loading...

Saturday, December 22, 2012

Tak sempat beri duit bonus

keadaan motor mangsa (gambar kecil) selepas terbabit dalam kemalangan

Inalillahi wainailaihi rojiun

23 Disember 2012
ALOR GAJAH: “Dia (arwah) menyatakan hasrat mengubah suai rumah ibu bapanya menggunakan duit bonus, namun tidak kesampaian selepas maut dalam kemalangan.”

Begitu kata Mohd Fadli Shafie, 22, rakan kepada seorang anggota tentera, Saiful Ramli, 22, yang maut dalam kemalangan ngeri di Kilometer 203.8 Lebuhraya Utara-Selatan (Plus) arah utara, di sini, tengah malam kelmarin.

Menurut Mohd Fadli, dia menyedari perubahan sikap rakan baiknya yang menjadi pendiam beberapa jam sebelum kemalangan itu.

“Saya perasan Saiful berubah menjadi pendiam tidak seperti sebelum ini, namun tidak menegurnya.


“Ketika menghantarnya pulang semalam (kelmarin), dia tidak seperti kebiasaan yang gemar berlawak dengan rakan tetapi lebih banyak berdiam diri dan hanya bersuara sepatah dua apabila ditanya,” katanya ketika ditemui di pekarangan bilik mayat Hospital Melaka, di sini, semalam.

Al-Fatihah

Sumber:
hmetro.com.my/articles/Dagingmangsabertaburan/Article/artikelMA


Maut pulang menonton wayang


Inalillahi wainailaihi rojiun 

23 Disember 2012
DUNGUN: Kegembiraan empat sahabat menonton wayang di pusat beli-belah Mesra Mall di Kemasik, Kemaman, bertukar tragedi apabila dua daripada mereka maut selepas kereta dinaiki terbabit dalam kemalangan di Kilometer 87, Jalan Kuala Terengganu-Kuantan berhampiran kawasan rekreasi Hutan Rimba Bukit Bauk, di sini, kelmarin.

Dalam kemalangan jam 11.20 malam, Nurul Syazwani Roslan, 20, dari Kampung Panji Alam, Kuala Terengganu dan rakannya, Umi Fatihah Halim Shukri, 17, dari Rumah Murah Alur, Alor Lintang, Besut, meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Dungun akibat cedera parah di kepala dan badan.

Nurul Syazwani menghembuskan nafas terakhir jam 2 pagi manakala Umi Fatihah jam 12.30 tengah hari semalam.

Rakan mereka, Hasrul Arif Jamal Abdul Nasir, 22, cedera parah di kepala dan badan, manakala Nazli Mohd Jusoh, 30, yang memandu kereta Proton Waja terbabit hanya cedera ringan.

Kemalangan dipercayai berlaku apabila kereta dinaiki empat sahabat terbabit yang dalam perjalanan pulang ke Kuala Terengganu hilang kawalan selepas melalui satu selekoh sebelum bertembung dengan sebuah kereta Proton Wira Aeroback dari arah bertentangan.

Pemandu Proton Wira Aeroback, Mohd Jusoh Dollah, 40, berasal dari Taman Murni Perdana, Paka, dekat sini, cedera parah di muka dan patah kaki kanan.

Ketika kejadian, Mohd Jusoh dikatakan dalam perjalanan pulang ke rumahnya selepas melapah daging lembu untuk majlis perkahwinan anak rakannya di Kampung Alur Tempoyak, di sini.

Rakan kepada empat sahabat terbabit, Amirul Haziz Marzelan, 23, berkata, sebelum kejadian, mereka bertolak ke Mesra Mall, Kemasik, jam 2 petang dengan menaiki dua kereta.

Menurutnya, selepas menonton wayang jam 10.40 malam, mereka bertolak pulang ke Kuala Terengganu dan keempat-empat mangsa menaiki sebuah kereta, manakala dia mengekori dengan memandu sebuah kereta lain bersama seorang lagi rakan, Mohd Hishammudin Zain Asmadi, 17.

Setibanya di tempat kejadian, dia terserempak kemalangan itu tetapi pada awalnya tidak menyangka ia membabitkan empat rakannya.

“Ketika itu hujan dan keadaan gelap, menyebabkan saya mengambil masa untuk mengenali kenderaan mereka.

“Namun, sebaik menyedari kenderaan terbabit milik rakan, saya segera memberhentikan kereta sebelum bergegas untuk memberi bantuan,” katanya ketika ditemui di Hospital Dungun di sini, semalam.

Amirul berkata, Nazli berjaya keluar dari kenderaannya tetapi tiga rakannya tersepit di tempat duduk sebelum anggota bomba dan Jabatan Pertahanan Awam tiba memberi bantuan serta mengejarkan semua mangsa ke Hospital Dungun.

“Ketika bersama arwah Nurul Syazwani di Mesra Mall, dia banyak bercakap dan bergurau dengan kami, dan saya tidak menyangka kegembiraan itu berakhir dengan kejadian menyedihkan,” katanya.

Usaha menemubual ibu Nurul Syazwani, Faridah Khamis, 40-an, gagal berikutan masih sedih dan terkejut dengan kemalangan yang menimpa anak keempat daripada lima beradik itu.


Sempat tunjuk tempat sakit

DUNGUN: Nurul Syazwani Roslan, 20, yang terbunuh selepas kereta dinaikinya terbabas sebelum merempuh kenderaan lain di Kilometer 87, Jalan Kuala Terengganu-Kuantan berhampiran kawasan rekreasi Hutan Rimba Bukit Bauk, di sini, sempat menunjukkan jari ke rusuk kirinya sambil mulutnya beberapa kali menyemburkan darah.

Seorang saksi yang ditemui, Mazlan Alwi, 45, berkata, dia bersama beberapa pengguna jalan raya lain tidak dapat mengeluarkan gadis terbabit yang ketika itu masih bernyawa kerana tersepit di tempat duduk sebelah pemandu.

“Dia menunjukkan jari ke rusuk kirinya, mungkin disebabkan rasa sakit pada bahagian itu,” katanya.

Menurut Mazlan, dua penumpang belakang, Umi Fatihah Halim Syukri, 17, dan Hasrul Arif Jamal Abdul Nasir, 22, turut tersepit dan mengadu kesakitan, manakala pemandu kereta Proton Waja, Nazli Mohd Jusoh, 30, yang cedera berjaya keluar dari kenderaan terbabit sebelum bersandar di sebatang pokok berhampiran.

“Pemandu kereta Proton Wira Aeroback itu turut parah serta tersepit dalam kenderaannya,” katanya.

Mazlan berkata, beberapa minit selepas itu kedua-dua agensi terbabit tiba di tempat kejadian dan berjaya mengeluarkan semua mangsa tersepit serta mengejarkan mereka ke Hospital Dungun untuk rawatan.

Kemalangan dipercayai berlaku apabila Proton Waja dinaiki empat sahabat yang dalam perjalanan pulang ke Kuala Terengganu itu hilang kawalan dan bertembung dengan Proton Wira Aeroback dipandu Mohd Jusoh Dollah, 40, selepas melalui satu selekoh di tempat kejadian, jam 11.20 malam kelmarin.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Dahlan Mohd Noor mengesahkan pihaknya menerima laporan dan meminta orang ramai berhati-hati melalui kawasan itu, berikutan jalan licin boleh menyebabkan mereka terbabas.

