treler tidak mengalami sebarang kecederaan.

Menurutnya, lori jenis Mitsubishi Fuso yang dinaiki mangsa bersama pemandunya dipercayai dalam perjalanan dari arah Benta menghala ke Jerantut.

“Dalam perjalanan, mangsa dipercayai mengambil alih tugas memandu sebelum meneruskan perjalanan.

“Ketika tiba di lokasi nahas, lori yang dipandunya dipercayai hilang kawalan sebelum termasuk ke laluan bertentangan lalu bertembung dengan sebuah lori treler jenis yang sama membawa muatan kelapa sawit dari arah bertentangan,” katanya ketika ditemui di pejabatnya di sini, semalam.

Mohamed Fauzi berkata, akibat pertembungan itu, mangsa mengalami kecederaan parah dan meninggal dunia di tempat kejadian.

“Hasil siasatan pihak polis mendapati mangsa dipercayai tidak mempunyai lesen memandu,” katanya.

“Siasatan lanjut masih dijalankan dan disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Sumber: Sinar Harian

Warga Emas Maut Melintas Jalan

 Al-Fatihah

DURIAN MENTANGAU - “Pagi tadi, sebelum ke masjid dia sempat meneguk minuman yang saya buatkan untuknya selain menikmati kuih yang dihidangkan sebagai juadah sahur. Tak sangka pula dia meninggal sebelum kami sempat berbuka bersamanya,” kata Rubiah Kadir, 38, anak perempuan arwah Kadir Seman, 67, mangsa yang terbunuh dalam satu kemalangan maut dekat sini, pagi semalam.

Arwah yang juga seorang penjual daging lembu di simpang berdekatan, di sini menemui ajal di tempat kejadian kira-kira jam 10.30 pagi setelah patah paha selain cedera pada kepala selepas dilanggar sebuah motosikal dari arah Dungun yang menghala ke Paka di Kilometer 90 Jalan Kuala Terengganu-Kuantan, berdekatan simpang ke Durian Mentangau. Ketika kejadian, mangsa dipercayai cuba melintas jalan.

Menurut Rubiah yang ditemui di Unit Forensik Hospital Dungun, dia tidak menyangka bapanya itu menemui ajal dalam kejadian itu kerana dia mendapat maklumat dari rakannya, bapanya hanya terlibat dalam kemalangan.

Rubiah yang kelihatan sebak atas pemergian insan tersayang itu berkata, dia tidak menyangka bapanya pergi sebelum sempat menyambut Aidilfitri yang bakal tiba beberapa hari sahaja lagi.

“Saya macam tak percaya dia sudah tiada. Baru pagi tadi kami bersahur bersama-sama. Lagipun ayah sebelum ini sihat, tiada tanda dia akan pergi.

“Kali ini kami tidak lagi dapat berhari raya bersamanya walaupun inilah rutin kami adik-beradik sejak sekian lama. Sambutan Aidilfitri kali ini pastinya hiba buat kami sekeluarga,” kata Rubiah yang juga guru di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Paka.

Mayat arwah Kadir dihantar ke Unit Forensik Hospital Dungun sebelum dituntut ahli keluarga untuk dikebumikan di Tanah Perkuburan Durian Mentangau.

Penunggang motosikal yang melanggar mangsa, Mohd Luqman Ismail, 19, dari kuarters guru Jalan Tengku Intan Zaharah, Balai Besar turut cedera dan dirawat di Hospital Dungun. Sumber dari myMetro magsa dirempuh motosikal ditunggang seorang pelajar berusia 17 tahun

Ketua Polis daerah, Superintendan Dahlan Mohd Noor mengesahkan kejadian itu dan kes berkenaan merupakan yang pertama membabitkan kes kemalangan maut di daerah Dungun sempena Ops Sikap ke-24.

Sumber: SH

Pelajar SMK Bukit Payong Maut

Maut Terhantuk Palang Besi


Al-Fatihah

KAMPUNG RAJA - Seorang pelajar tingkatan empat Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Payong, Hulu Besut terbunuh selepas motosikal yang dibonceng terbabas menyebabkan kepalanya terhantuk pada palang besi di Kilometer 33 jalan Jertih-Keruak dekat selekoh Kampung Berangan, Keruak, kelmarin.

Dalam kejadian jam 2.30 petang itu, mangsa Nur Aiman Ismail, 16, disahkan meninggal dunia ketika tiba di Klinik Kesihatan Pasir Akar.

:Ketua Polis daerah, Superintendan Kamaruddin Mohd Zakaria berkata, mangsa mengalami kecederaan parah pada kepala dipercayai melanggar pengadang jalan selepas motosikal yang ditunggang rakannya, Mohd Khiri Awafi Nordin terbabas.

Menurutnya, mangsa bersama rakannya, pelajar tingkatan enam sekolah yang sama dalam perjalanan pulang ke rumah masing-masing di Felcra Keruak dan Kampung Keruak.

“Sebelum itu mereka berdua menaiki sebuah motosikal Yamaha RXZ dalam perjalanan pulang ke rumah, dan apabila tiba di tempat kejadian, motosikal itu hilang kawasan akibat jalan basah selepas hujan lalu terbabas ke kanan jalan dan melanggar pengadang jalan,” katanya,

Kamarudin berkata, sejurus kemalangan mangsa telah dihantar oleh orang ramai ke Klinik Pasir Akar dan disahkan meninggal dunia sebelum mayatnya kemudian dihantar ke Bilik Mayat Hospital Besut.

Sementara itu penunggang motosikal dihantar ke Hospital Besut dan mengalami retak tangan kanan dan cedera pada muka dan kaki.

Mohd Khiri Awafi kemudian dirujuk kepada Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian, Kelantan.

Motosikal yang dinaiki mangsa pula rosak pada bahagian depan.

Sumber: Sinar Harian


2 Pelajar Politeknik Merlimau Terbunuh Dalam Kemalangan


Al-Fatihah...


