loading...

Friday, September 21, 2012

Pekerja KLIA maut bertembung lori


Inalillahi wainailaihi rojiun

PORT DICKSON – Perjalanan pulang  enam pekerja Lapangan Terbang Antarabangsa (KLIA) ke rumah masing-masing berakhir tragedi apabila van dinaiki mereka terbabit kemalangan menyebabkan seorang daripadanya maut, semalam.

Kejadian berlaku kira-kira 10.10 pagi di Kilometer 21 Jalan Lukut - Sepang, Tanah Merah, di sini, semalam apabila van yang membawa pulang kesemua enam pekerja terbabit bertembung dengan sebuah lori tangki minyak dan gas.

Mangsa yang meninggal dunia dikenali sebagai Mek Siti Mera Ibrahim, 53, yang merupakan pencuci kabin kapal terbang di KLIA.

Manakala, lima lagi penumpang van iaitu dua lelaki dan tiga wanita cedera parah dan dikejarkan ke Hospital Tuanku Jaafar (HTJ), Seremban untuk rawatan.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Abd Wahab Harun berkata, siasatan awal mendapati van yang dipandu seorang lelaki berusia 25 tahun dari arah Sepang ke Lukut hilang kawalan  akibat mengantuk.

"Akibatnya, van berkenaan masuk ke laluan bertentangan dan bertembung dengan sebuah lori yang datang dari arah Lukut ke Sepang," katanya.

Menurutnya, Mek Siti Mera tersepit di tempat duduk penumpang hadapan dan dikeluarkan dengan bantuan anggota Bomba dan Penyelamat.

"Pemandu van itu hanya cedera ringan, manakala pemandu lori berusia 30 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan," katanya.


Pemintaan terakhir isteri

Suami Mek Siti Mera, Rosmin Sarkawi, 57, berkata, isterinya pergi kerja dengan menaiki van majikan mengikut syif.

“Semalam (kelmarin) isteri saya keluar rumah kira-kira 7.30 malam dengan menaiki van disediakan majikan.

“Pagi tadi (semalam) saya dapat panggilan dari adik ipar kira-kira 11 pagi memaklumkan mengenai kejadian ini," katanya ketika ditemui Sinar Harian di Rumah Mayat Hospital Port Dickson (HPD), semalam.

Rosmin redha dengan pemergian isterinya itu, bagaimanapun tidak menyangka isterinya akan meninggalkan dia dan keluarga dengan keadaan menyayat hati.

Menurutnya, semalam (kelmarin) isterinya juga ada menyatakan hasrat mahu kawasan luar bilik air rumahnya yang kini sedang diubah suai turut dipasang mozek.

“Itulah permintaan terakhir isteri saya. Malam itu, saya dan isteri sempat keluar makan malam  bersama di sebuah kedai," katanya yang merupakan seorang pesara tentera.

Jenazah Mek Siti Mera dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Telok Kemang, di sini selepas solat Isyak, malam tadi.

Hasil perkahwinan dengan Rosmin, Mek Siti Mera meninggalkan empat orang anak  iaitu Khairul Emy, 33, Izham, 32, Dini Asyraf, 20, Shahir Azrin, 18, dan seorang anak angkat, Azwan Abdullah, 5.


Rakan tangisi pemergian

Pemergian Mek Siti Mera yang maut dalam kemalangan itu turut dirasai rakan-rakan baiknya.

Rohani Dollah, 42, berkata, dia terkilan kerana sepatutnya dia bertemu dengan arwah kira-kira 11 pagi semalam di rumahnya.

“Suami arwah mempelawa saya datang ke rumah pada 11 pagi untuk mengambil barang memandangkan rumahnya sedang diubah suai.

“Jam 11 pagi adalah waktu kebiasaan Mek Siti Mera sudah sampai rumah dari tempat kerja," katanya.

Sementara seorang lagi rakan baiknya, Endon Abdullah, 49, berkata, Mek Siti Mera merupakan seorang pekerja yang rajin dan sentiasa berusaha keras untuk menambah pendapatan keluarga.

Al-Fatihah

Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/melaka-ns/tragedi-pulang-dari-kerja-1.87473


Thursday, September 20, 2012

Maut ketila melintas jalan

NIBONG TEBAL - Seorang lelaki maut selepas dilanggar sebuah kenderaan ketika sedang melintas jalan di Jalan Besar, Simpang Ampat di sini kira-kira 1.10 pagi tadi.
    
