loading...

Saturday, January 7, 2012

Tiket Bas Untuk Ibu


Inalillahi wainailaihi rojiun

GUA MUSANG - “Baru setengah jam makcik suruh dia beli tiket bas dan terkejut apabila dimaklumkan maut kemalangan,” kata Ramlah Abdul Kadir, 65, ibu kepada Muhammad Zaharudin Ishak, 36, yang maut dalam kemalangan, di Taman Damar, dekat sini, petang­ kelmarin.


Kejadian itu berlaku kira-kira jam 4 petang selepas mangsa membeli tiket bas di Stesen Bas Bandar Baru untuk ke Kuala Lumpur bersama ibunya yang dijadualkan naik bas ekspres jam 12 malam kelmarin.

Mangsa yang menunggang motosikal dikatakan­ cuba memotong sebuah kenderaan pacuan empat roda dalam perjalanan ke rumah kakaknya di kawasan perindustrian sebelum merempuh kenderaan terbabit yang membelok memasuki simpang ke Taman Damar itu.

Muhammad Zaharudin yang berasal dari Rancangan Kemajuan Tanah (RKT) Kesedar Jeram Tekoh mengalami kecederaan parah di kepala dan meninggal dunia di tempat kejadian sebelum mayatnya di hantar ke Hospital Gua Musang (HGM) untuk bedah siasat.

Ramlah berkata, ketika kejadian dia berada di rumah anaknya di Taman Tropika selepas pulang dari mencuci rumahnya di RKT Kesedar Jeram Tekoh yang terbiar sejak beberapa tahun lalu.

“Makcik pergi membonceng motosikal dengan arwah dan sebaik selesai mencuri rumah itu terus pulang untuk bermalam di rumah anak makcik di Taman Tropika sebelum ke Kuala Lumpur.

“Sebelum itu, makcik bersama arwah sempat mandi dan makan tengah hari di Sungai Ketil. Ketika itu Muhammad Zaharudin kelihatan muram dan tidak mahu bercakap,” katanya.

Katanya, selepas itu dia menghulurkan wang RM50 kepada arwah supaya membeli tiket bas berikutan dia juga sudah lama tidak ke Kuala Lumpur untuk menziarahi anak perempuannya yang ketiga.

“Arwah anak kelima daripada tujuh adik beradik belum berumah tangga dan makcik tidak diberitahu arwah yang dia hendak ke rumah kakaknya­ di kawasan perindustrian itu.

“Tiba-tiba ada orang datang ke rumah untuk membawa makcik ke HGM dan sebaik tiba di hospital itu terkejut melihat mayat anak makcik,” katanya.

Ramlah tidak menyangka perubahan sikap Muhammad Zaharudin di saat akhir untuk ke Kuala Lumpur adalah petanda dia akan pergi untuk selama-lamanya dan dia redha dengan kejadian itu.

Al-Fatihah...

Sumber:
hmetro.com.my/myMetro/articles/Mautbelitiketbas/Article/artikelMA
sinarharian.com.my/edisi/kelantan/maut-selepas-beli-tiket-bas-1.17061?localLinksEnabled=false


Anak 11 Bulan Digilis Lori

Inalillahi wainailaihi rojiun

KEMAMAN – Tindakan seorang bapa meninggalkan anaknya yang berusia setahun 11 bulan dalam bakul motosikal di belakang sebuah lori membawa padah apabila pemandu lori berkenaan mengundur kenderaannya lalu menggilis anak kecil malang itu dalam kejadian di Kawasan Kuari Terengganu Tengah, Ibok, di sini, pagi semalam.

Tragedi ngeri itu mengakibatkan, Muhammad Shakir Zufayri Mohd Asri, meninggal dunia serta merta di tempat kejadian.

Dalam kejadian kira-kira jam 9 pagi itu, bapa mangsa yang menyaksikan kejadian tersebut cuba untuk menyelamatkan anaknya.

Sebelum kejadian, mangsa dikatakan ditinggalkan sendirian di dalam bakul motosikal oleh bapanya yang menuju ke sebuah bengkel dengan kedudukan motosikal diletakkan di belakang sebuah lori yang digunakan untuk mengangkut pasir di kuari berdekatan.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Abdullah Sani Salat berkata, pemandu lori yang tidak sedar akan kehadiran motosikal itu mengundurkan kenderaannya lalu merempuh motosikal berkenaan.

“Dia (pemandu lori) hanya menyedari telah menggilis mangsa setelah lorinya ditepuk beberapa kali oleh saksi yang berada di tempat kejadian.

“Apabila turun dari lori dia terkejut melihat seorang kanak-kanak serta sebuah motosikal terpelosok di bawah lorinya,” katanya.

Katanya, mayat mangsa kemudiannya dihantar ke Hospital Kemaman dan bedah siasat mendapati punca kematian disebabkan mangsa kecederaan parah di bahagian kepala.

