Saturday, October 26, 2013

Pelajar tingkatan satu maut ke sekolah



Inalillahi wainailaihi rojiun

26 Oktober 2013
SABAK BERNAM – Seorang pelajar tingkatan satu maut manakala rakannya cedera parah apabila motosikal dinaiki mereka merempuh sebuah kereta Perodua Myvi di simpang tiga Jalan Masduki Sungai Air Tawar, pagi kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 7.15 pagi itu, mangsa yang juga pembonceng motosikal, Muhammad Azmi Mohd Husin, 13, cedera parah sebelum disahkan meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di Pusat Kesihatan Parit Baru.

Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintendan Noor Mushar Muhammad berkata, rakannya yang juga penunggang motosikal, Azri Mohd Malik, 17, cedera parah dan dikejarkan ke Hospital Klang bagi menjalani rawatan lanjut.

“Kedua-dua pelajar yang beralamat di Rumah Kelompok Sungai Apong, Sungai Air Tawar itu dipercayai dalam perjalanan ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Munshi Abdullah,” katanya.

Menurutnya, kejadian berlaku apabila penunggang motosikal gagal mengawal kenderaannya ketika membelok ke kanan sebaik keluar dari simpang tiga itu sebelum merempuh bahagian cermin sisi sebelah kanan kereta terbabit.

“Penunggang yang berada di belakang Produa Myvi yang ketika itu menghala ke Jalan Haji Arshad tidak sempat membrek lalu merempuh kenderaan tersebut sebelum kedua-duanya tercampak akibat rempuhan kuat itu,” katanya kepada Sinar Harian.

Noor Mushar berkata, pembonceng motosikal yang mengalami kecederaan teruk di bahagian kepala meninggal dunia di Pusat Kesihatan Parit Baru dan dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Jemaah (HTAJ) untuk bedah siasat.

Sementara itu katanya, pemandu kereta terbabit yang juga seorang guru beralamat di Lorong Zaini Jalan bahagia Parit Baru tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Punca sebenar kemalangan masih dalam siasatan dan polis menyiasat kes ini di bawah Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.

Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/selangor-kl/tragedi-maut-ke-sekolah-1.214621



Doktor maut rempuh jejantas



Inalillahi wainailaihi rojiun

26 Oktober 2013
MARANG – Seorang doktor maut apabila kereta jenis BMW dipandunya hilang kawalan dan merempuh jejantas di Kilometer 8 Jalan Kuala Terengganu-Kuala Berang berhadapan Klinik Kesihatan Bukit Payung, di sini, awal pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 1 pagi itu, mangsa, Mohd Ramli Muda, 57, yang memandu kereta bersendirian, dipercayai sedang dalam perjalanan menuju ke Kuala Terengganu dari arah Ajil, Hulu Terengganu.

Susulan kemalangan tersebut, sepasukan lima anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Wakaf Tapai, di sini, bergegas ke tempat kejadian dan mendapati, mangsa tersepit di bahagian tempat duduk pemandu.

Mohd Ramli yang menguruskan sebuah klinik di Chabang Tiga, Kuala Terengganu, disahkan menghembuskan nafas terakhir di tempat kejadian selepas dikeluarkan pasukan penyelamat daripada kenderaan.

Ketua Polis Daerah Marang, Deputi Superintendan Ahmad Mazlan Yahaya yang mengesahkan kejadian itu berkata, siasatan awal mendapati mangsa hilang kawalan sebelum terbabas dan merempuh jejantas tersebut.

“Mangsa yang meninggal dunia di tempat kejadian, kemudiannya dihantar ke Hospital Sultanah Nur Zahirah Kuala Terengganu untuk bedah siasat,” katanya.

Difahamkan, jenazah mangsa yang merupakan seorang peminat kereta mewah dan memiliki sebuah Ferrari, dituntut ahli keluarga dan dikebumikan di Kuala Terengganu.

Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/terengganu/doktor-maut-rempuh-jejantas-1.214605





Thursday, October 24, 2013

Padah mengejar lampu isyarat



25 Oktober 2013
TEPUH - TERENGGANU. Gara-gara kegagalan seorang pemandu lori pembancuh simen mengawal kenderaan yang dipandunya, empat kenderaan menjadi mangsa langgar di persimpangan lampu isyarat Pejabat Felda Wilayah Terengganu, di sini, semalam.

Berikutan kejadian yang dipercayai berlaku kira-kira jam 1 tengah hari itu, keempat-empat kenderaan yang sedang berhenti di lampu isyarat berkenaan rosak teruk selepas dilanggar dari arah belakang.

