Saturday, March 16, 2013

Maut rempuh kedai basikal





17 Mac 2013
IPOH - Seorang wanita maut apabila kereta jenis Citroen ZX1.9i yang dinaiki bersama kekasihnya merempuh sebuah kedai basikal dalam kemalangan di Jalan Pasir Putih, di sini, awal pagi semalam.

Ketua Bahagian Ketenteraman Awam dan Trafik Daerah Ipoh, Deputi Superitendan Wan Sharuddin Wan Omar berkata, kejadian berlaku pada jam 2.45 pagi dan kedua-dua mangsa dipercayai dalam perjalanan pulang ke rumah mereka di Pengkalan, selepas makan lewat malam di sekitar bandar raya ini.

Menurut Wan Sharuddin, penumpang di tempat duduk hadapan, Tang Mun Yi, 19 dari Taman Pengkalan Timur maut di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala manakala pemandu, Chong Kian Mun, 20 dari Medan Pengkalan Makmur turut parah dan dirawat di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB).

"Siasatan awal mendapati kereta tersebut dalam perjalanan dari Ipoh menuju Pengkalan sebelum hilang kawalan lalu terbabas ke kiri jalan dan merempuh kedai basikal di laluan berkenaan.

"Kita juga tidak menolak kemungkinan kemalangan berkenaan berlaku akibat pemandu mengantuk," katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Menurut Wan Sharuddin, aliran trafik tidak sibuk memandangkan kejadian berlaku pada awal pagi, malah keadaan jalan juga lurus serta cuaca baik semasa kejadian.

Beliau turut memaklumkan, mangsa yang maut telah dibawa ke Jabatan Forensik HRPB untuk bedah siasat sebelum dituntut keluarga dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 serta saksi kejadian diminta tampil membantu siasatan.

Sementara itu, pemilik kedai terbabit, Ng Koon Qiong, 50 berkata, dia dimaklumkan berkenaan kejadian oleh jirannya melalui panggilan telefon kira-kira jam 2.50 pagi dan bergegas ke tempat kejadian untuk melihat keadaan kedainya.

"Setibanya dilokasi, saya tengok sebuah kereta remuk teruk dan pintu depan kedai serta beberapa basikal rosak. Selama 10 tahun berniaga, inilah kejadian pertama berlaku di kedai saya.

"Buat masa ini saya akan minta bantuan anggota Rela (Ikatan Relawan Rakyat Malaysia) untuk memantau kedai sementara kerja baik pulih pintu dilakukan," katanya yang menganggar kerugian melebihi RM10,000.

Sumber:
http://www.sinarharian.com.my/edisi/perak/gembira-berakhir-tragedi-1.140276


Hidangan terakhir




Inalillahi wainailaihi rojiun

17 Mac 2013
HULU SELANGOR - “Dia sangat ceria malam tadi, sempat hidangkan kami masakan istimewa, tapi berita kematiannya tadi (semalam) sangat mengejutkan kami,” kata chef Yah, 31, rakan Rossdy Mustapha, 24, yang maut dalam kemalangan motosikal pagi semalam.

Menurut Yah, Rossdy merupakan tukang masak di sebuah restoran masakan Thailand, dekat sini, dan semasa kejadian mangsa dipercayai menunggang sendirian dalam perjalanan menghala Sungai Choh.

Katanya, kejadian berlaku di persimpangan tiga Jalan Bunga Kertas antara Jalan Bukit Beruntung-Sungai Choh.

“Kami terkejut ketika menerima berita kematiannya dan seperti tidak percaya kerana malam tadi (kelmarin) kami semua ceria bersamanya.

“Dia kelihatan sangat ceria dan bergurau dengan adiknya, Sham,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

Yah berkata, mangsa yang lebih mesra dipanggil Along kebelakangan ini dilihat murung tanpa diketahui puncanya.

Menurutnya, mangsa meninggalkan isteri dan dua anak yang menetap di Kelantan.

Seorang saksi, Rosharizat Roslan, 28, berkata, motosikal dinaiki mangsa dipercayai merempuh van yang tiba-tiba membelok di persimpangan tersebut.

“Mangsa masih bernyawa ketika itu tapi tidak mampu berkata-kata. Saya mahu membantu tapi tidak tahu bagaimana. Saya cuma dapatkan telefon bimbit mangsa dan menghubungi majikannya serta adiknya,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Superintendan Norel Azmi Yahya Affandi yang mengesahkan kejadian itu berkata, mangsa mati akibat kecederaan di bahagian kepala dan dagu.

Menurutnya, kemalangan berlaku jam 9.30 pagi melibatkan motosikal dinaiki mangsa dengan sebuah van sekolah yang membawa empat penumpang dipandu Muhamad Azmi, 52.