Jenazah mangsa dituntut keluarga tengah hari semalam dan dikebumikan di tanah perkuburan di kampung mangsa di Batu 9, Ibok.

Al-Fatihah...

Sumber: sinarharian.com.my/edisi/terengganu/bayi-maut-digilis-lori-1.17028


Kisah Sebenar (Up Date 9 Jan)

KEMAMAN –“Sejak tiga hari lepas Syakir kerap nangis, saya pelik juga sebab dia bukan budak mudah nangis dan waktu bawa pergi pasar minggu dia tiba-tiba muntah.

“Pagi semalam (kelmarin) pula dia makan nasi goreng banyak sangat dan turut ambil nasi dalam pinggan abangnya, kemudian lepas makan dia terus naik ke dalam bakul motosikal abahnya sebelum abahnya sempat naik motor,” luah Zuriah Ismail, 36, mengimbas kembali keletah berlainan anak bongsunya sebelum menerima berita buruk anaknya itu maut digilis lori.

Muhammad Syakir Zufayri Mohd Asri yang manja dipanggil Syakir bakal menyambut ulang tahun kelahiran kedua pada 26 Februari depan maut serta merta di tempat kejadian selepas motosikal yang dinaiki bersama bapanya, Mohd Asri Nawi, 36, dirempuh lori hantu yang sedang mengundur dan tidak sedar akan kehadiran mereka dalam kejadian di Kuari Terengganu Tengah Sdn Bhd, Ibok, Kijal, kelmarin.

Zuriah yang masih lesu kerana terlalu terkejut dengan musibah itu berkata, ketika duduk di dalam bakul motosikal untuk mengikut suaminya keluar ke kawasan kuari Syakir tidak banyak bercakap dan lebih banyak berdiam diri sementara kakak dan abang Syakir, Nor Anis Farhana, 7, dan Muhammad Luqman Rafiqin, 5, tidak ikut.


“Adik jangan tinggal ibu”

Kata ibu tiga anak ini, suaminya ketika itu hanya memakai seluar pendek dan tidak memakai baju kerana hanya mahu pergi sekejap sahaja ke kawasan kuari itu untuk me-ngambil minyak gris kerana mahu membaiki motosikal yang rosak dan dua beranak itu keluar rumah kira-kira jam 8.40 pagi.

“Syakir memang suka mengikut jika abahnya nak ke mana-mana. Saya menerima berita malang kejadian ini selepas dikejutkan dari tidur oleh abang ipar yang datang memberitahu kerana semalam saya demam, namun waktu sampai tempat kejadian orang ramai tak bagi saya lihat dari dekat keadaan anak yang masih berada di bawah tayar belakang lori dan suruh saya balik,” luahnya ketika dikunjungi Sinar Harian di rumah ibunya di Batu 9, Ibok, semalam.
Sejak Syakir baru dilahirkan, Zuriah juga mengakui naluri keibuannya terdetik bahawa anaknya tidak panjang umur tambahan lagi Syakir juga kerap tidak sihat kerana menghidap asma menyebabkannya memiliki fizikal yang kecil dan berat badannya tidak sampai sembilan kilogram.

“Dan saya pernah cakap padanya…adik jangan tinggal ibu…,” kata Zuriah dengan air mata laju mengalir.

Katanya, kehilangan Syakir amat dirasai dan kesedihan tidak dapat diluahkan dengan kata-kata tambahan lagi anaknya itu masih menyusu badan.

Menurutnya, apa yang paling tidak dapat dilupakan karakter anaknya yang agak istimewa iaitu gemar bermain dengan ayam dan kucing berbanding bermain dengan alat permainan serta pandai bercakap dalam loghat Besut seperti memanggil aye (ayam) dan ike (ikan) meskipun suaminya sendiri yang berasal dari Besut loghatnya tidak sepekat itu.


Lihat anak digilis tayar lori

Tragedi menyayat hati itu berlaku tanpa diduga sehingga Mohd Asri yang melihat sendiri Syakir digilis lori dan darah memercik meraung kesedihan sambil cuba mahu mengalihkan anaknya itu yang berada di bawah tayar lori hantu penuh dengan muatan batu kuari.

Bagaimanapun, cubaan Mohd Asri untuk mengalihkan anaknya yang telah kaku untuk dihantar ke hospital dihalang penduduk yang datang memenuhi kawasan kejadian kerana keadaan bayinya itu yang tersepit bersama motosikal di bawah tayar lori itu.

Zuriah berkata, sebelum musibah itu terjadi sebenarnya suaminya sudah mahu pulang ke rumah kerana sudah mengambil minyak tetapi bapa saudaranya, Mohamad Daud, 36, yang bekerja di kuari itu datang ke arah suaminya yang ketika itu berada di atas motosikal kerana mahu bermain dengan Syakir.

