loading...

Saturday, February 4, 2012

Tak Sempat Kawin Bulan Hadapan

Inalillahi wainailaihi rojiun

CHUKAI: Seorang pemuda yang bakal melangsungkan perkahwinan bulan depan maut selepas kereta dinaiki terbabas dan melanggar sebuah pasu bunga besar di tengah pembahagi jalan di Kampung Besut, Kilometer 151, Jalan Kuala Terengganu-Kuantan, di sini, kelmarin.

Dalam kejadian jam 10 malam, mangsa yang juga anak lelaki tunggal, Yus Izha Izzat Khamis, 23, meninggal dunia di tempat kejadian akibat parah di kepala manakala rakan mangsa yang memandu kereta itu cedera di muka dan tangan.


Kejadian dipercayai berlaku apabila kereta dinaiki mangsa bersama rakannya cuba mengelak sebuah kenderaan pacuan empat roda yang mengundur secara tiba-tiba, menyebabkan kereta mereka terbabas dan melanggar pasu bunga besar.

Saksi, Solahuddin Salleh, 33, berkata dia melihat sebuah kereta Proton Satria memecut sebaik lampu isyarat merah bertukar hijau.


“Bagaimanapun, pemandu kereta itu tiba-tiba membrek mengejut sebelum berpusing dan terbalik secara mengiring di atas pembahagi jalan,” katanya.


Sementara itu, rakan karib mangsa, Mohd Shukri Ariffin, 38, terkilan kerana tidak dapat menunaikan permintaan arwah untuk menjadi saksi pernikahan, bulan depan.


“Arwah meminta saya menjadi saksi akad nikahnya bulan depan dan siapa sangka hasratnya untuk menamatkan zaman bujang tidak kesampaian.


“Kali terakhir saya berjumpa arwah jam 3 petang tadi (kelmarin). Bagaimanapun, arwah tidak menunjukkan perubahan pelik.

“Cuma, kami ada berjanji untuk bertemu malam tadi kerana arwah mahu meminjam kabel USB saya. Namun, saya hairan kerana tidak dapat menghubunginya dan mula mengesyaki sesuatu menimpanya.


“Kebimbangan saya terjawab apabila dimaklumkan kemalangan menimpa arwah,” katanya yang ditemui di Bilik Forensik Hospital Kemaman, di sini, semalam.


Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Abdullah Sani Salat ketika dihubungi di sini semalam, mengesahkan kejadian itu.


Katanya, jenazah mangsa dituntut ahli keluarganya jam 2.30 pagi dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Bukit Kuang, Kemaman, jam 4 pagi semalam.

Al-Fatihah...

Sumber:
hmetro.com.my/myMetro/articles/Bakalpengantinlelakimaut/Article/artikelMA

1 Maut 4 Cedera Rempuh Belakang Lori

Inalillahi wainailaihi rojiun

NIBONG TEBAL 4 Feb. - Seorang remaja terbunuh manakala empat yang lain cedera termasuk seorang parah apabila kereta yang dinaiki mereka melanggar belakang sebuah lori di Kilometer 130 Lebuh Raya Utara-Selatan arah utara dekat Jawi pagi ini.

Pemandu kereta, Mohd. Idzham Muhd. Radzi, 19, dari Sungai Nibong, Bayan Lepas mati di tempat kejadian akibat cedera parah di badan.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan, Supritendan Shafien Mamat berkata, dalam kejadian pukul 9.15 pagi ini, mangsa bersama empat lagi rakannya dalam perjalanan dari Kuala Lumpur menuju ke Pulau Pinang.

Katanya, ketika sampai di tempat kejadian, kereta yang dipandu mangsa dipercayai melanggar belakang lori.

"Kemalangan itu menyebabkan kereta itu dan mangsa terperosok di belakang lori," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Al-Fatihah...

Sumber:
utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2012&dt=0205&pub=Utusan_Malaysia&sec=Utara&pg=wu_03.htm

Putus dua jari kaki

ALOR GAJAH: Seorang remaja putus dua jari kaki kanan selepas motosikal jenis Honda EX5 ditungganginya terbabit kemalangan di Kampung Paku, dekat sini, tengah hari kelmarin.

