loading...

Tuesday, April 3, 2012

Kereta Anggota TLDM Terbakar


LENGGONG 2 April - Seorang anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang membawa persiapan hantaran majlis pertunangan adiknya nyaris maut selepas kereta Proton Wira yang dipandunya tiba-tiba terbakar di Jalan Lenggong-Gerik berhampiran Kampung Kota Tampan di sini hari ini.

Dalam kejadian pukul 3.30 petang itu, Sabri Ishak, 29, dalam perjalanan dari rumah abangnya di Kuala Lumpur ke kampungnya di Kampung Batu 8, Baling, Kedah sebelum kereta tersebut tiba-tiba terbakar.

Sabri yang bertugas di Teluk Sepanggar, Sabah, berkata, sewaktu melalui pekan Lenggong, tiba-tiba kepulan asap keluar dari saluran penghawa dingin kereta.

"Saya bertolak dari awal pagi untuk menghantar barangan hantaran adik saya yang dijadualkan melangsungkan pertunangan di kampung pada Sabtu ini.

"Sewaktu hampir melalui pekan Lenggong, saya panik apabila kepulan asap tiba-tiba keluar dari penghawa dingin kereta dan terus memberhentikan kereta di bahu jalan lalu menyelamatkan diri," katanya ketika ditemui di tempat kejadian di sini hari ini.

Menurut Sabri, beberapa penduduk kampung yang melalui jalan tersebut turut membantunya mengeluarkan barangan peribadi dan hantaran.

"Saya bersyukur kerana diri dan barangan persiapan hantaran berjaya diselamatkan. Terima kasih kepada penduduk kampung yang sudi membantu termasuk menghubungi pihak bomba," katanya.

Sabri memberitahu kereta Proton Wira yang dibelinya beberapa tahun lalu jarang digunakan dan di bawah jagaan abangnya di Kuala Lumpur ekoran dia bertugas di Sabah.

Sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Lenggong yang sampai di tempat kejadian pada pukul 3.45 petang berjaya memadamkan kebakaran dalam jangka masa 10 minit namun 70 peratus bahagian kereta sudah musnah.

Sumber:
utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2012&dt=0403&pub=Utusan_Malaysia&sec=Jenayah&pg=je_02.htm
kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2012&dt=0403&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_08.htm

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Headlines

FeedBurner FeedCount

Blogged.my