loading...

Friday, January 3, 2014

Pelajar Diniah Maut Terseret 20 Meter



Inalillahi wainailaihi rojiun

4 Januari 2014
BALING - Seorang pelajar Sekolah Menengah Agama Diniah, Kupang, menjadi korban pertama kemalangan maut 2014.

Mangsa, Qiamudin Abdullah, 15, dari Kampung Landak Hilir maut setelah terbabas di Jalan Baru Grik- Kupang berdekatan Kampung Landak Bukit kira-kira jam 1.35 petang, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Baling, Superintendan Mat Daud Mat Hassan berkata, mangsa menunggang motosikal dan dalam perjalanan pulang ke rumahnya.

Menurutnya, mangsa cuba memintas sebuah kenderaan namun terbabas mengakibatkan mangsa terjatuh dan terseret lebih 20 meter.

“Akibat kejadian itu, mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan badan selain disahkan maut di tempat kejadian,” katanya kepada Sinar Harian.

Anak keempat daripada enam beradik itu dikatakan baru sahaja dilantik sebagai pengawas sekolah tersebut dan merupakan pelajar yang baik dan pintar.

Sementara itu, bapa mangsa, Abdullah Hamad, 53, berkata, dia terkejut setelah menerima panggilan mengenai anaknya yang terlibat dalam kemalangan.

“Selalunya, saya larang dia keluar, tapi, kali ini dia keluar juga,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

Bagaimanapun, dia reda dengan keadaan itu dan menganggapnya sebagai ujian ALLAH SWT kepada keluarganya.

“Dia anak yang rajin dan baik malah amat disenangi oleh rakan-rakannya,” katanya.

Mat Daud berkata, mayat mangsa kemudiannya dihantar ke Hospital Baling sebelum dituntut oleh ahli keluarga.

“Difahamkan, terdapat rakan mangsa berada di kawasan itu semasa kejadian, justeru, kita berharap rakan mahupun saksi lain dapat tampil untuk bantu siasatan,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan kerana memandu sehingga mengakibatkan kematian.


Sumber:
http://www.sinarharian.com.my/edisi/utara/remaja-terseret-lebih-20-meter-1.237010



Pesara maut nahas


Inalillahi wainailaihi rojiun

4 Januari 2014
SIMPANG PULAI - Seorang penumpang maut, manakala sepasang suami isteri parah apabila dua kereta bertembung antara satu sama lain di Jalan Raja Dr Nazrin Shah berhampiran Taman Sungai Raya di sini, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 10.55 pagi itu, mangsa, Abd Ghaffar Yeop Abd Ghani, 77, menaiki kereta jenis Proton Saga yang dipandu adik tirinya, Zainal Abidin Md Zain, 62.

Ketua Bahagian Ketenteraman Awam dan Trafik Daerah, Deputi Superintendan Wan Sharuddin Wan Omar berkata, kedua-dua beradik yang berasal dari Kampung Kepayang dipercayai dalam perjalanan dari Pejabat Pos Simpang Pulai ke Pejabat Pos Gopeng.

“Tibanya di lokasi kejadian, kereta jenis Proton Wira yang dinaiki pasangan suami isteri berusia 25 dan 24 tahun itu dipercayai telah memasuki laluan mangsa.

“Pertembungan berlaku menyebabkan ketiga-ketiga mangsa mengalami cedera parah. Manakala, Zainal Abidin terselamat daripada kesan pertembungan itu,” katanya.

Menurutnya, ketiga-tiga mangsa yang dibantu keluar oleh orang ramai dan anggota bomba dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun untuk rawatan lanjut.

Bagaimanapun, Wan Sharuddin berkata, selepas lima jam mendapat rawatan, Abd Ghaffar yang merupakan pesara kerajaan disahkan meninggal dunia kira-kira jam 3.34 petang.

“Mayat mangsa kemudian dihantar ke unit forensik untuk bedah siasat dan punca kematian disebabkan kecederaan di bahagian dada dan telah dituntut ahli keluarga.

“Ketika kejadian, keadaan jalan dua hala dan dua lorong itu lurus serta  keadaan cuaca baik,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sumber:
http://www.sinarharian.com.my/edisi/perak/seorang-pesara-maut-nahas-1.236921



Berpantang maut sebelum ajal


3 Januari 2014

KUCHING Kuching: Seorang peniaga ikan berdepan detik mencemaskan apabila terperangkap dalam kenderaannya yang dihempap kepala treler yang hilang kawalan dalam kejadian di Jalan Keruing, di sini, hari ini.

Dalam kemalangan 11.30 pagi membabitkan tiga kenderaan, Proton Saga, Perodua Viva dan treler itu menyebabkan jalan ke Bako terpaksa ditutup kerana kontena kosong yang dibawa treler terbabit jatuh menghalang jalan.

