loading...

Saturday, April 7, 2012

Bas Terbabas, 8 Penumpang Cedera



07/04/2012
KUALA LUMPUR - Lapan penumpang bas komersial cedera ringan setelah kenderaan yang mereka naiki itu hilang kawalan lalu terbabas berhampiran lampu isyarat di Jalan Tun Sambanthan, Brickfields di sini hari ini.


Bas Sri Indah yang dalam perjalanan dari Kajang ke Pasar Seni di sini dikatakan hilang kawalan dalam kejadian kira-kira pukul 8.10 pagi sebelum melanggar tiang lampu isyarat dan konkrit jejambat berdekatan.

Impak kemalangan itu mengakibatkan bahagian hadapan bas berkenaan remuk dan lapan penumpang, lima wanita dan tiga lelaki cedera ringan.


Ketua Trafik Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Rusli Mohd Noor ketika dihubungi hari ini berkata, polis dimaklumkan mengenai kemalangan itu pada kira-kira pukul 8.15 pagi dan segera berada di tempat kejadian bagi mengawal lalu lintas.

Katanya, pemandu bas berkenaan yang berusia 54 tahun tidak mengalami kecederaan dan telah diambil keterangan bagi membantu siasatan kes di bawah Seksyen 47 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Lapan penumpang yang cedera dirawat sebagai pesakit luar di Hospital Kuala Lumpur (HKL) dan Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM). - BERNAMA






Sumber:
kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2012&dt=0407&pub=Kosmo&sec=Terkini&pg=bt_04.htm

tv3.com.my/beritatv3/berita_terkini/Bas_Terbabas_8_Penumpang_Cedera.html


Maut Bertembung Bas

Inalillahi wainailaihi rojiun  

KUANTAN: Seorang pembantu kedai makan maut selepas kereta Proton Iswara yang dipandunya bertembung dengan sebuah bas persiaran di Km 37 Jalan Kuantan-Kemaman, dekat Cherating di sini.

Dalam nahas yang berlaku pukul 2 pagi itu, Ahmad Azizi Mohd, 30, maut di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala dan badan.

Pegawai Penguat Kuasa Tadbir Trafik Pahang ASP Zainalabidin Othman berkata kemalangan berlaku apabila kereta yang dipandu mangsa terbabas sebelum bertembung dengan bas persiaran itu dari arah bertentangan.

Mangsa ketika itu dalam perjalanan dari arah Kuantan hendak balik ke rumahnya di Kemaman, katanya di sini Sabtu.

"Mayat mangsa dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan untuk bedah siasat manakala pemandu bas terbabit tidak mengalami sebarang kecederaan dan kebetulan bas tersebut tiada penumpang.

"Kes masih disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987," katanya. - BERNAMA

Al-Fatihah

Sumber:
mstar.com.my/berita/jenayah/cerita.asp?file=/2012/4/7/mstar_jenayah/20120407194626&sec=mstar_jenayah


Bas Dari Genting Highland Terbalik



GOPENG – Seramai 29 penumpang dan dua pemandu nyaris maut apabila bas persiaran yang dinaiki mereka terbabas dan terbalik di Kilometer 300 Lebuh Raya Utara-Selatan, menghala ke utara dekat Gua Tempurung di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 6 petang itu, bas yang dipandu seorang lelaki berusia antara 40-an dalam perjalanan dari Genting Highland ke Batu Gajah dipercayai hilang kawalan selepas melanggar lopak air.

Ketua Polis Daerah Kampar, Superintendan Abd Aziz Salleh berkata, 15 mangsa yang cedera ringan mendapat rawatan pesakit luar di Hospital Kampar dan Hospital Tapah dan Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh.

“Bas berkenaan dipercayai hilang kawalan selepas melanggar lopak air. Keadaan cuaca yang hujan lebat berserta angin kuat menyebabkan bas itu senget ke bahagian kiri jalan selepas menuruni bukit.

“Bagaimanapun, semua penumpang berjaya menyelamatkan diri dengan merangkak menerusi cermin hadapan yang pecah. Bas berkenaan terbalik dengan keempat-empat tayar di atas,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini, semalam.

Menurutnya, pemandu bas berusia 40-an tidak mengalami apa-apa kecederaan dan akan diambil keterangan berhubung kejadian itu.

“14 penumpang lagi telah pulang ke rumah kerana tidak mengalami apa-apa kecederaan,” katanya.

Sementara itu, jurucakap bilik gerakan Balai Bomba Goepng berkata, pihaknya menerima panggilan jam 6.11 petang dan tiga jentera dari Balai Bomba Gopeng, Tapah dan Simpang Pulai dikejarkan ke tempat kejadian.

“Bomba mengambil masa kira-kira dua jam untuk menarik bas berkenaan selain memastikan tiada kebocoran bahan bakar bagi mengelakkan sebarang letupan,” katanya.

Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/perak/29-penumpang-terselamat-1.38209

Friday, April 6, 2012

Kemalangan 4 kenderaan


KOTA TINGGI – “Saya terkejut apabila kereta di hadapan saya tiba-tiba berhenti. Saya tidak sempat mengelak terus melanggar perodua Viva tersebut sebelum hilang kawalan dan melanggar dinding jambatan.”

Demikian luah Mohd Nazri Kumaruzaman, 27, salah seorang mangsa yang terlibat dalam kemalangan yang melibatkan empat buah kenderaan di Kilometer 39.5 Jalan Johor Bahru Mersing, kira-kira jam 2.45 petang kelmarin.

Dia yang ketika itu dari arah Johor Bahru di dalam perjalanan ke Kampung Lukut menaiki kereta Proton Gen 2 yang turut dilanggar daripada sebuah kenderaan dari arah belakang ketika kejadian berlaku.