Al-Fatihah

Sumber:
hmetro.com.my/articles/Trageditontonwayang/Article/


Nyaris maut gara-gara anjing


22 Disember 2012
PORT DICKSON - Dua beradik nyaris maut apabila kereta yang dinaiki mereka terbabas selepas cuba mengelak seekor anjing yang berada di atas jalan raya sebelum melanggar papan tanda di Taman Sri Kemuning berhampiran Ibu Pejabat Polis Daerah Port Dickson, malam kelmarin.

Kejadian yang berlaku sekitar jam 11.15 malam itu mengakibatkan kereta yang dipandu oleh M. Revathi, 21, remuk di bahagian hadapan.

Revathi berkata, dia dan adiknya M.Ramanan, 18, memandu dari arah Port Dickson menuju ke Lukut selepas selesai bekerja di restoran makanan segera.

“Sampai di selekoh di Taman Sri Kemuning, tiba-tiba saya tengok ada anjing di tengah-tengah jalan dan saya cuba mengelak anjing itu.

“Sedar-sedar saya dah melanggar papan tanda di tepi jalan. Saya menggigil kerana takut. Nasib baik kami tak alami kecederaan cuma terperanjat, "  katanya.

Sementara itu Ramanan, berkata, dia kesal kerana terdapat banyak anjing liar yang berkeliaran di laluan berkenaan terutamanya pada waktu malam.

“Saya dan kakak sering menggunakan laluan ini untuk pergi dan pulang dari tempat kerja, dan hari ini (kelmarin) nasib kami kurang bernasib baik.

“Saya harap pihak berkuasa tempatan (PBT) segera mengambil tindakan terhadap anjing-anjing liar yang banyak terdapat di Port Dickson kerana boleh membahayakan pemandu kereta dan motosikal.

“Mujur tidak mengalami kecederaan, cuma kereta yang teruk tetapi tidak selamanya pengguna jalan raya akan bernasib baik,” katanya.

Dalam pada itu, seorang saksi yang membantu mangsa kemalangan, R. Raja, 28, berkata, kawasan itu sememangnya banyak terdapat anjing liar yang mengganggu lalu lintas di kawasan ini.

Menurutnya, beberapa kejadian sedemikian berlaku sebelum ini dan berharap  PBT mengambil iktibar supaya kejadian sama tidak berulang lagi.

"Kemalangan berpunca dari anjing boleh merosakkan imej Port Dickson sebagai kawasan tumpuan pelancong dalam dan luar Negara, " katanya.

Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Abd Wahab Harun mengesahkan kejadian itu dan polis akan menyiasat kejadian itu.

Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/melaka-ns/kereta-terbabas-elak-anjing-1.114606


Dua remaja tahun nyaris maut dirempuh treler



22 Disember 2012
ALOR GAJAH - Dua remaja 17 tahun nyaris maut selepas motosikal yang dinaiki dirempuh dari arah belakang oleh sebuah treler di persimpangan lampu isyarat Paya Rumput, di sini, kira-kira 2.30 petang, semalam.

Difahamkan, dalam kejadian itu, motosikal Honda EX5 ditunggang Izwani Sadri bersama rakan, Noraini Abd Majid, dari arah Alor Gajah menuju ke Cheng, Melaka.

Noraini berkata, ketika kejadian dia bersama rakannya dari rumah di Kampung Gadek, dekat sini berhasrat membeli barangan keperluan di sebuah pasar raya di Cheng sebelum terbabit kemalangan.

“Ketika melalui persimpangan persimpangan lampu isyarat tiba-tiba motosikal kami naiki dirempuh dari arah belakang dan terseret beberapa meter.

"Akibat rempuhan itu saya dan Izwani tercampak ke tengah jalan sebelum dibantu orang ramai dan Jabatan Pertahanan Awam (JPAM) Alor Gajah yang tiba selepas itu," katanya.

Ketua Operasi JPAM Alor Gajah, Staf Muda (PA) Zainal Awing berkata, pihaknya menerima panggilan daripada orang awam kira-kira jam 2.40 petang sebelum bergegas ke lokasi kejadian bersama tiga anggota lain.

“Setiba di lokasi kejadian, penunggang motosikal masih terbaring dan sudah dibawa ke tebing jalan sebelum diberi rawatan awal di tempat kejadian,” katanya.

Menurutnya, pemeriksaan awal mendapati mangsa patah kaki kanan dan tangan kanan selain mengalami kecederaan ringan pada anggota badan manakala rakan mangsa cedera ringan.

“Sejurus rawatan awal diberi di tempat kejadian, kedua-duanya dihantar ke Hospital Melaka untuk rawatan lanjut,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian, semalam.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah, Deputi Superintendan Abd Rahman Jid mengesahkan kemalangan berkenaan dan kes disiasat di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/melaka-ns/remaja-nyaris-maut-dirempuh-treler-1.114551


Staf RTM maut


Inalillahi wainailaihi rojiun

22 Disember 2012
KUALA LUMPUR - Seorang kakitangan Bahagian Teknikal Unit Berita Televisyen Radio Televisyen Malaysia (RTM) maut selepas keretanya bertembung dengan kenderaan lain di Lebuhraya Connaught, tengah malam semalam.


Dalam kejadian yang berlaku pada jam 12.50 malam itu, mangsa, Zainah Md Sharif, 46, maut di tempat kejadian selepas  cedera teruk pada bahagian kepalanya.

Zainah yang memandu kereta jenis Myvi dari arah Mid Valley menghala Cheras gagal mengelak kereta Honda CRV yang dipercayai dipandu laju dan hilang kawalan serta melanggar pengadang sebelum terbabas ke laluan bertentangan.

Perlanggaran tersebut menyebabkan kenderaan mangsa terbalik dan terseret sejauh beberapa meter.

Turut terlibat dalam kemalangan tersebut adalah dua buah kenderaan lain iaitu sebuah Myvi dan Proton Wira yang berada di belakang kereta mangsa.

Pegawai Turus Siasatan dan Perundangan Trafik Kuala Lumpur, Deputi Superintendan Abdullah Roning mengesahkan kejadian dan memaklumkan kes disiasat di bawah Sek 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Beliau berkata, mayat Zainah dibawa ke Hospital Kuala Lumpur untuk dibedah siasat.

Abdullah berkata, pemandu Honda CRV dan kenderaan lain yang terlibat hanya mengcedera ringan.

Al-Fatihah

Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/selangor-kl/staf-rtm-maut-1.114544
nst.com.my/opinion/columnist/rtm-staff-killed-in-road-accident-1.189695




Maut bertembung bas ekspres



22 Disember 2012
BANDAR BENTONG - Seorang penunggang maut apabila motosikal dinaiki bertembung dengan sebuah bas ekspres di Kilometer 0.5 Jalan Bentong-Karak berhampiran Balai Bomba dan Penyelamat Bentong, kira-kira jam 11.30 malam kelmarin.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Mohamad Mansor Mohd Nor berkata, mangsa yang maut ialah Karim Sudin, 28, beralamat di Kampung Orang Asli Lebak.

Menurutnya, mangsa menunggang motosikal jenis Yamaha Lagenda dalam perjalanan dari arah Bentong ke Karak dipercayai bertembung dengan sebuah bas ekspres dinaiki 40 penumpang dari arah Kuala Lumpur ke Kota Bharu.