Namun, walau Mohamad puas mencuit, Syakir hanya mendiamkan diri sebelum Mohamad dan Mohd Asri terkejut melihat lori mengundur laju ke arah mereka.

“Ketika itu motosikal Honda EX5 yang dinaiki suami saya enjinnya masih hidup tapi walau pedal minyak telah ditekan motosikal tidak bergerak dan dalam keadaan panik itu, suami sempat mencapai tangan Syakir sambil melompat dari motor tapi kata suami yang cerita kejadian itu kepada saya, tangan Syakir licin seperti minyak,” katanya

Bila berpaling lihat anak, Mohd Asri yang sudah jatuh ke depan sedikit hanya mampu melihat percikan darah anaknya.

Akibat musibah itu, kepala bayi malang itu pecah selain patah kaki manakala motosikal yang terpelosok pula terputus dua.

Jenazah Syakir dikebumikan jam 2 petang kelmarin bersebelahan pusara neneknya di Tanah Perkuburan Batu 9.


Otak bertaburan

“Ya Allah Ya Tuhanku apalah salah budak sebesar ini,” itu yang terdetik di hati Safiah Mamat, 71, ketika tersentak melihat Syakir yang juga merupakan cicit saudaranya terpelosok bawah tayar lori.

Ketika tiba di tempat kejadian polis masih lagi belum sampai dan hatinya luluh apabila melihat keadaan otak yang bertaburan sebelum orang ramai kemudian kutip otak dan letakkan dalam plastik.

Sementara itu, kakak Syakir, Nor Anis yang sudah mengerti apa yang berlaku ketika ditanya ke mana adik bongsunya berkata, “Adik tak dok, adik mati”.

Sumber: sinarharian.com.my/edisi/terengganu/bayi-digilis-lori-1.17217

Malang Tak Berbau Pelatih IKBN

 Inalillahi wainailaihi rojiun 

JOHOR BAHRU 7 Jan. – Seorang wanita maut manakala teman lelakinya parah apabila kereta mereka dihempap sebatang dahan pokok tembusu yang tiba-tiba patah di persimpangan Jalan Gertak Merah dan Jalan Dato' Menteri di sini hari ini.

Mangsa, Sintayana Abas, 25, dan temannya yang hanya dikenali sebagai Farhan berusia 25 tahun terlibat dalam insiden itu ketika kereta Proton Saga berwarna merah dipandu lelaki terbabit melalui jalan tersebut pada pukul 3.30 petang.

Sintayana yang merupakan seorang penuntut Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Pontian maut di tempat kejadian dipercayai akibat kecederaan di kepala manakala Farhan kini dirawat di Hospital Sultanah Aminah (HSA).

Mayat Sintayana yang merupakan anak ketujuh daripada sembilan adik-beradik kini ditempatkan di Bilik Mayat HSA dan akan dibedah siasat esok sebelum jenazahnya dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Aping, Kota Tinggi, dekat sini.

Menurut kakaknya, Kartini, 28, adiknya yang mengambil kursus jahitan di IKBN sebelum itu bercuti selama tiga hari di rumah keluarganya di Felda Bukit Aping, Kota Tinggi dan ingin pulang ke asrama.

Tambahnya, adiknya itu diambil oleh teman lelakinya hari ini dipercayai untuk menghantarnya ke IKBN Pontian.

“Saya mulanya tidak percaya dengan berita yang diberitahu kerana Sintayana sebelum ini kehilangan kad pengenalan. Apabila diberitahu bersama Farhan baharu saya percaya.

“Perubahan dirinya adalah ketika cuti penggal selama sebulan lalu, dia telah mengunjungi semua adik-beradik yang lain termasuk dua kakak di Kuala Lumpur,” katanya ketika ditemui di rumah mayat di HSA di sini.

Ibu mangsa, Tuminah Abu Yamin, 56, turut terkejut kerana kejadian itu berlaku tanpa disangka-sangka kerana selama bercuti Sintayana langsung tidak menunjukkan sebarang perubahan.

“Saya tidak sangka dia yang muda akan pergi tinggalkan kami. Bagaimanapun saya reda dengan pemergiannya,” ujarnya dengan linangan air mata sambil ditenangkan anaknya.

Tinjauan Mingguan Malaysia di tempat kejadian mendapati, anggota Majlis Bandaraya Johor Baharu (MBJB) dengan bantuan unit khas pihak berkuasa tempatan itu giat membersihkan kawasan sekitar mengalihkan dahan pokok tersebut.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Zainuddin Yaacob ketika dihubungi hari ini mengesahkan kejadian tersebut dan mengklasifikasikan kes itu sebagai kematian mengejut (SDR).

“Orang ramai yang mempunyai maklumat atau menyaksikan kejadian tersebut diminta tampil memberi bantuan dengan menghubungi pihak polis di balai berdekatan,” ujarnya.

Al-Fatihah...