Difahamkan, dalam kejadian itu, treler yang dipandu Charlwck Anuar, 32, hilang kawalan selepas bergesel dengan sebuah lori ketika membelok di lampu isyarat dan melanggar tiang lampu di pembahagi jalan sebelum terbabas ke laluan bertentangan.

Treler terbabit yang terbabas ke laluan bertentangan menghempap sisi kanan dan depan Proton Saga yang dipandu Yusof Zaini, 64, serta satu Perodua Viva milik Abdul Rahman Semaon, 41.

Kejadian itu menyebabkan Yusof terperangkap dalam kereta dan berjaya dikeluarkan dengan bantuan orang ramai yang menyaksikan kejadian.


Sumber:
http://www.hmetro.com.my/articles/Jikabelumajal//Article?BeritaUtama



Maut digilis bas dan lori


3 Januari 2014

HULU BERNAM – Seorang lelaki maut digilis selepas motosikal yang dinaikinya terbabas dan dilanggar kenderaan lain di Kilometer 407.5 dekat Lembah Beringin, malam kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 9 malam itu, mangsa yang masih belum dikenali identitinya menunggang bersendirian dari arah Utara ke Selatan digilis bas dan lori yang melalui kawasan itu.

Saksi kejadian, Nurul Hana Abdul Hamid, 28, berkata, dia mengekori sebuah kereta di depan yang membrek secara tiba-tiba dan mengelak sesuatu.

"Saya pun ikut mengelak sebelum menyedari ada orang sedang terbaring di tengah jalan bersama motosikalnya.

"Namun tak lama selepas itu, lelaki itu pula digilis sebuah kenderaan berat," katanya.

Sementara Elias Ismail, 39, berkata, dia tidak menyedari terdapat motosikal di tengah jalan berikutan kawasan yang gelap.

"Masa itu kereta saya menyeret motosikal terbabit hingga ke bahu jalan," katanya.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Shukri Yaakob berkata, kemalangan tersebut melibatkan sebuah motosikal dan beberapa kenderaan yang dipercayai menggilis mangsa.

“Motosikal ditunggang mangsa didapati telah hilang kawalan dan terbabas sebelum penunggangnya dilanggar beberapa kenderaan lain.

"Mangsa maut akibat cedera parah di anggota badan dibawa ke Hospital Kuala Kubu Bahru (HKKB)," katanya.

Sumber:
http://www.sinarharian.com.my/edisi/selangor-kl/maut-digilis-1.236766



Kereta rempuh pejabat JKM




3 Januari 2014

LEDANG - Suasana tenang pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah Ledang di Jalan Ab Ghani, di sini, bertukar kecoh apabila sebuah kereta dipandu seorang wanita tiba-tiba terbabas dan merempuh pintu hadapan bangunan berkenaan, kelmarin.

Kejadian kira-kira jam 10 pagi itu mengejutkan 12 kakitangan dan tiga pelanggan yang sedang berurusan di jabatan terbabit, sebelum lari menyelamatkan diri.

Susulan pelanggaran itu, pintu kaca bahagian kanan pejabat yang menempatkan ruang rehat dan makan pecah, manakala hadapan kereta terbabit memasuki ruang premis berkenaan.

Pegawai Kebajikan Masyarakat Ledang, Ab Gani Ab Bakar berkata, beliau terdengar bunyi dentuman kuat semasa berada di tingkat atas pejabat seterusnya segera turun ke tingkat bawah untuk mengetahui perkara sebenar.

“Pada mulanya, saya sangka bunyi tembakan, tetapi terkejut lihat kaca berselerakan dan sebuah kereta Produa Myvi rempuh pintu pejabat.

“Mujur semasa kejadian tiada kakitangan yang berada dalam bilik itu kerana mereka bersarapan lebih awal berbanding kebiasaannya iaitu sekitar jam 10 pagi,” katanya.

Ab Ghani berkata, kereta terbabit dipandu seorang wanita berusia lingkungan 20an secara sendirian.

Katanya, wanita terbabit yang tidak mengalami sebarang kecederaan pada mulanya meletakkan kereta di hadapan pejabat sebelum pergi ke sebuah kedai berhampiran.

“Selepas menghidupkan enjin kereta, wanita itu tertekan pedal minyak kenderaan transisi automatik berkenaan sebelum ia bergerak laju lalu merempuh pintu premis tersebut.

“Kita terpaksa menenangkan mangsa yang kelihatan terkejut dan ketakutan selepas insiden itu,” katanya.