“Setibanya di tempat kejadian, motosikal yang dinaiki mangsa dipercayai hilang kawalan dan kemudiannya masuk ke laluan bertentangan sebelum bertembung dengan bas itu dari arah hadapan.

“Akibat kejadian itu, mangsa tercampak ke kiri jalan dan disahkan mati di tempat kejadian kerana kecederaan parah di bahagian kepala,” katanya.

Mohamad Mansor berkata, pemandu bas yang berusia 56 tahun dan 40 penumpang tidak mengalami sebarang kecederaan.

Katanya, akibat pelanggaran itu, motosikal mangsa rosak di bahagian hadapan manakala bas pula rosak di bahagian hadapan tepi kanan.

“Mayat mangsa dibawa ke Hospital Bentong sebelum dituntut ahli keluarga.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/pahang/maut-bertembung-bas-ekspres-1.114588



Friday, December 21, 2012

Lori melekat di dinding


21 Disember 2012
KUALA TERENGGANU: Seorang warga emas berusia 70 tahun bersama lima cucunya nyaris maut apabila rumah mereka di Kampung Teluk Menara, Manir, di sini, hampir runtuh akibat dirempuh lori yang sebelum itu berlanggar dengan kereta Proton Persona, semalam.

Ibrahim Mat Zain, 70, berkata, dalam kejadian jam 11 pagi itu, rempuhan lori berkenaan menyebabkan rumah bergegar serta beberapa struktur retak manakala almari pakaian terbalik.

“Bunyi rempuhan itu sangat kuat seperti letupan bom.

“Saya yang menyangka gempa bumi segera mengarahkan lima cucu berusia antara dua hingga 18 tahun keluar menyelamatkan diri.


“Bagaimanapun, sebaik keluar, kami terkejut melihat lori sarat membawa muatan pasir melekat pada dinding rumah,” katanya yang ditemui di tempat kejadian, semalam.

di Kampung Teluk Menara, Manir


Sumber:
hmetro.com.my/articles/Lorilekatdidinding/Article


Bas Kilang Rempuh Kereta

kemalangan bas kilang Canon di Perai


Inalillahi wainailaihi rojiun

21 Disember 2012
NIBONG TEBAL - Dua pekerja kilang maut apabila bas yang dinaiki terlibat dalam kemalangan dengan sebuah kereta di Kilometer 150.3 Lebuhraya Utara-Selatan (Plus) berhampiran susur keluar Bukit Tambun, di sini pagi ini.

bas kilang Canon rempuh Proton Satria
Bas terbabit dalam perjalanan membawa pekerja kilang Canon di Perai, 
dari Tanjung Piandang, Perak.


Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan, Supt Shafien Mamat berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 6.30 pagi itu, Nurul Nadirah Sudin, 18, dan Samsiah Hasan, 22, masing-masing berasal dari Taiping dan Batu Kurau, Perak, meninggal dunia di tempat kejadian.

"Kejadian dipercayai berlaku apabila bas yang membawa 17 pekerja kilang dalam perjalanan dari Tanjung Piandang, Perak ke kawasan perindustrian di Perai, cuba memasuki lorong kiri lebuh raya sebelum hilang kawalan lalu merempuh kereta yang bergerak seiring di lorong kiri.

"Kedua-dua kenderaan itu terbabas dengan bas terbalik ke kawasan semak di kiri lebuh raya," katanya kepada pemberita di tempat kejadian.

Beliau berkata, pemandu bas dan sembilan pekerja kilang yang cedera kini dirawat di Hospital Seberang Jaya manakala enam lagi pekerja yang cedera ringan telah dibenarkan pulang.

Katanya, pemandu kereta berusia 21 tahun itu hanya mengalami cedera ringan.

Shafien berkata, jenazah kedua-dua pekerja itu telah dituntut oleh keluarga masing-masing.

Sementara itu, bapa Nurul Nadirah, Sudin Ismail, 45, ketika ditemui berkata, beliau mendapat panggilan daripada abang iparnya kira-kira pukul 6.45 pagi memberitahu kemalangan itu, bagaimanapun beliau tidak diberitahu yang anaknya telah meninggal dunia.


Beliau berkata, beliau amat terkejut dengan berita kematian anaknya itu yang kali terakhir mereka berjumpa ialah minggu lepas.

Ibu saudara Nurul Nadirah, Hamisah Samsudin, 37, berkata bas terhuyung-hayang secara tiba-tiba hingga menyebabkannya memegang kerusi dengan kuat.

"Sedar-sedar bas dah terbalik. Saya merangkak keluar mengikut cermin hadapan bas," kata ibu kepada tiga orang anak itu yang cedera di bahu.

Seorang lagi mangsa, Fazilawati Md Rasdi, 30, dari Batu Kurau berkata ketika kejadian beliau sedang tidur dan hanya menyedari kejadian itu selepas terdengar jeritan rakan sekerjanya sebelum bas itu terbalik.- Bernama.



Pemandu bas dipercayai menukar haluan ke lorong kiri, sebelum melanggar sebuah Proton Satria.


Mangsa dikenalpasti sebagai Nurul Nadirah Sudin, 20 tahun dari Taiping, dan 
Samsiah Hassan, 22 tahun berasal dari Batu Kurau, Perak


VIDEO

Al-Fatihah

Sumber:
sinarharian.com.my/semasa/dua-pekerja-kilang-maut-dalam-kemalangan-bas-kilang-1.114451
hmetro.com.my/articles/Baskilangbawa17pekerjaterbabas/Article
tv3.com.my/beritatv3/tajuk_utama/Bas_Rempuh_Kereta.html

Kanak-kanak maut dilanggar lori

Inalillahi wainailaihi rojiun

21 Disember 2012
KUANTAN - Seorang kanak-kanak maut akibat dilanggar lori ketika sedang melintas jalan di Km 12, Jerantut-Batu Embun berhampiran Jerantut petang tadi.

Mohamad Faizul Arzula, 11, dari Kelantan meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala dan badan dalam kemalangan kira-kira 4.45 petang itu.

Difahamkan, mangsa berkunjung ke rumah datuknya di Batu Embun, Jerantut bersama keluarganya sempena musim cuti sekolah.

Ketua Polis Daerah Jerantut, Supt Azid Ismail berkata, mangsa bersama dua lagi rakan yang berusia 12 dan 13 tahun dikatakan telah pergi ke kebun berhampiran rumah datuknya untuk memetik buah rambutan.

"Selepas memetik buah, mangsa mahu pulang semula ke rumah datuknya dan ketika melintas jalan raya, sebuah lori telah merempuh mangsa," katanya.

Pemandu lori tersebut yang berumur 25 tahun datang dari arah Jerantut menuju Lipis dikatakan tidak sempat mengelak mangsa. - Bernama


Al-Fatihah

Sumber:
sinarharian.com.my/semasa/tidak-sempat-bersekolah-semula-kanak-kanak-maut-dilanggar-lori-1.114491


Proton Iswara terbakar tiba-tiba


21 Disember 2012
MUAR – Seorang kerani wanita berdepan detik mencemaskan apabila kereta jenis Proton Iswara yang dipandunya secara tiba-tiba mengeluarkan api pada bahagian enjin sebelum membakar bahagian hadapan kereta itu.

