loading...

Thursday, March 14, 2013

Rasa gelisah penanda kemalangan




14 Mac 2013
KUALA TERENGGANU – Rasa gelisah seorang pembantu akauntan ketika sedang memandu kereta akhirnya terjawab selepas dia terbabit dengan kemalangan semalam.

Dalam kejadian jam 7.25 pagi itu, akauntan terbabit melaungkan takbir sebanyak tiga kali apabila kereta dipandunya terbabit kemalangan dengan kenderaan lain di persimpangan tiga dekat Jambatan Kuala Ibai di sini, semalam.

Akibatnya, kereta Perodua Alza dipandu Sabariah Mohamad, 43, remuk selepas melanggar bahagian belakang kereta Perodua Myvi dipandu seorang guru yang dalam perjalanan dari Kuala Terengganu ke Marang.

Sabariah berkata, kemalangan itu berlaku apabila kereta dipandu guru terbabit secara tiba-tiba berhenti di tengah-tengah jalan, menyebabkan dia gagal mengelak lalu merempuh bahagian belakang kenderaan berkenaan.

Menurutnya yang bekerja di Pelabuhan Chendering itu, dia tiada pilihan kecuali merempuh belakang kereta yang berada di hadapannya dan ketika itu, dia masih tidak berhenti membaca ayat-ayat suci al-Quran selepas melaungkan takbir sebanyak tiga kali.

Sebelum detik cemas itu berlaku, Sabariah berkata, lima kilometer sebelum tiba di tempat kejadian, dia berasa begitu gelisah dan secara spontan terus melaungkan takbir ‘ALLAH Hu Akhbar’ seterusnya membaca ayat-ayat suci al-Quran.

“Malah sebelum bertolak dari rumah di Batu Enam, hati berat nak tinggal tiga anak di rumah ibu kerana pengasuh mereka tak sihat, namun bila fikir susah nak minta cuti kecemasan, saya terpaksa tinggalkan mereka.

“Saya bertolak ke Chendering dan hati menjadi lebih gelisah ketika melalui jalan berdekatan sebuah hotel di Kuala Terengganu, lima kilometer dari tempat kejadian,” katanya.

Bagaimanapun Sabariah dan guru terbabit terselamat serta tidak alami kecederaan serius.

Mereka kemudiannya menghubungi talian kecemasan untuk tindakan lanjut.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Zamri Shamsuddin ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berkenaan.

Sumber:
http://www.sinarharian.com.my/semasa/laung-takbir-3-kali-sebelum-nahas-1.139356


No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Headlines

FeedBurner FeedCount

Blogged.my