Mangsa, Nurul Amira Arman, 22, yang dalam perjalanan dari Lendu ke Alor Gajah untuk memasukkan wang di bank dikatakan bertembung sebuah motosikal lain dari arah bertentangan di satu selekoh.


Dalam kejadian jam 1.10 tengah hari itu, mangsa yang menunggang motosikal bersendirian bertembung dengan motosikal ditunggang seorang pelajar yang cuba memotong sebuah bas sekolah.

Menurut mangsa, sebaik melalui jalan berselekoh, dia terkejut apabila motosikal ditunggangi seorang remaja muncul dari belakang bas lalu memotong kenderaan itu sebelum hilang kawalan dan bertembung dengan motosikalnya.


“Motosikal saya dirempuh kuat hingga tercampak dan terseret hingga terpaksa menggunakan lengan kanan untuk menahan kepala daripada tersembam atas jalan.


“Ketika itu pandangan saya berpinar manakala kaki terasa begitu sakit sebelum menyedari dua jari terkulai manakala telefon bimbit, beg duit serta kunci motosikal tercampak atas jalan.


“Tidak lama selepas itu, saya dengar bunyi motosikal memecut laju ke arah Lendu, tetapi tidak dapat bergerak sebelum orang awam dan pengguna lain membantu menghubungi ambulans,” katanya.

Sumber:
hmetro.com.my/myMetro/articles/Gadisputus2jarikaki/Article/index_html

Dua Pelajar Politeknik Merlimau Maut

Inalillahi wainailaihi rojiun

MELAKA: “Seorang daripada mereka terbaring atas jalan dengan kecederaan parah di muka manakala seorang lagi terbaring dalam keadaan tempurung kepala pecah.”

Demikian kata saksi kemalangan yang mengorbankan dua pelajar Politeknik Merlimau, Jasin, selepas motosikal dinaiki mereka terbabas di Lebuh Alor Gajah-Melaka-Jasin (AMJ) berdekatan Taman Paya Rumput Indah, di sini, awal pagi semalam.


Saksi yang hanya mahu dikenali sebagai Md Azrul, 20-an berkata, dia antara individu terawal memberi bantuan kepada mangsa kerana secara kebetulan melalui tempat kejadian sejurus kemalangan berlaku.

Dalam kejadian jam 2 pagi itu, Muhammad Ubaidullah Sharfuddin, 20, yang menunggang motosikal Yamaha 135LC, mati di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala dan badan.


Rakannya yang juga pembonceng, Ainol Haffiz Mohammad Hassan, 20, pula mengalami keretakan di kepala sebelum disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Unit Kecemasan Hospital Melaka.


Dua lagi rakan mereka yang menunggang motosikal Yamaha 135LC dan Honda EX5 mengalami kecederaan parah dan menerima rawatan di Hospital Melaka manakala seorang lagi hanya cedera ringan.


Difahamkan, sebelum kejadian kedua-dua mangsa yang terbunuh bersama tiga lagi rakan mereka menghabiskan masa di Kolam Air Panas Gadek dan kemudian menjamu selera di sebuah kedai makan berhampiran.


Mereka menunggang motosikal untuk pulang ke Politeknik Merlimau, namun sebaik tiba di selekoh berhampiran Taman Paya Rumput Indah, tiga motosikal dinaiki mereka hilang kawalan sebelum terjatuh dan terseret di atas jalan.

Seorang lagi saksi, Shadan Othman berkata, dia yang memandu kereta dari Alor Gajah menuju pusat bandar menyaksikan sekujur tubuh manusia atas jalan selepas melihat sebuah lori berhenti mengejut di tengah jalan.


“Mujur lori itu cepat berhenti, jika tidak pasti melanggar mayat mangsa atas jalan yang terbabit kemalangan, tambahan pula laluan itu menuruni bukit berselekoh.