“Sebuah lagi kenderaan dari arah belakang turut menghentam kereta saya. Ketika itu saya begitu terkejut dan panik namun syukurlah kerana saya tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya yang berasal daripada Felda Tenggaroh.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Tinggi Superintendan Che Mahazan Che Aik ketika mengesahkan kejadian tersebut berkata, dalam kejadian tersebut hanya seorang mangsa sahaja yang mengalami kecederaan di bahagian kaki.

“Kemalangan yang berlaku di jambatan Kota Tinggi itu melibatkan empat buah kenderaan iaitu Perodua Viva, Proton Gen 2, Hyundai Accent, serta sebuah kenderaan jenis pacuan empat roda.

“Siasatan awal mendapati Perodua Viva yang dipandu seorang wanita dari arah Johor Bahru telah dilanggar dari belakang pleh Proton Gen 2 sebelum kenderaan tersebut hilang kawalan dan memasuki laluan bertentangan. Dalam masa sama sebuah pacuan empat roda yang datang dari arah Mersing telah melanggar kenderaan Perodua Viva itu.

“Manakala sebuah lagi kenderaan lain yang datang dari arah Johor Bahru melanggar Proton Gen 2. Hanya pemandu Perodua Viva mengalami cedera di bahagian kaki kanan dan masih dirawat di Hospital Sultanah Ismail. Pemandu lain pula tidak cedera,” katanya.

Katanya, bagaimanapun punca kejadian masih lagi dalam siasatan pihak polis.

Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/johor/kemalangan-empat-kenderaan-1.38002

3 Sahabat Maut Bertembung Lori


KOTA BHARU - Tiga sahabat maut, apabila kereta yang dinaiki mereka bertembung dan terperosok bawah lori dalam kejadian di Kampung Cina, Kok Lanas, di sini malam kelmarin.


Kejadian pada jam 7 malam itu, menyebabkan pemandu kereta, Eyu Win Lee, 30, yang bekerja sebagai mekanik dan dua penumpang, Tan Phei Shia, 24, dan Wee Wai Hwa, 24, mati di tempat kejadian.

Ketua Balai Bomba Ketereh, Wan Ngah Wan Long berkata, pihak bomba menerima panggilan pada jam 7.19 malam.

“Dua jentera dari balai Ketereh dan Machang dengan 13 anggota dihantar ke tempat kejadian bagi membantu mengeluarkan ketiga-tiga mangsa yang tersepit.

“Bomba mengambil masa 25 minit bagi mengeluarkan mayat mereka kerana keadaan kereta yang remuk dan terperosok di bawah lori menyukarkan kerja-kerja menyelamat,”katanya.

Sementara itu, Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Deputi Supritendan Ahmad Zaki Ibrahim berkata, kejadian berlaku ketika kereta jenis Daihatsu Charade yang dinaiki mereka dalam perjalanan dari Machang ke Kota Bharu.

“Sebaik tiba di tempat kejadian, kereta yang dipandu Win Lee, dipercayai hilang kawalan dan masuk ke laluan bertentangan sebelum bertembung dengan lori terbabit.

”Akibat pertembungan itu, kereta yang dinaiki ketiga-tiga mangsa terperosok ke bawah lori dan mayat mangsa berjaya dikeluarkan dengan bantuan pasukan bomba dan penyelamat,”katanya.

Beliau berkata, mayat ketiga-tiga mangsa dihantar ke bilik mayat Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian sebelum diserahkan kepada keluarga masing-masing yang tinggal di Pasir Mas dan Pulai Chondong, Machang.





Ahmad Zaki berkata, polis sudah mengambil keterangan daripada saksi di tempat kejadian untuk membantu siasatan.

Menurutnya, siasatan dilakukan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Salam Takziah

Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/kelantan/tiga-sahabat-maut-nahas-1.37946
nst.com.my/latest/3-killed-after-car-collided-with-a-lorry-1.71179

Thursday, April 5, 2012

Maut terbabas ke gaung


SEREMBAN – Seorang kontraktor terbunuh apabila kereta dipandunya terbabas dan terjunam ke dalam gaung sedalam lima meter di Jalan Mambau-Port Dickson berdekatan Kampung Bemban, di sini, semalam.

Mangsa, J Ravindran, 41, yang berasal dari Kuala Lukut, Port Dickson dalam perjalanan pulang ke rumah.

Jurucakap polis berkata, kejadian dipercayai berlaku kira-kira jam 12.30 tengah malam, sebelum seorang saksi memaklumkan kemalangan itu kepada polis jam 11.40 pagi, semalam.

“Saksi melaporkan kepada polis selepas ternampak sebuah kereta terjunam ke dalam gaung dengan keadaan empat tayar ke atas.

“Saksi ketika itu dalam perjalanan untuk menebang pokok pisang di lokasi berdekatan tempat kejadian, katanya.

Menurutnya, berdasarkan siasatan awal, kereta jenis Proton Satria Neo yang dipandu Ravindran dipercayai terbabas sendiri.

“Apabila sampai di satu selekoh, mangsa yang masih bujang dan memandu sendirian itu tiba-tiba gagal mengawal kenderaannya, lalu merempuh sebatang pokok sebelum terjunam masuk ke dalam gaung.

“Mayat mangsa dihantar ke Hospital Tuanku Ja’afar untuk bedah siasat namun setakat ini punca kematian belum dikenal pasti,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Kanan 2 Balai Bomba Seremban 2, Khairuddin Mohamad, berkata, satu jentera dan 10 anggota bergegas ke tempat kejadian selepas dimaklumkan mengenai kemalangan terbabit, jam 11.55 pagi.

“Kita mengambil masa kira-kira 20 minit untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit,” katanya.

Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/melaka-ns/kontraktor-terbunuh-kereta-masuk-gaung-1.37759

Kemalangan Maut Treler


Inalillahi wainailaihi rojiun  

NILAI – Seorang pemandu treler maut selepas kenderaan dipandunya merempuh sebuah treler yang membawa muatan pasir, di Kilometer 282.7 Lebuhraya Utara Selatan (Plus), arah utara berdekatan susur keluar Nilai di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 8.20 pagi itu, mangsa, Md Norsah Aziz, 35, yang berasal dari Johor, mengalami kecederaan parah di kepala dan maut serta-merta di lokasi kejadian.

Jurucakap polis berkata, berdasarkan siasatan awal, Md Norsah yang memandu treler membawa muatan kicap dalam perjalanan dari arah Johor ke Kuala Lumpur.

“Mangsa yang memandu di laluan kiri, dipercayai gagal mengawal kenderaannya lalu melanggar sebuah treler membawa muatan pasir di hadapannya.

“Tidak lama kemudian, lori mangsa dilanggar pula sebuah lagi treler tanpa muatan dari arah belakang, menyebabkan dia tersepit di tempat duduknya,” katanya.

Menurutnya, mayat mangsa dihantar ke Hospital Tuanku Ja’afar Seremban untuk bedah siasat.

“Kedua-dua pemandu treler yang lain, bagaimanapun tidak mengalami kecederaan serius.

“Treler muatan pasir yang dilanggar mangsa dipercayai mengalami kerosakan dan tidak sempat memasuki lorong kecemasan,” katanya.

Menurutnya, orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu diminta menghubungi Pegawai Penyiasat menerusi talian 06-7991222 atau balai polis berhampiran.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Mohd Yusoff Awang mengesahkan menerima laporan kejadian berkenaan.

Al-Fatihah

Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/melaka-ns/maut-rempuh-treler-pasir-1.37681

Kereta Proton Wira rentung


KAJANG – Seorang pemandu nyaris maut apabila kereta Proton Wira yang dipandunya tiba-tiba terbakar.

Mangsa, Manivanan berkata, dalam kejadian kira-kira jam 7.40 petang semalam, dia dalam perjalanan dari Kajang ke Putrajaya sebelum kenderaannya menghadapi masalah di susur ke Bangi berhampiran Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM).

Menurutnya, dia bertindak memberhentikan kenderaannya apabila api mula menyambar kakinya dari pedal minyak namun bersyukur tidak berlaku kecederaan.

“Ketika itu saya memandu seorang dan tiba-tiba api menyambar dari bahagian bawah kaki kemungkinan disebabkan masalah pendawaian.

“Api cepat merebak, tidak sampai 10 minit habis keseluruhan kereta terbakar,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Bomba Kanan 2, Balai Bomba Serdang, Nasarudin Mohd Kasim berkata, pihaknya menerima panggilan jam 7.50 petang dan bergegas ke lokasi kejadian.

“Kebakaran berjaya dipadamkan dalam tempoh lima minit dan punca kejadian masih dalam siasatan,” katanya.

Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/selangor-kl/lelaki-nyaris-rentung-kereta-terbakar-1.37660

Wednesday, April 4, 2012

Viva Bertembung Satria Neo

Inalillahi wainailaihi rojiun 

JAWI – “Pesanan isteri meminta saya menguruskan anak-anak sebelum keluar bekerja awal pagi semalam merupakan permintaan terakhir sebelum dia menghembuskan nafasnya yang terakhir.

“Pada 2 Mac lalu juga merupakan tarikh terakhir kami menyambut ulang tahun perkahwinan dan hasil perkahwinan sejak sembilan tahun lalu kami dikurniakan tiga cahaya mata,” kata Mohd Khuzairi Zaini, suami kepada Rosmalia Ishak, 37, yang maut dalam kemalangan awal pagi semalam.

Rosmalia maut apabila kereta yang dipandunya bertembung dengan sebuah kereta dari arah bertentangan awal pagi semalam di Jalan Bukit Jawi Golf, di sini.

Mangsa yang memandu kereta jenis Perodua Viva maut di tempat kejadian manakala lelaki yang memandu kereta jenis Satria Neo, Mohd Zaidi Hashim, 38, dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Seberang Jaya.

Kejadian yang berlaku pada jam 8 pagi semalam itu turut menyebabkan kereta yang dipandu Mohd Zaidi terbakar hampir 60 peratus.

Suami mangsa yang ditemui di Hospital Sungai Bakap berkata, kali terakhir dia bertemu isterinya pada jam 7 pagi semalam sebelum mangsa keluar ke tempat kerja.

“Isteri saya akan melalui jalan terbabit sejak dua tahun lebih untuk ke tempat kerjanya di Institut Kemahiran Tinggi Perda di Sungai Kechil, Nibong Tebal.

“Bagaimanapun, sejam sejurus isteri keluar meninggalkan rumah, saya dihubungi pihak pengurusan Perda dan diberitahu mengenai kematiannya,” katanya yang berkhidmat sebagai anggota bomba di Bandar Perda.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan, Superintendan Shafien Mamat, berkata, dalam kejadian awal pagi semalam, satu kemalangan maut berlaku di Jalan Bukit Jawi Golf dan sebuah kereta yang dipandu seorang lelaki terbakar hampir 60 peratus.

“Mangsa, Rosmalia Ishak dan menetap di Bandar Perda maut di tempat kejadian akibat tersepit manakala pemandu kereta jenis Satria Neo, Mohd Zaidi Hashim mengalami kecederaan parah dan kini dirawat di ICU Hospital Seberang Jaya,” katanya.

Rosmalia meninggalkan seorang suami dan tiga anak perempuan dengan masing-masing Shafiyatul Amyza, 9, Syaza Adriana, 6, dan Sofia Arisa, 7 bulan.

Jenazah Rosmalia akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bagan Tiang, Tanjung Piandang, Perak

Al-Fatihah...


Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/utara/seorang-maut-kereta-bertembung-terbakar-1.37366

Gara-gara Jalan Rosak



KUALA LIPIS - Gara-gara ingin mengelak jalan rosak, seorang pemuda nyaris maut apabila kereta dipandunya terbabas sebelum terbalik di Kampung Jeram Landak, di sini, petang kelmarin.

Mangsa, Mohd Rithaudin Azhari, 22, berkata, kejadian itu berlaku kira-kira jam 5.30 petang ketika dia dalam perjalanan dari Felda Kechau ke Kuantan.

Menurutnya, sampai di tempat kejadian, kereta jenis Wira Aeroback dipandunya gagal dikawal lalu terbabas ke kiri jalan sebelum terhumban ke dalam semak.

“Saya bekerja di kilang sawit Felda Kechau dan sedang dalam perjalanan pulang ke rumah keluarga di Kuantan untuk bercuti.

“Laluan di sini berbukit dan terdapat mendapan jalan. Ketika ingin mengelak jalan rosak itu, saya nyaris maut dalam kejadian kemalangan terbabit,” katanya, di sini, kelmarin.

Mohd Rithaudin berkata, dia tekad untuk keluar meminta pertolongan setelah kenderaannya terbalik, namun pintu kereta gagal dibuka kerana dikelilingi semak.

“Saya terpaksa menggunakan tingkap untuk keluar daripada kenderaan. Saya bimbang sekiranya berlaku letupan hingga membahayakan nyawa saya.

“Saya kerap melalui jalan Kuala Lipis-Jerantut untuk pulang ke Kuantan dan mengetahui selok-belok laluan berkenaan. Namun kejadian ini membuatkan saya akan lebih berhati-hati selepas ini,” katanya.

Dalam perkembangan sama dia berkata, pihak berkaitan diharap dapat memantau keadaan jalan di kawasan itu kerana laluan di situ kerap berlaku kemalangan.

“Sekitar dua bulan lepas, sebuah kereta mewah turut terbabas di kawasan ini. Pihak bertanggungjawab diharap dapat mengkaji dan membaik pulih struktur jalan rosak terbabit,” katanya.

Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/pahang/nyaris-maut-elak-lubang-1.37330

Motosikal roda tiga bertembung pacuan empat roda


RANTAU PANJANG – Seorang lelaki yang baru pulang menerima bantuan motosikal roda tiga di bawah skim 1Azam Niaga tidak sempat menggunakan kenderaan tersebut apabila terlibat kemalangan dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Simpang Tiga, Kampung Bagus, kira-kira jam 4.45 petang kelmarin.

Ketika kejadian, mangsa, Wahab Deraman, 40, dikatakan gagal mengawal kenderaannya hingga menyebabkannya bertembung dengan pacuan empat roda di atas jambatan berhampiran Balai Bomba dan Penyelamat Rantau Panjang.

Berikutan kemalangan itu, mangsa mengalami kecederaan parah pada bahagian belakang kepala dan patah tangan kiri sementara pemandu dan penumpang pacuan empat roda dari Golok, Thailand ke Kota Bharu tidak mengalami sebarang kecederaan.

Kemalangan itu menyebabkan tempat barang motosikal itu rosak teruk manakala pacuan empat roda pecah cermin hadapan serta remuk pada bahagian pemandu.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP) Lati, Affendi Mukhtar berkata, pada hari kejadian mangsa dihubungi Ketua Umno Bahagian Rantau Panjang , Datuk Abdullah Mat Yasim supaya ke kediamannya untuk menerima motosikal roda tiga kerana permohonannya diluluskan.

Menurutnya, Wahab memberitahu ketika itu dia sedang berniaga dan memaklumkan akan segera ke kediaman Abdullah.

“Selepas Wahab tiba, Abdullah menyerahkan kenderaan itu bersama seorang penerima lain. Wahab tidak mencubanya sebaliknya saya menunggangnya di sekitar kediaman Ketua Umno dan tidak yakin dapat mengendalikannya kerana agak berbeza dengan motosikal biasa,” katanya kepada Sinar Harian.

Affendi berkata, mangsa terus menunggang motosikalnya pulang selepas penyerahan dibuat Abdullah, dan dia sempat berpesan kepada mangsa supaya menunggang dengan berhati-hati kerana bimbangkan keselamatannya walau pun nampak dia begitu yakin.

“Tidak lama selepas itu, saya menerima berita dia terlibat kemalangan,” katanya.

Mangsa yang berdepan kecederaan serius pada kepala itu dihantar ke Hospital Daerah Pasir Mas oleh anggota Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) Rantau Panjang sebeluma dirujuk ke Hospital Raja Perempuan Zainab II, Kota Bharu untuk rawatan lanjut.

Sementara itu, Abdullah berkata, dia tidak menyangka Wahab terlibat kemalangan seterusnya membantut hasratnya membesarkan lagi perniagaan kecil-kecilan yang dilakukannya selama ini.

Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/kelantan/tidak-sempat-guna-motosikal-roda-tiga-1.37382

Tuesday, April 3, 2012

Orang Asli gembira miliki lesen memandu

KUALA LIPIS 2 April - Kehadiran Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menerusi program Satu Komuniti Satu JPJ (1K1JPJ) membuka peluang kepada masyarakat Orang Asli di kawasan pedalaman memiliki lesen memandu motosikal secara sah.

Mereka yang ditemui rata-rata menyambut baik program itu kerana sebelum ini golongan terbabit menunggang motosikal tanpa lesen.

Tok Batin Orang Asli Pos Betau, Ahmad Selalu berkata, kerajaan menerusi JPJ perlu lebih kerap mengatur program latihan dan ujian pemanduan kepada Orang Asli di pedalaman di negeri ini.

