Saturday, October 1, 2016

Tak sempat hadir konvokesyen


Graduan Politeknik Sultan Idris Shah (PSIS) Sabak Bernam maut selepas kereta dipandunya terbabas di Sungai Tengar, dekat sini ketika dalam perjalanan menghadiri konvokesyennya di PSIS kira-kira, 8 pagi tadi.

Difahamkan mangsa, Nurul Azmina Alias, 21, yang berasal dari Cheras memandu kereta bapanya bersendirian untuk ke PSIS sebelum terbabas dan terjunam ke dalam parit sedalam kira-kira dua meter.

Penolong Pengarah Operasi Bomba Selangor Mohd Sani Harul berkata, pihaknya menerima panggilan 8.14 pagi dan lima anggota termasuk pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat Sabak Bernam bergegas ke lokasi.

"Kemalangan membabitkan kereta yang terbabas sendiri dan ketika anggota tiba di lokasi mangsa sudah dikeluarkan orang awam.

"Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian," katanya.

Mangsa sepatutnya menerima Diploma Alam Sekitar, pagi tadi dalam sesi kedua.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sabak Bernam Superintendan Noor Azmi Isa ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan berkata, siasatan lanjut masih dijalankan

Maut Tersepit


Seorang pekerja kilang maut manakala dua cedera dalam kemalangan melibatkan dua kenderaan di Kilometer 10 Jalan Teluk Intan-Hutan Melintang, di sini, pagi semalam.

Dalam kejadian jam 8 pagi itu, pemandu kereta Proton Saga, Chong Peng Tiam, 40, dari Jalan Pasir Bedamar, maut di lokasi manakala pemandu kereta Nissan Sylphy mengalami pendarahan dalam perut.

Seorang lagi wanita berusia 20 tahun yang juga penumpang Nissan Sylphy turut mengalami kecederaan retak tulang tangan kanan akibat kemalangan tersebut.

Timbalan Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Superintendan Yahaya Hassan berkata, siasatan mendapati kereta Nissan Sylphy dipandu lelaki berusia 22 tahun itu dipercayai cuba memotong kenderaan lain di laluannya sebelum masuk ke laluan bertentangan dan bertembung secara berhadapan dengan kereta Proton Saga berkenaan.

“Kemalangan itu mengakibatkan pemandu kereta Proton Saga tersepit di tempat duduknya dan maut di tempat kejadian.

“Mayat mangsa dikeluarkan anggota bomba dan dihantar ke Hospital Teluk Intan,” katanya.

Beliau berkata, siasatan di tempat kejadian turut mendapati keadaan jalan bertar lurus dan kering serta cuaca baik.

“Setakat ini tiada tangkapan dibuat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

- http://www.sinarharian.com.my

Lori tangki terjunam ke dalam sungai


Seorang pemandu lori berdepan detik cemas apabila lori tangki dipandunya terjunam ke dalam sungai dalam kejadian di Kilometer 78.1 Jalan Kuala Terengganu-Kota Bharu, dekat jambatan Kampung Guntong Luar, di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 4 pagi itu, mangsa, Mohd Hafiz Amdan Mohd Noor, 26, dari Kampung Pak Katak, Kuala Terengganu, bagaimanapun hanya cedera di kaki.

Difahamkan, mangsa yang memandu lori tanpa muatan, sebelum itu dalam perjalanan dari Besut menghala ke Kuala Terengganu.

Tetapi sebaik tiba di tempat kejadian, lori tangki itu dikatakan hilang kawalan, lalu merempuh pengadang jambatan di sebelah kiri sebelum terjunam ke dalam sungai.

“Mangsa bernasib baik kerana hanya cedera ringan. Dia bertindak keluar dari lori sebelum dibawa ke Hospital Setiu.

“Akibat kejadian itu, mangsa menerima empat jahitan di kaki sebelum dibenarkan pulang,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Setiu, Deputi Superintendan Elias Abu Bakar mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian.

- http://www.sinarharian.com.my


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Headlines

FeedBurner FeedCount