loading...

Saturday, March 16, 2013

Guru nyaris rentung





16 Mac 2013
KUALA TERENGGANU - Tanpa menghiraukan rasa sakit, seorang guru bertindak nekad memecahkan cermin tingkap kereta di sebelah penumpang dengan kaki untuk menyelamatkan diri bersama anak serta pelajarnya, daripada terbakar dalam kemalangan berhampiran persimpangan Batu Burok di Jalan Kamarudin, malam kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 8.20 malam itu, Zalina Hassan, 45, bersama anaknya, Ros Qistina Rosli, 16, dan dua pelajar tingkatan lima dalam perjalanan ke sebuah klinik di Jalan Kamarudin, di sini, sebelum kenderaan jenis Honda CRV yang dinaiki mereka bertembung dengan sebuah Proton Persona.

Dia yang bertugas sebagai Guru Penolong Kanan Hal Ehwal Murid Sekolah Menengah Agama Sultan Zainal Abidin itu berkata, ketika tiba di selekoh, dia terdengar bunyi tayar sebelum sebuah Proton Persona yang datang dari arah bertentangan terbabas lalu memasuki laluannya.

Akibat kejadian itu, kenderaannya remuk manakala Proton Persona yang terbabas dan berpusing itu terbakar di bahagian enjin.

“Saya membawa pelajar saya, Nur Amirah Mohd Rozi, 17, yang menghidap asma untuk ke klinik bagi mengambil ubat dan ditemani seorang lagi pelajar.

“Ketika sampai di selekoh berhampiran simpang itu, saya terdengar bunyi tayar, sebelum lihat sebuah Proton Persona yang dipandu seorang lelaki datang dari arah bertentangan terbabas memasuki laluan saya,” katanya.

Jelasnya, dia cuba mengelak daripada dirempuh dengan menghimpit ke kiri jalan dan memberhentikan kenderaan bagi mengelakkan kemalangan, namun kereta itu terbabas lalu merempuh keretanya.

Selepas itu, Proton Pesona terbabit terbakar dan bahangnya terasa, menyebabkan dia bertindak nekad memecahkan cermin kereta untuk menyelamatkan diri bersama anak serta pelajarnya.

Kesemua mereka berjaya menyelamatkan diri dan dihantar ke Hospital Sultanah Nur Zahirah, di sini, oleh orang awam yang kebetulan melalui tempat kejadian.

Difahamkan, kejadian itu turut menyebabkan pemandu Proton Persona terbabit patah tangan dan paha kiri.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu Asisten Komisioner Zamri Shamsuddin ketika dihubungi berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sumber:
http://www.sinarharian.com.my/edisi/terengganu/tendang-cermin-kereta-1.140017



No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Headlines

FeedBurner FeedCount

Blogged.my