“Siasatan mendapati van terbabit cuba membelok ke kanan ke Jalan Bunga Kertas dan masa itu penunggang motosikal dari arah Bukit Beruntung ke Sungai Choh sampai dan terlanggar bahagian pintu depan sebelah kiri van.

“Mangsa meninggal dunia di tempat kejadian manakala seorang penumpang van dirawat di Hospital Sungai Buloh sementara pemandu serta penumpang lain tidak cedera,” katanya.

Menurutnya, kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Al-Fatihah

Sumber:
http://www.sinarharian.com.my/edisi/selangor-kl/maut-motosikal-rempuh-van-1.140265


Nahas 3 kereta




17 Mac 2013
RAUB – Tiga kenderaan mengalami kerosakan teruk akibat perlanggaran dalam kemalangan di Kilometer 341 Jalan Raub–Lipis berhampiran Kampung Durian Sebatang, kira-kira jam 4 petang, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Raub, Superintendan Wan Mohd Samsudin Wan Osman berkata, kejadian dipercayai berlaku selepas sebuah kenderaan Toyota Innova dari arah Raub cuba memotong beberapa kenderaan lain.

Menurutnya, cubaan pemandu untuk memotong bagaimanapun gagal dan terus bertembung dengan kenderaan dari arah bertentangan.

“Perlanggaran itu menyebabkan sebuah kereta Saga FLX dari arah Lipis turut kemalangan akibat gagal mengelak daripada rempuhan kereta Toyota Unser tadi.

“Kesemua mangsa terlibat bagaimanapun terselamat dan mengalami kecederaan ringan sahaja,” katanya.

Wan Mohd Samsudin berkata, mangsa dihantar ke Hospital Raub untuk mendapatkan rawatan.

Sumber:
http://www.sinarharian.com.my/edisi/pahang/tiga-kenderaan-terbabit-kemalangan-1.140262



Konvoi maut



17 Mac 2013
SENAWANG - Hajat 30 remaja hendak berkonvoi ke Klang, Selangor tidak kesampaian apabila salah seorang daripada mereka maut selepas terlibat dalam kemalangan di Kilometer 244.2, Lebuhraya Utara Selatan (NSE) arah utara, di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira 9.30 pagi itu, mangsa, Henry John Anthony, 26, menetap di Taman Muzaffar, Ayer Keroh, Melaka sedang menunggang motosikal jenis Honda Wave Dash SE Repsol bersama rakan-rakannya.

Menurut sumber, semasa insiden berlaku, mangsa dan rakan-rakan sedang dalam perjalanan dari Melaka menuju ke Klang untuk menghadiri majlis perasmian sebuah kedai motosikal di sana.

“Siasatan awal mendapati, kemalangan berpunca apabila mangsa gagal memotong sebuah treler yang sarat dengan muatan kayu di hadapannya selepas kepalanya dipercayai terkena lebihan kayu yang terjulur keluar dari belakang kenderaan tersebut.

“Keadaan itu menyebabkan motor ditunggangi mangsa hilang kawalan lantas tercampak ke lorong tengah, manakala motosikalnya pula terseret sehingga ke lorong kanan lebuh raya,” kata sumber kepada pemberita, di sini, semalam.

Sumber berkata, mangsa meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah di muka dan kepala, selain mengalami patah tangan, manakala treler terbabit langsung tidak berhenti sejurus selepas kejadian.

“Mangsa dibawa ke Hospital Tuanku Ja’afar, di sini untuk bedah siasat sebelum dituntut ahli keluarga bagi urusan pengkebumian,” katanya.

Menurut sumber, kemalangan tersebut juga telah menyebabkan berlakunya satu lagi insiden di lokasi sama yang melibatkan tiga buah kenderaan jenis Honda, Proton Waja dan Perodua Kancil di lorong kanan.

“Difahamkan, kereta Honda berkenaan telah membrek mengejut kerana cuba mengelak treler yang tiba-tiba masuk ke lorong kanan, mengakibatkannya dirempuh dari belakang oleh kenderaan lain.

“Bagaimanapun pemandu dan penumpang ketiga-tiga kereta terbabit tidak mengalami sebarang kecederaan, kecuali sedikit kerosakan pada kenderaan tetapi masih boleh meneruskan perjala-nan,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Turus Trafik Negeri Sembilan, Asisten Superintendan Abd Halil Hamzah ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sumber:
http://www.sinarharian.com.my/edisi/melaka-ns/konvoi-bertukar-tragedi-1.140346



Empat maut bertembung bas ekspres




Inalillahi wainailaihi rojiun

16 Mac 2013
KUALA LIPIS - Empat maut dalam nahas jalan raya membabitkan sebuah bas ekspres dan kereta di Km 17, Jalan Lipis-Merapoh, dekat sini tengah malam tadi.