“Saya terus memberhentikan kereta untuk melihat keadaan mangsa yang ketika itu tidak bergerak manakala tiga penunggang yang cedera berada di atas tebing pembahagi jalan,” katanya.


Seorang mangsa yang cedera, Muhammad Firdaus Mohd, 20, berkata dia menyedari sikap pelik Muhammad Ubaidullah yang lebih banyak berdiam diri, tidak seperti biasa, namun hanya membiarkannya.


“Ketika kami berlima bersembang dan berkongsi cerita di kedai makan, arwah hanya mendiamkan diri tidak ceria seperti selalu. Saya tidak bertanya kerana berasakan dia mungkin ada masalah,” katanya.

Al-Fatihah

Sumber:
hmetro.com.my/myMetro/articles/Parahdikepala/Article/index_html

Maut dihempap pacuan empat roda

Inalillahi wainailaihi rojiun

CAMERON HIGHLANDS: Tindakan seorang lelaki memuatkan sembilan rakannya di bahagian belakang pacuan empat roda dipandunya membawa padah apabila kenderaan itu terbalik selepas merempuh bukit dan menghempap dua penumpang di Kilometer 25, Jalan Bertam Valley-Sungai Koyan, di sini, petang kelmarin.

Dalam kejadian jam 7 petang itu, dua penumpang, Md Shahin Hosain, 27, dan Nurul Islam, 32, yang juga buruh maut akibat dihempap pacuan empat roda itu.


Ketua Polis Daerah, Deputi Superintendan Wan Mohd Zahari Wan Busu, berkata kejadian terbabit berlaku ketika semua mangsa dalam perjalanan dari tempat kerja hendak pulang ke rumah kongsi.

Menurutnya, siasatan awal mendapati, sebaik tiba di tempat kejadian lelaki terbabit terbabas melanggar bukit dipercayai jalan licin sebelum kenderaan itu terbalik.


Katanya, selepas merempuh bukit berkenaan, tujuh penumpang sempat menyelamatkan diri manakala dua mangsa yang meninggal tidak sempat berbuat demikian.


“Polis yang menerima maklumat kemalangan itu bergegas ke tempat kejadian dengan menggunakan bantuan kren untuk mengalihkan kenderaan bagi mengeluarkan kedua-dua mangsa.


“Sebaik saja mengeluarkan mangsa yang tersepit, mereka dikejarkan ke Hospital Sultanah Hajjah Kalsom sebelum disahkan meninggal dunia akibat mengalami kecederaan di tubuh,” katanya.

Al-Fatihah

Sumber:
hmetro.com.my/myMetro/articles/Duapenumpangmautdihempappacuanempatroda/Article/index_html

Pelajar SMK Mengkebang maut


Inalillahi wainailaihi rojiun

KUALA KRAI - “Mek, kenapa Along jadi gini (Mak, kenapa Along jadi begini).” Itu luahan ibu pelajar Tingkatan Empat, Mohamad Amirfitri Nazri yang maut dalam kemalangan jalan raya di Kampung Gertak Kangkung, dekat sini, kelmarin.

Perkara itu diceritakan nenek mangsa, Rahmah Awang, 57, ketika ditemui di pekarangan Bilik Mayat Hospital Kuala Krai (HKK), di sini, malam kelmarin.

Rahmah berkata, pertanyaan menyentuh hati itu dibuat ibu mangsa sebaik sahaja mengetahui kejadian menimpa anak sulungnya yang lebih mesra dengan panggilan Along.

“Saya hanya mampu jawab, nak buat macam mana, perkara dah nak jadi dan memintanya supaya banyak bersabar,” katanya kepada Sinar Harian.

Pada kejadian kira-kira jam 6.30 petang kelmarin, Mohamad Amirfitri maut selepas motosikal ditungganginya hilang kawalan sebelum terbabas di jalan menghala ke Sungai Pas, dekat Kampung Gertak Kangkung, di sini.

Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Mengkebang dan anak sulung daripada lima beradik itu maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala.

Turut hadir menziarahi jenazah di Bilik Mayat HKK, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Manek Urai, Mohd Fauzi Abdullah dan datuk mangsa, Mohammad Yunus, 68.

