loading...

Saturday, October 26, 2013

Pelajar tingkatan satu maut ke sekolah



Inalillahi wainailaihi rojiun

26 Oktober 2013
SABAK BERNAM – Seorang pelajar tingkatan satu maut manakala rakannya cedera parah apabila motosikal dinaiki mereka merempuh sebuah kereta Perodua Myvi di simpang tiga Jalan Masduki Sungai Air Tawar, pagi kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 7.15 pagi itu, mangsa yang juga pembonceng motosikal, Muhammad Azmi Mohd Husin, 13, cedera parah sebelum disahkan meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di Pusat Kesihatan Parit Baru.

Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintendan Noor Mushar Muhammad berkata, rakannya yang juga penunggang motosikal, Azri Mohd Malik, 17, cedera parah dan dikejarkan ke Hospital Klang bagi menjalani rawatan lanjut.

“Kedua-dua pelajar yang beralamat di Rumah Kelompok Sungai Apong, Sungai Air Tawar itu dipercayai dalam perjalanan ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Munshi Abdullah,” katanya.

Menurutnya, kejadian berlaku apabila penunggang motosikal gagal mengawal kenderaannya ketika membelok ke kanan sebaik keluar dari simpang tiga itu sebelum merempuh bahagian cermin sisi sebelah kanan kereta terbabit.

“Penunggang yang berada di belakang Produa Myvi yang ketika itu menghala ke Jalan Haji Arshad tidak sempat membrek lalu merempuh kenderaan tersebut sebelum kedua-duanya tercampak akibat rempuhan kuat itu,” katanya kepada Sinar Harian.

Noor Mushar berkata, pembonceng motosikal yang mengalami kecederaan teruk di bahagian kepala meninggal dunia di Pusat Kesihatan Parit Baru dan dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Jemaah (HTAJ) untuk bedah siasat.

Sementara itu katanya, pemandu kereta terbabit yang juga seorang guru beralamat di Lorong Zaini Jalan bahagia Parit Baru tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Punca sebenar kemalangan masih dalam siasatan dan polis menyiasat kes ini di bawah Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.

Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/selangor-kl/tragedi-maut-ke-sekolah-1.214621



No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Headlines

FeedBurner FeedCount

Blogged.my