Dalam kejadian 12.30 malam itu, bas ekspres yang dalam perjalanan dari Kuala Lumpur menghala ke Kelantan bertembung dengan kereta jenis Honda City yang datang dari arah bertentangan.

Empat yang terbunuh merupakan penumpang kereta iaitu Nur Hamira Baharum, 24; Hasnah Che Hussin, 66; Nik Eryna Nik Ahmad, setahun; dan seorang warga Indonesia dikenali sebagai Yanti, 20-an, manakala penumpang dan pemandu bas tidak cedera.

Ketua Polis Daerah Lipis Supt Abdul Razak Hassan memberitahu pemberita di sini hari ini, siasatan awal polis mendapati kereta terbabit hilang kawalan sebelum bertembung dengan bas berkenaan.

"Pemandu kereta terbabit (identiti belum dikenal pasti) dan seorang lagi penumpang kereta berkenaan (identiti belum dikenal pasti) cedera parah dan kini dirawat di Hospital Sultan Ahmad Shah Temerloh," katanya.

Beliau berkata, semua yang mati dan cedera itu dipercayai mempunyai hubungan kekeluargaan.

Beliau berkata kes itu disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.- Bernama



Dari Utusan Malaysia, Empat termasuk seorang bayi perempuan berusia setahun maut selepas kereta jenis Honda City yang mereka naiki bertembung dengan sebuah bas ekspres di Kilometer 17, Jalan Lipis-Merapoh dekat sini tengah malam tadi.

Kejadian berlaku pukul 12.30 tengah malam itu turut menyebabkan pemandu dan seorang lagi penumpang kereta berkenaan mengalami cedera parah.

Ketua Polis Daerah Lipis, Supritendan Abdul Razak Hassan berkata, siasatan awal mendapati kereta yang dinaiki lima mangsa termasuk bayi perempuan terbabit dalam perjalanan dari arah Gua Musang, Kelantan.

"Apabila sampai di tempat kejadian, kereta terbabit dipercayai hilang kawalan sebelum memasuki laluan bertentangan dan bertembung dengan bas ekspres yang dalam perjalanan dari Kuala Lumpur menuju ke Kelantan.

"Rempuhan itu menyebabkan mangsa, Nur Hamira Baharum, 24; bersama ibunya, Hasnah Che Hussin, 66; dan seorang wanita warga Indonesia dikenali sebagai Yanti berusia 20-an maut di tempat kejadian.

"Seorang bayi perempuan berusia setahun, Nik Emily Nik Ahmad Zukwan iaitu anak kepada pemandu kereta disahkan mati dalam perjalanan ke Hospital Lipis," katanya di sini hari ini.

Bagaimanapun, katanya, pemandu kereta tersebut, Nik Ahmad Zukwan Nik Anwar, 34, dan seorang lagi anak perempuannya berusia lima tahun, iaitu Nik Eryna mengalami kecederaan parah dan dihantar ke Hospital Sultan Ahmad Shah (Hoshas), Temerloh untuk mendapatkan rawatan.

Beliau berkata, siasatan mendapati semua mangsa dalam perjalanan dari Kampung Banang Bayan, Kota Bharu, Kelantan.

Katanya, pemandu kenderaan tersebut merupakan menantu kepada Hasnah dan abang ipar kepada Nur Hamira.

"Sepasukan 10 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Lipis mengambil masa kira-kira 45 minit untuk mengeluarkan pemandu kereta yang tersepit.

"Pemandu bas ekspres, Zulbain Ismail, 39, dan semua penumpangnya tidak mengalami sebarang kecederaan," katanya.

Beliau berkata, semua mangsa yang maut dan cedera mempunyai hubungan kekeluargaan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Katanya, orang ramai yang melihat kemalangan tersebut diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik Lipis, Sub Inspektor Abdul Rahman Yunan untuk membantu siasatan menerusi talian 09-3122222 atau 013-9300428.

Sementara itu suami kepada Hasnah Che Hussin, Baharum Abu Bakar, 70, berkata, sebelum berangkat ke Kuala Lumpur, arwah isteri menangis dan meminta saya mengampunkan segala kesalahannya.

Baharum berkata, sebelum ini isterinya tidak pernah menangis sedemikian rupa dan dia sama sekali tidak menyangka perubahan sikap tersebut menjadi petanda yang isterinya itu akan pergi buat selama-lamanya.

Menurutnya, kejadian tersebut diketahuinya selepas dimaklumkan oleh adiknya, Aisah Abu Bakar pada kira-kira pukul 4.30 pagi.