Sumber:
utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2012&dt=0108&pub=Utusan_Malaysia&sec=Jenayah&pg=je_03.htm
sinarharian.com.my/edisi/johor/gadis-maut-dihempap-pokok-1.17034

Kemalangan ngeri pengurus bas kilang

BUTTERWORTH: Lutut kanan seorang pengurus syarikat bas kilang terkulai manakala cebisan dagingnya melekat pada pintu yang tertanggal selepas kereta dipandunya terbabas dan merempuh tembok konkrit sebelum terbakar di Kilometer 6.2, Jalan Lingkaran Luar Butterworth (BORR) yang menyebabkan dia terbunuh, di sini, semalam.

Kejadian berlaku jam 3.45 petang ketika mangsa yang memandu Perodua Kelisa dalam perjalanan ke tempat kerjanya di bandar ini.


Mangsa dipercayai memandu laju sebelum gagal mengawal kenderaannya sebaik menghampiri susur keluar ke Jalan Bagan Luar lalu merempuh tembok konkrit menyebabkan keretanya berpusing dan terbakar.

Difahamkan, beberapa pengguna yang melalui tempat kejadian cuba membantu mengeluarkan mangsa, namun gagal berikutan dia tersepit di tempat duduk pemandu selain api marak.


Ketua Trafik dan Ketenteraman Awam, Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Prai Utara, Asisten Superintendan Suhaimi Md Noor berkata, mayat mangsa dihantar ke Hospital Seberang Jaya (HSJ) dan sudah dikenalpasti warisnya.

Sumber: hmetro.com.my/myMetro/articles/Terbakarhidup-hidupkeretaterbabas/Article/index_html

Warga Emas Maut Dirempuh Viva


CHUKAI – Hasrat seorang warga emas lelaki keluar rumah bagi mendapatkan ang pau Tahun Baru Cina bertukar menjadi kisah duka bagi keluarganya apabila dia maut ketika menyeberang jalan pagi semalam.

Dalam kejadian di Kilometer 155 Jalan Kuala Terengganu – Kuantan, di hadapan Stesen Minyak Petronas Jakar itu, mangsa, Cheong Theng Lai, 79, terbunuh di tempat kejadian setelah dirempuh sebuah Perodua Viva ketika sedang menunggang basikal melintas jalan tersebut menuju ke Pesama Timber Corporation.

Nahas kira-kira jam 8.15 pagi itu mengakibatkan mangsa yang beralamat di Kampung Fikri, dekat sini, terpelanting bersama-sama basikalnya ke cermin depan kereta sebelum tercampak sejauh beberapa meter.

Gara-gara rempuhan itu mangsa mengalami kecederaan parah di kepala, tangan dan kaki kanan serta tulang rusuknya patah.

Bagaimanapun, pemandu kereta Viva yang beralamat di Kawasan Perpindahan Kampung Jaya dan dalam perjalanan menuju Bandar Chukai tidak mengalami sebarang kecederaan.

Namun, kereta itu remuk teruk di bahagian depan sementara basikal yang ditunggang mangsa turut rosak.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Abdullah Sani Salat yang mengesahkan kes itu berkata, mayat mangsa kemudiannya dihantar ke Hospital Kemaman untuk bedah siasat sebelum dituntut ahli keluarga pada tengah hari semalam.

Suasana sedih juga menyelubungi keluarga mangsa kerana terpaksa menerima hakikat kematian bapa tersayang ketika sambutan Tahun Baru Cina tinggal hanya dua minggu lagi, apatah lagi difahamkan mangsa keluar rumah kerana mahu menerima ang pau Tahun Baru Cina.

Sumber: sinarharian.com.my/edisi/terengganu/tragedi-angpau-tahun-baru-cina-1.16923

Maut Dirempuh Dua Kereta



MELAKA TENGAH - Seorang lelaki maut dalam keadaan mengerikan selepas dipercayai dilanggar dua kereta di Jalan Tun Fatimah, kira-kira jam 11.40 malam, semalam.

Mangsa yang berjalan kaki di garisan berkembar di tengah-tengah jalan terbabit dilanggar sebuah kereta jenis Mazda, sebelum dirempuh pula oleh Perodua Viva.

Mangsa masih belum dikenali identitinya itu meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah dengan tengkorak kepala pecah dan mata terkeluar.

Saksi, Azhar Ahmad, 31, berkata, ketika kejadian, dia memandu kereta bersama dua rakannya, dalam perjalanan ke Batu Berendam selepas menikmati makan malam di Malim.

“Bagaimanapun, tiba-tiba di tengah jalan ada seorang lelaki tidak berbaju dan bajunya diletakkan di bahu kanan, tetapi saya tidak pasti sama ada mangsa hendak melintas atau tidak.

“Keadaan jalan sangat gelap. Saya hanya sempat mengelak selepas terlalu hampir dengan mangsa. Terasa seperti tangan saya terkena mangsa, sama ada badan atau kepala.