Menurut seorang saksi yang hanya ingin dikenali sebagai Ahmad, kemalangan berlaku apabila lori pembancuh simen itu gagal berhenti di lampu isyarat tersebut.

“Saya percaya lori itu dipandu laju dan gagal dikawal ketika ingin mengejar lampu isyarat.

“Malah, disebabkan muatan berat yang dibawanya, lori berkenaan tidak boleh membrek secara tiba-tiba kerana ia lebih membahayakan,” katanya.

Kata Ahmad, akibat kemalangan itu juga laluan utama Kuala Terengganu-Kota Bharu mengalami kesesakan yang agak teruk.

Bagaimanapun, Sinar Harian difahamkan, tiada sebarang kemalangan jiwa berlaku, namun beberapa penumpang dan pemandu kenderaan terlibat dilaporkan mengalami kecederaan ringan.

Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/terengganu/lori-bancuh-simen-rempuh-empat-kenderaan-1.214218



Penumpang pacuan empat roda maut



Inalillahi wainailaihi rojiun

25 Oktober 2013
KUANTAN - Seorang penumpang sebuah kenderaan pacuan empat roda maut manakala dua rakannya cedera selepas kenderaan dinaiki mereka bertembung dengan sebuah lori di Kilometer 10, Jalan Triang-Temerloh dekat Temerloh, pagi kelmarin.

Dalam kemalangan kira-kira jam 7.10 pagi itu, mangsa, Azli Ismail, 33, berasal dari Felda Sungai Retang, Jerantut disahkan meninggal dunia di tempat kejadian selepas mengalami cedera parah di kepala dan badan.

Pemangku Pegawai Turus Trafik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang, Asisten Superintendan Zainalabidin Othman berkata,  kenderaan yang dinaiki tiga lelaki itu dalam perjalanan dari arah Triang menghala ke Temerloh.

Menurutnya, ketika sampai di tempat kejadian, sebuah lori dari arah bertentangan dipercayai hilang kawalan termasuk ke laluan kenderaan dinaiki mangsa sebelum bertembung.

“Akibat pertembungan itu, mangsa yang duduk di bahagian penumpang hadapan, mati di tempat kejadian akibat parah di kepala dan badan,” katanya di sini, semalam.

Al-Fatihah

Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/pahang/penumpang-pacuan-empat-roda-maut-nahas-1.214226




Warga emas parah langgar treler



25 Oktober 2013
BUKIT TINGGI – Seorang pemandu treler terkejut mendengar bunyi seakan tayar meletup di bahagian belakang kenderaan dipandunya dalam kejadian kemalangan di Kilometer 47.2 Lebuhraya Karak-Kuala Lumpur berhampiran persimpangan Berjaya Hills kira-kira jam 2.20 pagi semalam.

Pemandu lori berusia 55 tahun itu berkata, ketika kejadian dia dalam perjalanan dari Padang Tengku, Lipis ke Kuala Lumpur.

Katanya, setibanya di tempat kejadian dia mendengar bunyi dari belakang trelernya.

“Saya memberhentikan lori dan melihat ke belakang.

“Saya terkejut kerana sebuah van melanggar sebelah kanan lori dan penumpang hadapan tersepit,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Balai Bomba dan Penyelamat Bentong, Zainal Abidin Nong Chik berkata, pihaknya menerima panggilan telefon kira-kira jam 2.31 pagi.

Menurutnya, lapan anggota dan satu jentera bomba bergegas ke tempat kejadian.

“Setibanya di tempat kejadian, kami dapati penumpang hadapan sebelah pemandu tersepit di bahagian kaki.

“Kami ambil masa lebih kurang tujuh minit untuk keluarkan mangsa dan dihantar ke Hospital Bentong untuk menerima rawatan,” katanya.

Manakala Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Mohamad Mansor Mohd Nor berkata, dalam kejadian itu, van dipercayai cuba mengelak treler yang berada di lorong kiri namun gagal, lalu terlanggar penjuru kanan treler.

Katanya, pemandu van cedera di bahagian mata kanan dan tangan kiri manakala penumpang hadapan berusia 61 tahun cedera parah di bahagian kaki dan dirawat di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah.

Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/pahang/warga-emas-parah-langgar-treler-1.214232



Wednesday, October 23, 2013

Seperti tahu ajal akan tiba



Inalillahi wainailaihi rojiun

23 Oktober 2013
PONTIAN - Sikap seorang anak yang secara tiba-tiba memberikan wang gaji sebanyak RM3,000 kepada ibu untuk disimpan pada Sabtu lalu, seolah-olah merasakan ajalnya dekat.