Sumber:
http://www.sinarharian.com.my/edisi/johor/kereta-rempuh-pejabat-jkm-1.236666



Thursday, January 2, 2014

Tak sempat daftar anak sekolah



Inalillahi wainailaihi rojiun

2 Januari 2014
MACHANG - Seorang pengawal keselamatan maut apabila motosikal yang ditunggangnya dirempuh sebuah kereta dalam kemalangan di Kampung Simpul, dekat Kemuning, di sini, kira-kira jam 8 pagi kelmarin.

Mangsa, Mohamad Abd Hamid, 58, yang bertugas di Sekolah Kebangsaan (SK) Jambu Lawar itu dikatakan dalam perjalanan balik ke rumah bagi mengambil anaknya untuk didaftarkan di sekolah yang sama selepas tamat waktu bertugas.

Ketua Polis Daerah Machang, Deputi Superintendan Che Malek Bedot berkata, ketika kejadian, mangsa menunggang motosikal dari Kuala Krai ke- Machang sebelum dirempuh sebuah kereta ketika cuba membelok ke kanan.

Menurutnya, kemalangan di Kilometer 46.2, Jalan Kota Bharu-Kuala Krai itu membabitkan sebuah motosikal dan sebuah kereta dari arah yang sama.

“Ketika membelok ke simpang Kampung Simpul, motosikal mangsa dipercayai dirempuh kereta di bahagian tengah dan menyebabkan mangsa tercampak ke bahu kiri jalan.

“Mangsa meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah di keseluruhan badan. Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya kepada Sinar Harian di sini, semalam.

Che Malek berkata, punca kemalangan masih disiasat dan mayat mangsa dibawa ke Hospital Machang untuk bedah siasat sebelum dituntut ahli keluarga untuk dikebumikan di kampungnya, kelmarin.

Pada perkembangan sama, Che Malek turut menasihatkan orang ramai supaya memandu dengan berhemah dan mematuhi undang-undang jalan raya bagi mengelakkan kejadian yang tidak diingini.

“Dalam keadaan cuaca yang tidak menentu pada musim tengkujuh ini menyebabkan jalan licin dan pandangan pemandu agak terhad, terutamanya ketika hujan lebat.

“Tolak ansur dan memandu dengan berhemah mampu menyelamatkan nyawa dan mengelakkan kejadian yang tidak diingini,” katanya

Sumber:
http://www.sinarharian.com.my/tak-sempat-daftar-anak-sekolah-1.236256



Tuesday, December 31, 2013

Dua maut digilis treler


1 Januari 2014
KUALA KRAI – Dua warga Myanmar maut apabila motosikal yang mereka naiki terlibat dalam kemalangan yang turut membabitkan sebuah kereta dan treler di Kilometer 81, Jalan Kota Bharu-Gua Musang, di sini.

Penunggang motosikal terbabit, Mr Johar Hussien bersama rakannya, Noor Saddiq Mohd Islam yang membonceng motosikal sama maut di tempat kejadian.

Dalam kejadian pada kira-kira jam 4 petang itu, kedua-dua mangsa dikatakan dalam perjalanan dari arah Kota Bharu menghala ke Gua Musang dengan menaiki sebuah motosikal jenis Honda EX-5.

Ketua Polis Daerah Kuala Krai, Superintendan Ab Rahim Che Ghani berkata, siasatan awal mendapati, semasa tiba di tempat kejadian motosikal yang dinaiki kedua-dua mangsa dipercayai telah melanggar bahagian belakang sebuah kereta jenis Proton Iswara.

Menurut beliau, selepas melanggar kereta berkenaan, motosikal terbabit telah masuk ke laluan bertentangan dan melanggar sebuah treler.

"Berikutan kejadian, kedua-dua mangsa, iaitu penunggang dan pembonceng motosikal terbabit maut di tempat kejadian, manakala pemandu treler serta kereta tidak mengalami sebarang kecederaan.

"Kes ini disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan siasatan lanjut berhubung kejadian tersebut masih diteruskan," katanya.

Sumber:
http://www.sinarharian.com.my/edisi/utara/dua-maut-langgar-kereta-treler-1.236019



Tiga tersepit dalam kemalangan



1 Januari 2014
PADANG SERAI - Dua wanita berusia 30-an nyaris maut apabila Proton Iswara yang dipandu mereka bertembung dengan sebuah Proton Saga yang dipandu seorang lelaki berusia 40-an di kawasan perindustrian Jalan Sungai Karangan ke Padang Serai kira-kira jam 6 petang kelmarin.

Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Ghuzlan Saleh berkata, Proton Saga tersebut datang dari arah Sungai Karangan ke Padang Serai manakala mangsa yang menaiki Proton Iswara datang dari arah bertentangan.