“Kemudian, apabila rakan saya menoleh ke belakang, dia lihat mangsa dilanggar pula oleh pemandu Perodua Viva,” katanya.

Menurutnya, pemandu kereta terbabit tidak memberhentikan kenderaannya.

“Saya memang tergamam apabila melihat mangsa terbaring berlumuran darah dan dikerumuni orang ramai.

“Saya memang kesal dengan kejadian ini dan ia kali pertama berlaku,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Salehhudin Abdul Rahman mengesahkan kejadian tetapi enggan mengulas lanjut kerana masih dalam siasatan.

Sumber: sinarharian.com.my/edisi/melaka-ns/kepala-pejalan-kaki-pecah-dirempuh-1.16891

Friday, January 6, 2012

Suami Isteri Maut Tercampak ke Dalam Parit

IPOH: Sepasang suami isteri terbunuh selepas kereta yang dinaiki mereka terbabas dan tercampak ke dalam parit yang dipenuh air di Jalan Kampung Raja, Kampung Gajah, kira-kira 75km dari sini awal hari ini.

Ketua Polis Daerah Perak Tengah Supt Mohd Fakri Che Sulaiman berkata Shahrin Ismail, 33, anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Lumut dan isterinya Norazimah Abdul Aziz, 34, mati lemas selepas terperangkap di dalam kereta yang dipenuhi air.

Kejadian berlaku pada kira-kira 6.25 pagi ketika kereta Perodua Kelisa yang dipandu Shahrin dalam perjalanan dari Teluk Intan ke rumahnya di Bandar U25, Seri Iskandar, Bota, katanya ketika dihubungi hari ini.

Mayat pasangan suami isteri itu yang terperangkap di dalam kereta dikeluarkan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat dan dihantar ke Hospital Changkat Melintang untuk bedah siasat, katanya. -- BERNAMA

Wednesday, January 4, 2012

Pelajar Malaysia Maut di New Jersey


KUALA LUMPUR: Seorang penuntut Malaysia yang terbabit dalam kemalangan di New Jersey, Amerika Syarikat, hanya cedera dan dilaporkan stabil.

Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman berkata, Hennis Tung yang menuntut di Ohio State University kini menerima rawatan di Hospital Roberts Jonson, Rutger, New Jersey.

“Pihak Konsulat Jeneral Malaysia di New York memberi bantuan sepatutnya kepada mangsa,” katanya dalam satu kenyataan media, di sini, hari ini.

Sebelum ini, laman web media di New Jersey dan akhbar The Republic melaporkan seorang penuntut Malaysia terbunuh dalam kemalangan itu.


Media Amerika itu menyebut penuntut Malaysia terbabit dalam kemalangan yang turut membabitkan dua pelajar lelaki dan dua perempuan dalam kemalangan di laluan Interstate 78 di Bandar Clinton, New Jersey.


Menurut laporan The Republic, yang berpejabat di Columbus, Indiana, Amerika Syarikat, semua mereka berusia antara 19 dan 21 tahun dan menuntut di Ohio State University.

Dalam kejadian kira-kira jam 4 petang (waktu tempatan), pelajar terbabit yang menaiki Chevrolet Equinox dipercayai terbabas daripada laluan kanan sebelum melanggar tiang lampu dan pokok.

Malah, akibat kemalangan itu, polis terpaksa menutup laluan kanan selama hampir lima jam bagi kerja menyelamatkan mangsa dan mengalihkan kenderaan.



Sumber:
hmetro.com.my/articles/Langgarpokok_tianglampu/Article

Ibu Dan Kanak Cedera Diragut



January 3, 2012
RAJAWALI – Seorang guru taska terpaksa bertarung nyawa ketika cuba mematahkan cubaan seorang penjenayah yang cuba menyentap beg tangan miliknya yang diletakkan di dalam bakul motosikal.

Kejadian kira-kira jam 2.30 petang itu dipercayai berlaku ketika guru taska terbabit, Norita Omar, 37, bersama anaknya, Najmi Aiman, 5 dalam perjalanan pulang ke rumahnya dekat Pelandang selepas pulang dari sebuah klinik di bandar Dungun.

Sebaik melepasi sebuah jambatan di kawasan yang agak jauh dari penempatan penduduk itu, Norita yang menunggang motosikal dikatakan secara tiba-tiba didatangi seorang lelaki tidak dikenali bermotosikal dari arah belakang, lalu bertindak menyentap beg tangan miliknya yang diletakkan di dalam bakul motosikal bersama anak lelakinya.

Motosikal yang ditunggang guru Taska Afzan Pulau Serai itu hilang kawalan menyebabkan ia berpusing beberapa kali sebelum terbabas.

Tragedi itu difahamkan sempat disaksikan seorang pemandu sebuah kereta Perodua Kembara lalu bertindak mengejar suspek berkenaan.