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan (SPS) Supt Shafien Mamat berkata mangsa M. Mathivanan, 57, yang tinggal di Taman Cegar iaitu tidak jauh dari tempat kemalangan, mati di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala.
  
"Mangsa yang berjalan kaki sedang dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Taman Cegar selepas keluar minum bersama rakan-rakannya.
  
"Ketika melintas jalan, sebuah kenderaan telah melanggar mangsa dan meninggalkan tempat kejadian. Polis sedang kenal pasti kenderaan yang terlibat dalam kemalangan itu," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
   
Katanya mayat mangsa dihantar ke Hospital Sungai Bakap untuk dibedah siasat dan kes itu disiasat menurut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1957.
   
Beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kemalangan itu agar menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah SPS di talian 04-5824222 atau mana-mana balai polis berdekatan bagi membantu siasatan. - Bernama


Maut dilanggar treler



SUNGAI PETANI – Seorang lelaki maut terbabit dalam kemalangan apabila motosikal yang dinaiki bersama seorang rakan dilanggar sebuah treler dari belakang dekat laluan Laguna Merbok–Sungai Layar di sini, kira-kira jam 1 petang, kelmarin.

Mangsa dipercayai berusia 30-an sedang dalam perjalanan dari arah Plaza Tol Sungai Petani Utara ingin membelok ke Bandar Laguna Merbok sebelum dilanggar sebuah lori yang datang dari arah sama.

Saksi kejadian, Syed Fuad Syed Osman, 27, berkata, pada mulanya dia nampak motosikal yang dinaiki dua lelaki berada di hadapan sebuah lori.

“Apabila sampai di simpang empat Bandar Laguna Merbok, motosikal itu ingin membelok ke kanan.

“Bagaimanapun, secara tiba-tiba treler yang ingin meneruskan perjalanan ke arah Sungai Layar itu mungkin menambah had laju kerana melihat lampu isyarat hijau terus merempuh kedua-dua mangsa,” katanya.

Akibat rempuhan itu, mangsa maut di lokasi kejadian, manakala rakan mangsa yang cedera parah dikejarkan ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) Sungai Petani.

Tinjauan ke lokasi kejadian mendapati, motosikal mangsa masih menunjukkan isyarat ingin membelok berdasarkan ‘signal’ yang masih terpasang, manakala pemandu lori difahamkan tiada di lokasi kejadian.

Jurucakap polis berkata, kemalangan menyebabkan seorang maut, manakala rakan mangsa yang cedera dibawa ke HSAH untuk rawatan lanjut.

Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/utara/maut-dilanggar-treler-1.86680



Laluan maut Kampung Paya Lebar



ALOR GAJAH - Persimpangan laluan maut Kampung Paya Lebar - Ayer Molek, di sini menyaksikan satu lagi kemalangan membabitkan sebuah kereta yang dinaiki seorang lelaki, malam kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira 11 malam itu, mangsa, Rama, 28, dari Rumah Rakyat Lubok China, dekat sini, nyaris maut apabila kereta jenis Proton Saga dipandunya hilang kawalan dan terbabas di persimpangan berkenaan.

Dia yang memandu sendirian ke tempat kerjanya di sebuah ladang sawit di Kuala Linggi bagaimanapun hanya cedera di badan dan dikatakan sering melalui jalan berkenaan sebelum ini.

Difahamkan, persimpangan berkenaan boleh dianggap sebagai laluan maut oleh penduduk sekitar berikutan sebelum ini pernah berlaku insiden sama sehingga meragut nyawa.

Sementara itu, Exco Kerja Raya dan Kemudahan Awam negeri, Datuk Abd Karim Sulaiman berkata, persimpangan berkenaan merupakan laluan utama penduduk ke Lubok China - Kuala Sungai Baru - Masjid Tanah.

"Ketiadaan kemudahan lampu isyarat di persimpangan berkenaan dipercayai menjadi sebab beberapa kemalangan sering berlaku termasuk penunggang motosikal.

“Saya anggap simpang tiga Kampung Paya Lebar - Ayer Molek ini sebagai persimpangan maut dan tidak selamat kepada pengguna jalanraya yang terdedah kepada kemalangan bila-bila masa,” katanya. Lebih membimbangkan,  katanya, laluan  ergelap juga membuka peluang kepada penjenayah melakukan aktiviti jenayah mereka di kawasan itu pada waktu malam.