JASIN — Dua pelajar Politeknik Merlimau terbunuh dalam kemalangan jalan raya di kilometer 26 Lebuh Alor Gajah-Melaka-Jasin malam tadi, menurut Ketua Polis Daerah Jasin, DSP Che Suza Che Hitam.

Beliau berkata, mangsa Farah Nabila Sazali dari Parit Raja, Muar, Johor dan Mohammad Izuan Abdul Majid dari Mersing, Johor terbabit dengan kemalangan itu pada pukul 12.30 malam tadi.

Kedua-dua mangsa berumur 20 tahun yang menaiki kereta kancil meninggal dunia di tempat kejadian akibat tersepit selepas dilanggar kereta Proton Wira Aeroback dan Ford Laser dari arah belakang mengakibatkan kereta yang mereka naiki terbalik di tengah jalan, katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Che Suza berkata, siasatan awal mendapati kereta Proton wira Aeroback dan Ford Laser itu dikatakan hilang kawalan dipercayai dipandu laju.

Beliau berkata, pemandu dan penumpang kereta Proton Wira Aeroback cedera parah manakala pemandu kereta Ford Laser dalam keadaan kritikal.

Ketiga-tiga lelaki terbabit belum diketahui identiti dihantar ke Hospital Muar, Johor untuk mendapatkan rawatan manakala mangsa maut dihantar ke Hospital Melaka untuk dibedah siasat. — Bernama






Sumber: Berita Harian
              Kosmo
              TV3.com

Wednesday, August 24, 2011

PM: Pemanduan berhemah amalan murni

Elak jalan raya jadi lautan pusara - PM

KUALA LUMPUR 23 Ogos - Datuk Seri Najib Tun Razak mengingatkan para pengguna jalan raya agar memandu dengan lebih cermat dan bertanggungjawab semasa musim perayaan ini bagi mengelakkan jalan raya menjadi lautan pusara yang tidak bertanda.

Perdana Menteri berkata, pemanduan yang teliti dalam keadaan bersedia fizikal dan mental dapat mengurangkan risiko kemalangan yang sering mengundang tragedi pada musim-musim perayaan seperti Aidilfitri yang bakal disambut tidak lama lagi.

"Saya secara peribadi amat prihatin serta sedih dengan kes-kes kemalangan terutama apabila ia turut mengorbankan nyawa dan mengakibatkan kesengsaraan kepada keluarga mangsa.

"Apabila kita bercakap mengenai keselamatan jalan raya, ia berkait rapat dengan kemalangan. Walaupun satu tragedi saya percaya ia dapat dikurangkan jika para pemandu menitikberatkan aspek-aspek keselamatan dan ciri-ciri pemanduan berhemah," katanya.

Beliau berkata demikian menerusi rakaman video program khas Mesej Daripada Perdana Menteri sempena Hari raya Aidilfitri 2011 di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) di sini hari ini.

Mesej tersebut dilancarkan oleh Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan turut ditonton Naib Canselor UPNM, Leftenan Jeneral Datuk Allatif Mohd. Noor serta para mahasiswa universiti tersebut.

Dalam rakaman video tersebut, Najib berpesan kepada para pemandu yang ingin pulang ke kampung halaman masing-masing agar memandu dengan penuh berhemah serta menjaga perilaku dengan tidak menjadikan jalan raya sebagai tempat berlumba.

Ini kerana, kata beliau, kelalaian dan kecuaian walaupun sesaat bukan sahaja mampu mengundang tragedi tetapi mendatangkan kesesalan sepanjang hayat.

"Dalam keghairahan kita menyambut Aidilfitri bersama keluarga dan sahabat handai, ingatlah bahawa kelalaian kita boleh mengundang tragedi.

"Hindari keinginan mahu berlumba-lumba dan kawal perilaku ketika di jalan raya kerana ia dapat mengelakkan jalan raya menjadi lautan pusara yang tidak bertanda," katanya.

Perdana Menteri berkata, dalam usaha mengurangkan kemalangan jalan raya, kerajaan membelanjakan RM15.6 juta tahun lalu bagi kerja-kerja pembaikan di 37 lokasi kemalangan maut di jalan Persekutuan di seluruh negara.

Menurut beliau, selepas kerja-kerja pemulihan jalan dilakukan, tiada kemalangan dicatatkan di kesemua lokasi terbabit sehingga Jun lalu berbanding 395 kemalangan pada tempoh yang sama pada 2009.
Pada sidang video empat minit itu, beliau turut menyampaikan serangkap pantun berbunyi:

"1Malaysia teguh berpadu
kekal bersatu dalam harmoni
ingatan buat para pemandu
pemanduan berhemah amalan murni."

Sementara itu pada sidang akhbar selepas itu, Ismail Sabri memberitahu, klip video tersebut akan diedarkan kepada orang ramai dan ditayangkan di tempat-tempat umum sepanjang musim perayaan ini.

Selain itu katanya, sebanyak 200,000 kad ucapan Hari Raya Perdana Menteri akan turut diedarkan kepada orang ramai di plaza-plaza tol, pusat beli-belah serta rakan korporat yang mengambil bahagian bermula hari ini.

"Kita berharap agar pengguna jalan raya mengambil perhatian terhadap mesej peribadi Perdana Menteri itu agar kita dapat kesedaran dan seterusnya lebih bertoleransi di jalan-jalan raya sekali gus mampu menyelamatkan lebih banyak nyawa pada musim perayaan ini," katanya.

Sumber: Utusan

Laporkan Kesalahan Pemandu Bas

Strategi baru elak kemalangan maut

MELAKA 23 Ogos - Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) negeri akan memperkenalkan beberapa strategi baru dalam Operasi Musim Perayaan Aidilfitri selama sebulan bermula 14 Ogos sehingga 14 September ini.