"Jarak yang jauh ke bandar dan kos tinggi menyukarkan Orang Asli berurusan dengan sekolah memandu di bandar Kuala Lipis atau Raub dan kekerapan ujian memandu perlu dilaksanakan berdekatan dengan tempat tinggal kami," katanya di sini baru-baru ini.

Katanya, ramai belia Orang Asli termasuk warga emas yang mampu memiliki motosikal memerlukan lesen untuk memudahkan mereka ke bandar bagi membawa hasil kampung dan menghantar anak ke sekolah.

Bagi seorang penduduk Perkampungan Orang Asli Bencah Kelubi, Hashim Abdullah, 52, dia berterima kasih kepada JPJ yang meluluskan ujian memandunya dan menyifatkan sebagai lembaran baru dalam hidupnya.

"Sebelum ini, saya berjalan kaki berulang alik sejauh 12 kilometer untuk berbelanja ke pekan Merapoh dari kampung pedalaman, tetapi setelah memiliki lesen, saya akan membeli sebuah motosikal baru untuk berurusan di sana," katanya.

Jelasnya, sebelum ini dia tidak pernah terbayang memperoleh lesen memandu tetapi setelah kempen itu dilaksanakan selain kesedaran memiliki lesen B2, dia cuba mengikut program itu sehingga selesai dan berjaya.

Bagi seorang penduduk Orang Asli Merapoh, Hussin Abdullah, 34, pula, kemudahan jalan raya yang ada di kampung mereka dan penggunaan motosikal pelbagai jenama membuka mata kaum minoriti itu untuk hidup selesa seperti kaum lain.

Katanya, memiliki lesen akan memudahkannya menunggang motosikal ke merata tempat berbanding sebelum ini dengan menaiki bot menyeberangi Sungai Jelai serta menaiki bas jika berurusan ke bandar Lipis dan Raub.

Sumber:
utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2012&dt=0403&pub=Utusan_Malaysia&sec=Pahang&pg=wp_04.htm

7,000 penduduk minta pasang lampu isyarat


KUBANG PASU 2 April - Kira-kira 7,000 penduduk dari 13 kampung di sekitar Hosba dekat Lebuh Raya Utara Selatan di sini, merayu Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) memasang dua lampu isyarat di kawasan itu demi keselamatan penduduk.

Langkah itu penting bagi mengelak kemalangan jalan raya yang sering berlaku di kawasan tersebut dan terbaru kemalangan membabitkan dua buah bas di persimpangan Kampung Wang Perah.

Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan (SK) Hosba, Abdul Gafar Yahya memberitahu, pemasangan lampu isyarat itu dicadangkan di Kilometer 16.8 dekat Kampung Wang Perah dan Kilometer 18.2 dekat Kampung Natoi.

Katanya, masalah itu sudah dibangkitkan pelbagai pihak sejak 20 tahun lalu, namun tiada tindakan relevan diambil pihak berkaitan dan baru-baru ini pihaknya mengutuskan pula surat menerusi e-mel kepada LLM.

"Pihaknya juga sudah memaklumkan kepada syarikat konsesi lebuh raya itu, namun alasan diberi laluan tersebut adalah lebuh raya yang tidak sesuai dipasang lampu isyarat.

"Namun kira-kira dua kilometer dari kawasan itu terdapat dua lampu isyarat iaitu di pekan Changlun," katanya kepada pemberita selepas mengetuai demonstrasi aman bersama lebih 100 waris pelajar di sini baru-baru ini.

Isnin minggu lalu, seramai 11 pelajar dan seorang guru Sekolah Rendah Al-Azhar, Gelong cedera selepas bas yang mereka naiki terlibat dalam kemalangan dengan sebuah bas persiaran di Kilometer 16.8 Lebuh Raya Utara Selatan menghala Alor Setar.

Dalam pada itu, seorang penduduk, Wan Saad Wan Daud, 69, pula memberitahu, kadang-kala dia terpaksa menunggu sehingga 20 minit untuk melintasi lebuh raya kerana kenderaan terlalu banyak dan dipandu laju.

"Masalah ini sudah berlarutan begitu lama sejak awal 80-an lagi dan berharap lampu isyarat dapat dibina di persimpangan itu," katanya.

Naib Yang Dipertua PIBG Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Hosba, Mustafa Musa, 51, pula memberitahu, isu lampu isyarat tersebut menjadi agenda penting setiap kali mesyuarat agung.

"Waris pelajar juga sering membangkitkan hal itu, namun masalah tersebut belum selesai," katanya.

Sementara itu, Ahli Majlis Daerah Kubang Pasu, Zulkifli Mohamad, 42, pula berharap rayuan penduduk terlibat dapat dipertimbangkan dengan sewajarnya demi keselamatan mereka.

"Diharapkan rayuan penduduk ini dapat ditunaikan dan menjadi realiti bukan lagi menjadi masalah yang tiada penyelesaian," katanya.

Sumber:
utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2012&dt=0403&pub=Utusan_Malaysia&sec=Utara&pg=wu_05.htm

Aksesori punca kereta mudah terbakar


KUALA LUMPUR 2 April - Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) mengesahkan sikap pemilik kereta yang gemar menambah aksesori seperti meletakkan lampu di bawah kenderaan serta mengubah suai sistem audio sebagai punca peningkatan kes kebakaran kenderaan kebelakangan ini.

Ia berlaku apabila mereka menggunakan aksesori yang tidak berkualiti dan sistem pendawaian pula dilakukan oleh mereka yang tidak mahir hingga boleh menyebabkan berlaku kebakaran apabila barangan itu terdedah kepada haba.

Pengarah JBPM Kuala Lumpur, Khirudin Drahman berkata, pada tahun lalu, kebakaran kenderaan mencatatkan 276 kes berbanding 235 kes pada 2010.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar sempena pertandingan Larian Bersama Bomba 2012 di sini hari ini.