Ibu bapa Mohamad Amirfitri bagaimana pun hanya menunggu jenazah anak mereka di rumah di Kampung Peria dan tidak dapat datang ke hospital kerana terlalu sedih.

Rahmah berkata, dia mengetahui kejadian menimpa cucunya itu ketika sedang bersiap untuk menunaikan solat Maghrib kira-kira jam 7 malam selepas dimaklumkan bapa saudara mangsa.

Katanya, sebaik sahaja mengetahui kejadian itu, dia yang baru siap menyimpan peralatan menjual goreng pisang yang diusahakannya terus bergegas ke tempat kejadian.

“Masa saya sampai di tempat kejadian, cucu saya sudah tidak ada (meninggal dunia) dan mayatnya sudah ditutup dengan kertas surat khabar.

“Kali terakhir saya berjumpa dengan Along dua hari lepas ketika keluar menoreh kerana rumahnya terletak dalam kebun getah datuk dia,” katanya yang menyifatkan Mohamad Amirfitri sebagai seorang cucu yang baik.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Superintendan Abdul Rahman Ja’apar ketika dihubungi mengesahkan kejadian tersebut dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1), Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Beliau berkata, saksi kejadian diminta menghubungi Ketua Bahagian Keselamatan dan Ketenteraman Awam daerah, Cif Inspektor Wan Azizi Wan Ahmad atau tampil ke Cawangan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Krai bagi membantu siasatan.

Al-Fatihah

Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/kelantan/pelajar-maut-kemalangan-1.21917


Friday, February 3, 2012

Warga HUSM Maut di Bulatan Dusun Raja

Inalillahi wainailaihi rojiun  

KOTA BHARU - Malang menimpa bapa enam anak, sejurus selepas selesai makan tengah hari bersama keluarganya di rumahnya, apabila terbabit nahas motosikal dan lori, petang kelmarin.

Mohd Rodzi Hussin, 46, yang menunggang motosikal gagal mengelak sebuah lori lalu merempuh kenderaan terbabit di bulatan Dusun Raja, di sini petang kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 2.30 petang itu, mangsa parah organ dalaman dan disahkan meninggal dunia di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), jam 6.52 petang.

Mangsa, yang berasal dari Binjai Baru, Badang, dari arah lampu isyarat Dusun Raja, dikatakan gagal mengelak lori sekali gus melanggar belakang kenderaan terbabit.

Isteri mangsa, Nor Raida Musa, 41, berkata, kebiasaannya suaminya seorang tukang kebun di HUSM akan singgah makan di rumah, selepas mengambil anak, Mohd Hasrul Fahmi, 7, yang bersekolah di Sekolah Kebangsaan (SK) Banggol.

“Tetapi pada hari kejadian (kelmarin) dia beria-ia hendak balik mengambil anak dan makan tengah hari bersama saya, walaupun pada mulanya saya hendak mengambil sendiri anak dari sekolah.

“Memang sudah menjadi rutinnya, akan singgah makan nasi selepas pulang mengambil anak dari sekolah, namun saya tidak menyangka kepulangannya semalam (kelmarin) adalah tanda dia akan pergi buat selamanya,” katanya kepada Sinar Harian.

Nor Raida berkata, sebelum kejadian, suaminya tidak menunjukkan sebarang perubahan selepas selesai makan tengah hari dan terus ke tempat kerjanya di HUSM seperti biasa kira-kira jam 2 petang.

“Saya hanya dikejutkan dengan berita dia terlibat dalam kemalangan pada jam 3 petang oleh orang yang tidak dikenali dan saya suruh lelaki itu membawa suami saya ke HUSM.

“Ketika sampai di hospital, saya lihat suami saya masih dalam keadaan sedar tetapi doktor kata, dia mengalami pendarahan yang banyak dan perlu dimasukkan ke bilik pembedahan segera,” katanya.

Nor Raida berkata, walaupun masih terkejut dengan pemergian suaminya itu, namun dia reda dengan kejadian itu.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Azham Othman ketika dihubungi mengesahkan kejadian.