"Adik dapat tahu kejadian itu daripada anaknya selepas dimaklumkan oleh pihak polis," katanya ketika ditemui pemberita di rumahnya di Kampung Tanjong Che Mas, Tumpat, Kelantan, hari ini.

Baharum berkata, mengikut perancangan asal, mereka semua mahu berangkat ke Kuala Lumpur hari ini tetapi terpaksa diubah pada saat-saat akhir.

Katanya, perancangan tersebut terpaksa diubah selepas mendapat khabar salah seorang cucu mereka Syazreen Izati Ahmad Azmi, 18, yang sedang menjalani Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) di Perak terkena serangan virus kencing tikus.

"Perkhabaran tersebut membuatkan isterinya mengubah fikiran dan bergegas ke sana untuk melihat keadaan Syazreen," katanya.

"Keadaan tersebut menyebabkan anak bongsu saya, Nur Hamira turut sama mahu mengikut ibunya untuk melihat keadaan Syazreen.

"Disebabkan Nur Hamira ingin turut sama dan kereta sudah penuh, saya mengambil keputusan untuk ke Kuala Lumpur menaiki kereta api secara bersendirian. Jadi mereka mengambil keputusan untuk bertolak ke Kuala Lumpur kira-kira pukul 6 petang semalam," ujarnya.


Al-Fatihah

Sumber:
http://www.sinarharian.com.my/semasa/empat-maut-nahas-bas-dan-kereta-di-jalan-lipis-merapoh-1.139821
http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20130316/je_02/Empat--maut-nahas-di-laluan-Merapoh


Treler terbalik: Berpantang maut sebelum ajal




16 Mac 2013
LEDANG - Berpantang maut sebelum ajal. Itu yang berlaku ke atas seorang pemandu yang terselamat apabila treler dipandunya terbalik selepas terbabit dalam kemalangan di Kilometer 158.3 Lebuh Raya Utara Selatan arah selatan, semalam.

Kemalangan yang berlaku kira-kira jam 10 pagi itu membabitkan dua kenderaan menyebabkan lebuh raya sesak sejauh empat kilometer setelah treler yang sarat membawa muatan kertas kitar semula terbalik lalu  merentangi lebuh raya.

Pemandu treler berkenaan Azwan Ahmad, 29, berkata,  dia dalam perjalanan dari Pulau Pinang ke Simpang Renggam, Johor.

Menurutnya, sebelum berlakunya  kejadian itu dia sempat  melihat melalui cermin belakang dan terlihat sebuah kereta Honda City di laluan kanan arah yang sama  hilang kawalan sebelum menghimpit treler dipandunya.

“Saya cuba elak  kereta itu  dengan memasuki  laluan kecemasan tapi tidak berjaya menyebabkan belakang treler terangkat lalu berpusing sebelum treler terbalik merentangi lebuh raya.

“Dalam situasi sukar dengan keadaan  kepala di bawah dan kaki di atas, saya berusaha untuk keluar selepas terperangkap dalam treler hampir lima minit,” katanya.

Azwan berkata, dia segera menyelamatkan diri kerana bimbang keadaan treler itu yang berkemungkinan boleh meletup secara tiba-tiba.

Menurutnya,  kejadian itu menjadi pengalaman ngeri sepanjang empat tahun menjadi pemandu treler, namun dia bersyukur kerana terselamat.

Sementara itu Ketua Polis Daerah Ledang, Superintendan Harun Idris ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan itu.

Menurutnya, pemandu kereta berkenaan iaitu wanita berusia 40an selamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan dipercayai memandu laju kenderaan itu sebelum hilang kawalan lalu menghimpit treler terlibat.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 43 Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan minta saksi kejadian tampil untuk bantu siasatan,” katanya.

Sumber:
http://www.sinarharian.com.my/edisi/johor/treler-terbalik-cetus-sesak-1.140186



Suami isteri maut bertembung treler




Inalillahi wainailaihi rojiun

16 Mac 2013
TAPAH - Pasangan suami isteri maut manakala dua anak mereka parah dalam satu kemalangan membabitkan empat kenderaan termasuk sebuah lori di Kilometer 53 Jalan Ipoh - Kuala Lumpur, pagi semalam.


Dalam kejadian kira-kira jam 11.50 pagi itu, Zainol Romli, 62, maut di tempat kejadian manakala isterinya, Sarimah Salleh, 38, meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Tapah kira-kira jam 4 petang.

Ketika kejadian, mangsa yang menaiki kereta jenis Perodua Kancil bersama dua anak mereka yang dikenali Norhidayah Suhaimi, 19, dan Mohd Adam Haziq, 3, dalam perjalanan dari Tapah ke Kampar.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Som Sak Din Keliaw berkata, ketika tiba di tempat kejadian, kenderaan yang dipandu Zainol masuk ke laluan bertentangan sebelum bertembung dengan sebuah lori muatan pasir.