Pengarahnya, Mohd. Fadhil Hassan berkata, strategi yang dirancang dalam operasi tersebut bertujuan melahirkan pemandu berhemah selain mengelak daripada berlaku lebih banyak kemalangan maut sepanjang musim perayaan.

Menurutnya, antara strategi yang telah dilakukan sejak 5 hingga 12 Ogos lalu ialah dengan mengadakan pemeriksaan 49 buah bas ekspres di depoh-depoh dan bukannya di terminal Melaka Sentral.
"Selain itu, kakitangan JPJ akan terus menyamar sebagai pengguna bagi mengesan kesalahan yang dilakukan pemandu bas sepanjang pemanduan mereka," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengetuai operasi pemeriksaan bas ekspres di Melaka Sentral, di sini semalam. 

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pengangkutan, Penerangan, Perpaduan dan Pengguna negeri, Datuk Ghazale Mohamad.

Mengulas lanjut, Mohd. Fadhil berkata, pihaknya juga melakukan pemeriksaan lebih agresif ke atas bas ekspres seperti memeriksa tayar, brek, buku log kenderaan dan menjalankan ujian air kencing.

Menurutnya, penumpang boleh membantu JPJ dengan mengambil gambar melalui telefon bimbit, jika melihat mana-mana pemandu bas ekspres yang memandu secara bahaya.

''Mereka boleh melaporkannya kepada bahagian penguatkuasaan JPJ melalui e-mel jaafar.yaakob@jpj.gov.my atau srahmat@jpj.gov.my," katanya.

Beliau berkata, JPJ membuka bilik kawalan negeri yang beroperasi 24 jam bagi memastikan semua maklumat dan aduan orang ramai dapat disalurkan melalui talian 06-2328625.

Sementara itu, Mohd. Fadhil berkata, JPJ akan mengurangkan sekatan jalan raya yang boleh menyebabkan kesesakan, tetapi rondaan pasukan penguat kuasa di lokasi-lokasi tertentu akan diadakan lebih kerap.

Sumber: Utusan Malaysia

2 Maut Pertembungan Perodua Kelisa dan Proton Iswara

Al-Fatihah

PADANG LUAS - Dua maut, manakala dua lagi parah dan seorang cedera ringan dalam satu kemalangan ngeri melibatkan dua kereta di Kilometer 26, Jalan Temerloh-Bahau, dekat sini, petang kelmarin.

Mangsa yang terlibat dikenali sebagai Rafieh Haron, 52, yang menaiki kereta jenis Perodua Kelisa secara bersendirian, manakala Salmiah Ahmad, 59; Md Ferdaus Muhtar, 36; Norfazilah Abdullah, 24 dan Muhtar Lateh, 64, masing-masing menaiki kereta Proton Iswara.

Ketua Polis Daerah, Deputi Suprintendan Mohd Zahid Mohd Noor berkata, dalam kejadian kira-kira jam 1.10 petang itu, mangsa, Rafieh dan Salmiah meninggal di tempat kejadian.

“Kedua-dua mangsa ini meninggal berikutan mengalami kecederaan parah di bahagian kepala selain pendarahan teruk di bahagian anggota badan yang lain.

“Sementara itu, dua lagi mangsa, Md Ferdaus cedera parah di bahagian kepala dan perut selain patah kaki kanan, manakala bapanya, Muhtar pula mengalami kecederaan parah di bahagian kepala,” katanya kepada Sinar Harian.

Mohd Zahid berkata, seorang lagi mangsa, Norfazilah hanya mengalami luka di bahagian kaki namun pengsan semasa kejadian itu.

Katanya, anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Triang dikejarkan ke tempat kejadian bagi membantu mengeluarkan mangsa yang tersepit.

“Md Ferdaus berjaya dikeluarkan dari kereta kira-kira jam 1.44 petang dan dihantar ke Klinik Kesihatan Padang Luas untuk rawatan susulan sebelum dikejarkan ke Hospital Sultan Ahmad Shah (Hoshas), Temerloh,” katanya.

Mohd Zahid berkata, kejadian berlaku apabila kereta Proton Iswara yang dipandu Md Ferdaus dari arah Temerloh dipercayai hilang kawalan dan memasuki laluan bertentangan sebelum menghentam kereta Perodua Kelisa.

Katanya, kejadian itu disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sumber: SH

Ibu Terkejut Anak Bawah Kereta


RANTAU PANJANG – Seorang ibu terkejut apabila melihat salah seorang daripada tiga anaknya berada di bawah kereta selang beberapa minit selepas suami dan anak-anaknya keluar rumah, pagi semalam.

Siti Fatimah Hamat,45, berkata, suaminya, Zakaria Awang,50, bersama tiga anak lelakinya, Mohd Noriman,12, Mohd Azhan Fitri,9, dan Mohd Farihan,5, dalam perjalanan ke Sekolah Kebangsaan (SK) Pohon Tanjung bagi menghantar dua anaknya yang belajar di sekolah itu sementara anak bongsunya belajar di Tabika Pasti tidak jauh dari sekolah berkenaan.

Siti Fatimah yang juga suri rumah berkata, sebaik dimaklumkan tentang kejadian, dia terus bergegas ke tempat kemalangan terkejut kerana anak-anak dan suaminya berada di atas jalan raya yang mana seorang daripadanya berada di bawah kereta dalam keadaan berlumuran darah.

Menurutnya, walaupun anak serta suaminya terlibat dengan kemalangan, tetapi dia tetap bersyukur kerana ALLAH SWT masih memajangkan usia mereka.

“Saya benar-benar terkejut, baju anak-anak semua diselaputi darah selepas beberapa minit mereka keluar rumah.

“Tapi saya bersyukur mereka semua selamat,” katanya.

Sinar Harian difahamkan, ketika sampai di tempat kejadian, motosikal mangsa dilanggar dari arah belakang oleh sebuah kereta sehingga menyebabkan keempat-empat sekeluarga itu tercampak ke atas jalan.