Turut hadir Penolong Pengarah Bahagian Penyiasatan Kebakaran JBPM Kuala Lumpur, Mohd. Tilmizi Mustapa dan Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan JBPM Kuala Lumpur, Azizan Ismail.

Khirudin menafikan dakwaan bahawa bahan api RON95 menjadi punca kenderaan mudah terbakar kerana belum ada bukti sahih mengenainya.

Sementara itu, pihaknya turut mengesan peningkatan kes kebakaran restoran akibat kecuaian pemiliknya melakukan penyelenggaraan corong asap di dapur.

Katanya, sebanyak 21 kes kebakaran melibatkan restoran di ibu negara dicatatkan pada 2011 berbanding 18 kes pada tahun sebelumnya.

"Selain gagal menyelenggara corong asap hingga menyebabkan sisa minyak membeku serta mudah terbakar apabila terdedah kepada percikan api, mereka juga sering membiarkan api dapur menyala bagi tujuan pemanasan makanan iaitu selepas restoran tidak beroperasi pada waktu malam," katanya.

Mengenai pertandingan Larian Bersama Bomba 2012 yang bakal berlangsung pada 6 Mei di Dataran Merdeka, beliau berharap JBPM dapat mencapai sasaran 5,000 peserta pada tahun ini.

Sesiapa yang berminat menyertai pertandingan yang menawarkan hadiah wang tunai RM1,000 bagi tempat pertama, mereka boleh mendapatkan borang di balai bomba berhampiran atau melayari laman web www.bomba.gov.my.

Sumber:
utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2012&dt=0403&pub=Utusan_Malaysia&sec=Jenayah&pg=je_01.htm

Kereta Anggota TLDM Terbakar


LENGGONG 2 April - Seorang anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang membawa persiapan hantaran majlis pertunangan adiknya nyaris maut selepas kereta Proton Wira yang dipandunya tiba-tiba terbakar di Jalan Lenggong-Gerik berhampiran Kampung Kota Tampan di sini hari ini.

Dalam kejadian pukul 3.30 petang itu, Sabri Ishak, 29, dalam perjalanan dari rumah abangnya di Kuala Lumpur ke kampungnya di Kampung Batu 8, Baling, Kedah sebelum kereta tersebut tiba-tiba terbakar.

Sabri yang bertugas di Teluk Sepanggar, Sabah, berkata, sewaktu melalui pekan Lenggong, tiba-tiba kepulan asap keluar dari saluran penghawa dingin kereta.

"Saya bertolak dari awal pagi untuk menghantar barangan hantaran adik saya yang dijadualkan melangsungkan pertunangan di kampung pada Sabtu ini.

"Sewaktu hampir melalui pekan Lenggong, saya panik apabila kepulan asap tiba-tiba keluar dari penghawa dingin kereta dan terus memberhentikan kereta di bahu jalan lalu menyelamatkan diri," katanya ketika ditemui di tempat kejadian di sini hari ini.

Menurut Sabri, beberapa penduduk kampung yang melalui jalan tersebut turut membantunya mengeluarkan barangan peribadi dan hantaran.

"Saya bersyukur kerana diri dan barangan persiapan hantaran berjaya diselamatkan. Terima kasih kepada penduduk kampung yang sudi membantu termasuk menghubungi pihak bomba," katanya.

Sabri memberitahu kereta Proton Wira yang dibelinya beberapa tahun lalu jarang digunakan dan di bawah jagaan abangnya di Kuala Lumpur ekoran dia bertugas di Sabah.

Sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Lenggong yang sampai di tempat kejadian pada pukul 3.45 petang berjaya memadamkan kebakaran dalam jangka masa 10 minit namun 70 peratus bahagian kereta sudah musnah.

Sumber:
utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2012&dt=0403&pub=Utusan_Malaysia&sec=Jenayah&pg=je_02.htm
kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2012&dt=0403&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_08.htm

Warga Emas dan Kanak-Kanak Maut

Inalillahi wainailaihi rojiun

KUANTAN: Seorang penunggang motosikal dan seorang murid perempuan, maut dalam dua kemalangan berasingan di Pahang awal pagi semalam.

Ketua Jabatan Ketenteraman Awam Dan Trafik Pahang, Supt Mohamed Fauzi Abd Rahim berkata kejadian pertama berlaku di Km126 Lebuhraya Pantai Timur yang membabitkan pelanggaran dua buah kereta dari arah yang sama.

"Dalam kejadian 4.15 pagi Isnin itu mangsa, Nurul Asyiqin Zulkipli, 11, penumpang belakang sebuah kereta Proton Iswara bersama pemandu dan seorang lagi penumpang dalam perjalanan dari arah Kuala Lumpur menghala ke Kuantan.

"Kereta yang dinaiki mangsa telah dirempuh dari belakang oleh sebuah kereta dari arah yang sama menyebabkan mangsa yang cedera parah di badan dan kepala, mati di tempat kejadian," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.


Sementara itu, dalam kejadian berasingan pula seorang penunggang motosikal maut apabila motosikal yang ditungganginya dirempuh oleh sebuah kereta dari arah belakang di Km8.5 Jalan Jerantut-Temerloh pada 6.45 pagi.


Fauzi berkata mangsa, Syed Omar Syed Sulaiman, 65, dalam perjalanan dari Kampung Teming, Jerantut menghala ke Temerloh.

Katanya apabila sampai di tempat kejadian mangsa dirempuh oleh sebuah kereta dari arah yang sama selepas dipercayai mangsa mengubah laluan dari kiri ke tengah laluan berkenaan.