Menurutnya, kenderaan mangsa bertembung dan mengakibatkan kedua-dua kereta mengalami kerosakan teruk manakala kesemua mangsa tersepit dalam kenderaan masing-masing.

“Lelaki yang memandu Proton Saga berjaya dikeluarkan orang ramai yang berada di tempat kejadian sebelum dihantar ke Hospital Kulim manakala dua wanita yang berada dalam kereta Proton Iswara tersepit di tempat duduk hadapan.

"Memandangkan mangsa cedera di bahagian kaki, polis terpaksa menghubungi Jabatan Bomba dan Penyelamat untuk membantu mengeluarkan mangsa tersepit. Mangsa berjaya dikeluarkan dalam masa singkat dan dibawa ke Hospital Kulim,” katanya.

Beliau berkata, sehingga kini, tidak ada sebarang laporan polis dibuat oleh mana-mana mangsa terlibat dan meminta mereka datang ke pejabat Trafik untuk membuat laporan sebaik keluar dari hospital.

Katanya, sepanjang 2013 jumlah kemalangan jalan raya dilaporkan berkurangan setelah pelbagai program lalu lintas dijalankan kepada orang ramai.

Sumber:
http://www.sinarharian.com.my/edisi/utara/tiga-tersepit-dalam-kemalangan-1.236143

Ibu mengandung nyaris maut


1 Januari 2014
REMBAU - Seorang ibu mengandung berusia 20-an terselamat apabila kereta yang dipandunya terbabit dalam kemalangan di kilometer 26, Jalan Seremban-Tampin, dekat sini, malam kelmarin.


Saksi kejadian, Noor Shahrom Ishak, 44, berkata, dalam kejadian kira-kira 10.30 malam itu berlaku dalam sekelip mata apabila kereta jenis Produa Viva ingin keluar dari persimpangan lampu isyarat menuju ke arah Pekan Rembau dirempuh oleh sebuah kereta jenis Proton Saga.

“Saya memberhentikan kenderaan untuk bantuan wanita berkenaan lebih-lebih lagi saya lihat dia sarat mengandung.

“Mujur tiada kecederaan serius dan kedua-dua kereta dibawa ke bahu jalan bagi mengelakkan lalu lintas terhalang,” katanya.

Sementara itu, jurucakap polis berkata, berdasarkan siasatan awal, kereta jenis Proton Saga berkenaan dari arah Seremban sampai di lokasi kejadian dan lampu isyarat berwarna hijau.

“Pemandu kereta proton saga iaitu perempuan berusia 29 tahun, ingin pulang ke Pondoi, Tampin, meneruskan perjalanan sebaik mendapati lampu isyarat hijau.  Bagaimanapun, kereta jenis Produa Viva keluar secara tiba-tiba menghala ke simpang kanan dan berlaku perlanggaran," katanya.

Sumber:
http://www.sinarharian.com.my/edisi/melaka-ns/kereta-kena-rempuh-ibu-mengandung-terselamat-1.236028



Suami isteri maut dirempuh lori



Inalillahi wainailaihi rojiun

1 Januari 2014
TENOM: Sepasang suami isteri maut selepas kereta Perodua Kancil dinaiki mereka merempuh belakang lori yang berhenti kerana jalan sedang dibaiki di kilometer 6 Jalan Tenom-Keningau, di sini, kira-kira 7.30 malam tadi.

Pemandu lori Ramli Ansibok, 35, dan isterinya Mastura Lambatus, 25, dipercayai meninggal dunia di tempat kejadian manakala pemandu lori berusia 45 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan.

Ketua Polis Daerah Tenom, Deputi Superintendan Mazlan Lazim berkata, siasatan awal mendapati pemandu lori terbabit memperlahankan sebelum memberhentikan kenderaan kerana jalan dibuka sehala di sebelah laluan Keningau ke Tenom.

"Tiba-tiba pemandu lori terdengar satu bunyi hentakan kuat di belakang lori.

"Pemandu lori kemudian turun dan melihat ada kereta Perodua Kancil tersepit dan di dalamnya ada seorang pemandu dan penumpang dalam keadaan cedera parah," katanya ketika dihubungi.


Menurutnya, pemandu dan penumpang hadapan dipercayai sudah meninggal dunia akibat kecederaan parah di kepala.

Katanya, mayat pasangan suami isteri itu kemudian di hantar ke Hospital Tenom untuk bedah siasat.

Sumber:
http://www.hmetro.com.my/articles/Suamiisterimautkeretarempuhlori//Article?BeritaUtama



Monday, December 30, 2013

Jurutera nyaris maut elak lembu


31 Disember 2013
KUALA BESUT - Seorang lelaki nyaris maut apabila kereta Proton Wira yang dipandunya terbabas, sebelum merempuh papan tanda selepas cuba mengelak sekumpulan lembu di Kampung Nangka, di sini, minggu lalu.