Beliau berkata, mangsa mengalami kecederaan parah pada bahagian dalaman.

“Pemandu lori terbabit membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu selepas kejadian kira-kira jam 6 petang.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Al-Fatihah...

Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/kelantan/bapa-enam-anak-meninggal-dunia-selepas-rempuh-lori-1.21729

Maut Dirempuh Pemandu Lori Mabuk

KOTA KINABALU: Seorang bapa tidak menyangka trak tunda membawa lori tiga tan yang remuk akibat kemalangan yang melintas di depannya membabitkan anak gadisnya yang kritikal dalam kemalangan di Kilometer 15, Jalan Tuaran Bypass, di sini, kelmarin.

Bapa mangsa, Tony Sirduh, 50, berkata dia menunggu anaknya, Jasmin, 28, di tepi jalan di Inanam Laut, di sini, sebelum terserempak sebuah trak menunda lori remuk melintas di depannya.


“Dalam hati saya terdetik perasaan kasihan apabila membayangkan keadaan pemandu dan penumpang lori berkenaan tersepit dalam kenderaan yang remuk.

“Selepas beberapa minit kemudian, saya menerima panggilan daripada rakan memberitahu anak saya terbabit kemalangan jalan raya yang membabitkan lori pasir,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.


Terdahulu, dalam kejadian jam 10.30 malam, lori tiga tan dinaiki gadis terbabit bersama pemandu tidak dikenali berusia 30-an dirempuh lori pasir seberat 10 tan menyebabkan kedua-dua mereka parah dan dirawat di Hospital Queen Elizabeth II (HQEII).


Kemalangan berpunca akibat pemandu lori pasir terbabit dipercayai memandu dalam keadaan mabuk sebelum melakukan pusingan U dan dirempuh lori tiga tan dinaiki kedua-dua mangsa.

Sementara itu, Ketua Bahagian Ketenteraman Awam dan Ketua Trafik Daerah Kota Kinabalu, Deputi Superintendan Peter Anak Limbuas, ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan polis masih menjalankan siasatan.

Sumber:
hmetro.com.my/articles/Anaknahasdalamloriremuk/Article

Thursday, February 2, 2012

Honda Civic terbakar



KOTA BHARU- Rutin seorang ibu mengambil anaknya menggunakan kereta berakhir dengan tragedi apabila kenderaan yang digunakan terbakar dalam perjalanan ke sekolah mereka di Jalan Istana Mahkota, di sini, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 3.45 petang itu, kereta Honda Civic yang dipandu sendirian oleh mangsa, Siti Aisyah Isa, 34, rosak dalam perjalanan mengambil anaknya di Kubang Kerian sebelum hangus.

Ibu kepada empat anak itu memberitahu, sebelum kejadian kereta berkenaan berhenti secara tiba-tiba kira-kira dua kilometer dari sekolah anaknya.

Siti Aisyah berkata, dia bernasib baik kerana tidak panik semasa bahagian enjin keretanya mengeluarkan asap dan dalam masa sama cermin hadapan kenderaannya juga turut berasap.

“Setelah itu, saya terus keluar dari kenderaan tanpa mengambil apa-apa barangan di dalam kereta kerana takut kereta meletup.

“Saya bersyukur kerana ketika itu anak-anak masih belum diambil dan saya bernasib baik kerana tidak terperangkap di dalam kereta ini,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui kelmarin.

Siti Aisyah berkata, dia hanya mampu melihat kereta yang digunakan sejak lapan tahun itu hangus dari jarak jauh sebelum mendapatkan bantuan penduduk berhampiran tempat kejadian.

Sementara itu, seorang penduduk, Mohd Firdaus Ibrahim, 18, berkata dia menyedari kejadian itu setelah mendengar seorang lelaki menjerit meminta tolong.

“Saya bersama kawan-kawan yang lain mengambil baldi dan mencuba memadam kebakaran terbabit tetapi gagal kerana api marak dengan cepat termasuk beberapa letupan berlaku,” katanya.