Itu luahan, Fatimah Pelilik, 63, ibu kepada Mohd Rasul Abd Talib, 28, setelah anak lelakinya itu maut dalam kemalangan jalan raya di kilometer 35.1 Jalan Johor Bahru–Batu Pahat berhampiran Masjid Jamek Pulai Sebatang, awal pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 6.30 pagi itu, mangsa dalam perjalanan pulang ke rumah dari tempat kerja di Kempas, Johor Bahru, maut di tempat kejadian.

Kejadian berlaku apabila motosikal ditunggangnya dari arah Pontian-Benut dipercayai bertembung dengan sebuah kereta di lokasi kejadian.

Fatimah berkata, anak kelima daripada enam beradik itu memberikan wang gajinya untuk disimpan supaya dapat digunakan apabila diperlukan kelak.

“Pada mulanya, makcik berasa hairan kerana arwah memberikan wang begitu banyak kepada makcik untuk disimpan.

“Tetapi selepas diberitahu arwah yang mahukan wang itu disimpan, makcik akur dan menerimanya,” katanya.

Jelasnya, arwah tidak menunjukkan sebarang perubahan sikap dan sentiasa memberitahu ibu dan bapanya jika hendak keluar bekerja.

Sementara itu, bapa arwah, Abdul Talib Klabek, 75, berkata, mereka sekeluarga sedih dengan pemergian anak lelakinya itu yang sentiasa ringan tulang membantu dari segi kewangan.

“Walaupun jauh, arwah sanggup berulang alik setiap hari dari tempat kerjanya ke rumah di Parit Panjang Pontian, dengan menaiki motosikal sejak dua tahun lalu.

“Arwah bekerja mengikut shift dan tidak menentu.Ada kalanya dia terpaksa bekerja malam," katanya ketika ditemui di rumahnya, semalam.

Abdul Talib berkata, dia mengetahui mengenai kemalangan yang menimpa anaknya itu selepas diberitahu anak bongsunya Mohd Nor Hisham, 23, ketika sedang berehat di ruang tamu rumah, pada kira-kira jam 7 pagi semalam.

“Pakcik reda dengan pemergian arwah dan berterima kasih kepada semua penduduk kampung yang menguruskan pengebumian jenazah di Tanah Perkuburan Islam Ayer Baloi, selepas solat  Zohor,” jelasnya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Pontian, Superintenden Zahaliman Jamin ketika dihubungi mengesahkan kejadian.
Katanya, pemandu kereta Iswara, lelaki berusia lingkungan 40an tidak cedera.

Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/johor/seperti-tahu-ajal-dekat-1.213603



Sempat ajar mengucap



Inalillahi wainailaihi rojiun

23 Oktober 2013
BATU GAJAH – Seorang penduduk sempat mengajar mengucap kepada mangsa kemalangan yang masih terbaring di belakang lori dengan motosikalnya terlekat di bucu lori dalam satu kejadian di Jalan Lumut-Ipoh berhampiran Kampung Tersusun Seri Khantan di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 11 pagi itu, Fauzi Kamaruddin, 46, berkata, dia terkejut apabila terdengar bunyi dentuman kuat yang disangkanya tayar lori pecah di hadapan rumahnya ketika sedang berehat.

“Bila keluar, saya nampak lelaki ini terjatuh tapi motosikalnya melekat di bawah lori. Saya sempat ajarnya mengucap sementara menunggu ambulans sampai, namun mangsa meninggal tidak lama selepas itu.

“Saya mengandaikan dia tidak sempat mengelak lori berikutan sebelum itu, banyak lori lalu lalang melalui jalan itu. Lagipun, lori mengangkut sawit biasa pakir depan rumah kerana ada pejabat berhampiran sini,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian di sini, semalam.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Batu Gajah, Asisten Komisioner Shaharon Anuar Abd Latif berkata, mangsa Mohd Fadzhilah Azizi, 28, yang berasal dari Changkat Sodang, Seri Iskandar menunggang motosikal sendirian dalam perjalanan menghala ke Ipoh.

Menurutnya, hentaman kuat di bucu belakang lori berkenaan menyebabkan mangsa cedera parah di kepala dan meninggal dunia di tempat kejadian.

“Siasatan awal mendapati mangsa berkemungkinan tidak perasan lori yang diletakkan di bahu jalan lalu langgar tepat bucu belakang dan tersangkut di bawah lori. Ketika kejadian, pemandu lori tidak berada dikenderaannya,” katanya.

