loading...

Thursday, December 20, 2012

Maut rempuh belakang kereta rosak


Inalillahi wainailaihi rojiun

 20 Disember 2012
MARANG - Seorang remaja terbunuh selepas motosikal ditungganginya merempuh belakang sebuah kereta rosak di Jalan Marang ke Wakaf Tapai di Jerung Seberang di sini, malam kelmarin.

Mangsa yang sedang menunggu keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Mohd Saifuddin Mohd Tangi, 17, meninggal dunia dalam perjalanan ke klinik berdekatan.

Rakannya yang membonceng motosikal jenis Honda Wave itu, Mohd Iqmal Hakim Mohd Noor, 15, cedera ringan di kaki.

Ketua Polis daerah, Deputi Superintendan Ahmad Mazlan Yahaya mengesahkan kejadian itu berkata, dalam kejadian kira-kira jam 10 malam itu, kedua-dua mangsa dikatakan dalam perjalanan dari arah Jerung Seberang menuju ke Wakaf Tapai, di sini.

“Sampai di tempat kejadian, mangsa dipercayai hilang kawalan sebelum merempuh bahagian belakang kenderaan rosak itu. Akibatnya, mangsa cedera parah dan meninggal dalam perjalanan ke klinik.

“Mayat mangsa dihantar ke Hospital Sultanah Nur Zahirah Kuala Terengganu untuk bedah siasat,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini, semalam.

Ahmad Mazlan kesal dengan sikap ibu bapa yang membiarkan anak-anak mereka menunggang motosikal tanpa lesen dan topi keledar kerana ia menjadi antara penyumbang kepada berlakunya kemalangan maut di daerah berkenaan.

Beliau meminta remaja, terutama pelajar di daerah itu, bertindak bijak iaitu tidak lagi menunggang tanpa lesen kerana ia memberikan kesan negatif, manakala ibu bapa perlu sentiasa mengawasi pergerakan anak-anak mereka.

“Malah pihak sekolah juga perlu membantu polis menggandakan keberkesanan sistem penyampaian pendidikan secara formal dan tidak formal sambil meningkatkan kefahaman pelajar terhadap pematuhan undang-undang di jalan raya,” katanya.

Sementara itu, dalam kenyataan tidak rasmi polis trafik daerah semalam, kira-kira lima kes kemalangan maut dicatatkan membabitkan pelajar sekolah yang menunggang motosikal tanpa lesen berlaku sepanjang tahun ini di daerah berkenaan.

Al-Fatihah

Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/terengganu/maut-rempuh-belakang-kereta-1.113998


No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Headlines

FeedBurner FeedCount

Blogged.my