loading...

Saturday, December 28, 2013

Maut ke tempat kerja



29 Disember 2013
AYER KEROH - Seorang pencuci kereta tidak sempat ke tempat kerja apabila maut selepas terbabit dalam kemalangan di Jalan Gapam, dekat sini, semalam.

Mangsa, W R Jeeva Rajah, 24, maut di tempat kejadian akibat cedera parah apabila motosikal ditungganginya terbabas lalu melanggar sebatang tiang lampu.

Mangsa yang menunggang sendirian ke tempat kerja di Bamban, Jasin itu turut terjatuh di tepi longkang konkrit dalam kejadian kira-kira 7.15 pagi.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Salehhudin Abd Rahman berkata, Jeeva yang menetap di Tanjung Minyak dekat sini, datang dari arah Ayer Keroh terbabas sendiri ke pembahagi jalan.

“Mangsa yang menunggang motosikal jenis Yamaha 125 terbabas sendiri di pembahagi jalan lalu melanggar tiang lampu sebelum terjatuh di tepi longkang Jalan Gapam berhampiran sebuah kelab golf.

“Dia meninggal dunia di lokasi kejadian kerana dipercayai mengalami kecederaan dan pendarahan di bahagian kepala,” katanya.

Mayat mangsa dibawa ke Hospital Melaka untuk dibedah siasat dan kes siasat di bawah Seksyen 41(1)a Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sumber:
http://www.sinarharian.com.my/edisi/melaka-ns/maut-ke-tempat-kerja-1.235069



Thursday, December 26, 2013

Lori asid terbalik


26 Disember 2013
MACHANG - Sebuah lori yang membawa muatan 34 tong asid terbabas sebelum terbalik sehingga menyebabkan tumpahan di Jalan Machang-Kota Baharu di Kampung Bukit Belah di sini.

Ketua Operasi Bomba dan Penyelamat Daerah Machang, Penguasa Bomba Kanan Mohd Sabri Ismail berkata kejadian pukul 6.30 pagi tadi itu menyebabkan 20 tong yang mengandungi asid hidroklorik dan 14 tong asid nitrik bertaburan di atas jalan raya.

"Sebahagian kecil daripada tong tersebut didapati telah bocor dan penduduk berdekatan diminta mengosongkan rumah masing-masing kerana asid tersebut mampu memudaratkan kesihatan.

 "Orang ramai juga dinasihatkan supaya tidak mendekati kawasan kejadian, manakala pengguna jalan raya diarah menggunakan jalan alternatif," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Katanya lori berkenaan dalam perjalanan dari Machang menuju Kota Baharu dan terbalik di sebelah kiri jalan.
   
Seramai 33 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Machang, Ibu Pejabat Bomba dan Penyelamat Kelantan serta anggota Pasukan Unit Bahan Berbahaya (HAZMAT) terlibat dalam operasi membersihkan kawasan itu.

"Keadaan dapat dikawal dengan cepat berikutan beberapa tong sahaja yang bocor dan kami berusaha memastikan asid yang tertumpah itu tidak lagi meruap dan membahayakan orang ramai serta pengguna jalan.

"Tiada kemalangan jiwa dilaporkan manakala pemandu lori tersebut cedera ringan," katanya.

Cecair tersebut dipercayai untuk dihantar ke sebuah syarikat yang mengeluarkan sarung tangan getah di Kota Baharu. - Bernama

Sumber:
http://www.sinarharian.com.my/edisi/kelantan/lori-bawa-asid-terbalik-di-machang-1.234454



Wednesday, December 25, 2013

Bas ekspres rempuh belakang lori



26 Disember 2013
Batu Pahat: Pemandu bas cedera parah, manakala lima penumpang cedera apabila bas ekspres dinaiki mereka merempuh bahagian belakang lori yang sedang bergerak di Kilometer 109.5 Lebuhraya Utara-Selatan, jam 5.20 pagi tadi.