Sementara itu, Ketua Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Kota Bharu, Muhamad Hassan berkata, sembilan anggota dikejarkan ke tempat kejadian selepas menerima panggilan jam 4.07 petang. Jumlah kerugian dianggarkan RM55,000 dan kejadian berpunca daripada elektrik.

Sumber: sinarharian.com.my/edisi/kelantan/ibu-nyaris-rentung-kereta-terbakar-1.21414

Wednesday, February 1, 2012

Tak Sempat Bertemu Anak


SEREMBAN - Hasrat seorang warga emas yang ingin bertemu anaknya di sekitar bandar ini tidak kesampaian, apabila dia maut dilanggar sebuah kenderaan di Jalan Rasah, di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 9.15 pagi itu, mangsa, M Muniammah, 67, mati akibat dirempuh sebuah kereta sewaktu sedang melintas di jalan berkenaan.

Jurucakap polis berkata, mangsa yang berasal dari Kampung Pasir mengambil jalan mudah menyeberangi jalan besar tanpa menggunakan jejantas yang disediakan di kawasan berhampiran.

 “Mengikut siasatan awal, kita dapati mangsa mahu melintas untuk mendapatkan perkhidmatan bas di seberang jalan.

 “Namun, tindakannya itu menyebabkan sebuah kereta yang dipandu oleh seorang wanita berusia 30-an, tidak sempat mengelak, lalu merempuhnya sehingga terpelanting ke atas jalan,” katanya.

Menurutnya, mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian kerana cedera di anggota badan dan mayatnya dihantar ke Hospital Tuanku Ja’afar untuk bedah siasat.

“Bagaimanapun, pemandu kereta tidak mengalami kecederaan dan dia telah membuat laporan polis untuk tindakan lanjut,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Turus Trafik negeri, Asisten Superintendan Abdul Halil Hamzah mengesahkan menerima laporan kejadian berkenaan.

Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya sentiasa menggunakan jejantas yang disediakan untuk melintas bagi mengelak berlaku kejadian tidak diingini.

Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/melaka-ns/warga-emas-maut-lintas-jalan-1.21234

Monday, January 30, 2012

Dilanggar Disamun RM200 000







SEREMBAN 30 Jan. – Sekumpulan perompak bertindak nekad merempuh sebuah kereta mewah milik seorang pengurus stesen minyak sebelum menyamun mangsa serta melarikan wang tunai sebanyak RM200,000 di Kilometer 287 Lebuh Raya Utara-Selatan arah utara dekat sini hari ini.

Kejadian mencemaskan pukul 10.20 pagi itu berlaku ketika mangsa dalam perjalanan dari stesen minyak tempat dia bekerja di Lebuh Raya Utara Selatan Hubungan Tengah (Elite) menuju ke sebuah bank di Bandar Baru Bangi, Selangor bagi memasukkan wang hasil jualan stesen berkenaan.

Ketua Polis Daerah Nilai, Supritendan Mohd. Yusoff Awang berkata, sebaik sahaja tiba di hentian rehat dan rawat Nilai, kenderaan BMW yang dipandu mangsa tiba-tiba dilanggar sebuah kereta Toyota Lexus dari arah belakang.

“Mangsa yang mengesyaki sesuatu dengan tindakan kereta itu, tidak berhenti sebaliknya terus memandu meneruskan perjalanan.

“Namun, penjenayah terbabit terus mengejar sejauh 400 meter dan melanggar sekali lagi di tepi kereta mangsa sehingga memaksa pengurus stesen minyak itu menghentikan kenderaannya di tepi lebuh raya,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Jelasnya, dua lelaki bersenjatakan parang kemudian terus meluru ke arah mangsa yang ketika itu masih berada dalam keretanya.

“Pada masa sama, datang sebuah lagi kereta Honda Accord berwarna hitam yang dinaiki dua lagi lelaki dan terus berhenti berhampiran kereta mangsa.

“Kumpulan berkenaan kemudian mengambil wang tunai yang diletakkan di bonet kenderaan mangsa sebelum melarikan diri dengan kereta Honda Accord terbabit.