Salah seorang daripada mangsa pula parah dipercayai dilanggar sebuah kenderaan yang datang dari arah bertentangan.

Kejadian menyebabkan Zakaria cedera ringan pada badan, kedua-dua anak lelakinya, Mohd Noriman,12, dan Mohd Azhan Fitri,9, cedera parah sementara Mohd Farihan,5, cedera ringan.

Kesemua mangsa dihantar ke Hospital Daerah Pasir Mas untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Sementara itu Pegawai Bomba Kanan, Balai Bomba dan Penyelamat Pasir Mas, Azuhan Ibrahim yang juga Ketua Operasi berkata, pihaknya menerima panggilan daripada orang ramai memaklumkan tentang kemalangan pada jam 6.54 pagi.

Menurutnya, bomba sampai ke tempat kejadian jam 7.10 pagi berikutan keadaan agak sesak walaupun jarak ke tempat kejadian hanyalah 10 kilometer.

“Ketika sampai di tempat kejadian, kita dapati empat mangsa terlibat dengan kemalangan dan mendapati kesemua mangsa berada di atas jalan kerana difahamkan tercampak setelah motosikal yang dinaiki dilanggar dari arah belakang,” katanya.

Sumber: SH

Tiga sahabat maut


KUDAT 21 Ogos - Tiga sahabat maut, manakala seorang lagi berada dalam keadaan kritikal apabila kereta Proton Saga yang mereka naiki bertembung dengan sebuah kenderaan pacuan empat roda di Kilometer 4, Jalan Lapangan Terbang dekat sini malam tadi.

Dalam kejadian pukul 9.30 malam itu, tiga yang maut ialah pemandu, Hendry Agasih Gani, 21; Adsroy Arpad, 19, dan Mohd. Fadzli Zulkifli, 20.

Seorang lagi rakan mereka iaitu Alim Gani, 24, kini dalam keadaan kritikal dan dirawat di Hospital Kudat.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kudat, Jamaludin Hussin berkata, kereta dinaiki empat sahabat itu dikatakan bertembung dengan sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Perodua Kembara yang datang dari arah bertentangan.

"Pemandu dan penumpang Kembara itu hanya mengalami cedera ringan dan dikeluarkan oleh orang ramai.
"Sebaik sahaja sampai di tempat kemalangan, pihak kami terpaksa memotong pintu kereta Proton Saga untuk mengeluarkan pemandu dan penumpang hadapannya yang tersepit," katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

Sumber: Utusan Malaysia

Pertembungan Maut Pelajar Dan Mekanik


 Al-Fatihah,,,

MARANG – Seorang mekanik bengkel motosikal dan pelajar tingkatan tiga Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Mansor maut apabila motosikal dinaiki mereka bertembung sebelum waktu berbuka, malam kelmarin.

Mereka yang maut dalam kejadian di Jalan Surau Haji Yaakob ke Titian Baru, Kedai Buluh lebih kurang jam 7 malam itu ialah Mohd Amirulazlan Shafie, 21, dari Kampung Surau Panjang dan Adam Safuan Jaafar, 15, dari Kampung Surau Haji Daud.

Mohd Amirulazlan menaiki Honda EX5 meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala manakala Adam Safuan menunggang Honda C70 tanpa lesen meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu.

Difahamkan, sebelum kejadian, Mohd Amirulazlan dalam perjalanan dari Mak Kemas menuju ke Titian Baru manakala Adam Safuan yang menunggang motosikal dengan laju bersama seorang lagi rakannya datang dari arah bertentangan.

Ketua Polis Marang, Deputi Superintendan Ahmad Mazlan Yahya berkata, kedua-dua mangsa dikatakan bertembung manakala rakan Adam Safuan yang dipercayai mengekori dari belakang sempat mengelak sebelum terbabas ke kiri jalan.

“Kita percaya kedua-dua mangsa menaiki motosikal dalam keadaan laju dan akibat rempuhan yang kuat itu kedua-duanya mengalami kecederaan parah di kepala dan anggota badan,” katanya semalam.

Bagaimanapun, polis masih menyiasat punca kemalangan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara cuai dan mayat mangsa dihantar ke HSNZ sebelum dituntut keluarga untuk pengebumian semalam.

Sumber: SH

Langgar Lari: Tak Sempat Beli Baju Raya Anak


Al-Fatihah...

KOTA BHARU - “Sepatutnya hari ini (semalam), saya membeli baju raya mereka, namun hari ini juga mereka pergi meninggalkan kami untuk selamanya.”

Begitulah rintihan seorang ibu, Nur Ain Alia Abdullah, 35, yang tidak sempat membeli kelengkapan hari raya untuk dua anaknya, Raja Zulkarnaian Raja Azahan, 9, dan adiknya Raja Nur Ilia Raja Azahan 6, yang maut dalam satu kejadian langgar lari di Kampung Hujung Tanjung, semalam.

Raja Zulkarnain dan Raja Nur Ilia masing-masing anak ketiga dan kelima dari tujuh beradik itu dipercayai menaiki basikal bersama ketika pulang dari sekolah kira-kira jam 12.40 tengah hari.

Lebih menghibakan, jarak antara tempat kejadian hanya 20 meter dari rumah mereka setelah mengayuh basikal sejauh lima kilometer dari Sekolah Kebangsaan Sering, Pengkalan Chepa.

Menurut Nur Ain, dia hanya menerima maklumat anaknya terlibat kemalangan selepas pulang daripada pejabat Pertubuhan Kebajikan Islam (Perkim) selepas menerima bantuan zakat kira-kira jam 12.45 tengah hari.

“Sampai di simpang Panchor, hanya 500 meter dari rumah, saya tahan sebuah kereta meminta pertolongan untuk menghantar saya ke tempat kejadian.

“Lemah longlai melihat kedua anak saya bergelimpangan di atas jalan raya, apabila saya hampiri tubuh mereka keduanya tidak bernafas lagi dan melihat darah mengalir dari mulut dan tubuh mereka,” katanya kepada Sinar Harian.

