loading...

Monday, December 30, 2013

Jurutera nyaris maut elak lembu


31 Disember 2013
KUALA BESUT - Seorang lelaki nyaris maut apabila kereta Proton Wira yang dipandunya terbabas, sebelum merempuh papan tanda selepas cuba mengelak sekumpulan lembu di Kampung Nangka, di sini, minggu lalu.

Dalam kejadian kira-kira jam 8 malam itu, Wan Azinuddin Wan Ibrahim dari rumahnya di Kampung Bharu tidak jauh dari tempat kejadian menghala ke Kampung Raja.

Menurut Jurutera Daerah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Machang, Kelantan itu, dia cuba mengelak dari merempuh sekumpulan lembu yang tiba-tiba melintas jalan.

“Ketika berselisih dengan sebuah kenderaan yang menghala ke Jertih, pandangan di hadapan saya kabur dan apabila melepasi kereta tersebut saya dapati beberapa ekor lembu berada di tengah jalan untuk melintas ke kiri jalan.

“Saya tekan brek, tetapi kerana keadaan permukaan jalan basah akibat hujan renyai-renyai menyebabkan kereta saya hilang kawalan sebelum merempuh papan tanda konkrit dan terhumban ke parit sawah di tempat kejadian,” katanya.

Wan Azinuddin berkata, dia tersepit berikutan keretanya remuk dan terpaksa dikeluarkan anggota bomba dan penyelamat.

Bagaimanapun dia bersyukur kerana hanya cedera ringan di kepala, paha dan sakit dada walaupun keretanya remuk teruk sehingga tidak boleh digunakan lagi.

“Sebelum kejadian saya memang sentiasa berhati-hati ketika melalui jalan itu kerana sering berlaku kemalangan di situ akibat merempuh atau cuba elak langgar lembu, tetapi pada malam kejadian nasib saya tidak baik,” katanya yang berulang alik dari Machang ke Kampung Bharu setiap hari.

Sehubungan itu dia meminta jasa baik pihak berkuasa mengambil langkah sewajarnya bagi mengatasi masalah lembu berkeliaran kerana membahayakan nyawa pengguna jalan raya, selain memohon JKR memasang dua atau tiga lampu jalan di kawasan terbabit.

Sementara itu, Adun Kuala Besut, Tengku Zaihan Che Ku Abd Rahman berkata, pihaknya akan bekerjasama dengan Majlis Daerah Besut (MDB) dalam mencari jalan penyelesaian.

Katanya, masalah lembu berkeliaran berlaku di banyak kawasan dan mengakibatkan kemalangan jalan raya seperti di Kampung Beris Lampu, Lay Out Tok Saboh, Pachakan dan beberapa lokasi lain.

“MDB telah ambil beberapa tindakan untuk memupuk kesedaran penternak lembu seperti edar risalah ke masjid, penguatkuasaan dan usaha lain. Pihak Pejabat Penyelaras Dun juga akan turut sama mencari jalan menyelesaikan isu ini,” katanya yang turut melawat mangsa.

Berkenaan lampu jalan, Tengku Zaihan berkata, pihaknya sudah membuat permohonan kepada beberapa pihak termasuk JKR supaya memasang lampu jalan di kawasan terbabit untuk mengatasi masalah kemalangan membabitkan lembu berkeliaran dan kecurian kabel.


Sumber:
http://www.sinarharian.com.my/edisi/terengganu/jurutera-nyaris-maut-elak-lembu-1.235684



No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Headlines

FeedBurner FeedCount

Blogged.my