Berikutan kemalangan itu, bas ekspres dan lori berkenaan terhumban ke bahagian kiri lebuhraya itu menyebabkan pemandu bas berkenan tersepit di bahagian tempat duduk pemandu.

Pemandu dan kesemua penumpang bas yang cedera sudah dikejarkan ke Hospital Sultanah Nora Batu Pahat untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Sumber:
http://www.bharian.com.my/bharian/articles/Pemanduparah_5penumpangcederabasekspresrempuhlori/Article







Anak dan bapa maut nahas di Beluran



Inalillahi wainailaihi rojiun

26 Disember 2013
BELURAN: Kegembiraan empat sekeluarga yang dalam perjalanan ke Sandakan sempena cuti perayaan Natal bertukar hiba apabila dua maut manakala dua lagi cedera selepas kenderaan yang dinaiki mereka bertembung dengan sebuah lori di kilometer 80 Jalan Beluran - Telupid, dekat sini, petang semalam.

Dalam kejadian jam 5.30 petang itu, pemandu kereta jenis Perodua Alza Ahmad Rafaie Daud, 33, dan seorang anak perempuannya Nur Amani Batrissya, dipercayai meninggal dunia di tempat kejadian.

Sementara itu, isterinya Theresa Thomas, 30, dan seorang anak lelakinya Aidit Fredly Ahmaf, 8, masih dirawat di Hospital Duchess Of Kent di sini.

Difahamkan, kemalangan membabitkan lori yang dalam perjalanan dari arah Lahad Datu menuju ke Kota Kinabalu.

Apabila tiba di tempat kejadian tiba-tiba kenderaan Perodua Alza yang dipandu Ahmad dari arah bertentangan dipercayai terbabas lalu berlaku pertembungan.

Sumber:
http://www.hmetro.com.my/articles/Ayah_anakmautdalamnahas//Article?BeritaUtama



Tuesday, December 24, 2013

Sarjan maut terbabas



Inalillahi wainailaihi rojiun

25 Disember 2013
HULU SELANGOR: Seorang anggota polis berpangkat Sarjan maut manakala isterinya cedera selepas tayar kereta Perodua Myvi dinaiki mereka pecah sebelum terbabas dan melanggar pembahagi jalan dalam kejadian di Kilometer 382, Lebuh Raya Utara Selatan berhampiran hentian rehat Behrang, di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 7 malam itu, mangsa, Azman Samad, 49, meninggal dunia di tempat kejadian berikutan kecederaan parah di bahagian kepala dan tengkuk.

Menurut sumber, anggota polis yang berkhidmat di Petaling Jaya itu dalam perjalanan pulang ke kampung di Ayer Tawar, Perak bersama isterinya Norli Ismail, 42, apabila tayar kereta itu meletup.

"Mangsa kemudian gagal mengawal kenderaan itu sebelum terbabas ke kiri jalan dan merempuh pembahagi jalan berkenaan.

"Isteri mangsa kini dirawat di Hospital Slim River dekat Perak manakala jenazah Allahyarham dituntut ahli keluarga dan akan dikebumikan di kampungnya, katanya.

Al-Fatihah

Sumber:
http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Sarjanpolismautkeretaterbabas/Article/index_html



Dua maut kemalangan lori





Inalillahi wainailaihi rojiun

25 Disember 2013
KAMPAR: Dua lelaki maut selepas lori yang dipandu kedua-dua mereka terbabit dalam kemalangan di Kilometer 300.4 Lebuhraya Utara Selatan, menghala ke utara, dekat Gopeng, di sini, pagi tadi.

Dalam kejadian pada jam 9.15 pagi itu, mangsa maut dikenali sebagai Mohd Iswad Ramli, 33, dari Felda Palong 8, Gemas, Negeri Sembilan dan seorang lagi tiada dokumen pengenalan diri.

Kedua-dua maut di tempat kejadian berikutan parah di kepala.

Ketua Polis Daerah Kampar, Superintendan Ng Kong Soon berkata, siasatan mendapati lori yang dipandu Mohd Iswad berhenti di lorong kecemasan kerana mengalami kerosakan pada tayar.