Katanya, apa yang membuatkan dia terkilan apabila anak lelakinya itu, ada memintanya supaya membelikan sepasang baju Melayu berwarna ungu dan dia berjanji untuk membelinya selepas mendapat wang zakat itu.

”Jadi bila dapat duit zakat itu hari ini (semalam), saya bercadang nak membawanya untuk membeli baju Melayu tersebut, namun hasrat tersebut tidak kesampaian apabila dia maut dalam kemalangan.

”Saya terkilan kerana tidak sempat memenuhi impiannya,” katanya lagi.

Sementara itu, Ketua Polis Dearah Kota Bharu, Asisten Komisioner Azham Othman ketika dihubungi mengesahkan kejadian tersebut berkata pihaknya mendapat maklumat berhubung kejadian tersebut kira-kira jam 1.15 petang.

“Sebuah kereta Proton Iswara dikatakan melanggar kedua-dua beradik menyebabkan mereka terjatuh dan kereta terus meninggalkan lokasi nahas. Kedua-dua mangsa parah di kepala dan meninggal dunia di tempat kejadian dan mayat mereka telah dihantar ke Hospital Raja Perempuan Zainab II untuk dibedah siasat.

Sehubungan dengan itu, beliau meminta orang ramai yang mengetahui kejadian tersebut diminta supaya tampil membantu siasatan dengan menghubungi pejabat trafik Kota Bharu: 09-755229 dan kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Kanun Keseksaan.

Sumber: SH

Monday, August 22, 2011

Muhd. Arshad hampir lumpuh setelah kemalangan


IPOH 21 Ogos - Sinar Syawal yang bakal menjelma tidak lagi membawa kegembiraan buat seorang ibu, Azmoon Moideen apabila mengenangkan nasib anaknya yang hampir lumpuh akibat kemalangan pada April lalu.

Apatah lagi anak kedua daripada lima beradik itu, Muhd. Arshad Yusof, 17, hanya terlantar di rumah dan seakan-akan koma apabila tidak mampu bercakap serta tidak lagi mengenal orang di sekelilingnya.
Lebih menyedihkan, tubuh pelajar tingkatan lima Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Aminuddin Baki, Chemor itu semakin susut selain tangan kanannya didakap keras di dada sementara kaki kirinya tidak boleh diluruskan.

Namun, Azmoon, 38, yang bekerja sebagai seorang operator pengeluaran di sebuah kilang di sini tidak berputus asa menjaga anaknya itu meskipun terpaksa mengangkat Muhd. Arshad setiap kali ingin memandikannya selain menukar lampin pakai buang.

Muhd. Arshad masih memahami pertuturan ibunya itu bagaimanapun hanya mampu 'membuat bunyi' acap kali ingin memakan kanji mahupun minum yang diberikan melalui satu saluran di hidung kerana tidak boleh menjamahnya seperti biasa disebabkan baru menjalani pembedahan pernafasan di bahagian kerongkong.
"Dulu, dia seorang yang aktif, ceria serta menjadi wakil sekolah dalam pertandingan tahfiz al-Quran untuk beberapa tahun selain pernah menjadi johan dalam pertandingan azan.

"Tiap-tiap menjelang hari raya, dia pandai berniaga lemang dan berjanji pada tahun ini hendak buat sama dengan ibu saudaranya, tetapi apakan daya, sudah jadi begini," katanya ketika ditemui di rumahnya di Chemor di sini semalam.

Pada lawatan itu, Pertubuhan Kebajikan Rakyat Perak (Peka) yang diketuai oleh Yang Dipertuanya, Hamzah Maideen turut menyampaikan sumbangan kerusi roda dan barangan dapur kepada keluarga tersebut.
Azmoon yang kini telah berkahwin semula selepas bercerai dengan bapa Muhd. Arshad kira-kira tiga tahun lalu memberitahu, dia dan suaminya terpaksa berulang-alik membawa Muhd. Arshad ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) bagi rawatan fisioterapi dan pemulihan.

"Kami baru menerima surat daripada Jabatan Kemajuan Masyarakat (JKM) mengenai bantuan sebanyak RM300 sebulan tetapi masih belum menerimanya," kata Azmoon.

Sehubungan itu, orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan kepada Muhd. Arshad boleh menyumbangkannya dengan memasukkan wang ke dalam akaun Maybank Azmoon di nombor 158202116782.

Sumber: Utusan Malaysia


Konvoi Terakhir Bersama Kelab Johor Bikers


 Al-Fatihah,,,

KULAIJAYA – “Saya tidak sangka tahlil yang sama-sama kami baca di rumah penerima sumbangan tengah hari tadi (semalam) merupakan bacaan terakhir dari arwah,” kata peserta konvoi, Mohd Ali Ahmad, 37.

Malang tidak berbau apabila salah seorang peserta konvoi Kelab Johor Bikers maut setelah terbabit dalam kemalangan ketika dalam perjalanan pulang selepas mengagihkan sumbangan kepada mangsa sula, di Bandar Tenggara, semalam.

Kejadian berlaku kira-kira jam 12.15 tengah hari semalam apabila motosikal berkuasa tinggi ditunggang mangsa, Mohd Nizam Rohani, 35, bertembung dengan Proton Wira di Jalan Sengkang-Felda Inas arah Kulaijaya, kira-kira 1 kilometer dari laluan kereta api Sengkang.

Mohd Ali berkata, ketika kejadian, pasukan konvoi Kelab Johor Bikers yang disertai sepuluh penunggang sedang dalam perjalanan ke Rumah Anak-anak Yatim Bukit Cagar untuk mengagih sumbangan seterusnya selepas selesai menziarahi mangsa sula, Mohd Shah Abdul Razak, 23.