Menurutnya, pertembungan itu menyebabkan kereta mangsa berpusing di tengah jalan sementara lori berkenaan terbabas ke kanan jalan lalu terbalik merintangi laluan.



“Dalam masa sama, sebuah kereta jenis Perodua Myvi dari arah Tapah ke Kampar tidak sempat mengelak dan turut melanggar kereta yang dinaiki mangsa.

“Sebuah pacuan empat roda yang dinaiki empat penumpang juga tidak sempat mengelak lalu merempuh lori yang merentangi laluan berkenaan,” katanya.

Mangsa maut di tempat kejadian

Kedua-dua mangsa yang berasal dari Kampung Chendek Pura, Mukim Kedawang, Langkawi, Kedah meninggal dunia akibat kecederaan parah di bahagian kepala, sementara anak mangsa masih dirawat di Hospital Tapah.

Pemandu dan penumpang di dalam kereta Myvi, pacuan empat roda dan lori tidak mengalami sebarang kecederaan. Som Sak berkata, buat masa ini, siasatan lanjut masih dijalankan di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

10 minit keluarkan mangsa tersepit

Ketua Bomba dan Penyelamat Tapah, Meor Mohd Ali Meor Husien berkata, operasi menyelamat yang diketuai oleh Ketua Operasi Abd Kadir Awang itu tiba di tempat kejadian pada jam 12.02 tengah hari sebaik menerima panggilan kira-kira jam 11.56 pagi.

Menurutnya, akibat kesan remuk yang teruk pada bahagian hadapan kereta, sembilan anggota bomba yang tiba dengan sebuah jentera dan dua motosikal mengambil kira-kira 10 minit untuk mengeluarkan semua mangsa tersepit.

“Ketika operasi menyelamat mangsa, kita dapati pemandu kereta sudah meninggal dunia di tempat kejadian, manakala tiga yang lain dalam keadaan parah sebelum dihantar ke Hospital Tapah.

“Operasi menyelamat berakhir pada jam 12.32 tengah hari,” katanya.

Al-Fatihah

Sumber:
http://www.sinarharian.com.my/edisi/perak/maut-bertembung-treler-1.140039


3 kenderaan remuk




16 Mac 2013
ROMPIN – Tiga tercedera selepas tiga kenderaan berasingan yang dinaiki mereka terlibat dalam satu kemalangan di Jalan Dato’ Shahbandar Felda Keratong 3, Bandar Tun Razak, di sini, petang semalam.

Ketua Polis Daerah Rompin, Deputi Superintendan Johari Jahaya berkata, dalam kejadian jam 3.30 petang itu, Proton Wira dari arah Bahau Negeri Sembilan menuju Keratong 2 masuk ke laluan bertentangan sebelum bergeser dengan Toyota Hilux dari arah hadapannya.

Menurutnya, Toyota Hilux yang dalam perjalanan ke Keratong 3 tidak sempat mengelak menyebabkan Proton Wira terbabit masuk ke laluan bertentangan lalu bergeser dan merempuh bahagian belakang sebelah kanan kenderaan tersebut.

“Akibat rempuhan kuat itu, Proton Wira yang masih bergerak terus melanggar bahagian depan sebuah kereta Proton Saga yang ketika itu berada di belakang Hilux terbabit,” katanya.

Johari berkata, Proton Wira yang bergeser dengan kedua-dua kenderaan itu remuk di bahagian depan.

Menurutnya, mangsa yang menaiki Proton Wira dipercayai pasangan suami isteri itu mengalami kecederaan ringan dan dibawa ke Klinik Kesihatan Bandar Tun Razak untuk rawatan susulan.

“Kami difahamkan suaminya mengalami luka di bahagian dagu, tangan dan kaki, sementara isterinya mengadu sakit di bahagian dada.

“Pemandu Toyota Hilux pula tidak tercedera, sementara seorang pemandu Proton Saga mengalami luka ringan di bahagian tangan dan kaki,” katanya.

Beliau berkata, pemandu seharusnya mengambil langkah keselamatan ketika berada di jalan raya bagi mengelakkan risiko kemalangan.

“Kita tidak mahu atas kesilapan dan kecuaian diri sendiri menyebabkan pengguna jalan lain pula yang terpaksa menanggung derita, sedangkan mereka sudah memandu dengan berhati-hati,” katanya.