“Kereta Toyota Lexus itu yang turut mengalami kerosakan akibat rempuhan berkenaan ditinggalkan di bahu jalan lebuh raya terbabit,” ujarnya yang memberitahu kejadian berlangsung kurang lima minit.

Beliau percaya kereta Toyota Lexus yang digunakan untuk merempuh kenderaan mangsa itu adalah kenderaan curi dan hasil pemeriksaan mendapati nombor pendaftarannya palsu.

“Mangsa yang tidak mengalami sebarang kecederaan menghubungi polis untuk memohon bantuan,” katanya yang menyiasat kes itu mengikut Seksyen 395/394 samun berkawan dan bersenjata.

Tinjauan Utusan Malaysia ke lokasi kejadian mendapati pihak polis turut menggunakan khidmat unit udara helikopter bagi mengesan kereta Honda Accord berkenaan sejurus selepas insiden.

Sumber:
utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2012&dt=0131&pub=Utusan_Malaysia&sec=Muka_Hadapan&pg=mh_02.htm

Teksi Terbalik

KUALA LUMPUR: “Saya bersyukur terselamat dalam kemalangan ini walaupun teksi remuk teruk selepas melambung sebelum terseret beberapa meter di Lebuhraya Persekutuan akibat salah faham dengan laluan dikatakan penumpang,” kata Safian Hasaan, 33, mangsa kemalangan membabit sebuah teksi yang merempuh pembahagi jalan lebuh raya, pagi semalam.

Dalam kejadian jam 5 pagi itu, dia membawa seorang penumpang lelaki yang ingin ke Hotel Hilton di Petaling Jaya namun sebaik tiba di simpang menghala Lebuhraya Sprint, tiba-tiba penumpang terbabit menyuruhnya masuk ke laluan berkenaan menyebabkan dia hilang kawalan sebelum merempuh pembahagi jalan.

Safian berkata, penumpang itu menyangka dia tersalah laluan dan menyuruh masuk ke Lebuhraya Sprint sedangkan untuk ke hotel berkenaan perlu melalui laluan menghala Universiti Malaya (UM).

“Akibat salah faham itu, saya gagal mengawal kenderaan ketika cuba mengikut arahannya menyebabkan teksi saya terlanggar pembahagi jalan dan melambung sebelum terseret beberapa meter dalam keadaan terbalik.

“Malah, ketika kejadian itu, kenderaan saya turut terbakar namun mujur orang awam yang menyaksikan kejadian itu membantu memadamkan kebakaran,” katanya.


Menurutnya, sebaik api padam, dia dan penumpang terbabit dibawa keluar dan mujur hanya cedera ringan.

“Saya dibawa ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) dan dirawat sebagai pesakit luar,” katanya.

Sumber:
hmetro.com.my/articles/Padahmasuklaluanmengejut/Article

Maut pulang ke rumah



JOHOR BAHRU - Seorang lelaki maut selepas motosikal yang ditunggangnya terbabas di Jalan Skudai Kiri, di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 3.55 petang itu, mangsa, Charles G Patin, 34, dikatakan sedang dalam perjalanan pulang ke rumah dari tempat kerjanya di Singapura sebelum gagal mengawal motosikalnya, lalu terbabas dan merempuh pokok di tepi jalan.

Difahamkan, mangsa maut di tempat kejadian selepas mengalami kecederaan parah di bahagian kepala sebelum mayatnya dibawa ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) untuk bedah siasat.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara (JBU), Asisten Kominisioner Ruslan Hassan ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan berkata, mangsa yang berasal dari Sabah itu gagal mengawal motosikalnya lalu terbabas dan melanggar pokok di tepi jalan.

“Motosikal yang ditunggang mangsa itu hilang kawalan dan mengakibatkan mangsa mengalami kecederaan parah di kepala akibat rempuhan itu.

“Mayat mangsa dihantar ke HSA untuk tindakan selanjutnya dan saksi kejadian yang mempunyai maklumat berhubung kejadian diminta menghubungi pihak polis atau mana-mana balai berhampiran bagi membantu siasatan,” katanya.