“Saya amat terkejut dengan kejadian yang berlaku sehingga meragut nyawa arwah... yang paling sedih adalah apabila arwah sempat menyertai kami membacakan doa tahlil untuk bapa Mohd Shah yang telah meninggal dunia.

“Sepanjang aktiviti kami berkonvoi ini arwah langsung tidak menunjukkan tanda-tanda atau kelakuan pelik,” katanya.

Mohd Ali berkata, ketika kejadian beliau berada di kedudukan belakang dan ternampak mangsa membuat brek kecemasan menyebabkannya terlanggar seorang peserta konvoi sebelum mangsa dilanggar sebuah kereta dari arah bertentangan.

“Mangsa terjatuh dari motosikal dan termasuk ke bawah kereta berkenaan manakala seorang lagi peserta konvoi terjatuh ke arah bahu jalan.

“Peserta konvoi yang terjatuh mengalami kecederaan di bahagian bahu dan kini menerima rawatan di hospital pakar swasta,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kulaijaya, Superintendan Zulkefly Yahya berkata, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila motosikal ditunggang mangsa memotong sebuah lori lalu bertembung dengan kenderaan dari arah bertentangan.

“Mangsa yang meninggal dunia berasal dari Taman Cahaya, Pontian manakala pemandu kenderaan yang bertembung dengan mangsa tidak mengalami kecederaan,” katanya.

Sumber: Sinar Harian

Jalan Bandar Universiti Seri Iskandar Berlubang



SERI ISKANDAR - “Tolong baiki jalan di taman kami!,” Demikian luahan kira-kira 1,000 penduduk Bandar Universiti dan sekitarnya yang terpaksa menggunakan jalan rosak dan berlubang-lubang sejak setahun lalu untuk menjalani kehidupan seharian mereka.

Tinjauan Sinar Harian ke kawasan itu mendapati terdapat lubang-lubang kecil dan besar yang boleh membahayakan pengguna yang melalui laluan tersebut terutama penunggang motosikal.

Seorang penduduk, Norazliza Mohd Nor, 28, berkata, keadaan jalan di sekitar taman berkenaan kebanyakannya tidak rata dan berlubang.

Menurutnya, permukaan jalan yang berlubang dan tidak rata itu bukan sahaja menjejaskan keselesaan pengguna tetapi juga boleh membawa kepada kerosakan kenderaan dan kemalangan.

“Jalan ini merupakan laluan utama kepada penduduk di sekitar kawasan perumahan ini menuju ke pusat bandar.

“Tetapi apabila hujan terutama hampir setiap hari seperti sekarang, permukaan jalan itu mudah rosak sehingga menyebabkan permukaan jalan itu berlubang-lubang dan cepat menjadi besar sehingga membahayakan pengguna yang melalui laluan itu,” katanya kepada Sinar Harian.

Norazliza berkata, kemungkinan kebanyakan jalan di kawasan berkenaan seperti beralun dan berlubang serta tidak rata disebabkan kerja-kerja penyelenggaraan yang dilakukan tidak sempurna.

Katanya, masalah ini juga berkemungkinan turut berkaitan dengan kualiti bahan yang digunakan semasa membuat jalan ini.

“Memang jelas boleh dilihat bahawa lubang yang pada mulanya kecil boleh menjadi besar dalam masa yang begitu singkat sahaja.

“Kita amat hairan adakah tar digunakan sama ada tidak berkualiti atau kuantitinya kurang sehingga tidak mampu ‘memegang’ kukuh batu kerikil yang digunakan,” katanya.

Menurutnya lagi, keadaan jalan di situ sudah tidak sesuai untuk ditampal di kawasan tertentu sahaja kerana ia sudah tidak rata dan berlubang-lubang.

“Permukaan jalan yang berlubang juga menjejaskan pemandangan di kawasan ini selain menyukarkan pemanduan pengguna jalan raya.

“Apabila hujan , jalan yang berlubang itu akan menakung air sehingga beberapa hari dan keadaan itu mengundang kesesakan dan membahayakan pengguna,” katanya.

Sumber: Sinar Harian

Remaja maut rempuh lori

JUNJUNG - Seorang remaja lelaki, Sin Teck Guan, 18, dari pekan Junjung yang mengalami kecederaan parah di bahagian muka dan kepala, terbunuh apabila motosikal jenis Honda EX5 yang ditunggangnya merempuh belakang lori di jalan Junjung kira-kira jam 8 malam, semalam.

Pemandu lori yang enggan namanya disiarkan berkata, lori yang dipandu membawa muatan beras dari Taiping ke Kulim dan kemudiannya ke pekan Junjung. Tiba di jalan Junjung, lorinya mengalami kerosakan dan berhenti di bahu jalan.

“Saya memasang lampu dan meletakkan segi tiga kecemasan kira-kira 20 meter di belakang lori.

"Saya memaklumkan kepada majikan tentang kerosakan dialami dan dia mengarahkan kami menunggu sehingga lori penunda tiba. Keadaan ketika itu gelap dan hujan lebat.

“Tiba-tiba kami terdengar bunyi dentuman kuat dari belakang dan nampak motosikal mangsa terseret kira-kira 35 meter di hadapan lori kami,” katanya kepada Sinar Harian.

Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Ghuzlan Saleh berkata, itu merupakan kemalangan maut ketiga yang melibatkan penunggang motosikal sepanjang bulan ini di jalan Junjung.

“Saya berharap langkah-langkah pencegahan bagi mengurangkan kadar kemalangan di kawasan itu dapat dipertingkatkan dengan mengadakan lebih banyak papan tanda.

“Selain itu, saya menasihatkan pengguna jalan raya supaya memandu secara berhemah dan jangan memandu dengan laju apabila melalui jalan Junjung terutama ketika waktu malam dan hujan lebat. Kes ini akan disiasat di bawah Seksyen 47 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

12 Ogos lalu, dua sahabat terbunuh di tempat kejadian apabila motosikal Yamaha RXZ yang ditunggang terbabas dan merempuh bas ekspres kira-kira jam 6 pagi.