Katanya, mayat mangsa kemudiannya dihantar ke Hospital Batu Gajah untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Al-Fatihah

Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/sempat-ajar-mengucap-1.213583



69 penumpang bas ekspres nyaris maut



23 Oktober 2013
BENTONG – Seramai 69 penumpang bas ekspres berdepan detik cemas apabila bas yang dinaiki terlibat dalam kemalangan di Kilometer 10.4 Jalan Bentong-Raub kira-kira jam 4.40 pagi semalam.

Dalam kejadian itu bas dua tingkat dalam perjalanan dari Kota Bharu ke Kuala Lumpur dipercayai hilang kawalan lalu merempuh sebuah hilux dari arah bertentangan.

Pemandu bas berusia 45 tahun patah kaki kanan manakala pemandu Hilux berusia 26 tahun pula berada dalam keadaan kritikal kini sedang dirawat di Hospital Kuala Lumpur (HKL).


Dua pemandu tersepit

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bentong, Zainal Abidin Nong Chik berkata, pihaknya menerima panggilan telefon kira-kira jam 4.46 pagi memaklumkan kejadian itu.

Katanya, lapan anggota dan dua jentera bergegas ke tempat kejadian bagi menjalankan operasi menyelamat.

“Setibanya di tempat kejadian terdapat dua mangsa sedang tersepit di dalam kenderaan masing-masing. iaitu pemandu Hilux dan pemandu bas.

“Pemandu Hilux tersepit di bahagian badan dan kaki mengambil masa 20 minit untuk dikeluarkan dari kenderaan,” katanya.

Zainal Abidin berkata, pemandu bas pula tersepit di bahagian kaki hingga ke paras peha menyebabkan beberapa bahagian hadapan bas termasuk stereng terpaksa dipotong bagi mengeluarkannya.

Katanya, pihaknya mengambil masa selama 25 minit untuk mengeluarkan pemandu bas memandangkan keadaan bas terperosok ke tepi bukit.

“Kebanyakan penumpang bas keluar dari bas itu menggunakan pintu kecemasan di bahagian tengah untuk menyelamatkan diri.

“Berdasarkan maklumat diterima bas dua tingkat itu dinaiki seramai 69 orang dalam perjalanan dari Kota Baharu ke Kuala Lumpur,” katanya.

Zainal Abidin berkata, operasi menyelamat selesai kira-kira jam 6.20 pagi.


Bas 'makan jalan'

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Mohamad Mansor Mohd Nor berkata, ketika kejadian berlaku, bas dua tingkat itu dalam perjalanan dari arah Raub ke Bentong.

Katanya, semasa tiba di tempat kejadian bas yang dipandu pemandu berusia 45 tahun beralamat di Pasir Puteh, Kelantan  dipercayai ‘makan jalan’ laluan bertentangan dan kemudiannya hilang kawalan seterusnya melanggar Hilux.

“Hilux yang dipandu Mohd Azwan Md Yahya, 27, beralamat di Felda Mempaga Satu, Bentong kemudiannya cuba mengelak bas terbabit ke sebelah kiri namun gagal,” katanya.

Mohamad Mansor berkata, dalam kemalangan itu, Mohd Azwan menerima rawatan di Hospital Bentong sebelum dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk menerima rawatan susulan.

Katanya, pemandu lori pula hanya patah kaki dan kini dirawat di Hospital Bentong.

“Semua penumpang terselamat dalam kejadian itu. Semasa kejadian berlaku cuaca gelap dan jalan basah.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.


Tendang pintu kecemasan

Seorang penumpang, Mohd Zain Jaafar, 46, berkata, semasa kejadian berlaku dia sedang tidur tetapi terjaga apabila terdengar dentuman kuat disusuli asap di bahagian hadapan.

Katanya, pada masa itu terdengar jeritan dan suasana mula bertukar menjadi kelam-kabut kerana penumpang cuba menyelamatkan diri untuk keluar dari bas.

“Suasana agak kelam kabut memandangkan enjin bas sudah mati menyebabkan pintu kecemasan tidak boleh dibuka.

“Saya dan beberapa penumpang terpaksa menendang pintu kecemasan di bahagian belakang tepi kanan hampir 10 minit sebelum ia berjaya dibuka,” katanya.

Mohd Zain berkata, ada penumpang bertindak terjun menggunakan pintu kecemasan di bahagian belakang dan sebahagian besar menggunakan pintu kecemasan bahagian tengah tingkat bawah untuk keluar.