Sebaik menyedari tindakannya disaksikan orang ramai, suspek dikatakan telah meninggalkan motosikalnya dan berjaya melarikan diri ke kawasan perumahan berdekatan.

Dia dihantar ke Hospital Dungun oleh orang awam untuk rawatan lanjut.

Menurut mangsa yang sempat ditemui Sinar Harian ketika ingin menaiki ambulans berkata, ketika kejadian dia dalam perjalanan pulang dari Klinik Rakyat ke Pelandang Pulau Serai kerana menghantar anaknya yang demam.
Katanya, kejadian itu berlaku begitu pantas, namun dia bersyukur kerana kedua-duanya selamat.

Mangsa yang mengalami kecederaan pada bahagian muka, lengan dan paha manakala anaknya cedera parah di kepala kemudiannya dihantar ke Hospital Sultanah Nur Zahirah Kuala Terengganu untuk rawatan lanjut.

Sumber: sinarharian.com.my/edisi/terengganu/dua-beranak-parah-diragut-1.16067

Monday, January 2, 2012

Nahas Ngeri Tahun Baru 2012


 Inalillahi wainailaihi rojiun

LUMUT 1 Jan. – Ketika seluruh masyarakat menantikan detik menyambut Tahun Baru 2012, satu nahas ngeri meragut nyawa tujuh remaja termasuk dua beradik berlaku di Kilometer 9.6, Jalan Sitiawan-Teluk Intan dekat Lekir, Seri Manjung malam tadi.

 SALAH seorang mayat remaja yang terpelanting selepas MPV jenis Honda Stream yang dinaiki bersama sembilan lagi rakan mereka dirempuh treler.


Nahas pada pukul 10.30 malam itu melibatkan dua buah kereta iaitu Honda Stream dan Honda Civic dengan sebuah treler membawa muatan tong gas memasak LPG.


Mereka yang maut ialah enam penumpang Honda Stream iaitu Mohamad Kamil Samsuri, 15; Mohamad Shadan Mohd. Arshad, 15; Mohamad Hadi Sulaiman, 17 dan abangnya, Badrul Isa Sulaiman, 19.

Kesemuanya dari Batu 15 Lekir, Sitiawan dekat sini.

Turut terkorban ialah Ahmad Faizal Mohd. Termizi, 15, dari Kampung Parit Haji Dollah, Sitiawan; Muhammad Shafik Redzuan Yusof, 16, dan pemandu kenderaan pelbagai guna itu, Mohd. Hisam Mat Zaki, 22, berasal dari Sungai Mekong, Jeli, Kelantan.

Ketika kejadian, MPV dinaiki 10 penumpang itu dipercayai baru pulang dari membeli peralatan sekolah di Sitiawan sebelum terlibat dalam nahas.


Pemandu treler, Abdul Rashid Abdul Aziz, 49, yang berasal dari Lebuh Padang Tembak, Pulau Pinang cedera parah dan kini dirawat di Hospital Seri Manjung (HSM).


Ketua Trafik Daerah Manjung, Asisten Supritendan Ismail Munajat berkata, Mohd. Hisam meninggal dunia di HSM pukul 8.35 pagi ini manakala enam penumpang yang lain mati di tempat kejadian.

Seorang lagi penumpang, Khairul Mohd. Noor, 17, dari Batu 15, Lekir yang berada di tempat duduk sebelah pemandu hanya cedera ringan.

“Dua lagi penumpang perempuan MPV itu belum dikenal pasti kerana mereka telah pulang ke rumah dan tidak membuat laporan polis. Salah seorang daripada mereka cedera ringan dan seorang lagi tidak cedera,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.


Menurut Ismail, kesemua mangsa yang terbunuh mengalami kecederaan serius termasuk pecah dan putus kepala, mata tercabut dan perut terburai.

Menurutnya, nahas berlaku apabila MPV tersebut yang dari arah Sitiawan hilang kawalan ketika cuba memotong kereta Honda Civic di laluan kecemasan.

Katanya, MPV berkenaan kemudian masuk secara mengejut ke laluan hadapan kereta Honda Civic itu lalu hilang kawalan sebelum terbabas ke laluan bertentangan dan bertembung dengan treler dari arah Teluk Intan.

“Ia menyebabkan MPV itu berpusing dan terbalik beberapa kali sehingga ramai penumpang kenderaan itu tercampak keluar. Seorang terjatuh di atas kereta Honda Civic berkenaan.

“Treler tersebut pula terbabas ke kanan jalan dan merempuh gerai buah-buahan di tepi jalan.

Difahamkan, treler itu dalam perjalanan dari Port Dickson, Negeri Sembilan ke Pulau Pinang,” katanya.

Menurutnya, siasatan awal polis mendapati MPV tersebut dipercayai dipandu laju melebih 120 kilometer sejam berdasarkan keadaan kenderaan yang tercabut bumbung dan tercampak sejauh kira-kira 50 meter dari tempat kejadian.