Dalam kejadian kira-kira jam 8 malam itu, Wan Azinuddin Wan Ibrahim dari rumahnya di Kampung Bharu tidak jauh dari tempat kejadian menghala ke Kampung Raja.

Menurut Jurutera Daerah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Machang, Kelantan itu, dia cuba mengelak dari merempuh sekumpulan lembu yang tiba-tiba melintas jalan.

“Ketika berselisih dengan sebuah kenderaan yang menghala ke Jertih, pandangan di hadapan saya kabur dan apabila melepasi kereta tersebut saya dapati beberapa ekor lembu berada di tengah jalan untuk melintas ke kiri jalan.

“Saya tekan brek, tetapi kerana keadaan permukaan jalan basah akibat hujan renyai-renyai menyebabkan kereta saya hilang kawalan sebelum merempuh papan tanda konkrit dan terhumban ke parit sawah di tempat kejadian,” katanya.

Wan Azinuddin berkata, dia tersepit berikutan keretanya remuk dan terpaksa dikeluarkan anggota bomba dan penyelamat.

Bagaimanapun dia bersyukur kerana hanya cedera ringan di kepala, paha dan sakit dada walaupun keretanya remuk teruk sehingga tidak boleh digunakan lagi.

“Sebelum kejadian saya memang sentiasa berhati-hati ketika melalui jalan itu kerana sering berlaku kemalangan di situ akibat merempuh atau cuba elak langgar lembu, tetapi pada malam kejadian nasib saya tidak baik,” katanya yang berulang alik dari Machang ke Kampung Bharu setiap hari.

Sehubungan itu dia meminta jasa baik pihak berkuasa mengambil langkah sewajarnya bagi mengatasi masalah lembu berkeliaran kerana membahayakan nyawa pengguna jalan raya, selain memohon JKR memasang dua atau tiga lampu jalan di kawasan terbabit.

Sementara itu, Adun Kuala Besut, Tengku Zaihan Che Ku Abd Rahman berkata, pihaknya akan bekerjasama dengan Majlis Daerah Besut (MDB) dalam mencari jalan penyelesaian.

Katanya, masalah lembu berkeliaran berlaku di banyak kawasan dan mengakibatkan kemalangan jalan raya seperti di Kampung Beris Lampu, Lay Out Tok Saboh, Pachakan dan beberapa lokasi lain.

“MDB telah ambil beberapa tindakan untuk memupuk kesedaran penternak lembu seperti edar risalah ke masjid, penguatkuasaan dan usaha lain. Pihak Pejabat Penyelaras Dun juga akan turut sama mencari jalan menyelesaikan isu ini,” katanya yang turut melawat mangsa.

Berkenaan lampu jalan, Tengku Zaihan berkata, pihaknya sudah membuat permohonan kepada beberapa pihak termasuk JKR supaya memasang lampu jalan di kawasan terbabit untuk mengatasi masalah kemalangan membabitkan lembu berkeliaran dan kecurian kabel.


Sumber:
http://www.sinarharian.com.my/edisi/terengganu/jurutera-nyaris-maut-elak-lembu-1.235684



Terperosok bawah lori



Inalillahi wainailaihi rojiun

31 Disember 2013
JASIN - Seorang pekerja buruh maut dalam kemalangan di Kilometer 18 Jalan Kesang Pajak, lewat petang semalam.

Dalam kejadian lebih kurang jam 6.20 petang, mangsa Aiman Abu Bakar berusia 30an, menunggang sendirian  motosikal Suzuki RG Sport10 untuk pulang ke rumahnya di Taman Sri Kesang dari tempat kerjanya di Tapak Semaian Risda.

Bagaimanapun ketika tiba di lokasi kejadian, 2 kilometer dari rumahnya, sebuah treler dari arah Jasin menghala ke Kesang Pajak dipercayai pemandunya hilang kawalan, sebelum merempuh mangsa dari arah bertentangan.

Sumber polis berkata, akibat pelanggaran itu mangsa serta motosikalnya terperosok di bawah tayar treler terbabit dan  diheret hampir 10 meter sebelum pemandu treler terbabit memberhentikan kenderaan.

“Mangsa mengalami cedera parah meninggal dunia di tempat kejadian dan mayatnya dihantar ke Hospital Jasin untuk dibedah siasat,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Jasin, Deputi Supritendan (DSP) Muhd Nur Hisamuddin Hashim mengesahkan kejadian itu dan kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.