Sumber:
http://www.sinarharian.com.my/edisi/pahang/tiga-kenderaan-remuk-teruk-1.140025


Guru nyaris rentung





16 Mac 2013
KUALA TERENGGANU - Tanpa menghiraukan rasa sakit, seorang guru bertindak nekad memecahkan cermin tingkap kereta di sebelah penumpang dengan kaki untuk menyelamatkan diri bersama anak serta pelajarnya, daripada terbakar dalam kemalangan berhampiran persimpangan Batu Burok di Jalan Kamarudin, malam kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 8.20 malam itu, Zalina Hassan, 45, bersama anaknya, Ros Qistina Rosli, 16, dan dua pelajar tingkatan lima dalam perjalanan ke sebuah klinik di Jalan Kamarudin, di sini, sebelum kenderaan jenis Honda CRV yang dinaiki mereka bertembung dengan sebuah Proton Persona.

Dia yang bertugas sebagai Guru Penolong Kanan Hal Ehwal Murid Sekolah Menengah Agama Sultan Zainal Abidin itu berkata, ketika tiba di selekoh, dia terdengar bunyi tayar sebelum sebuah Proton Persona yang datang dari arah bertentangan terbabas lalu memasuki laluannya.

Akibat kejadian itu, kenderaannya remuk manakala Proton Persona yang terbabas dan berpusing itu terbakar di bahagian enjin.

“Saya membawa pelajar saya, Nur Amirah Mohd Rozi, 17, yang menghidap asma untuk ke klinik bagi mengambil ubat dan ditemani seorang lagi pelajar.

“Ketika sampai di selekoh berhampiran simpang itu, saya terdengar bunyi tayar, sebelum lihat sebuah Proton Persona yang dipandu seorang lelaki datang dari arah bertentangan terbabas memasuki laluan saya,” katanya.

Jelasnya, dia cuba mengelak daripada dirempuh dengan menghimpit ke kiri jalan dan memberhentikan kenderaan bagi mengelakkan kemalangan, namun kereta itu terbabas lalu merempuh keretanya.

Selepas itu, Proton Pesona terbabit terbakar dan bahangnya terasa, menyebabkan dia bertindak nekad memecahkan cermin kereta untuk menyelamatkan diri bersama anak serta pelajarnya.

Kesemua mereka berjaya menyelamatkan diri dan dihantar ke Hospital Sultanah Nur Zahirah, di sini, oleh orang awam yang kebetulan melalui tempat kejadian.

Difahamkan, kejadian itu turut menyebabkan pemandu Proton Persona terbabit patah tangan dan paha kiri.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu Asisten Komisioner Zamri Shamsuddin ketika dihubungi berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sumber:
http://www.sinarharian.com.my/edisi/terengganu/tendang-cermin-kereta-1.140017



Thursday, March 14, 2013

Rasa gelisah penanda kemalangan




14 Mac 2013
KUALA TERENGGANU – Rasa gelisah seorang pembantu akauntan ketika sedang memandu kereta akhirnya terjawab selepas dia terbabit dengan kemalangan semalam.

Dalam kejadian jam 7.25 pagi itu, akauntan terbabit melaungkan takbir sebanyak tiga kali apabila kereta dipandunya terbabit kemalangan dengan kenderaan lain di persimpangan tiga dekat Jambatan Kuala Ibai di sini, semalam.

Akibatnya, kereta Perodua Alza dipandu Sabariah Mohamad, 43, remuk selepas melanggar bahagian belakang kereta Perodua Myvi dipandu seorang guru yang dalam perjalanan dari Kuala Terengganu ke Marang.

Sabariah berkata, kemalangan itu berlaku apabila kereta dipandu guru terbabit secara tiba-tiba berhenti di tengah-tengah jalan, menyebabkan dia gagal mengelak lalu merempuh bahagian belakang kenderaan berkenaan.

Menurutnya yang bekerja di Pelabuhan Chendering itu, dia tiada pilihan kecuali merempuh belakang kereta yang berada di hadapannya dan ketika itu, dia masih tidak berhenti membaca ayat-ayat suci al-Quran selepas melaungkan takbir sebanyak tiga kali.

Sebelum detik cemas itu berlaku, Sabariah berkata, lima kilometer sebelum tiba di tempat kejadian, dia berasa begitu gelisah dan secara spontan terus melaungkan takbir ‘ALLAH Hu Akhbar’ seterusnya membaca ayat-ayat suci al-Quran.

“Malah sebelum bertolak dari rumah di Batu Enam, hati berat nak tinggal tiga anak di rumah ibu kerana pengasuh mereka tak sihat, namun bila fikir susah nak minta cuti kecemasan, saya terpaksa tinggalkan mereka.

“Saya bertolak ke Chendering dan hati menjadi lebih gelisah ketika melalui jalan berdekatan sebuah hotel di Kuala Terengganu, lima kilometer dari tempat kejadian,” katanya.

Bagaimanapun Sabariah dan guru terbabit terselamat serta tidak alami kecederaan serius.