"Sebuah lori lain datang dari arah belakang gagal mengawal kenderaan sebelum melanggar bahagian belakang kenderaan mangsa.


"Mohd Iswad yang berada di luar kenderaan untuk membuat pemeriksaan pada tayar lorinya terkena rempuhan itu dan meninggal dunia di tempat kejadian," katanya.

Beliau berkata, pemandu lori yang merempuh kenderaan yang dipandu Mohd Iswad turut maut akibat parah di kepala.

"Kedua-dua jenazah mangsa dibawa ke Hospital Kampar untuk bedah siasat.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 41(A) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Sumber:
http://www.hmetro.com.my/articles/Duamautkemalanganlori//Article?BeritaUtama
http://www.nst.com.my/latest/two-killed-in-accident-involving-2-lorries-near-kampar-1.445453




Monday, December 23, 2013

Tukang Masak Hospital Rentung Kemalangan



Inalillahi wainailaihi rojiun

24 Disember 2013
SUNGAI PETANI - Seorang kakitangan Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) Sungai Petani rentung dalam kebakaran kereta dipercayai terbabas di Jalan Sungai Petani-Bedong berhampiran stesen minyak lebih kurang 7.40 malam kelmarin.

Mangsa, Mohd Shamshuri Osman, 35, dari Kampung Lebai Ali yang bekerja sebagai tukang masak di HSAH sejak beberapa tahun lalu terbabit dalam kemalangan ngeri itu semasa dalam perjalanan pulang dari tempat kerja.

Kemalangan dikatakan berlaku apabila mangsa yang memandu dari arah Sungai Petani ke Bedong bertembung dengan sebuah lori treler yang datang dari arah bertentangan.

Difahamkan, Mohd Shamshuri yang memandu kenderaan jenis Proton Saga BLM dipercayai hilang kawalan, sebelum merempuh lori treler terbabit yang sarat dengan muatan papan lapis.

Rempuhan kereta yang dinaiki mangsa mengenai bahagian tangki minyak lori treler berkenaan mengakibatkan kedua-dua kenderaan terbabit hangus terbakar.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Petani, Timbalan Penguasa Bomba Rosdi Ismail berkata, panggilan diterima jam 7.45 malam dan sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Petani dikejarkan ke lokasi kejadian seminit kemudian.

Menurutnya, api berjaya dikawal sepenuhnya pada jam 8.03 malam.

“Kebakaran melibatkan sebuah lori treler membawa muatan papan lapis dan seorang mangsa yang didapati berada dalam sebuah lagi kereta maut terbakar,” katanya.

Bagaimanapun, pemandu lori treler dikatakan sempat menyelamatkan diri.

Mayat mangsa yang berjaya dikeluarkan sejurus kemudian dihantar ke Jabatan Forensik HSAH untuk dibedah siasat.





Suara hilang ditelan api

Sungai Petani: “Sedih sangat apabila teringat lelaki itu menjerit meminta tolong dari dalam kereta yang terbakar sebelum suaranya hilang. Pasti dia menderita sebelum nyawanya habis.

“Saya amat terkilan kerana tidak mampu berbuat apa-apa bagi menyelamatkannya walaupun sudah membawa bersama alat pemadam api kerana ketika itu api yang membakar kereta sudah terlalu besar,” kata remaja lelaki, A Arvin, 18, saksi kemalangan yang menyebabkan Mohd Shamshuri Osman, 34, rentung dalam keretanya di Sungai Lalang di sini, kelmarin.

Menurutnya, dia berada di depan sebuah kedai berhampiran tempat kejadian bersama beberapa rakan apabila terdengar dentuman kuat dan melihat api membakar kereta Proton Saga BLM.

“Saya berlari sambil membawa alat pemadam api dengan harapan dapat memadam api bagi menyelamatkan mangsa, tetapi api terlalu marak. Saya hanya mendengar jeritan meminta tolong beberapa kali sebelum suaranya hilang ditelan api.

