loading...

Saturday, April 7, 2012

Bas Dari Genting Highland Terbalik



GOPENG – Seramai 29 penumpang dan dua pemandu nyaris maut apabila bas persiaran yang dinaiki mereka terbabas dan terbalik di Kilometer 300 Lebuh Raya Utara-Selatan, menghala ke utara dekat Gua Tempurung di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 6 petang itu, bas yang dipandu seorang lelaki berusia antara 40-an dalam perjalanan dari Genting Highland ke Batu Gajah dipercayai hilang kawalan selepas melanggar lopak air.

Ketua Polis Daerah Kampar, Superintendan Abd Aziz Salleh berkata, 15 mangsa yang cedera ringan mendapat rawatan pesakit luar di Hospital Kampar dan Hospital Tapah dan Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh.

“Bas berkenaan dipercayai hilang kawalan selepas melanggar lopak air. Keadaan cuaca yang hujan lebat berserta angin kuat menyebabkan bas itu senget ke bahagian kiri jalan selepas menuruni bukit.

“Bagaimanapun, semua penumpang berjaya menyelamatkan diri dengan merangkak menerusi cermin hadapan yang pecah. Bas berkenaan terbalik dengan keempat-empat tayar di atas,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini, semalam.

Menurutnya, pemandu bas berusia 40-an tidak mengalami apa-apa kecederaan dan akan diambil keterangan berhubung kejadian itu.

“14 penumpang lagi telah pulang ke rumah kerana tidak mengalami apa-apa kecederaan,” katanya.

Sementara itu, jurucakap bilik gerakan Balai Bomba Goepng berkata, pihaknya menerima panggilan jam 6.11 petang dan tiga jentera dari Balai Bomba Gopeng, Tapah dan Simpang Pulai dikejarkan ke tempat kejadian.

“Bomba mengambil masa kira-kira dua jam untuk menarik bas berkenaan selain memastikan tiada kebocoran bahan bakar bagi mengelakkan sebarang letupan,” katanya.

Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/perak/29-penumpang-terselamat-1.38209

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Headlines

FeedBurner FeedCount

Blogged.my