Kejadian kira-kira jam 6.10 petang berlaku di Jalan Sungai Abong, berhampiran dengan Taman Seri Mulia, Sungai Abong, di sini, kelmarin.

Wanita terbabit yang hanya mahu dikenali sebagai Lim, 30 an dipercayai dalam perjalanan pulang dari tempat kerja ke rumahnya di Taman Sungai Abong, berdekatan dengan lokasi kejadian.

Lim yang memandu sendirian berkata, dia terhidu bau hangit yang disusuli dengan asap dan api keluar dari bahagian enjin ketika melewati jalan Taman Seri Mulia.

“Saya jadi panik lalu segera menghentikan kereta di tepi jalan seterusnya segera berlari menyelamatkan diri kerana bimbang kereta meletup.

“Saya juga menghubungi abang yang kemudiannya datang dengan membawa alat pemadam api untuk cuba memadamkan kebakaran, tetapi tidak berjaya,” katanya kepada Sinar Harian.

Beliau berkata, orang ramai yang menyedari kejadian itu turut membantu menghubungi bomba bagi mendapatkan bantuan kecemasan.

Sementara itu, Pegawai Operasi Kanan 1, Balai Bomba dan Penyelamat daerah Muar, Ismail Mahmod berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 6.15 petang seterusnya mengerahkan sebuah jentera bersama enam anggota ke tempat kejadian.

“Operasi itu diketuai oleh Pegawai Operasi, Rahman Taib. Semasa pasukan ini tiba di tempat kejadian, api sedang marak membakar keseluruhan bahagian enjin kenderaan.

“Bomba mengambil masa selama 15 minit untuk memadamkan keseluruhan kebakaran dan operasi tamat pada jam 6.30 petang,” katanya.

Katanya lagi, mangsa juga terselamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan serta punca kebakaran masih dalam siasatan.

Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/johor/wanita-panik-kereta-terbakar-1.114412


Rempuh pembahagi jalan



21 Disember 2012
KULIM - Seorang lelaki berusia 50-an nyaris maut apabila kereta dipandunya hilang kawalan sebelum terbabas dan merempuh pembahagi jalan di jalan Bukit Awi berhampiran Masjid Kulim kira-kira jam 12.30 pagi, baru-baru ini.

Mangsa yang mengalami kecederaan di bahagian badan dibawa ke Hospital Kulim oleh orang ramai untuk mendapatkan rawatan kecemasan dan keadaannya dilaporkan stabil.

Ketua Trafik Kulim Asisten Superintendan Ismail Ayob berkata, sehingga kini ramai pemandu kereta yang terlibat dalam kemalangan di sekitar kawasan itu.

Menurutnya, antara punca berlakunya kemalangan adalah seperti memandu laju, selekoh tajam dan jalan licin apabila hujan.

“Saya mengingatkan pemandu supaya berhati-hati dan jangan terburu-buru ketika mengambil selekoh itu kerana sudah ramai pengguna jalan raya terlibat dalam kemalangan dan ada di antara mereka mengalami kecederaan parah.

"Selain pemandu kereta penunggang motosikal terutama golongan muda jangan terlalu laju ketika mengambil selekoh di kawasan itu kerana ia sangat berbahaya,” katanya.

Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/utara/nyaris-maut-kereta-terbabas-1.114407


Ikan, sotong bertaburan



21 Disember 2012
KUANTAN - Beberapa pelanggan sebuah kedai makan bertempiaran lari menyelamatkan diri apabila ternampak sebuah lori dengan muatan hasil laut tiba-tiba bergerak ke kiri dan ke kanan sebelum terbalik dan nyaris merempuh kedai dalam kejadian di Jalan Besar, di sini, semalam.

Kejadian kira-kira jam 11.35 pagi itu menyebabkan kesesakan lalu lintas lebih dua jam apabila badan lori seberat tiga tan itu menghalang sebahagian laluan, manakala muatan ikan dan sotong beku yang dibawanya bertaburan atas jalan.

Bagaimanapun pemandunya yang berusia 50-an difahamkan hanya mengalami cedera ringan di kaki.

Seorang saksi kejadian dikenali sebagai Chong, 68, berkata, ketika kejadian, dia bersama kira-kira 10 pelanggan sedang menikmati sarapan pagi di kedai makan itu.

Menurutnya, salah seorang pelanggan yang berada di meja paling hadapan tiba-tiba menjerit setelah ternampak lori tersebut bergerak ke kiri dan ke kanan menuju ke arah kedai.

“Saya kemudian nampak lori terbabit seperti hilang imbangan sebelum  terbalik betul-betul di hadapan kedai makan ini.

“Semua pelanggan panik dan melarikan diri ke bahagian belakang kedai untuk menyelamatkan diri, malah seorang pelanggan yang terlalu panik melanggar meja hingga tercampak,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Dia berkata, nasib mereka agak baik kerana lori yang terbalik itu tidak merempuh kedai dan tiada kejadian lebih buruk berlaku.

“Sebelum kejadian, ada seorang pelanggan meletakkan motosikalnya di hadapan kedai ini dan nasibnya baik  apabila lori itu terbalik sebaik sahaja dia beredar.

“Lori ini dipandu perlahan namun mungkin muatannya terlalu berat dan tidak stabil menyebabkan ia terbalik ketika melalui hadapan kedai ini dan muatan bertaburan di atas jalan,” katanya.

Menurutnya, sejurus selepas lori itu terbalik, keadaan kembali panik apabila asap keluar dari lori tersebut dan orang ramai bimbang ia meletup, bagaimanapun keadaan  kembali reda selepas mendapati asap itu sebenarnya wap ais dari tong hasil laut yang tumpah.

“Setiap hari saya bersarapan di kedai ini namun tidak pernah duduk di meja paling hadapan kerana bimbang dirempuh kenderaan yang terbabas memandangkan kedudukan kedai  yang begitu hampir dengan jalan.

“Walaupun kejadian ini adalah yang pertama, namun kebimbangan saya  berasas dan kami semua bernasib baik apabila lori berkenaan tidak menggelongsor masuk  ke dalam kedai atau melanggar tiang konkrit bangunan,” katanya.

Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/pahang/ikan-sotong-bertaburan-1.114341


Bayi 18 bulan nyaris maut



21 Disember 2012
TAMPIN – Tiga sekeluarga termasuk seorang bayi berusia 18 bulan terselamat dari maut apabila kenderaan yang dinaiki mereka sempat mengelak dari bertembung dengan sebuah pacuan empat roda di Kilometer 25, Jalan Tampin-Gemas, di sini, petang kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 6.25 petang itu, bayi berkenaan, Rayyan Norarwin yang dipangku ibunya, Nor Yasme Yahya, 26, di bahagian tempat duduk hadapan hanya mengalami kecederaan ringan dan dirawat sebagai pesakit luar di Klinik Kesihatan (KK) Gemencheh.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Wooi Kooi Cheang, berkata, ketika kejadian, bapa bayi berkenaan, Norarwin Jumian, 34, yang memandu Toyota Vios sempat mengelak dari bertembung dengan pacuan empat roda yang tiba-tiba masuk dari arah bertentangan.

“Akibatnya sebelah kiri kereta berkenaan dan pacuan empat roda jenis Hilux  remuk.  Tiga beranak berkenaan kemudiannya dikejarkan ke KK Gemencheh dan dirawat sebagai pesakit luar.