“Ketika itu api mula menyambar kepala treler dan saya takut ada letupan,” katanya dengan nada sedih, semalam.




VIDEO




Al-Fatihah

Sumber:
http://www.hmetro.com.my/articles/Suarahilangditelanapi//Article?BeritaUtama
http://www.sinarharian.com.my/tukang-masak-hospital-rentung-1.233584
http://www.ntv7.com.my/7edition/local-en/COOK_DIES_IN_BURNING_CAR_FOLLOWING_CRASH.html




2 Maut 4 Cedera


23 Disember 2013
Klang: Gara-gara kereta dipandu hilang kawalan kerana jalan basah disebabkan hujan, dua lelaki maut, manakala empat rakan mereka cedera dalam kemalangan di Batu 11, Jalan Kapar, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 12 tengah malam itu, mangsa yang terbunuh dikenali sebagai D Pakkiaraj, 16, dan A Surenthiran, 20, maut akibat kecederaan parah di kepala dan beberapa bahagian badan selepas kereta PROTON Saga dipandu rakannya yang berusia 17 tahun, terbabas ke dalam longkang.

Ketua Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Utara Asisten Superintendan Zawary Mahadi berkata, kereta yang dinaiki enam remaja berusia antara 16 dan 20 tahun itu dipercayai dipandu laju dari dari Kuala Selangor menghala ke Kapar.


Beliau berkata, kereta yang dinaiki mangsa dipercayai cuba memotong sebuah lori sebelum hilang kawalan dan terbabas ke dalam longkang di kiri jalan.

“Ketika kejadian, jalan raya licin kerana hujan dan kereta yang dipandu laju mangsa hilang kawalan gara- gara cuba memotong sebuah lori.

“PROTON Saga yang dinaiki mereka kemudiannya terbabas sebelum masuk ke dalam longkang di sebelah kiri jalan menyebabkan dua mangsa yang duduk di bahagian penumpang depan dan belakang terbunuh,” katanya.

Menurutnya, seorang daripada remaja berkenaan cedera parah di kepala dan patah tangan kanan, manakala tiga lagi remaja lagi bernasib baik hanya cedera ringan.


Tambahnya, kemalangan terbabit dilaporkan pemilik kereta terbabit yang juga rakan kepada seorang daripada mangsa sejurus kejadian.


“Mangsa berusia 16 tahun itu disahkan meninggal dunia ketika dirawat di Klinik Kesihatan Kapar, manakala seorang lagi mangsa pula meninggal dunia di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), manakala empat lagi mangsa yang cedera menerima rawatan di hospital yang sama,” katanya.

Katanya, kedua-dua mangsa yang meninggal dunia dibedah siasat pakar perubatan HTAR sebelum diserahkan kepada waris masing-masing untuk urusan pengebumian.

Zawary berkata, keterangan daripada mangsa yang cedera akan diambil dalam masa terdekat selepas semua mereka stabil dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan Raya 1987.

Sumber:
http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Duamautlajudalamhujan/Article/index_html



Bas Terbalik : Empat Pengakap Parah

23 Disember 2013
KOTA KINABALU - Empat parah manakala 16 lagi cedera apabila bas yang membawa sekumpulan 24 anggota Majlis Pengakap Kelana dari Inanam terbabas dan terbalik di Kilometer 1, Jalan Tamparuli-Kiuli, Tuaran dekat sini, hari ini.

Dalam kejadian itu, bas yang membawa anggota Pengakap berusia lingkungan 18 hingga 24 tahun itu dipercayai hilang kawalan ketika melalui selekoh di persimpangan itu sebelum dan terbalik di tepi jalan.

Ketua Polis Daerah Tuaran DSP Abdul Fuad Abdul Malik berkata 16 penumpang yang cedera dihantar ke Hospital Tuaran untuk rawatan manakala empat yang parah dirawat di Hospital Queen Elizabeth Kota Kinabalu.