Ruslan berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan orang ramai diminta tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kejadian agar tidak mengganggu siasatan pihak polis.


Sumber:
sinarharian.com.my/jenayah/maut-selepas-pulang-dari-kerja-1.20854

Sunday, January 29, 2012

Kasih ibu membawa ke mati

 tercampak 5 meter


Inalillahi wainailaihi rojiun   

Kasih ibu membawa ke mati. Itulah yang berlaku kepada seorang wanita kepada empat anak yang sanggup keluar berjalan kaki semata-mata mahu mencari dua anaknya yang tidak pulang ke rumah hingga lewat malam.

MELAKA 28 Jan. - Seorang wanita yang berjalan kaki bersendirian ketika keluar mencari anaknya yang tidak pulang-pulang dari bermain futsal ditimpa malang apabila mati dilanggar sebuah kereta di Jalan Tun Teja, Cheng di sini awal pagi ini.

Samad Saliman di samping mayat Rosmariah Mohamad 
yang menjadi mangsa langgar lari di Melaka


Lebih menyedihkan mayat mangsa, Rosmariah Mohamad, 34, yang tercampak kira-kira lima meter ke dalam longkang berhampiran hanya ditemui orang ramai kira-kira pukul 8 pagi.

Malah, suami mangsa langsung tidak mengetahui kejadian menimpa isterinya dan hanya menyedari Rosmariah tiada di rumah sewaktu terjaga dari tidur kira-kira pukul 4 pagi.

Suami mangsa, Samad Saliman, 38, berkata, isterinya dipercayai keluar dari rumah mereka di Rumah Pangsa Cheng Mutiara bagi mencari dua anak lelaki mereka, Mohamad Shazurin Farhan, 15, dan Mohamad Shazrul Fahmi, 12, yang tidak balik-balik daripada bermain futsal di sebuah gelanggang tidak jauh dari rumah mereka.

"Kira-kira pukul 12.30 tengah malam, isteri saya keluar dari rumah mencari kedua-dua anak yang keluar sejak pukul 10.30 malam.

"Selepas dia keluar, saya terus tertidur dan apabila terjaga, saya menyedari isteri saya tiada. Puas saya cari di gelanggang futsal yang terletak kira-kira 500 meter dari rumah, tetapi gagal menemuinya," katanya ketika ditemui pemberita di tempat kejadian di sini hari ini.

Katanya, kedua-dua anaknya juga memberitahu tidak berjumpa dengan ibu mereka sewaktu bermain futsal.

Bagaimanapun, kata Samad, kira-kira pukul 8 pagi ini, penduduk berhampiran kecoh berikutan penemuan mayat di dalam longkang bersebelahan jalan tidak jauh dari rumah mereka.

"Mulanya saya tidak syak apa-apa dan apabila pergi ke tempat kejadian saya terkejut melihat mayat terbujur di dalam longkang itu adalah isteri saya.

"Luluh hati saya melihat mayat isteri saya yang mengalami kecederaan parah di kepala," katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Supritendan Muhammad Koey Abdullah berkata, kemalangan yang menimpa Rosmariah itu diklasifikasikan sebagai langgar lari.

Menurutnya, berdasarkan penemuan cermin sisi sebuah kenderaan dan dahan-dahan pokok yang patah di tempat kejadian, disyaki sebuah kenderaan melanggar wanita itu sehingga mangsa tercampak ke dalam longkang.

"Mangsa dipercayai terpelanting ke pokok seterusnya ke pagar berhampiran sebelum masuk ke dalam longkang. Mangsa mengalami kecederaan parah di kepala," katanya.

Ujarnya, kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Al-Fatihah



Sumber:
utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2012&dt=0129&pub=Utusan_Malaysia&sec=Dalam_Negeri&pg=dn_20.htm
bharian.com.my/articles/Anaksangkaibutidurdalambilik/Article
kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2012&dt=0129&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_02.htm

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Headlines

FeedBurner FeedCount

Blogged.my