“Bagaimanapun, penumpang tempat duduk hadapan pacuan empat roda berkenaan, M. Ramesh, 30, mengalami kecederaan parah di bahagian muka dan kepala dikejarkan ke Hospital Tampin (HT) bagi rawatan lanjut. 

"Pemandunya, A. Ganess, 31, mengalami kecederaan di bahagian muka dan tangan turut dikejarkan ke HT,” katanya.

Sementara itu, seorang lagi penumpang pacuan empat roda berkenaan yang duduk di bahagian belakang, S. Partheeban, 20, berkata, ketika kejadian dia tertidur dan hanya tersedar sebaik sahaja terdengar bunyi dentuman.

“Bila sedar-sedar sahaja saya lihat pak cik saya yang memandu kenderaan dan rakannya di sebelah sudah mengalami kecederaan parah.  Malah, orang ramai juga sudah mulai mengerumuni lokasi kemalangan.

“Saya tidak tahu apa yang berlaku kerana seingat saya kami dalam perjalanan pulang dari Tampin ke Gemencheh selepas selesai menukar tayar baru pacuan empat roda ini,” katanya.

Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/melaka-ns/bayi-18-bulan-nyaris-maut-1.114289


Thursday, December 20, 2012

Maut tersepit dalam van


20 Disember 2012
KUALA LUMPUR: Anggota bomba dan penyelamat mengambil masa sejam untuk mengeluarkan mayat seorang pemandu van yang tersepit dalam kemalangan di Jalan Sungai Besi, awal pagi semalam.

Kejadian jam 5 pagi itu dipercayai berlaku selepas van Nissan Vanette yang dipandu Loh Hoi Keong, 37, hilang kawalan sebelum terbabas dan merempuh pembahagi jalan.

Jurucakap polis trafik berkata, Loh dari Flat Sri Sabah, Jalan Cheras maut di tempat kejadian akibat tersepit di tempat duduk.

Katanya, van berkenaan kemungkinan dipandu laju menyebabkan ia hilang kawalan ketika melalui satu selekoh di jalan berkenaan.

“Akibatnya, van itu terbabas dan merempuh pembahagi jalan sebelum melanggar sebatang pokok di tepi jalan,” katanya.

Katanya, keadaan depan van yang remuk menyebabkan anggota polis gagal mengeluarkan mangsa meskipun cuba dibantu orang awam.

“Mayat mangsa dikeluarkan dengan bantuan bomba dan penyelamat yang tiba di lokasi 10 minit kemudian,” katanya.

Beliau berkata, mangsa dipercayai dalam perjalanan dari Jalan Tun Razak ke Cheras.

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sumber:
hmetro.com.my/myMetro/articles/Sejamkeluarmayattersepit/Article/index_html



Pelajar tunggu SPM maut

Inalillahi wainailaihi rojiun

20 Disember 2012
KUANTAN — Seorang pelajar yang sedang menunggu keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) maut apabila motosikal yang ditungganginya merempuh sebuah van di Batu 3, Jalan Kuantan-Maran dekat Tanah Putih di sini petang semalam.

Muhammad Zaim Mohd Zin, 17, pelajar Sekolah Menengah Sultan Abu Bakar Kuantan yang memiliki lesen ”L” maut di tempat kejadian dalam kejadian kira-kira 6.35 petang, kata Ketua Jabatan Ketenteraman Awam dan Trafik Pahang, Supritendan Mohamed Fauzi Abdul Rahim.

"Di tempat kejadian, dipercayai mangsa hilang kawalan sebelum merempuh bahagian belakang van dari arah yang sama,” katanya kepada pemberita di sini hari ini. — BERNAMA

Sumber:
my.news.yahoo.com/pelajar-tunggu-spm-maut-motosikal-rempuh-van-061646988.html




2 sahabat warga emas maut


20 Disember 2012
PONTIAN - Hasrat empat sahabat warga emas untuk bercuti di Tanjung Balai, Indonesia tidak kesampaian apabila dua daripadanya terbunuh dalam kemalangan jalan raya di persimpangan lampu isyarat Benut di Kilometer 85.9, Jalan Johor Bahru-Batu Pahat, di sini, awal  pagi semalam.

Ng Cheng Thiam, 76, pemandu kereta Proton Iswara Aeroback berwarna merah dan rakannya Go Asing, 74, yang menumpang di tempat duduk belakang  sebelah kanan maut dalam kejadian 6.30 pagi itu.

Manakala, dua rakannya dikenali sebagai Tan, 60 dan Lim, 70, selamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan dalam kejadian itu.

Semua mangsa berasal dari Bukit Pasir, Muar, dan dalam perjalanan ke Terminal Feri Antarabangsa Kukup untuk menaiki feri ke Tanjung Balai, Indonesia.

Ketua Polis Daerah Pontian, Superintendan Zahaliman Jamin, mengesahkan kejadian berkata, kereta yang dipandu Cheng Thiam bersama tiga lagi rakannya datang dari arah Simpang Renggam sebelum bertembung dengan sebuah kereta dari arah Batu Pahat dan Pontian di simpang empat lampu isyarat di Benut.

“Berikutan lampu isyarat yang  tidak berfungsi di persimpangan itu, kedua-dua kereta bertembung.

“Pemandu wanita yang turut memandu kereta jenis Proton Iswara Aeroback dari arah Batu Pahat dan Pontian hanya mengalami kecederaan ringan. Kedua-dua mayat terlibat dihantar ke Hospital Pontian untuk bedah siasat,” katanya kepada  Sinar Harian, semalam.

Sementara itu, Lim berkata, dia bersama Cheng Thiam dan tiga lagi rakannya bertolak dari Muar sekitar jam 5 pagi untuk pergi bercuti ke Tanjung Balai, Indonesia.

Dia yang duduk di bahagian belakang sebelah kiri berkata, sebaik tiba di persimpangan empat Benut,  dia mendapati lampu isyarat di  kawasan terbabit tidak berfungsi dan hanya menunjukkan  warna kuning.

“Sampai saja di persimpangan empat itu, tiba-tiba sebuah kereta melanggar arah kanan kereta kami. Dentumannya yang amat kuat membuatkan saya tergamam dan tidak  dapat berbuat apa-apa.

“Cheng Thiam yang memandu, sempat keluar dari kereta untuk memberi pertolongan dengan  menarik keluar Go Asing yang duduk di belakang pemandu.

“Sebaik saja Go Asing berjaya  ditarik keluar, tiba-tiba Cheng Thiam jatuh rebah dan terus tidak bergerak begitu juga dengan Go Asing,” katanya.

Selain itu, katanya, mereka berempat sudah lama merancang  untuk pergi ke Tanjung Balai, Indonesia dan akhirnya rancangan itu terpaksa dibatalkan sekaligus  terpaksa pulang ke Muar.

Pada masa sama, percutian yang dirancang penuh kegembiraan tanpa diduga meragut nyawa dua rakan mereka.

Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/johor/dua-warga-emas-maut-1.114029


Maut kereta terhumban ke sungai


20 Disember 2012
KULIM - Seorang lelaki berusia 35 tahun maut apabila kereta dipandunya terbabas sebelum terhumban ke dalam sungai di Nagalilit di sini, kelmarin.

