loading...

Sunday, September 24, 2017

Enam motosikal 'rebah' dalam terowong


SEKURANG-kurangnya enam motosikal yang sedang berkonvoi, terbabit dalam kemalangan dalam Terowong Genting Sempah, dekat Bentong, petang kelmarin.

Rakaman dipercayai kamera litar tertutup (CCTV) dalam terowong memaparkan kejadian itu turut tular di media sosial sejak malam kelmarin.

Syarikat konsesi Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (KLK) ANIH Berhad dalam kenyataan mengesahkan kejadian berlaku kira-kira 5.35 petang.


“Kami sebagai syarikat konsesi KLK memaklumkan kemalangan dalam Terowong Genting Sempah yang rakamannya sedang tular menerusi Facebook berlaku pada 5.35 petang semalam (Sabtu).

"Kejadian membabitkan dua motosikal bergesel sesama sendiri dan jatuh di laluan kanan. Susulan kejadian, seorang penunggang mengalami kecederaan ringan.

"Kemalangan itu dapat dikawal sepenuhnya oleh petugas LPT Ronda,” katanya.

Dalam video itu, sebuah motosikal yang berada di garisan tengah cuba memotong dua kereta apabila ia bergesel dengan sebuah lagi motosikal.

Pergeselan itu menyebabkan sebuah kereta di lorong kanan tidak sempat mengelak dan melanggar salah satu motosikal berkenaan yang kemudian terjatuh ke bahu jalan.

Tiga motosikal yang berada di belakang tidak sempat mengelak daripada merempuh sebuah motosikal yang jatuh.

Sementara itu, polis yang dihubungi menyatakan seorang mangsa yang cedera ringan dalam kemalangan itu diberi rawatan awal di lokasi dan siasatan lanjut sedang dilakukan

Sumber: https://www.hmetro.com.my/utama/2017/09/266493/enam-motosikal-rebah-dalam-terowong-metrotv

Sepasang suami isteri maut kemalangan



KOTA TINGGI - Sepasang suami isteri maut manakala tujuh lagi cedera selepas terlibat dalam kemalangan membabitkan tiga buah kenderaan di Kilometer 59.5 Lebuh Raya Senai-Desaru pagi tadi.

Kejadian itu menyebabkan mangsa dikenali sebagai Muhamad Faizal Ramli, 30, dan Nurul Farehah Syawal, 28 maut di lokasi kejadian.

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bandar Penawar, Sailaini Oda berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 10.19 pagi sebelum bergegas ke lokasi kejadian.

Menurutnya, kemalangan membabitkan tiga buah kenderaan iaitu sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Honda HRV, Proton Waja dan Perodua Myvi.

"Dua mangsa maut manakala tujuh lagi dilaporkan cedera. Mangsa yang meninggal dunia diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut," katanya.

Kesemua mangsa yang cedera termasuk seorang kanak-kanak perempuan merupakan anak pasangan berkenaan dikejarkan ke Klinik Kesihatan Bandar Penawar dan Sungai Mas.

Sumber: http://www.sinarharian.com.my/edisi/johor/suami-isteri-maut-kemalangan-babit-tiga-kenderaan-1.734583

Dua maut motosikal bertembung



BANDARAYA MELAKA - Dua lelaki maut termasuk seorang anggota polis selepas motosikal ditunggangi masing-masing dipercayai bertembung dalam kemalangan di Lebuh Alor Gajah, Melaka Tengah, Jasin (AMJ) dekat Semabok, di sini, semalam.

Dalam kejadian yang berlaku jam 8.45 pagi itu, mangsa Lans Koperal Sokongan, Mohd Hilmi Ismail, 29, meninggal dunia di lokasi kejadian manakala seorang lagi mangsa, Ismail Abd Majid, 52, meninggal dunia di Unit Kecemasan, Hospital Melaka.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik negeri, Superintendan Mohd Sham Abdullah berkata, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila motosikal yang ditunggangi kedua-dua mangsa bertembung sesama sendiri secara berdepan.

“Kedua-dua kenderaan kini ditahan bagi pemeriksaan Puspakom dan siasatan lanjut masih dijalankan,” katanya yang menjelaskan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sementara itu, isteri kepada anggota polis yang maut, Nor Afizah Jamil, 32, berkata, dia diberitahu mengenai kejadian kemalangan itu kira-kira jam 9.30 pagi semalam.

“Ketika menerima panggilan telefon saya baru keluar dari rumah emak di Pengkalan Balak kerana semalam saya dengan anak balik bercuti di kampung, sementara suami tak ikut sebab kena panggil bertugas.

