loading...

Sunday, August 21, 2011

Bayi Tercampak Dari Kereta


SEREMBAN - Sepasang suami isteri meraung selepas melihat bayinya tidak lagi bernyawa selepas terbabit dalam kemalangan di Kilometer 252.8 Lebuhraya Utara Selatan, berhampiran Plaza Tol Senawang, di sini semalam.

Dalam kejadian kira-kira 3 petang itu, kereta jenis Toyota Camry dinaiki pasangan terbabit bersama bayi lelaki dan seorang lagi penumpang dalam perjalanan menuju ke utara, sebelum dikatakan terbabas akibat hujan lebat.

Dalam masa sama, sebuah kenderaan pacuan empat roda turut terbabas ke tepi jalan dan merempuh kenderaan dinaiki keluarga berkenaan.

Akibat kemalangan itu, bayi berusia setahun itu yang dikenali sebagai Lin Isaac yang ketika itu dipercayai sedang dalam pangkuan ibunya, tercampak ke luar dan terhumban ke bawah kereta.

Bagaimanapun, pasangan suami isteri dan pemandu kenderaan pacuan empat roda berkenaan tidak mengalami sebarang kecederaan.

Jurucakap polis berkata, kejadian dipercayai berlaku berikutan jalan licin akibat hujan lebat menyebabkan Toyota Camry dinaiki keluarga berkenaan terbabas.

Menurutnya, bayi berkenaan kemudian ditemui tersepit di bawah Toyota Camry dan sudah meninggal dunia.

“Bapa dan ibu mangsa serta seorang lagi penumpang dipercayai anggota keluarga pasangan berkenaan bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya.

Sementara itu, dua jentera bomba membabitkan 12 anggota dari Balai Bomba Senawang dan Rembau tiba ke tempat kejadian untuk kerja-kerja menyelamat mangsa.

Dalam pada itu, pasangan suami isteri berkenaan mengelak daripada wartawan kerana masih terkejut dengan kejadian menimpanya dan ibu mangsa juga kelihatan meraung dan menangis ketika melihat bayinya yang sudah tidak bernyawa dikeluarkan anggota bomba dan penyelamat dari bawah kereta.

Mayat bayi kemudian dihantar ke Hospital Tuanku Ja’afar, di sini untuk bedah siasat

Sumber: SH


No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Headlines

FeedBurner FeedCount

Blogged.my