Wednesday, October 23, 2013

Seperti tahu ajal akan tiba



Inalillahi wainailaihi rojiun

23 Oktober 2013
PONTIAN - Sikap seorang anak yang secara tiba-tiba memberikan wang gaji sebanyak RM3,000 kepada ibu untuk disimpan pada Sabtu lalu, seolah-olah merasakan ajalnya dekat.

Itu luahan, Fatimah Pelilik, 63, ibu kepada Mohd Rasul Abd Talib, 28, setelah anak lelakinya itu maut dalam kemalangan jalan raya di kilometer 35.1 Jalan Johor Bahru–Batu Pahat berhampiran Masjid Jamek Pulai Sebatang, awal pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 6.30 pagi itu, mangsa dalam perjalanan pulang ke rumah dari tempat kerja di Kempas, Johor Bahru, maut di tempat kejadian.

Kejadian berlaku apabila motosikal ditunggangnya dari arah Pontian-Benut dipercayai bertembung dengan sebuah kereta di lokasi kejadian.

Fatimah berkata, anak kelima daripada enam beradik itu memberikan wang gajinya untuk disimpan supaya dapat digunakan apabila diperlukan kelak.

“Pada mulanya, makcik berasa hairan kerana arwah memberikan wang begitu banyak kepada makcik untuk disimpan.

“Tetapi selepas diberitahu arwah yang mahukan wang itu disimpan, makcik akur dan menerimanya,” katanya.

Jelasnya, arwah tidak menunjukkan sebarang perubahan sikap dan sentiasa memberitahu ibu dan bapanya jika hendak keluar bekerja.

Sementara itu, bapa arwah, Abdul Talib Klabek, 75, berkata, mereka sekeluarga sedih dengan pemergian anak lelakinya itu yang sentiasa ringan tulang membantu dari segi kewangan.

“Walaupun jauh, arwah sanggup berulang alik setiap hari dari tempat kerjanya ke rumah di Parit Panjang Pontian, dengan menaiki motosikal sejak dua tahun lalu.

“Arwah bekerja mengikut shift dan tidak menentu.Ada kalanya dia terpaksa bekerja malam," katanya ketika ditemui di rumahnya, semalam.

Abdul Talib berkata, dia mengetahui mengenai kemalangan yang menimpa anaknya itu selepas diberitahu anak bongsunya Mohd Nor Hisham, 23, ketika sedang berehat di ruang tamu rumah, pada kira-kira jam 7 pagi semalam.

“Pakcik reda dengan pemergian arwah dan berterima kasih kepada semua penduduk kampung yang menguruskan pengebumian jenazah di Tanah Perkuburan Islam Ayer Baloi, selepas solat  Zohor,” jelasnya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Pontian, Superintenden Zahaliman Jamin ketika dihubungi mengesahkan kejadian.
Katanya, pemandu kereta Iswara, lelaki berusia lingkungan 40an tidak cedera.

Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/johor/seperti-tahu-ajal-dekat-1.213603



No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Headlines

FeedBurner FeedCount