Sumber:
http://www.sinarharian.com.my/edisi/melaka-ns/terperosok-bawah-tayar-1.235715


Sunday, December 29, 2013

Tragedi selepas beli peti sejuk


30 Disember 2013
Seremban: Perjalanan pulang empat beranak dari sebuah kedai barangan elektrik di Subang Jaya, Selangor, selepas membeli peti sejuk baru bertukar tragedi apabila seorang daripada mereka maut apabila kereta yang dinaiki hilang kawalan sebelum melanggar pokok berhampiran bulatan S2 Heights, di sini, kelmarin.

Dalam kejadian jam 4.30 petang itu, ibu tunggal, Chong Siew Ngo, 40-an dan dua anak perempuannya yang berusia 16 dan 21 tahun cedera ringan, namun seorang lagi anaknya yang juga pasangan kembar, Oh Hui Ching, 21, mati di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala.


Jurucakap polis berkata, sebelum kejadian, empat beranak terbabit keluar rumah jam 10 pagi untuk ke sebuah kedai elektrik di Subang Jaya untuk membeli peti sejuk.

Jurucakap itu berkata, ketika dalam perjalanan pulang ke rumah mereka di S2 Heights, di sini, kereta PERODUA Myvi dipandu Chong hilang kawalan lalu terbabas ke kiri jalan dan merempuh pokok. “Berikutan kejadian itu, anak mangsa yang duduk di bahagian penumpang hadapan maut di tempat kejadian akibat hentakan kuat di kepalanya, manakala Chong dan dua lagi anaknya yang berada di tempat duduk belakang cedera ringan dan dihantar ke Hospital Tuanku Jaafar Seremban (HTJS) untuk rawatan lanjut,” katanya.


Sementara itu, pemandu lori yang membawa peti sejuk dibeli mangsa yang enggan dikenali berusia lingkungan 30-an berkata, dia mengikuti mangsa ke rumahnya kerana mahu menghantar barangan elektrik yang dibeli.


“Wanita itu memandu terlalu laju menyebabkan saya tertinggal di belakang sebelum tiba di lokasi kejadian,” katanya.


Sumber:
http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Seorangmautnahasbalikbelipetisejuk/Article/index_html
http://www.kosmo.com.my



Tujuh cedera dalam kemalangan


Inalillahi wainailaihi rojiun

30 Disember 2013
PORT DICKSON - Sembilan orang termasuk empat kanak-kanak terlibat dalam kemalangan di selekoh berhampiran laluan masuk ke Eagle Ranch Resort, Jalan Telok Kemang - Pasir Panjang, di sini malam kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira 8.30 malam itu, kemalangan membabitkan tiga kereta iaitu Perodua Myvi, Perodua Viva dan Proton Wira.

Seorang mangsa yang terselamat, Suraya Saad, 27, berkata, dia bersama suaminya, Mohd Azhar Yahya, 29, datang dari Kuala Lumpur untuk bercuti di Port Dickson.

“Ketika kejadian, kami dalam perjalanan menghala ke Kuala Linggi berhasrat untuk mencari tempat makan, namun tidak sangka pula boleh terlibat dengan kemalangan ini.

“Sewaktu suami memandu di selekoh, ada sebuah kereta Viva di hadapan kami yang dinaiki sebuah keluarga. Secara tiba-tiba, saya melihat kereta itu sudah bertembung dengan kereta Proton Wira yang datang dari arah bertentangan," katanya kepada pemberita di lokasi kejadian.

Suraya berkata, suaminya cuba mengelak daripada melanggar kedua-dua kenderaan berkenaan, bagaimanapun gagal dan merempuh bahagian depan Perodua Viva yang sudah terbabas di kiri jalan.

 "Kenderaan kami juga terbabas ke kiri jalan sementara Proton Wira itu melintang di laluan tengah. Masih terngiang-ngiang bunyi dentuman kedua-dua kereta itu.

“Bagaimanapun, saya bersyukur kerana kami berdua selamat dan berharap mangsa lain tidak alami kecederaan serius,” katanya.

Sementara itu, jurucakap polis berkata, lima mangsa dari kereta Perodua Viva dan dua dari kereta Proton Wira yang cedera dikejarkan ke Hospital Port Dickson untuk rawatan lanjut, sementara dua mangsa kereta Perodua Myvi tidak cedera.

“Mangsa berjaya dikeluarkan dari kereta masing-masing dengan bantuan Pasukan Bomba dan Penyelamat Telok Kemang dan orang awam,” katanya.