Lega terselamat

Sementara itu, Sarihah Safie, 44, hanya mampu mengucapkan kata-kata syukur atas insiden yang berlaku kerana dia dan anak perempuannya berusia dua tahun terselamat.

Katanya, ketika kejadian dia duduk di kerusi nombor dua di tingkat atas.

“Sebelum kejadian itu, saya ada mendengar bunyi yang cukup kuat dan dalam masa sama saya nampak Hilux sudah berada di hadapan bas.

“Pada masa itu saya hanya memikirkan soal kematian kerana terlalu takut namun sempat mendukung anak untuk keluar dari bas menggunakan pintu kecemasan,” katanya.


Bimbang bas masuk gaung

Seorang lagi penumpang, Huzaifah Nasir, 27, berkata, kebanyakan penumpang bersyukur kerana bas tidak masuk ke dalam gaung yang berada di sebelah kiri jalan.

Katanya, pada awalnya mereka semua tidak mengetahui struktur jalan di kawasan itu namun mengetahui sebelah kiri jalan adalah gaung selepas turun menyelamatkan diri dari bas.

Manakala warga emas, Minah Yusoff, 62, berkata, ketika kejadian dia duduk di bahagian belakang pemandu.

Katanya, selepas kejadian kemalangan itu berlaku, dia melihat sendiri pemandu bas terkulai sambil mengerang kesakitan.

“Saya dengar pemandu bas mengerang kesakitan kerana kakinya tersepit.

“Semasa berada di dalam bas saya membayangkan bas melanggar tembok tetapi selepas turun dari bas baru dapat lihat situasi sebenar,” katanya.

Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/pahang/69-penumpang-bas-ekspres-nyaris-maut-1.213515





Tuesday, October 22, 2013

Pajero MADA Terhumban Dalam Sungai


21 Oktober 2013
JITRA: Seorang juruteknik awam Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (Mada) dikhuatiri lemas apabila pacuan empat roda yang dinaikinya terhumban ke dalam sungai ketika mengelak seorang kanak-kanak yang melintas jalan di Kampung Telaga Batu, Sungai Korok, di sini, Isnin.

Wan Mohd Azri Wan Mansor, 25, dikatakan dalam perjalanan dari Jitra ke Kubang Sepat untuk melawat tapak Mada di sana pada pukul 9.45 pagi dengan menaiki sebuah Pajero yang dipandu seorang kontraktor, Adnan Ahmad, 44.

Bagaimanapun, ketika melalui jalan itu, seorang kanak-kanak lima tahun cuba melintas jalan, menyebabkan kenderaan itu mengelak lalu terhumban ke dalam sungai.

Rakan mangsa, Mohd Hasril Firdaus Hashim, 30, berkata beliau dimaklumkan bahawa rakannya dan pemandu kenderaan itu berjaya keluar daripada kereta dan cuba berpaut pada Pajero itu tetapi air sungai deras menyebabkan mereka dibawa arus.

Pada awalnya, pemandu kenderaan itu cuba menyelamatkan Wan Mohd Azri tetapi air deras yang disebabkan hujan menggagalkan usaha itu.

"Dia tak tahu berenang jadi orang ramai yang menyedari kejadian itu cuba membantu dengan menghulurkan buluh, tetapi dia gagal untuk berpaut," katanya.





Ketua Operasi Balai Bomba Jitra, Mohammad Darus berkata pihaknya menerima panggilan pada pukul 9.59 pagi dan sebuah bot dengan tujuh anggota dihantar untuk operasi mencari dan menyelamat.

"Unit skuba juga telah dipanggil untuk membantu mencari mangsa kerana kami bimbang mangsa ditindih oleh kenderaan yang dinaikinya. Kami juga telah minta kerjasama pihak Mada untuk menutup saliran air dari pintu B dan C sepanjang tiga kilometer bagi mengesan mangsa.

"Kira-kira pukul empat petang tadi, kenderaan Pajero yang terhumban ke dalam sungai telah dijumpai kira-kira 100 meter daripada tempat kejadian tetapi mangsa belum dijumpai. Operasi mencari ditamatkan pada pukul 6 petang ini dan akan disambung semula esok," katanya.

Pemandu dan kanak-kanak yang terlibat dalam kejadian itu dihantar ke Hospital Jitra untuk rawatan. - BERNAMA

Sumber:
mstar.com.my
yahoo.com
tv9.com.my
facebook.com


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Headlines

FeedBurner FeedCount