Ketua Trafik Kulim, Asisten Superintendan Ismail Ayob berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 9. 50 pagi apabila mangsa dari Nagalilit menghala ke lampu isyarat Sungai Seluang.

Menurutnya, mangsa gagal mengawal kenderaan lalu terbabas ke bahagian kiri jalan sebelum terhumban ke dalam sungai.

Mangsa, yang maut di tempat kejadian dibawa ke Hospital Kulim untuk bedah siasat sebelum diserahkan kepada waris bagi tujuan pengebumian.

Ismail menasihatkan kepada pemandu khususnya penunggang motosikal supaya memberikan tumpuan ketika memandu dan tidak mengambil mudah.

Beliau berkata, sehingga kini masih ramai dalam kalangan pengguna jalan raya yang menggunakan telefon bimbit ketika memandu atau menunggang motosikal.

Perlakuan ini membahayakan diri sendiri. Mereka tidak sedar bahawa perbuatan itu boleh mengakibatkan mereka terlibat dalam kemalangan,” katanya.

Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/utara/maut-kereta-terhumban-ke-sungai-1.114139


Empat pelajar Kolej Unifield cedera



20 Disember 2012
ALOR GAJAH - Empat pelajar Kolej Unifield, di sini, mengalami kecederaan selepas dua motosikal yang dinaiki mereka terbabit dalam kemalangan di Jalan Kemus, Simpang Ampat, di sini petang kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 4 petang itu, mangsa, Indakala Abd Kadir, 21, membonceng motosikal Yamaha LC ditunggang rakannya, Rozairi Rauf, 18, dari arah Pulau Sebang menuju ke kolej untuk menghadiri kuliah.

Difahamkan, turut sama dalam perjalanan ke kuliah dua buah lagi motosikal dinaiki rakan mangsa, Mohd Azlizan Mirza, 19, bersama Mohd Solihin Mohd Razdi, 19, dan sebuah lagi motosikal dinaiki Mohd Asrul Abd Rahim, 19.

Mohd Azlizan berkata, ketika kejadian motosikal Yamaha Lagenda yang ditunggangnya mengalami masalah brek dan berhenti secara tiba-tiba sebelum dirempuh motosikal dinaiki rakannya yang mengekori di belakang.

“Tiba-tiba motosikal saya seperti tersekat lalu hilang kawalan dan terhenti sebelum dirempuh pula dari arah belakang oleh motosikal dinaiki rakan hingga motosikal kami terseret beberapa meter selepas rempuhan berlaku.

“Kemudian saya dengar suara Indakala seperti menahan kesakitan dan saya terus bangun selepas dihempap motosikal. Saya mendapati mangsa terbaring di tepi jalan sambil mengadu kesakitan,” katanya ketika ditemui, semalam.

Menurutnya, dia bersama lima lagi rakan cuba bantu mengangkat mangsa namun, mangsa yang sedarkan diri mengadu mengalami kesakitan pada bahagian pinggang dan menenangkannya sehingga ambulans tiba.

Rakan mangsa, Mohd Asrul Abd Rahim berkata, dia menunggang motosikal Honda Wave pada jarak sepuluh meter dari motosikal dinaiki mangsa melihat sendiri motosikal dinaiki rakan-rakannya terseret.

“Ketika motosikal ditunggang Mohd Azliza hilang kawalan dan berlaku rempuhan dari belakang oleh motosikal dibonceng mangsa, saya lihat kedua motosikal terseret hingga ke tepi  jalan raya,” katanya di sini.

Menurutnya, bagaimanapun dia dan rakannya bersyukur kerana kejadian itu tidak membabitkan kemalangan jiwa meskipun terdapat sebuah kereta yang dipandu laju nyaris merempuh kedua-dua motosikal dinaiki rakan-rakannya itu.

Sementara itu, Ketua Operasi Jabatan Pertahanan Awam (JPAM) Alor Gajah, Mohd Faisal Ahmad berkata, setiba di lokasi mendapati mangsa dalam keadaan terbaring mengadu mengalami kesakitan di bahagian pinggang.

“Tiga lagi mangsa yang mengalami kecederaan ringan diberikan rawatan asas di tempat kejadian manakala mangsa yang mengadu sakit di bahagian pinggang dihantar ke Hospital Alor Gajah untuk rawatan lanjut,” katanya.

Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/melaka-ns/tiba-tiba-brek-hilang-kawalan-1.114105


Maut rempuh belakang kereta rosak


Inalillahi wainailaihi rojiun

 20 Disember 2012
MARANG - Seorang remaja terbunuh selepas motosikal ditungganginya merempuh belakang sebuah kereta rosak di Jalan Marang ke Wakaf Tapai di Jerung Seberang di sini, malam kelmarin.

Mangsa yang sedang menunggu keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Mohd Saifuddin Mohd Tangi, 17, meninggal dunia dalam perjalanan ke klinik berdekatan.

Rakannya yang membonceng motosikal jenis Honda Wave itu, Mohd Iqmal Hakim Mohd Noor, 15, cedera ringan di kaki.

Ketua Polis daerah, Deputi Superintendan Ahmad Mazlan Yahaya mengesahkan kejadian itu berkata, dalam kejadian kira-kira jam 10 malam itu, kedua-dua mangsa dikatakan dalam perjalanan dari arah Jerung Seberang menuju ke Wakaf Tapai, di sini.

“Sampai di tempat kejadian, mangsa dipercayai hilang kawalan sebelum merempuh bahagian belakang kenderaan rosak itu. Akibatnya, mangsa cedera parah dan meninggal dalam perjalanan ke klinik.

“Mayat mangsa dihantar ke Hospital Sultanah Nur Zahirah Kuala Terengganu untuk bedah siasat,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini, semalam.

Ahmad Mazlan kesal dengan sikap ibu bapa yang membiarkan anak-anak mereka menunggang motosikal tanpa lesen dan topi keledar kerana ia menjadi antara penyumbang kepada berlakunya kemalangan maut di daerah berkenaan.

Beliau meminta remaja, terutama pelajar di daerah itu, bertindak bijak iaitu tidak lagi menunggang tanpa lesen kerana ia memberikan kesan negatif, manakala ibu bapa perlu sentiasa mengawasi pergerakan anak-anak mereka.

“Malah pihak sekolah juga perlu membantu polis menggandakan keberkesanan sistem penyampaian pendidikan secara formal dan tidak formal sambil meningkatkan kefahaman pelajar terhadap pematuhan undang-undang di jalan raya,” katanya.

Sementara itu, dalam kenyataan tidak rasmi polis trafik daerah semalam, kira-kira lima kes kemalangan maut dicatatkan membabitkan pelajar sekolah yang menunggang motosikal tanpa lesen berlaku sepanjang tahun ini di daerah berkenaan.

Al-Fatihah

Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/terengganu/maut-rempuh-belakang-kereta-1.113998


Wednesday, December 19, 2012

Dua Maut di Jalan Machang


Inalillahi wainailaihi rojiun 

19 Disember 2012
MACHANG - Dua lelaki maut dalam kemalangan berasingan di Jalan Machang-Pasir Puteh, di sini pada malam kelmarin dan awal pagi semalam.

Kejadian pertama membabitkan mangsa, Ahmad Syautee Mohd Daud, 30, dari Desa Seri Rebana yang menunggang motosikal, malam kelmarin.