Sumber: SH

Guru Pusaka Gayong Kembali Ke Rahmatulah

Al-Fatihah...

Cikgu Abd Rahman ( Cikgu Man Nibong Tebal) telah kembali ke rahmatulah, Apabila terlibat dalam kemalangan jalan raya pada 20 Ogos 2011. Beliau adalah antara guru tua dalam Pertubuhan Seni Silat Pusaka Gayung Malaysia (PSSPGM)  dan juga pakar seni serangan maut, seni pukulan dan seni pisau.... Saya sebagai anak gayong mengucapkan salam takziah kepada keluarga cikgu Man, semoga roh nya dicucuri rahmat dan segala jasanya dalam mencurah ilmu pada anak bangsa dikira sebagai satu ibadah... amin


NIBONG TEBAL – Seorang warga emas maut apabila motosikal yang ditunggangnya hilang kawalan sebelum dilanggar sebuah kereta.

Mangsa, Abdul Rahman Hasan, 61, mati di tempat kejadian apabila dia dipercayai hilang kawalan sejurus menaiki jambatan di Jalan Transkrian, petang kelmarin.

Ketua Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Selatan, Cif Inspektor Hamim Zaini Hamzah, berkata, ketika kejadian pemandu kereta berkenaan datang dari arah Nibong Tebal menuju ke Bandar Baharu, Kedah.

“Semasa penunggang menaiki jambatan di Jalan Transkrian, motosikal yang membawa tong gas itu dipercayai hilang kawalan.

“Pemandu kereta terbabit cuba mengelak namun, kedudukan jarak yang terlalu dekat menyebabkan dia (pemandu kereta) melanggar motosikal berkenaan,” katanya.

Menurutnya, penunggang motosikal yang berasal dari Nibong Tebal itu maut di tempat kejadian.

Sejurus kejadian terbabit, bedah siasat dilakukan pada jam 4.30 petang hari sama.

Kes dikendalikan Pegawai Penyiasat, Inspektor Mohd Alkhudri Marzuki dan disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sumber: SH

Niat Jururawat Beraya bersama Ibu Tidak Kesampaian

Al-Fatihah..


PEKAN – Kegembiraan seorang inspektor polis untuk membuat kejutan pulang berbuka puasa di rumah ibunya bertukar sedih apabila isterinya yang mengandung tujuh bulan maut nahas di Kilometer 65, Jalan Kuantan-Segamat di sini.

Kedua-dua suami isteri itu terlibat nahas ketika dalam perjalanan dari Kota Bharu, Kelantan untuk ke rumah ibu Mohd. Nor Idham di Kluang, Johor dalam kejadian pukul 3.30 petang kelmarin.

Dalam kejadian itu, Noor Edlina Ahmad Bakhari, 36, yang mengandung anak sulung berusia tujuh bulan disahkan maut di tempat kejadian manakala suaminya, Mohd. Nor Idham Ali Mat Nor, 27, cedera ringan.

Suami


“Ina dah tak ada mak!”

Hanya sebaris ayat itu mampu dilafazkan berulang kali bersama tangisan hiba seorang suami kepada ibunya berikutan masih terlalu sukar untuk menerima hakikat bahawa isterinya meninggal dunia dalam kejadian kemalangan itu.


Hanya beg tangan putih berbunga merah jambu milik isteri menjadi penawar duka seorang pegawai kanan polis apabila wanita itu maut bersama bayi dalam kandungan berusia tujuh bulan.


Kembar


Menurut Noor Edlin, tidak menyangka Noor Edlina pergi buat selama-lamanya selepas terbabit kemalangan itu.


“Sepanjang Ramadan ini saya asyik mengantuk serta demam dan mungkin kebetulan ia menjadi petanda saya akan kehilangan kembar, Noor Edlina Ahmad Bakhari, 36, selepas terbabit kemalangan maut,” kata Noor Edlin, 36. Noor Edlin berkata, kembarnya itu meninggal dunia selepas kereta Perodua Myvi dinaiki bersama suaminya. 



“Malah, saya memakai baju kurung selepas waktu bersahur pagi kelmarin sedangkan perbuatan seperti itu tidak pernah dilakukan sepanjang Ramadan mahu pun tahun sebelumnya.


“Selepas kejadian berlaku, baru saya sedar, perlakuan saya itu mungkin membawa petanda berlaku kejadian tidak diingini kepada kembar saya yang pergi meninggalkan kami sekeluarga selama-lamanya,” katanya ketika ditemui di rumah ibunya, Noriah Yaakob, 60, di Jalan Gajah Mati.


Saksi

Kejadian menimpa Noor Edlina yang juga jururawat di Hospital Kuala Krai (HKK) diketahui sebaik dimaklumkan seorang saksi kejadian sebelum menghubungi ibunya kira-kira jam 4.30 petang kelmarin.

Noor Edlin berkata, dia yang ketika itu berada di rumah di Pintu Geng, dekat sini, bergegas bersama suami dan anaknya ke rumah ibunya.


“Sejurus sampai di rumah, emak saya pengsan kerana terlalu terkejut dengan kejadian menimpa kembar,” katanya.

Menurutnya, kali terakhir dia berjumpa Noor Edlina pada Khamis lalu ketika dia datang ke rumah ibunya sambil menghadiahkan kain sembahyang kepada anak perempuannya.


Katanya, Noor Edlina yang mengandung anak sulung sejak mendirikan rumah tangga Januari lalu, sebelum ini tidak pernah membelikan kain sembahyang kepada anak saudaranya itu, malah berjanji akan membeli pakaian lain termasuk selipar untuk berhari raya setiap tahun.


“Kini semuanya tinggal kenangan dan saya bersama keluarga reda dengan pemergiannya dan semoga rohnya dicucuri rahmat,” katanya.