“Saya ingatkan ia sekadar kemalangan biasa, tak sangka pula sehingga menyebabkan kematiannya. Kali terakhir saya jumpa suami tengah hari semalam sebelum saya berangkat ke kampung dan sempat meninggalkan duit belanja untuk kami dan anak,” katanya ketika ditemui di pekarangan Bilik Mayat Hospital Melaka.

Allahyarham Mohd Hilmi meninggalkan seorang anak lelaki berusia tiga tahun dan jenazah dikebumikan di Tanah Perkuburan Padang Temu, selepas solat Asar.

Sumber: http://www.sinarharian.com.my/edisi/melaka-ns/dua-maut-motosikal-bertembung-1.734231

Penunggang motosikal maut terbabas



JASIN - Seorang pemuda maut dalam satu kemalangan jalan raya apabila kenderaan ditunggangnya dipercayai hilang kawalan di Jalan Kelubi Jasin malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 12.30 tengah malam itu, Mohd Syafiq Muhammad, 29, yang menunggang motosikal bernombor pendaftaran jenis Yamaha R1 dalam perjalanan dari Kelubi menghala ke Bandar Jasin.

Ketua Polis Daerah Jasin, Deputi Superintenden Arshad Abu, siasatan awal mendapati motosikal ditunggang Mohd Syafiq terbabas lalu melanggar bahagian hadapan kenderaan Honda CRV yang diparkir di kiri jalan menghala ke Kelubi.

"Dalam kemalangan ini penunggang telah meninggal dunia di tempat kejadian.

"Bagaimanapun pemilik kenderaan Honda CRV tersebut, Wan Azlan Wan Abd Jalil,51, tidak mengalami sebarang kecederaan," katanya.

Mayat Mohd Syafiq yang merupakan seorang peniaga dihantar ke Hospital Jasin untuk dibedah siasat.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) (A) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu berbahaya sehingga menyebabkan kematian.

“Pihak polis meminta saksi awam kejadian tampil bagi membantu siasatan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Sumber: http://www.sinarharian.com.my/edisi/melaka-ns/penunggang-motosikal-maut-terbabas-1.734591 

1 Maut 4 Cedera Dalam Pertembungan


MARANG - Seorang wanita maut manakala empat cedera selepas kereta dinaiki bertembung  di Kilometer 42, Jalan Kuala Terengganu ke Kuantan, di Gong Balai di sini, hari ini.

Ketika kejadian pada jam7.10 pagi itu, mangsa, Noorulizaine Mat Noh, 35, yang memandu kereta jenis Proton Iriz maut di tempat kejadian dan  penumpang, Mohamad Norkhairullah Mohd Subaha, 28, cedera ringan.

Mangsa  yang beralamat dari Taman Sakti Manir, Kuala Terengganu dalam perjalanan ke Kemaman, manakala penumpang kenderaan itu dari Jalan Merawang Kampung Mak Chili Paya, Kemaman.

Tiga lagi mangsa, pemandu Proton Persona, Lim Mee Cin, 35, dan dua penumpang, Chal Siok Fun, 37,  Lee Jul Si, 7, yang dalam perjalanan ke Kuala Terengganu turut cedera.

Kemalangan tersebut dipercayai berlaku apabila kereta dipandu Lim hilang kawalan lalu memasuki laluan bertentangan sebelum bertembung dengan kereta dipandu Noorulizaine dari arah bertentangan.

Pemandu Proton Persona juga merupakan seorang guru bersama dua penumpang kereta itu dipercayai dalam perjalanan untuk menyertai pertandingan Larian Jambatan Sultan Mahmud di Kuala Terengganu.

Ketua Polis Daerah Marang, Deputi Superintendan Mohd Suhaimi Ali berkata, pemandu Proton Iriz meninggal dunia di tempat kejadian akibat pertembungan dua kenderaan itu.

Menurutnya, penumpang Proton Iriz dan tiga lagi mangsa cedera menaiki Proton Persona dikejarkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu untuk mendapatkan rawatan lanjut.

"Bedah siasat tidak dijalankan kerana waris tidak mahu menjalankan bedah siasat dan telah membuat laporan polis untuk tidak menjalankan bedah siasat ke atas mangsa.

"Jenazah mangsa dibawa ke Unit Forensik hospital sama dan kemudiannya diserahkan kepada waris mangsa untuk urusan pengebumian," katanya hari ini.

Kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Sumber: http://www.sinarharian.com.my/edisi/terengganu/satu-maut-empat-cedera-kereta-bertembung-1.734428 

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Headlines

FeedBurner FeedCount

Blogged.my