Mangsa maut di tempat kejadian apabila motosikal dinaikinya, dilanggar sebuah kereta yang membelok ke kanan di simpang Pejabat Tanah dan Jajahan Machang.

Ketua Polis Daerah Machang, Deputi Superintendan (DSP) Che Malek Bedot berkata, akibat kemalangan itu, mangsa terjatuh dan mendapat kecederaan parah sebelum meninggal dunia di tempat kejadian.

“Kejadian berlaku  pada jam 9 malam di kilometer 1.8 Jalan Machang-Pasir Puteh, manakala pada kejadian pagi tadi (semalam), seorang lelaki maut dalam kejadian membabitkan empat kenderaan berdekatan Universiti Teknologi Mara (UiTM) cawangan Kelantan, di sini.

Kemalangan yang melibatkan tiga kereta jenis Wira, Volvo dan Mercedes Benz serta sebuah lori itu turut menyebabkan dua mangsa lain cedera ringan,” katanya.

Che Malek berkata, dalam kemalangan kira-kira jam 7.55 pagi, mangsa, Norzri Ismail, 46, meninggal dunia di tempat kejadian, Kilometer 8 Jalan Machang-Pasir Puteh.

Katanya, lori dari arah laluan Pasir Puteh ke Machang dipercayai terbabas lalu melanggar pembahagi jalan sebelum tergelongsor dan melanggar dua kereta dari arah bertentangan.

“Salah sebuah kereta yang dilanggar turut terbabas dan merempuh kereta yang diletakkan di tepi jalan. Kedua-dua mayat dihantar ke Hospital Machang sebelum dituntut keluarga masing-masing.

“Kedua-dua kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. Orang ramai diminta tampil memberikan maklumat,” katanya.

Al-Fatihah

Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/kelantan/dua-terkorban-di-jalan-machang-1.113765


Kanak-kanak 3 tahun tercampak dari kereta

maut diseret 10km

Inalillahi wainailaihi rojiun

19 Disember 2012 
NIBONG TEBAL: Seorang kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun maut apabila diseret sejauh 10 kilometer selepas tercampak keluar daripada kereta yang dinaikinya, dalam kejadian di KM 168.4 Lebuhraya Utara-Selatan, malam semalam.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan, Superintendan Shafien Mamat, berkata mayat Muhammad Aslam Maricar Said Ibnu Aslam ditemui dalam keadaan menyayat hati di Hentian Sungai Bakap, tiga jam selepas kejadian pada jam 8.45 malam itu.

Ia berlaku apabila kereta yang dipandu bapa mangsa, Said Ibnu Aslam GM Ismail, 47, cuba mengelak daripada melanggar seekor haiwan sehingga menyebabkan kenderaan itu berpusing sebelum terbabas dan merempuh pembahagi jalan.


"Rempuhan kuat itu menyebabkan mangsa tercampak ke atas jalan dan diheret kenderaan lain, sementara tiga lagi adik beradik mangsa tercampak ke dalam longkang," katanya di sini, hari ini.

Mereka dikenali Zulqarnain Aslam, 14, Sharol Ramadhan, 12 dan Nur Aisyah Aslam, 2.

Shafien berkata, kesemua mereka termasuk bapa hanya mengalami cedera ringan.

Menurut beliau, dua lagi penumpang iaitu ibu mangsa Nuris Berutu, 40, dan adik perempuannya Nurjadi, 28, tidak mengalami sebarang kecederaan.
"Difahamkan keluarga berkenaan dalam perjalanan pulang ke Pulau Pinang dari Ipoh dan polis yakin kereta itu dipandu dengan begitu laju," katanya.

Menurutnya, semua mangsa kini dirawat di Hospital Seberang Jaya dan keadaan mereka dilapor stabil.

Shafien berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun dan denda maksimum RM10,000 serta digantung lesen memandu selama setahun, jika sabit kesalahan. - BERNAMA

Muhammad Aslam Maricar Said Ibnu Aslam


Bercuti di Bukit Merah Laketown Resort

NIBONG TEBAL 19 Dis. - Keriangan sebuah keluarga dari Pulau Pinang bercuti di Bukit Merah Laketown Resort di Taiping, Perak berakhir dengan tragedi apabila seorang daripada ahli keluarga itu terbunuh dalam kemalangan di Kilometer 168.4, Lebuh Raya Utara-Selatan arah utara berhampiran susur keluar Nibong Tebal malam tadi.

Lebih menyayat hati, mangsa yang maut, Muhammad Aslam Maricar Said Ibnu Aslam, 3, diseret sejauh 10 kilometer oleh sebuah kenderaan lain dipercayai lori.

Mayat Muhammad Aslam Maricar ditemui dalam keadaan menyayat hati oleh orang awam di Hentian Sebelah Sungai Bakap selepas kemalangan itu yang berlaku pukul 8.45 malam.

Bapa mangsa, Said Ibnu Aslam S.M. Ismail, 47, serta dua anaknya iaitu Zulqarnain Aslam, 14, dan Shahrol Ramadhan, 12; ibu mangsa, Nuris Berutu, 40, dan adiknya perempuannya Nurjadi Berutu, 28, cedera ringan manakala Nur Aishah Aslam, 2, masih dirawat di Hospital Seberang Jaya akibat cedera di muka, tangan dan kaki.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan (SPS), Supritendan Shafien Mamat berkata, nahas berlaku ketika tujuh sekeluarga itu dalam perjalanan pulang ke rumah mereka di Ayer Itam, Pulau Pinang selepas bercuti di pusat rekreasi tersebut.

Kata beliau, Said Ibnu Aslam yang memandu kereta jenis Ford Laser itu dipercayai cuba mengelak seekor haiwan dipercayai anjing yang berada di laluan kenderaannya.

Menurut beliau, bagaimanapun kereta dipandunya itu hilang kawalan sebelum melanggar pembahagi lebuh raya dan berpusing beberapa kali.

“Berikutan rempuhan itu, tiga anaknya berusia 2 hingga 12 tahun yang duduk di belakang tercampak keluar menerusi cermin kereta yang pecah," katanya.

“Kanak-kanak itu iaitu Shahrol Ramadan dan Nur Aishah Aslam tercampak ke dalam longkang berhampiran dan mengalami cedera ringan manakala Muhammad Aslam Maricar dipercayai tercampak di atas lebuh raya sebelum digilis dan diseret sebuah kenderaan lain," katanya di sini hari ini.

Menurut Shafien, mayat Muhammad Aslam Maricar dihantar ke hospital yang sama untuk bedah siasat sebelum dituntut keluarganya kira-kira pukul 4 pagi ini untuk dikebumikan.

Kes ini disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 atas kesalahan gagal mengawal kenderaan sehingga menyebabkan kematian.

Beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu supaya menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Mohd. Radzy Rasul di talian 04-5824222 atau Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) SPS di talian 04-5932222 bagi membantu siasatan.

Sementara itu, Said Ibnu Aslam ketika ditemui di Hospital Seberang Jaya di sini berkata, selepas terlibat dalam kemalangan itu, dia hanya menyedari Muhammad Aslam Maricar hilang apabila gagal menemui anaknya walaupun telah mencarinya di sekitar kawasan kemalangan dengan bantuan orang ramai.

“Pada mulanya saya mengesyaki Muhammad Aslam Maricar tercampak ke dalam belukar berhampiran dan saya mencarinya di kawasan tersebut selama kira-kira dua jam tetapi tidak menemuinya.