Mereka kemudiannya menghubungi talian kecemasan untuk tindakan lanjut.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Zamri Shamsuddin ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berkenaan.

Sumber:
http://www.sinarharian.com.my/semasa/laung-takbir-3-kali-sebelum-nahas-1.139356


Kakitangan AADK maut bergesel lori




Inalillahi wainailaihi rojiun

14 Mac 2013
BENTONG – Hasrat seorang bapa menghantar untuk anak ke sekolah tidak kesampaian apabila maut dalam kemalangan di Kilometer 0.5 Jalan Bentong-Karak kira-kira jam 7.30 pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Mohamad Mansor Mohd Nor berkata, mangsa, Fairus Izzuan Mohd Baharudin, 33, beralamat di Taman Saga bekerja di Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Bentong.

Katanya, mangsa dalam perjalanan dari arah Bentong ke Karak menunggang motosikal jenis Modenas Karisma bersama anak lelaki berusia tujuh tahun.

“Apabila sampai di tempat kejadian, motosikal mangsa dipercayai bergesel dengan bahagian belakang sebuah lori tangki dari arah sama dan kemudiannya terjatuh.

“Mangsa kemudian dipercayai digilis tayar belakang lori itu dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di bahagian kepala,” katanya.

Mohamad Mansor berkata, anaknya pula sempat diselamatkan orang awam dan tidak mengalami sebarang kecederaan.

Katanya, mayat mangsa kemudian di bawa ke Hospital Bentong untuk dibedah siasat sebelum dituntut ahli keluarga untuk dikebumikan.

“Siasatan masih diteruskan di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan orang awam yang mempunyai maklumat diminta tampil membantu siasatan,” katanya.

Sumber:
http://www.sinarharian.com.my/edisi/pahang/tidak-sempat-hantar-anak-kakitangan-aadk-maut-digilis-lori-tangki-1.139443


Tuesday, March 12, 2013

2 Maut van terjunam dalam sungai


12 Mac 2013
KUALA LUMPUR - Seorang lelaki dan wanita maut selepas van dinaiki mereka terjunam ke dalam Sungai Bonus di KM 8.1 dekat Lebuhraya Duta-Ulu Kelang (Duke) di sini hari ini.
 
Kejadian kira-kira 2 petang itu berlaku apabila van yang dipercayai dipandu laju terbabas ke kiri jalan sebelum merempuh besi penghadang dan terjunam ke sungai.
 
"Akibatnya, van yang dipandu G. Logesvaran, 21, dan G. Nirmaladevi, 41, yang merupakan penumpang maut di tempat kejadian," kata Pegawai Turus Siasatan dan Perundangan Trafik Kuala Lumpur DSP Abdullah Roning ketika dihubungi Bernama.
 
Bagaimanapun, kaitan antara kedua-dua mangsa belum dapat dipastikan.
 
Beliau berkata mayat kedua-dua mangsa dihantar ke Hospital Kuala Lumpur untuk bedah siasat, dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
 
Dua jentera bomba dengan bantuan Jabatan Pertahanan Awam dilihat berada di lokasi kejadian untuk mengeluarkan mayat mangsa. - Bernama

Sumber:
http://www.sinarharian.com.my/semasa/dua-maut-van-terjunam-ke-sungai-1.139022


Pemandu bas parah rempuh lori tangki minyak




12 Mac 2013
ALOR GAJAH - Seorang pemandu bas ekspres parah manakala dua penumpang cedera ringan selepas bas yang dinaiki merempuh belakang sebuah lori tangki minyak di Kilometer 205 Lebuhraya Plus arah utara di sini, petang semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 3.45 petang itu, bas dipandu, Tengku Syed Iskandar Tengku Syed Fhakri, 23, bersama empat penumpang dari Larkin, Johor, menuju Kuala Lumpur, hilang kawalan sebelum merempuh belakang lori tangki dipandu, P Daniel, 34.

Jurucakap polis berkata, bas yang dipandu di lorong kiri terhuyung-hayang sebelum merempuh belakang lori tangki sehingga berlaku tumpahan minyak di atas jalan raya.

Menurutnya, selepas itu, bas itu hilang kawalan lalu terbabas sebelum merempuh besi pembahagi lebuhraya.

“Rempuhan itu mengakibatkan pemandu bas berkenaan tersepit dan dikeluarkan orang awam sebelum bantuan kecemasan tiba," katanya.

Sementara itu, Daniel berkata, dia yang memandu di lorong kiri dari Singapura menuju Rawang, Selangor.

“Saya terkejut apabila lori tiba-tiba bergegar dan merasakan ia meluncur laju, namun saya berjaya mengawalnya dan berhenti di persimpangan ke kawasan Rehat dan Rawat Ayer Keroh.