Ibu
 
Ibu tidak tahu anak, menantu pulang

Kepulangan yang berakhir dengan tragedi itu tidak diketahui ibu Mohamad Noor yang secara sengaja merahsiakan mengenai hal berkenaan kerana mahu membuat kejutan kepadanya.

Salbiah Abdullah, 50, berkata, kejutan yang ingin dilakukan anak sulungnya itu hanya dimaklumkan kepada anak ketiganya, Norlidaya, 22, yang turut berpakat untuk merahsiakan perancangan berkenaan.

Menurutnya, dia ada menerima panggilan daripada Mohamad Noor beberapa hari lepas yang memaklumkan bahawa hanya dia dapat bercuti untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri tidak lama lagi.

“Ketika itu, dia menyatakan bahawa isterinya yang bertugas sebagai jururawat di Hospital Kuala Krai tidak mendapat cuti dan mahu pulang sebelum hari raya untuk bersama-sama saya serta adik-beradiknya yang lain.

“Saya hanya mendengar ceritanya dan meminta supaya dia serta isterinya pulang pada hari mereka sama-sama cuti dan tidak kisah jika mereka sampai selepas hari raya pertama untuk elak terburu-buru,” katanya.
 



Dalam kejadian kira-kira jam 4 petang itu, mangsa, Noor Edlina Ahmad Bakhari, 36, berasal dari Kota Bharu, Kelantan, mengalami kecederaan serius di bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian, manakala suaminya, Inspektor Mohamad Noor Idham Ali Mat Noor, 27, berasal dari Kluang, Johor, dan bertugas di Cawangan Siasatan Jenayah Komersial, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu, hanya cedera ringan.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Yahaya Othman, berkata pasangan suami isteri itu dikatakan dalam perjalanan dari Kota Bharu menuju Kluang untuk berbuka puasa di rumah ibu Mohamad Noor Idham di Taman Sri Kluang apabila kereta dipandu pegawai polis itu gagal dikawal dan terbabas ke kiri sebelum melanggar tiang elektrik.


Menurutnya, selepas kenderaan terbabit melanggar tiang elektrik ia berpusing dan masuk ke laluan bertentangan sebelum terlanggar sebuah lagi kereta dinaiki sepasang suami isteri dari Melaka menuju Kuantan.

“Akibat kemalangan itu, mangsa yang bertugas di Hospital Kuala Krai dan mengandung anak sulung maut di tempat kejadian, manakala suaminya yang hanya calar ditubuh dikejarkan ke Hospital Pekan (HP) untuk rawatan lanjut. “Pasangan suami isteri yang turut terbabit dalam kemalangan itu pula tidak mengalami sebarang kecederaan dan polis sudah mengambil keterangan mereka untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya ketika ditemui selepas melawat pegawai polis itu di wad kecemasan hospital berkenaan.


Jenazah kembarnya selamatkan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Banggol, Jalan Pantai Cahaya Bulan (PCB), dekat sini, kira-kira jam 9.30 pagi, semalam.

Noor Edlin berkata, kini tiada lagi tempatnya untuk berkongsi masalah dan melepaskan rindu memandangkan dia dan arwah saja anak perempuan dalam keluarga.


“Saya difahamkan, Noor Edlina bersama suaminya dalam perjalanan ke rumah mentuanya di Kluang, Johor, dan dia ada memberitahu mengidam untuk makan nasi ambang di sana, tetapi hasratnya tidak kesampaian.


 Sumber: Metro
               Kosmo
               Sinar Harian



Penunggang Kuda Maut Terhumban ke Longkang

IPOH – Malang tidak berbau bagi seorang penunggang kuda lumba (joki) apabila maut selepas kereta jenis Iswara yang dipandunya terbabas dan terhumban ke dalam longkang dipenuhi air berhampiran loji kumbahan Medan Ipoh Jaya semalam.



Lim Cheng Woei, 27, terbunuh serta merta di tempat kejadian akibat tersepit di tempat duduk pemandu menyebabkan kecederaan parah di bahagian kepala dan dada.

Salah seorang saksi, N Nadarajah, 47, berkata beliau melihat kesan tayar berhampiran kawasan kejadian sewaktu mengutip bahan buangan untuk dihantar kepada pusat kitar semula.



Beliau yang bekerja sebagai pengawal keselamatan di Fair Park memberitahu selepas berjalan mengikuti kesan tayar itu beliau terkejut apabila melihat sebuah kereta yang terbalik di dalam longkang.

“Pada mulanya saya menyangka hanya kereta tetapi selepas pergi berhampiran saya ternampak tubuh manusia yang sudah kaku di bahagian tempat duduk pemandu.

“Saya segera menelefon polis untuk memaklumkan perkara itu,” katanya yang baru pertama kali berhadapan dengan situasi terbabit.


Ketua Trafik dan Ketenteraman Awam Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh, Deputi Superintendan Mohd Rodzi Rajab berkata mangsa yang memandu kereta dari arah Medan Ipoh Satu menuju ke Medan Ipoh.

“Bagaimanapun, apabila tiba di satu selekoh mangsa hilang kawalan lalu kenderaan yang dipandunya terbabas lalu masuk ke dalam longkang,” katanya ketika dihubungi semalam.


Sementara itu, Timbalan Penguat kuasa Bomba Jabatan Bomba dan Penyelamat Ipoh, P Samasuvam berkata, pihaknya menerima panggilan daripada orang awam kira-kira jam 8.15 pagi.

Katanya, sebuah jentera dari Jabatan Bomba dan Penyelamat Ipoh termasuk tujuh anggota bergegas ke tempat kejadian bagi mengeluarkan mangsa yang terperangkap dalam kenderaan berkenaan.

“Mangsa berjaya dikeluarkan 15 minit kemudian dan dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk bedah siasat sebelum dituntut ahli keluarga,” katanya.

Sumber: Sinar Harian
              mysarawak.org
              Thestar
              Berita Harian



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Headlines

FeedBurner FeedCount