“Kira-kira pukul 11 malam iaitu tiga jam selepas kemalangan, ada orang telefon saya dan beritahu anak saya sudah ditemui dan minta saya ke hospital dengan segera," ujarnya.

Menurutnya, berdasarkan maklumat polis, mayat anaknya ditemui orang awam di laluan kecemasan berhampiran Hentian Sebelah Sungai Bakap iaitu kira-kira 10 kilometer dari tempat kemalangan.

Tambahnya, ketika ditemui mayat anaknya sudah hancur dipercayai digilis oleh kenderaan yang mengheretnya.

“Walaupun sedih dengan kejadian itu, namun saya reda dengan apa yang berlaku dan menganggapnya satu ujian dari Allah," katanya.


Elak bangkai anjing

Katanya, kemalangan berlaku apabila beliau cuba mengelak bangkai anjing sebelum hilang kawalan menyebabkan kenderaan berpusing lalu melanggar pembahagi kanan dan kiri lebuh raya.

“Pada masa sama, saya melihat dua anak saya, Nur Aisyah Aslam dan Muhammad Aslam Maricar yang duduk di belakang tercampak keluar dari kenderaan manakala saya, isteri, adik ipar dan dua lagi anak saya tetap dalam kenderaan,” katanya ketika ditemui di HSJ, semalam.
Said Ibnu Aslam berkata, selepas kejadian itu, dia segera mencari dua anaknya sebelum menemui anak bongsu tertiarap dalam longkang, kira-kira lima minit kemudian manakala usaha mencari Muhammad Aslam Maricar di sepanjang lebuh raya termasuk hutan berhampiran selama lebih dua jam menemui kegagalan.

Bagaimanapun, tidak lama kemudian, dia menerima panggilan seorang lelaki yang memintanya ke hospital dengan memaklumkan anaknya sudah ditemui dan berada di sana.

“Saya menyangka anak saya ditemui dalam keadaan selamat tetapi sedih selepas mengetahui Muhammad Aslam Mericar sudah meninggal dalam keadaan menyayat hati,” katanya yang reda dengan pemergian arwah.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seberang Prai Selatan, Superintendan Shafien Mamat ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan menyiasat kes mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Beliau berkata, mayat kanak-kanak itu ditemui 10 kilometer dari lokasi kejadian berhampiran kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Sungai Bakap, kira-kira tiga jam selepas kemalangan.

“Ketika ditemui, mayat sudah hancur. Siasatan awal mendapati tiada kenderaan lain terbabit dalam kemalangan itu dengan pemandu dan penumpang hanya cedera ringan dan dirawat di HSJ,” katanya.

Sumber:
bharian.com.my/bharian/articles/Kanak-kanaktigatahunmautdiseretdalamkemalangandiPLUS/Article/
kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2012&dt=1220&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_01.htm
utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20121220/dn_27/Budak-3-tahun-maut-diseret-10km


Tuesday, December 18, 2012

Remaja Maut rempuh lampu isyarat


18 Disember 2012 
SERI KEMBANGAN – Seorang remaja terbunuh manakala rakannya cedera parah apabila kereta yang dipandunya terbabas dan berpusing sebelum melanggar tiang lampu isyarat di Taman Puncak Jalil di sini, petang semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 4.30 petang itu, mangsa, Yeo Dun Mai, 17, dikatakan memandu kereta Perodua Myvi dari arah Puncak Jalil ke Bandar Kinrara.

Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Abd Razak Elias berkata, kereta mangsa yang gagal dikawal masuk ke laluan bertentangan dan bertembung dengan sebuah kereta jenis Honda City.

Katanya, mangsa yang memandu kereta Perodua Myvi disahkan meninggal dunia di tempat kejadian kerana kecederaan parah di bahagian kepala.

“Siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berlaku apabila pemandu kereta Myvi yang datang dari arah Puncak Jalil hilang kawalan lalu terbabas menyebabkan kenderaannya berpusing beberapa kali.

“Kereta itu kemudian melanggar tiang lampu isyarat dan memasuki laluan bertentangan lalu bertembung dengan sebuah kereta yang datang dari arah Bukit Jalil,” katanya.

Abd Razak berkata, mangsa yang maut dihantar ke Hospital Serdang untuk bedah siasat, manakala pemandu kereta Honda City tidak mengalami kecederaan.

Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan terperinci masih dijalankan.

Sehubungan itu, saksi yang melihat kejadian diminta menghubungi Cawangan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang atau berhubung dengan Pegawai Penyiasat Trafik IPD Serdang, Inspektor Nur Azam Shah Md Aziz di talian 03-80742222 atau 016-9055595 untuk membantu siasatan.

Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/selangor-kl/remaja-maut-kereta-berpusing-1.113505


Monday, December 17, 2012

Volvo bangunkan kereta tanpa pemandu


LONDON 5 Dis. - Pembuat kereta mewah, Volvo sedang membangunkan kereta tanpa pemandu yang didakwa mampu mengelak daripada terlibat dalam kemalangan menerusi teknologi tinggi sensor terkini.

Kenderaan itu akan dilengkapkan dengan komputer dan sensor berteknologi tinggi untuk mengelak daripada melanggar sebarang objek.

Ilustrasi grafik menunjukkan bagaimana sensor pada kereta keluaran Volvo berfungsi bagi menentukan keadaan selamat (hijau) dan tidak selamat (merah) yang boleh mengundang kemalangan jalan raya.

Volvo berkata, kereta berkenaan dijangka dilancarkan menjelang 2020, namun teknologi yang mampu menyelamatkan nyawa itu akan mula diperkenalkan dalam kereta-kereta ciptaannya dua tahun lagi.

Ketua Hal Ehwal Pentadbiran Volvo, Anders Eugensson berkata, pengenalan teknologi itu sejajar dengan visi syarikat yang mahu pengguna Volvo terselamat daripada kemalangan dengan menggunakan kereta keluaran mereka menjelang 2020.

"Versi pertama kereta itu akan direka untuk pemanduan di bandar-bandar pada kelajuan maksimum 50 kilometer sejam,'' katanya.

Kereta akan dilengkapi dengan puluhan sensor yang membolehkan ia untuk memantau pejalan kaki dan lalu lintas yang lain, juga mengambil tindakan untuk mengelakkan pertembunganVolvo mendakwa menjelang 2020 ia boleh membasmi kematian kemalangan.

Beliau berkata, pihaknya sudah menguji prototaip di jalan-jalan raya di Sepanyol dan trek ujian syarikat itu di Sweden.

"Kereta masa depan ini adalah seperti kereta kuda. Petani akan memberikan arahan supaya kuda bergerak, tetapi jika dia tertidur, kuda itu tidak akan melanggar pokok atau terjatuh ke gaung,'' ujarnya.

Volvo bersama pembuat kereta lain termasuk Ford Mercedes-Benz, BMW dan Vauxhall kini berlumba membangunkan kereta yang mampu bergerak tanpa kawalan manusia seperti dalam filem, I Robot lakonan Will Smith. - AGENSI



Sumber:
utusan.com.my/utusan/Pemotoran/20121206/mo_01/Volvo-bangunkan-kereta-tanpa-pemandu
rushlane.com

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Headlines

FeedBurner FeedCount