Sumber:
http://www.sinarharian.com.my/edisi/melaka-ns/tujuh-cedera-kemalangan-1.235449



Pelajar 12 tahun maut kemalangan


30 Disember 2013
RAUB - Seorang kanak-kanak berusia 12 tahun tidak sempat memasuki alam persekolahan baru apabila dia maut dalam kemalangan melibatkan kereta jenis Proton Wira dan pacuan empat roda Hilux, malam kelmarin.

Ketua Polis Daerah Raub, Superintendan Wan Mohd Samsudin Wan Osman berkata, kejadian berlaku sekitar jam 8.45 malam di KM347 Jalan Raub menuju Kuala Lipis.

Katanya, mangsa, Kiriskimar Kalidas yang merupakan penumpang Proton Wira maut di tempat kejadian, manakala pemandu yang merupakan bapanya, Kalidas Krishnaswamy, 41, parah.

“Hasil siasatan awal di tempat kejadian mendapati Proton Wira dipandu Kalidas bersama Kiriskumar hendak memasuki simpang Taman Kurnia lalu dilanggar Hilux terbabit,” katanya.

Pemandu Hilux, seorang lelaki yang berusia 48 tahun bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan dan hasil ujian air kencing mendapati kedua-kedua pemandu adalah negatif.

Kalidas berasal dari Bukit Koman manakala pemandu Hilux terbabit berasal dari Balakong, Selangor.

Sumber:
http://www.sinarharian.com.my/edisi/pahang/pelajar-12-tahun-maut-kemalangan-1.235377




Pelajar SMK Kota maut dirempuh lori




Inalillahi wainailaihi rojiun

30 Disember 2013
KOTA BHARU - Seorang pelajar tingkatan dua, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kota, tidak sempat pulang ke rumah, yang terletak hanya 500 meter dari jalan besar, selepas maut dirempuh lori ketika menyeberangi jalan di Kampung Pendek, Kota di sini.




Dalam kemalangan petang kelmarin, mangsa, Mohd Haiqal Haqim Mohd Zaid, 14, mengalami kecederaan parah di kepala dan beberapa bahagian badan selepas diseret hampir 17 meter ketika keluar dari lorong di bahu kanan jalan ke jalan besar.

Bapa mangsa, Mohd Zaid Abdul Rahman, 49, berkata, ketika kejadian dia berada di tempat kerja dan mengetahui tragedi menimpa anak bongsu daripada dua beradik itu selepas dimaklumkan keluarga terdekat.

“Saya segera ke tempat kejadian tetapi hanya dapat melihat mayat anak dengan kesan kecederaan parah.

"Walaupun sedih dengan pemergian anak tersayang tetapi saya redha dengan kejadian ini," katanya kepada pemberita.

Menurutnya, arwah anaknya itu seorang yang baik dan rapat dengan ahli keluarga, menyebabkan kehilangannya amat dirasai.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Superintendan Idris Ab Rafar mengesahkan menerima laporan kejadian dan pemandu lori terbabit telah membuat laporan polis sejurus selepas kemalangan.

Sumber:
http://www.sinarharian.com.my/edisi/kelantan/remaja-diseret-hampir-17-meter-1.235338
http://www.tv3.com.my/beritatv3/berita_terkini/Maut_Selepas_Motosikal_Dilanggar_Lori.html



3 dari 5 Sahabat Maut Kemalangan




Inalillahi wainailaihi rojiun

30 Disember 2013
JITRA - Pertemuan lima sahabat di pasar malam bertukar tragedi apabila tiga daripada mereka maut selepas motosikal yang mereka naiki bertembung dengan sebuah kenderaan lain di Kilometer 8, Jalan Kuala Nerang-Jitra, kelmarin.

Mangsa dikenali sebagai Muhammad Syahid Salim, 21, dan Muhammad Akhbar Sanusi, 18, masing-masing dari Kampung Nai Teh, serta Mohd Amirul Akhbar Jaafar, 20, dari Kampung Paya Terap, Perik, di sini.

Seorang saksi, Hanafi Saka, 54, berkata dia terdengar bunyi dentuman kuat di hadapan rumahnya ketika keluar untuk menyimpan motosikal di garaj.

Katanya, kejadian itu berlaku kira-kira 20 meter dari rumahnya dan dia segera pergi melihat lalu mendapati sebuah kereta berhenti di hadapan rumahnya sebelum memecut ke arah Jalan Kuala Nerang.

“Apabila saya ke tempat kejadian, terdengar suara meminta tolong beberapa kali. Kemudian suara itu tidak kedengaran lagi.

"Saya nampak mangsa bergelimpangan (di jalan). Jadi saya guna lampu picit, beri isyarat kepada pemandu kenderaan lain supaya bergerak perlahan-lahan. Kemudian, saya terus hubungi bomba Kuala Nerang.