"Sebaik turun, saya mendapati bahagian belakang lori sudah remuk dan berlaku tumpahan minyak,” katanya yang membawa muatan minyak hitam untuk diproses di sebuah kilang di Bukit Beruntung.

Ketua Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Ayer Keroh, PBK2 Mohd Asraf Abdullah berkata, pihaknya menerima panggilan daripada orang awam pada jam 4.05 petang sebelum bergegas ke lokasi kejadian.

“Seramai sebelas anggota dengan dua jentera dihantar ke tempat kejadian,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Umar Ali Saifuddin Shaharuddin mengesahkan kemalangan itu dan kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Dua penumpang berkenaan adalah Salim Abdul Samad, 47, dan Mohamad Syukur, 22, yang juga warga Bangladesh.

Sumber:
http://www.sinarharian.com.my/edisi/melaka-ns/pemandu-bas-ekspres-parah-1.138698


Monday, March 11, 2013

Bapa maut bersama anak 7bulan




Inalillahi wainailaihi rojiun

11 Mac 2013
JEMPOL - Seorang bayi lelaki tujuh bulan bersama bapanya maut setelah kenderaan yang dinaiki dirempuh sebuah lori satu tan di Jalan Besar Felda Palong Satu, dekat sini dalam kejadian kira-kira 8.15 malam kelmarin.

Dalam kejadian itu, kereta Proton Wira dinaiki Nor Shahrizan Nordin, 32, bersama isteri, Noraini Atan, 27, dua anak, Muhammad Danish Irfan, 4, Muhammad Danish Farhan, 7 bulan; ayah mangsa, Nordin Sidek, 59 dan isteri, Sawiyah Tompang, 59, dalam perjalanan pulang ke rumah di Felda Palong Lapan.

Ketua Polis daerah Jempol, Superintendan Hamzah Alias berkata, sewaktu tiba di tempat kejadian, sebuah lori satu tan datang dari arah bertentangan dan dipercayai hilang kawalan

Menurutnya, lori itu tidak sempat mengelak sebelum merempuh kereta dinaiki mangsa menyebabkan kereta remuk teruk di bahagian hadapan.

“Muhammad Danish meninggal dunia ketika tiba di Klinik Kesihatan Gemas manakala ayahnya, Nor Shahrizan maut pada 2.45 pagi tadi (semalam) ketika mendapatkan rawatan di Hospital Tuanku Ampuah Najihah (HTAN), Kuala Pilah.

“Nordin yang cedera parah menerima rawatan di Hospital Tuanku Jaafar (HTJ) Seremban manakala ahli keluarga lain menerima rawatan di Hospital Segamat. Pemandu dan kelindan lori hanya mengalami kecederaan ringan,” katanya ketika mengesahkan kejadian itu, semalam.

Kedua-dua jenazah dikebumikan di Tanah Perkuburan Felda Palong Lapan, semalam.

Sumber:
http://www.sinarharian.com.my/edisi/melaka-ns/bayi-tujuh-bulan-bapa-maut-1.138408


Pengawal keselamatan maut




11 Mac 2013
BUKIT SERINDIT - Seorang pengawal keselamatan maut selepas motosikal ditunggang bertembung dengan sebuah kereta  di Jalan Bukit Serindit, berhampiran Stadium Bukit Serindit di sini, malam kelmarin.

Mangsa, R Pattmanathan, 29, yang menetap di Bukit Baru dekat sini, maut di tempat kejadian dipercayai akibat kecederaan pada anggota badan yang dialaminya.

Rempuhan tersebut turut mengakibatkan motosikal jenis Modenas Kriss yang ditunggangnya hancur selain kereta Toyota Camry dipandu seorang Chuah Choon Keang, 32 remuk di bahagian hadapan sebelah kiri.

Ketua Jabatan Ketenteraman Awam dan Trafik negeri, Superintendan Ahmad Adnan Basri ketika dihubungi berkata, mangsa sebelum kejadian datang dari arah persimpangan lampu isyarat Semabok ke arah persimpangan Lebuh Alor Gajah-Melaka Tengah-Jasin (AMJ)/ Bukti Piatu.

“Namun apabila tiba di lokasi, motosikal berkenaan terbabas masuk ke laluan bertentangan lalu bertembung kereta dipandu Choon Keang yang datang dari persimpangan Lebuh AMJ/Bukit Piatu menghala persimpangan lampu isyarat Semabok,” katanya.

Menurutnya, mangsa yang terjatuh dari motosikal kemudian disahkan mati sebelum dibawa ke Hospital Melaka untuk dibedah siasat.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Sumber:
http://www.sinarharian.com.my/edisi/melaka-ns/pengawal-keselamatan-maut-1.138498





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Headlines

FeedBurner FeedCount