"Tiada kemalangan jiwa dilaporkan dan mereka yang parah berada dalam keadaan stabil. Pemandu bas diminta lebih berhati-hati dan memeriksa keadaan kenderaan bagi keselamatan penumpang," katanya ketika dihubungi Bernama di sini.

Sementara itu, Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Sabah Bomba Mohd Affendi K. Ramin berkata Balai Bomba Tuaran menerima maklumat pada pukul 6.10 petang dan sebuah jentera dengan kekuatan lapan anggota dikejarkan ke tempat kejadian.

Beliau berkata, sebaik tiba semua mangsa sudah berada di luar kenderaan dan bomba mengambil masa lama untuk membersihkan tumpahan minyak di jalan raya. - Bernama



Sunday, December 22, 2013

Pemandu rentung bertembung treler



22 Disember 2013
SUNGAI PETANI: Seorang pemandu kereta rentung apabila kereta dipandu terbabit kemalangan dengan treler membawa muatan papan lapis di Sungai Lalang, di sini, kira-kira jam 7.40 malam tadi.

Setakat jam 11 malam ini, identiti lelaki terbabit masih belum dikenal pasti dan mayat dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Sultan Abdul Halim, di sini, untuk bedah siasat esok.

Kejadian dipercayai berlaku apabila lori berkenaan datang dari arah Bedong ke Sungai Petani manakala kereta Proton Saga BLM bernombor pendaftaran WRT 8445 dari arah bertentangan.

Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi Bahagian Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Muda di talian 04-4232222.

Sumber:
http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Pemandurentungnahasdengantreler/MA/Article/index_html



Kontraktor pendawaian maut rempuh tiang papan tanda


22 Disember 2013
KUALA LUMPUR: Seorang kontraktor pendawaian maut selepas tercampak keluar daripada pacuan empat roda miliknya yang terputus dua selepas merempuh tiang papan tanda di Jalan Tun Razak di sini awal pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira 3.30 pagi itu, Seow Choon Wui, 29, yang tercampak keluar, maut di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala.

Pegawai Turus Siasatan dan Perundangan Trafik Kuala Lumpur, DSP Abdullah Roning berkata kenderaan mangsa dipercayai hilang kawalan.

Mangsa dipercayai memandu laju dari arah Jalan Tun Razak menghala ke Bulatan Pahang sebelum merempuh papan tanda itu, katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Ketika kemalangan, mangsa hanya bersendirian dalam kenderaan tersebut.









VIDEO


Sumber:
http://www.hmetro.com.my
http://my.news.yahoo.com/video/rempuh-tiang-papan-tanda-035000516.html



2 remaja maut terbabas



22 Disember 2013
Klang: Gara-gara memandu dengan laju, dua remaja terbunuh manakala empat lagi cedera apabila kenderaan dinaiki mereka hilang kawalan sebelum terbabas di Batu 11, Jalan Kapar, 12 tengah malam tadi.

Dalam kejadian itu, dua remaja lelaki berusia 16 dan 20 tahun terbunuh selepas Proton Saga yang dipandu rakannya yang berusia 17 tahun terbabas ke dalam longkang selepas gagal mengawal kenderaan terbabit.

Ketua Cawangan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Utara Asisten Superintendan Zawary Mahadi berkata, kereta yang dinaiki enam remaja berusia antara 16 hingga 20 tahun itu dipercayai dipandu dengan laju dari Kuala Selangor menghala ke Kapar.

Beliau berkata, kemalangan berlaku apabila kereta yang dinaiki mangsa cuba memotong sebuah lori sebelum kereta hilang kawalan dan terbabas ke dalam longkang di kiri jalan.

"Ketika kejadian, jalan raya sedang licin kerana hujan dan kereta yang dipandu laju oleh mangsa hilang kawalan gara-gara cuba memotong sebuah lori," katanya.

Sumber:
http://www.hmetro.com.my/articles/Duaremajamautkeretaterbabas/MA/Article



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Headlines

FeedBurner FeedCount

Blogged.my