Katanya, keadaan jalan di situ lurus dan tidak hujan sewaktu kejadian. Ia agak gelap kerana tiada lampu jalan.

“Namun demikian kawasan itu sering berlaku kemalangan, mungkin disebabkan terdapat banyak gerai buah-buahan di tepi jalan dan menjadi punca banyak kereta berhenti di lorong kecemasan untuk membeli buah-buahan,” katanya.

Ismail memberitahu, siasatan lanjut masih dijalankan dan kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Pengangkutan Jalan 1987.

 Al-Fatihah

Sumber:
utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2012&dt=0102&pub=Utusan_Malaysia&sec=Muka_Hadapan&pg=mh_01.htm
bharian.com.my/bharian/articles/Mautmelayang/Article/
kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2012&dt=0102&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_01.htm
hmetro.com.my/articles/Meraunglihatjasadduaanak/Article
peraktoday.com/wp/?p=40599

Sunday, January 1, 2012

Pejalan kaki maut

Inalillahi wainailaihi rojiun 

SANDAKAN: Seorang pejalan kaki maut selepas dilanggar kereta ketika melintasi jalan raya di Jalan Utara Batu 4, berhadapan Bandar Indah dekat sini hari ini.

Mangsa dikenali sebagai Azlin Nasiruddin, 24, mati di tempat kejadian, manakala seorang lagi rakannya yang turut dilanggar hanya mengalami cedera ringan.

Ketua Polis Daerah Sandakan, ACP Rowell Marong, berkata dalam kejadian 4.30 pagi itu, mangsa terhumban ke dalam parit di tepi jalan selepas dilanggar kereta tersebut.

Katanya, mayat mangsa ditemui di dalam parit berhampiran perhentian bas di Bandar Kim Fung kira-kira 500 meter dari lokasi mangsa dilanggar.

Beliau berkata, pemandu kenderaan yang melanggar mangsa tidak berhenti di tempat kejadian dan polis kini sedang menjejakinya.

Rowell meminta saksi kejadian tampil membantu polis dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Inspektor Mohd Faiz Mat Noor di talian 013-8680208 atau Balai Polis Sandakan ditalian 089-212222. - BERNAMA

Al-Fatihah

Sumber:  bharian.com.my/bharian/articles/Pejalankakimautdilanggarkereta/Article

Penguat kuasa JPJ cedera dirempuh

SEREMBAN — Seorang anggota penguat kuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) cedera akibat dirempuh sebuah motosikal yang ditunggang seorang lelaki di sini malam tadi.

Ridzuan Che Ri, 20-an, yang mengalami kecederaan ringan akibat terseliuh di kaki kirinya dikejarkan ke Hospital Tuanku Jaafar di sini untuk mendapat rawatan pesakit luar.

Kejadian berlaku semasa Ridzuan dan beberapa anggota lain sedang menjalankan Ops Ambang 2012 untuk pemeriksaan kenderaan di satu sekatan jalan di Jalan Datuk Bandar Tunggal di sini pada kira-kira 11.30 malam.

Pengarah JPJ negeri, Saiful Azzri Hamzah berkata, walaupun penunggang motosikal yang menentang arus itu berjaya melarikan diri, namun pihaknya berjaya mencatatkan nombor pendaftaran motosikal berkenaan.

Sementara itu, katanya, sebanyak 252 saman dikeluarkan kepada penunggang motosikal dan pemandu kenderaan lain yang melakukan pelbagai kesalahan dalam ”Ops Ambang 2012” di sekitar bandar ini.

Katanya, dalam operasi tersebut sebanyak 52 buah motosikal turut disita kerana pelbagai kesalahan.

Operasi yang bermula 9 malam tadi sehingga 2 pagi ini membabitkan 118 anggota JPJ negeri. — BERNAMA

Sumber: kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2012&dt=0101&pub=Kosmo&sec=Terkini&pg=bt_09.htm

Suami Isteri Maut - Anak terselamat


Inalillahi wainailaihi rojiun 

KUALA KUBU BHARU – “Yang sedihnya dua-dua sekali pergi abang, yatim piatu abang,” rintih Mohd Fizree Mohd Zakri, 25, anak kedua kepada pasangan suami isteri, Mohd Zakri Othman, 56 dan Latifah Hashim, 48, yang maut dalam kemalangan di Kilometer 419.5 Lebuhraya Utara Selatan dekat Bukit Tagar di sini kira-kira jam 2.30 pagi semalam.


Mohd Fizree cuba ditenangkan rakan serta ahli keluarganya ketika berada di Unit Forensik Hospital Kuala Kubu Bharu (HKKB) kerana tidak dapat menahan kesedihan sebaik melihat jenazah ibu dan bapanya diusung ke dalam van jenazah untuk dibawa pulang ke kampung mereka di Felda Hulu Jempol, Jengka, Pahang.