“Saya cuba bantu mereka (yang bergelimpangan), tapi dapati tiga sudah meninggal. Dua lagi cedera dan tercampak di tanah lapang di sebelah kanan jalan,” katanya.

Hanafi berkata, mereka yang cedera parah itu dibawa ke Hospital Kuala Nerang.

Menurutnya, setelah memeriksa keadaan mayat, motosikal dan makanan yang bertaburan di atas jalan, dia yakin kesemua mangsa itu datang dari pasar malam di Bukit Nyamuk.

Jarak tempat kejadian itu dari pasar malam terbabit, terletak kira-kira 1.5 kilometer.

"Jalan terlalu gelap. Jadi agak susah untuk mengenali kenderaan yang berhenti di depan rumah dan macam mana kemalangan itu berlaku," katanya.



Mohon maaf dengan rakan-rakan

Sementara itu, ibu Muhammad Syahid, Rosna Jusoh, 60, berkata, dia mendapat tahu mengenai kemalangan yang meragut nyawa anaknya itu selepas Maghrib.

Dia bergegas bersama anak saudaranya ke tempat kejadian, yang terletak kira-kira lima kilometer dari rumahnya.

"Apabila sampai (tempat kejadian), lutut mak cik tak mampu berdiri lagi dan mak cik berasa sebak melihat mayat-mayat bergelimpangan di situ.

"Mak cik tidak dibenarkan (oleh orang yang membantu di situ) melihat anak mak cik kerana cederanya sangat parah, terutama di kepala,” katanya.

Menurut Rosna, beberapa hari sebelum kejadian, anaknya itu ada menghantar mesej kepada kawan-kawannya meminta maaf jika dia ada melakukan kesalahan selama ini.

"Anak saya juga mengucapkan beberapa ayat seperti 'semasa hidup menggunakan bin bapa dan selepas mati bintikan ibu'.

"Sebelum ini, dia tidak pernah bercakap pelik. Dia seorang periang serta suka membantu orang ramai dengan melibatkan diri dalam pertubuhan badan bukan kerajaan (NGO). Apa pun, mak cik reda pemergiannya itu kerana ALLAH lebih mengasihinya,” katanya.

Sementara itu, bapa kepada Muhammad Akbar, Sanusi Hanafi, 57, pula berkata, dia mendapat tahu tentang kejadian tersebut daripada sepupunya kira-kira jam 9 malam.

"Semasa saya di tempat kejadian, semua mayat sudah ditutup dengan surat khabar hingga saya tak pasti apakah benar anak saya juga terlibat dalam kemalangan.

“Apabila pak cik angkat surat khabar, memang betullah (yang terbaring atas jalan itu) anak pak cik. Pak cik rasa seperti tak mampu berjalan lagi selepas menengok wajahnya,” katanya.

Kedua-dua mayat itu telah dikebumikan dalam satu liang lahad dekat masjid Kampung Nai Teh, pagi semalam.

Dalam pada itu, Pengerusi Tabung Kebajikan Al-Masakin Padang Terap (Terapcare), Hamizan Amzah, yang hadir ketika pengebumian berkata, sebelum kejadian itu, dia ada menerima khidmat pesanan ringkas (SMS) dari Muhammad Syahid mengatakan solat Jumaat lalu adalah yang terakhir untuknya.

"Pada mulanya saya tidak faham pesanan yang dihantar itu, tapi selepas kemalangan ini, barulah saya faham.

"Saya sedih dengan pemergiannya itu kerana kami baru merancang untuk turun bersama menyampaikan sumbangan pakaian dan beg sekolah kepada pelajar-pelajar miskin," katanya.


Punca kejadian masih disiasat

Ketua Polis Daerah Padang Terap, Deputi Superintendan Ku Yaakob Ku Hamad berkata, kejadian berlaku ketika semua lima mangsa menaiki tiga motosikal.

Menurutnya, dalam kemalangan itu tiga mangsa maut di tempat kejadian, manakala dua lagi cedera parah dan dibawa ke Hospital Kuala Nerang oleh orang awam.

“Polis masih menyiasat punca sebenar kejadian dan kemungkinan terdapat kenderaan lain terlibat dalam kemalangan terbabit. Dalam siasatan awal, tiada kesan tayar kenderaan, di situ.

“Polis akan menunggu dua mangsa yang cedera hingga sembuh untuk mengambil keterangan mengenai punca kemalangan," katanya.

Kes terbabit disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. Sesiapa yang mempunyai maklumat boleh hubungi balai polis di talian  04-786 6222.

Sumber:
http://www.sinarharian.com.my/semasa/tiga-maut-dua-cedera-dirempuh-1.235308



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Headlines

FeedBurner FeedCount