“Saya berharap Majlis perbandaranAlor Gajah (MPAG) dapat selesaikan masalah ini dengan segera," katanya.

Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/melaka-ns/laluan-maut-hampir-ragut-nyawa-lagi-1.86854




Wednesday, September 19, 2012

Banduan bertindak agresif


KUANTAN - Seorang banduan yang melarikan diri daripada kawalan polis selepas kereta yang dinaiki terlibat dalam kemalangan jalan raya semalam, berjaya ditahan semula di Taman Dato Rashid, di sini malam tadi.
  
Banduan berusia 32 tahun itu ditahan pada pukul 10.25 malam apabila dia keluar dari tempat persembunyiannya dan meminta air di sebuah rumah penduduk di taman itu.
  
Ketua Polis Daerah Kuantan ACP Mohd Jasmani Yusoff berkata banduan terbabit juga minta dibukakan gari namun penduduk kampung segera memaklumkannya kepada polis.
   
"Banduan itu tidak cedera, hanya sedikit calar di muka kesan daripada kemalangan itu dan dia cuba melarikan diri tetapi berjaya diberkas polis," katanya ketika dihubungi di sini.
  
Beliau berkata banduan terbabit dibawa ke lokap Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan sebelum dihantar ke Penjara Penor hari ini.
 
Semalam, tiga anggota polis parah selepas kereta polis yang membawa banduan itu hilang kawalan lalu merempuh belakang sebuah lori rosak yang diletakkan di bahu jalan dekat Taman Dato Rashid di sini.
  
Dalam kejadian 11.45 pagi itu, kereta polis berkenaan dalam perjalanan membawa banduan terbabit yang baru dijatuhkan hukuman atas kesalahan di bawah Seksyen 39 A (2) Akta Dadah Berbahaya 1953 dari Ibu Pejabat Polis (IPD) Kuala Berang, Terengganu menuju ke Penjara Penor, di sini.
  
Banduan yang dijatuhi hukuman penjara lapan tahun dan 10 sebatan itu dikatakan bertindak agresif dengan menendang kerusi pemandu kereta polis itu menyebabkan ia hilang kawalan. - Bernama

Monday, September 17, 2012

Akibat melanggar isyarat merah


SUNGAI BULOH: Dua maut manakala tiga lagi parah dalam kemalangan di persimpangan lampu isyarat berhampiran Pusat Penyelidikan Getah Malaysia (RRIM), Jalan Sungai Buloh-Subang, di sini, awal pagi semalam.


Mangsa, T Jeganathan, 22, dan T Kanikanan, 27, adalah penumpang kereta Proton Wira dan mereka maut di tempat kejadian akibat parah di kepala dan badan.


Kejadian jam 3.10 pagi itu dipercayai berlaku apabila Proton Wira dari Sungai Buloh yang dinaiki mangsa membelok ke kanan untuk memasuki persimpangan stesen berkenaan sebelum dirempuh sebuah Proton Waja.

Sumber polis trafik berkata, Proton Waja dari Subang itu tidak sempat mengelak dan merempuh bahagian kiri Proton Wira dinaiki mangsa.


“Akibat rempuhan kuat itu, Proton Waja terbabit berpusing ke arah bertentangan manakala Proton Wira pula terseret beberapa meter,” katanya.


Difahamkan, kejadian itu dipercayai berlaku apabila sebuah daripada kereta terbabit melanggar lampu isyarat merah.

Ketua Turus Trafik Selangor, Deputi Superintendan Azmi Mansor mengesahkan kejadian itu dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.


Dalam kejadian berasingan di Kilometer 20 Lebuhraya Karak arah Tol Gombak, seorang penunggang motosikal maut selepas terbabas.

Mangsa, Raja Mohamad Fahmy Izzudin Raja Zulkifli, 21, yang menerima rawatan di Hospital Selayang disahkan meninggal dunia jam 10 pagi, tiga jam selepas kejadian itu.


Difahamkan, mangsa dalam perjalanan ke tempat kerja di Bandar Sunway menunggang dalam keadaan hujan lebat menyebabkan motosikalnya hilang kawalan dan terbabas.


Polis meminta saksi kejadian tampil ke balai polis berhampiran atau menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Rasha Azrul Shafii di talian 03- 6126222/2273.

Sumber:
hmetro.com.my/myMetro/articles/Padahlanggarlampumerah/Article/index_html
ntv7.com.my/7edition/local-en/world_brief_1347762527.html



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Headlines

FeedBurner FeedCount