Menurut Mohd Fizree, ketika kejadian ibu bapa bersama dua adiknya, Noor Fauzana, 22, dan Mohammad Fakhrul Razi, 17, serta seorang saudaranya, Mohammad Ramadan Firdaus Johar, 17, dalam perjalanan pulang ke kampung kerana mahu melawat neneknya yang sakit di Temerloh.


Menurutnya, mereka dalam perjalanan dari Alor Setar, Kedah setelah menghadiri kenduri perkahwinan sepupunya di sana.

Bagaimanapun, malang menimpa mereka apabila kereta Proton Waja dipandu adiknya terbabas sebelum melanggar bucu pengadang lebuhraya sehingga menembusi kereta itu.

“Ayah meninggal dunia di tempat duduk depan dan ibu tercampak keluar dan meninggal dunia di situ.

“Tapi alhamdulillah, dua adik dan saudara saya terselamat dan hanya cedera ringan dan menerima rawatan di Hospital Sungai Buloh,” katanya.

Menurut Mohd Fizree, bapanya meninggal dunia akibat kecederaan parah di kepala akibat terkena bucu besi pengadang lebuhraya yang menembusi hingga ke bahagian tempat duduk belakang.

Sementara, ibunya maut akibat tercampak keluar kereta kira-kira dua meter dan kepalanya dipercayai terhantuk pada besi pengadang itu.

Menurutnya, dia menerima panggilan kira-kira jam 3 pagi dan kebetulan dia dan rakannya berada di Kuala Lumpur sebelum bergegas ke HKKB.

Sementara itu, abangnya, Mohd Farizq Mohd Zakir, 28, bersama saudara lain datang daripada Pahang untuk menuntut jenazah ibu bapanya di sini.

Turut kelihatan, ahli keluarga sebelah ibunya yang datang daripada Alor Setar dan kesemua mereka menyempurnakan solat jenazah berjemaah di bilik forensik HKKB.

Kedua-dua jenazah dibawa pulang ke Felda Hulu Jempol kira-kira jam 10.20 pagi untuk dikebumikan di sana.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Norel Azmi Yahya Affendi ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu.

Menurutnya, anggota Bomba dan Penyelamat Kuala Kubu Bharu dikerah ke tempat kejadian bagi membantu mengeluarkan mangsa yang tersepit.

Al-Fatihah



Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/selangor-kl/suami-isteri-maut-tiga-cedera-1.15714
tv3.com.my/beritatv3/berita_terkini/Suami_Isteri_Maut_2_Anak_Terselamat.html

Putus Dua



KUALA LIPIS - Hasrat seorang lelaki yang menumpang kereta rakannya untuk pulang ke Kuala Lumpur tidak kesampaian apabila dia maut dalam satu kemalangan di Kilometer 7 Jalan Lipis - Merapoh, kira-kira jam 1.05 petang, semalam.

Ketua Polis Daerah Lipis, Superintendan Abdul Razak Hasan, berkata, mangsa, Lee Weng, 60, bersama dua lagi kenalannya, Lee Tong Kee, 53, dan S Sasitharan, 25, sedang dalam perjalanan dari arah Merapoh menuju ke Kuala Lumpur.

Menurutnya, sampai di tempat kejadian kereta Proton Wira yang dipandu Sasitharan dipercayai hilang kawalan dan terbabas ke kiri jalan.

“Dalam masa sama sebuah Pajero yang dipandu seorang lelaki datang dari arah Kuala Lumpur menuju ke Merapoh, menyebabkan berlaku pertembungan menyebabkan kereta Wira tersebut terputus dua,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Abdul Razak berkata, Lee Weng yang duduk di bahagian sebelah pemandu mengalami kecederaan parah di kepada dan bahagian organ dalaman meninggal dunia serta merta di tempat kejadian.

“Selain itu, Tong Kee yang duduk di bahagian belakang kereta mengalami kecederaan parah di kepala, dibawa ke Hospital Lipis untuk menerima rawatan dan kini dirujuk ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (Hoshas) Temerloh,” katanya.

Beliau berkata, Sasitharan dan pemandu Pajero, Juraidi Shahruni, 42, hanya mengalami kecederaan ringan dan menerima rawatan di Hospital Lipis.

Menurutnya, mayat Lee Weng dibawa ke Hospital Lipis untuk bedah siasat sebelum dituntut ahli keluarganya.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan saksi kejadian diminta berhubung dengan Sub Inspektor Abdul Rahman Yunan di talian 09-312 2222 untuk membantu siasatan,” katanya.

Difahamkan ketiga-tiga mangsa yang menaiki kereta itu bekerja di Stesen Hidro Empangan Kenyir dan ingin pulang bercuti hujung minggu sempena menyambut Tahun Baru 2012.

Sumber: sinarharian.com.my/jenayah/lelaki-maut-kereta-terputus-dua-1.15751

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Headlines

FeedBurner FeedCount

Blogged.my