loading...

Tuesday, April 3, 2012

7,000 penduduk minta pasang lampu isyarat


KUBANG PASU 2 April - Kira-kira 7,000 penduduk dari 13 kampung di sekitar Hosba dekat Lebuh Raya Utara Selatan di sini, merayu Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) memasang dua lampu isyarat di kawasan itu demi keselamatan penduduk.

Langkah itu penting bagi mengelak kemalangan jalan raya yang sering berlaku di kawasan tersebut dan terbaru kemalangan membabitkan dua buah bas di persimpangan Kampung Wang Perah.

Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan (SK) Hosba, Abdul Gafar Yahya memberitahu, pemasangan lampu isyarat itu dicadangkan di Kilometer 16.8 dekat Kampung Wang Perah dan Kilometer 18.2 dekat Kampung Natoi.

Katanya, masalah itu sudah dibangkitkan pelbagai pihak sejak 20 tahun lalu, namun tiada tindakan relevan diambil pihak berkaitan dan baru-baru ini pihaknya mengutuskan pula surat menerusi e-mel kepada LLM.

"Pihaknya juga sudah memaklumkan kepada syarikat konsesi lebuh raya itu, namun alasan diberi laluan tersebut adalah lebuh raya yang tidak sesuai dipasang lampu isyarat.

"Namun kira-kira dua kilometer dari kawasan itu terdapat dua lampu isyarat iaitu di pekan Changlun," katanya kepada pemberita selepas mengetuai demonstrasi aman bersama lebih 100 waris pelajar di sini baru-baru ini.

Isnin minggu lalu, seramai 11 pelajar dan seorang guru Sekolah Rendah Al-Azhar, Gelong cedera selepas bas yang mereka naiki terlibat dalam kemalangan dengan sebuah bas persiaran di Kilometer 16.8 Lebuh Raya Utara Selatan menghala Alor Setar.

Dalam pada itu, seorang penduduk, Wan Saad Wan Daud, 69, pula memberitahu, kadang-kala dia terpaksa menunggu sehingga 20 minit untuk melintasi lebuh raya kerana kenderaan terlalu banyak dan dipandu laju.

"Masalah ini sudah berlarutan begitu lama sejak awal 80-an lagi dan berharap lampu isyarat dapat dibina di persimpangan itu," katanya.

Naib Yang Dipertua PIBG Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Hosba, Mustafa Musa, 51, pula memberitahu, isu lampu isyarat tersebut menjadi agenda penting setiap kali mesyuarat agung.

"Waris pelajar juga sering membangkitkan hal itu, namun masalah tersebut belum selesai," katanya.

Sementara itu, Ahli Majlis Daerah Kubang Pasu, Zulkifli Mohamad, 42, pula berharap rayuan penduduk terlibat dapat dipertimbangkan dengan sewajarnya demi keselamatan mereka.

"Diharapkan rayuan penduduk ini dapat ditunaikan dan menjadi realiti bukan lagi menjadi masalah yang tiada penyelesaian," katanya.

Sumber:
utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2012&dt=0403&pub=Utusan_Malaysia&sec=Utara&pg=wu_05.htm

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Headlines

FeedBurner FeedCount

Blogged.my