Beliau berkata mangsa kemudian dibawa ke Hospital Jerantut bagaimanapun disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan. - Bernama


Al-Fatihah

Sumber:
hmetro.com.my/myMetro/articles/Penunggangmotosikal_muridperempuanmautkemalangan/Article/index_html

Maut rempuh treler berhenti

Inalillahi wainailaihi rojiun

KUALA LUMPUR: Kecuaian seorang pemandu treler yang meletakkan kenderaan di lorong kecemasan tanpa tanda amaran membawa padah apabila ia meragut nyawa seorang penunggang motosikal, di sini, semalam.

Kejadian yang berlaku jam 6 pagi di Kilometer 436.3 Lebuhraya Utara-Selatan (Plus) arah Kuala Lumpur kira-kira 200 meter sebelum susur masuk kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Rawang menyebabkan seorang penunggang motosikal maut selepas merempuh belakang treler itu.


Mangsa, Mohd Kamel Omar, 47, maut di tempat kejadian akibat parah di kepala selepas tercampak beberapa meter sebaik merempuh sisi kanan treler itu.

Difahamkan, pemandu terbabit memberhentikan kenderaan di lorong itu kerana ingin berehat dan melelapkan mata akibat terlalu mengantuk.


Lori yang membawa tiang lampu itu dalam perjalanan dari Ipoh ke Seremban.


Mayat dihantar ke Hospital Sungai Buloh untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.


Al-Fatihah

Sumber:
hmetro.com.my/myMetro/articles/Mautrempuhtrelerberhenti/Article/index_html

Anggota polis nyaris maut


LEDANG – Seorang anggota polis nyaris maut apabila kereta peronda yang dipandunya terbabit dalam kemalangan di Kilometer 19.5 Jalan Segamat-Muar dekat sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 1.16 petang, kenderaan yang dipandu mangsa dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas di tepi jalan.

Ketua Polis Daerah Ledang, Superintendan Harun Idris berkata, mangsa, Koperal Sidi Ahmad Dollah, 51, mengalami kecederaan dan patah kaki kanan.

Menurutnya, mangsa merupakan anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dungun, Terengganu memandu kenderaan tersebut bersendirian.

“Mangsa dalam perjalanan dari Terengganu ke Maktab Teknik Polis Diraja Malaysia (PDRM), Bakri.

“Mungkin mangsa kepenatan menyebabkan dia gagal mengawal kenderaan yang dipandunya itu,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Beliau berkata, mangsa dihantar ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF), Muar untuk rawatan lanjut dan keadaannya dilaporkan stabil.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) (a) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/johor/anggota-polis-patah-kaki-kenderaan-terbabas-1.37076

Pesara Tentera Maut


Inalillahi wainailaihi rojiun

3 April 2012

IPOH - Seorang pesara tentera terbunuh selepas dirempuh sebuah lori yang terbabas ketika mangsa berada di sebuah kedai kopi di pekan Titi Serong, Parit Buntar hari ini.



Ketua Polis Daerah Kerian, Supt Mat Fauzi Nayan berkata Mohd Murad Mastor, 53, berasal dari Kampung Haji Musa Titi Serong, Parit Buntar, meninggal dunia di tempat kejadian dan mayatnya di hantar ke Hospital Parit Buntar untuk bedah siasat.


Semasa kejadian pada pukul 10.30 pagi, Mohd Murad menghantar kuih ke kedai berkenaan untuk dijual dan insiden itu menyebabkan beberapa pelanggan di kedai kopi itu bertempiran lari untuk menyelamatkan diri, katanya ketika dihubungi hari ini.

Fauzi berkata kejadian berlaku ketika pemandu lori muatan air batu dikatakan memberhentikan kenderaannya di tepi jalan berhampiran kedai kopi tersebut dan pada masa yang sama sebuah lori ikan yang mengekori kenderaan itu, merempuhnya.

Akibat kejadian itu, lori muatan air batu telah terbabas ke kiri jalan dan merempuh mangsa serta lima buah motosikal yang berada di tepi kedai berkenaan, katanya.

Katanya kedua-dua pemandu lori berkenaan hanya cedera ringan dan membuat laporan polis berhubung kejadian itu. - Bernama

Al-Fatihah

Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/perak/pesara-tentera-maut-dirempuh-lori-yang-terbabas-di-kedai-kopi-1.37244
hmetro.com.my
nst.com.my/top-news/retired-army-man-killed-in-lorry-crash-1.70416

Jurujual Terjunam Ke Gaung


GEORGETOWN - Seorang lelaki nyaris maut apabila kenderaan yang dipandunya hilang kawalan sebelum terjatuh ke dalam gaung di Bukit Paya Terubong, di sini petang semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 2 petang itu, mangsa yang dikenali sebagai Ong dan bekerja sebagai jurujual dikatakan dalam perjalanan ke Bayan Baru untuk bertemu dengan seorang pelanggannya.

Bagaimanapun, Ong berusia dalam lingkungan 30-an berkata, kereta yang dipandunya tiba-tiba hilang kawalan ketika sampai di selekoh tepi bukit itu menyebabkan kenderaannya terjatuh ke dalam gaung sedalam kira-kira enam meter.

Menurutnya, ketika dalam perjalanan ke Bayan Baru, hujan baru reda dan keadaan jalan agak licin mengakibatkan keretanya hilang kawalan.

“Ketika itu, saya memandu berseorangan dan sudah berjanji bertemu dengan seorang pelanggan. Namun ketika tiba di selekoh, saya gagal mengawal kenderaan hingga terjatuh ke dalam gaung.

“Saya agak sukar untuk keluar kerana pintu tidak boleh dibuka dan terperangkap kira-kira 15 minit. Mujur ada beberapa pengguna jalan raya datang membantu mengeluarkan saya,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Bagaimanapun, Ong lega kerana tidak mengalami sebarang kecederaan namun masih trauma apabila mengenangkan kejadian itu.

Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/utara/jurujual-nyaris-maut-kereta-masuk-gaung-1.37104

Monday, April 2, 2012

Maut Rempuh Jentolak


Inalillahi wainailaihi rojiun

 POKOK SENA - Seorang pemandu maut selepas jen­tolaknya di­rempuh sebuah kereta dalam kemalangan di Taman Desa Sena di sini, malam semalam.

Malah dalam kemalangan pada jam 7.40 malam itu, pe­mandu kereta Honda Accord yang merempuh jentolak P Prem­kumar, 27, itu turut disahkan meninggal dunia selepas dua jam dimasukkan ke wad Hos­pital Kepala Batas kerana mengalami cedera parah di beberapa bahagian kepala dan badannya.

Ketua Ketenteraman Awam/Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Utara (SPU) Asisten Superin­tendan Suhaimi Mohd Noor berkata, kemalangan yang membabitkan jentolak di­pandu Premkumar dan kereta dipandu Fairuz Ahmad, 28, itu berlaku semasa aliran trafik di kawasan itu sibuk.

“Trafik di kawasan ber­kenaan bertukar sibuk petang semalam apabila jalan raya di­penuhi kenderaan yang di­per­cayai dalam perjalanan un­tuk mendengar satu ceramah po­litik di kawasan berdekatan.

“Jentolak dipandu Prem­kumar dikatakan baru keluar dari simpang Taman Desa Se­na untuk pulang ke rumahnya di Pokok Machang selepas selesai kerja namun dirempuh kenderaan dipandu Fairuz yang datang dari arah Tasek Gelugor,” katanya.

Menurutnya, rempuhan kuat pada sebelah kanan jen­tolak itu menyebabkan ia ter­balik dan Premku­mar yang tersepit meninggal dunia di tempat kejadian. Manakala kereta milik Fairuz yang berasal dari Taman Koskam Kepala Batas di sini remuk di bahagian hadapan.

“Mayat kedua-dua pemandu dibedah siasat di Unit Forensik Hospital Kepala Batas sebelum dituntut keluarga masing-masing. Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/utara/dua-pemandu-maut-kereta-rempuh-jentolak-1.36832

Sunday, April 1, 2012

Lori Rempuh Treler

Inalillahi wainailaihi rojiun 

NILAI - Seorang lelaki maut selepas lori membawa mua­tan biskut dipandunya merempuh sebuah treler dalam kemalangan di Kilometer 43.4 Lebuh Raya Utara Selatan Hubungan Tengah (Elite) arah utara, di sini, awal pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira 4 pagi itu, mangsa Wan Mohamad Lokman Moha­mad Zin, 34, mengalami kecederaan parah akibat tersepit dalam kenderaannya, sebelum dikeluarkan anggota bomba dan penyelamat.

Jurucakap polis berkata, mangsa yang memandu bersendirian dipercayai dalam perjalanan dari Johor Bahru menuju ke Shah Alam untuk menghantar biskut berkenaan.

“Bagaimanapun, sejurus tiba di lokasi kejadian, lori dipandu mangsa yang berada di laluan paling kiri dipercayai hilang kawalan lalu merempuh belakang sebuah treler yang membawa muatan tekstil di laluan sama.

“Rempuhan itu mengakibatkan mangsa tersepit dan mengalami kecederaan teruk di kepala dan tulang rusuk sebelum berjaya dibawa keluar angota bomba,” katanya.

Menurutnya, mangsa yang berasal dari Felda Palong 8, Gemas, dipercayai mati di tempat kejadian dan mayatnya dihantar ke Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ), Seremban untuk bedah siasat.

Kata jurucakap, pemandu treler yang membawa muatan tekstil berusia lingkungan 30-an tidak mengalami sebarang kecederaan.

Sementara itu, nenek saudara mangsa, Ramlah Tadak, 48, berkata, dia terkejut selepas dimaklumkan kejadian itu kira-kira jam 8 pagi (semalam).

“Saya difahamkan arwah baru sahaja bekerja sebagai pemandu lori dengan sebuah syarikat di Johor sejak beberapa bulan lalu.

“Kali terakhir saya bertemu dengannya beberapa bulan lalu selepas dia datang menziarah saya di rumah,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di HTJ, Seremban semalam.

Difahamkan, jenazah Allahyarham Wan Mohamad Lokman dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Felda Palong 8.

Al-Fatihah


Sumber
sinarharian.com.my/edisi/melaka-ns/nahas-lori-treler-di-awal-pagi-1.36595

Tidak sempat menyambut ulang tahun kelahirannya ke-65


BANDAR SPRING HILL – Seorang warga emas tidak sempat menyambut ulang tahun kelahirannya ke-65, hari ini apabila maut dalam kemalangan di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira 12.45 tengahari itu, mangsa, S Poogavanam, cedera parah di kepala dan kaki selepas motosikal ditungganginya dirempuh sebuah kereta menyebabkan dia maut di tempat kejadian.

Jurucakap polis berkata, kejadian berlaku apabila mangsa yang menunggang motosikal bersendirian datang dari kampung Sungai Sendayan menuju ke Badar Spring Hill.

“Ketika keluar dari simpang kampung, mangsa dipercayai tidak memberhentikan motosikalnya sebelum keluar, lalu dirempuh sebuah kereta yang datang dari arah Port Dickson.

“Mangsa kemudian terseret sejauh 50 meter dari lokasi kejadian,” katanya kepada Sinar Harian di sini, semalam.

Menurutnya, pemandu kereta terbabit mengalami kecederaan ringan dan mangsa dibawa ke Hospital Port Dickson untuk bedah siasat.

Sumber
sinarharian.com.my/edisi/melaka-ns/maut-sehari-sebelum-sambut-hari-jadi-1.36597
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Headlines

FeedBurner FeedCount

Blogged.my