loading...

Monday, August 22, 2011

Muhd. Arshad hampir lumpuh setelah kemalangan


IPOH 21 Ogos - Sinar Syawal yang bakal menjelma tidak lagi membawa kegembiraan buat seorang ibu, Azmoon Moideen apabila mengenangkan nasib anaknya yang hampir lumpuh akibat kemalangan pada April lalu.

Apatah lagi anak kedua daripada lima beradik itu, Muhd. Arshad Yusof, 17, hanya terlantar di rumah dan seakan-akan koma apabila tidak mampu bercakap serta tidak lagi mengenal orang di sekelilingnya.
Lebih menyedihkan, tubuh pelajar tingkatan lima Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Aminuddin Baki, Chemor itu semakin susut selain tangan kanannya didakap keras di dada sementara kaki kirinya tidak boleh diluruskan.

Namun, Azmoon, 38, yang bekerja sebagai seorang operator pengeluaran di sebuah kilang di sini tidak berputus asa menjaga anaknya itu meskipun terpaksa mengangkat Muhd. Arshad setiap kali ingin memandikannya selain menukar lampin pakai buang.

Muhd. Arshad masih memahami pertuturan ibunya itu bagaimanapun hanya mampu 'membuat bunyi' acap kali ingin memakan kanji mahupun minum yang diberikan melalui satu saluran di hidung kerana tidak boleh menjamahnya seperti biasa disebabkan baru menjalani pembedahan pernafasan di bahagian kerongkong.
"Dulu, dia seorang yang aktif, ceria serta menjadi wakil sekolah dalam pertandingan tahfiz al-Quran untuk beberapa tahun selain pernah menjadi johan dalam pertandingan azan.

"Tiap-tiap menjelang hari raya, dia pandai berniaga lemang dan berjanji pada tahun ini hendak buat sama dengan ibu saudaranya, tetapi apakan daya, sudah jadi begini," katanya ketika ditemui di rumahnya di Chemor di sini semalam.

Pada lawatan itu, Pertubuhan Kebajikan Rakyat Perak (Peka) yang diketuai oleh Yang Dipertuanya, Hamzah Maideen turut menyampaikan sumbangan kerusi roda dan barangan dapur kepada keluarga tersebut.
Azmoon yang kini telah berkahwin semula selepas bercerai dengan bapa Muhd. Arshad kira-kira tiga tahun lalu memberitahu, dia dan suaminya terpaksa berulang-alik membawa Muhd. Arshad ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) bagi rawatan fisioterapi dan pemulihan.

"Kami baru menerima surat daripada Jabatan Kemajuan Masyarakat (JKM) mengenai bantuan sebanyak RM300 sebulan tetapi masih belum menerimanya," kata Azmoon.

Sehubungan itu, orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan kepada Muhd. Arshad boleh menyumbangkannya dengan memasukkan wang ke dalam akaun Maybank Azmoon di nombor 158202116782.

Sumber: Utusan Malaysia


No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Headlines

FeedBurner FeedCount

Blogged.my